Sabtu, Januari 20, 2018

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Negeri Perak sudah pastinya menjanjikan kelainan kepada pengunjung kerana sangat terkenal dengan pelancongan alam semula jadi, pulau dan pantai, tempat bersejarah, taman tema dan sebagainya.

Negeri Perak juga merupakan sebuah negeri di Malaysia yang menyediakan begitu banyak tempat menarik untuk dikunjungi oleh mereka yang sangat menyukai dunia haiwan.

Jika anda inginkan percutian yang bercirikan alam haiwan, jangan lepaskan peluang untuk melawati negeri Perak.

Di sini kami senaraikan 14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak yang boleh anda lawati bersama keluarga ketika bercuti di negeri ini.

1. Zoo Taiping

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Zoo Taiping ini merupakan sebuah zoo yang terbesar dan satu-satunya di utara semenanjung Malaysia iaitu di negeri Perak.

Dengan kawasan zoo seluas 36 ekar ini, Zoo Taiping membawa pembaharuan dengan menggunakan konsep terbuka, dengan mengambil kira habitat asal haiwan tersebut.

Zoo ini menempatkan lebih 1200 ekor haiwan yang terdiri daripada 140 spesies terdiri daripada Harimau, Singa, Gajah, Badak Air, Zirafah, Enggang, Orang Utan dan banyak lagi.

Pengunjung boleh datang ke sini untuk beriadah bersama anak-anak dan mempelajari tentang hidupan liar.

Waktu Operasi: Isnin-Ahad (8.30am-6.00pm)
Bayaran Masuk: Dewasa: RM17.00 | Kanak-kanak: RM8.50

2. Night Safari Zoo Taiping

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Aktiviti Night Safari yang terdapat di Zoo Taiping ini merupakan yang pertama di Malaysia. Night Safari membolehkan pengunjung melihat hidupan-hidupan liar yang aktif pada waktu malam dalam suasana semula jadi.

Pengunjung dikehendaki meminimumkan bunyi-bunyi atau suara dan dilarang membawa lampu suluh dan kamera berflash supaya dapat mendengar bunyi-bunyi haiwan serta tidak mengganggu ketenteraman di sini.

Suatu pengalaman yang menarik untuk melihat hidupan liar dalam suasana malam yang tenang bagi pengunjung yang ingin lari dari kesibukan hari siang di bandar yang dapat dikongsi bersama ahli keluarga.

Waktu Operasi: Ahad – Jumaat dan Cuti Umum (8.00pm – 11.00pm) | Sabtu dan malam sebelum Cuti Am (8.00pm – 12.00am)

3. Eco Park

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Eco Park di Bukit Merah Laketown Resort merupakan sebuah taman tema berasaskan alam semula jadi pasti menjadi tarikan pengunjung.

Merupakan sebuah tempat perlindungan mesra alam semula jadi seluas 3 ekar dengan 3 bahagian iaitu Nature Trail, Reptile Park dan Tropical Trek pasti mengujakan para pengunjung.

Terdapat pelbagai spesies hidupan liar seperti reptilia, primat, mamalia, burung dan ikan dalam persekitaran alam semula jadi berhampiran dengan habitat mereka.

Selain itu, di sini juga terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan seperti Skycycle, taman haiwan peliharaan untuk pengunjung melihat secara lebih dekat dan banyak lagi.

Pengunjung yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai hidupan liar ini dan merasai pengalaman menyeronokkan juga digalakkan untuk berinteraksi dengan beberapa haiwan yang terdapat Eco Park ini.

Waktu Operasi: Isnin – Khamis (11.00am– 6.00pm) | Jumaat – Ahad (10.00am – 7.00pm) | Cuti Sekolah dan Cuti Umum: Tutup kecuali hari Selasa

Bayaran Masuk: Dewasa (RM18) | Kanak-kanak (RM14) | Warga Emas dan OKU (RM10)

4. Kelip-Kelip Kampung Dew

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Jika anda ke Taiping jangan lepaskan peluang untuk ke Kampung Dew yang terletak di kawasan Simpang Ampat, Semanggol.

Pengunjung dapat melihat kelip-kelip yang menjadi tarikan eko-pelancongan dan pastinya sangat menyeronokkan.

Lokasi pelancongan sebegini amat jarang terdapat di dunia terutamanya di Malaysia, pengunjung dapat melihat dan mempelajari mengenai spesies kumbang ini secara dekat.

Pengunjung tidak perlu risau kerana anda akan dibawa menaiki feri melawat kawasan habitat ini, mengambil masa selama 30 minit untuk pergi dan balik, setiap bot atau feri ini juga boleh memuatkan 5 sehingga 7 orang penumpang, bergantung kepada saiznya.

Kelip-kelip dengan jumlah yang banyak berterbangan mengeluarkan cahaya pada waktu malam di sini sangat mempesonakan anda seolah-olah melihat bintang di langit.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.00am – 10.00pm)

5. Pulau Orang Utan

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Pulau Orang Utan merupakan sebahagian daripada pusat peranginan Bukit Merah Laketown Resort, uniknya pusat penjagaan Orang Utan ini kerana terletak di tengah tasik kira – kira 10 minit dari Bukit Merah.

Pengunjung perlu menaiki bot untuk melawat pusat perlindungan Orang Utan ini. Pulau seluas 35 ekar ini menempatkan lebih 20 ekor orang utan dari peringkat umur bayi sehingga dewasa.

Di pulau ini pengunjung dapat melihat secara jelas orang utan melakukan aktiviti harian mereka melalui terowong sangkar besi sepanjang 100 meter.

Pusat perlindungan ini juga memberi suatu kelainan yang tersendiri berbeza dengan mana-mana perlindungan Orang Utan yang lain kerana berada di habitat semula jadinya sendiri.

6. Burung Enggang di Pasir Bogak

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Pengunjung dapat melihat secara dekat burung Enggang di Pasir Bogak yang merupakan salah satu kawasan di Pulau Pangkor.

Merupakan tarikan utama pelancong untuk menyaksikan sendiri spesies burung unik ini selain daripada pantainya yang unik berbanding pusat peranginan lain di negara ini.

Pengunjung berpeluang untuk melihat spesies burung ini yang semakin mesra dengan lebih dekat setiap petang, jika bernasib baik pengunjung berpeluang memberi makan secara terus dari tapak tangan.

7. Lost World Petting Zoo

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Lost World Petting Zoo merupakan salah satu tarikan utama di Lost World of Tambun, tarikan baharu ini meliputi kawasan seluas 80,000 kaki persegi.

Dibina di dalam hutan semula jadi dengan berlatar belakangkan bukit batu kapur menjadikan ianya tumpuan pelancong dari serata negara.

Terdapat lebih 4,000 haiwan seperti burung, rakun, ular sawa, kura-kura gergasi, monyet, rusa, rubah dan sebagainya.

Merupakan tempat rekreasi yang menyeronokkan dan pembelajaran untuk pengunjung dari semua peringkat umur meluangkan masa bersama keluarga berinteraksi lebih dekat, sambil menghargai haiwan-haiwan yang terdapat di sini.

8. Tiger Valley

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Di lokasi ini pengunjung dapat melihat harimau Siberian secara dekat. Pengunjung berpeluang untuk berkunjung ke Tiger Valley di Lost World of Tambun yang menjadi tarikan utama pelancong bagi melihat kelincahan dan kekuatan haiwan liar yang tergolong daripada keluarga kucing liar yang terbesar ini.

Di samping, berpeluang untuk melihat haiwan tersebut diberi makan oleh pelatih.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (3.00am – 4.00pm)

9. Pusat Konservasi Hidupan Liar

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Pusat Konservasi Hidupan Liar, Sungkai diuruskan oleh Jabatan Perhilitan Perak, dengan keluasan melebihi dari 50 hektar, telah mula beroperasi pada tahun 1971.

Penubuhan pusat ini adalah bertujuan untuk menjadi pusat pembiakan, mengawal dan mengelak kepupusan haiwan yang terancam.

Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar ini terletak 15 kilometer dari Pekan Sungkai, kira-kira 40 kilometer dari Teluk Intan.

Pengunjung dapat melihat lebih daripada 100 ekor rusa berkeliaran bebas di tapak pembiakan dan pemuliharaan.

Pusat ini juga menempatkan haiwan seperti seladang dan pelbagai spesies burung, rusa serta harimau.

Waktu Operasi: Isnin – Jumaat (8.00am – 5.00pm)
Bayaran Masuk: Percuma

10. Ladang Ternakan Rusa

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Jika pengunjung ingin melihat pelbagai jenis spesies rusa secara lebih dekat terdapat sebuah ladang ternakan Rusa di Kampung Manderang, Sungkai, Perak.

Ladang ini berkeluasan 100 hektar telah ditubuhkan dan diuruskan oleh Jabatan Hidupan Liar. Di sini, anda dapat melihat pelbagai spesies rusa yang berlari dan hidup dengan bebas, sama seperti apa habitat semula jadi rusa.

Dibuka kepada orang awam pada tahun 1978 dengan kerjasama di antara Kerajaan Negeri dan Jabatan Perhilitan, ladang ini juga menyediakan tempat perlindungan bagi spesies burung tertentu dan pelbagai hidupan liar yang lain.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.00am – 4.15pm)
Bayaran Masuk: Percuma

11. Taiping Equine Park

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Jika anda ingin merasai pengalaman menunggang kuda, jangan lupa untuk singgah ke Taiping Equine Park.

Merupakan taman yang sangat inovatif yang boleh dinikmati oleh anda sekeluarga. Di sini terdapat banyak kuda-kuda yang sangat mesra dan boleh juga ditunggang oleh kanak-kanak.

Pengalaman menunggang kuda di sini akan menjadi pengalaman yang terbaik untuk anda rasai jika melancong ke negeri Perak ini.

12. Pusat Pengurusan Penyu Segari

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Pusat Pengurusan Penyu Segari merupakan salah satu tumpuan para pelancong di Perak yang terletak di Pantai Pasir Panjang, Segari, Perak.

Merupakan pusat pemuliharaan haiwan terancam ini sebelum dilepaskan ke dalam laut. Dua jenis penyu yang mendarat di Pusat ini adalah Penyu Lipas dan juga Penyu Agar.

Jika pengunjung ingin melihat aksi penyu mendarat boleh berkunjung ke sini sekitar bulan Mac hingga Julai.

Di sini pengunjung dapat melihat pameran mengenai penyu dan kitaran hayat mereka, melawat tapak penetasan penyu, kolam penyu dan melihat perlepasan anak-anak penyu ke dalam laut.

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (10.00am – 5.00pm) (12.30am – 2.00pm)

13. Santuari Burung Kuala Gula

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Kuala Gula dikenali sebagai perkampungan nelayan di garis pantai negeri Perak. Kedudukan lokasi ini juga terdiri daripada bahagian Hutan Simpan Paya Laut Matang.

Kuala Gula juga terkenal di kalangan pemerhati burung tempatan mahupun dari antarabangsa kerana terdapat burung migrasi.

Di samping itu, pelbagai kemudahan yang disediakan seperti chalet untuk pelancong yang ingin menginap dan merasai keindahan alam semula jadi paya bakau yang didiami oleh beribu-ribu burung yang singgah dari seluruh pelosok dunia.

14. Taman Alam Kinta

14 Lokasi Menarik Percutian Syurga Pencinta Haiwan Di Perak

Taman Alam Kinta atau juga dikenali sebagai Taman Burung di Kampung Pisang, Batu Gajah, sering menjadi tumpuan para pelancong yang datang dari dalam dan luar negara kerana menjadi habitat lebih dari 150 jenis burung air antaranya burung kuang, raja udang, belatuk, wak-wak, tiong air, penyelam, bangau dan banyak lagi.

Bekas lombong bijih timah yang berkeluasan seluas 900 hektar ini menjadi habitat burung-burung residen dan migrasi.

Terdapat sebuah menara pemerhati burung juga dibina khas untuk pelancong memerhati habitat burung-burung air di Taman Alam Kinta ini dengan lebih mudah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 12 Lokasi Menarik Muzium Dan Tempat Bersejarah Percutian Di Perak

sumber: maisinggah

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon