Tuesday, June 26, 2018

Ini Kisah Abang Alias Pok Ya Cong Codey


Seorang lelaki berusia lewat 60an sedang duduk di kerusi depan rumahnya. Rambutnya putih, memakai cermin mata. Badannya tegap, juga nampak tinggi. Dari perwatakannya, dia bukan calang-calang orang.

Ini Kisah Abang Alias Pok Ya Cong Codey
Gambar hiasan.

Dahulu, siapa tak kenal Abang Alias. Dari selatan Thailand hinggalah ke Johor, nama Abang Alias dikenali.

Dia terkenal seorang yang berani dan suka berkawan. Kalau dia jerkah kucing pun boleh terberak. Jangan kata suara, jelingan Abang Alias saja pun sudah membuatkan orang lain kecut perut.

Dalam masa yang sama, terdapat seorang lagi lelaki bernama Bakri, seorang penarik kereta dan kaki pukul yang ditakuti.

Kalau Bakri buat kerja, pendek kata separuh mati orang itu dikerjakannya. Bunuh orang perkara biasa baginya. Tiga buah negeri Bakri pegang masa itu.

Berbeza dengan Abang Alias yang tidak suka mencari masalah dengan orang. Tapi kalau orang cari masalah, memang dia tak kasi lepas.

Kemuncak berakhirnya zaman nakal Abang Alias apabila dia ditangkap. Kisahnya bermula satu pagi Jumaat pada tahun 1988.

***

Pagi itu, Abang Alias baru balik dari bersarapan. Kemudian datang seorang jiran memintanya menggali telaga.

Pada mulanya Abang Alias menolak kerana hari Jumaat dia tidak bekerja. Tetapi jirannya mendesak juga. Waktu itu Abang Alias mempunyai jentera pengorek dan merupakan kontraktor kelas D.

Disebabkan jirannya mendesak, dia terpaksa terima dan sampai disitu, Abang Alias tengok sudah ada tempat ditandakan yang perlu digalinya.

Siap semua peralatan, Abang Alias mula menggali. Masuk kali ketiga dia mengorek lubang, tiba-tiba datang seorang lelaki marah-marah dan mendakwa itu tanahnya.

"Saya tak tahu ini tanah siapa. Haji Man mintak tolong saya gali lubang," beritahu Abang Alias.

Lelaki itu terus marah-marah.

"Jangan marah saya. Haji Man yang mintak tolong. Saya tak tahu," balas Abang Alias dengan baik.

Lelaki itu menghidupkan motosikalnya dan berlalu dari situ. Disebabkan tidak mahu berpanjangan, Abang Alias mengambus semula lubang itu dan berlalu dari situ.

Selepas itu, Abang Alias pergi ke satu tempat lain untuk menggali sebuah lubang aliran penanaman. Lebih kurang tengah hari. kerja itu selesai.

Abang Alias pergi ke rumah jirannya. Sebaik sampai, dia perasan Bakri dan empat orang rakannya lalu di kawasan itu seolah-olah mencarinya. Abang Alias biarkan saja.

Kemudian, Abang Alias pergi ke sebuah kenduri. Sewaktu sedang makan, Bakri dan kawannya juga datang ke situ.

Walaupun duduk di meja lain, Bakri dan rakannya memandang Abang Alias seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.

Selesai makan, Abang Alias mahu pulang ke rumah kerana sudah hampir masuk waktu solat Jumaat. Semasa dalam perjalanan, Bakri tiba-tiba menahannya.

"Ada apa? Aku nak cepat ni. Nak balik solat Jumaat," kata Abang Alias.

"Turun sekejap je," kata Bakri.

Dia kemudian mengajak Abang Alias masuk ke dalam sebuah pondok.

"Tadi siapa suruh gali?" soal Bakri.

"Haji Man minta tolong gali," balas Abang Alias.

"Dah dia bagi upah berapa?" soal Bakri lagi.

"Dia tak upah. Dia minta tolong je," balas Abang Alias lagi.

"Dah dia tak bagi upah, biar aku upahlah" kata Bakri sambil memaut kepala Abang Alias dan menolak ke bawah.

Kemudian, mereka berlima memukul Abang Alias Tangan dipegang dari belakang. Mereka terus melampiaskan sepak terajang ke tubuh Abang Alias.

Kebetulan waktu itu ada seorang kawan Abang Alias lalu di kawasan itu. Dia menjerit dan membuatkan mereka semua terkejut. Abang Alias terus bangun dan Bakri serta rakan-rakannya terus melarikan diri.

Selepas itu, Abang Alias pulang ke rumah. Beberapa batang giginya patah, mukanya juga pecah.

Abang Alias pergi membuat laporan polis dan kemudian ke hospital. Doktor mahu menahannya di wad tapi dia menolak.

"Hari ini kalau doktor nak tahan, saya nak balik juga.

"Apa cara sekalipun, saya tak mahu duduk di hospital," kata Abang Alias.

Sampai di rumah, ada rakan datang beritahu Bakri sudah lari kerana ada laporan polis di buat dan polis sedang mencarinya.

"Takpalah kalau dia tak kena tangkap, biar aku cari," kata Abang Alias.

Malam itu Abang Alias mencari guni, pedang dua bilah dan senapang patah selaras dan meletakkan barang-barang itu dalam kereta. Malam itu juga Abang Alias mulakan pencarian.

Segenap tempat dia cari. Semua tempat dia masuk. Bar, kelab malam, kedai judi, semua dijejakinya, tapi kelibat Bakri tidak kelihatan sehingga ke Subuh.

Akhirnya Abang Alias balik ke rumah. Selesai solat, seorang jiran datang ke rumah dan memberitahu Bakri ada di rumahnya. Abang Alias terus keluar dan pergi ke rumah Bakri.

Sebaik tiba, dia lihat Bakri bersama tiga lagi rakannya sedang duduk di atas pangkin di depan rumah. Melihat Abang Alias berdiri di depannya, Bakri dan rakannya terus bangun.

"Bakri! Hari ni kalau kau nak minta maaf, nak settle yang kelmarin, aku terima," kata Abang Alias.

"Hari ini aku tak nak minta maaf. Hari ni, kalau kau tak mati, aku yang mati," kata Bakri, sebelum masuk ke dalam rumah.

Bakri kemudian keluar sambil badannya diselimuti dengan kain sarung. Dia terjun dari pangkin rumahnya menuju ke arah Abang Alias.

Abang Alias kemudian mengeluarkan sepucuk senapang patah.

"Kau jangan masuk. Kalau kau masuk aku tembak," kata Abang Alias.

"Hari ini kalau kau tak mati, aku mati!" kata Bakri mengulang ayat sama sambil terus menuju ke arah Abang Alias.

Abang Alias kemudian melepaskan satu das tembakan dan terkena ke arah dada dan tengkuk Bakri.

Bakri terpelanting beberapa meter ke belakang dan menggelupar di atas lantai. Rupanya dalam kain pelekatnya tersembunyi sebilah pedang.

Abang Alias terus pulang ke rumah. Dia memberitahu ibu dan isterinya yang dia telah menembak Bakri. Dia kemudian menghidupkan jenteranya dan pergi membuat kerja.

Hampir jam 2 petang, polis datang ke tempat kerja Abang Alias dan menahannya.

Berita kematian Bakri mula tersebar. Tiada seorang pun penduduk kampung yang bersimpati dengan kematiannya. Semua mengucapkan syukur, malah ada yang menari-nari meraikan kematiannya. Bayangkan, betapa ramai yang gembira.

"Itulah kemuncak dia. Kalau saa nak lari, saya boleh lari tapi, buat apa saya nak lari.

"Janji saya dah menang. Bakri pun mati," kata Abang Alias sambil tersenyum.

Kata Abang Alias, kita manusia sama sahaja. Kalau dia hebat tumbuk tangan kiri, kita hebat tumbuk tangan kanan.

"Yang lebih, yang hebat, semuanya milik Allah," kata Abang Alias.

Tambahnya lagi, apa yang kita buat, kena berani tanggung. Sebab itulah kena fikir dahulu sebelum buat. Kalau tak berani tanggung, jangan buat.

Masuk penjara pula sebenarnya bukanlah tak elok. Dalam penjara macam-macam perkara boleh belajar.

Abang Alias mengakui dia belajar menjahit dan cara membuat pasu. Ilmu itulah yang digunakan selepas dia keluar penjara.

"Cuma ingat satu perkara. Tidak semua yang masuk penjara adalah orang jahat.

"Orang yang keluar penjara dan mampu berubah, dialah orang yang berjaya. Ubah mentaliti kita yang menganggap orang masuk penjara adalah manusia jahat," pesan Abang Alias.

Sedang bersembang, terdengar laungan suara azan Asar. Abang Alias terus bangun dan meminta izin untuk ke masjid.

"Orang yang hebat ialah orang yang menjaga solat di awal waktu. Nak jadi hebat jom ke masjid," kata Abang Alias tersenyum sebelum berlalu.

Sehingga kini, nama Abang Alias masih lagi dikenali bukan hanya di kawasan tempat tinggalnya, tetapi juga di beberapa negeri.

Biasanya, kalau sesiapa yang ada masalah akan datang bertemu dengan Abang Alias.

Teringat satu ayat yang diungkapkan oleh Halim sebagai anak buah Pok Ya dalam drama Pok Ya Cong Codey.

"Pok Ya ni buke jahat, tapi dia ni penyelesai masalah ore.

"Tok semuo ore bulih selesai masalah ore supo Pok Ya."

nota editor: dipetik dari majalah mastika keluaran mei 208 dan disiarkan buat kali pertama di blog sentiasapanas.com.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon