Friday, February 14, 2020

Maksud 'Undi Percaya' Dan 'Undi Tidak Percaya' Dalam Sistem Demokrasi Berparlimen

Maksud 'Undi Percaya' Dan 'Undi Tidak Percaya' Dalam Sistem Demokrasi Berparlimen

Dalam sistem demokrasi berparlimen, tidak pernah ada parti pembangkang yang membentangkan usul 'undi percaya' kepada kerajaan, kerana yang biasa berlaku ialah, parti pembangkang membentangkan usul 'undi tidak percaya'.

Undi Percaya PM

Undi tidak percaya ini dilakukan khususnya apabila kerajaan gagal melaksanakan kewajibannya atau memerintah dengan cara yang merugikan negara.

Dan jika parti pembangkang boleh membentangkan usul 'undi tidak percaya', bagaimana pula dengan kerajaan? Usul apakah yang boleh mereka lakukan?

Bagi kerajaan, biasanya mereka melakukan 'undi percaya' apabila menghadapi krisis ketidak yakinan rakyat terhadap dasar belanjawan atau lain-lain dasar mereka.

Tujuannya adalah untuk membuktikan dasar pemerintahan mereka mendapat sokongan majoriti ahli parlimen.

Apakah kesannya jika 'undi percaya' ini gagal?

Di UK, jika kerajaan gagal mendapat undi percaya, mereka memiliki empat pilihan.
  1. Pertama, Ratu membubarkan Dewan dan mengadakan pilihan raya umum baharu. Hal ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan.
  2. Kedua, kerajaan atau pembangkang membentangkan 'usul percaya' di bawah The Fixed-Term Parliament Act (FTPA), namun hal ini belum pernah berlaku.
  3. Ketiga, PM meletakkan jawatan.
  4. Keempat, kerajaan terus memerintah, namun ini bergantung kepada sama ada parti pembangkang membentangkan usul tidak percaya sekali lagi yang lebih eksplisit.

Di Malaysia, bolehkah parti pembangkang membentangkan usul 'undi percaya'?

Hal ini janggal kerana tidak pernah terjadi dimana-mana negara, tidak normal dan tidak pernah berlaku dalam sistem Parlimen Westminster.

Yang pernah berlaku hanyalah parti pembangkang membentangkan usul 'undi tidak percaya'.

Undi Percaya PAS

Pertanyaannya, apakah yang akan terjadi jika parti pembangkang membentangkan juga usul 'undi percaya' ini?

Jika ini berlaku, maka Peraturan 62(1) Standing Orders menetapkan Speakerlah yang mempunyai kuasa membenarkan atau menolak usul ini.

Dalam hal ini, sebelum membuat keputusannya, Speaker akan menilai tiga perkara berikut, iaitu usul itu mestilah perkara tertentu, melibatkan kepentingan ramai dan perlu disegerakan.

Bagaimana pula dengan 'undi tidak percaya'?

Usul ini tidak pelik kerana ia pernah dibentangkan sebelum ini, iaitu di DUN Sarawak pada tahun 1966, di Selangor pada tahun 1976, dan di Kelantan pada tahun 1977. Ketiga-tiga undi tidak percaya ini berakhir dengan KM dan MB meletakkan jawatan.

Maksudnya, jika usul 'undi tidak percaya' ini menang, maka kerajaan ada dua pilihan:
  • Pertama, Ketua Kerajaan dan seluruh kabinet meletakkan jawatan, bermaknanya kerajaan jatuh.
  • Kedua, DYMM Yang diPertuan Agong membubarkan Dewan supaya sebuah pilihan raya baharu boleh diadakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sallehsaid

Memakai Celak Mata Sunnah Rasulullah SAW

Memakai Celak Mata Sunnah Rasulullah SAW

Para sahabat dahulu suka bercelak kerana mengikuti amalan Nabi Muhammad SAW kerana mereka memandang perbuatan memakai celak itu sebagai suatu sunnah yang penting dan besar. Riwayat ada mengatakan bahawa Rasulullah memakai celak 3 kali dibahagian mata kanan serta kiri dan mengamalkannya sebelum tidur.

Celak Mata Sunnah Nabi

Maksud di sini, pemakaian celak adalah tiga kali bergilir-gilir, dimulai dengan mata sebelah kanan, kiri dan dilakukan secara berulang kali selama tiga kali.

Setiap orang Islam baik lelaki ataupun wanita disunatkan untuk memakai celak.

Celak yang digunakan adalah jenis Itsmid iaitu sejenis serbuk yang disimpan dalam bahan logam seperti besi, iaitu bekas yang mengandungi serbuk atau minyak celak dan ada batang besi yang digunakan untuk mencelup dan menyapu celak ke mata.

Itsmid ini dapat menguatkan mata, mengencangkan urat saraf, dan menjaga kesihatannya. Ia juga dapat menghilangkan bisuk (ketuat) yang tumbuh di mata, menyembuhkannya, membersihkan kotoran-kotorannya dan mengeluarkan bisa di dalam bisul itu.

Itsmid juga boleh menghilangkan sakit kepala jika dicampur dengan madu cair dan digunakan untuk bercelak.

Itsmid adalah celak mata terbaik, terutama bagi orang-orang tua dan orang-orang yang penglihatannya lemah.

Jika celak yang digunakan bukan dari Itsmid, ia tetap boleh dipakai selagi mana namanya celak untuk kita memperolehi pahala sunnah.

Tetapi, fadilat dan hikmahnya mungkin berbeza kerana seperti yang kita tahu Itsmid telah disebut dalam hadis.

"Bercelaklah kalian dengan itsmid, kerana ia mampu mencerahkan mata dan menumbuhkan rambut." (HR. At Tirmidzi no.1679 dalam Sunan-nya bab Maa jaa-a fil iktihaal, Ahmad no.15341 dalam Musnad-nya)

“Bercelaklah memakai itsmid ketika hendak tidur, kerana ia dapat mencerahkan pandangan dan menumbuhkan rambut.” (HR. Ibnu Majah dalam Sunan-nya no.3846 bab Al Kahlu Bil Itsmid)

Dikeluarkan oleh Ibnu Majah dalam sunan-nya. Daripada Abu Hurairah r.a, katanya: "Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda: "Barangsiapa yang bercelak mata hendaklah ia melakukannya dengan bilangan yang ganjil. Sesiapa yang bercelak dia telah melakukan kebaikan (dapat pahala) dan sesiapa yang tidak bercelak tiada kepayahan (dosa) baginya."

Kelebihan memakai celak mata:
  • Mengelakkan daripada terkena penyakit mata.
  • Menambah seri muka.
  • Boleh melebatkan bulu mata.
  • Dapat membantu mencerahkan pandangan mata.
  • Dapat menyejukkan mata.

Daripada Ibnu Abbas juga katanya:- Sabda Nabi SAW, "Sebaik-baik celak mata bagi kamu ialah yang berwarna hitam, ia mengelokkan pandangan dan menumbuhkan rambut (bulu kening)."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Wednesday, February 12, 2020

Dysorgamia Rasa Sakit Ketika Orgasma Yang Anda Wajib Tahu

Dysorgamia Rasa Sakit Ketika Orgasma Yang Anda Wajib Tahu

Pernahkah anda mengalami rasa kejang selepas berhubungan intim dengan suami? Sebenarnya, rasa kram atau sakit selepas seks ini dikenali sebagai dysorgamia, iaitu rasa sakit yang anda rasa semasa atau selepas orgasma.

Sakit Ketika Orgasma

Dr. Christine Greves, seorang OB-GYN di Hospital Wanita dan Bayi di Winnie Palmer menyatakan,

Rasa kejang yang muncul selepas orgasma ini biasanya sama seperti sakit semasa senggugut. Rasa kejang ini biasanya anda rasa di kawasan vagina, di bawah perut atau punggung. Kram ini terjadi sejurus selepas seks dan berlanjutan sehingga beberapa jam, tambahnya.

Semasa wanita mengalami orgasma, otot pada rahim akan menegang, sama seperti apa yang berlaku pada otot selepas anda bergerak atau bersenam.

Ini kerana biasanya, anda akan merasa otot anda tegang dan tidak selesa selepas bersenam.

Selain itu, perkara ini terjadi disebabkan beberapa sebab.

Masalah kesihatan seperti radang pelvik, endometriosis, kista ovarium dan lain-lain boleh menyebabkan anda rasa sakit selepas seks.

Jika anda mempunyai masalah pada organ reproduksi, rasa sakit akan menjadi lebih parah disebabkan oleh gesekan semasa seks.

Tetapi biasanya, kejang yang dialami selepas seks tak mempunyai kaitan dengan masalah ini.

Sakit TAK BOLEH diabaikan

Seks tidak sepatutnya menyakitkan dan jika perkara ini baru pertama kali terjadi kepada anda, adalah lebih baik jika merujuk doktor secepat mungkin.

Jika anda memang tidak ada masalah kesihatan, tapi masih rasa kejap selepas berhubungan intim, anda boleh meminta ubat tahan sakit daripada doktor atau menekan bahagian pelvik anda dengan benda panas untuk mengurangkan rasa sakit.

Anda juga disarankan agar selalu memeriksa jika anda mengalami masalah pada organ reproduksi.

Biasanya, sakit yang anda rasakan merupakan tanda masalah kesihatan lain yang tersembunyi.

Tanda-tanda Isteri Puas

Banyak faktor yang mendorong ke arah kegagalan nikmat persetubuhan di mana ramai suami masih samar sama ada pasangannya sudah mengalami orgasma atau tidak.

Namun, apabila tanda-tanda berikut berlaku kepada pasangan maka sebenarnya, anda telah berjaya menemui ‘kunci’ rangsangan dalam hubungan asmara.

Antaranya ialah:
  • Keluar suara meneran yang agak kuat dan berlaku secara spontan.
  • Badan menjadi tegang.
  • Tubuh menjadi gementar.
  • Nafas kencang dengan tiba-tiba.
  • Kaki dan tangan merangkul tubuh suami dengan erat.
  • Di peringkat kemuncak, isteri akan berasa seluruh tubuhnya kaku (seolah-olah tidak sedarkan diri) kerana 99 bahagian nafsunya sudah menguasai diri.

Wanita sememangnya lambat terangsang, dan sebab itulah juga mereka memerlukan sedikit masa untuk mengendurkan semula otot-otot yang tegang selepas orgasma.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: theasianparent

Anjing Selamatkan Tuannya Dari Jangkitan Novel Coronavirus!

Anjing Selamatkan Tuannya Dari Jangkitan Novel Coronavirus!

Percaya atau tidak, seekor anjing peliharaan telah menyelamatkan pemiliknya daripada berkunjung ke bandar Wuhan yang merupakan pusat tercetusnya wabak maut, novel koronavirus (2019 n-CoV). Pastinya tertimbul persoalan, bagaimana anjing peliharaan yang diberikan nama Kimi itu berbuat demikian?

Kimi Dog

Kimi dikatakan telah mengoyakkan pasport pemiliknya, seorang wanita yang berasal dari Taiwan.

Pada awalnya, wanita tersebut berasa sungguh marah kerana anjingnya bertindak menggigit dan mengoyakkan pasportnya sehingga menyebabkannya terpaksa membatalkan hasratnya melawat bandar di Hubei itu.

Beliau meluahkan perasannya menerusi satu entri di laman Facebook pada 13 Januari 2020 yang lalu, ia sebelum menularnya berita mengenai wabak koronovirus itu.

Beberapa hari kemudian, wanita tersebut terkejut dengan berita penyebaran wabak koronavirus yang telah meragut ratusan nyawa dan berasa bersyukur dengan perbuatan Kimi.

"Masihkah anda ingat akan pasport saya? Anjing telah melindungi saya.

"Selepas mengoyakkan pasport, virus tersebut telah merebak ke tempat yang saya ingin pergi.

"Apabila difikir kembali, saya berasa sungguh terharu. Nasib baik anjing saya membatalkan kunjungan saya ke situ," katanya menerusi satu muat naik di Facebook.

Pastinya wanita tersebut berasa terhutang nyawa dengan anjing kesayangannya itu.

Ribuan Kucing di Wuhan Diancam Kebuluran

Kimi Dog

Sementara itu, sekatan pergerakan keluar masuk (lockdown) di Wuhan susulan wabak koronavirus menyebabkan ribuan haiwan peliharaan terpisah dengan tuannya.

Keadaan itu menyebabkan haiwan-haiwan berkenaan terabai, kelaparan dan trauma.

Terpanggil dengan situasi yang menyayat hati ini, beberapa kumpulan pencinta haiwan tampil menghulurkan bantuan.

Seorang doktor haiwan yang bekerja di Wuhan memberitahu kumpulannya telah berjaya menyelamatkan lebih 2,000 haiwan peliharaan di situ sejak 23 Januari 2020 lalu.

"Haiwan-haiwan peliharaan itu ditemui di rumah tanpa sebarang makanan dan minuman.

"Pemilik haiwan berkenaan meninggalkan rumah mereka dan tidak menyangka mereka tidak boleh pulang.

"Situasi itu menyebabkan haiwan peliharaan mereka mati akibat kebuluran dan dahaga," katanya.

Persatuan Perlindungan Haiwan Kecil Wuhan pula telah mengambil permintaan bagi membantu haiwan peliharaan yang terperangkap selama dua hari selepas sekatan tersebut dikuat kuasa.

Presiden persatuan, Du Fan berkata seramai 60 sukarelawan telah menyelamatkan haiwan-haiwan peliharaan dari lebih 500 kediaman.

"Sebenarnya, ada beberapa tragedi yang berlaku terhadap haiwan-haiwan peliharaan ini seperti mati sebelum kami tiba," katanya.

Menurutnya, dengan kira-kira 300,000 hingga 600,000 penduduk di Wuhan mempunyai haiwan peliharaan, agak sukar untuk mereka memenuhi permintaan yang memuncak.

"Kebanyakan yang minta bantuan kami adalah golongan migran yang bekerja di Wuhan dan tinggal di kejiranan kecil di sini.

"Mereka tidak mempunyai kawan-kawan atau ahli keluarga di Wuhan untuk membantu menguruskan haiwan peliharaan masing-masing," katanya lagi.

Dalam pada itu, terdapat beberapa sukarelawan menempatkan haiwan-haiwan peliharaan yang diselamatkan di rumah mereka dan ada juga yang mengekalkan di rumah pemilik.

Kimi Dog

Bagi haiwan yang disimpan di rumah asal, para sukarelawan akan datang secara berkala untuk memberi makanan dan minuman.

Menurut doktor haiwan di Wuhan Pet Life Online, kebanyakan haiwan peliharaan kelihatan trauma dan takut kepada manusia ketika mereka cuba menyelamatkan manakala keadaan rumah sangat bersepah.

"Terdapat lebih 100 ekor haiwan peliharaan di rumah saya sekarang. Untuk makluman, ada beberapa rumah yang menggunakan kata laluan dan ada juga yang menggunakan kunci biasa.

"Bagi kes kecemasan, kami terpaksa masuk ke rumah dengan memecahkan pintu depan atau memanjat tingkap," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

SBDJ Siri 123: Tubuh Terbenam Dalam Pasir

SBDJ Siri 123: Tubuh Terbenam Dalam Pasir

Saya menanti penuh debar. Apakah jawapan yang akan diluahkan oleh Khoja Lisut terhadap pertanyaan yang Datuk ajukan padanya. "Kamu mesti minta maaf," ulang Datuk. Tidak ada jawapan daripada Khoja Lisut, rasa takut dan cemas jelas terbayang di wajahnya.

Toyol jadi-jadian

Saya segera menarik nafas dalam-dalam dengan harapan akan terpancutlah jawapan dari kelopak bibir Khoja Lisut.

Bagi mengurangkan debar di dada, saya renung kawasan sekitar pondok pisang sesikat. Gegendang telinga saya terus menangkap bunyi kicau burung Murai Tanah. Angin terus menggerakkan dedaun pisang. Dan matahari kian meninggi.

"Pak Kiai tu sudah mati."

Saya segera arahkan sepasang mata ke wajah Khoja Lisut. Datuk agak terkejut dengan mulut separuh terbuka.

Di saat pandangan mata saya berlaga dengan pandangan mata Khoja Lisut, dia segera menundukkan kepala merenung lantai buluh.

"Ini sulit sikit."

Cepat-cepat Khoja Lisut angkat kepala lalu menatap wajah Datuk. Dia menanti Datuk menyambung kata-kata. Ternyata Datuk berhenti di situ sahaja.

"Apa yang sulitnya? Apa penyakit saya tak boleh sembuh," Khoja Lisut memberanikan diri bersuara.

"Kau buat aniaya orang, kalau orang tu tak memaafkan perbuatan kamu, selama-lamanya kamu tanggung dosa," jelas Datuk.

"Itu tak penting," potong Khoja Lisut.

"Habis apa yang penting buat kamu?" nada suara Datuk mula meninggi. Matanya tidak berkedip menentang wajah Khoja Lisut.

"Perkara yang penting bagi saya, sama ada sakit saya ni boleh sembuh atau tidak? Saya datang ke sini nak berubat, bukan nak dengar nasihat," Khoja Lisut mula meluahkan gelodak batinnya.

Datuk seperti terpempan , tidak menyangka sama sekali Khoja Lisut bersuara agak keras. Datuk gigit bibir. Khoja Lisut melepaskan keluhan penuh kesal.

"Tak guna berusaha mengubati orang sombong, tidak mahu minta maaf pada orang yang dianiayai," Datuk secara perlahan-lahan menatap seluruh wajah Khoja Lisut.

"Orang takbur tidak boleh dibuat sahabat," sambung Datuk lagi.

"Saya dah insaf," secara mencacak Khoja Lisut bersuara.

"Kamu insaf, bila kamu sakit. Kalau kamu tak sakit, tak terima bala begini, kamu tak insaf," tingkah Datuk. Tidak terdengar suara protes dari Khoja Lisut.

Saya resah, bimbang kalau-kalau Khoja Lisut yang kecewa dan putus asa mendengar kata-kata dari Datuk itu akan bertindak mengikut perasaan.

"Pak Kiai tu orang yang berhemah tinggi, sebelum mati dia telah memaafkan saya. Dia juga mendoakan kesejahteraan untuk saya dan keluarga. Dia yakin satu hari nanti saya jadi orang baik-baik," tutur Khoja Lisut dalam keadaan suara yang tersekat-sekat.

"Kau berbohong dengan aku Khoja."

"Saya bercakap benar."

"Aku tak percaya, macam mana kamu tahu dia memaafkan kamu. Pada hal masa Pak Kiai tenat kamu tak ada dekatnya, kamu jauh darinya," soal Datuk lagi.

Saya lihat Khoja Lisut bagaikan tersentak dengan pertanyaan itu. Barangkali, dia sedar tentang keterlanjurannya mahu memperdayakan Datuk.

"Saya mengaku saya bersalah," Khoja Lisut renung ke arah saya.

Hati kecil saya mula kesal kerana Datuk bersedia melindungi seorang pembohong.

"Dah terlambat, bukan masanya untuk kamu menyesali perbuatan lalu," Datuk terus memprotes sikap Khoja Lisut.

Datuk seperti tidak mahu memberi rasa simpati terhadap Khoja Lisut.

Entah mengapa Datuk bersikap demikian? Saya sendiri tidak tahu. Barangkali Datuk sudah dapat mengesan atau mencium sesuatu dari tindak-tanduk yang dipamerkan oleh Khoja Lisut.

"Memang," Khoja Lisut tidak meneruskan kata-kata.

"Apa yang memang pak cik," saya mencelah.

"Memang pak cik dah terlambat, memang pak cik bersalah. Sekarang bukan masanya pak cik nak minta maaf. Tak ada siapa pun yang nak percayakan cakap pakcik," begitu lantang suara Khoja Lisut.

Biji matanya merenung tepat ke arah Datuk. Dan tanpa di sangka-sangka Khoja Lisut menghantukkan kepalanya ke lantai berkali-kali.

Saya jadi panik melihat perbuatannya itu. Datuk segera menerpa ke arahnya. Dan berjaya menahan Khoja Lisut dari meneruskan perbuatannya menghantuk-hantuk kepala ke lantai.

Khoja Lisut memeluk Datuk, perlahan-lahan dia menjatuhkan kepalanya atas riba Datuk. Khoja Lisut menangis tersedu-sedu.

"Kenapa Khoja," tanya Datuk.

"Saya kesal kerana orang tak mahu dengar cakap saya," bentak Khoja Lisut.

Saya lihat Datuk menarik nafas panjang. Ada senyum sinis bermain di sudut bibirnya. Khoja Lisut segera mengangkat kepalanya dari riba dan terus duduk tersandar di dinding.

"Kenapa kamu bersikap macam budak-budak, kerana orang tak percaya cakap kamu, kamu menangis. Itu bukan caranya. Kalaulah kamu memang bercakap benar, buktikan kebenarannya."

"Ha," Khoja Lisut seperti terkejut.

"Apa awak mahu mendengarnya?" sambungnya sambil merenung ke arah Datuk.

"Ya," angguk Datuk.

"Kenapa aku tak mahu mendengar cerita yang benar dari kau?"

Ternyata kata-kata itu memberikan semangat baru pada Khoja Lisut. Kepuasan dan keriangan terpancar di wajahnya.

Dengan perlahan-lahan Khoja Lisut alihkan mukanya ke arah luar pondok. Pandangannya yang sayu jatuh ke dedaun pisang yang kelihatan bergerak ke sana ke sini dirempuh angin.

"Cakap Khoja," desak Datuk.

Khoja Lisut alihkan pandangan, dari luar ke dalam rumah. Saya menanti penuh debar, terlalu ingin mendengar cerita dari Khoja Lisut.

Agar keinginan saya tidak dapat dikesan oleh Datuk dan Khoja Lisut, saya pura-pura merenung ke langit.

Saya lihat awan putih bersih, berarak perlahan-lahan ke arah selatan. Kicau burung kian rancak bersama sinar matahari yang mula terik.

"Masa," Khoja Lisut tidak menyambung kata.

Cepat-cepat saya palingkan muka ke arahnya. Saya lihat Datuk tumpukan seluruh perhatian ke arah Khoja Lisut. Rupa-rupanya keinginan Datuk seperti saya juga.

"Masa Pak Kiai nak putus nyawa, dia beritahu pada orang-orang di sekelilingnya yang dia memaafkan saya. Dia suruh anak buahnya mencari anak murid saya," Khoja Lisut menyambut kata yang terputus.

Di wajahnya tergambar kepuasan yang amat sangat dan bersedia meneruskan cerita. Khoja Lisut menelan air liur sambil kedutkan dahi, seolah-olah mengumpul ingatan pada peristiwa lalu.

"Teruskan cerita, kamu Khoja."

Suara Datuk agak meninggi, hujung kaki seluar sebelah kanan terus dilipatnya. Kemudian Datuk berpusing ke kanan sambil menggosok pangkal siku kiri berkali-kali.

"Teruskan Khoja, aku mahu mendengarnya makin cepat kamu menamatkan cerita, makin mudah aku membuat keputusan , sama ada cerita kamu itu benar atau pembohong," Datuk mendesak.

"Anak murid saya dibawa oleh anak buah Kiai menemuinya. Dia minta anak murid saya tu memberitahu saya yang dia telah memaafkan perbuatan saya padanya," begitu Khoja Lisut meneruskan ceritanya.

"Anak murid kamu tu, sampaikan pesan tu sendiri kepada, Khoja," soal Datuk lagi.

"Ya, saya terima pesanan tu."

"Apa yang kamu buat, bila kamu mendapat pesanan tu," tanya Datuk lagi.

Khoja Lisut terdiam, dia merenung ke arah saya. Dan Datuk tetap tidak mengubahkan pandangan ke wajah Khoja Lisut.

"Saya tergamam, saya tak sangka Kiai tu, begitu ikhlas dan baik hati," nada suara Khoja Lisut mula tersangkut-sangkut.

Dia tundukkan muka merenung lantai kembali. Bila mukanya diangkat dia merenung ke arah saya, rasa hiba bersarang dalam dada. Saya melihat genangan air jernih di kelopak matanya.

"Itu saja yang kamu rasakan, Khoja."

"Ya, itu saja."

"Kamu tak berusaha mahu berjumpa dengannya?"

"Oh ya," Khoja Lisut seperti tersentak.

Dengan nada suara yang amat lemah dia terus bersuara.

Dua hari setelah saya mendapat pesan tu, saya terus menuju ke rumah Pak Kiai, malangnya nasib saya," Khoja Lisut berhenti bercakap.

Dia menangis dengan semahu-mahu, macam budak kecil. Datuk biarkan Khoja Lisut menangis sampai dia berhenti sendiri.

BELAKANG

Bila Datuk merasakan perasaan Khoja Lisut sudah tenang dan damai, Datuk segera menepuk belakangnya dua tiga kali. Khoja Lisut terus memegang pergelangan tangan Datuk erat-erat.

"Kamu sampai ke rumahnya dan kamu diberitahu oleh anak buahnya yang Kiai itu meninggal dunia, dua hari yang lalu. Kamu menyesal kerana lambat bertindak, sepatutnya sebaik saja kamu menerima pesanan, kamu terus berjumpa dengannya," ungkap Datuk, tidak nampak ketegangan di wajah Datuk.

Saya kira dia mula simpati dengan apa yang dialami oleh Khoja Lisut.

"Kamu Tamar," saya tersentak bila Khoja Lisut menyebut nama saya.

"Jangan ikut apa yang pak cik buat, tak ada apa faedahnya."

Saya segera anggukkan kepala.

"Cubalah jadikan pengalaman yang pak cik alami sebagai teladan," tambahnya lagi, saya tetap anggukkan kepala.

Ada senyuman bermain di bibir Khoja Lisut. Agaknya, dia gembira kerana anggukkan kepala, seolah-olah saya menerima saranannya.

"Kamu beruntung dan bertuah Khoja."

"Bertuah?" sepasang biji mata Khoja Lisut terbeliak. Tepat merenung batang hidung Datuk.

"Ya," Datuk anggukkan kepala.

"Kau bertuah kerana Kiai yang kau aniaya tu, berjiwa besar," Datuk berhenti bercakap.

Dia melipat lengan baju hitam sebelah kiri hingga ke pangkal siku. Kemudian melunjurkan kaki kanan. Sebelum kaki kanan dilipat kembali, dia meraba buku lali kaki tujuh kali.

"Saya tak faham," Khoja Lisut kemukakan pertanyaan.

"Kiai tu begitu berjiwa besar, mengikut ajaran Islam yang betul. Dia tidak pendendam, hatinya memang mulia. Tidak ramai manusia yang dapat memaafkan perbuatan orang lain terhadap dirinya. Lebih-lebih lagi, perbuatan kamu yang aku anggap cukup kejam," tutur Datuk dengan tenang.

Khoja Lisut tidak berkata apa-apa. Khusyuk mendengar apa yang Datuk tuturkan.

"Kamu terlepas dari dosa sesama manusia, kamu tahu Khoja, dosa sesama manusia cukup berat, selagi tidak dimaafkan oleh Kiai, kau tak terlepas. Bila mati, roh kau akan didakwa di depan Allah, kau bertuah Khoja," nada suara begitu bersahaja.

"Saya faham, saya faham," suara Khoja Lisut tersekat-sekat.

Lagi sekali dia tunduk dan tersedu beberapa kali. Saya masih dapat melihat kesan air mata di pipinya bila dia berpaling ke arah saya.

LEMAH

Pada saat itu juga, saya terfikir bahawa sesungguhnya manusia ini, bila didatangkan ujian dan bala ke atas dirinya barulah mereka menyesal.

Dan pada saat itu barulah mereka sedar yang mereka adalah makhluk Allah yang lemah dan daif sekali. tidak mempunyai apa-apa pun di dunia ini.

"Lupakan semuanya tentang hal tu, Khoja. Bersyukurlah pada Allah kerana tindak-tanduk kamu yang keterlaluan itu sudah dimaafkan Kiai," Datuk cuba menanamkan ketenangan dalam diri Khoja Lisut.

Perlahan-lahan saya lihat Khoja Lisut mengesat air mata di pipi dengan hujung bajunya.

"Bagaimana dengan diri saya ni?"

"Maksud kamu, aku tak faham Khoja?"

"Mahukah awak mengubati sakit saya ni."

"Berikhtiar tu memang boleh, tapi untuk jamin baik bukan kuasa aku. Semuanya terletak pada kuasa Allah," selesai bersuara Datuk terus bangun.

Datuk berjalan ke arah pintu pondok. Berdiri di situ dengan kaki kirinya memijak bendul dan tangan kanannya berpaut pada alang pondok, sementara tangan kirinya terlekap pada bahagian rusuk perut.

Datuk merenung pepucuk pisang, melihat kepulan asap dari batang kayu yang dibakar oleh nenek.

"Tamar, cari nenek kamu."

"Bila, sekarang ni tuk?"

"Tentulah, sekarang."

Saya jadi serba-salah kerana Datuk berdiri di muka pintu pondok. Dari cara Datuk berdiri membayangkan hatinya tidak begitu tenteram. Dia mudah marah, kalau saya terlalu banyak bertanya atau meminta.

Kalau saya tidak mematuhi perintahnya pasti dia naik darah. Dalam keadaan yang serba salah itu, saya membuat keputusan yang amat mengejutkan. Saya terjun dari pondok melalui bahagian pondok yang terdedah.

Sebaik saja saya berjaya mengimbangkan badan dari jatuh tersungkur, dalam masa yang sama terasa sepasang telapak kaki pedih dan sakit.

Saya tidak mampu untuk mengatur langkah dengan segera. Terpaksa duduk di tanah sambil melunjurkan kedua belah kaki hingga rasa pedih dan sakit di telapak kaki hilang.

"Tamar."

Terdengar suara Datuk meninggi, saya mula resah tetapi, dalam rasa takut itu saya masih mampu memandang wajahnya. Tanpa disedari saya terus melangkah dan berdiri di depan tangga.

"Kenapa buat kerja bodoh, kenapa tak gunakan tangga. Apa, kaki kamu dah kuat sangat ke? Keras macam besi," Datuk meluahkan rasa kesalnya.

"Saya nak minta lalu kat Datuk, takut tuk marah, saya tengok tuk berdiri lain macam je," kata saya dengan berhati-hati.

"Sudahlah, aku tak mahu dengar cakap orang bodoh," pekik Datuk lalu beredar dari muka pintu pondok.

Saya terus melangkah arah ke selatan kebun pisang. Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa Datuk dan Khoja Lisut.

Barangkali, mereka ketawakan saya. Memang susah jadi cucu pada Datuk yang banyak karenah, bisik batin saya.

Dari pangkal ke hujung, dari hujung ke bucu, nenek tidak juga saya temui. Setelah berpeluh dahi dan celah ketiak saya pun kembali ke pondok.

"Jumpa nenek kamu, Tamar?" itu yang Datuk ajukan bila terlihat batang hidung saya. Cepat-cepat saya gelengkan kepala.

Lagi sekali Datuk datang ke pintu pondok lalu dongakkan muka melihat matahari di langit.

"Dah dekat pukul dua belas lebih ni, nenek kamu dah balik," Datuk beri kata putus.

"Macam mana tahu, dah pukul dua belas lebih?" saya terdengar suara Khoja Lisut bertanya pada Datuk.

"Tandanya Helang Sawah mula keluar mencari rezeki, cuba kamu tengok di langit," Datuk memberi penjelasan.

Mungkin kerana puas hati dengan penjelasan yang Datuk kemukakan , Khoja Lisut tidak mengajukan pertanyaan lagi.

Anehnya, Khoja Lisut tidak pula berusaha untuk melihat Helang Sawah di angkasa.

Saya segera dongakkan kepala ke angkasa, saya lihat sepasang Helang Sawah mengembangkan kepak, terbang rendah mengikut arus angin dengan mata tertumpu ke bumi, bersedia untuk menyambar ular, katak, tikus dan apa saja yang merayap di bumi, asalkan boleh mengenyangkan perut.

Sekarang saya mula mengerti, kenapa setiap kali mahu menentukan waktu, Datuk sering merenung ke langit.

Biasanya Helang Sawah muncul di angkasa mengikut waktu tertentu . Pukul sebelas dia terbang tinggi, sukar untuk melihat warna bulunya. Antara jam dua belas hingga pukul satu dia terbang rendah.

Kira-kira pukul satu setengah hingga jam dua, terus menghilangkan diri. Muncul kembali jam tiga hingga pukul enam.

Waktu petang Helang Sawah tidak berada di tempat dia mula muncul ( pukul sebelas tadi) sebaliknya dia berlegar agak jauh kira-kira satu rantai dari tempat dia muncul pada sebelah pagi.

Tepat pukul lima dia akan berada di tempat dia muncul tadi (pukul sebelas pagi) kira-kira sejam lagi matahari mahu jatuh di kaki langit, (kira-kira pukul enam) Helang Sawah akan pulang ke sarangnya.

Ah, selain dari tanda-tanda burung helang itu, ada tanda-tanda lain yang Datuk gunakan. Saya harus belajar dengan mengamati gerak-geri unggas dan alam.

Kalau bertanya, tentu kena herdik. Daripada kena herdik, lebih baik perhatikan saja apa yang Datuk buat. Demikian saya membuat kesimpulan dalam hati.

BESAR

Saya pun melangkah ke anak tangga pondok. Bila anak tangga pertama saya pijak, Datuk meluru ke arah saya. Badan saya ditolak hingga berasa di halaman pondok semula.

Saya jadi panik dan terkejut besar dengan sikap Datuk itu. Saya cuba mengingati sesuatu kalau-kalau saya telah melanggar pantang-larang Datuk. Ternyata tidak ada satu pun kesilapan yang saya lakukan.

"Kenapa tuk?" dalam rasa takut saya bertanya.

"Kamu pergi ambil cangkul dan pencebak."

"Nak buat apa tuk?" cepat-cepat saya memintas cakap Datuk.

"Jangan biadab sangat, biarlah aku habis cakap dulu, baru bertanya," sergah Datuk dan dia segera meluru ke arah saya.

Dan saya bersedia menerima tempelak darinya kerana kebiadaban yang saya lakukan secara tidak sengaja. Saya beruntung kerana kemarahan Datuk tidak berlanjutan.

Saya segera menyusup bawah pondok dan keluar membawa cangkul serta pencebak. Berdiri tercegat depan Datuk untuk menerima perintah selanjutnya dari Datuk.

"Sekarang kamu pergi ke tebing sungai, cari kawasan gigi air yang berpasir. Dari gigi air tu, kamu melangkah songsang tiga belas tapak," Datuk berhenti bercakap.

Dia mengeluarkan secebis kain merah dari dalam saku bajunya. Kain merah selebar dua jari itu diikat ke kepala.

"Kamu tahu melangkah songsang tu, Tamar?" tanya Datuk, saya gelengkan kepala.

"Maksudnya begini, kamu melangkah ke belakang dengan mata dan badan kamu menghala ke arah sungai.

"Saya faham tuk."

"Di langkah penghabisan, langkah ketiga belas mesti berakhir dengan kaki kiri. Kamu tekankan tumit kaki kiri di situ, kemudian kamu koreklah lubang separas dada kamu," demikian Datuk mengeluarkan arahan.

Saya segera bergegas menuju ke sungai yang jaraknya tidak berapa jauh dari pondok. Sebaik sahaja saya sampai ke perdu durian patah dahan, terdengar suara Datuk memanggil nama saya. Segera saya berhentikan langkah.

"Lepas korek, kamu tunggu aku di situ, kalau lubangnya ada air, jangan kau buang airnya, bahagian bawah lubang kau taruh tanah liat," pesan Datuk lagi.

"Baik tuk."

"Kalau kamu nampak apa-apa masa kamu mengorek nanti, kamu jangan cakap apa-apa."

"Baik tuk."

Perjalanan yang terhenti saya teruskan.

TEBING

Lebih dari sepuluh minit saya mundar-mandir di tebing sungai, mencari kawasan yang berpasir.

Dan saya berhasil menemui selekoh sungai yang bahagian tepinya mempunyai kawasan berpasir yang berkeadaan seperti pantai.

Kawasan tersebut berdepan dengan sebuah lubuk yang dalam tetapi, air yang mengalir amat tenang.

Setelah mengikut kata dan petua Datuk, saya pun mula menggali lubang di pasir. Panas terik membuat seluruh tubuh saya berpeluh.

Saya berhenti menggali lubang, bila saya terdengar bunyi air sungai berkocak dengan kuat, saya tumpukan perhatian ke dada sungai yang lebarnya kurang satu rantai setengah.

Tidak ada apa-apa yang saya lihat, selain dari air sungai dan dedaun yang dibawa arus ke hilir. Saya kembali menggali lubang.

Baru lima enam kali tunduk bangkit mengaut pasir, saya terdengar lagi bunyi kocakan air sungai, saya segera merenung ke arah lubuk yang airnya bergerak tenang. Saya menggigit bibir bersama rasa cemas dan takut.

Dari hujung dahan jambu mawar yang terjulur di permukaan sungai (dalam jarak lebih kurang sepuluh kaki dari lubuk yang tenang) saya terlihat seekor ular sawa sedang berpaut di situ, ekornya sesekali memukul permukaan air sungai.

Ular sawa itu berhempas pulas mahu naik ke dahan jambu mawar. Usaha si ular itu berhasil.

Ah, pedulikan dia, jangan kacau dia. Biarkan dia hidup di situ. Barangkali si ular sawa itu dapat menghidu bau rezekinya di atas pokok jambu mawar, fikir saya dalam hati dan terus menyambung kembali kerja yang terkandas.

"Tamar."

Saya toleh ke arah suara itu, memang saya tidak menduga yang Datuk menjulang Khoja Lisut di atas bahunya. Saya juga merasa pelik, kenapa Datuk mengusung orang cacat itu ke sini.

Apakah Datuk mahu mencampakkan Khoja Lisut ke dalam lubuk? Macam-macam yang datang dalam fikiran saya.

"Dah siap?" soal Datuk dari jauh.

"Siapkan cepat, buat macam mana aku suruh, selagi lubang tu tak siap, aku tak boleh ke situ," lanjut Datuk yang sedang terkial-kial meredah pokok serunai laut dan keduduk yang menghalang perjalanan.

Saya terus korek lubang hingga selesai, kemudian mencampakkan tanah liat yang saya ambil dari dalam sungai, ke dalam lubang. Sebaik saja semua kerja selesai, Datuk terus berada di samping saya.

"Sudah siap Tamar?"

"Sudah tuk."

"Masuk kamu," suara Datuk keras dan dia terus mencampakkan Khoja Lisut ke dalam lubang.

"Timbus," sambung Datuk lagi.

Dia merampas cangkul dari tangan saya. Khoja Lisut yang separuh badannya berada dalam lubang tidak berkata-kata.

Dalam sekelip mata saja, badan Khoja Lisut terbenam dalam pasir hingga paras leher. Datuk mengeluarkan dua keping upih pinang dari dalam bajunya. Dia membuka lipatan upih pinang lalu dibentangkannya atas pasir.

Saya pasti, upih pinang yang sudah kering memang dibawa oleh Datuk dari rumah. Apa yang menakjubkan saya ialah, kepintaran Datuk menyembunyikan upih pinang kering dalam bajunya hingga tidak dapat dikesan oleh sesiapapun.

Bila kedua-dua upih pinang itu agak panas kerana terkena sinar matahari, Datuk ubahkan kedudukannya ke gigi sungai.

Bahagian pangkal upih terkena arus air sungai. Datuk ambil sekeping upih lalu dijadikan timba gayung.

"Tolong aku, kamu gunakan timba upih ini untuk ambil dari sungai dan siramkan ke kepala Khoja," saya pun segera menyambut gayung upih yang Datuk hulurkan.

"Kamu kira sampai seratus gayung, kamu berhenti, berdiri di depannya lebih kurang lima, kemudian ulang kerja kamu semula, buat kerja ni berulang kali, hingga dapat perintah berhenti dari aku," sambung Datuk lagi.

Saya angguk dan memulakan tugas yang saya kira cukup rumit dan amat membosankan di bawah sinar matahari yang amat terik.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 123/284

BACA: SBDJ Siri 122: Mengaku Keturunan Hang Jebat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

COVID-19 Nama Baharu Coronavirus, Saintis Dedah Kenapa Jangkitan Merebak Begitu Pantas!

COVID-19 Nama Baharu Coronavirus, Saintis Dedah Kenapa Jangkitan Merebak Begitu Pantas!

Wabak Coronavirus kini dikenali dengan nama baharu, COVID-19, yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) di Geneva, sudah menyebabkan lebih 1,000 kematian di seluruh dunia dan di China sahaja, ia sudah menjangkiti lebih 40,000 individu.

Covid-19 Nama Coronavirus
Covid-19.

Menurut ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, CO mewakili perkataan corona, diikuti VI untuk virus dan D merujuk kepada disease (penyakit).

WHO sebelum ini meneliti nama baharu bagi virus ini bagi mengelakkan stigma buruk terhadap bandaraya Wuhan yang menjadi tempat bermulanya wabak koronavirus.

Saintis dedah punca jangkitan merebak begitu cepat

Saintis berpendapat jangkitan koronavirus boleh hidup di permukaan keras seperti tombol pintu dan besi tiang pemegang dalam bas atau tren sehingga sembilan hari.

Menurut kajian terbaharu dari Jerman, virus itu juga boleh kekal di satu-satu permukaan empat kali lebih lama berbanding (virus) selesema.

Permukaan yang sering disentuh seperti di hospital atau stesen kereta api lebih mudah terdedah kepada risiko jangkitan wabak baharu ini.

Namun jangkitan itu boleh dimusnahkan dalam sama seminit dengan menggunakan pembasmian kuman seperti Domestos.

Profesor Gunter Kampf berkata, "Suhu rendah dan kelembapan udara yang tinggi terus meningkatkan jangka hayat virus tersebut."

Keputusan yang diterbitkan dalam Journal of Hospital Infection itu juga harus diterapkan pada jangkitan koronavirus (2019-nCoV).

Dalam konteks ini juga virus selesema boleh hidup di permukaan keras dan menjangkiti orang lain selama 24 hingga 48 jam.

Jangka masa virus selesema boleh hidup di luar badan adalah lebih pendek, biasanya hanya beberapa jam saja.

Kenapa COVID-19 Sukar Di Kesan?

Hakikatnya, jangkitan virus COVID-19, dipetik dari laman web hellodoktor, bukanlah tanpa sebarang gejala kerana, antara tanda virus corona ini adalah demam, selesema, bersin, batuk dan sesak nafas.

Apa yang mengelirukan adalah gejalanya serupa dengan pelbagai jenis penyakit lain jadi,amat sukar untuk membezakan penyakit-penyakit ini.

Mungkin jika diperiksa secara mendalam, virus corona ini dapat dikesan.

Namun, bagaimana untuk mengetahui secara luaran jika seseorang itu terutamanya pelancong dari luar negara telah dijangkiti wabak berbahaya? Ia adalah sesuatu yang mustahil!

Tempoh Inkubasi

Virus yang turut dikenali sebagai COVID-19 ini turut memiliki tempoh inkubasi, sama seperti kebanyakan virus yang lain.

Apa itu tempoh inkubasi? Ia merupakan jarak masa seseorang individu yang terjangkiti virus dengan gejala pertama yang muncul.

Menurut CDC, virus corona baharu ini memiliki tempoh inkubasi selama 2 hingga 14 hari dan sepanjang tempoh itu, mungkin tiada langsung tanda virus corona akan kelihatan.

Disebabkan itu, individu yang dijangkiti tidak akan tahu bahawa dirinya sudah menjadi mangsa jangkitan.

Hakikatnya, penularan sebarang wabak COVID-19 akan lebih mudah dicegah sekiranya terdapat apa-apa tanda atau gejala.

Inilah yang berlaku pada wabak Sistem Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada tahun 2003.

Sebelum virus ini sempat merebak menjadi lebih teruk, pihak perubatan sudah mampu mengesannya lebih awal dengan melihat tanda dan gejalanya. Malangnya, ini sangat berbeza dengan penularan wabak COVID-19 dari Wuhan kali ini.

Ada penyakit yang masih mampu merebak walaupun ketika ia masih berada tempoh inkubasi seperti flu dan cacar.

Apa yang membimbangkan, virus korona baharu COVID-19 ini juga dikhuatiri boleh merebak semasa tempoh inkubasi.

Jadi, sesuatu yang sangat luar biasa perlu dilakukan untuk memastikan penularan wabak ini dapat dikawal.

Jadi, apa yang anda boleh lakukan?

Seperti yang sudah diketahui ramai, wabak berbahaya COVID-19 ini tidak mempunyai sebarang jenis vaksinasi.

Oleh itu, anda sendiri perlu melakukan langkah berjaga-jaga seperti:
  • Mencuci tangan dengan air dan sabun.
  • Hindari sentuhan kulit ke kulit dengan orang yang sakit atau menunjukkan sebarang tanda virus corona.
  • Elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut sendiri tanpa mencuci tangan.
  • Gunakan topeng muka ketika berada di luar terutamanya di kawasan yang berisiko tinggi dan ramai orang.
  • Tutup muka menggunakan tisu atau tangan ketika bersin dan batuk.

Konklusi

Kesimpulannya, jangkitan COVID-19 tidak menunjukkan sebarang gejala, kerana wabak berbahaya ini mempunyai tempoh inkubasi dan boleh merebak tanpa diduga.

Jadi, rakyat Malaysia sila ambil langkah berjaga-jaga dan cuba untuk jauhi individu yang mungkin mempunyai tanda COVID-19 ini dan amalkan langkah-langkah yang telah disediakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:


-Sentiasapanas.com

Tuesday, February 11, 2020

Misteri Serangan Ular Gunung Pelee

Misteri Serangan Ular Gunung Pelee

Gunung Pelee merupakan sebuah gunung berapi yang terletak di Kepulauan Caribbean, Martinique, dengan ketinggian melebihi 4,500 kaki dan pada awal tahun 1902, puncak gunung ini menunjukkan beberapa petanda kecil, kepulan asap, belerang dan debu kelihatan dikeluarkan oleh gunung.

Ular Gunung
Gambar hiasan.

Namun, keadaan itu tidak diendahkan oleh mana-mana pihak. Mereka menganggap situasi itu tidak merbahaya.

Pada akhir bulan April, berlaku letusan kecil. Gegaran turut dirasai oleh penduduk terutamanya di sekitar St. Pierre. Debu mula memenuhi ruang udara.

Tidak lama kemudian, penduduk didatangi tetamu tidak diundang. Pelbagai jenis serangga berbisa dan ular menyerang manusia dan ternakan.

Suasana ketika itu digambarkan sangat menakutkan kerana secara tiba-tiba, sejumlah besar binatang berbisa seakan membuas semasa menyerang.

Akibatnya, seramai 50 orang dan lebih 200 ekor ternakan ditemui mati. Pada masa yang sama, tiada siapa pun yang mengetahui punca berlakunya insiden itu.

Lebih malang lagi, kejadian yang disangkakan sudah berakhir selepas serangan binatang berbisa ternyata meleset.

Letusan Gunung Pelee 1902
Letusan Gunung Pelee 1902.

Insiden yang berlaku secara tiba-tiba itu rupa-rupanya membawa kepada kedatangan malapetaka lebih besar!

Pada 8 Mei 1902, Gunung Pelee meletus dan memuntahkan lava besar. Gelombang lahar yang terhasil adalah pada kelajuan 100 batu sejam.

Stim dan gas yang dibebaskan didakwa memiliki kepanasan melampau melebihi suhu 1075 darjah selsius (1967 Fahrenheit).

Tidak sampai satu minit, lava panas sampai ke kawasan penduduk. Suasan kelam kabut.

Akibatnya, semua penduduk mati tanpa sempat menyelamatkan diri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Azizulhasni Awang Bongkar Rahsia, Kejayaan Hari Ini Kerana Bantuan Seorang 'Cina'

Azizulhasni Awang Bongkar Rahsia, Kejayaan Hari Ini Kerana Bantuan Seorang 'Cina'

Dengan status ranking nombor 1 keirin dunia ketika artikel ini ditulis, Azizulhasni Awang mendedahkan beliau pernah digugurkan daripada program pelapis di Sekolah Sukan Bukit Jalil ketika berusia 18 tahun.

Azizulhasni Awang dan Ng Joo Ngan
Azizulhasni bersama Ng Joo Ngan (kiri) dan jurulatihnya, John Beasley.

Bagaimanapun, dia diselamatkan oleh Ketua Jurulatih Kebangsaan ketika itu, Datuk Ng Joo Ngan, setelah legenda berbasikal itu membuat rayuan.

Menyifatkan kehadiran Ng Joo Ngan sebagai 'bantuan dari langit', "The Pocketrocketman" juga menyifatkan, ikon sukan berbasikal negara itu sebagai seorang 'figura ayah' buatnya.

"Ketika saya hampir lemas dengan ombak ujian yang membantai diri, saya menerima nafas baru. Ada bantuan dari langit. Sungguh tidak disangka.

"Seorang manusia yang tidak ada apa-apa kaitan dengan saya, datang menghulurkan bantuan. Insan itu adalah seorang yang saya panggil Uncle Joo Ngan," cerita Azizulhasni dalam entri di Facebook bertajuk 'Al-kisah seorang Cina'.

"Saya yang ketika itu menetap di asrama atlet, telah ditarik segala kemudahan yang diberikan. Bermaksud, asrama tempat penginapan ditarik, akses ke dewan makan juga di tarik balik dan begitu juga dengan kemudahan latihan. Ketika itu saya hilang segala-galanya."

"Saya juga tidak memberitahu emak berita ini. Saya tak nak emak risau dan sedih. Saya masih ingat yang saya berjanji dengan emak sebelum ke SSBJ yang saya akan menjadi atlet negara suatu hari nanti dan juga tidak abaikan pelajaran. Bayangkan kalau dia tahu, sudah tentu hancur lebur hatinya," ceritanya.

Kisah silam permulaan kehidupannya sebagai ahli sukan sebelum membina kemasyhuran sehingga disegani di peringkat dunia diceritakan secara bersiri dalam Facebook peribadinya sejak 25 hingga 31 Januari lalu.

Beliau mengakui Joo Ngan bukanlah jurulatihnya tetapi sanggup menawarkan tempat tinggal dan membuat rayuan agar beliau dikekalkan.

"Kerana murninya hati seseorang itu bukan bergantung kepada warna kulit, bangsa mahupun agama, Uncle (Joo Ngan) tampil menawarkan saya untuk tinggal di rumahnya buat sementara waktu.

"Saya rasa sungguh bersyukur dan terharu atas bantuan yang diberikan, juga tidak menyangka Uncle (Joo Ngan) merayu kepada pihak atasan supaya memberikan saya peluang kedua, tanpa pengetahuan saya," tulis Azizulhasni lagi.

Beliau juga mengakui pernah dihalau apabila cuba untuk makan di kantin SSBJ dan kantin Majlis Sukan Negara (MSN) apabila digugurkan daripada sekolah program pelapis di SSBJ.

Namun, takdir mengubah segala-galanya apabila beliau akhirnya mendapat tawaran menyertai pasukan elit setelah berjaya memenangi tiga emas dan satu perak dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2006.

"Untuk makluman anda semua, saya telah mencipta sejarah dalam arena sukan lumba basikal pada masa itu. Saya telah memenangi tiga pingat emas untuk kesemua acara individu saya iaitu Sprint, Keirin dan 1km ujian masa, manakala perak untuk acara Pecut Berpasukan, itupun kerana tayar salah seorang dari rakan pasukan pancit ketika perlumbaan final untuk pingat emas," katanya lagi.

Semoga kisah Azizulhasni ini dapat dijadikan motivasi buat semua pembaca yang menghadapi ujian dalam kehidupan masing-masing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Program Sarapan Pagi Murid Sepatutnya Peluang Merapatkan Perpaduan Rakyat!

Program Sarapan Pagi Murid Sepatutnya Peluang Merapatkan Perpaduan Rakyat!

Pada tahun 2019 lalu, Kementerian Pendidikan mengumumkan rancangan untuk menyediakan sarapan pagi percuma kepada semua murid, tanpa mengira latar sosio-ekonomi mereka, bagaimanapun, pemangku Menteri Pendidikan, Tun Mahathir berkata, ia "tidak adil" kerana anak golongan kaya juga akan mendapatnya, dan menetapkan Program Sarapan Pagi (PSP) hanya akan dikhususkan kepada pelajar tidak berkemampuan.

Program Sarapan Pagi Murid
Dr Maszlee mangsa kerakusan politik.

Kajian terbaharu Khazanah Research Institute yang baru diterbitkan mengakui, memberi makan kepada semua murid tanpa mengira latar ekonomi akan memakan kos, tetapi ia turut mendatangkan banyak manfaat.

Kajian bertajuk "Understanding School Feeding in Malaysia" itu disediakan oleh Jarud Romadan Khalidi and Tan Zhai Gen.

Kaitan berterusan langkah sekolah memberi makan dengan bantuan kepada orang miskin mengelirukan dan mengabaikan potensi besar program itu dalam banyak aspek.

Sementara pemberian makan kepada semua akan menelan belanja besar, kita juga perlu mengakui bahawa ia bukan saja 'campur tangan nutrien' tetapi satu pelaburan untuk kanak-kanak.

Pelbagai kajian mendapati, kadar manfaat-kos yang mengagumkan dalam hampir semua program makanan di sekolah.

Menurut kajian itu, nutrisi yang betul dan murid yang tidak lapar dalam kelas menjadikan pembelajaran lebih mudah.

Kajian juga menyatakan bahawa, punca utama kebanyakan murid tidak bersarapan adalah kerana tiada masa yang mencukupi dan tiadak berselera.

Selain menambah baik pendidikan murid, program makanan yang bersifat universal (melibatkan semua murid) akan meningkatkan pergaulan murid daripada latar belakang berbeza, seterusnya membolehkan mereka lebih saling memahami.

Program untuk murid miskin boleh menyebabkan murid tersebut dianggap sebagai stigma dan disindir kerana menerima bantuan tersebut.

Dalam kes PSP ini, penerima tidak akan makan makanan yang disediakan dan objektif program tidak tercapai, di saat belanja sudah pun dikeluarkan.

Ia boleh diatasi dengan menyediakan makanan kepada semua murid, seperti yang dilaksanakan di New York, Amerika Syarikat pada tahun 2003.

Pada masa yang sama, program makanan universal juga boleh menangani masalah tidak cukup nutrisi yang melibatkan murid miskin dan juga kaya.

Program ini boleh mendidik kanak-kanak berkenaan kepentingan dan manfaat pemakanan sihat.

Walaupun masalah tidak cukup nutrisi lebih melibatkan golongan miskin, ada juga masalah obesiti, lalu mengembangkan program kepada semua murid boleh menjadi penyelesaiannya.

Walaupun kertas kajian itu tidak menyediakan analisis terperinci terhadap program makanan sekolah sedia ada di Malaysia, ia menyatakan pemakanan sihat boleh digalakkan dengan kantin hanya dibenarkan menjual makanan yang diluluskan.

Kajian itu memetik Healthy Food in School Programme - yang dibiayai ibu bapa - sebagai contoh yang boleh dilihat.

Bagaimanapun, program makanan yang meliputi semua pelajar boleh mendatangkan kesan tidak diingini.

Mereka membangkitkan keadaan di Korea Selatan, di mana dana untuk pendidikan fizikal dipotong ketika program makanan universal dilaksanakan.

Ia menyebabkan kemerosotan bilangan murid yang memiliki fizikal yang sihat (physically fit).

Pembangunan berkaitan kesihatan kanak-kanak di Malaysia dan baik buruk program universal berbanding (kepada golongan) sasaran perlu difahami dengan jelas untuk merangka program makanan sekolah yang membantu mereka yang memerlukan.

Jika program dirangka dan dilaksana dengan lebih baik, untuk semua pelajar tanpa membezakan 'kasta', ia akan menjadi langkah penting untuk menangani pelbagai cabaran yang menanti generasi akan datang dengan lebih baik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini