Wednesday, February 12, 2020

SBDJ Siri 123: Tubuh Terbenam Dalam Pasir


Saya menanti penuh debar. Apakah jawapan yang akan diluahkan oleh Khoja Lisut terhadap pertanyaan yang Datuk ajukan padanya. "Kamu mesti minta maaf," ulang Datuk. Tidak ada jawapan daripada Khoja Lisut, rasa takut dan cemas jelas terbayang di wajahnya.

Toyol jadi-jadian

Saya segera menarik nafas dalam-dalam dengan harapan akan terpancutlah jawapan dari kelopak bibir Khoja Lisut.

Bagi mengurangkan debar di dada, saya renung kawasan sekitar pondok pisang sesikat. Gegendang telinga saya terus menangkap bunyi kicau burung Murai Tanah. Angin terus menggerakkan dedaun pisang. Dan matahari kian meninggi.

"Pak Kiai tu sudah mati."

Saya segera arahkan sepasang mata ke wajah Khoja Lisut. Datuk agak terkejut dengan mulut separuh terbuka.

Di saat pandangan mata saya berlaga dengan pandangan mata Khoja Lisut, dia segera menundukkan kepala merenung lantai buluh.

"Ini sulit sikit."

Cepat-cepat Khoja Lisut angkat kepala lalu menatap wajah Datuk. Dia menanti Datuk menyambung kata-kata. Ternyata Datuk berhenti di situ sahaja.

"Apa yang sulitnya? Apa penyakit saya tak boleh sembuh," Khoja Lisut memberanikan diri bersuara.

"Kau buat aniaya orang, kalau orang tu tak memaafkan perbuatan kamu, selama-lamanya kamu tanggung dosa," jelas Datuk.

"Itu tak penting," potong Khoja Lisut.

"Habis apa yang penting buat kamu?" nada suara Datuk mula meninggi. Matanya tidak berkedip menentang wajah Khoja Lisut.

"Perkara yang penting bagi saya, sama ada sakit saya ni boleh sembuh atau tidak? Saya datang ke sini nak berubat, bukan nak dengar nasihat," Khoja Lisut mula meluahkan gelodak batinnya.

Datuk seperti terpempan , tidak menyangka sama sekali Khoja Lisut bersuara agak keras. Datuk gigit bibir. Khoja Lisut melepaskan keluhan penuh kesal.

"Tak guna berusaha mengubati orang sombong, tidak mahu minta maaf pada orang yang dianiayai," Datuk secara perlahan-lahan menatap seluruh wajah Khoja Lisut.

"Orang takbur tidak boleh dibuat sahabat," sambung Datuk lagi.

"Saya dah insaf," secara mencacak Khoja Lisut bersuara.

"Kamu insaf, bila kamu sakit. Kalau kamu tak sakit, tak terima bala begini, kamu tak insaf," tingkah Datuk. Tidak terdengar suara protes dari Khoja Lisut.

Saya resah, bimbang kalau-kalau Khoja Lisut yang kecewa dan putus asa mendengar kata-kata dari Datuk itu akan bertindak mengikut perasaan.

"Pak Kiai tu orang yang berhemah tinggi, sebelum mati dia telah memaafkan saya. Dia juga mendoakan kesejahteraan untuk saya dan keluarga. Dia yakin satu hari nanti saya jadi orang baik-baik," tutur Khoja Lisut dalam keadaan suara yang tersekat-sekat.

"Kau berbohong dengan aku Khoja."

"Saya bercakap benar."

"Aku tak percaya, macam mana kamu tahu dia memaafkan kamu. Pada hal masa Pak Kiai tenat kamu tak ada dekatnya, kamu jauh darinya," soal Datuk lagi.

Saya lihat Khoja Lisut bagaikan tersentak dengan pertanyaan itu. Barangkali, dia sedar tentang keterlanjurannya mahu memperdayakan Datuk.

"Saya mengaku saya bersalah," Khoja Lisut renung ke arah saya.

Hati kecil saya mula kesal kerana Datuk bersedia melindungi seorang pembohong.

"Dah terlambat, bukan masanya untuk kamu menyesali perbuatan lalu," Datuk terus memprotes sikap Khoja Lisut.

Datuk seperti tidak mahu memberi rasa simpati terhadap Khoja Lisut.

Entah mengapa Datuk bersikap demikian? Saya sendiri tidak tahu. Barangkali Datuk sudah dapat mengesan atau mencium sesuatu dari tindak-tanduk yang dipamerkan oleh Khoja Lisut.

"Memang," Khoja Lisut tidak meneruskan kata-kata.

"Apa yang memang pak cik," saya mencelah.

"Memang pak cik dah terlambat, memang pak cik bersalah. Sekarang bukan masanya pak cik nak minta maaf. Tak ada siapa pun yang nak percayakan cakap pakcik," begitu lantang suara Khoja Lisut.

Biji matanya merenung tepat ke arah Datuk. Dan tanpa di sangka-sangka Khoja Lisut menghantukkan kepalanya ke lantai berkali-kali.

Saya jadi panik melihat perbuatannya itu. Datuk segera menerpa ke arahnya. Dan berjaya menahan Khoja Lisut dari meneruskan perbuatannya menghantuk-hantuk kepala ke lantai.

Khoja Lisut memeluk Datuk, perlahan-lahan dia menjatuhkan kepalanya atas riba Datuk. Khoja Lisut menangis tersedu-sedu.

"Kenapa Khoja," tanya Datuk.

"Saya kesal kerana orang tak mahu dengar cakap saya," bentak Khoja Lisut.

Saya lihat Datuk menarik nafas panjang. Ada senyum sinis bermain di sudut bibirnya. Khoja Lisut segera mengangkat kepalanya dari riba dan terus duduk tersandar di dinding.

"Kenapa kamu bersikap macam budak-budak, kerana orang tak percaya cakap kamu, kamu menangis. Itu bukan caranya. Kalaulah kamu memang bercakap benar, buktikan kebenarannya."

"Ha," Khoja Lisut seperti terkejut.

"Apa awak mahu mendengarnya?" sambungnya sambil merenung ke arah Datuk.

"Ya," angguk Datuk.

"Kenapa aku tak mahu mendengar cerita yang benar dari kau?"

Ternyata kata-kata itu memberikan semangat baru pada Khoja Lisut. Kepuasan dan keriangan terpancar di wajahnya.

Dengan perlahan-lahan Khoja Lisut alihkan mukanya ke arah luar pondok. Pandangannya yang sayu jatuh ke dedaun pisang yang kelihatan bergerak ke sana ke sini dirempuh angin.

"Cakap Khoja," desak Datuk.

Khoja Lisut alihkan pandangan, dari luar ke dalam rumah. Saya menanti penuh debar, terlalu ingin mendengar cerita dari Khoja Lisut.

Agar keinginan saya tidak dapat dikesan oleh Datuk dan Khoja Lisut, saya pura-pura merenung ke langit.

Saya lihat awan putih bersih, berarak perlahan-lahan ke arah selatan. Kicau burung kian rancak bersama sinar matahari yang mula terik.

"Masa," Khoja Lisut tidak menyambung kata.

Cepat-cepat saya palingkan muka ke arahnya. Saya lihat Datuk tumpukan seluruh perhatian ke arah Khoja Lisut. Rupa-rupanya keinginan Datuk seperti saya juga.

"Masa Pak Kiai nak putus nyawa, dia beritahu pada orang-orang di sekelilingnya yang dia memaafkan saya. Dia suruh anak buahnya mencari anak murid saya," Khoja Lisut menyambut kata yang terputus.

Di wajahnya tergambar kepuasan yang amat sangat dan bersedia meneruskan cerita. Khoja Lisut menelan air liur sambil kedutkan dahi, seolah-olah mengumpul ingatan pada peristiwa lalu.

"Teruskan cerita, kamu Khoja."

Suara Datuk agak meninggi, hujung kaki seluar sebelah kanan terus dilipatnya. Kemudian Datuk berpusing ke kanan sambil menggosok pangkal siku kiri berkali-kali.

"Teruskan Khoja, aku mahu mendengarnya makin cepat kamu menamatkan cerita, makin mudah aku membuat keputusan , sama ada cerita kamu itu benar atau pembohong," Datuk mendesak.

"Anak murid saya dibawa oleh anak buah Kiai menemuinya. Dia minta anak murid saya tu memberitahu saya yang dia telah memaafkan perbuatan saya padanya," begitu Khoja Lisut meneruskan ceritanya.

"Anak murid kamu tu, sampaikan pesan tu sendiri kepada, Khoja," soal Datuk lagi.

"Ya, saya terima pesanan tu."

"Apa yang kamu buat, bila kamu mendapat pesanan tu," tanya Datuk lagi.

Khoja Lisut terdiam, dia merenung ke arah saya. Dan Datuk tetap tidak mengubahkan pandangan ke wajah Khoja Lisut.

"Saya tergamam, saya tak sangka Kiai tu, begitu ikhlas dan baik hati," nada suara Khoja Lisut mula tersangkut-sangkut.

Dia tundukkan muka merenung lantai kembali. Bila mukanya diangkat dia merenung ke arah saya, rasa hiba bersarang dalam dada. Saya melihat genangan air jernih di kelopak matanya.

"Itu saja yang kamu rasakan, Khoja."

"Ya, itu saja."

"Kamu tak berusaha mahu berjumpa dengannya?"

"Oh ya," Khoja Lisut seperti tersentak.

Dengan nada suara yang amat lemah dia terus bersuara.

Dua hari setelah saya mendapat pesan tu, saya terus menuju ke rumah Pak Kiai, malangnya nasib saya," Khoja Lisut berhenti bercakap.

Dia menangis dengan semahu-mahu, macam budak kecil. Datuk biarkan Khoja Lisut menangis sampai dia berhenti sendiri.

BELAKANG

Bila Datuk merasakan perasaan Khoja Lisut sudah tenang dan damai, Datuk segera menepuk belakangnya dua tiga kali. Khoja Lisut terus memegang pergelangan tangan Datuk erat-erat.

"Kamu sampai ke rumahnya dan kamu diberitahu oleh anak buahnya yang Kiai itu meninggal dunia, dua hari yang lalu. Kamu menyesal kerana lambat bertindak, sepatutnya sebaik saja kamu menerima pesanan, kamu terus berjumpa dengannya," ungkap Datuk, tidak nampak ketegangan di wajah Datuk.

Saya kira dia mula simpati dengan apa yang dialami oleh Khoja Lisut.

"Kamu Tamar," saya tersentak bila Khoja Lisut menyebut nama saya.

"Jangan ikut apa yang pak cik buat, tak ada apa faedahnya."

Saya segera anggukkan kepala.

"Cubalah jadikan pengalaman yang pak cik alami sebagai teladan," tambahnya lagi, saya tetap anggukkan kepala.

Ada senyuman bermain di bibir Khoja Lisut. Agaknya, dia gembira kerana anggukkan kepala, seolah-olah saya menerima saranannya.

"Kamu beruntung dan bertuah Khoja."

"Bertuah?" sepasang biji mata Khoja Lisut terbeliak. Tepat merenung batang hidung Datuk.

"Ya," Datuk anggukkan kepala.

"Kau bertuah kerana Kiai yang kau aniaya tu, berjiwa besar," Datuk berhenti bercakap.

Dia melipat lengan baju hitam sebelah kiri hingga ke pangkal siku. Kemudian melunjurkan kaki kanan. Sebelum kaki kanan dilipat kembali, dia meraba buku lali kaki tujuh kali.

"Saya tak faham," Khoja Lisut kemukakan pertanyaan.

"Kiai tu begitu berjiwa besar, mengikut ajaran Islam yang betul. Dia tidak pendendam, hatinya memang mulia. Tidak ramai manusia yang dapat memaafkan perbuatan orang lain terhadap dirinya. Lebih-lebih lagi, perbuatan kamu yang aku anggap cukup kejam," tutur Datuk dengan tenang.

Khoja Lisut tidak berkata apa-apa. Khusyuk mendengar apa yang Datuk tuturkan.

"Kamu terlepas dari dosa sesama manusia, kamu tahu Khoja, dosa sesama manusia cukup berat, selagi tidak dimaafkan oleh Kiai, kau tak terlepas. Bila mati, roh kau akan didakwa di depan Allah, kau bertuah Khoja," nada suara begitu bersahaja.

"Saya faham, saya faham," suara Khoja Lisut tersekat-sekat.

Lagi sekali dia tunduk dan tersedu beberapa kali. Saya masih dapat melihat kesan air mata di pipinya bila dia berpaling ke arah saya.

LEMAH

Pada saat itu juga, saya terfikir bahawa sesungguhnya manusia ini, bila didatangkan ujian dan bala ke atas dirinya barulah mereka menyesal.

Dan pada saat itu barulah mereka sedar yang mereka adalah makhluk Allah yang lemah dan daif sekali. tidak mempunyai apa-apa pun di dunia ini.

"Lupakan semuanya tentang hal tu, Khoja. Bersyukurlah pada Allah kerana tindak-tanduk kamu yang keterlaluan itu sudah dimaafkan Kiai," Datuk cuba menanamkan ketenangan dalam diri Khoja Lisut.

Perlahan-lahan saya lihat Khoja Lisut mengesat air mata di pipi dengan hujung bajunya.

"Bagaimana dengan diri saya ni?"

"Maksud kamu, aku tak faham Khoja?"

"Mahukah awak mengubati sakit saya ni."

"Berikhtiar tu memang boleh, tapi untuk jamin baik bukan kuasa aku. Semuanya terletak pada kuasa Allah," selesai bersuara Datuk terus bangun.

Datuk berjalan ke arah pintu pondok. Berdiri di situ dengan kaki kirinya memijak bendul dan tangan kanannya berpaut pada alang pondok, sementara tangan kirinya terlekap pada bahagian rusuk perut.

Datuk merenung pepucuk pisang, melihat kepulan asap dari batang kayu yang dibakar oleh nenek.

"Tamar, cari nenek kamu."

"Bila, sekarang ni tuk?"

"Tentulah, sekarang."

Saya jadi serba-salah kerana Datuk berdiri di muka pintu pondok. Dari cara Datuk berdiri membayangkan hatinya tidak begitu tenteram. Dia mudah marah, kalau saya terlalu banyak bertanya atau meminta.

Kalau saya tidak mematuhi perintahnya pasti dia naik darah. Dalam keadaan yang serba salah itu, saya membuat keputusan yang amat mengejutkan. Saya terjun dari pondok melalui bahagian pondok yang terdedah.

Sebaik saja saya berjaya mengimbangkan badan dari jatuh tersungkur, dalam masa yang sama terasa sepasang telapak kaki pedih dan sakit.

Saya tidak mampu untuk mengatur langkah dengan segera. Terpaksa duduk di tanah sambil melunjurkan kedua belah kaki hingga rasa pedih dan sakit di telapak kaki hilang.

"Tamar."

Terdengar suara Datuk meninggi, saya mula resah tetapi, dalam rasa takut itu saya masih mampu memandang wajahnya. Tanpa disedari saya terus melangkah dan berdiri di depan tangga.

"Kenapa buat kerja bodoh, kenapa tak gunakan tangga. Apa, kaki kamu dah kuat sangat ke? Keras macam besi," Datuk meluahkan rasa kesalnya.

"Saya nak minta lalu kat Datuk, takut tuk marah, saya tengok tuk berdiri lain macam je," kata saya dengan berhati-hati.

"Sudahlah, aku tak mahu dengar cakap orang bodoh," pekik Datuk lalu beredar dari muka pintu pondok.

Saya terus melangkah arah ke selatan kebun pisang. Sayup-sayup saya terdengar suara ketawa Datuk dan Khoja Lisut.

Barangkali, mereka ketawakan saya. Memang susah jadi cucu pada Datuk yang banyak karenah, bisik batin saya.

Dari pangkal ke hujung, dari hujung ke bucu, nenek tidak juga saya temui. Setelah berpeluh dahi dan celah ketiak saya pun kembali ke pondok.

"Jumpa nenek kamu, Tamar?" itu yang Datuk ajukan bila terlihat batang hidung saya. Cepat-cepat saya gelengkan kepala.

Lagi sekali Datuk datang ke pintu pondok lalu dongakkan muka melihat matahari di langit.

"Dah dekat pukul dua belas lebih ni, nenek kamu dah balik," Datuk beri kata putus.

"Macam mana tahu, dah pukul dua belas lebih?" saya terdengar suara Khoja Lisut bertanya pada Datuk.

"Tandanya Helang Sawah mula keluar mencari rezeki, cuba kamu tengok di langit," Datuk memberi penjelasan.

Mungkin kerana puas hati dengan penjelasan yang Datuk kemukakan , Khoja Lisut tidak mengajukan pertanyaan lagi.

Anehnya, Khoja Lisut tidak pula berusaha untuk melihat Helang Sawah di angkasa.

Saya segera dongakkan kepala ke angkasa, saya lihat sepasang Helang Sawah mengembangkan kepak, terbang rendah mengikut arus angin dengan mata tertumpu ke bumi, bersedia untuk menyambar ular, katak, tikus dan apa saja yang merayap di bumi, asalkan boleh mengenyangkan perut.

Sekarang saya mula mengerti, kenapa setiap kali mahu menentukan waktu, Datuk sering merenung ke langit.

Biasanya Helang Sawah muncul di angkasa mengikut waktu tertentu . Pukul sebelas dia terbang tinggi, sukar untuk melihat warna bulunya. Antara jam dua belas hingga pukul satu dia terbang rendah.

Kira-kira pukul satu setengah hingga jam dua, terus menghilangkan diri. Muncul kembali jam tiga hingga pukul enam.

Waktu petang Helang Sawah tidak berada di tempat dia mula muncul ( pukul sebelas tadi) sebaliknya dia berlegar agak jauh kira-kira satu rantai dari tempat dia muncul pada sebelah pagi.

Tepat pukul lima dia akan berada di tempat dia muncul tadi (pukul sebelas pagi) kira-kira sejam lagi matahari mahu jatuh di kaki langit, (kira-kira pukul enam) Helang Sawah akan pulang ke sarangnya.

Ah, selain dari tanda-tanda burung helang itu, ada tanda-tanda lain yang Datuk gunakan. Saya harus belajar dengan mengamati gerak-geri unggas dan alam.

Kalau bertanya, tentu kena herdik. Daripada kena herdik, lebih baik perhatikan saja apa yang Datuk buat. Demikian saya membuat kesimpulan dalam hati.

BESAR

Saya pun melangkah ke anak tangga pondok. Bila anak tangga pertama saya pijak, Datuk meluru ke arah saya. Badan saya ditolak hingga berasa di halaman pondok semula.

Saya jadi panik dan terkejut besar dengan sikap Datuk itu. Saya cuba mengingati sesuatu kalau-kalau saya telah melanggar pantang-larang Datuk. Ternyata tidak ada satu pun kesilapan yang saya lakukan.

"Kenapa tuk?" dalam rasa takut saya bertanya.

"Kamu pergi ambil cangkul dan pencebak."

"Nak buat apa tuk?" cepat-cepat saya memintas cakap Datuk.

"Jangan biadab sangat, biarlah aku habis cakap dulu, baru bertanya," sergah Datuk dan dia segera meluru ke arah saya.

Dan saya bersedia menerima tempelak darinya kerana kebiadaban yang saya lakukan secara tidak sengaja. Saya beruntung kerana kemarahan Datuk tidak berlanjutan.

Saya segera menyusup bawah pondok dan keluar membawa cangkul serta pencebak. Berdiri tercegat depan Datuk untuk menerima perintah selanjutnya dari Datuk.

"Sekarang kamu pergi ke tebing sungai, cari kawasan gigi air yang berpasir. Dari gigi air tu, kamu melangkah songsang tiga belas tapak," Datuk berhenti bercakap.

Dia mengeluarkan secebis kain merah dari dalam saku bajunya. Kain merah selebar dua jari itu diikat ke kepala.

"Kamu tahu melangkah songsang tu, Tamar?" tanya Datuk, saya gelengkan kepala.

"Maksudnya begini, kamu melangkah ke belakang dengan mata dan badan kamu menghala ke arah sungai.

"Saya faham tuk."

"Di langkah penghabisan, langkah ketiga belas mesti berakhir dengan kaki kiri. Kamu tekankan tumit kaki kiri di situ, kemudian kamu koreklah lubang separas dada kamu," demikian Datuk mengeluarkan arahan.

Saya segera bergegas menuju ke sungai yang jaraknya tidak berapa jauh dari pondok. Sebaik sahaja saya sampai ke perdu durian patah dahan, terdengar suara Datuk memanggil nama saya. Segera saya berhentikan langkah.

"Lepas korek, kamu tunggu aku di situ, kalau lubangnya ada air, jangan kau buang airnya, bahagian bawah lubang kau taruh tanah liat," pesan Datuk lagi.

"Baik tuk."

"Kalau kamu nampak apa-apa masa kamu mengorek nanti, kamu jangan cakap apa-apa."

"Baik tuk."

Perjalanan yang terhenti saya teruskan.

TEBING

Lebih dari sepuluh minit saya mundar-mandir di tebing sungai, mencari kawasan yang berpasir.

Dan saya berhasil menemui selekoh sungai yang bahagian tepinya mempunyai kawasan berpasir yang berkeadaan seperti pantai.

Kawasan tersebut berdepan dengan sebuah lubuk yang dalam tetapi, air yang mengalir amat tenang.

Setelah mengikut kata dan petua Datuk, saya pun mula menggali lubang di pasir. Panas terik membuat seluruh tubuh saya berpeluh.

Saya berhenti menggali lubang, bila saya terdengar bunyi air sungai berkocak dengan kuat, saya tumpukan perhatian ke dada sungai yang lebarnya kurang satu rantai setengah.

Tidak ada apa-apa yang saya lihat, selain dari air sungai dan dedaun yang dibawa arus ke hilir. Saya kembali menggali lubang.

Baru lima enam kali tunduk bangkit mengaut pasir, saya terdengar lagi bunyi kocakan air sungai, saya segera merenung ke arah lubuk yang airnya bergerak tenang. Saya menggigit bibir bersama rasa cemas dan takut.

Dari hujung dahan jambu mawar yang terjulur di permukaan sungai (dalam jarak lebih kurang sepuluh kaki dari lubuk yang tenang) saya terlihat seekor ular sawa sedang berpaut di situ, ekornya sesekali memukul permukaan air sungai.

Ular sawa itu berhempas pulas mahu naik ke dahan jambu mawar. Usaha si ular itu berhasil.

Ah, pedulikan dia, jangan kacau dia. Biarkan dia hidup di situ. Barangkali si ular sawa itu dapat menghidu bau rezekinya di atas pokok jambu mawar, fikir saya dalam hati dan terus menyambung kembali kerja yang terkandas.

"Tamar."

Saya toleh ke arah suara itu, memang saya tidak menduga yang Datuk menjulang Khoja Lisut di atas bahunya. Saya juga merasa pelik, kenapa Datuk mengusung orang cacat itu ke sini.

Apakah Datuk mahu mencampakkan Khoja Lisut ke dalam lubuk? Macam-macam yang datang dalam fikiran saya.

"Dah siap?" soal Datuk dari jauh.

"Siapkan cepat, buat macam mana aku suruh, selagi lubang tu tak siap, aku tak boleh ke situ," lanjut Datuk yang sedang terkial-kial meredah pokok serunai laut dan keduduk yang menghalang perjalanan.

Saya terus korek lubang hingga selesai, kemudian mencampakkan tanah liat yang saya ambil dari dalam sungai, ke dalam lubang. Sebaik saja semua kerja selesai, Datuk terus berada di samping saya.

"Sudah siap Tamar?"

"Sudah tuk."

"Masuk kamu," suara Datuk keras dan dia terus mencampakkan Khoja Lisut ke dalam lubang.

"Timbus," sambung Datuk lagi.

Dia merampas cangkul dari tangan saya. Khoja Lisut yang separuh badannya berada dalam lubang tidak berkata-kata.

Dalam sekelip mata saja, badan Khoja Lisut terbenam dalam pasir hingga paras leher. Datuk mengeluarkan dua keping upih pinang dari dalam bajunya. Dia membuka lipatan upih pinang lalu dibentangkannya atas pasir.

Saya pasti, upih pinang yang sudah kering memang dibawa oleh Datuk dari rumah. Apa yang menakjubkan saya ialah, kepintaran Datuk menyembunyikan upih pinang kering dalam bajunya hingga tidak dapat dikesan oleh sesiapapun.

Bila kedua-dua upih pinang itu agak panas kerana terkena sinar matahari, Datuk ubahkan kedudukannya ke gigi sungai.

Bahagian pangkal upih terkena arus air sungai. Datuk ambil sekeping upih lalu dijadikan timba gayung.

"Tolong aku, kamu gunakan timba upih ini untuk ambil dari sungai dan siramkan ke kepala Khoja," saya pun segera menyambut gayung upih yang Datuk hulurkan.

"Kamu kira sampai seratus gayung, kamu berhenti, berdiri di depannya lebih kurang lima, kemudian ulang kerja kamu semula, buat kerja ni berulang kali, hingga dapat perintah berhenti dari aku," sambung Datuk lagi.

Saya angguk dan memulakan tugas yang saya kira cukup rumit dan amat membosankan di bawah sinar matahari yang amat terik.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 123/284

BACA: SBDJ Siri 122: Mengaku Keturunan Hang Jebat
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon