Friday, September 14, 2018

Pelawak Acappan Meninggal Dunia

Pelawak Acappan Meninggal Dunia

Pelakon dan pelawak terkenal, Acappan meninggal dunia pada Jumaat akibat kegagalan buah pinggang.

Acappan meninggal dunia

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah, mengesahkan berita berkenaan.

"Kami terima laporan mengenai kematian beliau sekitar jam lima pagi Jumaat.

"Anaknya, Yhuveneshwary memberitahu, Acappan menghembuskan nafas terakhir di sisi keluarganya kira-kira pukul 2.43 pagi di Taman Puchong Utama," katanya ketika dihubungi.

Acappan atau nama sebenarnya Samynathan Rethinam, 63, antara artis berbangsa India yang popular dalam dunia hiburan Melayu sejak tahun 1980an dan dicungkil bakat menerusi rancangan terbitan RTM.

Accapan meninggalkan seorang isteri iaitu Yogeswari Subramaniam 53, dan 3 orang anak iaitu Vikneshwaran Samynathan, 31, Dhineshwaran Samynathan, 28, dan Yhuveneshwary Samynathan, 24.

"Aku pernah jadi jahat dulu sebelum jadi pelawak"

Sabri Yunus - Acappan

Itulah ungkapan tegas yang pernah diucapkan pelakon Sabri Yunus kepada mendiang Acappan dalam satu insiden hinggakan rakan pelawaknya yang berbangsa India itu terdiam seketika.

Meskipun pada awalnya ia memang diucapkan dalam keadaan marah sebagai respons kepada kata-kata sensitif daripada Acappan, namun situasi 'terdiam' itu tidak lama.

Sabri kemudiannya kembali mendapatkan Acappan, lantas berkata, "Aku pun boleh berlakon serius tau..." lantas kedua-duanya saling ketawa. Perasaan janggal dan 'tegang' itu serta-merta hilang.

Itu merupakan antara kisah yang tidak dapat dilupakan Sabri apabila ditanya tentang pengalaman beliau bersama Acappan ketika mereka berlakon bersama pada satu ketika dahulu.

Bagi Sabri atau lebih dikenali sebagai Pok Ya menerusi lakonannya dalam telefilem Pok Ya Congcodei, beliau sangat menghormati mendiang dan menyatakan bahawa mendiang merupakan seorang pelawak yang mampu mencipta satu fenomena pada ketika itu selain beberapa pelawak kaum India yang lain.

Tambahnya, beliau sudah lama tidak bekerja dengan mendiang kerana mendiang sudah lama meninggalkan industri seni dan beliau juga memaklumkan bahawa mengetahui mendiang sakit cuma tidak percaya bahawa mendiang akan meninggalkan kita kerana komplikasi buah pinggang.

Semoga bertabah buat keluarga mendiang.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani | astroawani2

Kenapa Skim Pelaburan Haram Sangat Sukar Di Banteras, Benarkah Pihak Berkuasa Tidak Mengambil Tindakan?

Kenapa Skim Pelaburan Haram Sangat Sukar Di Banteras, Benarkah Pihak Berkuasa Tidak Mengambil Tindakan?

Seringkali kita mendengar beribu-ribu orang telah tertipu selepas menyertai skim pelaburan (baca scam), yang menjanjikan keuntungan lumayan dengan harapan menjadi jutawan segera hanya dengan modal kecil.

Kenapa Skim Pelaburan Haram Sangat Sukar Di Banteras

Pasti kita tertanya-tanya, kenapa seolah-olah tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa untuk menghalang atau menangkap dalang skim-skim scam pelaburan ini kan?

Pandangan saya ini adalah berdasarkan kepada pemerhatian dan kajian ringkas dari sudut perundangan tentang kenapakah seolah-olah tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap scammers tersebut.

Daripada kajian ringkas dan pemerhatian saya, sebenarnya tindakan ada diambil oleh pihak berkuasa terhadap skim-skim scam tersebut.

Misalnya Bank Negara sendiri di dalam laman web mereka telah menyenaraikan beratus-ratus syarikat dan skim-skim scam pelaburan tidak sah dan meragukan.

Penyenaraian ini bertujuan untuk memastikan agar orang awam lebih berhati-hati dan dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan skim-skim scam yang meragukan tersebut.

Bukan itu saja, daripada pemerhatian saya, memang terdapat beberapa kes yang telah disiasat oleh pihak Bank Negara atas dakwaan menerima atau mengambil deposit haram dan beberapa dakwaan lain di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan 1989.

Cuma memang saya akui, daripada tindakan yang diambil oleh Pihak Berkuasa tersebut, ianya hanya mewakili sejumlah kecil sahaja daripada kes-kes scam yang dilaporkan atau diheboh-hebohkan di media massa dan internet.

Bahkan, walapun setelah pihak-pihak yang telah tertipu dengan skim-skim scam tersebut membuat pengakuan terang-terangan bahawa mereka adalah mangsa kepada skim-skim tersebut sekalipun, seolah-olah tidak banyak langkah penyelesaian yang diambil oleh pihak berkuasa khususnya untuk membela pihak-pihak yang menjadi mangsa tersebut atau membawa scammers tersebut kemuka ke pengadilan.

Sebenarnya, saya tidak menyalahkan Pihak Berkuasa sepenuhnya dalam hal ini cuma saya berpendapat, masalah ini mungkin berlaku disebabkan oleh beberapa faktor:

1. Undang-undang yang ada di Negara kita berkenaan dengan skim-skim scam ini masih tidak establish sepenuhnya.

Kita belum ada satu undang-undang khusus untuk membanteras mahupun mendakwa pelaku-pelaku skim-skim scam tersebut, tanpa mengira apakah jenis dan method scam yang mereka lakukan.

Perkara ini mungkin juga berpunca daripada percanggahan dari segi bidang kuasa pihak-pihak berkuasa yang terbabit mahupun percanggahan dari segi prinsip undang-undang itu sendiri.

Misalnya, bidang kuasa yang ada pada pihak polis dan pihak Bank Negara sendiri mungkin tidak sama.

Ini kerana apabila berlaku sesuatu kes penipuan melibatkan skim-skim tersebut, laporan biasanya akan dibuat kepada pihak polis.

Pihak polis akan membuat siasatan terperinci atas laporan tersebut dan akan mengenalpasti dibawah peruntukan undang-undang mana satu kah kes tersebut akan disiasat dan didakwa.

Jika ianya bukan dibawah bidang kuasa pihak polis untuk membuat siasatan terperinci, kes mungkin akan dirujuk kepda pihak-pihak berkuasa lain seperti Bank Negara, SPRM dan lain-lain.

Dan apabila kes tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa yang lain, mereka pula akan memperhalusi sama ada laporan tersebut termasuk dalam bidang kuasa peruntukan undang-undang yang di peruntukkan kepada mereka atau sebaliknya.

Sebagai orang awam, kita mungkin merasa pelik dan bertanya, kenapa tidak diseragamkan terus tindakan yang boleh diambil, memandangkan kesemua agensi-agensi penguatkuasaan tersebut adalah di bawah Kerajaan.

Memang betul, dari segi teorinya, saya sendiri pun akan bertanggapan begitu, tetapi dari segi praktikalnya, ianya tidak semudah yang disangkakan.

Apabila tiadanya satu peruntukan undang-undang khusus dan seragam yang akan mengikat semua agensi-agensi penguatkuasaan yang terbabit berkaitan dengan kes-kes scam ini, proses penyeragaman dalam urusan penguatkuasaan dan tindakan-tindakan perundangan yang boleh diambil juga sudah pasti akan terjejas.

2. Percanggahan dari segi prinsip perlaksanaan undang-undang juga boleh menyebabkan tindakan mungkin sukar diambil terhadap kes-kes scam ini.

Misalnya percanggahan antara prinsip undang-undang jenayah dan prinsip undang-undang sivil.

Kes-kes yang melibatkan scam ini kadang-kadang agak sukar untuk kita klasifikasikan sama ada ianya adalah kes jenayah ataupun kes sivil.

Misalnya, banyak keadaan saya dapati, skim-skim scam ini mempunyai satu perjanjian bertulis diantara syarikat perlaksana dan ahli-ahli yang terlibat.

Bahkan, yang lebih mengejutkan lagi, perjanjian-perjanjian bertulis tersebut disediakan oleh peguam mereka sendiri.

Bukan itu saja, dari segi teori undang-undang kontraknya, skim scam tersebut mungkin mematuhi elemen-elemen kontrak yang menjadikan ianya satu kontrak sivil yang nampak sah, seperti adanya dua pihak yang berkontrak, adanya balasan dan kedua-dua mempunyai niat untuk mengikat antara satu sama lain sebagai satu ikatan kontrak.

Mungkin kita akan berkata, kontrak yang menyalahi undang-undang adalah tidak sah sejak dari awal, tetapi bagaimakah kita hendak katakan kontrak tersebut melanggar undang-undang sedangkan sebagaimana yang saya nyatakan di atas tadi, tiada satu undang-undang khusus pun yang memperincikan secara perundangan yang ianya adalah satu bentuk scam dan menyalahi undang-undang.

Maka apabila ini berlaku, sudah pasti pihak berkuasa mungkin kekurangan jurisdiction (bidang kuasa) untuk mengambil tindakan sewajarnya, memandangkan kes-kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes sivil sahaja.

Ini kerana kebanyakan pihak berkuasa hanya mempunyai bidang kuasa untuk menyiasat dan mendakwa sesuatu kes yang bersifat jenayah sahaja.

Jika ianya diklasifikasikan sebagai kes sivil, maka pihak-pihak yang merasa tidak berpuas hati dengan kontrak tersebut, hanya boleh memfailkan tindakan sivil sahaja terhadap syarikat-syarikat pelaksana skim-skim scam ini dan individu-individu dibelakangnya.

Kalaupun kes tersebut diklasifikasikan sebagai kes jenayah, siasatan perlu dilakukan dengan terperinci dan bukti perlu dianalisis dengan cermat sebelum pendakwaan boleh dibuat.

Ini kerana beban pembuktian dalam kes jenayah memerlukan pembuktian melampaui keraguan munasabah.

Ertinya, jika terdapat keraguan atau pertikaian pada kes tersebut walaupun sedikit, maka kes tersebut akan ditolak oleh mahkamah.

Selain itu, untuk mengambil tindakan sivil pula, mangsa-mangsa terpaksa melantik peguam dan mereka terpaksa mengeluarkan kos guaman untuk memfailkan tindakan tersebut.

Tindakan sivil tersebut bukanlah satu jaminan penuh yang mereka akan dapat semula hak-hak atau wang yang mereka telah keluarkan.

Silap haribulan, kalau pun mereka berjaya mendapat perintah mahkamah, ianya sekadar perintah atas kertas semata-mata dan bakal berhadapan dengan masalah untuk dikuatkuasakan.

Yang pasti, mangsa-mangsa yang terlibat terpaksa nengeluarkan kos untuk mendapatkan balik sesuatu yang belum pasti.

3. Pelaksana skim-skim scam ini pun bukannya orang biasa.

Ada sesetengah mereka terdiri daripada golongan intelek yang mengkaji loopholes (kelompong) yang ada dalam undang-undang negara kita berkaitan dengan skim scam yang mereka ingin laksanakan.

Tak dapat buat dari sudut ini, mereka buat dari sudut lain pula.

Otak mereka sentiasa ligat mencari peluang atas kelompong yang ada pada sistem undang-undang negara.

Bahkan, lebih mengejutkan mereka sendiri ada panel peguam yang akan menasihati mereka apa yang boleh dan apa yang tidak boleh di buat.

Dan kelompong-kelompong dalam undang-undang tadi akan dimanipulasi oleh mereka sepenuhnya untuk memperkenalkan skim-skim scam yang menarik perhatian orang awam.

4. Masalah penguatkuasaan juga mungkin menjadi rumit dan sukar diambil apabila mangsa-mangsa skim scam tidak memberi kerjasama kepada pihak berkuasa.

Atau mereka juga mungkin malu untuk tampil ke depan untuk mengambil tindakan perundangan terhadap pelaksana skim-skim scam tersebut.

Mereka juga mungkin bimbang diugut atau dicabar semula oleh individu-individu tertentu disebalik skim scam tersebut jika mereka memulakan tindakan perundangan terhadap mereka.

Oleh yang demikian, mereka hanya mendiamkan diri dan redho sahaja dengan apa yang berlaku.

Jika tiadanya kerjasama yang diberikan oleh mangsa-mangsa terbabit, bagaimana tindakan boleh diambil terhadap scammers tadi?

Maka saya berpendapat, langkah pencegahan dan tindakan mengelakkan diri daripada terlibat dengan skim-skim scam yang meragukan ini adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Pengusaha-pengusaha skim-skim scam ini berani aktif kerana mereka tahu masyarakat kita mudah sangat “kena kencing”.

Nampak imej Islam sikit mula cair dan terpengaruh, nampak orang tunjuk duit berkepuk dan kereta-kereta mewah terus ketar seluruh badan, sanggup berhutang piutang untuk ikutkan kehendak-kehendak scammers.

Nampak artis glamer jadi duta produk-produk mereka terus rasa teruja hendak join.

Pendek kata, langkah-langkah memberi kesedaran dari segi perundangan dan kesan-kesan kewangan yang timbul daripada masalah skim-skim scam ini harus dipertingkatkan.

Jadi saya fikir, jika kita hendak masalah ini di atasi, sama-samalah kita sendiri memainkan peranan menyedarkan orang-orang disekeliling kita supaya tidak terjebak dengan skim-skim scam tersebut.

Kita jangan terlalu mengharapkan pihak berkuasa untuk melindungi kita.

Sebaliknya, kekuatan dalaman kita sendiri di samping ilmu dan kesedaran yang tinggi mampu mengelakkan diri kita daripada terjerumus dengan skim-skim tersebut.

Justeru, marilah bersama-sama memberi kesedaran dan kefahaman kepada masyarakat dari segi perundangan agar masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan skim-skim scam yang meragukan dan memberi kefahaman kepada masyarakat agar mengikut amalan sebenar dalam setiap urusniaga yang disertai untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan dan penyelewengan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Salkukhairi Abd Sukor adalah peguam dan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Cara Sihat Yang Mudah Dalam Islam Tapi Sering Diabaikan

Cara Sihat Yang Mudah Dalam Islam Tapi Sering Diabaikan

Banyak yang tidak tahu, kerana memang tidak ada yang memberi tahu, jika usia sudah 50 tahun dan ke atas, sebaiknya tidak memilih joging, berlari, apatah lagi melompat.

Cara hidup sihat

Jangan sampai salah memperlakukan sendi lutut, akibat masih tetap joging, berlari, main tennis, badminton, bola tampar dan aktiviti fizikal lain yang membebankan sendi lutut.

Itu yang dimaksudkan dengan "pengetahuan sihat itu murah".

Contoh lain yang tidak boleh dilakukan di usia 50 dan ke atas ialah, tidak memijak batu kerikil tanpa alas kaki sehingga saraf tapak kaki menderita radang akibat tertekan kerasnya kerikil yang sangat keras kerana memikul beban tubuh.

Alasan bahawa itu sebagai refleksologi memang tidak boleh diterima akal yang sihat.

Refleksologi?

Tekanan yang boleh diterima tapak kaki hanya dilakukan oleh ibu jari tangan saja yang tekanannya paling kuat hanya sekitar 5 kg, namun apabila berdiri di atas kerikil, tekanannya adalah seberat beban tubuh.

Kerana tidak ada yang memberitahu dan hanya kerana mendengar kata-kata orang, bahawa memijak batu kerikil tanpa alas kaki amat menyihatkan, maka yang mahu menjadi sihat telah menjadi korban kerosakan saraf tapak kaki.

Kesan buruk memijak batu kerikil itu boleh mengakibatkan terjadinya fascitis/plantaris.

Murahnya pengetahuan yang memberi informasi tidak memijak kerikil tanpa alas itu menjadi mahal kalau kita tidak tahu.

BAGAIMANA MERAWAT SAKIT DALAM ISLAM?
  • YOGA orang Islam itu dengan gerakan SOLAT.
  • MEDITASI orang Islam itu duduk tenang sambil berZIKIR.
  • SELF HEALING orang Islam itu melakukan MUHASSABAH.
  • DETOX orang Islam adalah dengan rajin berPUASA.
  • PEMBERSIHAN orang Islam boleh dengan SEDEKAH.
  • VITAMIN orang Islam adalah sikap MUDAH MEMAAFKAN.
  • AWET MUDA orang Islam, TIDAK MENCAMPURI urusan yang tidak perlu.
  • NUTRISI TERBAIK orang Islam adalah BERBAIK SANGKA (Huznuzon).
  • PEMBERSIH HATI orang Islam dengan menahan GHIBAH (mengumpat).
  • PENYUCI JIWA orang Islam adalah, Menjauhi sifat IRI HATI & DENGKI.
  • PENGAWET PAHALA orang Islam, Tidak RIAK.
  • PENCEGAH HURU HARA orang Islam, Menghindari PERDEBATAN.
  • PENGUKUR RENDAH HATI orang Islam, Tidak menceritakan KELEBIHANNYA kepada orang lain.
  • PENDETEKSI KEIKHLASAN orang ISLAM, Tidak menyebut KEBAIKAN dan KEBAJIKANNYA.
  • SARIPATI dalam beribadah itu adalah DOA dan ROHnya dalam beramal itu adalah IKHLAS.

UBAT-UBATAN MUJARAB
  • Sering sakit = silakan puasa.
  • Wajah gelap = solat Dhuha.
  • Hati sempit = baca Al-Qur'an.
  • Susah bahagia = solat tepat waktu.
  • Emosi kacau = wudhuk dan istighfar.
  • Gelisah = banyak doa dan olahraga.
  • Tertekan = baca "lahaula walaquwwata illa billah".
  • Kurang berkat rezekinya = dekati yang halal saja.
  • Miskin melulu = muliakan orang tua dan banyak bersedekah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Thursday, September 13, 2018

Ketahui 5 Penyakit Perlu Diawasi Ketika Musim Hujan Dan Banjir

Ketahui 5 Penyakit Perlu Diawasi Ketika Musim Hujan Dan Banjir

Apabila musim hujan, penyakit berjangkit akan meningkat dan yang mempunyai penyakit kronik pula akan menjadi parah jika tidak diawasi.

Musim Hujan Dan Banjir

Hujan tanpa henti di sesetengah tempat sehingga menyebabkan banjir sememangnya memberikan impak besar kepada kesihatan kita kerana keadaan persekitaran yang tidak bersih menyebabkan makanan dan minuman mudah tercemar.

Berikut adalah 5 jenis penyakit yang perlu diawasi semasa musim hujan dan banjir.

1. Cirit-birit

Penyakit cirit-birit biasanya dikaitkan dengan kebersihan makanan dan minuman.

Untuk mengelakkan dari terkena penyakit cirit-birit, pihak kementerian kesihatan menyarankan agar masyarakat membiasakan diri mencuci tangan dengan sabun setiap kali makan dan selepas buang air besar serta mengambil air minum yang benar-benar masak.

Jika terkena cirit-birit:
  • Banyakkan meminum air bagi menggantikan cecair badan yang hilang. Garam ORT juga dapat membantu.
  • Minum teh kosong tanpa gula juga boleh melegakan cirit birit.
  • Elakkan pengambilan susu ketika cirit birit.
  • Ketika cirit birit, dinasihatkan supaya kita minum secara sedikit-sedikit daripada meminum air dengan banyak dalam satu masa, kerana perut kita yang kejang tidak dapat menerima air yang banyak dalam satu masa dan akan menyebabkan kita muntah.

2. Demam denggi

Air banjir akan berpotensi menjadi sarang nyamuk Aedes Aegypti yang membawa penyakit demam denggi.

Pastikan anda lakukan teknik 3M, iaitu menanam tin-tin dan bekas kosong supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, longkang tempat takungan air dan menutup rapat tempat simpanan air bersih.

Demam denggi bermula dengan demam mengejut, sakit kepala teruk, sakit di belakang bebola mata, sakit sendi dan otot (myalgias dan arthralgias, sakit pinggang yang teruk menyebabkan ia juga digelar demam tulang-pecah – break-bone fever) dan gatal-gatal.

Ciri-ciri keradangan demam denggi adalah bintik-bintik merah terang dan biasanya muncul di anggota bahagian bawah – pada sesetengah pesakit, ia merebak hampir kepada keseluruhan tubuh.

Jika terkena demam denggi:
  • Memberi minum sebanyak-banyaknya dengan air yang sudah dimasak, seperti air susu, teh, atau air minum lain.
  • Sementara itu si pesakit juga boleh diberikan air sejuk dan diberi ubat seperti paracetamol.
  • Pesakit harus segera di bawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
  • Sekiranya pesakit tidak mahu/mampu minum, tambahan melalui cecair intravena mungkin diperlukan untuk menghalang kekeringan dan hemoconcentration teruk.
  • Pemindahan darah mungkin diperlukan sekiranya bilangan platelet turun dengan banyaknya.

3. Leptospirosis (Penyakit kencing tikus)

Ada banjir, ada tikus. Maka penyebaran penyakit Leptospirosis ini sangat terdedah hubungannya dengan haiwan seperti tikus.

Biasanya penyakit ini timbul akibat pencemaran tahi atau urine tikus ke dalam air banjir.

Manusia boleh dijangkiti melalui hubungan dengan air, makanan atau tanah yang mengandungi kencing haiwan yang dijangkiti ini.

Ini mungkin berlaku dengan menelan makanan atau air yang dicemari atau melalui sentuhan luka pada kulit.

Tanda seseorang terkena penyakit ini adalah apabila warna kulit kekuningan disertai dengan cirit-birit.

Jika terkena Jangkitan Kencing Tikus:
  • Rawatan Leptospirosis merupakan proses agak rumit terdiri daripada dua komponen utama: memendam agen penyebab dan melawan kemungkinan komplikasi.
  • Penjagaan organ khusus dan rawatan adalah penting bagi kes buah pinggang, hati, atau pembabitan jantung.

4. Jangkitan pernafasan akut (ISPA) / Bronchitis

Mangsa banjir yang dipindahkan ke bilik rawatan yang dikongsi juga terdedah dengan penyakit dan salah satunya adalah jangkitan saluran pernafasan akut (ISPA).

Peredaran udara yang tidak sihat di dalam bilik yang penuh orang akan menjadi ruang di mana pelbagai virus dan bakteria membiak dan menyerang pernafasan.

Tanda seseorang terkena penyakit ini adalah batuk, sesak nafas, sakit dada dan demam.

5. Alahan dan Gatal di kulit

Penyakit ini timbul akibat air banjir yang kotor dan tercemar pelbagai kotoran dengan itu, disyorkan untuk tidak melakukan aktiviti di waktu banjir. Alahan dan gatal ini ditandai dengan bintik-bintik merah di kulit dan gatal seluruh badan.

Dengan menjaga kebersihan di musim hujan dan banjir, boleh meminimumkan kemungkinan penyebaran penyakit berjangkit ini.

Sangat disyorkan untuk segera melakukan pemeriksaan dan rawatan apabila terdapat tanda-tanda penyakit di atas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wanista

8 Punca Kenapa Anak Selalu Demam

8 Punca Kenapa Anak Selalu Demam

Sekiranya anak kecil anda berulang-kali mengalami demam selsema, ia masih dianggap normal walau bagaimanapun, jika sakit terlalu kerap, ibu bapa tentunya risau.

Anak Selalu Demam

Di mana agaknya silap kita dalam menjaganya? Adakah anak selalu sakit disebabkan cara penjagaan yang salah atau masalah pada persekitaran yang tidak sihat?

8 SEBAB ANAK SELALU SAKIT DAN DEMAM

Jika anak selalu sakit, cuba periksa 8 perkara ini terlebih dahulu.

1. TERDEDAH PADA VIRUS DI PUSAT JAGAAN

Menurut pakar, pusat penjagaan kanak-kanak boleh diibaratkan sebagai lubuk virus dan bakteria yang boleh menyumbang kepada penyakit seperti selsema dan penyakit tangan, kaki dan mulut.

Anak-anak kecil yang bergaul bersama lebih mudah dijangkiti kuman.

Mereka juga masih kecil dan sering lupa untuk menutup mulut dan hidung ketika bersin atau batuk oleh itu, kuman lebih mudah tersebar.

Ingatkan pada anak anda untuk membasuh tangan selepas pulang dari taska dan segera tukar baju.

Pastikan taska tersebut mengamalkan kebersihan pada cara penyediaan makanannya, persekitarannya dan pada anak muridnya.

2. SELALU MAKAN MAKANAN RINGAN

Makanan ringan bukan sahaja tidak berkhasiat, malah menjadikan anak lebih cenderung dijangkiti penyakit. Kuatkan sistem imuniti anak anda dengan memberikannya makanan kaya ‘phytonutrien’.

Menurut pakar pemakanan, makanan kaya phytonutrient mudah dikenali kerana warnanya yang terang.

Buah-buahan dan sayuran yang kaya phytonutrien ialah seperti beri biru, keledek, tomato dan bayam.

Lebihkan juga pengambilan makanan kaya Vitamin C seperti buah oren, vitamin D seperti tuna dan bijirin serta probiotik yang terdapat dalam yogurt untuk sistem imuniti yang lebih kuat.

3. ANAK TAK CUKUP TIDUR

Jangan biasakan anak tidur lewat dengan gajet di tangan atau menonton televisyen sehingga lewat malam.

Ajarkan juga supaya lakukan kerja sekolah lebih awal supaya tidak perlu bersengkang mata untuk siapkannya.

Kanak-kanak yang tidak cukup tidur membuatkan aktiviti sel darah putih yang melawan penyakit hilang kesannya. Untuk anak di bawah umur 13 tahun, pastikan mereka mendapat tidur 10 jam sehari.

Corak tidur yang konsisten dapat menguatkan sistem imuniti dalam badan mereka.

4. ANAK KURANG BERGERAK AKTIF

Tidak kiralah kanak-kanak atau dewasa, bersukan adalah cara terbaik untuk kekal sihat bertenaga. Jangan asyik terperap saja di rumah menonton kartun. Ajak anak anda ke taman permainan atau keluar bersiar-siar.

Menurut kajian, bila anak lebih aktif bermain, sistem imunitinya menjadi lebih aktif bagi melawan jangkitan virus.

5. BERKONGSI BARANG

Anak-anak kecil suka menerokai dunia sekeliling dengan menyentuh objek dan berinteraksi dengan orang lain. Mereka juga suka berhubung dengan kanak-kanak lain dengan berkongsi mainan dan makanan.

Biasakan anak untuk selalu membasuh tangan selepas bermain. Bekalkan mereka dengan ‘hand sanitizer’ jika perlu.

Ingatkan mereka untuk tidak menyentuh muka sendiri jika tangan tidak bersih kerana virus lebih mudah masuk melalui mata, hidung dan mulut. Latih mereka untuk tidak berkongsi cawan, straw dan berus gigi.

6. MANGSA ASAP ROKOK

Satu lagi perkara yang mungkin anda terlepas pandang adalah tentang bahayanya asap rokok terhadap bayi dan kanak-kanak.

Tidak kiralah sama ada anda merokok di hadapan atau di belakang anak, situasi ‘secondhand smoker’ tetap akan menjejaskan kesihatan mereka. Ini kerana, anak-anak memiliki organ dan sistem pernafasan yang sangat sensitif.

Bahkan, dilaporkan bahawa kanak-kanak yang tinggal bersama perokok lebih berisiko mengalami jangkitan kuman pneumonia dan kematian mengejut.

Jika pasangan anda adalah perokok tegar dan masih belum boleh berhenti merokok, ingatkan mereka untuk mandi dan menukar pakaian setiap kali sebelum memegang bayi.

7. ELAKKAN BERSESAK DI TEMPAT AWAM

Risiko pendedahan penyakit meningkat dengan gejala ‘overcrowding’ di mana terlalu ramai orang dalam satu tempat.

Terdapat seribu satu kuman yang berlegar-legar di ruang udara yang padat dengan manusia, dan kuman ini mampu menyelinap masuk ke dalam tubuh anak kecil dengan lebih mudah kerana sistem pertahanan mereka yang belum matang.

Semasa memilih pusat asuhan atau taska, pastikan nisbah antara penjaga dan kanak-kanak seimbang dan jika makan di luar, pilihlah tempat yang bersih dan makanan yang diselia rapi.

8. SAY NO TO JUNK FOOD & FAST FOOD

Burger, nugget, pizza, kerepek, coklat, kek, gula-gula, dan air kotak. Sedap memang sedap. Senang nak dapat. Nak masak pun cepat.

Tapi semua makanan ini amat kurang nilai nutrisi, bahkan mengandungi kandungan garam, gula, pengawet, bahan perasa, serta pewarna tiruan yang tinggi. Nak makan sekali-sekala tak apalah, tapi jangan jadikan ia kebiasaan.

Mahu atau tidak, kita sebagai ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membantu mereka menghentikan tabiat ini dan sebaliknya cubalah perkenalkan sumber makanan yang segar, homemade dan lebih terjamin khasiatnya.

Dengan khasiat ini, barulah sistem imuniti tubuh anak dapat berfungsi dengan lebih efisyen.

SISTEM IMUNISASI ANAK SEDANG BERKEMBANG

Mengelakkan anak dari penyakit bukan perkara mudah. Kita juga perlu faham yang anak kecil lebih sering sakit kerana sistem imunisasinya sedang berkembang. Kekerapannya untuk jatuh sakit akan berkurang apabila anak semakin membesar.

Ibu bapa perlu memberikan yang terbaik untuk mengekalkan kesihatan anak. Biasanya penyakit anak akan baik sendiri dengan penjagaan rapi oleh ibu bapa.

Jika penyakit berlarutan agak lama, segeralah dapatkan nasihat doktor.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: zuriat

Wednesday, September 12, 2018

Adakah Air Paip Berklorin Selamat Diminum Mentah?

Adakah Air Paip Berklorin Selamat Diminum Mentah?

Semakin lama semakin banyak pakej penapis air ditawarkan dari jenama-jenama yang dikatakan pakar dalam bidang penapisan air. Ramai juga pelanggan mereka nampaknya kerana semakin ramai ejen yang menjual produk tersebut.

Minum air paip

Walaupun begitu, pernahkah kita terfikir apa keperluan penapis air itu di rumah kita?

Berikut adalah beberapa jawapan yang telah dikongsikan oleh pihak Syabas untuk menjelaskan kepada masyarakat adakah benar keperluan penapis air itu di rumah kita?

Adakah itu semua hanya strategi pemasaran? Apa penjelasan sebenar? Banyak persoalan kan? Jom kita baca.

1. Apa standard kualiti air negara kita?

Kita melaksanakan standard National Standard for Drinking Water Quality (Versi kedua Januari 2004) yang diadaptasi dari standard WHO untuk taraf kualiti air minuman.

2. Adakah air dengan klorin selamat di minum?

Ya. Klorin digunakan untuk membasmi kuman di dalam air. Amaun yang digunakan adalah selamat untuk kegunaan kita dan sekadar untuk membunuh kuman dalam air.

3. Adakah air dengan florida selamat di minum?

Ya. Tidak ada kajian setakat ini yang membuktikan kehadiran florida dalam air mampu menyebabkan kanser, kerosakan buah pinggang atau penyakit tulang.

Sebaliknya, dalam dos yang betul, florida mampu mencegah penyakit kaviti gigi.

4. Kenapa air rumah saya kuning/coklat?

Itu adalah lebihan aluminium, besi dan manganese yang akan dialirkan di dalam air jika berlaku kerja baik pulih perpaipan.

Ia juga mungkin menunjukkan sistem perpaipan di rumah/bangunan anda sudah perlu diganti.

5. Adakah air di rumah kita selamat diminum terus dari paip?

Jawapannya, YA. Walaupun begitu, jika terdapat kesan seperti yang dinyatakan dalam soalan no.4, lebih baik pemeriksaan dilakukan.

6. Siapa yang bertanggungjawab dengan sistem perpaipan di dalam rumah dan tangki simpan air jika berlaku kekotoran bekalan air?

Adalah menjadi tanggungjawab pengguna untuk memastikan penyelenggaraan perpaipan dalam premis rumah mereka.

Dapatkan senarai tukang paip yang berdaftar dari laman web SPAN untuk maklumat lanjut.

7. Berapa lama tempoh jangka hayat sistem perpaipan rumah kita?

Bergantung kepada materialnya. Jika sistem menggunakan besi, 5-10 tahun.

Untuk sistem yang menggunakan high density polythylene (HDPE) atau dalam bahasa mudahnya plastik, 15-20 tahun.

8. Adakah baik untuk menggunakan penapis air di rumah?

Sebenarnya, pihak SYABAS TIDAK MENGGALAKKAN kita memasang penapis air pada kedudukan selepas meter air.

Apabila penggunakan penapis air sebegitu digunakan, ini akan mengurangkan kewujudan Free Residual Chlorine (FRC) yang tugasnya adalah menghalang pembentukan bakteria dalam tangki air di mana airnya tidak bergerak.

Ini akan menyebabkan kegatalan kulit.

9. Tidak perlu penapis air langsung?

Pihak SYABAS mencadangkan jika pengguna merasa ada keperluan penapis air, gunakan penapis air yang berdekatan dengan kawasan sinki.

10. Apa jaminan pihak pengendali bekalan air dalam penggunaan penapis air?

Tidak ada jaminan kerana penapis air termasuk dalam kawalan pihak pengeluar produk yang termasuk dalam bidang kuasa KPDNKK.

Ini juga termasuklah kualiti air yang dibekalkan oleh mesin layan diri 20 sen yang menggunakan sistem dispenser untuk bekalan air.

Pihak pengguna perlu mengawasi kualiti air yang dibeli dari mesin seumpama itu.

Jelas tak garis panduan sebenar penggunaan penapis air di negara kita?

Harapan saya agar panduan ringkas ini dapat membantu serba sedikit menjawab beberapa persoalan yang bermain di minda anda semua, apatah lagi apabila kita selalu risau melihat air yang sampai ke rumah kita.

Jadilah pengguna yang bijak.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, September 11, 2018

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Tiada kerja yang mudah di dunia ini kerana semuanya mempunyai cabaran dan tekanan masing-masing, dari bekerja sendiri sehinggalah bekerja di bawah boss, ada sahaja masalah yang akan dihadapi, namun kita haruslah bijak mengendalikan tekanan tersebut.

Namun, terdapat beberapa jenis pekerjaan yang tekanan diterima melebihi kerjaya-kerjaya lain. Apa yang membuatkan sesuatu kerja itu sangat stres? Adakah ia tekanan daripada pihak atasan atau masyarakat? Adakah kerja yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental? Ataupun kerja yang berhadapan dengan risiko kecederaan dan kematian?

Kali ini kami ingin berkongsi 6 pekerjaan yang kami rasa paling stres di dunia.

1. Tentera bertugas

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Sama seperti polis, namun ia lebih meluas kerana tugas mereka menjaga keselamatan negara daripada ancaman luar.

Kerja ini memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang sangat tinggi dan sebagai seorang tentera yang sedang bertugas, mereka sentiasa berhadapan dengan risiko yang sangat tinggi.

Ia ditambah lagi dengan latihan yang sangat mencabar dan memeritkan yang menguji kejantanan setiap anggota. Terdapat di antara mereka yang tidak tahan akan tekanan ini dan melarikan diri.

Selain itu, kerja mereka memerlukan mereka sentiasa berjauhan daripada ahli keluarga juga memberi tekanan yang tinggi.

2. Perdana menteri

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Jika guru perlu berhadapan dengan murid sekelas, juruterbang dan pramugara perlu melayan kerenah beratus penumpang, tetapi perdana menteri harus berhadapan dengan jutaan rakyat jelata.

Ia sememangnya satu tanggungjawab yang sangat tertekan, sehinggakan boleh memberi kesan negatif kepada kehidupan harian.

Bukan calang-calang orang boleh menjadi pemimpin, beliau haruslah bijaksana dan mampu mengawal orang bawahan, serta tekanan yang mendatang.

Beliau juga harus berlaku adil dan tidak menggunakan kuasa sewenang-wenangnya yang boleh merosakkan sesebuah negara kerana jika salah sikit, pasti akan dipersalahkan dan dihentam.

Tekanan untuk menjaga kebajikan dan memastikan setiap rakyat hidup dalam keadaan baik sangat tinggi.

Setiap masalah negara, sama ada dari segi keselamatan, kewangan mahupun keamanan, semuanya berada di atas bahu pemimpin dan tiada apa yang lebih berat di dalam dunia ini lebih daripada amanah.

Betapa sukar menjadi seorang pemimpin boleh kita lihat daripada kisah Saidina Umar sendiri di mana beliau dikatakan sedang tidur pada siang hari oleh Muawiyah, lalu Saidina Umar menjawab;

"Sungguh tidak baik sekali apa yang engkau katakan itu dan alangkah buruknya apa yang engkau sangkakan itu. Jika aku tidur di waktu siang, maka sesungguhnya aku telah mengabaikan rakyatku dan jika aku tidur di waktu malam maka aku telah merugikan diriku sendiri (kerana tak bangun solat malam). Jadi beritahu padaku bagaimana aku dapat tidur di kedua-dua waktu tersebut wahai Muawiyah?"

Sehingga begini hebat sekali tekanan dan tanggungjawab yang harus dihadapi oleh seorang pemimpin yang amanah dan bertanggungjawab.

3. Juruterbang dan krew pesawat

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Ramai orang beranggapan kerja sebagai juruterbang mudah dan senang, ditambah dengan persepsi bahawa kerjaya ini memberi pulangan yang lumayan serta popular, namun itu apa yang dilihat dari luaran sahaja, realitinya tidak semudah itu.

Banyak perkara yang harus dilakukan oleh juruterbang yang boleh memberikan tekanan yang tinggi pada diri. Tanggungjawab mereka sebagai ketua dalam pesawat bukanlah sesuatu yang mudah.

Jika doktor merawat satu pesakit dalam satu masa sudah boleh menyebabkan tekanan, apatah lagi juruterbang yang berpuluh atau beratus nyawa berada di dalam tangan mereka.

Memanglah ajal maut di tangan tuhan, tapi mereka juga memainkan peranan, mengawal pesawat yang besar, di atas langit yang tinggi tidak diketahui cuaca yang mendatang dan kadang-kadang terpaksa melayan kerenah penumpang.

Bagi pramugari dan pramugara pula, kerja melayan kerenah orang ramai pastinya sesuatu yang sangat sukar.

Bukan seorang atau dua orang atau 30 orang seperti kerja guru, tetapi beratus orang dan dalam beratus orang itu, masing-masing ada kerenah masing-masing. Bukan kanak-kanak saja, orang dewasa pun banyak kerenah.

Kadang-kadang perkara yang bukan kerja mereka pun harus mereka selesaikan seperti bayi menangis dan penumpang mendesak mahukan sesuatu yang tiada dalam menu.

Kalau dapat penerbangan ke China, itu lebih parah. Mereka ini pula ada yang bekerja sehingga berbelas jam satu shift dan hampir kebanyakan masa mereka akan berjalan dan berdiri.

4. Pegawai perubatan

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Memang tak dinafikan, sebagai seorang pegawai perubatan, sama ada doktor atau pembantu perubatan dan jururawat, kerja-kerja seperti ini sangat memerlukan kesabaran dan mengendalikan tekanan dengan baik.

Mereka ini adalah hak masyarakat di mana sentiasa perlu berkhidmat, tak kira masa dan waktu. Pekerjaan yang berhadapan dengan orang awam setiap masa dan melayan kerenah pesakit bukan sesuatu yang mudah.

Bagi doktor yang kerja melebihi had yang boleh ditahan oleh tubuh badan seperti 36 jam, sangat mencabar dan tertekan.

Ditambah pula jika mempunyai pesakit yang tidak memahami, pastinya menambahkan lagi tekanan, seperti melakukan pembedahan juga menyebabkan rasa cemas dan tertekan. Itu belum lihat statistik kematian doktor akibat kemalangan kerana terlalu letih dan penat bekerja lebih masa.

Bagi jururawat pula, mereka melakuka kerja-kerja yang tidak dilakukan doktor dan ia sama mencabar. Membersihkan najis pesakit antara salah satu perkara yang sangat memerlukan ketabahan.

Jika anak-anak sendiri tidak mampu dan geli mahu bersihkan najis ibu bapa mereka yang sudah tua, apatah lagi jururawat, orang luar.

Apa yang mereka cakap adalah itu kan kerja jururawat, bukan kerja kami, tapi walau apapun jururawat tetap melakukan tanggungjawabnya. Sangat hebat.

5. Anggota polis

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Tanggungjawab anggota polis adalah menjaga keselamatan awam dan apa sahaja yang berkaitan dengan orang awam, sememangnya memberikan tekanan. Jenayah semakin berleluasa dan semua ini diletakkan di bahu pihak polis.

Kadang-kadang tu yang tak ada mengena dengan polis pun, tapi perlu dipertanggungjawabkan dan tekanan daripada masyarakat sememangnya memberikan tekanan yang amat tinggi.

Selain itu, menjadi anggota polis sentiasa berhadapan dengan situasi berisiko yang boleh menyebabkan kematian, tak termasuk perkara yang memerlukan tenaga fizikal.

Dan yang paling stres bila dikaitkan dengan rasuah, walaupun anggota tersebut bersih dari gejala rasuah, namun kotoran masih terpalit, hanya kerana menjadi anggota polis.

Banyak juga kes-kes yang berat yang memerlukan penyiasatan yang sangat rumit tidak diketahui masyarakat.

Masyarakat hanya melihat kes-kes yang kecil dan tular namun tugas anggota polis lebih daripada itu dan bagi kes-kes berat bukanlah mengambil masa 30 minit atau 1 jam seperti dalam filem kerana ia memakan masa yang lama dan mereka yang terlibat sangat tertekan.

6. Guru

6 Pekerjaan Paling Stres Di Dunia

Kerjaya sebagai seorang guru sememangnya satu pekerjaan yang sangat mencabar kerana sebagai guru, mereka bukan sahaja bertanggungjawab mengajar subjek-subjek di sekolah, malah menjadi ibu bapa kedua bagi murid-murid.

Jika ibu bapa yang mempunyai beberapa orang anak pun sudah tertekan dengan kerenah anak-anak, bayangkan bagaimana tekanan yang seorang guru hadapi.

Masyarakat sering beranggapan bahawa pekerjaan sebagai seorang guru adalah mudah, gaji tinggi dan juga cuti panjang, namun mereka tidak tahu semua mata dan kepala asyik memandang ke arah guru.

Setiap kesilapan dan kesalahan murid, pasti jari-jari akan menuding ke arah guru. Markah peperiksaan tak bagus, salah guru. Masalah sosial dan buli di sekolah, juga salah guru.

Dan di zaman moden ini, ada grup whatsapp antara guru dan ibu bapa pula tu. Dah habis kerja di sekolah, balik nak rehat, ibu bapa pula asyik whatsapp di grup tanya pasal anak.

Pensel anak saya hilang, jam anak saya hilang, buku anak saya hilang, itu semua guru yang perlu menjawab.

Tekanan dari ibu bapa yang tak memahami memang mengundang stress yang sangat tinggi. Siapa cakap mudah jadi guru?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi.

Monday, September 10, 2018

10 Negara Yang Mengharamkan Rokok

10 Negara Yang Mengharamkan Rokok

Asap rokok sudah terbukti boleh membahayakan kesihatan tubuh, bahkan bagi orang yang tidak merokok dan di beberapa negara sudah menetapkan peraturan larangan merokok, yang bertujuan untuk meningkatkan kesihatan kepada masyarakat.

10 Negara Yang Mengharamkan Rokok

Beberapa negara di dunia yang bersih dari asap rokok, dengan menerapkan peraturan ketat tentang larangan merokok di tempat-tempat umum.

Berikut adalah negara-negara yang bersih dari asap rokok.

1. Iceland

Di negara salji yang berada di antara Atlantik utara dan Lautan Artik ini, perokok memiliki ruangan khusus agar rakyatnya yang tidak merokok dapat menikmati suasana tanpa asap rokok di restoran, bar dan dimana sahaja.

2. Ireland

Ireland adalah salah sebuah negara yang secara tegas melancarkan kempen melawan asap rokok.

Ireland sebenarnya adalah negara pertama di dunia yang melarang perbuatan merokok di tempat tertutup.

3. Australia

Di negeri Kanggaru, jumlah iklan anti rokok sangat banyak kerana kesedaran pihak kerajaan tentang pentingnya persekitaran yang bersih.

4. Singapura

Singapura adalah salah satu negara di Asia yang ketat dengan peraturan merokok.

Perkara ini boleh dilihat dari tingginya harga rokok yang dijual di Singapura, $S13 (RM40+-) bagi rokok 20 batang.

Singapura juga secara tegas mengenakan denda yang tinggi terhadap pelancong yang menyeludup rokok.

5. New Zealand

New Zealand adalah negara yang bertekad untuk 'menghapuskan' sama sekali rokok  menjelang tahun 2025, dengan terus menaikkan harga rokoknya.

Kerajaan New Zealand telah merancang pada tahun 2020 untuk menjual rokok N$28 sekotak dan ketika ini, harga rokok dijual pada harga N$28 bagi kotak 20 batang.

6. Kanada

Beberapa tahun belakangan ini, Kanada menjadi negara bebas asap rokok, sehinggakan ramai pelancong luar berkunjung semata-mata untuk menghirup udara segar.

7. Norway

Beberapa tahun kebelakangan ini, jumlah perokok di Norway semakin menurun, selepas larangan merokok yang diterapkan sejak tahun 2004, di semua tempat tertutup.

8. Scotland

Pada tahun 2009, negara berjiran dengan Britan ini telah membahas mengenai larangan penjualan rokok.

Selain itu, Scotland juga telah menaikkan harga rokok menjadi £10 sekotak 20 batang pada tahun 2010 dan merancang kenaikan sehingga £20 menjelang tahun 2020.

9. Uruguay

Pada tahun 2006, Uruguay adalah negara pertama di Amerika Latin dan negara kelima di dunia yang menguatkuasakan larangan merokok di kawasan tertutup.

10. Argentina

Anggota Parlimen Argentina telah meluluskan undang-undang nasional yang melarang iklan tembakau dan merokok di tempat-tempat awam, dan mewajibkan penggunaan amaran pada produk tembakau.

Bandar Buenos Aires melarang merokok di tempat umum, bar dan restoran bermula pada Oktober 2006.

Menteri Kesihatan Argentina, Juan Manzur, mengatakan penyakit berkaitan tembakau merupakan penyumbang terhadap 40,000 kematian setiap tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Misteri Wanita Cantik Berekor Ikan Dari Indonesia

Misteri Wanita Cantik Berekor Ikan Dari Indonesia

Sekitar pertengahan 2006, penduduk di Malaysia gempar apabila sebuah muzium di Selangor mempamerkan jasad kononnya milik ikan duyung yang didakwa berjaya ditangkap di Indonesia dan dibawa masuk ke Malaysia untuk didedahkan kepada umum.

Misteri Wanita Cantik Berekor Ikan Dari Indonesia
Gambar hiasan.

Pameran berkenaan dengan pantas mencetuskan fenomena luar biasa apabila ribuan pengunjung membanjiri muzium itu untuk menyaksikan sendiri makhluk misteri yang sebelum ini hanya diketahui menerusi kisah dongeng semata-mata.

Ikan duyung yang dipamerkan itu sepanjang kira-kira satu meter dan memiliki bahagian atas tubuh menyerupai manusia termasuk memiliki tangan dan rambut manakala bahagian bawahnya ekor ikan.

Berbeza dengan ikan duyung dalam kisah dongeng dan mitos yang digambarkan sebagai wanita cantik berekor ikan, ikan duyung yang dipamerkan itu memiliki wajah serta jasad menakutkan.

Makhluk misteri itu didakwa ditangkap menggunakan kaedah `mistik' di Jawa Barat, Indonesia empat tahun sebelum itu.

Kaedah itu dilakukan berulang kali dalam tempoh masa lama di tepi pantai dan antara bahan digunakan adalah beras kunyit serta bacaan tertentu.

Selepas beberapa kali mencuba, akhirnya ikan duyung itu muncul dari dalam air tetapi ia tidak lagi bernyawa.

Bagaimanapun, sesuatu yang pelik adalah dakwaan jasad makhluk itu masih hanyir dan memiliki bau peluh manusia walaupun sudah mati selama empat tahun.

Seterusnya jasad ikan duyung berkenaan dibawa ke Malaysia dan dipamerkan sehingga menarik perhatian ramai pihak termasuk pengkaji luar negara.

Keadaan ini disebabkan kewujudan ikan duyung menjadi antara misteri terbesar dalam sejarah dunia lantaran jasad makhluk separuh manusia dan separuh ikan itu masih belum ditemui walaupun didakwa sudah wujud sejak ribuan tahun lalu.

Selama ini, cerita ikan duyung hanya bersandarkan kepada mitos dan dakwaan pihak tertentu yang kononnya pernah menjumpainya.

Masyarakat Babylon percaya ikan duyung adalah dewa laut yang dikenali sebagai `Ea' atau `Oannes'.

Antaranya mitos Yunani purba mengatakan ikan duyung selalu menggoda pelaut dan sesiapa yang tergoda akan menemui ajalnya.

Mitos lain menyebut ikan duyung hidup di dasar laut tetapi apabila naik ke darat, ekornya bertukar menjadi kaki manusia dan makhluk itu akan menjadi bisu.

Bagi masyarakat Babylon pula, mereka menganggap ikan duyung sebagai dewa laut yang dikenal sebagai `Ea' atau `Oannes' yang digambarkan sebagai ikan duyung jantan.

Antara cerita terawal yang mencetuskan misteri ikan duyung pada zaman moden dicatatkan pelayar Sepanyol iaitu Christopher Columbus ketika beliau bersama anak kapalnya belayar berhampiran Haiti pada tahun 1493.

Dalam pelayaran itu, Columbus dan anak kapalnya melihat tiga makhluk aneh timbul dari permukaan laut.

Melihat wajah dan bentuk fizikal makhluk terbabit yang jelas berlainan dengan haiwan di dunia ini.

Columbus kemudian mencatat dalam jurnal pelayarannya (terjemahan), "Entah mengapa, wajah makhluk itu menyerupai manusia..."

Seorang lagi pelayar, Henry Hudson mendakwa turut terserempak dengan ikan duyung pada tahun 1608 ketika belayar di lautan utara Russia.

Lelaki itu menggambarkan ikan duyung yang ditemui memiliki jasad atas seperti manusia, berambut panjang tetapi bahagian bawahnya adalah ekor ikan.

Pelbagai teori dan andaian dikemukakan berhubung misteri kewujudan ikan duyung. Antaranya ia dikatakan sebagai spesies hidupan alam mistik dan hanya muncul di dunia manusia, sekali dalam beberapa ratus tahun.

Teori ala fiksyen pula menyatakan ikan duyung sebenarnya penduduk kota misteri Atlantis yang menemui teknologi untuk hidup dalam lautan selepas kota mereka tenggelam puluhan ribu tahun lalu.

Bagaimanapun, jika diteliti aspek penerokaan lautan dalam dan pencarian spesies hidupan baharu, hakikat yang pasti adalah saintis belum mampu menerokai ke dasar paling dalam di lautan.

Sehingga kini, kemajuan sains dan teknologi hanya mampu membawa saintis meneroka sekitar 4,000 meter di bawah paras laut dan setiap kali mencecah kedalaman baru, banyak spesies baru yang aneh dan misteri turut ditemui.

Saintis percaya lautan yang meliputi kira-kira 70 peratus kawasan bumi memiliki sekitar dua bilion hidupan berlainan spesies tetapi sehingga kini, spesies yang dikenal pasti dan direkodkan dipercayai masih belum mencecah satu peratus.

Mungkinkah ikan duyung sebenarnya wujud di dasar laut paling dalam dan masih belum diterokai manusia?

Berikutan itu, mungkinkah ikan duyung sebenarnya wujud di dasar laut paling dalam dan masih belum diterokai manusia?

Kalangan skeptikal menolak tanggapan ikan duyung wujud, sebaliknya berhujah bahawa gambaran rupa dan jasad ikan duyung seperti diceritakan pihak tertentu sebenarnya disalah tafsirkan.

Mereka percaya pihak yang mendakwa menemui ikan duyung termasuk Columbus sebenarnya terlihat dugong kerana haiwan laut itu memiliki rupa hampir menyamai manusia malah turut menyusukan anaknya dengan `payudara' yang jelas kelihatan.

Teori lain mengatakan cerita ikan duyung sebenarnya karut dan rekaan pihak tertentu. 

Semakan menerusi internet mendapati ada pihak dari merata dunia mendakwa menemui jasad ikan duyung tetapi keaslian gambar yang dipaparkan amat diragui.

Malah seorang penyelidik, Frank Buckland, pernah menjalankan kajian terhadap satu jasad ikan duyung yang dipamerkan sekitar abad ke-19.

Bagaimanapun, beliau mendapati bahagian atas jasad iaitu tengkorak, rangka dan lengan sebenarnya milik seekor monyet dan bahagian itu dicantumkan dengan bahagian tulang ekor ikan yang besar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian