Wednesday, June 12, 2019

Anda Terlalu Was-was dan Ragu-ragu, Bagaimana Cara Mengatasinya?


Ali berumur 25 tahun dan sejak kebelakangan ini beliau kerap berasa ragu-ragu (tidak yakin) ketika beribadat serta apa sahaja yang beliau lakukan setiap hari. Dia pernah berpatah balik walaupun telah keluar meninggalkan rumah sejauh 3km kerana berasa was-was sama ada pintu rumah sudah berkunci ke tidak. Rupa-rupanya telah dikunci.

Bahaya was-was

Begitu juga semasa solat dimana selalu ada rasa ragu-ragu bilangan rakaat yang telah ditunaikan. Masa wuduk tidak kurang hebatnya, selalu berasa ragu-ragu sudah atau belum membasuh anggota wuduk.

Anda pernah tak mengalami rasa ragu-ragu atau dengan kata lain was-was seperti Encik Ali?

Apa itu was-was sebenarnya?

Perasaan ragu-ragu, tidak yakin atau was-was merupakan satu fenomena yang melanda kebanyakan manusia.

Individu yang diserang penyakit ragu-ragu selalunya akan menghadapi kesukaran dalam menjalani kehidupan seharian.

Perasaan was-was ini amat berbahaya kerana ia bukan sahaja akan menyukarkan seseorang itu dalam aktiviti kehidupan sehariannya malah sampai satu tahap boleh mengakibatkan hati tidak tenteram.

Bagi orang Islam, ia akan mengganggu tumpuan dalam aspek keimanan dan amal ibadah seperti solat dan kepercayaan kepada Allah SWT.

Ada sejenis jin bernama Al-Maraddah yang bertugas hanya untuk membisik di hati dan mengganggu perasaan agar manusia ragu-ragu atas was-was.

Jenis jin Al-Maraddah ini membisikkan perkara bukan-bukan supaya timbul kecelaruan di dalam hati, malah kadangkala mempengaruhi keputusan akal.

Ia membuatkan suatu perasaan tidak sempurna dan menghilangkan keyakinan terhadap ibadat yang dilakukan.

“Katakanlah (Wahai Muhammad), “Aku berlindung kepada (Allah) Pemelihara sekalian manusia, yang menguasai sekalian manusia, Tuhan yang berhak disembah oleh sekalian manusia, dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam, yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia, (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” – Surah An-Nas: 1-6

Seorang sahabat Rasulullah, Utsman bin Abil ‘Ash pernah ditimpa gangguan was-was dan telah pergi kepada Rasulullah SAW dan mengadu kepada Baginda:

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah hadir dalam shalatku dan membuat bacaanku terganggu.”

Rasulullah menjawab, "Itulah syaitan ‘Khinzib’. Apabila kamu merasakan kehadirannya, maka meludahlah ke kiri tiga kali dan berlindunglah kepada Allah.’ Aku pun melakukan hal itu dan Allah menghilangkan gangguan itu dariku.” – HR. Muslim

Penyakit was-was boleh menjadi satu masalah yang kronik sehingga ke peringkat di mana pesakit berasa putus asa dalam menjalankan ibadat dan meninggalkan ketaatan dalam beribadat.

Jenis Was-Was

Secara umumnya penyakit was-was terbahagi kepada dua, iaitu was-was dalam ibadah dan was-was dalam akidah.

Was-was Ibadah biasa pada perkara-perkara seperti:
  • Ambil wudhu berulang-ulang kali seperti tiada kesudahan.
  • Mengangkat takbirratulihram (niat) yang berulang-ulang dengan muka yang amat tertekan.
  • Bersuci dengan sabun pencuci terutama selepas membuang air besar dan setiap kali dia akan terasa seperti masih ada lagi najis yang terkeluar dan proses basuhan berlanjutan seperti tiada kesudahannya.
  • Mandi hadas dengan basuhan berulang-ulang kerana tidak yakin dengan sahnya mandi hadas tersebut.
  • Membaca basmalah dan Al-Fatihah dalam keadaan yang amat sukar serta berulang-ulang sebutan ayat-ayat tersebut.
  • Ragu dan terlalu berhati hati dengan kebersihan tempat dan barangan.
  • Was-was bilangan tawaf mengelilingi kaabah.
  • Was-was akidah dari syaitan seperti berikut:
  • Mula terfikir sesuatu yang batil (palsu) yang bersangkut dengan ketuhanan seperti timbul persoalan kewujudan tuhan.
  • Memikirkan sesuatu yang batil tentang kenabian dan perkara-perkara yang ghaib.
  • Memikirkan sangkaan buruk.

Bahaya Was-Was

1. Terganggu Aktiviti Harian

Seseorang yang terkena penyakit was-was biasanya akan mengganggu kerana setiap perbuatan perlu dilakukan secara berulang-ulang kali sehingga terpaksa menggunakan lebih masa dalam melaksanakan sesuatu perkara.

2. Hidup tak tenang

Rasa resah dan gelisah akan menghantui hidup pesakit penyakit was-was kerana dirasakan setiap tindak tanduknya tidak sempurna. Akhirnya menghadapi tekanan perasaan.

3. Mengganggu ketenteraman orang lain

Bila semasa solat berjemaah, masalah was-was ini akan menyebabkan seseorang berkali-kali melakukan takbir, maka akan mengganggu tumpuan makmun lain.

4. Meninggalkan sunnah Rasul dan mengikuti was-was syaitan

Inilah yang sangat ditakuti kerana apabila penyakit was-was ini menyerang, ia boleh menyebabkan pembaziran, membuang masa dan melakukan perkara yang merugikan.

5. Merosak akidah

Ini yang paling ditakuti. Was-was yang boleh membawa kepada meragukan keesaan Allah SWT.

“Syaitan akan selalu mendatangi salah seorang dari kalian seraya bertanya, ‘Siapa yang menciptakan ini?’ ‘Siapa yang menciptakan ini?’ Sampailah kepada pertanyaan: ‘Siapa yang menciptakan Allah?’ Barang siapa yang mendapati dalam dirinya pertanyaan tersebut, maka berlindunglah kepada Allah (membaca isti’adzah) dan hendaklah menghentikannya (mengakhirinya)’.“ (HR. Bukhari)

Bagaimana Menentang Dan Merawat Was-Was?

Bagi mengelak daripada perasaan was-was berlaku kepada diri, boleh mencuba amalan berikut:-

Beribadatlah mengikut kemampuan dan ingat kerja kita adalah melakukan ibadat dan bukan menentukan menentukan sah atau tidak ibadat kita.

Jangan patuh dan layan pada was-was dan bila ia datang biarkan ia berlalu.

Setiap kali was-was, fikirkan dalam minda dan hati, yang anda sudah LAKUKANNYA!

Bila was-was datang sematkan pada diri bahawa ianya adalah bisikan syaitan dan jangan dengar bisikan syaitan.

Banyakkan berzikir dan berdoa kepada Allah kerana Dialah yang Maha Penyembuh.

“Dan jika Engkau dihasut oleh sesuatu hasutan syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.“ – Surah al-A’raaf: 200

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: el-hajj

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon