Tuesday, March 05, 2019

'Jonathan' Kura-kura Haiwan Darat Tertua Di Dunia Yang Berusia 187 Tahun

'Jonathan' Kura-kura Haiwan Darat Tertua Di Dunia Yang Berusia 187 Tahun

Seekor kura-kura jantan dari Pulau St. Helena yang diberi nama Jonathan, secara rasminya telah diiktiraf sebagai hidupan darat paling tua di dunia oleh Guinness World Record apabila usianya mencecah 187 tahun pada tahun 2019 ini.

Kura-kura Tertua

Menurut portal guinnessworldrecords, kura-kura jenis Aldabran yang berasal dari Kepulauan Seychelles di Lautan Hindi itu dilahirkan pada tahun 1832, lima tahun sebelum pertabalan Ratu Victoria dan dibawa ke Pulau St. Helena di Lautan Atlantik pada tahun 1882.

Pemeriksaan lanjut ke atas cangkerang Jonathan mendapati ia adalah subspesies yang dipercayai hampir pupus. Terdapat kira-kira 80 ekor kura-kura Aldabran di seluruh dunia, menurut Kumpulan Pakar Kura-kura dan Penyu Air Tawar dari Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Kura-kura tertua ini buta disebabkan katarak dan kehilangan deria bau namun, ia masih mempunyai pendengaran yang bagus dan selera makan, kata pakar veterinar, Joe Hollins yang bertanggungjawab menjaga reptilia itu.

Sepanjang hidupnya, Jonathan melalui dua zaman perang dunia, Revolusi Perancis, tujuh pertukaran monarki Britain dan pelantikan 39 Presiden Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Video Gol Syahmi Syafari 'Calon' Anugerah Puskas FIFA 2019

Video Gol Syahmi Syafari 'Calon' Anugerah Puskas FIFA 2019

Hajat jutaan rakyat Malaysia untuk sekali lagi melihat anak tempatan dicalonkan bagi Anugerah Puskas akan terlaksana apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cukup serius mencalonkan gol sepakan padu Syahmi Syafari pada separuh akhir pertama Piala AFF bertemu Thailand, Disember 2018 lalu.

Gol Syahmi Syafari Puskas

Gol pertahanan kanan skuad Harimau Malaya itu sememangnya cukup cantik, ditambah dengan beberapa siri hantaran mudah antara pemain negara dengan hanya membabitkan lapan sentuhan nyata sekali ia cukup berkualiti dan mampu mencabar ratusan gol lain di seluruh dunia sepanjang 2018-2019.

Gol itu bukan saja mendapat pujian peminat bola sepak tempatan termasuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menganggap ia mirip jaringan legenda Brazil, Socrates, malah jaringan itu turut mencuri perhatian media serantau seperti Indonesia, Thailand dan Singapura yang percaya Syahmi mampu mengulangi kejayaan Faiz Subri memenangi Anugerah Puskas 2016.

Menurut sumber yang boleh dipercayai, FAM ada membincangkan dalam mesyuarat teknikal badan induk itu untuk mencalonkan gol Syahmi dengan tarikh tutup penyertaan sama ada September atau Oktober depan.

Katanya, menerusi mesyuarat awal itu, majoriti bersetuju untuk menyerahkan video dan pencalonan kepada FIFA namun ia masih lagi belum dimuktamadkan dengan keputusan rasmi dijangka diketahui pertengahan tahun ini.

“Memang ada perbincangan membabitkan pegawai teknikal FAM baru-baru ini tapi ia belum lagi muktamad.

“Disebabkan terlalu banyak isu seperti isu pasukan Perlis, persiapan skuad kebangsaan, persiapan untuk Piala Airmarine dan banyak lagi, FAM terpaksa ‘KIV’ buat sementara waktu sebelum membincangkan lagi lebih lanjut.

“Tapi dalam perbincangan awal menunjukkan tanda positif dan mungkin ia akan diumumkan beberapa bulan lagi,” katanya.

Pada 6 Disember lalu, Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditemui media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) turut memuji jaringan Syahmi dan menyatakan FAM bersedia mencalonkannya bagi Anugerah Puskas FIFA.

Jaringan penyamaan hasil rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-28 itu mendapat pujian ramai dan dianggap tercantik dalam kempen Piala AFF 2018, yang menyaksikan penjaga gol Thailand, Chatchai Budprom sekadar mampu melihat bola menerjah jaring.

Untuk rekod, Malaysia negara pertama dari Asia berjaya memenangi Anugerah Puskas menerusi sepakan percuma ajaib Faiz pada 2016 yang meletakkan namanya kini sebaris dengan pemenang sebelum ini seperti Cristiano Ronaldo (2009), Neymar (2011), Zlatan Ibrahimovic (2013) dan James Rodriguez (2014).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: hmetro

Monday, March 04, 2019

Fakta Kaitan Kanser Dan Obesiti

Fakta Kaitan Kanser Dan Obesiti

Kanser yang berhubung kait dengan obesiti kini muncul sebagai satu masalah baru bagi Malaysia memandangkan negara ini adalah negara paling “obes” di rantau Asia Tenggara.

Kanser Obesiti

Risiko seumur hidup seorang lelaki dan wanita di Malaysia mendapat kanser masing-masing dalam nisbah satu dalam sepuluh dan satu dalam sembilan orang.

Obesiti menduduki tempat kedua selepas merokok dalam hubungannya dengan kanser dan Malaysia adalah sebuah negara paling ‘obes’ dengan kelaziman obesiti mencatatkan 17.7 peratus manakala berlebihan berat badan mencatat 30 peratus.

Dengan obesiti dianggap sebagai penyebab utama kanser, ia akan mengurangkan tanggapan terhadap penyakit lain seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit kardiovaskular.

Obesiti dikaitkan sehingga kepada 13 jenis kanser - seperti kanser payu dara, kolorektal, rahim, buah pinggang, kepala dan leher, kerongkong, pankreas, peranakan, prostat, pundi kencing dan tiroid.

Mengikut data oleh Institut Kanser Negara, seseorang yang obes berhadapan risiko dua atau empat kali ganda untuk mendapat kanser peranakan dan kerongkong.

Seseorang dengan indeks mass badan lebih 30 juga berisiko dua kali ganda untuk mendapat kanser gastrik kardia, hati dan buah pinggang berbanding dengan orang biasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

SBDJ Siri 24: Puaka Tiang Seri

SBDJ Siri 24: Puaka Tiang Seri

Lebih kurang pukul dua belas malam, Tok Kaya Sendi Diraja datang menemui datuk. Dia pun menceritakan apa yang berlaku sebentar tadi memang tidak di duganya. Kalaulah dia tahu kejadian itu akan membuka rahsia dirinya, memang dia tidak akan mengundang datuk kerumahnya.

Siri SBDJ 15

Tetapi, datuk terus menasihati Tok Kaya Sendi Diraja supaya menerima kenyataan ini dengan rela hati.

"lnilah kuasa Allah, dia melakukan sesuatu atau menunjukkan sesuatu di dunia untuk kita supaya kita sedar.

"Allah boleh melakukan pembalasan terhadap kerja yang tidak direlakanNya di muka dunia tanpa menunggu kita menemui ajal.”

Apa yang di perkatakan oleh datuk itu di akui oleh Tok Kaya Sendi Diraja dan malam itu juga, Tok Kaya Sendi Diraja menyatakan hasratnya untuk pergi menunaikan fardhu haji ke Tanah Suci Mekah.

Bila melihat keadaan sudah tenang, datuk pun memberitahu Tok Kaya Sendi Diraja tentang hasratnya untuk pulang ke kampung.

Mendengar kata-kata itu, Tok Kaya Sendi Diraja nampak resah.

"Kenapa cepat sangat nak balik? Tunggulah sehari dua lagi," tahan Tok Kaya Sendi Diraja.

Datuk tersenyum sambil melihat langit petang yang berwarna kemerah-merahan dari anjung rumah.

”Kita ada anak isteri, ada binatang yang perlu di tengok Tok Kaya.”

”Apa yang dirisaukan, ada yang menjaganya.”

"Betul. Tapi isteri kita pun dah uzur jadi tak boleh tunggu sehari dua.”

Tok Kaya Sendi Diraja bangun dari kerusi. Berjalan ke depan, dekat tingkap. Kedua belah tapak tangannya menekan jenang tingkap.

"Saya masih mengharap pertolongan awak. Barangkali inilah pertolongan akhir saya minta," kata Tok Kaya Sendi Diraja sambil memusingkan badannya memandang wajah datuk.

Tok Kaya Sendi Diraja datang dekat datuk lalu duduk atas kerusi.

"Apa lagi yang mahu saya tolong?”

”Masalah itu dah selesai, tetapi ada masalah lain."

"Maksud Tok Kaya?”

"Orang berbadan besar yang selalu ganggu saya."

Datuk terdiam. Matanya tajam merenung keluar pada pokok-pokok pisang di dada jalanraya Ipoh-Kuala Lumpur yang tidak putus dengan kenderaan.

Ada sesuatu yang datuk fikir. Saya memang mengharapkan supaya datuk menolak permintaan Tok Kaya Sendi Diraja itu. Sudah bosan saya tinggal dirumah itu. Jiwa dan fikiran saya tidak pernah tenang dan aman.

"Baiklah, apa yang Tok Kaya mahu dari saya?"

"Menghalau penunggu rumah ini."

"Satu kerja yang sulit. Kalau dia datang kemudian senanglah kita. Tetapi, kalau sudah jadi penunggu turun temurun memang payah.”

"Sebabnya?"

"Ini merupakan satu dari warisan keturunan Tok Kaya."

Jawapan dari datuk itu mendatangkan rasa yang amat kecewa pada diri Tok Kaya Sendi Diraja.

Renungan matanya begitu redup tertumpu ke arah muka datuk. Datuk bagaikan tahu apa yang bergolak dalam dada Tok Kaya Sendi Diraja.

Dalam sejarah saya mengikuti kegiatan datuk, belum pernah dia menolak setiap pertolongan yang di minta darinya.

Permintaan Tok Kaya Sendi Diraja tidak dapat ditunaikannya, tanya saya dalam hati.

"Kalau Tok Kaya berhajat juga, boleh saya cuba," datuk memberi harapan.

Segaris senyum senang berlari di bibir Tok Kaya Sendi Diraja. Datuk meminta Tok Kaya Sendi Diraja mencari tempat bara.

Datuk juga mahu bara yang diisikan ke tempat itu mestilah bara dari kayu keruing yang melintang uratnya.

Dengan susah payah Tok Kaya Sendi Diraja mencari kayu keruing melintang urat. Nasibnya cukup baik, dengan pertolongan Pak Ayub Naim kayu itu diperolehinya.

Kayu itu dibakar dan diambil baranya. Semua diserahkan pada datuk. Datuk pun melihat ke langit lagi sekali.

Dia melihat awan putih yang bergerak lembut ke arah matahari. Bila sebahagian daripada awan itu menutup bahagian pinggir matahari, datuk pun melompat dan bersuara:

"Bawa perasap itu ke tengah ruang.”

Saya sambar tempat bara api dan berlari membawanya ke tengah ruang rumah, dan meletakkannya di situ. Saya berpatah balik ke tempat datuk. Saya lihat datuk sedang bercakap dengan Tok Kaya Sendi Diraja.

"Di mana kau letakkan benda tu?" tanya datuk.

"Di tengah rumah."

Datuk lagakan gigi atas dengan gigi bawah. Tangan kanannya menyentuh dinding rumah. Mata datuk kelihatan rapat dan tangan kirinya diletakkan atas bahu Tok Kaya Sendi Diraja.

Secara mendadak saya lihat Tok Kaya Sendi Diraja jatuh, macam ditendang sesuatu.

Datuk buka mata dan memandang tepat ke arah saya. Dia pun membangunkan Tok Kaya Sendi Diraja sambil berkata:

"Salah satu tiang di dalam rumah ini ada penunggunya."

Muka Tok Kaya Sendi Diraja kelihatan pucat. Badannya mengeletar. Bibirnya kelihatan kebiru-biruan.

"Datuk nenek Tok Kaya dulu memeliharanya dengan tujuan penjaga rumah”, jelas datuk.

"Saya tak tahu."

"Sekarang Tok Kaya dah tahu”, ujar datuk dengan ketawa memanjang.

Tok Kaya Sendi Diraja pun tersengih. Datuk pun menyuruh saya meletakkan tempat perasap dekat tiang seri. Perintah itu saya patuhi.

Bila saya mahu melangkah merapati Tok Kaya Sendi Diraja dan datuk, saya dapati mereka sudah pun berada dekat saya.

"Duduk”, kata datuk.

Saya pun duduk, begitu juga Tok Kaya Sendi Diraja. Saya duduk sebelah kanan dan Tok Kaya Sendi Diraja duduk sebelah kiri datuk. Semua menghadap ke arah tempat perasap.

Datuk menaburkan kemenyan dalam bara api. Asap kemenyan menguasai ruang rumah. Datuk bertafakur sejenak.

Matanya rapat dan kedua lengan terletak di atas kepala lutut. Suasana dalam rumah itu terasa aneh sekali. Terlalu sepi, saya rasa seolah-olah berada di satu tempat yang cukup tenang dan terdengar bunyi air sungai mengalir.

Dari tiang seri rumah terhidu bau yang cukup harum. Saya mengerling dengan ekor mata ke arah tiang seri itu. Saya lihat tiang seri itu mengeluarkan asap nipis, kemudian terus hilang.

Datuk pun menoleh ke arah Tok Kaya Sendi Diraja dan terus berkata:

"Ada tanda kejayaannya.”

Tok Kaya Sendi Diraja terus tersenyum.

Datuk pun menyatakan padanya bahawa dia telah dapat berbicara dengan penunggu itu dengan tenang sekali.

Penunggu rumah itu akan keluar menemui datuk pada tengah malam nanti.

Sebelum bertemu, penunggu yang berwajah garang dan berbadan besar itu minta diadakan satu upacara kecil dengan menepung tawar tiang seri. Satu permintaan yang cukup mudah dilaksanakan.

Menjelang waktu Maghrib, tiang seri itu pun ditepung tawar datuk. Tok Kaya Sendi Diraja dan anak isteri turut menyaksikan upacara kecil itu.

"Begitu saja, biar saya uruskan. Tok Kaya jangan campur tangan dalam soal ini”, ujar datuk dengan tenang.

"Maksud awak?"

"Begini. Saya akan berjumpa dengannya secara terbuka. Biar saya tanya asal-usulnya dan petua bagai mana mahu menghalaunya.”

"Saya mahu tengok."

"Percayalah pada saya. Kalau baik berita yang saya dapat, berita baiklah yang akan saya beritahu, dan begitulah sebaiknya."

Tok Kaya Sendi Diraja setuju. Dia yakin datuk mahu menolongnya dalam masalah ini. Tok Kaya Sendi Diraja yakin datuk tidak memiliki hati yang bercabang.

"Kalau dah begitu kata awak, saya menurut saja”, jawapan itu amat menyenangkan hati datuk.

Tepat jam dua belas malam, datuk pun meletakkan bantal dua bertindih dibucu katil.

Cadar katil yang berwarna kuning di bentangkan atas lantai. Cukup teliti datuk menyusun kedudukan barang-barang di atas katil.

Sekali pandang bagaikan singgahsana raja-raja zaman silam, seperti yang selalu kita tonton dalam filem purbawara keluaran tempatan dalam tahun enam puluhan.

Datuk mengenakan baju dan seluar hitam, berkain samping merah, memakai tanjak dan sebilah keris tersisip di pinggang.

Datuk juga menyuruh saya berpakaian kemas. Saya di suruh oleh datuk duduk di kaki katil. Saya diberi perintah supaya jangan panggungkan kepala walau apa pun yang berlaku dalam bilik.

Suasana bertambah sepi. Bulu roma saya secara mendadak meremang. Saya terasa cukup seram. Bunyi kaki orang melangkah jelas kedengaran dan dituruti dengan bunyi tapak kaki kuda di luar bilik.

Datuk pun memadamkan lampu dan menyalakan sebatang Iilin. Saya cukup resah.

Suasana yang sepi bertukar menjadi agak bising dengan bunyi angin dan daun tingkap terbuka sendiri.

Suara burung jampuk kedengaran sayup-sayup bersama lolongan anjing yang memanjang. Ada kalanya lolongan anjing itu berbunyi macam orang menangis dan ketawa.

Tetapi, bunyi lolongan memanjang dan sayu lebih kerap didengar. Datuk berdiri dekat pintu.

Daun pintu terbuka dengan sendiri dan serentak dengan itu api Iilin pun padam. Saya resah di dalam kegelapan.

Kali ini saya dapat mendengar dengan pasti bunyi orang duduk atas katil. Kerana gelap saya tidak dapat melihat bentuk manusia itu.

Saya terdengar bunyi suara orang batuk dari atas katil, serentak dengan itu suasana gelap bertukar menjadi samar-samar atau dalam istilah daerah tempat saya keadaan begitu di panggil celah-celah tanah.

Kerana ingin tahu, larangan datuk saya langgar. Saya panggungkan kepala sedikit dan ekor mata kanan menjeling ke arah katil.

Saya lihat seorang lelaki berbadan besar, siap dengan tanjak dan bintang kebesaran duduk atas bantal. Misainya cukup lebat. Sinar matanya tajam dan di sebelah lutut kanan tersimpuh seorang puteri.

"Apa hajat?", terdengar suara parau.

"Minta tuan hamba keluar dari sini”, balas datuk.

"Minta maaf. Janji kita, selagi tiang seri ini berada di rumah ini, kita tidak keluar. Itu janji kita dengan tuan punya rumah asal."

"Saya minta pada tuan hamba. Saya minta maaf kami sekadar meminta.”

”Kau dan aku adalah makhluk Allah. Kenapa harus menghalau makhluk lain yang punya niat baik."

"Maksud tuan hamba?"

"Aku dari jin yang percaya pada hukum Allah dan memang taat pada perintahnya. Biarlah kami hidup di sini, sama-sama menjalankan hukum Allah dan melawan perkara yang buruk."

ltulah percakapan datuk dengan makhluk ganjil itu. Datuk terdiam. Makhluk ganjil itu turun dari katil dan duduk berhadapan dengan datuk. Saya lihat mereka bagaikan memperkatakan sesuatu.

Perkara itu berlangsung agak lama dan saya bagaikan di pukau kerana secara mendadak saya terasa mengantuk dan terus tidur. Apa yang berlaku sesudah itu tidak saya tahu.

Setelah menyelesaikan sembahyang subuh, datuk terus membaca surah Yassin hingga tamat.

Saya membaca beberapa buah kitab yang memang dibawa khas oleh datuk untuk saya baca bagi mengisi masa lapang. Subuh itu, saya membaca kitab Tajul Muluk. Seronok juga membacanya.

Tetapi datuk tidak berapa menggalakkan saya membaca kitab tersebut. Dia lebih suka kalau saya membaca kitab-kitab fekah yang ada hubungannya dengan hukum-hukum agama Islam.

Lebih kurang pukul tujuh pagi, datuk pun menemui Tok Kaya Sendi Diraja di ruang bawah.

Apa yang berlaku malam tadi datuk ceritakan secara terperinci pada Tok Kaya Sendi Diraja.

Tok Kaya Sendi Diraja mengeluh panjang kerana datuk tidak berjaya mengusir penunggu rumah tersebut.

Menurut datuk, berdasarkan cerita dari makhluk ganjil itu, penunggu itu akan berada di situ sampai satu masa yang tidak dapat ditentukan, kecuali kalau rumah tersebut dirobohkan dan tiang seri yang berwarna kekuningan itu dihanyutkan ke laut.

Datuk juga memberitahu Tok Kaya Sendi Diraja, moyangnya dulu membeli kayu-kayu itu dari sebuah istana lama di Acheh, Indonesia.

Kayu-kayu itu di bawa dengan sebuah tongkang dan mendarat di pelabuhan Bagan Datuk.

Moyang Tok Kaya Sendi Diraja menyewa tongkang tersebut dengan seorang kawan yang berasal dari Sumatera.

Kawannya itu pula menggunakan kayu-kayu itu untuk membuat rumah di Papan dekat Pusing, Batu Gajah. Rumah binaan kawannya itu terkenal sebagai Istana Papan.

Sekitar tahun tujuh puluhan, istana papan itu masih wujud lagi dan di jaga oleh anak buah kawan moyang Tok Kaya Sendi Diraja.

Apakah istana itu masih wujud sekarang, saya tidak pasti kerana kawasan itu telah di tinggalkan untuk kerja-kerja melombong bijih timah.

"Bagaimana kalau bangunan rumah itu diruntuhkan dan tiang serinya kita hanyutkan kelaut?” tanya datuk pada Tok Kaya Sendi Diraja.

"Sayang, itu rumah pusaka."

"Kalau begitu biarkan ia tegak di situ. Kita cuma harus hati-hati jangan membuat kerja yang tak baik.

"Tiap-tiap malam Jumaat panggil orang-orang berdekatan membaca surah Yassin. Usah bimbang dia sekadar menumpang dan menjaga anak buah Tok Kaya."

"Apa boleh buat saya terpaksa berhadapan dengan semuanya ini”, keluh Tok Kaya Sendi Diraja sambil tersenyum.

Inilah kali pertama datuk gagal dalam usahanya. Anehnya, datuk tidak pemah merasa kesal dengan peristiwa yang terjadi.

Ini merupakan satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan oleh datuk. Waktu datuk dan saya mahu meninggalkan rumah Tok Kaya Sendi Diraja pada pagi selasa, Tok Kaya menghulurkan sebanyak lima ratus ringgit pada datuk.

Sayangnya pemberian itu di tolak oleh datuk, dia sekadar mengambil wang tambang untuk pulang yang berjumlah tidak sampai sepuluh ringgit.

Enam bulan kemudian, Tok Kaya Sendi Diraja dan keluarganya berpindah ke rumah baru, di Jalan Lapangan Terbang, Ipoh.

Rumah besar yang di tinggalkan itu telah di sewa oleh Jabatan Pelajaran Negeri Perak.

Jabatan Pelajaran telah menempatkan guru-guru pelatih perempuan yang gagaI ke Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka.

Dan bangunan itu di kenali oleh masyarakat setempat sebagai pusat latihan guru-guru normal.

Beberapa orang guru pelatih perempuan telah dicampakkan menerusi tingkap oleh penunggu rumah besar itu, kerana bercakap tidak senonoh dan mandi telanjang.

Salah seorang daripada mangsanya, berasal dari Tanjung Belanja dekat Parit yang sekarang masih mengajar di daerah Krian. Sudah mempunyai dua orang cucu.

Tempat yang paling keras ialah tingkat atas. Lagi sekali datuk diundang ke rumah batu tersebut.

Datuk pun memberi beberapa petunjuk untuk dipatuhi oleh guru-guru pelatih perempuan yang tinggal di situ. Bila arahan itu di patuhi kejadian yang ganjil itu tidak berlaku lagi.

Sejak Tok Kaya Sendi Raya berpindah ke rumah baru, hubungannya dengan datuk tidak putus.

Ketika anaknya Norbaya menikah dengan orang Balik Pulau, Pulau Pinang, Tok Kaya sendiri menjemput datuk datang ke rumahnya dengan kereta.

Begitu juga, ketika menghantar Norlin ke London untuk menyambung pelajarannya, datuk dijemput dan dibawa ke lapangan terbang Kuala Lumpur.

Tetapi nasib Tok Kaya Sendi Diraja kurang baik. Sebaik sahaja anaknya Norlin menamatkan pengajian di England, anaknya terus menikah dengan orang putih dan menetap di Essex, kira-kira 60 km dari London.

Perbuatan anaknya itu amat mendukacitakan hati Tok Kaya Sendi Diraja.

Tok Kaya Sendi Diraja meninggal dunia dalam tahun 1971. Norlin dan suami serta dua orang anaknya tiba sesudah jenazah Tok Kaya Sendi Diraja dimasukkan ke dalam lubang kubur di tanah perkuburan orang Islam Garap berhampiran jalan besar Ipoh-Kuala Kangsar.

Kepulangan datuk ke kampung kali ini amat berbeza sekali. Dia selalu sahaja mengadu kepada nenek yang dirinya kerap diserang sakit tulang.

Bila sakit itu datang, datuk terpaksa duduk berhari-hari di atas katil. Berbagai ubat cara kampung dilakukan, sakitnya itu cukup susah mahu sembuh.

Dan datuk lebih banyak menghabiskan masanya dengan membuat amal ibadat. Kegemarannya menembak ayam hutan dilupakannya sama sekali.

Tetapi, isteri mudanya orang bunian selalu mengunjunginya terutama di malam Jumaat dengan membawa ubat-ubat dari akar kayu, ternyata ubat-ubat itu tidak memberikan sebarang kesan pada datuk.

Saya dan cucu-cucu yang lain telah membawa datuk menemui doktor swasta di Taiping, Setiawan dan Ipoh, namun usaha itu juga tidak berjaya.

Menurut doktor yang di temui, sakit datuk itu adalah sakit biasa yang akan di alami oleh kebanyakan orang lelaki bila berusia hampir empat puluh tahun.

"Inilah akibatnya bila waktu muda kerja terus merantau ke sana kemari, dah tua penyakit pula hinggap”, keluh datuk pada suatu petang.

"Itu dah adat dunia, apa datuk takut pada mati?" tanya saya.

Datuk ketawa terkekeh. Secara terang-terangan dia mengatakan pertanyaan dari saya itu satu pertanyaan yang bodoh.

"Mati apa yang ditakutkan, cuma kita bimbang kalau amalan kita semasa masih hidup tidak sempurna sebagai seorang Islam. Mati memang menanti kita”, jawab datuk.

Saya terdiam. Cakapnya itu memang benar dan tepat sekali.

Saya menghabiskan masa petang itu dengan mendengar cerita dari datuk tentang pengalaman masa mudanya.

Adakalanya saya ketawa berdekah-dekah, bila datuk membuka kisah lucu yang pernah dialaminya. Bila duduk berduaan begitu terasa betapa mesranya datuk melayani saya.

Bila sampai waktu Maghrib, datuk terus memerintah saya untuk menunaikan sembahyang Maghrib.

Lepas Maghrib, datuk mengajar saya untuk mengenali Allah dengan lebih dekat lagi. Dia mengajar saya tentang sifat dua puluh.

Dia juga mengajar saya cara-cara sembahyang tahajjud dan sembahyang hajat, di samping beberapa doa yang harus dibaca selepas menunaikan sembahyang fardhu.

"Kau harus mengamalkan dalam hidupmu, selepas sembahyang Maghrib pada tiap-tiap malam Jumaat, eloklah kau membaca surah Yassin”, datuk mengingatkan saya dan pesannya itu hingga kini masih terpahat dalam hati kecil saya.

Entah apa mimpi datuk, secara mendadak sahaja pagi itu kira-kira pukul sembilan dia mengajak saya pergi ke Pekan Air Tawar.

Pada mulanya, saya amat keberatan untuk pergi. Ada dua sebab kenapa saya tidak mahu pergi ke sana. Pertama, Air Tawar bukanlah satu pekan yang besar. Kedua susana di pekan itu memang tidak menarik minat saya.

"Aku nak jumpa kawan dari Changkat Keruing, selalunya setiap hari Selasa dia turun ke Air Tawar”, begitu datuk menyatakan setuju utamanya dia mahu pergi ke situ.

"Sekarang kita pergi Tok?"

"Tentulah, pergi bersiap”, ujarnya.

Saya pun tukar pakaian. Tidak sampai sepuluh minit saya pun sudah berada di kaki tangga. Kemudian saya dan datuk jalan beriringan menuju ke gigi jalan raya.

Datuk menahan bas. Kira-kira empat puluh minit berada dalam perut bas, kami pun sampai ke tempat yang dituju.

Setelah mundar-mandir dalam pekan kecil itu, datuk pun menemui kawan lamanya.

Usianya tidak banyak beza dengan usia datuk. Mereka bercakap panjang. Saya hanya tumpang dengar saja.

Saya terkejut bila kawan datuk itu mengajak datuk untuk pergi ke Kuala Terung dengan tujuan tertentu.

Datuk menolak dengan alasan kalau sekadar pergi ke Kuala Terung untuk mencari kayu bakau bagi kegunaan menahan tebing sungai dari arus deras, datuk tidak mahu.

Berceritalah kawan datuk itu tentang rumahnya yang dibina tepi tebing Sungai Keruing. Tebing itu setiap hari runtuh kerana dilanda arus sungai yang deras.

"Kau bina rumah di tempat lain, habis cerita”, kata datuk.

"Malas nak pindah."

"Kalau begitu, kau pacak tebing tu dengan batang buluh”, datuk memberi nasihat.

Kawannya terdiam. Mereka berpandangan dan senyum pun terukir di bibir mereka kedua.

Datuk merenung saya. Bahu kanannya dipegangnya serta ditekan. Kemudian datuk merenung kedua-dua biji mata kawannya lama-lama. Keresahan terbayang di wajah kawan datuk itu.

"Aku tahu tujuan kau yang sebenar mengajak aku ke Kuala Terung”, cukup bersengaja tekankan nada suara datuk.

Kawannya tersengih dan wajahnya bertukar kemerah-merahan menahan rasa malu. Kawan datuk memalingkan wajahnya ke arah lain.

"Kau berterus terang saja kau mahu meminta pertolongan dari aku”, sambung datuk lagi.

Dan kawannya anggukkan kepala. Saya terus menggigit bibir, mata saya masih tertumpu kewajah kawan datuk.

"Aku tahu, kalau berterus terang, kau tidak akan menolongnya, kau dah benci dengan kerja-kerja menolong orang bukan?"

"Aku tidak pernah memikirkan hal itu. Kalau untuk kebaikan, aku tidak pernah menolak."

"Salah dugaan aku”, keluh kawan datuk dengan nada suara yang mengandungi kekesalan.

Kerana mahu bercerita agak panjang, kawan datuk itu mengajak saya dan datuk masuk ke sebuah warung kepunyaan orang Melayu keturunan Mendailing yang terletak di sudut kanan jalanraya menuju ke Lumut.

Dengan rasa agak kesal kawan datuk itu memberitahu kegagalannya menghalau syaitan yang bermaharajala di sebuah kampung dekat Kuala Terung.

Akibat kegagalan itu tangan kanannya terasa lumpuh dan kebas sepanjang malam.

Tidurnya selalu di ganggu oleh mimpi-mimpi yang buruk dan menakutkan. Ada kalanya dia tidak sedarkan diri sampai beberapa jam.

"Jadi apa yang harus aku buat dalam hal ini?" tanya datuk dengan nada suara menurun.

Wajah kawannya itu direnungnya tepat-tepat. Dengan tenang datuk menghirup kopi dihadapannya.

"Kau aku harapkan menolong dalam hal ini."

"Susah menyambung kerja yang terbengkalai”, keluh datuk sambil merenung kosong ke depan pada kenderaan yang bersimpang siur di dada jalan.

Beberapa detik masa berlalu tanpa diiringi dengan sepatah perkataan dari datuk dan kawannya. Saya terus menghirup kopi panas.

"Biar aku fikirkan dulu, hari Selasa depan kau datang ke rumah aku”, beritahu datuk pada kawannya.

Saya lihat kawan datuk itu tersenyum senang. Datuk dan kawannya berjabat tangan sebagai tanda perpisahan.

Waktu berada dalam bas untuk pulang, datuk memberitahu saya bahawa kejadian aneh yang mengganggu penduduk dekat Kuala Terung itu harus diatasi.

Kalau dibiarkan nanti penduduk di situ salah anggap dan melupakan kekuasaan Tuhan serta membuat kerja-kerja yang bertentangan hukum agama.

"Aku bimbang mereka akan menjadikan kubur itu sebagai tempat keramat”, pendek saja datuk memberi tahu saya.

Dari apa yang datuk dengar melalui kawannya itu, jelaslah orang yang mereka kuburkan di tanah perkuburan itu ketika hidupnya telah melakukan kerja-kerja yang ditunjukkan oleh syaitan.

"Orang perempuan atau lelaki tok?"

"Perempuan. Masa hidupnya aku ingat telah menduakan suami dan durhaka pada suaminya sendiri”, beritahu datuk lagi pada saya.

Satu keinginan timbul dalam hati untuk mendengar cerita selanjutnya. Tetapi hasrat itu tidak terlaksana. Bagi datuk mengajak saya berhadapan dengan kejadian itu lebih baik dari bercerita.

"Kau ikut aku ke sana."

Ungkapan dari datuk itu amat menggembirakan hati saya.

Tamat siri 24/284

BACA: SBDJ Siri 23: Roh Bayi Cari Ibu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Bahasa Isyarat Jadikan Wanita Pekak Seorang Jutawan

Bahasa Isyarat Jadikan Wanita Pekak Seorang Jutawan

Seorang wanita di Leeds, Britain, yang mengalami masalah pendengaran bakal bergelar jutawan pada bulan April 2019 ini selepas menandatangani perjanjian bernilai lebih 1 juta pound (RM5.3 juta) bersama syarikat besar untuk kelas pengajaran bahasa isyarat.

Katie Redstar

Katie Redstar, 34, yang mengusahakan syarikat Ignite Your Inner Light dari rumahnya di bandar ini menawarkan kelas bahasa isyarat kepada syarikat-syarikat sejak tahun lalu. Dia mahu membantu orang senasib dengannya memperoleh pekerjaan.

“Saya pernah bekerja di sebuah kedai amal tetapi rasa tidak dihargai. Saya memberitahu agensi Pusat Pekerjaan bahawa saya mahu bekerja tetapi mereka mengatakan (saya) tidak boleh bekerja disebabkan kecacatan,” dakwanya.

Redstar menjadi pekak selepas menghidap meningitis ketika berumur tiga tahun. Dia juga mempunyai masalah penglihatan kabur dan akan menjadi buta tidak lama lagi disebabkan jangkitan sama.

Meningitis adalah radang pada membran otak dan tulang belakang. Ia boleh menjejaskan saraf telinga hingga otak.

Kesan meningitis boleh menyebabkan kerosakan otak, peka, kegagalan fungsi ginjal dan masalah pendengaran.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Cantiknya Rumput Karpet Di Kampung Pulau Tembun

Cantiknya Rumput Karpet Di Kampung Pulau Tembun

Seorang pengunjung dari Air Itam, Pulau Pinang teruja melihat keunikan rumput karpet yang tumbuh sejak dua minggu lalu sejauh hampir lima kilometer di Kampung Pulau Tembun.

Rumput Karpet

Rumput karpet di Kampung Pulau Tembun di Sungai Limau Dalam yang tular di laman sosial berjaya menarik kehadiran orang ramai untuk melihat dengan lebih dekat rumput karpet itu.

Rumput tersebut tumbuh selepas tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) ditutup dan fenomena ini berlaku setiap kali selepas tiba musim menuai padi terutama pada musim panas.

Sebelum ini rumput berkenaan hanya tumbuh di tepi tali air sahaja namun kali ini ia hampir memenuhi tali air menyebabkan ada netizen mengambil gambar dan tularkan di media sosial sehingga menarik perhatian ramai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Pengkid Buang Payudara Mengaku Makhluk Asing Tanpa Jantina

Pengkid Buang Payudara Mengaku Makhluk Asing Tanpa Jantina

Seorang wanita di Edmonds, Washington, yang melakukan perubahan untuk menjadi pengkid kini menganggap dirinya ialah makhluk asing dan tanpa jantina, Jareth Nebula, sanggup menjalani pembedahan bagi membuang kedua-dua payudaranya supaya dia lebih menyerupai makhluk asing dan bukan lagi seorang wanita mahupun lelaki.

Jareth Nebula Penkid

Dia menukar jantina untuk menjadi seorang lelaki ketika berumur 29 tahun tetapi kemudian menyedari bahawa gender itu tidak lagi sesuai dengan jiwanya.

Jareth yang bekerja sebagai seorang model sambilan dan penyambut tetamu di sebuah salun gunting rambut kemudian memilih untuk tidak dikaitkan dengan mana-mana jantina.

“Saya tidak berasa diri ini manusia lagi. Saya tidak dapat menjelaskannya kepada orang lain, secara ringkasnya saya bukannya dari dunia ini,” kata Nebula.

“Saya tidak berasa selesa menjadi wanita mahupun lelaki. Saya tahu saya tidak boleh tinggalkan badan manusia ini atau lari daripada persepsi orang ramai.

"Namun, secara peribadi saya ialah makhluk asing tanpa jantina,” tambahnya.

Nebula mendakwa dia mula berasa tidak dapat bercampur dengan rakan-rakan selepas disahkan menghidap Sindrom Ehlers-Danlos (EDS) ketika berusia 26 tahun.

EDS adalah sejenis penyakit yang menjejaskan tisu pada organ dalaman dan tisu badan seperti kulit, tulang dan salur darah.

“Penyakit ini membolehkan saya melentur sendi-sendi badan sesuka hati, suatu aksi yang menarik ketika saya masih kecil,” jelasnya.

Penghidap EDS mempunyai sendi mudah lentur dan kulit yang mudah meregang serta rapuh.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Cabaran Terbaharu Baling Keju Ke Muka Bayi

Cabaran Terbaharu Baling Keju Ke Muka Bayi

Satu cabaran baharu membaling kepingan keju ke muka bayi atau anak kecil, #justcheesed, kini menjadi kegilaan baharu dalam kalangan pengguna media sosial selepas satu video mula tular.

Just Cheesed

Akhbar Daily Mail melaporkan, cabaran tersebut bukan sahaja dilakukan golongan dewasa terhadap bayi tetapi turut disertai adik-beradik lebih tua yang merakam gambar mereka melempar keju ke muka adik masing-masing.

Gurauan aneh berkenaan mula mendapat perhatian selepas seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @unclehxlmes berkongsi satu klip video dengan menulis catatan ‘baru membaling keju ke muka adik saya’.

Video itu menjadi tular dan telah ditonton lebih 8 juta kali sehingga mendorong pengguna media sosial lain menghasilkan versi mereka tersendiri.

Bagaimanapun, pengguna Twitter itu kemudian memadam video berkenaan kerana tidak menyangka ia menjadi tular begitu pantas.

Dia turut membuat pengakuan bahawa rakaman itu bukan dibuat sendiri dan bayi tersebut bukan adiknya tetapi satu video dikongsi daripada akaun Facebook milik orang lain yang tidak didedahkan identitinya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


sumber: kosmo

Fakta Perjanjian Air 1962 Singapura-Malaysia

Fakta Perjanjian Air 1962 Singapura-Malaysia

Isu air dari Johor ke Singapura telah melalui beberapa siri rundingan sejak tahun 1998 dalam usaha Malaysia mendapatkan harga terbaik jualan air dari sungai-sungai di Johor. Singapura menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu mematuhi sepenuhnya perjanjian air 1962 selepas Malaysia berterusan mengkritik harga air yang dijual ke Singapura adalah ‘tidak masuk akal’ dan merancang untuk merundingkan semula terma perjanjian tersebut.

Perjanjian air 1962

Kementerian Luar Singapura berkata, perjanjian 1962 dijamin oleh kedua-dua negara dalam perjanjian berasingan, yang mana didaftarkan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila Singapura keluar dari Malaysia pada tahun 1965, menjadi sumber ketegangan kedua-dua negara.

Untuk rekod, Singapura hanya perlu membayar 3 sen untuk setiap seribu gelen air dan perjanjian yang akan berakhir pada tahun 2061 itu membenarkan Singapura untuk mengambil 250 juta gelen air mentah sehari dari Sungai Johor.

Sebagai balasan, Johor akan mendapat air terawat sehingga 2 peratus daripada air yang dibekalkan ke Singapura.

Singapura hanya membayar 3 sen untuk setiap seribu gelen air mentah dari Sungai Johor dan menjual air terawat pada harga 50 sen bagi setiap seribu gelen air kepada Johor.

Berikut Adalah Fakta Perjanjian Air Singapura–Malaysia:

1. Perjanjian air pertama ditandatangani oleh Sultan Ibrahim II iaitu Sultan Johor pada masa itu dan Pesuruhjaya Perbandaran Singapura pada 5 Disember 1927, di mana perjanjian ini telah terbatal dan tidak lagi diguna pakai.

2. Kerajaan Persekutuan Malaya menandatangi perjanjian air pada 1 September 1961 yang memberikan Singapura hak mendapatkan 86 juta gelen air sehari dari Sungai Tebrau, Sungai Skudai, takungan air Pontian, dan takungan air Gunung Pulai berkuat kuasa sehingga tahun 2011.

3. Perjanjian dibuat sekali lagi pada 29 September 1962 yang membenarkan Singapura mendapatkan 250 juta gelen air dari Sungai Johor yang berkuat kuasa sehingga tahun 2061.

4. Perjanjian air 1961 dan 1962 membenarkan kajian semula harga selepas 25 tahun iaitu pada 1986 dan 1987, tetapi Malaysia memilih untuk tidak mengkaji harga tersebut pada masa itu.

5. Rundingan semula telah dibuat terhadap isu ini semasa Mahathir membangkitkan isu tersebut pada tahun 1998. Sepanjang empat tahun beberapa siri rundingan telah dibuat tetapi gagal mendapat kata putus yang baru seterusnya menyebabkan hubungan kedua-dua negara menjadi tegang.

6. Tun Mahathir mengambil keputusan untuk menamatkan rundingan pada tahun 2002.

ISU PANAS

Bekalan air ke Singapura sentiasa menjadi beban politik kepada Malaysia kerana ia dianggap sebagai menguntungkan Singapura dari banyak segi terutama kos yang melampau-lampau rendah.

Ini terutamanya kerana Singapura hanya membayar 3 sen bagi setiap seribu gelen, sedangkan Melaka membeli air dari Johor pada kadar 30 sen setiap seribu gelen.

Bagaimanapun, pada 2011 perjanjian pertama dengan Singapura akan tamat, dan Singapura tidak berhasrat untuk memperbaharuinya.

Pihak Singapura menolak rundingan semula perjanjian air kerana menganggap ia mencabar kedaulatan Singapura sebagai negara yang bebas.

Kerajaan Malaysia pula menganggap ia tidak mencabar kedaulatan Singapura, kerana ia terkandung dalam syarat perjanjian asal.

Teks bahasa Melayu:-

"Klausa 17 pada Perjanjian 1961 dan Klausa 14 pada Perjanjian 1962 jelas menyatakan: "Provisi pada perenggan (i) dan (ii) pada klausa terdahulu bagi kedua-duanya mestilah bergantung kepada semakan semula selepas tamat tempoh iaitu 25 tahun selepas dari kedua-dua ini dimeterai...." Dua puluh lima tahun selepas 1961 dan 1962 jelasnya bermaksud bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987. Ini tidak bermaksud semakan semula mesti dibuat pada kadar segera diantara dua tahun ini. Bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987, kedua-dua belah pihak dibenarkan mengikut perundangan menyemak semula harga tersebut."

Teks asal dalam bahasa Inggeris:-

"Clause 17 of the 1961 Agreement and Clause 14 of the 1962 Agreement state clearly: "The provisions of paragraphs (i) and (ii) of the foregoing clause of these presents shall be subject to review after the expiry of 25 years from the date of these presents ..." Twenty-five years after 1961 and 1962 respectively means any time after 1986 and 1987. This does not mean the review must take place immediately on these two dates. Any time after 1986 and 1987, both sides are legally permitted to review the price."

NEW WATER

Kerajaan Singapura bertindak balas dengan membina logi air bagi menghasilkan New Water pada kos SG30 sen.

Ini bukan semata-mata bagi memenuhi keperluan air, tetapi juga sebagai memenuhi kepentingan strategik pertahanan negara.

Bekalan air tamat 2011

Pada 27 April 2010, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman mengumumkan syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura akan menyerahkan kembali Loji Air Sungai Skudai, di Johor Bahru kepada pihak kerajaan negeri Johor. Ini kerana perjanjian itu tamat pada tahun 2011.

Sementara, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air Singapura, menyatakan Singapura tidak berhasrat memperbaharui kontrak kerana bekalan air Singapura mencukupi. Satu lagi perjanjian air Malaysia-Singapura akan tamat pada tahun 2061.

Pemulangan loji air dan rumah pam ke Malaysia

Pada 1 September 2011, pihak Singapura menerusi Lembaga Perbekalan Awam Singapura (PUB) telah bertindak memulangkan kembali 4 kemudahan utama perbekalan air iaitu dua buah loji air dan dua buah rumah air kepada kerajaan negeri Johor.

Empat kemudahan itu adalah:
  • Loji Air Gunung Pulai, Johor.
  • Loji Air Sungai Skudai, Johor Bahru, Johor.
  • Rumah Pam Pontian, Pontian, Johor.
  • Rumah Pam Tebrau, Johor.

Antara sebab pemulangan kemudahan perbekalan air ini adalah akibat tamat kontrak 50 tahun bekalan air menurut Perjanjian Air 1961 yang telah berakhir pada tahun 2011.

Selain itu, ia juga disebabkan Singapura sudah mempunyai bekalan air yang mencukupi kerana air mentah yang disalurkan/dijual dari Malaysia kepada Singapura, adalah pada kadar yang begitu murah iaitu sekitar 3 sen setiap 1000 gelen.

Malaysia pula menurut perjanjian baru air tahun 1962 perlu membeli air terawat dari Singapura pada harga 50 sen setiap 1000 gelen. Ini dilihat telah dapat menguntungkan pihak Singapura bagi merancakkan teknologi rawatan air dan keselamatan negaranya.

Selain itu, perjanjian pemulangan kemudahan air kepada Malaysia ini telah dipersetujui antara Perdana Menteri Malaysia iaitu Dato Seri Najib Razak bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 24 Mei 2010.

Walau bagaimanapun, Singapura menerusi (PUB) masih terus menguruskan operasi Loji Rawatan Air Sungai Johor dan Empangan Linggiu sehingga tahun 2061 kerana Perjanjian Air 1962 sah untuk tempoh 100 tahun.

Majlis menandatangani penyerahan 4 buah kemudahan utiliti air tersebut telah disaksikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, March 01, 2019

Rahsia Sifir 7 Dan Umur Manusia

Rahsia Sifir 7 Dan Umur Manusia

Kehidupan manusia tidak ubah seperti sifir 7 yang akan berhenti ditangga ke sembilan. Kenapa? Apakah rahsia disebaliknya? Mari renungkan bersama dan bermuhasabah diri agar selamat dunia dan akhirat.

Rahsia umur

Semoga mampu menjadi panduan kepada kita dalam mengharungi ujian dan kepayahan hidup.

7x1=7

Ketika umur di sifir 7x1, kita percaya bahawa bermain merupakan perkara yang sangat penting. Sebab itu kita suka bermain.

Pagi petang siang malam mahu bermain. Kita belum kenal dosa pahala. Kita belum fikir tentang masa depan.

7x2=14

Ketika umur belasan tahun pula, kita merasakan kebebasan itu lebih penting. Sebab itu kita ingin menyuarakan pendapat sendiri. Ingin suara didengari.

Kita banyak memberontak dan sedikit keras kepala. Kita menjadi degil dan tidak mahu mendengar kata.

7x3=21

Beranjak kepada umur 20-an, kita merasakan pendidikan dan kerjaya pula penting. Sebab itu kita belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh kerjaya yang setimpal.

Kadang-kadang kita menyesal tidak belajar bersungguh-sungguh dahulu. Melihat kawan-kawan mendapat pekerjaan yang baik kita berasa cemburu. Alangkah ruginya kita mempersiakan hidup sebelum ini.

7x4=28

Meningkat kepada umur ini, kita semakin sedar bahawa kewangan itu pula penting. Masa inilah kita sedang membina hidup.

7x5=35

Tahap penting untuk membina keluarga. Ingin membeli kereta, rumah, tanah, aset, melancong dan sebagainya.

7x6=42

Namun akhirnya, kita akur tatkala memasuki fasa ini, bahawa usia semakin meningkat. Ini bukan lagi masa untuk berehat. Saat ini saat yang genting. Kita berlumba mengumpul harta.

7x7=49

Kita sedar perkara yang paling penting dalam hidup ialah kesihatan. Kekayaaan dan lain-lain tidak bermakna dengan tahap kesihatan yang tidak memuaskan.

Pada masa ini darah tinggi, kencing manis, jantung sakit dan lain-lain sedang cuba melamar.

Masa inilah kita menyesal kerana sibuk dengan kerjaya sehingga lupa untuk bersenam, menjaga kesihatan ketika umur remaja dan meningkat dewasa.

7x8=56

Memasuki era 50-an, tatkala kita sudah memiliki semua impian, akhirnya kita sedar bahawa perkara yang lagi penting dalam hidup ialah kasih sayang.

Kita sedikit kesunyian tatkala anak-anak sudah berkahwin dan tinggal di tempat lain. Anak-anak yang sibuk dengan kerjaya menjadikan kita rindu saat-saat indah bersama mereka di usia kecil.

Rumah banglo besar, kereta besar seakan-akan tidak lagi bermakna. Rumah besar kosong dan sunyi sepi.

7x9=63

Kehidupan mesti diteruskan. Tatkala memasuki usia 60-an, kita semakin sedar bahawa hanya amal ibadat perkara yang cukup bermakna sebagai bekalan menuju ke sana.

Segala kemewahan dan kebendaan tidak lagi bermakna. Kubur bakal menjemput bila-bila masa. Rumah hampir setiap hari menyatakan selamat tinggal. Mujurlah Allah masih membuka pintu dan menerima taubat yang kita pohon.

Kenapa berhenti di sifir 7 x 9? Banyak yang berakhir di usia ini. Jika ada pun yang sampai ke sifir seterusnya, ia adalah bonus.

Demikianlah kitaran hidup. Kanak-kanak akan menjadi remaja. Remaja akan menjadi dewasa. Dan dewasa akan melangkah ke alam usia emas.

Usia hanyalah pinjaman. Dunia hanyalah pinjaman. Amatlah rugi jika kita mempersiakan hidup dengan perkara yang merugikan dan melalaikan.

Terlibat dengan gejala dadah, berkawan dengan rakan yang melalaikan atau terlalu sibuk dengan kebendaan.

Ingat! Berapa ramai pula yang tak lepas sifir 7x9. Ada yg terhenti di tangga 1, banyak juga yang umurnya ditangga ke 3.

Percayalah

Hidup ini hanya sementara sahabat-sahabatku. Kejarlah akhirat sebelum tertiarap. Dunia juga penting. Kerana dengan dunialah kita akan ke akhirat.

Umur yang kita dapat hari ini adalah anugerah dari Allah.

Hargailah dengan banyak mengingati Allah. Kumpulkan bekalan yang akan kita bawa ke akhirat. Kerana kita semua adalah Bakal Jenazah pada bila-bila masa.

Walau ditangga mana pun kita sekarang, jangan tangguh kerana mati itu misteri, tidak akan cepat atau lewat walau sesaat.

Ada yang mengatakan Tuhan itu jauh manakala bila terang bulan ada yang mengatakan bulan itu dekat. Kenyataannya, bulan itu sememangnya jauh.

Sesungguhnya, jangan lupa berdoa selalu kerana Allah itu hanyalah sejauh doa.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM