Tuesday, January 23, 2018

Misteri Penemuan Gerbang Purba Harrat Khaybar

Misteri Penemuan Gerbang Purba Harrat Khaybar

Ahli arkeologi menemui 400 struktur batu misteri di pinggir gunung berapi yang dipercayai berusia sehingga 7,000 tahun di kawasan padang pasir terpencil di wilayah Harrat Khaybar di Arab Saudi.

Gerbang Misteri Harrat Khaybar

Struktur batu yang ditemui menggunakan aplikasi Google Earth itu digelar sebagai 'pintu gerbang' kerana ia kelihatan seperti objek tersebut jika dilihat dari atas.

Ia dibina di kubah lava purba di mana kepanjangan sebahagian daripadanya berukuran empat kali ganda saiz biasa padang bola sepak.

Penyelidik di University of Western Australia, David Kennedy berkata, tujuan binaannya dan usia sebenar struktur tersebut masih tidak diketahui.

"Pintu gerbang tersebut dibina daripada batu manakala dindingnya dihasilkan secara kasar dan rendah.

"Sisa aliran lava boleh dilihat pada permukaan sebahagian struktur tersebut yang menandakan usianya adalah lebih tua daripada aliran lahar tersebut," katanya.

Jelasnya lagi, pintu gerbang paling kecil berukuran 13 meter panjang manakala yang terpanjang adalah 518 meter.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Misteri Gerbang Dimensi Di Markawasi

sumber: mstar

Monday, January 22, 2018

9 Fakta Menarik Tentang Lebah Madu

9 Fakta Menarik Tentang Lebah Madu

Lebah madu adalah haiwan paling sibuk di dunia. Ia merupakan makhluk yang penuh dengan keajaiban. Disebalik madu yang dihasilkan, dan hanya dikonsum oleh manusia, tak ramai yang tahu mengenai lebah madu.

9 Fakta Menarik Tentang Lebah Madu

Kali ini kami ingin berkongsi 9 fakta menarik tentang lebah madu.

1. Tidak tidur

Topik sama ada lebah madu tidur atau tidak sentiasa menjadi perbahasan. Terdapat banyak yang mengatakan lebah ini tidak tidur dan akhirnya mati disebabkan keletihan.

Kedua-dua kenyataan ini adalah benar dan tidak. Realitinya, lebah madu lebih kepada narcoleptic (masalah otak jangka panjang yang mengurangkan kebolehan mengawal kitaran tidur), daripada insomnia.

Para pengkaji telah memerhati lebah ini dlam jangka masa yang pendek iaitu 30 saat secara purata, di mana serangga ini tidak memberikan respon, sesungutnya layu dan badan menjadi relaks.

Bagi lebah muda, ia agak kurang tidur, berbanding lebah tua yang kerap ulang-alik ke sarang untuk "quick nap".

Lebah muda biasanya sporadis dalam tabiat tidur mereka, sementara lebah yang lebih tua mempunyai tabiat tidur yang lebih kerap, bahkan berundur ke sel-sel sarang mereka untuk tidur cepat

Tidur sebentar ini adalah satu-satunya rehat yang lebah-lebah ini dapat nikmat sepanjang hidupnya.

Di antara 3 hingga 6 minggu selepas ia boleh terbang, secara purata lebah madu akan bekerja, sehinggalah mereka mati, biasanya akibat keletihan.

2. Kemahiran matematik

Pernah tak anda tertanya-tanya bagaimana lebah mampu menghasilkan sarang lebah yang mempunyai bentuk yang sama, dan tepat, seperti ribuan heksagon digabungkan bersama?

Bukan anda sahaja, malah Galiloe Galilei, ahli matematik yang sangat hebat pun kagum melihat kecekapan serangga kecil ini menghasilkan sudut yang sangat tepat bagi setiap heksagon pada sarang.

Sarang lebah liar pada mulanya berbentuk bulat seperti badan lebah, dan kemudiannya dipanaskan semasa pembentukan membuatkan dinding-dinding sarang tersebut cair dan menjadi bentuk semulajadi seperti yang anda lihat.

Mereka juga adalah makhluk pengembara, mencari makanan dan pulang ke sarang. Mereka sangat bijak bernavigasi dan mengira. Ketika pulang ke sarang, lebah akan melakukan tarian tersendiri.

Tarian rumit dilakukan bagi memberitahu lebah-lebah lain tentang adanya makanan, memberitahu jarak, serta berapa banyak makanan yang ada.

Jika sumber makanan banyak dijumpai, lebah tersebut akan menari dengan lebih bertenaga, dan tarian kurang bertenaga menandakan sumber makanan adalah sedikit.

3. Pembelajaran visual

Mungkin anda beranggapan bahawa lebah madu memang sudah tahu bagaimana untuk menghasilkan madu sejak dilahirkan.

Sebenarnya tidak, lebah ini tidak tahu bagaimana untuk melakukan apa-apa, seperti bayi manusia. Mereka diajar oleh lebah dewasa.

Kajian menunjukkan lebah mempelajari cara melakukan sesuatu daripada lebah yang berpengalaman. Mereka akan menuruti bunga-bunga yang dihurung oleh lebah dewasa.

Lebah muda harus pantas dalam mempelajari sesuatu kerana lebah berusia harus kembali ke sarang untuk menjaga dan mempertahankan sarang mereka, serta mengurangkan penggunaan sayap untuk disimpan jika berlaku kecemasan.

4. Mengesan bahan letupan

Reseptor yang dimiliki oleh lebah madu adalah sangat sensitif. Ia mampu untuk mengesan debunga yang sangat kecil, di dalam kawasan yang besar. Kebolehan ini tidak terhad kepada debunga sahaja dan boleh dilatih terhadap benda lain.

Agensi keselamatan telah melakukan kajian dan eksperimen terhadap perkara ini dengan mendedahkan lebah ini kepada bau bahan kimia yang berkaitan dengan penghasilan bom. Lebah-lebah ini dilatih untuk menghurung, apabila bau tersebut dikesan.

Lebah-lebah ini dipasangkan alat pengesan kecil pada badan bagi memudahkan pengesanan lokasi yang dihurung di kawasan yang terbuka.

Kamera kecil juga dapat mengesan pergerakann proboscis oleh lebah, yang mengharapkan ganjaran air gula, selepas berjaya mengesan sasaran.

5. Pengenalan wajah

Agak menakutkan, tetapi lebah boleh mengesan wajah individu. Oleh itu, anda berasakan mereka seperti mensasarkan dan mengejar anda secara khusus, sama seperti kebolehan manusia.

Proses yang dikenali sebagai pemprosesan konfigurasi digunakan oleh lebah dengan mengesan kumpulan garisan dan bentuk sebagai corak. Mereka mampu untuk mengingati corak ini di masa hadapan.

Satu eksperimen dijalankan oleh sekumpulan ahli biologi, di mana lebah ini diberikan makanan berkaitan dengan gambar muka, dan semangkuk air berkaitan dengan eleman yang bukannya wajah.

Ahli-ahli biologi tersebut menyaksikan serangga ini belajar untuk mencari wajah, dengan ketepatan yang sangat tinggi.

6. Pengawanan

Bagi upacara pengawanan, ia agak mengerikan bagi lebah jantan. Ia melibatkan perhambaan, dan kematian.

Lebah yang bertangunggjawab untuk melakukan persenyawaan dengan ratu lebah adalah "lebah drone".

Ketika mengawan, lebah ini kehilangan endophallus (zakar) yang kekal dalam badan ratu lebah.

Proses tersebut membuatkan perut lebah drone terbuka dan mati serta merta. Jika ia masih hidup, lebah yang cedera ini akan dihalau dari sarangnya. Ratu lebah akan menyimpan sperma dari lebah ini dan tidak lagi mengawan.

7. Tak dapat kesan warna merah

Bagi yang tak tahu, lebah mempunyai 5 mata. Namun, ia bukanlah penyebab mereka mampu melihat dengan lebih jelas.

2 daripada mata lebah adalah yang anda nampak, dan 3 lagi mata kecil terletak di tengah-tengah kepala untuk membantu navigasi ketika terbang.

Walaubagaimanapun, lebah tidak mampu melihat warna merah, dan mungkin melihat warna merah sebagai hitam.

Namun, lebah madu mampu melihat sinaran ultraungu yang mana tidak dapat dilihat oleh manusia. Ia digunakan untuk membantu mencari sasaran pada bunga, di mana sinaran ultraungu lebih tinggi di tengah-tengah bunga.

Jika frekuensi sinaran ultraungu kurang, lebah-lebah ini akan hilang minat, kecuali jika mereka lapar.

8. Deria penglihatan menakjubkan

Deria yang ada pada lebah amatlah hebat. Serangga ini mampu melihat perbezaan antara imej-imej, dalam masa 0.003 saat, berbanding manusia dengan 0.02 saat.

Jadi, manusia menonton dan melihat imej di kaca TV sebagai sebuah gambar, lebah pula melihat sebagai gabungan beratus-ratus imej. Kebolehan ini digunakan dalam proses pendebungaan, mengenalpasti sesuatu dan juga pengawanan.

9. Kanibalisma

Makanan bagi lebah adalah sangat ringkas. Debunga bagi larva, nektar untuk lebah drone dan pekerja. Dan apabila sumber makanan berkurangan, lebah-lebah ini akan menjadi kanibal.

Ya, memang biasa bagi lebah madu untuk makan lebah-lebah lain dan juga telur lebah apabila tiada makanan.

Ini untuk memastikan lebah-lebah lebih tua dapat hidup, yang mana adalah lebih penting bagi memastikan kemandirian spesis lebah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Tahukah Anda Madu Pernah Di Jadikan Sebagai Mata Wang!

sumber: iluminasi

 Maksud Mimpi Terbang Menurut Islam

Maksud Mimpi Terbang Menurut Islam

Jika anda terbang dalam keadaan yang tenang dan menghayati keadaan sekeliling bermaksud anda berada dalam situasi yang terpenting.

 Maksud Mimpi Terbang Menurut Islam
Gambar hiasan.

Anda telah bangkit kepada keadaan yang lebih baik dan memperoleh perspektif baru tentang sesuatu hal dan jika anda berkeupayaan mengawal saat anda 'terbang', ia bermaksud anda mempunyai kuasa untuk mengawal kehidupan anda.

Jika anda mempunyai masalah ketika 'terbang' dalam mimpi, ia bermaksud sebaliknya; anda tidak mempunyai kuasa mengawal kehidupan sendiri.

Halangan seperti pokok, gunung dan sebagainya bermaksud banyak halangan dalam hidup anda sekarang ini.

Anda perlu mengenal pasti apa atau siapa yang menghalang anda daripada maju kehadapan didalam hidup.

Kesukaran untuk 'terbang' juga bermaksud anda kurang yakin atau ragu dalam hidup anda dan perlu PERCAYA pada diri dan jangan takut.

Jika anda takut ketika terbang, ianya bermaksud anda takut kepada cabaran. Mungkin anda belum lagi bersedia untuk langkah seterusnya.

Secara keseluruhan MIMPI TERBANG bermaksud kekuatan MINDA dan KEINGINAN anda.

Anda merasakan tiada siapa yang dapat menghalang segala usaha anda.

Mimpi ini melahirkan rasa KEBEBASAN didalam diri untuk membuat sebarang keputusan dalam hidup anda.

Wallau a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Maksud Mimpi Ayah Meninggal Dunia

sumber: tafsirmimpiku

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

Keindahan pantai di negeri Perak pastinya menjanjikan kelainan kepada pengunjung kerana keindahan pantai semulajadinya yang sungguh memukau mata, sangat sesuai untuk merehatkan minda bersama keluarga.

Jika anda inginkan percutian yang bercirikan "Pantai dan Pulau", jangan lepaskan peluang untuk melawat ke negeri Perak.

Di sini kami senaraikan 8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak yang boleh anda lawati bersama keluarga ketika bercuti di negeri ini.

1. Pulau Pangkor

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

Pulau Pangkor merupakan pulau ketiga terbesar di Malaysia yang terletak di negeri Perak, pulau yang cantik dengan pemandangan yang menawan ini menjadi salah satu destinasi pelancongan utama di Malaysia.

Di Pulau Pangkor terdapat beberapa pantai yang bersih dan indah serta air lautnya yang biru kehijauan seperti Pantai Pasir Bogak, Teluk Nipah, Coral Beach dan juga Teluk Belanga.

Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti sukan air yang anda boleh cuba seperti snorkelling, scuba driving, berkayak, memancing, menaiki banana boat, jet ski dan banyak lagi.

Bagi pengunjung yang ingin menjelajah keseluruhan pulau tidak perlu risau kerana terdapat perkhidmatan sewa kereta, teksi, motosikal dan juga basikal.

2. Pulau Giam

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

Pulau Giam merupakan salah satu daripada pulau-pulau kecil di Pangkor, sering menjadi tumpuan pelancong yang gemarkan aktiviti seperti snorkelling dan berkayak.

Pengunjung boleh menyewa kayak dengan harga RM10.00 per sejam untuk berkayak dari Teluk Nipah ke Pulau Giam.

Aktiviti ini pasti mengujakan para pengunjung kerana dapat melihat air laut yang jernih seakan kristal, dengan pelbagai jenis hidupan laut serta terumbu karang yang banyak terdapat di sini.

Pengunjung juga boleh melakukan aktiviti riadah bersama keluarga seperti berkelah dan bersantai sepanjang pantai.

Selain itu, tarikan utama di sini ialah terdapat batu besar di tepi pantai yang menyerupai penyu dan kepala buaya.

3. Pulau Mentagor

Bagi anda yang meminati aktiviti sukan air yang lasak jangan terlepas peluang untuk mencuba menaiki matrix boat, hanya terdapat di Pulau Mentagor, menjanjikan keseronokan yang mengasyikkan.

Selain itu, di Pulau Mentagor juga terdapat tarikan yang unik iaitu batu besar di tepi pantai yang menyerupai ikan paus dan landak laut.

4. Pantai Ban Pecah

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

Pantai Ban Pecah yang terletak di kawasan Parit Buntar, merupakan sebuah pantai rekreasi yang terkenal di kalangan penduduk setempat untuk beristeri rehat.

Kawasan pantai yang landai dan disulami dengan bongkah-bongkah batu di sepanjang pesisir pantainya begitu menarik perhatian.

Bongkah batu ini disusun bagi mengekang hakisan ombak. Jika anda seorang kaki pancing, di sini juga terdapat sebuah pelantar memancing yang telah dibina khas untuk pengunjung berteduh dari terik matahari.

Di sini juga terkenal dengan sajian mi udang Tanjung Piandang dan kari ikan sembilang yang tidak asing lagi oleh penduduk setempat untuk menjamu selera.

5. Pulau Sembilan

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

Pulau Sembilan merupakan antara 9 buah pulau kecil yang terletak di daerah Manjung, Perak. Pulau ini menjadi tumpuan dan tarikan kepada pelancong untuk mencuba aktiviti memancing, snorkelling atau scuba driving.

Di Pulau ini juga pengunjung dapat melihat terumbu karang dan pelbagai jenis hidupan marin yang eksotik.

Bagi anda yang ingin bermalam di sini jangan risau kerana terdapat kemudahan perkhidmatan sewa khemah dan juga pondok kecil untuk berehat dan melihat keindahan persekitaran pantai ini.

Pulau Sembilan juga terkenal dengan ‘blue tears’ yang dapat dilihat pada malam hari hasil daripada bioluminescent phytoplankton.

6. Pantai Pasir Panjang

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

Salah sebuah pantai di Segari yang merupakan pantai paling panjang di Daerah Manjung. Pantai sepanjang 6 kilometer ini menjadi tempat untuk penyu bertelur disebabkan permukaan pasir pantainya yang halus, pohon yang merimbun dan bebas daripada gangguan.

Lokasi ini juga dikawal selia oleh sebuah pusat pemuliharaan iaitu Pusat Pengurusan Penyu Segari bagi menjaga kesinambungan kehidupan penyu.

Selain itu, Pantai Pasir Panjang juga merupakan tempat yang strategik untuk melihat anak bulan bagi menentukan permulaan bulan Ramadhan, Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

7. Teluk Senangin

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

Teluk Senangin merupakan sebuah kawasan peranginan yang popular di kalangan penduduk setempat untuk beriadah, beristirahat dan berkelah bersama keluarga.

Terkenal dengan tarikan pasir pantainya yang halus, bersih dan laut yang berombak kecil sesuai untuk melakukan aktiviti air.

Terdapat pelbagai kemudahan telah disediakan di sini seperti tempat penginapan yang banyak, restoran dan kedai cenderamata.

Selain itu, pengunjung juga boleh melakukan aktiviti air seperti memancing, banana boat, sukan pantai dan banyak lagi.

Bagi pengunjung yang ingin lari dari kesibukan kota untuk mencari ketenangan, suasana pantai di Teluk Senangin yang damai dan indah ini pasti tidak akan menghampakan anda.

8. Teluk Batik

8 Pulau Dan Pantai Tempat Menarik Lokasi Percutian Di Perak

Teluk Batik terletak 7 kilometer dari pelabuhan atau jeti Lumut, Perak. Merupakan sebuah pantai yang cukup menarik dengan pasir pantainya yang halus, cantik, landai dan luas sangat sesuai untuk aktiviti sukan pantai seperti bola tampar, perkhemahan dan juga hari keluarga.

Beberapa chalet dan resort juga terdapat di sini seperti Marina Cove Resort dan Teluk Batik Resort untuk penginapan anda.

Teluk Batik cukup menarik kerana air lautnya yang jernih dan ombak yang tenang sesuai untuk aktiviti mandi laut.

Tidak hairanlah bila tiba musim cuti sekolah Teluk Batik menjadi sasaran ramai pengunjung untuk bercuti.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

sumber: maisinggah

Amalan Apabila Usia 40 Dalam Al-Quran

Amalan Apabila Usia 40 Dalam Al-Quran

Usia 40 tahun disebut dengan jelas dalam ayat Al-Qur'an, manusia mencapai puncak kehidupannya baik dari segi fizikal, intelektual, emosi, mahupun spiritualnya dan benar-benar telah meninggalkan usia mudanya dan melangkah ke usia dewasa yang sebenar.

Doa Apabila Usia 40

Ramai tidak sedar dalam al-Quran ada menyentuh tentang usia ini. Tentu ada yang sangat penting, perlu diperhatikan dan diambil serius akan perkara ini.

Allah SWT berfirman, “Apabila dia telah dewasa dan usianya sampai empat puluh tahun, ia berdoa, “Ya Tuhanku, tunjukkanlah aku jalan untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang engkau redhai; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan sesungguhnya aku termasuk orang-orang muslim.” (al-Ahqaf: 15)

Doa yang terdapat dalam ayat tersebut dianjurkan untuk dibaca oleh mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas.

Di dalamnya terkandung penghuraian yang jelas bahawa mereka; telah menerima nikmat yang sempurna, kecenderungan untuk beramal yang positif, telah mempunyai keluarga yang harmoni, kecenderungan untuk bertaubat dan kembali kepada Allah

Pada ayat yang lain, firman Allah SWT, "Apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam tempoh yang cukup untuk berfikir bagi orang-orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepadamu pemberi peringatan? (al-Fathir: 37)

Menurut Ibnu Abbas, Hasan al-Bashri, al-Kalbi, Wahab bin Munabbih, dan Masruq, yang dimaksud dengan “umur panjang dalam tempoh yang cukup untuk berfikir” dalam ayat tersebut tidak lain adalah ketika berusia 40 tahun.

Menurut Ibn Kathir, ayat ini memberikan petunjuk bahawa manusia apabila menjelang usia 40 tahun hendaklah memperbaharui taubat dan kembali kepada Allah dengan bersungguh-SUNGGUH.

Apabila itu berlaku menjelang usia 40 tahun, maka Allah SWT memberikan janjiNya dalam ayat selepas itu maksudnya Kematangan.

Usia 40 tahun adalah usia matang untuk kita bersungguh-sungguh dalam hidup. Mengumpulkan pengalaman, menajamkan hikmah dan kebijaksanaan, membuang kejahilan ketika usia muda, lebih berhati-hati, melihat sesuatu dengan hikmah dan penuh penelitian.

Maka tidak hairan tokoh-tokoh pemimpin muncul secara matang pada usia ini.

Bahkan Nabi SAW, seperti yang disebut oleh Ibn ‘Abbas, “Dibangkitkan Rasulullah s.a.w pada usia 40 tahun” (riwayat al-Bukhari).

Nabi Muhammad SAW diutus menjadi nabi tepat pada usia 40 tahun, begitu juga dengan nabi-nabi yang lain, kecuali Nabi Isa a.s. dan Nabi Yahya a.s.

Banyak negara menetapkan untuk menduduki jabatan-jabatan elit seperti ketua negara, disyaratkan bakal calon harus telah berusia 40 tahun.

Masyarakat sendiri mengakui prestasi seseorang mantap tatkala orang itu telah berusia 40 tahun.

J.F. Kennedy menjadi presiden pada usia 44 tahun. Bill Clinton 46 tahun. Paul Keating 47 tahun. Sementara Tony Blair 44 tahun.

Mengapa umur 40 tahun begitu penting?

Menurut Ibnu Qayyim Al-Jauziyah usia manusia diklasifikasikan menjadi 4 (empat) period, iaitu
  • Kanak-kanak (sejak lahir hingga akil baligh).
  • Muda atau syabab (sejak akil baligh hingga 40 tahun).
  • Dewasa (40 tahun hingga 60 tahun).
  • Tua atau syaikhukhah (60 tahun hingga mati).

Usia 40 tahun adalah usia ketika manusia benar-benar meninggalkan masa mudanya dan beralih kepada masa dewasa penuh.

Kenyataan yang paling menarik pada usia 40 tahun ini adalah meningkatnya minat seseorang terhadap agama sedangkan semasa mudanya jauh sekali dengan agama.

Seolah-olah macam satu fitrah di usia ini ramai yang mula menutup aurat dan mendekati kuliah-kuliah agama.

Salah satu keistimewaan usia 40 tahun tercermin dari sabda Rasulullah SAW;

“Seorang hamba muslim bila usianya mencapai 40 tahun, Allah akan meringankan hisabnya (perhitungan amalnya).

"Jika usianya mencapai 60 tahun, Allah akan memberikan anugerah berupa kemampuan kembali (bertaubat) kepadaNya. Bila usianya mencapai 70 tahun, para penduduk langit (malaikat) akan mencintainya.

"Jika usianya mencapai 80 tahun, Allah akan menetapkan amal kebaikannya dan menghapus amal keburukannya.

"Dan bila usianya mencapai 90 puluh tahun, Allah akan mengampuni dosa-dosanya yang telah lalu dan dosa-dosanya yang dahulu, Allah juga akan memberikan pertolongan kepada anggota keluarganya, serta Allah akan mencatatnya sebagai tawanan Allah di bumi." (Riwayat Ahmad)

Hadis ini menyebut usia 40 tahun paling awal memiliki komitmen terhadap penghambaan kepada Allah SWT, sekaligus konsisten terhadap Islam, maka Allah SWT akan meringankan hisabnya.

Orang yang usianya mencapai 40 tahun mendapat keistimewaan berupa hisabnya diringankan tetapi umur 40 tahun merupakan saat harus berhati-hati juga, ibarat waktu, orang yang berumur 40 tahun mungkin sudah masuk senja.

Abdullah bin Abbas r.a. dalam suatu riwayat berkata, “Barangsiapa mencapai usia 40 tahun dan amal kebajikannya tidak mantap dan tidak dapat mengalahkan amal buruknya, maka hendaklah ia bersiap-siap ke neraka.”

Imam Asy-Syafie tatkala mencapai usia 40 tahun, beliau berjalan sambil memakai tongkat dan jika ditanya, jawab beliau, “Agar aku ingat bahawa aku adalah musafir. Demi Allah, aku melihat diriku sekarang ini seperti seekor burung yang dipenjara di dalam sangkar. Lalu burung itu lepas di udara, kecuali tapak kakinya saja yang masih tertambat dalam sangkar. Komitmenku sekarang seperti itu juga. Aku tidak memiliki sisa-sisa syahwat untuk menetap tinggal di dunia. Aku tidak berkenan sahabat-sahabatku memberiku sedikit pun sedekah dari dunia. Aku juga tidak berkenan mereka mengingatkanku sedikit pun tentang hiruk pikuk dunia, kecuali hal yang menurut syara’ lazim bagiku. Di antara aku dan dia ada Allah.”

Lantas, apa yang harus kita lakukan menginjak usia 40 tahun?
  • Meneguhkan tujuan hidup.
  • Meningkatkan daya spiritual.
  • Menjadikan uban sebagai peringatan.
  • Memperbanyak bersyukur.
  • Menjaga makan dan tidur.
  • Menjaga istiqamah dalam ibadah.

Jika ada yang mengatakan bahawa, Life began at forty, saya cenderung berpendapat kehidupan yang dimaksudkan ialah kehidupan terarah kepada mendekatkan diri kepada penciptaNya dengan sebenar-benarnya.

Tetapi satu perkara yang kita harus sentiasa sedar bahawa kematian memanggil kita bila-bila masa tanpa tanda, tanpa alamat dan tanpa mengira usia.

Jika kita beranggapan harus menunggu usia 40 tahun untuk baru memulakan kehidupan yang dimaksudkan di atas, maka rugi dan sia-sia lah hidup kita jika umur kita tidak panjang.

Maksud sabda Nabi Muhammad S.A.W, ”Orang yang bijak adalah orang yang selalu mengingati mati.”

Ramai manusia tertipu dengan keindahan dunia dan isinya yang bersifat sementara.

Sejak Nabi Adam a.s. sehingga kini, kesemuanya telah kembali kepada Allah SWT tidak kira kaya atau miskin, berpangkat atau tidak.

Mengingati mati bukan bermakna kita akan gagal di dunia tetapi dengan mengingati mati kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat.

Janganlah menunggu sehingga esok untuk membuat persediaan menghadapi kematian, kerana mati boleh datang pada bila-bila masa.

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Otak Tidak Lagi Berkembang Pada Usia 40 Tahun

sumber: myluvitamin

6 Sisi Gelap Industri K-Pop Yang Sangat Menyedihkan!

6 Sisi Gelap Industri K-Pop Yang Sangat Menyedihkan!

Fenomena K-Pop boleh dikatakan tular di seluruh dunia sehinggakan memberi impak kepada industri muzik di Amerika Syarikat yang mempelopori industri ini.

Sisi Gelap Industri K-Pop

Antara kumpulan yang mendapat sambutan paling hangat di dunia termasuklah Big Bang, BTS, EXO, Girls Generation dan banyak lagi, yang mengalahkan artis-artis terkemuka negara Uncle Sam itu.

Namun, disebalik kejayaan K-Pop, terdapat realiti yang sangat perit dan dahsyat yang mungkin membuatkan anda geleng kepala.

Kami ingin berkongsi 6 realiti sebenar disebalik industri muzik K-Pop.

1. Perhambaan

Ada beberapa sebab kontrak K-pop dilabelkan sebagai kontrak perhambaan yang menurut Prince Mak, artis K-Pop biasanya harus menandatangani kontrak untuk jangka masa 7 hingga 15 tahun.

Tempoh itu tidak dikira sekiranya artis tersebut masih dalam latihan dan hanya mula dikira selepas kemunculan pertama.

Jadi, berkemungkinan artis tersebut dilatih selama 10 tahun dan kontrak bermula selepas tahun ke-10.

Ketika ini, segala hak ke atas diri mereka hilang dan dikawal oleh pihak syarikat.

Artis harus melakukan apa sahaja yang diarahkan oleh syarikat dan lebih teruk, hampir kesemua keuntungan yang dijana dikaut oleh pihak syarikat, sehinggakan menyeksa artis itu sendiri.

Junyool dari kumpulan Stellar memberitahu bahawa keadaan sangat teruk sehinggakan mereka sekumpulan terpaksa berkongsi satu hidangan makanan kerana ketiadaan wang.

Situasi ini boleh membuatkan mereka mengalami tekanan sehinggakan sanggup mengambil nyawa sendiri dan artis K-Pop harus membayar wang ganti rugi yang sangat tinggi jika ingin berhenti.

2. Pelacuran

Aspek yang paling menjengkelkan dalam menjadi idol K-pop adalah ramai di antara mereka yang dieksploitasikan dan didera oleh pihak pengurusan.

Terma penajaan dijadikan alasan untuk menggunakan artis wanita sebagai pengiring (escort girl) bagi ahli perniagaan yang berkuasa dalam industri ini.

Menurut Seoul Beats, CEO sebuah syarikat, Kang, dijatuhkan hukuman 20 bulan penjara dan denda RM72,500 selepas tahanan kedua terhadap tuduhan melacurkan kliennya.

3. Pembedahan plastik

Berita selebriti mendapatkan khidmat pembedahan plastik bukanlah sesuatu yang mengejutkan, namun artis K-Pop melakukannya dengan lebih dahsyat.

Menurut The Atlantic, 1 daripada 5 wanita Korea menjalani pembedahan plastik di mana ramai artis K-Pop melakukannya secara menyeluruh untuk kelihatan seperti watak anime.

Ia sehingga memerluka prosedur yang sangat melampau dimana bahagian dagu harus dipecahkan dan dibentuk menjadi bentuk "V" kerana wajah berbentuk bulat dianggap sebagai tidak menarik.

Lebih buruk, pembedahan yang dijalankan ke atas artis-artis ini tanpa kerelaan mereka, kerana pihak pengurusan mempunyai hak ke atas mereka.

4. Peminat fanatik

Jika dibandingkan, peminat K-Pop di Korea Selatan dianggap paling fanatik di dunia dan menurut laporan media Australia, peminat-peminat kumpulan TVXQ menggodam talian telefon ahli kumpulan tersebut bagi mendengar perbualan mereka.

Malah, ada yang memecah masuk ke apartment mereka hanya untuk mencium idola mereka ketika tidur.

Kumpulan peminat paling fanatik yang dikenali sebagai "sasaeng" melakukan perkara yang lebih ekstrem seperti memasang kamera dalam rumah idola, menulis surat cinta menggunakan darah haid dan ditaburkan bersama bulu kemaluan, serta mencuri air kencing dari tandas kumpulan K-Pop untuk dijual.

Jika peminat fanatik sudah menakutkan, pembenci artis-artis K-pop lebih berbahaya. Mereka cuba sedaya-upaya untuk mensabotaj artis tersebut.

Dalam satu kes, satu petisyen atas talian dijalankan dan mendapat lebih dari daripada 3,000 tandatangan merayu supaya ahli kumpulan 2PM, Jaebeom supaya membunuh dirinya.

5. Masalah kesihatan

Jika anda ingin menjadi artis K-Pop, bersedia untuk bekerja keras yang menurut SBS, waktu bekerja bagi artis K-Pop biasanya selama 20 jam sehari.

Ia menjadi perkara biasa jika artis K-Pop dimasukkan ke hospital akibat keletihan dan masalah kesihatan.

Disebabkan terlalu kerap pengsan, ia dianggap sebagai trademark kepada Krystal Jung dari kumpulan Fx, sehinggakan beliau pernah pengsan di sebuah konsert dan mikrofon masih berada dalam genggaman, kerana ia dianggap sebagai profesionalisma.

Dan seperti yang dijangkakan, artis K-Pop harus mengekalkan bentuk dan berat badan, sehinggakan CEO syarikat sendiri yang melakukan proses meninmbang berat badan bagi memastikan semua berada dalam keadaan yang ditetapkan.

Ia membuatkan ramai artis K-Pop terpaksa berlapar bagi mendapatkan bentuk badan sebegitu.

6. Tiada kebebasan dalam muzik

Sebagai artis K-Pop, mereka tidak mempunyai hak dalam menyuarakan atau memberi idea berkenaan muzik.

Segalanya dilakukan dan diaturkan oleh pihak pengurusan, dan artis hanya perlu mengikut apa yang diarahkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 8 Artis Wanita Korea Yang Mati Membunuh Diri

sumber: iluminasi

Sunday, January 21, 2018

Misteri 'Crisis Appiration' Jelmaan Roh Ketika Hampir Maut!

Misteri 'Crisis Appiration' Jelmaan Roh Ketika Hampir Maut!

Crisis Appiration adalah jelmaan seseorang yang muncul ditempat lain ketika dia sedang bertarung dengan maut yang menurut sebahagian pengkaji paranormal barat, Crisis Appiration adalah jelmaan fizikal tenaga dalaman, khususnya tenaga emosi yang dikeluarkan oleh seseorang ketika berada dalam situasi trauma.

Misteri Roh 'Crisis Appiration'
Misteri Roh 'Crisis Appiration'.

Dalam keadaan genting, orang itu akan mengingati dan ingin bertemu buat kali terakhir dengan seseorang yang sangat dikasihinya.

Tenaga emosi inilah yang kemudiannya terjelma seara fizikal dihadapan orang yang dikasihi tadi, untuk memberitahu bahawa dia akan meninggalkan dunia ini.

Ertinya, ia bukanlah hantu!

Misteri Roh Juruterbang

Pada 7 Disember 1918, Leftenan James Larkin yang sedang menulis sepuuk surat di dalam bilik bereknya di Scapmton, Lincolnshire, England, tiba-tiba terdengar bunyi derapan tapak kasut.

Rupa-rupanya yang datang itu adalah sahabat baiknya, Leftenan David McConnel.

"Cepat kau balik?" tanya James, kerana setahunya, David sepatutnya waktu itu sedang bertugas di Tadcaster, Yorkshire.

Pesawat yang diterbangkan David baru sahaja meninggalkan Scampton dan sepatutnya dia masih berada di sana.

"Semuanya berjalan lancar," jawab David, yang kemudiannya mengucapkan selamat tinggal dan berjalan keluar.

Tapi, benarkah itu David McConnel?

Tidak lama kemudian, James mendapat berita bahawa David maut selepas pesawatnya terhempas satu kilometer sebelum sampai ke Tadcaster.

Kemalangan itu berlaku sekitar pukul 3.25 petang, waktu yang sama jelmaannya menemui James.

Misteri Roh Anak Mati Lemas

Pada awal Julai tahun 2001, seorang wanita bernama Habibah Hamidon yang tinggal di Merlimau, Melaka, telah mengalami mimpi yang sangat ganjil.

Malam itu antara jaga dan lena, dia terdengar perbualan sekumpulkan lelaki.

Salah seorang daripada lelaki itu kemudian berkata, "Tak lama lagi akan berlaku satu hal besar ditempat kita ini."

Seorang lain pantas membalas, "Pedulikanlah, dia bukan orang kita. Tak ada kena mengena pun dengan kita."

Hamidah pantas membuka mata dan menoleh sekeliling, tetapi yang ada hanyalah suaminya yang sedang tidur lena disebelahnya.

Mimpi apakah yang dialaminya sebentar tadi?

Persoalan itu terjawab beberapa hari kemudian apabila berlaku satu kejadian bunuh yang sangat kejam dan menggemparkan negara.

Hari itu, seorang pelajar berusia 16 tahun telah diperkosa dan dijerut lehernya sehingga mati oleh seorang remaja lelaki, di dalam belukar tidak jauh dari rumah Habibah.

Ketika itu gadis berkenaan dalam perjalanan pulang dari sekolah.

Persoalannya, siapa lelaki yang berkata-kata, "Pedulikanlah, dia bukan orang kita."

Jin? Syaitan? Bunian?

Misteri Roh Mati Lemas

Pada Mei 1998, seorang suri rumah bernama Faridah Shaari sedang tidur dilantai ruang tamu rumahnya sekitar jam 3 petang.

Tiba-tiba, Faridah terjaga kerana berasa dipeluk dengan erat dari arah belakang oleh sepasang tangan yang sangat sejuk.

Memikirkan itu mungkin anaknya, Amir Azwani, 8 tahun, Faridah membiarkan sahaja.

Tapi dia berasa pelik, mengapa tangan, badan dan kaki Amir begitu sejuk bagaikan mandi terlalu lama atau baru saja memegang ais.

Faridah pantas berpaling ke belakang. Kosong, Amir tiada. Bukan saja tiada dibelakangnya, malah belum pulang walaupun telah malam.

Operasi mencari dijalankan dan mayatnya hanya ditemui sekitar jam 6 pagi esoknya di dalam sebatang sungai.

Amir dipercayai mati lemas selepas terjatuh ketika menyeberangi jambatan, sekitar jam 3 petang, pada waktu ibunya berasa tubuhnya dipeluk dari belakang!

Faridah juga menceritakan bahawa seminggu sebelum itu, dia beberapa kali bermimpi Amir mati lemas di dalam sungai.

Misteri apakah ini? Adakah roh seseorang boleh meninggalkan jasadnya pada saat dia sedang bergelut dengan maut?

Misteri Alam Ghaib

Seperti kata seorang pengkaji paranormal terkenal, John Spencer, "Kita akui memang banyak fenomena yang benar-benar misteri disekeliling kita.

"Buat masa ini, kita masih belum mampu memberikan jawapannya, yang ada hanyalah sekadar pertanyaan."

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Misteri Mangsa Bunuh Merasuk Kakak Untuk Memberitahu Lokasi Mayat!

-SENTIASAPANAS.COM

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

Gelagat kucing yang sering mencuit hati membuatkan pemilik mereka bertambah sayang dan sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi semata-mata untuk memastikan si comel sentiasa berada dalam keadaan yang sihat dan gembira.

Kali ini kami ingin berkongsi jenis-jenis baka kucing yang sangat jarang ditemui di seluruh dunia dan mungkin anda sendiri tidak pernah mendengar pun tentang kewujudan spesis kucing-kucing ini!

1. Black-footed cat

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

Black-footed cat atau kucing berkaki hitam merupakan sejenis kucing yang menghuni kawasan di wilayah Afrika Selatan.

Kucing ini merupakan salah satu spesies kucing terkecil dan juga merupakan kucing terkecil di Afrika.

Kucing ini ebih aktif ketika waktu malam berbanding waktu siang, menyebabkan kucing ini lebih sukar ditemui berbanding kucing-kucing lain.

2. Rusty-spotted cat

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

Kucing ini meruapakan spesies kucing liar terkecil di dunia dan pernah direkodkan berada di Sri Lanka dan India. Pada tahun 2016, kucing ini juga dilaporkan berada di kawasan barat Nepal.

Bilangan spesis kucing ini semakin berkurangan dan ia dikategorikan sebagai haiwan terancam oleh IUCN Red List of Threatened Species.

3. Sand cat

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

Kucing pasir yang juga dikenali sebagai Sand cat atau pun Sand dune cat merupakan kucing yang sebahagian besarnya dijumpai di kawasan padang pasir.

Kucing ini mempunyai taburan yang luas dan dipisahkan oleh padang pasir Afrika Utara, Asia Barat dan Asia Tengah.

Sejak tahun 2002, kucing bersaiz kecil ini telah dikategorikan sebagai spesies terancam oleh IUCN kerana bilangan populasi mereka yang semakin berkurangan setiap tahun.

4. Geoffroy’s cat

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

Kucing Geoffroy adalah spesis kucing yang boleh ditemui di kawasan Amerika Selatan. Saiz kucing ini adalah sama dengan saiz kucing domestik biasa,dan mempunyai banyak tompok-tompok hitam di badannya.

Purata berat badannya adalah 2-5 kg dan yang paling berat pernah direkodkan adalah seberat 7.8 kg.

5. Fishing cat

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

Kucing ini merupakan sejenis kucing liar yang banyak dijumpai di kawasan selatan Asia.

Sejak tahun 2016, spesis kucing ini telah dikategorikan sebagai haiwan yang sangat terancam kerana populasinya menurun dengan mendadak disebabkan habitatnya banyak yang telah musnah.

Kucing ini tinggal di kawasan-kawasan seperti pinggir sungai, tasik dan paya. Kucing ini terkenal dengan kemahiran mereka berenang di dalam air untuk memburu ikan.

6. Jaguarundi

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

Jaguarundi adalah kucing yang banyak ditemui di kawasan Amerika Utara dan Amerika Selatan. Spesis kucing ini mempunyai jumlah populasi yang besar dan tidak dikategorikan sebagai haiwan yang terancam.

Kucing ini memiliki kaki yang pendek, ekor yang panjang dan telinga yang bulat. Mereka lebih aktif pada waktu siang berbanding waktu petang dan malam.

Kucing ini mahir memanjat pokok tetapi dan kerap berada di atas pokok untuk berehat.

7. Kodkod

7 Baka Kucing Paling Sukar Ditemui di Dunia

Kodkod adalah sejenis kucing yang memiliki kepala kecil, kaki yang besar dan ekor yang tebal. Kucing ini adalah spesies kucing yang kecil dan purata berat badannya adalah 2-2.5 kg sahaja.

Kodkod adalah salah satu spesis kucing yang memiliki kemahiran memanjat pokok yang luar biasa. Mereka memiliki oto kuat yang membolehkan mereka memanjat pokok dengan laju dan mudah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi