Wednesday, June 12, 2019

Misteri Roh Watseka Wonder Yang Membingungkan Dunia Paranormal


Lurancy Vennum lahir pada 16 April 1864 dan semasa berusia tujuh tahun, keluarganya berpindah ke Watseka, sebuah bandar kecil dalam daerah Illinois, Amerika Syarikat. Pada Julai 1877, semasa Lurancy berusia 13 tahun, perkara pelik dan misteri mula berlaku.

Misteri Roh Watseka Wonder

Suatu pagi, Lurancy bangun daripada tidur dan mengadu kepada ibunya dia berasa pening dan loya, sebelum tiba-tiba jatuh pengsan. Dia dalam keadaan 'tidur' selama lima jam sebelum sedar dan mengatakan dirinya baik-baik sahaja.

Keesokan harinya, keadaan sama berlaku dan mula berulang setiap hari. Dalam keadaan Lurancy tidak sedarkan diri, Lurancy meracau, memberitahu sedang berada di syurga, berjumpa malaikat, boleh mendengar suara roh, termasuk roh abangnya yang sudah meninggal dunia.

Sejak itu, Lurancy tidak terkawal. Dia sering pengsan dan meracau dengan suara yang berlainan.

Dalam sehari, adakalanya berbelas kali dia pengsan. Paling lama sehingga lapan jam dan bila sedar, Lurancy langsung tidak mengingati apa yang berlaku.

Keadaan Lurancy membimbangkan ibu bapanya kerana semasa meracau, Lurancy akan mula bertutur dalam bahasa yang sukar difahami, malah turut memberitahu ada roh berkeliaran dalam rumah mereka.

Pelbagai usaha dilakukan keluarga Vennum untuk merawat Lurancy namun doktor gagal menemui sebarang keganjilan dan mendapati Lurancy sihat.

Apa yang menimpa Lurancy kemudiannya mula menjadi berita hangat di Watseka. Rumah mereka mula dikunjungi orang ramai untuk menyaksikan sendiri perkara pelik yang menimpa gadis itu.

Ketika itu, kepercayaan berkaitan spiritual masih menebal dalam kehidupan masyarakat barat dan mereka percaya apa yang menimpa Lurancy ada kaitan dengan roh yang cuba berhubung melalui orang yang masih hidup

Setelah segala usaha untuk merawat gagal, pakar memberitahu Lurancy mungkin mengalami gangguan mental dan menyarankan dia dihantar ke hospital sakit jiwa.

Namun, sebelum sempat keluarga Vennum berbuat begitu, seorang lelaki bernama Asa Roff muncul di rumah mereka.

Dia menasihatkan agar tidak menghantar Lurancy ke hospital itu kerana tidak mahu dia menerima nasib seperti yang menimpa anaknya bernama Mary.

***

Mary Roff, lahir di Indiana pada Oktober 1846 dan semasa berusia enam bulan, Mary diserang penyakit sawan.

Sewaktu kecil juga, Mary sering mengadu terdengar suara misteri di dalam kepalanya. Suara itu menyuruhnya melakukan bermacam-macam perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.

Semakin Mary membesar, dia mula mengalami keadaan dimana tiba-tiba dia tidak sedarkan diri dan akan bertutur dengan suara yang pelik apabila tersedar, seperti dirasuk sesuatu.

Keadaan Mary ketika itu turut menjadi tumpuan kerana Mary juga seakan memiliki suatu kelebihan.

Semasa berada dalam keadaan separuh sedar, Mary mampu menceritakan dengan tepat tentang suatu tempat yang belum pernah dijejakinya.

Dia juga boleh menggambarkan tentang seseorang sedangkan tidak mengenalinya, malah Mary juga boleh meramal apa yang akan berlaku namun, lama-kelamaan perangai pelik Mary mulai menakutkan apabila dia mula bersikap ganas.

Mula-mula dengan orang yang tidak dikenalinya, kemudian bertindak ganas dengan ahli keluarganya sendiri. Lebih menakutkan, Mary mula mempunyai obses dengan darah sehingga sanggup mencederakan dirinya sendiri.

Kemuncaknya, suatu hari mereka menemui Mary terbaring dilantai rumah tidak sedarkan diri berlumuran darah setelah memotong urat pergelangan tangannya dengan pisau.

Tiada pilihan lain, akhirnya keluarga Rof akur dengan saranan supaya menghantar anak mereka ke hospital sakit jiwa.

Malangnya, rawatan yang diterima bukannya menyembuhkan Mary, sebaliknya dia mati di hospital tersebut pada 5 Julai 1865.

Semasa Mary mati, Lurancy Vennum pula baru berusia setahun.

***

Dipendekkan erita, Asa Roff memujuk keluarga Vennom agar membenarkan Dr. E Winchester Stevens, seorang ahli spiritual untuk cuba merawat Lurancy sebagai salah satu ikhtiar terakhir.

Semasa merawat gadis itu, Dr. Winchester percaya Lurancy bukanlah gila atau mengalami gangguan jiwa seperti yang diperkatakan.

Dia percaya fizikal gadis itu menjadi penghubung antara dunia orang yang sudah mati untuk berkomunikasi.

Ketika memukau Lurancy untuk 'berhubung' dengan roh yang mempengaruhi tubuh gadis itu, ada beberapa roh yang tampil memperkenalkan diri.

Dr. Winchester memberitahu keluarga Vennum, roh Lurancy masih terlalu lemah untuk mengawal tubuhnya sendiri.

"Lurancy kini ada di syurga!" beritahu Dr. Winchester.

Untuk itu dia mencadangkan agar tubuh Lurancy menerima satu roh baru yang lebih mesra dan baik untuk menduduki tubuh Lurancy buat sementara waktu.

Ketika itu tubuh Lurancy yang pengsan tiba-tiba tersedar. Bila ditanya dia memperkenalkan dirinya sebagai Mary Roff!

Ketika Mary menjelma dalam tubuh Lurancy, personaliti gadis itu tiba-tiba hilang. Dia tidak kenal keluarga Vannum, malah tidak selesa berada di rumah itu!

Dia berulang-kali memperkenalkan dirinya sebagai Mary dan meminta agar pulang ke rumahnya.

Apabila keluarga Roff datang ke rumah Vennum, Lurancy serta-merta dapat mengenali mereka seorang demi seorang.

Mereka terkejut kerana personaliti Lurancy tidak ubah seperti Mary, anak mereka yang sudah meninggal dunia 13 tahun lalu.

Pada Februari 1878, keluarga Vennum membenarkan Mary yang berada di dalam jasad Lurancy untuk pulang ke rumah keluarganya, walaupun pada hakikatnya kedua-dua keluarga ini tidak pernah saling mengenali sebelum ini.

Gadis itu sangat gembira apabila pulang ke pangkuan keluarganya.

Apa yang peliknya, Lurancy tahu semua sejarah hidup keluarga Roff termasuk peristiwa yang menimpa mereka, kejiranan dan segala kenangan semasa hidup dahulu.

Mary di dalam tubuh Lurancy juga masih mengenali barang-barang peribadi dan juga rakan-rakannya.

Pasangan Roff acap kali menguji Lurancy untuk melihat benarkah di dalam tubuh gadis itu adalah roh anak mereka.

Dan semua yang disoal dan diajukan dapat dijawab dengan tepat, sebab itu mereka yakin di dalam tubuh Lurancy adalah anak mereka, Mary.

Dalam masa yang sama, keluarga Vennum sering datang melawat ke rumah keluarga itu untuk melihat anak mereka namun, Lurancy tidak mengenali langsung keluarganya sendiri.

Lebih kurang tiga bulan 'rasukan' ini berlaku, sepanjang masa itulah keluarga Roff seakan mendapat semula anak mereka.

Pada Mei 1878, Mar mula menangis dan memberitahu keluarganya bahawa sudah tiba masanya untuk dia pergi kerana roh Lurancy sudah sihat dan kuat untuk mengawal jasadnya itu.

Mary sempat berpelukan dengan setiap ahli keluarganya dan menunjukkan rasa sedih kerana sudah tiba masanya untuk meninggalkan mereka.

Dua hari kemudian, Mary pun 'pergi'. Lurancy yang tersedar semula dari 'tidur' yang berpanjangan terpinga-pinga bila melihat dia berada ditempat yang asing.

Dia langsung tidak mengenali keluarga Roff dan hanya menangis meminta dihantar pulang kepada keluarganya.

Pada 21 Mei, Lurancy dipulangkan semula kepada keluarganya dan apa yang lebih menarik, sejak kejadian misteri itu, Lurancy tidak lagi pengsan atau mengalami sebarang kerasukan.

Lurancy membesar dengan normal tanpa gangguan atas bantuan roh anak keluarga Roff.

Sebagai tanda terima kasih, apabila keluarga Roff datang melawat, mereka akan membenarkan roh Mary masuk ke dalam tubuh Lurancy untuk berkomunikasi dengan keluarganya.

Sangat pelik. Perjanjian misteri ini berlanjutan selama beberapa tahun dan akhirnya terputus apabila Lurancy berkahwin dan berpindah ke Kansas mengikut suaminya.

Mereka membeli sebuah ladang dan hidup disitu membesarkan 11 anak mereka. Lurancy meninggal dunia pada akhir tahun 1940an.

Sejak dari itu sampailah sekarang, banyak kajian telah dilakukan namun gagal membuktikan kisah 'penyatuan' Lurancy dan Mary yang dikenali sebagai 'Watseka Wonder' ini sebagai satu penipuan.

Kejadian itu digambarkan sebagai antara kes kemasukan roh paling misteri dalam rekod paranormal.

Sama ada Lurancy Vennum mahupun Mary Roff, mereka tidak pernah bertemu, bahkan hidup dalam dua hayat yang berbeza.

Tetapi, mereka pernah 'bersatu' dalam satu jasad!

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon