Tuesday, June 11, 2019

Theodora, Pelacur Yang Akhirnya Menjadi Maharani Rom


Sejarah Theodora adalah satu kisah klasik yang kedengaran seperti cerita fantasi kerana kehidupannya yang bermula dalam kelas masyarakat paling bawah dalam Empayar Byzantine tetapi kemudiannya menjadi salah seorang wanita paling berkuasa dalam sejarah ketamadunan itu dan juga di dunia.

Maharani Rom
Theodora.

Theodora telah menjadi maharani kepada Empayar Byzantine pada abad ke-6 Masihi, suaminya Justinian I, merupakan salah seorang Maharaja Empayar Byzantine yang paling terkenal.

Sebagai seorang maharani, Theodora telah menggunakan kedudukan dan pengaruhnya untuk memulakan reformasi di dalam kerajaan dan secara khusus mempromosikan status wanita dalam kerajaan dan masyarakat.

Sejarah rahsia Theodora

Theodora dilahirkan sekitar tahun 497 Masihi, namun tidak banyak yang diketahui tentang kehidupan awalnya.

Menurut satu catatan Sejarah Rahsia yang ditulis oleh Procopius, bapa kepada bakal Maharani Byzantium itu adalah Acacius.

Acacius bekerja sebagai penjaga beruang di Hipodrom yang merupakan medan pertunjukan dan pertarungan di Constantinople, juga dikenali dengan nama Medan Atmeydani yang bermaksud Medan Kuda. Ibunya pula merupakan seorang penari dan pelakon.

Procopius juga menulis bahawa ketika pada usia mudanya, Theodora bekerja sebagai seorang pelakon wanita dan juga pelacur, pekerjaan yang dianggap hina dan tidak dihormati di dalam masyarakat Empayar Byzantine.

Ketika berusia 16 tahun, Theodora telah pergi ke Afrika Utara sebagai peneman kepada salah seorang pegawai kerajaan dan tinggal di sana selama empat tahun.

Dalam perjalanan pulang ke Constantinople, Theodora telah singgah di Alexandria di mana dia mula menganut agama Monophysitisme (cabang agama Kristian tidak ortodoks).

Selepas menganut agama baharu, Theodora juga telah mengubah cara hidupnya dan bekerja sebagai seorang penenun bulu biri-biri apabila kembali ke ibu kota Constantinople itu.

Bercinta dengan pewaris Empayar Byzantine

Pada ketika inilah Theodora telah menarik perhatian Justinian yang berkhidmat di bawah bapa saudaranya iaitu Maharaja Justin I.

Justinian telah tertarik kepada kecerdasan dan kecantikan Theodora lalu menjadikan wanita itu sebagai perempuan simpanannya dan menikahi Theodora tidak lama selepas itu.

Disebabkan reputasi buruk latar belakang Theodora, satu undang-undang khas terpaksa digubal dan diluluskan untuk membatalkan undang-undang Rom lama.

Sebelum ini, undang-undang lama melarang lelaki di dalam persatuan senat atau berkedudukan lebih tinggi daripada mengahwini pelakon atau pelacur.

Pada tahun 527 Masihi, Maharaja Justin telah meninggal dunia dan digantikan oleh anak saudaranya iaitu Justinian.

Walaupun Theodora tidak menjadi pemerintah bersama Justinian, tetapi dia memberikan pengaruh yang besar terhadap pentadbiran kerajaan itu.

Ramai beranggapan Theodora adalah pemerintah bersama dengan Justinian, cuma tanpa perlantikan rasmi.

Pemerintah semula jadi

Salah satu contoh terbaik kebolehan Theodora sebagai seorang pemerintah dapat dilihat melalui caranya menangani Rusuhan Nika.

Pada bulan Januari 532 Masihi, para penyokong kumpulan lumba kuda yang popular di Constantinople iaitu Greens and Blues telah bersatu dalam pemberontakan melawan Justinian.

Ketika pemberontakan berlaku, Maharaja Justinian I telah dinasihatkan oleh pagawai-pegawainya untuk melarikan diri dari ibu kota Constantinople agar tidak dibunuh.

Theodora sebaliknya telah menasihatkan suaminya untuk tetap tinggal dan menyelamatkan empayarnya.

Theodora telah memberikan ucapan yang menaikkan semangat dan meyakinkan maharaja dan para pegawainya untuk terus kekal di situ.

Maharaja Justinian I telah mengarahkan tenteranya untuk menamatkan pemberontakan dengan menggunakan kekerasan.

Melihat maharaja mereka mengetuai serangan, pasukan tentera yang diterajui oleh jeneral Belisarius begitu bersemangat dan akhirnya berjaya membunuh kesemua pemberontak yang berpangkalan di Hipodrome.

Namun, Rusuhan Nika telah menyebabkan kemusnahan yang teruk kepada bandar itu, memberi peluang kepada Justinian I dan Theodora untuk membinanya semula.

Program pembinaan semula ini menjadikan Constantinople sebagai salah satu kota paling indah di dunia pada masa tersebut.

Pencapaian yang paling ikonik dalam program pembinaan semula ini adalah Hagia Sophia kerana semasa berlakunya Rusuhan Nika, gereja ini telah rosak teruk.

Maharaja Justinian I telah membinanya semula (binaan kali ketiga dan bertahan sehingga hari ini) dan kini, Hagia Sophia merupakan sebuah masjid dan juga muzium.

Menyokong hak asasi manusia

Lakaran Wajah Theodora
Lakaran Wajah Theodora.

Theodora juga mula melakukan beberapa pembaharuan yang mungkin digambarkan sebagai mendahului zaman mereka.

Sebagai contoh, dia berjaya menamatkan penganiayaan yang dilakukan terhadap penganut Kristian bermazhab Monophysite pada tahun 553 Masihi. Beberapa lagi pembaharuan Theodora menyasarkan kepada kesejahteraan kaum wanita.

Sebagai contoh, Theodora meluluskan undang-undang yang membolehkan wanita memiliki dan mewarisi harta benda, membuatkan wanita mendapat lebih banyak hak dalam kes penceraian dan memulakan hukuman mati terhadap kesalahan merogol.

Theodora meninggal dunia pada tahun 548 Masihi, dipercayai akibat kanser atau gangren dan kematian Maharani Theodora itu adalah tamparan hebat kepada Justinian I yang kekal memerintah untuk 20 tahun lagi.

Maharani Theodora telah dikebumikan di Gereja Holy Apostles di Constantinople.

Theodora dan Justinian I kemudiannya dianggap sebagai Saint (kudus) oleh Gereja Ortodoks Timur dan mereka diraikan setiap 14 November setiap tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon