Monday, June 22, 2020

Hadiah Booker Antarabangsa, Anugerah Sastera Paling Lumayan di Dunia

Hadiah Booker Antarabangsa, Anugerah Sastera Paling Lumayan di Dunia

Hadiah Man Booker untuk Fiksyen (The Man Booker Prize for Fiction), dahulunya dikenali sebagai Hadiah Booker-McConnell dan secara ringkasnya digelar Hadiah Booker, merupakan hadiah kesusasteraan yang dianugerahkan setiap tahun kepada novel asal terbaik yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di United Kingdom.

Hadiah Booker Antarabangsa

Hadiah ini pada mulanya hanya terbuka kepada rakyat dari negara-negara Komanwel, Ireland, Afrika Selatan dan Zimbabwe, namun kelayakan dibuka kepada semua novel berbahasa Inggeris bermula pada tahun 2014.

SEJARAH

Hadiah ini pada asalnya dikenali sebagai Hadiah Booker–McConnell, dinamakan sempena syarikat Booker, McConnell Ltd yang bertindak sebagai penaja rasmi pada tahun 1968; dan lebih dikenali sebagai "Hadiah Booker" atau "the Booker".

Apabila pentadbiran bertukar tangan kepada Yayasan Hadiah Booker pada tahun 2002, Kumpulan Man beralih daripada menyediakan penajaan kepada pelaburan, namun nama "Booker" dikekalkan sebagai sebahagian daripada gelaran rasmi hadiah.

Yayasan tersebut merupakan badan amal berdaftar yang bebas dan dibiayai oleh keuntungan Booker Prize Trading Ltd, iaitu sebagai pemegang saham tunggal.

Pemenang Hadiah Booker pada asalnya menerima £21,000, sebelum dinaikkan kepada £50,000 pada tahun 2002 dibawah tajaan Man Group, menjadikan hadiah ini salah satu hadiah kesusasteraan termahal di dunia.

Pada tahun 1970, Bernice Rubens menjadi penulis wanita pertama yang memenangi Hadiah Booker untuk The Elected Member.

Pada asalnya, hadiah ini telah dianugerahkan secara retrospektif kepada buku-buku yang diterbitkan pada tahun sebelum tahun penganugerahan, namun pada tahun 1971, peraturan ini diubah agar penganugerahan diberikan kepada buku yang diterbitkan pada tahun semasa.

Hal ini menjadikan buku-buku yang diterbitkan pada tahun 1970 tidak layak dipertimbangkan pada mana-mana tahun penganugerahan.

Pada Januari 2010, Yayasan Hadiah Booker mengumumkan anugerah khas yang dikenali sebagai "Lost Man Booker Prize," yang mana pemenang dipilih dari senarai 22 buah novel yang diterbitkan pada tahun 1970 dan dimenangi oleh J. G. Farrell menerusi Troubles.

Alice Munro menerusi The Beggar Maid pernah disenaraikan pada tahun 1980, dan menjadi satu-satunya koleksi cerita pendek yang disenarai pendek sehingga kini.

Pencalonan karya-karya yang terpilih untuk hadiah ini langsung tidak didedahkan kepada umum sehingga tahun 2001.

KONTROVERSI

Pertama:
  • Hadiah itu diperkenalkan pada 1969 dengan tajaan pemborong barangan runcit terkemuka British, Booker.
  • Penerbit British dalam usaha menandingi anugerah terhormat Perancis, Goncourt, menemui Pengerusi Booker, Jock Campbell untuk mendapatkan tajaan kerana minatnya terhadap sastera sudah diketahui umum.
  • Ia dinamakan semula Hadiah Man Booker pada 2002 apabila syarikat dana lindung nilai, Man Group mengambil alih tajaan.
  • Kemudian, ia menggunakan nama asal apabila Yayasan Crankstart dari Amerika Syarikat (AS) yang diasaskan jutawan dari Silicon Valley, menjadi penaja.

Kedua:
  • Hadiah itu menilai karya asal fiksyen yang ditulis dalam bahasa Inggeris dan diterbitkan di Britain atau Ireland.
  • Pemenangnya diumumkan setiap Oktober, membawa pulang hadiah wang tunai £50,000 (RM264,000), manakala pengarang yang disenarai pendek turut mendapat £2,500 (RM13,200).
  • Meskipun ia jauh ketinggalan berbanding Hadiah Nobel Kesusasteraan yang bernilai AS$930,000 (RM3.9 juta), ia jauh mengatasi anugerah sastera terkemuka lain seperti Hadiah Pulitzer yang menawarkan $15,000 (RM62,700).
  • Anugerah Goncourt Perancis pula hanya memberikan hadiah simbolik berupa 10 euro (RM46) tetapi menjanjikan rangsangan jualan yang dapat menjadikan karya dipilih sebagai karya terlaris di pasaran.
  • Pemenang Hadiah Booker seperti dipetik dalam laman webnya, menjanjikan pengiktirafan antarabangsa dan kenaikan tinggi dalam jualan.

Ketiga:
  • Jawatankuasa Booker memilih panel penilai baharu sekitar lima hakim setiap tahun, biasanya tokoh daripada dunia sastera seperti pengarang, pengkritik dan penerbit.
  • Mereka diberi tempoh beberapa bulan untuk menelaah sekitar 12 judul yang disenarai panjang. Ia kemudian disaring kepada senarai pendek dan pemenang tunggal.

Keempat:
  • Pada tahun 2016, anugerah berasingan diperkenalkan untuk menilai karya fiksyen yang diterjemah ke bahasa Inggeris dan diterbitkan di Britain atau Ireland.
  • Hadiah bernilai £50,000 (RM264,000) ditawarkan untuk Booker Antarabangsa, diumumkan pada Mei setiap tahun dan dibahagikan antara pengarang dengan penterjemah.

Kelima:
  • Timbul polemik di Britain apabila anugerah utama Hadiah Booker, dibuka kepada pengarang Amerika Syarikat (AS) pada 2014 yang selama ini diperuntukkan kepada penulis dari Britain, Ireland, negara Komanwel dan Zimbabwe.
  • Panel hakim Booker 2011, Susan Hill memberitahu The Guardian pada 2016 bahawa permainan kini tidak menyebelahi pengarang United Kingdom (UK) kerana dipenuhi daripada AS.
  • Sementara itu, pemenang dua kalinya, Peter Carey merungut kerana anugerah itu menjadi tidak lebih penjenamaan korporat global.
  • Pemilihan calon sering dikritik kerana seolah-olah dibuat secara rawak, selain wujud pertembungan sesama juri, manakala pilihan pemenang boleh menjadi kontroversi.
  • Pemenang juga ada kalanya tidak gembira, kerana dalam ucapan penerimaan, pemenang edisi 1972, John Berger, berkata persaingan anugerah itu 'menjengkelkan'.
  • Beliau mendermakan separuh daripada nilai hadiah itu kepada Gerakan Black Panther sebagai protes terhadap eksploitasi di Caribbean oleh syarikat perdagangan seperti penaja Booker.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

10 Ahli Sukan Paling Hebat Sepanjang Zaman

10 Ahli Sukan Paling Hebat Sepanjang Zaman

Siapa ahli sukan terbaik sepanjang zaman yang menjadi idola di seluruh dunia? Sebenarnya, sangat ramai ahli-ahli sukan yang hebat dari dahulu hinggalah sekarang, tetapi pasti ada yang bergelar paling hebat dan terbaik diantara yang terbaik kan?

Berdasarkan pemilihan Dewan Kemasyhuran oleh akhbar The Sun, berikut adalah 10 senarai legenda sukan sepanjang zaman, mereka digelar Best of The Best.

1. Muhammad Ali

Ahli Sukan Paling Hebat

Dia menggelarkan dirinya "Yang Terhebat" dan tidak ada sesiapa mampu menafikannya.

Ali adalah juara tiga kali tinju heavyweight yang memenangi beberapa pertarungan hebat - termasuk 'Rumble in the Jungle' menentang George Foreman dan "Thrilla in Manila' menentang Joe Frazier, serta kejutan ke atas Sonny Liston untuk merebut gelaran itu buat julung kalinya.

Berasal dari generasi hamba abdi di Kentucky, Ali menjadi lelaki paling terkenal di dunia, bukan saja berjuang di dalam gelanggang tinju, tetapi turut memperjuangkan kepercayaan agama dan politiknya.

2. Don Bradman

Ahli Sukan Paling Hebat

Pemain kriket Australia ini mungkin tidak sehebat legenda dalam sukan utama lain, tetapi rekodnya dalam sukan kriket melayakkannya berada di tangga kedua senarai ini.

Don Bradman mengakhiri karier antarabangsanya dengan membimbing Australia dalam jelajah England pada 1948.

3. Pele

Ahli Sukan Paling Hebat

Hanya ada tiga nama yang mampu menyaingi kehebatan Pele - Maradona, Messi dan Ronaldo.

Tetapi sumbangan besar Pele untuk kejuaraan Brazil pada Piala Dunia 1958 (pada usia 17 tahun) dan pada edisi 1970, serta rekod jaringannya, menjadikannya pemain bola sepak terulung.

Pele meledak 1,281 gol, walaupun rekod dalam perlawanan rasmi dikatakan hanya 767 gol.

4. Tiger Woods

Ahli Sukan Paling Hebat

Walaupun Jack Nicklaus masih mendahului dalam jumlah gelaran Major - 18 berbanding 15 - Woods masih merekodkan karier lebih gemilang berbanding mana-mana pemain golf.

Tidak ada pemain yang lebih dominan berbanding Tiger Woods di kemuncak kariernya, memenangi keempat-empat gelaran major serentak selepas menyarung jaket hijau Masters pada 2001.

5. Roger Federer

Ahli Sukan Paling Hebat

Berdasarkan rekod 20 kejuaraan Grand Slam perseorangan lelaki, termasuk lapan gelaran Wimbledon yang belum diatasi, Federer adalah legenda sepanjang zaman di gelanggang tenis.

Keupayaannya memenangi tiga gelaran Major pada usia 35 dan 36 tahun, selepas pulih daripada kecederaan lutut dan belakang, membuktikan kegemilangannya yang melangkaui usia.

6. Michael Jordan

Ahli Sukan Paling Hebat

Michael Jordan adalah pemain bola keranjang terhebat yang mampu mengubah mana-mana pasukan biasa kepada pasukan hebat, seperti Maradona dalam bola sepak.

Dia memenangi enam gelaran NBA dengan Chicago Bulls pada era 90-an, dengan lima anugerah Pemain Paling Bernilai dan 10 gelaran jaringan.

7. Jesse Owens

Ahli Sukan Paling Hebat

Tidak ada atlet dalam sejarah yang merakam kemenangan lebih besar berbanding Owen, apabila dia menggondol empat pingat emas di Berlin ketika era Adolf Hitler pada Olimpik 1936.

Atlet berkulit hitam Amerika Syarikat itu mengatasi kesombongan bangsa Aryan yang didakwa Nazi sebagai bangsa terulung apabila menguasai acara 100m, 200m, pecut berganti-ganti dan lompat jauh.

Pencapaian Owen itu hanya dapat diulangi oleh Carl Lewis pada 1984.

8. Lionel Messi

Ahli Sukan Paling Hebat

Seorang lagi bintang bola sepak Argentina dan mungkin pemain paling berbakat pernah wujud dalam sukan ini.

Tidak seperti Maradona, Messi belum pernah memenangi Piala Dunia dan hanya bermain untuk satu kelab, Barcelona.

Dia meledak 627 gol dalam 718 penampilan untuk kelab dan menjadi penjaring terbanyak La Liga sepanjang zaman.

Messi mengumpul 34 trofi utama bersama Barca, termasuk empat Liga Juara-Juara, dan memegang gelaran terbanyak Ballon d'Or sebanyak enam kali.

Walaupun dia bersaing hebat dengan Cristiano Ronaldo, Messi sentiasa menjadi pilihan berbanding pesaing dari Portugal itu.

9. Diego Maradona

Ahli Sukan Paling Hebat

Tidak ada pemain bola sepak lain dalam sejarah mampu menjulang pasukan seperti bintang Argentina ini.

Kemenangan Argentina pada Piala Dunia 1986 boleh dianggap hasil kelincahan Maradona dan gol keduanya ketika suku akhir menentang England dilabel sebagai gerakan solo terbaik dalam sejarah (selain hasil kerja tangannya untuk gol pertama).

Dia turut membantu Napoli menjuarai Serie A sebanyak dua kali ketika Itali dianggap sebagai liga terkuat di dunia.

10. Usain Bolt

Ahli Sukan Paling Hebat

Lapan pingat emas Olimpik dan 11 gelaran Kejuaraan Dunia meletakkan pelari pecut Jamaica ini sebagai atlet olahraga terbaik.

Rekod dunianya dalam acara 100 meter pada catatan 9.58 saat sudah bertahan lebih sedekad.

Lebih menarik lagi adalah, Usain Bolt juga mengatasi pelari pecut lain apabila tidak pernah dipalit skandal penggunaan steroid.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Sunday, June 21, 2020

Maksud Setiap Nombor Dalam Budaya Cina Dan Kaitannya Dengan Kehidupan

Maksud Setiap Nombor Dalam Budaya Cina Dan Kaitannya Dengan Kehidupan

Masyarakat Cina percaya dengan memiliki nombor pendaftaran tertentu yang popular, sesuatu tuah boleh diperoleh, dan disebabkan itu juga mereka sanggup membelanjakan wang yang sangat banyak untuk sesetengah nombor yang dianggap bertuah.

Maksud nombor budaya cina

Kuasa dan pengaruh nombor ada penceritaan mengenainya, dan setiap nombor ada maksud tertentu yang orang Cina sangat percaya kepadanya.

Jom kita ketahui tafsiran nombor-nombor mengikut kehidupan masyarakat Cina.

MAKNA NOMBOR Dalam NUMEROLOGI CINA

Nombor 1
  • Nombor 1 memberi maksud kuasa dan kekayaan kepada pemiliknya, menjadikan nombor ini antara yang menjadi rebutan setiap kali tender nombor pendaftaran dibuka.
  • Tafsiran nombor 1 ialah satu, saya, diri sendiri.

Nombor 2
  • Angka atau nombor 2 pula membawa maksud kebahagian dan kasih sayang. Lebih kepada berpasang-pasangan.
  • Contohnya, "double happiness", "double prosperity", jualan berganda dan sebagainya.
  • Tafsiran nombor 2 ialah mudah, senang.

Nombor 3
  • Nombor 3 membawa maksud mengangkat sesuatu kedudukan seseorang ke satu tahap yang lebih tinggi.
  • Tafsiran nombor 3 ialah mendapatkan, hidup.

Nombor 4
  • Kebanyakan orang Cina menyifatkan nombor 4 sebagai lambang kematian dan kurang digemari.
  • Tafsiran nombor 4 ialah mati, miskin, susah.

Nombor 5
  • Sememangnya nombor 5 membawa maksud keterujaan dan kejayaan segera tetapi ia mungkin tidak bertahan lama.
  • Namun, tidak ramai yang ambil kisah semua itu, yang penting cepat kaya.
  • Tafsiran nombor 5 ialah tidak akan, tidak pernah.

Nombor 6
  • Sebenarnya nombor 6 adalah angka yang kurang baik kerana ianya membawa kesusahan.
  • Meskipun begitu ini tidak selamanya kerana dipercayai akan meraih kekayaan selepas sesuatu tempoh.
  • Tafsiran nombor 6 ialah akan, menuju.

Nombor 7
  • Nombor 7 pula membawa maksud kestabilan dalam kehidupan. Sungguhpun makna angka 7 nampak positif, ianya juga boleh membawa erti pergi atau keluar.
  • Sudah tentu ini tidak bagus untuk rumah atau kedai sebab macam menghalau keluar atau pergi dari situ.
  • Tafsiran nombor 7 ialah pasti, tepat.

Nombor 8
  • Bagi orang Cina, nombor 8 paling popular kerana ia membawa pengaruh yang sangat tinggi di samping kejayaan dalam kehidupan.
  • Tafsiran nombor 8 ialah kaya, makmur.

Nombor 9
  • Nombor 9 mempunyai maksud yang sama dengan nombor 1 iaitu kuasa dan kekayaan kepada pemiliknya.
  • Selalunya jika tak dapat nombor 1, pilihan yang lain adalah nombor 9. Cuma pengaruhnya kurang jika dibandingkan dengan angka 1.
  • Tafsiran nombor 9 ialah lama, panjang, kuasa.

Nombor 0
  • Pada kebiasaannya nombor 0 atau kosong akan digabungkan dengan mana-mana nombor lain untuk memperkukuhkan maksud atau tuah sedia ada.
  • Tafsiran nombor 0 ialah tiada.

Gabungan Nombor Yang Membawa TUAH

Contoh-contoh kombinasi nombor dan maksudnya mengikut kepercayaan orang Cina:
  • 168 – Saya akan kaya
  • 998 – Lama-lama kaya
  • 3889 – Dapat kaya, kaya selamanya

Dalam pada itu, ada juga makna nombor yang sedikit berbeza dan berikut senarainya:
  • Nombor 1 – satu, dijangka
  • Nombor 2 – lapar
  • Nombor 3 – hidup
  • Nombor 4 – mati
  • Nombor 5 – tidak
  • Nombor 6 – guling
  • Nombor 7 – terus, lurus
  • Nombor 8 – kaya
  • Nombor 9 – lama
  • Nombor 0 – tiada

Kalau mengikut tafsiran nombor di atas, 6674 membawa maksud; guling-guling terus mati. Kah kah.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: ppim

8 Resepi Sambal Paling Sedap Anda Wajib Cuba

8 Resepi Sambal Paling Sedap Anda Wajib Cuba

Hidangan sambal bagaikan suatu kemestian setiap kali kita menjamah nasi bersama keluarga dirumah. Dalam tak sedar bertambah makan. Dan penyediaan sambal tidaklah sesusah mana dan boleh dipelbagaikan.

Resepi Sambal

Berikut kami kongsikan 8 resipi sambal yang boleh anda cuba. Ikutilah kreativiti dan cita rasa masing-masing.

1. SAMBAL KUNYIT

Bahan:
  • 1/2 kilo kunyit.
  • 1/2 kilo halia.
  • (Kunyit dan halia dibersihkan, hiris kasar dan goreng dengan sedikit minyak. Goreng garing kemudian dikisar. Boleh guna pengisar kering atau basah. Jika guna pengisar basah, tambahkan sedikit air).
  • 2 labu bawang putih, dihiris halus.
  • Bawang merah, hiris halus.
  • 4 sudu atau lebih lada hitam.
  • 1/4 cawan air asam pekat.
  • Garam dan gula secukup rasa.
  • Ikan bilis - di goreng dan ketepikan. Boleh ditukar dengan ikan/daging rebus atau bakar.

Cara:
  • Kunyit halia yang dikisar terus dimasak tanpa minyak hingga sedikit kering.
  • Kacau selalu untuk elakkan hangit - lagi bagus jika guna non stick pan.
  • Apabila sudah kering, masukkan air asam. Garam gula secukup rasa.
  • Dikuali yang lain tumis bawang putih dan bawang merah dengan sedikit minyak - tumis hingga wangi - ketepikan.
  • Bila halia dan kunyit sudah kering, masukkan tumisan bawang putih dan bawang merah, masukkan juga lada hitam.
  • Kacau rata dan bolehlah dihidang dengan ikan bilis, daging, ayam atau ikan.

2. SAMBAL TEMPOYAK MENTAH

Bahan:
  • 10 tangkai cili padi.
  • 5 tangkai cili merah.
  • 1 mangkuk kecil tempoyak.
  • 1 sudu besar gula.
  • 4 ulas bawang merah.
  • Garam dan gula.

Cara:
  • Tumbuk cili padi, cili merah dan bawang merah.
  • Setelah lumat, masukkan gula, garam dan tempoyak.
  • Gaul hingga sebati.

3. SAMBAL TEMPOYAK IKAN BILIS

Bahan:
  • 1 mangkuk ikan bilis.
  • 5 tangkai cili padi.
  • 3 tangkai cili merah.
  • ½ labu bawang besar.
  • 1 ulas bawang putih.
  • 3 cm kunyit hidup.
  • ½ labu bawang besar – potong 8.
  • 1 helai daun kunyit.
  • 1 senduk tempoyak.
  • Garam dan gula.

Cara:
  • Tumbuk cili padi, cili merah, kunyit hidup, bawang putih dan bawang merah sehingga lumat.
  • Kemudian tumiskan bahan yang telah ditumbuk sehingga kering.
  • Selepas itu, barulah masukkan bawang besar, ikan bilis, daun kunyit, tempoyak, gula dan garam secukup rasa.
  • Masak hingga kering dan angkat.

4. SAMBAL NANAS

Bahan:
  • 300 gm nanas – racik halus.
  • ½ cawan cili padi.
  • 2 sudu kecil gula.
  • 1 sudu kecil garam.
  • 1 sudu besar belacan.
  • ½ labu bawang besar.
  • ½ cawan asam jawa.
  • Sedikit air masak.

Cara:
  • Tumbuk cili padi, belacan dan bawang besar.
  • Kemudian masukkan belacan, tumbuk hingga hancur.
  • Akhir sekali masukkan gula dan garam diikuti air asam jawa.
  • Setelah sebati, masukkan nanas yang telah diracik halus.
  • Gaul rata.

5. SAMBAL KICAP

Bahan:
  • 20 tangkai cili padi.
  • 4 ulas bawang putih.
  • 3 ulas bawang merah – mayang halus.
  • 1 sudu besar gula pasir.
  • 1 sudu kecil gula merah.
  • 1 cawan kicap manis.
  • 2 sudu air limau kasturi.

Cara:
  • Tumbuk cili padi dan bawang putih.
  • Kemudian masukkan kicap manis, gula pasir, gula merah dan bawang merah.
  • Setelah sebati, barulah masukkan air limau kasturi.

6. SAMBAL BELIMBING

Bahan:
  • 8 biji belimbing buluh – belah dua.
  • 1 labu bawang besar.
  • 1 sudu besar belacan.
  • 15 tangkai cili padi.
  • 3 sudu air asam jawa.
  • Gula dan garam.

Cara:
  • Tumbuk cili padi dan bawang besar, sehingga lumat.
  • Setelah hancur, masukkan belacan, tumbuk lagi hingga lumat.
  • Masukkan air asam jawa, belimbing, garam dan gula ikut rasa.
  • Sebatikan rasa.

7. SAMBAL BERLADA

Bahan:
  • 20 tangkai cili padi.
  • 10 tangkai cili merah.
  • ½ biji tomato.
  • Gula dan garam.
  • Minyak untuk menumis.
  • ½ cawan asam jawa.

Cara:
  • Tumbuk cili padi dan cili merah. Bila dah hancur baru tumbuk tomato. Tumis sehingga garing.
  • Akhir sekali, baru masukkan air asam jawa bersama garam dan gula.
  • Sebatikan rasa.

8. SAMBAL MANGGA

Bahan:
  • ½ biji mangga muda – racik.
  • ½ cawan cili padi.
  • 2 sudu kecil gula.
  • 1 sudu kecil garam.
  • 1 sudu besar belacan.
  • 1 biji tomato.
  • ½ labu bawang besar.
  • ½ cawan asam jawa.
  • Sedikit air masak.

Cara:
  • Tumbuk cili padi hingga hancur, lepas itu masukkan bawang besar dan belacan.
  • Apabila sudah lumat, masukkan tomato, belacan, gula dan garam.
  • Tumbuk hancur, barulah letakkan air asam jawa dan mangga muda.
  • Gaul sebati.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sajionline

SBDJ Siri 157: Wanita Bermata Syaitan

SBDJ Siri 157: Wanita Bermata Syaitan

"Perkara yang nak saya sebutkan tadi, ialah tentang perangai orang kita yang suka mendampingkan senjata dengan benda-benda ghaib atau benda halus. Perbuatan begini banyak buruk dari baiknya," nada suara datuk amat perlahan.

SBDJ siri 139

Dia nampak begitu cemas sekali, macam ada sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar sedang memerhatikan gerak-geri datuk.

"Bila tuan punya senjata itu mati, benda halus meresap atau terus sebati dengan senjata tu. Tidak menganggu orang lain, hanya berbunyi sendiri atau bersuara seperti suara tuannya. Hal ini berlaku dalam waktu tertentu. Tetapi..."

Kami yang mendengar penerangannya terpinga-pinga kerana secara mendadak datuk berhenti bercakap.

Rasa terpinga-pinga itu berlalu begitu saja bila datuk menyambung kembali kata-kata yang terhenti itu.

"Tetapi bila ada orang cuba memulihkannya dengan kemenyan putih, membasuh mata senjata dengan air limau, melumurkan bahagian hujung senjata dengan darah gagak waktu senja, benda-benda halus akan memperlihatkan dirinya dan bersedia bertuankan kepada orang yang membuat pengasapan atau melanggir senjata tersebut.

"Kalau tak diusik, dibiarkan tertinggal senjata itu reput dan makhluk yang menunggunya terus meninggalkannya, lebih-lebih lagi kalau ada penduduk yang membaca yasin," terbayangkan kepuasan yang amat sangat di wajah datuk, bila dia mengakhiri ceritanya.

Apa yang diutarakan oleh datuk diakui kebenarannya oleh Tuk Siak. Hal yang sama juga pernah dinyatakan oleh ayahnya.

Sesungguhnya, serba sedikit Tuk Siak juga tahu tentang senjata yang didampingi oleh makhluk halus kerana ayahnya juga tukang buat senjata yang handal di kampung itu.

"Peliknya, kenapa lembing tadi boleh jadi begitu, macam ada penunggunya. Kalau mahu dikira penunggunya sudah tak ada lagi," keluh Tuk Siak.

"Saya juga berfikir macam tu," sahut datuk.

"Barangkali ada sesuatu yang tak kena. Boleh jadi juga ada orang yang menghantar makhluk halus menyusup ke dalam semangat besi untuk merosakkan orang yang memegang lembing itu," sahut Haji Bagus.

Datuk hanya tersenyum sebaik saja Haji Bagus selesai meluahkan pandangannya. Datuk tidak mahu memberikan sebarang komentar.

Begitu juga dengan Tuk Siak yang saya kira bagaikan harimau sembunyi kuku. Banyak perkara yang dia tahu tetapi, dia pura-pura tidak tahu.

"Lupakan saja perkara tu," tiba-tiba Tuk Siak bersuara.

"Aku juga fikir begitu, teruskan kerja-kerja kamu nak membersihkan rumah ini. Bila semuanya dah dibersihkan, malam ini kamu bertiga bolehlah tidur disini. Tapi satu perkara yang mesti kamu ingat..."

"Apa dia Abang Aji," potong datuk.

"Makan tengah hari dan malam, di rumah aku. Esok kalau kamu nak masak sendiri atau nak makan di rumah aku, terserah kepada kamu bertiga."

"Kalau begitu, tengah hari dan malam kami makan di rumah Abang Aji. Esok kami masak sendiri," sahut datuk.

"Tak apalah, biar aku balik dulu," Haji Bagus pun melangkah ke pintu.

Tuk Siak menurut dari belakang. Sampai di ambang pintu Tuk Siak berhenti melangkah. Dia merenung ke arah datuk.

"Aku fikir kamu boleh menyelesaikan segala masalah yang datang," itu yang Tuk Siak tuturkan kepada datuk.

"Dengan izin Allah, dapatlah saya selesaikan," sahut datuk.

Tuk Siak dan Haji Bagus terus memijak mata tangga.

ALMARI

Datuk, saya dan si baju hitam meneruskan kerja-kerja yang tergendala. Kali ini kami tidak berminat untuk menjenguk bilik senjata lama.

Masing-masing menjauhkan diri dari mendekati bilik tersebut.

Kerana sudah dibuat keputusan untuk menginap di rumah lama, sudah tentu bilik tidur kami berikan perhatian yang lebih.

Terdapat sebuah bilik tidur lama yang tersedia dengan katil besi dan almari. Saya memutuskan untuk tidur dibilik itu dengan si baju hitam.

Datuk sudah memutuskan untuk tidur di ruang tengah.

Saya membuat rancangan unuk meminjam bantal dan tikar dari rumah Haji Bagus . Bila perkara ini saya ajukan kepada datuk, dia hanya membenarkan saya meminjam tikar saja.

"Bantal tak mustahak, kamu tidur berbantalkan lengan atau kayu bulat. Ini untuk kebaikan kita. Tidur di rumah lama selalu didatang mimpi-mimpi yang menakutkan. Bila pakai bantal melambatkan seseorang bangun dari tidur," itu alasan yang datuk berikan. Saya tak ada pilihan dan terpaksa menerima arahannya.

Pembersihan tahap pertama selesai menjelang zuhur. Selesai sembahyang dan makan kerja disambung semula.

Tahap kedua ialah membuang sawang dan meletakkan sesuatu pada kedudukan asalnya. Kerja itu selesai menjelang waktu asar.

Tahap ketiga boleh dikatakan tidak ada kerja berat yang dilakukan, kecuali datuk yang sibuk menentukan arah dan sudut mana untuk melakukan sembahyang sunat dan membaca Quran sepanjang malam.

Saya lihat datuk memilih tempat berehat (tidur) di sudut sebelah kanan pintu bilik menyimpan senjata lama.

LEMAH

Setelah membersihkan badan di perigi rumah lama, saya dan si baju hitam terus berehat di bilik tidur.

Si baju hitam terus baring atas katil tua, sedangkan saya duduk di bangku goyang yang di perbuat dari kayu.

Mungkin kerana keletihan saya terdengar dengkur si baju hitam. Datuk pula sudah sepuluh minit turun dari rumah lama.

Tidak pula diceritakan kepada saya kemana dia mahu pergi.

Sambil duduk di kerusi goyang saya merenung keluar menerusi tingkap. Saya melihat dedaun jambu air, mempelam dan daun ciku bergerak lemah ditolak angin.

Pada saat yang sama saya terkenangkan kebaikan Nurulhayat.

Sebagai orang muda saya bayangkan saat-saat yang menyeronokkan bersama Nurulhayat. Saya khayalkan saya sedang memadu cinta dengan Nurulhayat hingga menimbulkan rasa ghairah dalam diri.

Dengan perlahan-lahan saya pejamkan sepasang kelopak mata, tidak dapat saya gambarkan bagaimana nikmatnya merangkum pinggang Nurulhayat sambil menekan hujung hidung ke pipinya.

Bila kelopak mata saya buka, saya jadi gementar Nurulhayat terpacak di pintu bilik tidur.

"Nurul, kamu datang," kata saya.

Nurul mengangguk.

"Macam mana kamu datang, apa ayah kamu tahu yang kamu ke mari," kata saya sambil cuba bangun dari kerusi goyang.

Saya tidak boleh bangun. Punggung saya bagaikan melekat di kerusi.

Nurulhayat tidak menjawap semua pertanyaan saya kemukakan. Dia tersenyum sambil mengoyakkan bajunya. Mempamirkan kulit dan buah dadanya yang tegang.

"Jangan Nurul," jerit saya.

Ternyata larangan saya tidak dipedulikan. Kali ini wajahnya sentiasa dihias senyum bertukar menjadi garang. Dia melangkah dan kian rapat dengan saya.

Tanpa diduga, Nurulhayat melepaskan penampar di muka saya. Rasa sakit yang menjalar di muka, saya tanggung sendiri. Kulit muka saya rasa bagaikan tersiat.

Keadaan makin cemas, kalau tadi punggung bagaikan melekat di kerusi, kini sepasang tangan saya tidak boleh digerakkan.

Tulang-tulang sendi tangan dirasakan amat sakit seperti dicucuk dengan benda tajam. Saya menoleh ke arah baju hitam yang sedang berdengkur.

"Andi, tolong aku," dengan sekuat hati saya menjerit. Si baju hitam terjaga.

Sebelum bangun si baju hitam menggeliat dua tiga kali. Dia tidak pula merenung ke arah saya.

Sukar untuk saya menerangkan kepadanya apa yang sedang saya alami. Dengan rasa hampa, saya alihkan pandangan ke arah Nurulhayat.

Kali ini dia berdiri dengan membelakangi saya. Tanpa diduga, dia melangkah tenang menuju ke pintu.

Pada saat itu punggung saya tidak lagi melekat di kerusi, sendi tangan tidak lagi merasa sakit.

Tanpa membuang masa saya melompat dari kerusi lalu menerpa ke katil dan menarik si baju hitam hingga dia terjatuh di lantai.

"Kenapa Tamar."

"Aku rasa pelik sekejap tadi ada perempuan yang aku kenal datang ke sini. Lebih pelik lagi dia tampar muka aku."

"Mana dia?" suara si baju hitam meninggi.

Dia terus berdiri sambil mengepal-ngepalkan penumbuk.

"Itu dia."

Segera saya tunjukkan sekujur tubuh perempuan yang membelakangi kami. Kerana saya yakin perempuan itu Nurulhayat, namanya saya panggil berkali-kali.

Malangnya dia tidak menoleh malah terus memijak anak tangga. Si baju hitam terpaku.

"Kamu kenapa Andi?"

"Aku rasa aku kenal perempuan tu, dari bentuk tubuhnya dan cara dia melangkah aku yakin aku kenal mesra dengannya."

Penjelasan dari si baju hitam membuat seluruh tubuh terasa lemah. Tidak pernah terfikir selama ini bahawa Nurulhayat yang bersopan itu pernah mengenali malah bermesra dengan lelaki lain sebelum saya. Dia sudah berdusta.

"Perempuan itu yang menarik aku menjadi pengikut Munah Supandi. Aku bagaikan dipukau, mendengar dan mengikut saja cakapnya.

"Semua kerana kelemahan aku sendiri, kalau aku tidak tidur bersamanya mungkin aku tak mengalami nasib buruk ini," ratap si baju hitam.

MENGALAH

Saya gelengkan kepala, tidak mungkin Nurulhayat memperdayakan si baju hitam. Dia tidak sejahat itu.

Saya menolak tanggapan si baju hitam tetapi, dia tetap berkeras mengatakan perempuan yang masih berdiri di tangga itu adalah perempuan yang menjahanamkan hidupnya.

Kerana masing-masing tidak mahu mengalah, kami bertengkar dan hampir mencetuskan perkelahian.

"Tak guna kita berkelahi, sekarang kita jumpa," kata saya.

"Ayuh," jawab si baju hitam.

Kami berlari menuju ke muka pintu. Malangnya bila kami sampai di situ, perempuan itu hilang.

"Itu dia," si baju hitam menuding jari telunjuk ke arah perempuan itu yang berdiri di tepi belukar. Dia masih juga membelakangi kami.

Tanpa membuang masa saya dan si baju hitam berkejaran di tepi belukar mendekati perempuan itu.

Kami cuba memaut bahunya dari belakang, malangnya tangan kami tidak boleh terangkat.

Beratus-ratus kali saya menyebut nama Nurulhayat tetapi perempuan itu tidak juga mahu menoleh.

"Kita ikut saja ke mana dia pergi, bila penat tentu dia berhenti, lagi pun kemana dia nak pergi, kiri kanan semuanya hutan.

"Kalau dia berjalan ke depan sampai ke kaki gunung, kita ikut saja," si baju hitam memberi cadangan.

"Aku setuju," balas saya.

Disaat asyik mengekorinya, saya tercium bunga tanjung. Bila saya amati sekitar kawasan yang dilalui memang tidak terdapat pokok bunga tanjung.

Si baju hitam memberitahu saya dia terhidu bau tahi binatang buas. Kami tidak dapat memastikan dengan tepat sudah sejauh mana kami mengekori perempuan itu.

Apa yang pasti, bila saya dongak muka ke langit, saya terlihat beburung terbang untuk pulang ke sarang.

Matahari kian merendah dan sinarnya kian redup. Tanpa diduga perempuan yang kami buru berhenti melangkah betul-betul di depan pokok besar. Dia memegang akar yang berjuntaian dari hujung pokok besar.

"Aku rasa kita sudah masuk perangkapnya, Tamar."

"Perangkap siapa?"

Si baju hitam nampak cemas sekali. Wajahnya jadi pucat. Sesekali dia mendongakkan wajahnya ke dada langit, merenung sekawan gagak yang sedang berlegar-legar diangkasa sambil berbunyi.

Beburung gagak itu seperti di arah terus singgah di dahan pokok besar. Berbunyi bersahut-sahutan.

Suasana terasa seram dan saya mula terasa ada berpuluh-puluh biji mata berwarna merah dan hijau muncul dari celah-celah akar yang berjuntaian di dahan pokok.

Sukar untuk menentukan, apakah mata yang banyak itu mata manusia atau mata binatang.

"Aku tidak dapat berjumpa dengan datuk kamu, agaknya inilah petang kematian aku, Tamar," suara si baju hitam terketar-ketar.

Dia seperti mahu menangis. Saya jadi panik, tidak tahu apa yang patut saya lakukan bagi membantu si baju hitam.

Pada hemat saya, tidak wajar saya tinggalkan dia di sini semata-mata untuk mencari datuk bagi mengatasi masalah yang sedang dihadapi ini.

"Masa kematian aku sudah tiba, Tamar," ulang si baju hitam.

"Aku tak faham dengan maksud cakap kamu."

"Perempuan yang kita ikut itu sebenarnya bomoh wanita, bekas guru aku."

"Dia mahu membalas dendam kerana aku berpaling tadah. Sudah aku katakan selagi aku tak mati di tangannya, dia tak akan puas," hiba sungguh suara si baju hitam. Saya bertambah panik.

"Kamu maksudkan Munah Supandi, Andi."

"Iya, Tamar," jawab si baju hitam.

"Laknat dia," kata saya spontan.

Serentak dengan itu perempuan yang membelakangi kami segera memusingkan badannya.

Kami bertentang wajah tetapi, si baju hitam hanya melihat wajah perempuan itu untuk beberapa detik saja sebelum memalingkan mukanya ke arah lain.

Saya tidak mahu mengalah. Wajah perempuan itu saya tentang.

Suara gagak terus berbunyi dengan hebat.

Dahan-dahan pokok besar bagaikan bergegaran, macam ada sesuatu yang menggoyangkan perdu pokok besar.

Walau apapun yang berlaku atau berbunyi saya nekad tidak akan mengalihkan pandangan saya dari menatap wajah perempuan itu.

Pada mulanya, saya masih dapat melihat raut wajah Nurulhayat di wajahnya tetapi, lama kelamaan wajah itu bertukar menjadi wajah yang cukup asing bagi saya.

Kerlingannya cukup tajam. Sesekali dia menggigit bibir dan mengeluarkan lidahnya macam mahu menjilat sesuatu. Saya menjadi cemas.

"Cuba kau lihat mukanya, Andi," kata saya.

Si baju hitam tidak ambil kisah dengan apa yang saya katakan. Dia tetap tidak mahu melihat wajah perempuan yang di dakwanya bekas gurunya.

Si baju hitam terus merapatkan tubuhnya ke badan saya.

ANTARA

Antara kami bagaikan ada persefahaman secara batin, masing-masing berikrar mencari jalan untuk melarikan diri dari perempuan tersebut.

Saya jadi tambah resah kerana perempuan tersebut melangkah perlahan-lahan ke arah saya. Suara gagak terus kedengaran.

"Hati-hati Tamar, ilmu sihirnya cukup tinggi. Dia boleh menipu pandangan mata kita. Muka dan badannya boleh berubah. Boleh jadi perempuan, boleh jadi lelaki malah boleh jadi binatang," bisik si baju hitam.

"Bagaimana kita nak menentangnya, Andi."

"Gunakan ilmu yang datuk kamu berikan kepada kamu," nada suara baju hitam agak tinggi dan keras.

Mungkin kata-kata itu dapat ditangkap oleh gegendang telinga perempuan yang berada di depan saya. Dan untuk kesekian kalinya dia menjegilkan biji matanya ke arah saya.

"Kau harus menentangnya atau aku cari datuk kamu minta tolong," dalam nada terketar-ketar si baju hitam bersuara.

"Jangan tinggalkan aku sendirian," kata saya sambil memegang lengan kanan si baju hitam dengan erat sekali.

"Kamu lihat ke kaki langit, Tamar."

Cakap si baju hitam saya patuhi, sepasang biji mata saya arahkan ke kaki langit. Apa yang saya lihat ialah warna awan yang kemerah-merahan, tanda hari sudah mahu masuk ke tahap senja.

"Selalunya waktu begini ilmunya cukup menjadi dan dia kadang-kadang bertindak di luar batas kemanusiaan.

"Kalau kita dapat mengalahkan dirinya waktu begini, dia akan susah sepanjang hayat. Ilmunya tak akan menjadi," ujar si baju hitam.

"Huhhhh..." suara perempuan di depan saya keras.

Dengan pantas dia merenung ke arah awan dan matahari yang sudah menjadi bulat sebesar talam dan warnanya merah menyala, macam bola api.

Perempuan itu mengangkat kedua belah tangannya ke atas. Dia mula menjerit, memekik dan meraung macam serigala berdepan dengan musuh. Suara lolongannya meremangkan bulu roma saya.

"Andi," kata saya dalam suara lolongan anjing yang kian hebat itu.

"Kenapa Tamar?"

"Mukanya cukup menakutkan, cuba kamu tengok sendiri Andi," saya terus mendesak dan si baju hitam tetap macam tadi juga, tidak mahu melihat wajah perempuan itu.

Macam ada sesuatu rahsia yang mahu disembunyikan dari saya.

"Memang jadi pantang kamu Andi."

Si baju hitam tertegun (membelakangi saya dan perempuan misteri) terus gelengkan kepala.

"Kamu simpan rahsia dari aku, Andi?"

Masih macam tadi juga, si baju hitam tetap gelengkan kepala.

"Cakap dengan jujur dan ikhlas, kenapa kamu tidak mahu tengok muka bekas guru kamu?" sengaja saya tinggikan nada suara.

Si baju hitam terus membisu, pada ketika itu juga saya terdengar bunyi desiran angin menyentuh dedaun.

Beberapa helai daun tua dan kering melayang-layang di udara sebelum jatuh ke bumi. Bau harum kian keras menusuk lubang hidung.

Perempuan misteri masih berdiri di tempatnya tetapi, wajahnya kembali normal. Tidak menakutkan.

Dia kelihatan bertambah cantik dan ayu bersama senyum yang tidak pernah putus berlari di bibirnya.

Wajah Nurulhayat tidak dipamerkannya tetapi, bentuk badannya masih menyerupai wajah Nurulhayat.

"Kenapa kamu tak mahu tengok dia Andi?" ulang saya lagi.

"Tamar," si baju hitam tidak meneruskan percakapan.

"Teruskan Andi,"

"Begini Tamar. Kalau matanya dapat memandang anak mata aku secara mengejut aku jadi lemah dan melutut kepadanya.

"Itulah sebabnya aku tak mahu renung mukanya, bukan kerana pantang atau ada rahsia.

"Kamu tahu antara kita berdua memang tak ada rahsia apa-apa," si baju hitam buka rahsia.

Dan saya tidak mahu bertanya lagi tentang hal tersebut. Dia bercakap jujur yang sekali gus membayangkan harapan agar saya bersedia melindunginya.

"Kalau itu kelemahan kamu, jangan renung mukanya. Biar aku saja berdepan dengannya Andi," saya mula naik semangat.

Walaupun saya dan si baju hitam berdiri membelakangi antara satu dengan lain dan bercakap agak perlahan dan kadangkala tenggelam dalam suara salakan anjing, ternyata perempuan misteri dapat memahami apa yang saya tuturkan kepada si baju hitam berpandukan dari gerak mulut saya.

Buktinya setiap kali bibir saya berhenti bergerak, perempuan aneh itu gelengkan kepala sambil menggigit jari.

Kemudian dia memberi isyarat dengan menggerakkan ibu jari kirinya berkali-kali, seolah-olah menyuruh saya meneruskan percakapan. Bila percakapan diteruskan, wajahnya nampak ceria sekali.

"Biar aku tentang dia Andi," bisik saya dan perempuan aneh itu tersenyum lalu menggamit saya. Dia bagaikan mengalu-alukan keputusan yang saya buat.

"Jangan terburu-buru nanti kamu binasa Tamar," itu yang diungkapkan oleh si baju hitam dengan nada yang amat perlahan sekali.

Saya lihat muka perempuan itu bertukar menjadi garang. Dia menggenggam penumbuk. Saya kira hatinya membara kerana si baju hitam menasihati saya.

"Biar aku pergi sekarang," darah muda saya tidak dapat dikawal lagi dan baru melangkah setapak, si baju hitam terus menghalang.

"Jangan terburu-buru Tamar."

"Andi, kalau begini keadaannya, masalah kita tak akan selesai," saya cuba menolak si baju hitam ke tepi. Tetapi dia tetap bertahan.

Saya jadi serba salah, samada mahu meneruskan atau mendengar saja cakap-cakap si baju hitam.

Paling mengejutkan, pada saat itu juga perempuan aneh hilang dari pandangan saya hanya untuk beberapa detik.

Kemudian dia muncul kembali dalam keadaan asal iaitu mengangkat sepasang tangannya ke langit. Dia menjerit dan memekik dan meraung macam serigala lapar.

"Dengarlah cakap aku Tamar," rayu si baju hitam.

Saya membisu dan terpegun dengan suasana ganjil yang terjadi di depan mata. Macam-macam perasaan timbul dalam hati.

Rasa berani, takut dan cemas silih berganti menguasai diri.

MENJERIT

"Biarkan dia menyalak hingga penat, kalau masa dia menyalak kamu dekati dia, kamu hancur Tamar.

"Aku anak muridnya, aku tahu apa yang mahu di buatnya. Kita nampak dia mengangkat kedua belah tangannya sambil menghala mukanya ke langit.

"Sebenarnya dia tak buat semuanya itu, kamu sangka suaranya yang menjerit, pada hal itu bukan suaranya. Suara tu datang dari hutan," si baju hitam buka rahsia bekas gurunya. Saya mengigit bibir dan mengedutkan dahi.

"Kita kena hati-hati Tamar, jangan ikutkan perasaan nanti kita yang jahanam. Dia cuba mempengaruhi kita dengan bermacam-macam cara.

"Sekarang dia menunjukkan kehebatan ilmunya kepada kamu dengan harapan kamu ingin berguru kepadanya," sambung si baju hitam.

Saya anggukkan kepala, ternyata si baju hitam gembira sekali.

"Sekarang cuba kamu kesan dari mana datangnya salakan anjing tu, Tamar?"

Kata-kata si baju hitam segera saya patuhi.

Sudah jelas, suara salakan anjing itu datangnya dari arah kiri dan kanan hutan kecil. Apa yang pasti saya rasakan, salak anjing itu makin lama makin hampir dengan saya.

Diri seolah-olah dikelilingi oleh kumpulan anjing yang ganas dan garang. Pada hakikatnya, tiada seekor pun anjing yang mendekati diri saya.

Apa yang tumbuh dalam otak saya ialah anjing di kiri, anjing di kanan. Anjing di depan dan dibelakang.

Semuanya membuka dan mengangakan mulut menunjukkan gigi yang tajam bersama lidah merah terjelir. Anjing-anjing itu bersedia mahu membaham saya.

Kenapa perasaan sedemikian muncul dalam kotak fikiran saya.

"Andi, aku rasa lain macam."

Si baju hitam yang masih tidak mahu melihat wajah perempuan aneh itu terus membisu. Sikapnya itu membuat saya naik darah.

Bila saya fikirkan suara lolongan anjing yang menyebabkan si baju hitam tidak dapat menangkap kata-kata yang saya luahkan, kemarahan saya segera menurun.

"Andi, aku rasa lain macam," ulang saya.

Dia masih macam tadi, membisu seribu bahasa. Tanpa membuang masa saya segera menoleh ke arahnya. Bahu si baju hitam segera saya goyang berkali-kali.

"Aku juga macam kamu Tamar," suaranya bergetar.

Jawapan yang diberikan membuat saya tidak berminat untuk melaporkan apa yang saya lihat kepadanya. Pandangan segera saya arahkan kembali kepada perempuan aneh.

"Eh, perempuan tu dah hilang, ke mana dia pergi?" jerit saya.

Tanpa membuang masa si baju hitam segera memusingkan badan, menghala muka ke tempat kosong (tempat perempuan aneh itu berdiri).

Salakan dan lolongan anjing tetap macam tadi, tidak ada tanda-tanda beransur reda.

"Kemana dia pergi, Andi?"

"Entah, yang aku tahu menghilangkan diri waktu macam ini memang menjadi kegemarannya," sahut si baju hitam.

Lolongan anjing kian rancak. Pepokok renek sekitar tempat saya berdiri bergerak macam dilanggar binatang buas.

Dari sebelah kanan saya terdengar bunyi orang menarik dan melepaskan nafas tercungap-cungap.

Orangnya tidak kelihatan. Apa yang boleh saya lakukan ialah merenung muka si baju hitam dan dia pula merenung muka saya.

Warna merah di kaki langit kian menipis. Suasana sekitar beransur-ansur samar. Senjakala sudah datang.

Beberapa ekor kelawar yang luar biasa besarnya mula berterbangan mengelilingi saya dan si baju hitam sambil berbunyi nyaring.

Giginya yang halus tajam menyeringai ke arah kami. Lebih dari sepuluh minit kelawar luar biasa itu mengelilingi kami dan akhirnya bergayut di dahan pokok asam (di tempat saya disebut pokok jawa) yang rendang. Kelawar luar biasa itu terus berbunyi nyaring.

"Ada darah menitik di pipi kamu Tamar," si baju hitam menuding jari telunjuk ke muka saya.

Tanpa membuang masa darah di muka segera saya kesat dengan telapak tangan. Memang benar apa yang dikatakan oleh si baju hitam.

"Kamu tak rasa apa-apa Tamar."

"Ada terasa macam air jatuh ke pipi. Aku tak fikir pula darah yang datang," kata saya cemas lalu mengubah kedudukan dari bawah pokok asam ke bawah pokok petai yang batangnya lebih dari sepemeluk besarnya.

Si baju hitam turut sama. Kami kira di bawah pokok petai adalah tempat yang paling selamat.

"Aku rasa pelik Andi, darah dari mana menitik atas pipi aku," kata saya sambil membelek-belek kesan darah di telapak tangan dalam warna samar senja yang kian berat itu.

Saya cium telapak tangan. Bau hanyir dari darah tersebut membuat tekak saya loya dan mahu muntah.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 157/284

BACA: SBDJ Siri 156: Misteri Senjata Lama
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Platform Android Adalah Penyesalan Terbesar Bill Gates

Platform Android Adalah Penyesalan Terbesar Bill Gates

Menyebut mengenai syarikat Microsoft, tidak sah untuk tidak mengulas mengenai watak paling ikonik syarikat ini iaitu Bill Gates yang pernah suatu ketika digelar manusia terkaya dunia selama bertahun-tahun.

Bill Gates

Melalui sebuah wawancara beberapa tahun lalu, Bill Gates secara terbuka telah meluahkan penyesalan terbesar Microsoft.

Kenyataan yang dibuat Bill Gates itu telah mengejutkan ramai pihak setelah beliau dilihat sudah lama diam mengenai hala tuju Microsoft selepas melepaskan jawatan pengurus syarikat tersebut pada 2014.

Menurut beliau, penyesalan atau kesalahan terbesar Microsoft dan dirinya adalah tidak bersungguh-sungguh mendapatkan platform Android sebelum disambar oleh Google.

Untuk pengetahuan, Android ketika itu merupakan sebuah syarikat kecil yang menawarkan sistem operasi secara perisian terbuka.

Kegagalan Microsoft untuk tidak mendapatkan Android atau membangunkan platform seumpama Android sekali gus membuatkan mereka hilang peluang untuk menguasai bisnes bernilai $400 bilion (~RM1.66 trilion) melihatkan nilai Android ketika ini.

Menurutnya, berdasarkan modal besar yang dimiliki Microsoft, peluang Microsoft untuk mendapatkan Android serta menjadi pencabar terdekat Apple adalah sangat besar.

Kenyataan yang dibuat ini sekali gus membuatkan orang ramai berbincang mengenai kegagalan Windows Phone yang tidak mampu menarik perhatian ramai untuk menggunakannya.

Semoga memberi manfaat.

Saturday, June 20, 2020

5 Penggusti WWE Terbaik Sepanjang Zaman

5 Penggusti WWE Terbaik Sepanjang Zaman

Siapa bintang terhebat WWE sepanjang zaman? Apa yang membuatkan bintang gusti itu dilabel sebagai bintang? Adakah kerana perlawanan dan gerakannya? Perlawanan yang pecah panggung? Karisma atau semua di atas?

Berikut adalah senarai 5 bintang gusti terbaik WWE sepanjang zaman pilihan Sun Sports.

1. Stone Cold Steve Austin

Stone Cold Steve Austin

Dia memiliki gerakan penyudah paling popular - Stone Cold Stunner namun senjata terhebat Austin adalah intensitinya.

Intensitinya menyebabkan perlawanannya begitu laris dan popularitinya melonjak. Tiada bintang gusti yang lebih bersemangat seperti Austin dalam tempoh 1998 hingga 2001.

2. Hulk Hogan

Legenda Hulk Hogan

Watak yang penuh kontroversi tetapi dia adalah antara tarikan utama bagi gusti moden dan diminati segenap lapisan penyokong.

Gaya kartunnya mungkin ketinggalan zaman namun dia adalah 'raja' kemahiran penting dalam gusti iaitu manipulasi penyokong - dia membuatkan penyokong menentang The Rock pada WrestleMania X8.

3. Shawn Michaels

Legenda Shawn Michaels

Digelar 'The Showstopper' dan 'Mr WrestleMania' apabila dianggap bintang gusti terhebat di dalam gelanggang.

Ketika mempertahankan gelarannya pada 1996, dia meningkatkan lagi standard perlawanan utama ke tahap yang sukar dicabar dan walaupun bersara pada 2010, dia masih yang terbaik.

4. The Undertaker

The Undertaker

'The Deadman' ini masih karakter gusti terbaik sejak penampilannya 30 tahun lalu dan 'gergasi' yang hebat dengan ketinggian hampir tujuh kaki namun tetap pantas dan lincah.

Rekod tanpa kalahnya di Wrestlemania lebih berprestij daripada Kejuaraan WWE namun rekod tanpa kalahnya ditamatkan pada 2014.

5. The Rock

The Rock WWE

Bintang gusti paling berkarisma sepanjang zaman dan itu membuatkan dia menjadi bintang pecah panggung apabila menceburi bidang perfileman.

Dia juga seorang penggusti yang baik dan pernah berentap dengan Steve Austin, Triple H, Hulk Hogan, Mick Foley, serta memiliki hubungan yang begitu rapat dengan penyokong.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Khasiat Temu Lawak Untuk Kesihatan

Khasiat Temu Lawak Untuk Kesihatan

Khasiat Temu lawak atau nama saintifiknya Curcuma Xanthorhizal untuk kesihatan tidak perlu diragukan lagi kerana ia sudah lama digunakan sebagai bahan dalam perubatan tradisional, selain menjadi bahan wajib dalam pembuatan jamu.

Khasiat Temu Lawak

Temu lawak mempunyai rupa fizikal seperti kunyit, halia, lengkuas dan temu pauh, bezanya adalah dari segi lebar dan ketebalan daun dan juga rasa ubinya.

Daun temu lawak mempunyai sejalur warna ungu ditengah-tengah daun, malah tidak berbau seperti kunyit.

Temu lawak (Curcuma) adalah dari keluarga halia (Zingiberaceae) yang merupakan tumbuhan asli Indonesia, dan ditanam di Thailand, Filipina Sri Lanka dan Malaysia.

Temu temu lawak jarang digunakan dalam masakan kerana rasanya pahit dan berangin, namun digunakan secara meluas dalam perubatan tradisional dan juga mandian untuk wanita selepas bersalin.

Ubi temu lawak mempunyai rasa sedikit pahit dan berangin, manakala ubinya agak besar berbanding halia.

Warna temu lawak akan berubah mengikut keadaan, contohnya jika masih baru, warnanya seperti halia muda-kuning cair.

Jika sudah tua dan telah beberapa hari dikeluarkan dari tanah, warna kulitnya akan bertukar ke warna coklat.

Berikut merupakan khasiat temulawak untuk kesihatan badan:

1. Menghilangkan Rasa Sakit Ketika Haid

Bagi wanita, sakit senggugut ketika haid pastinya menyeksakan. Kini anda tidak perlu risau lagi kerana temu lawak dapat menjadi penawar kepada sakit itu.

Minumlah jamu temu lawak secara teratur dan rasa sakit senggugut itu akan hilang.

2. Menambahkan Nafsu Makan

Kandungan minyak atsiri dalam temu lawak dapat membantu meningkatkan nafsu makan, kerana kebanyakan masyarakat zaman dahulu menggunakan temu lawak untuk diberikan kepada anak-anak mereka yang kurang nafsu makan.

Caranya, rebus sedikit temu lawak, gula merah dan asam jawa, kemudian minum airnya.

3. Menurunkan Kolesterol Dalam Darah

Temu lawak mampu menurunkan kadar kolesterol dan membantu meningkatkan kadar kolesterol baik (HDL) dalam darah.

Zat kurkumin yang terkandung dalam temu lawak, berperanan dalam menurunkan kadar kolesterol dalam darah ini.

4. Mengatasi Radikal Bebas

Zat kurkumin pada temu lawak terbukti mempunyai manfaat lain iaitu sebagai antioksidan.

Kurkumin dapat membantu tubuh menangkap radikal bebas oksigen yang membahayakan kesihatan tubuh.

5. Menyelesaikan Masalah Jerawat

Bagi anda yang berjerawat, temu lawak mungkin dapat membantu mengatasi masalah ini.

Selain daripada bertindak sebagai antioksidan dan juga menurunkan kolesterol dalam darah, kurkumin juga dapat membantu menghilangkan kotoran-kotoran pada wajah yang berjerawat.

Hanya ambil sedikit temu lawak yang sudah dibersihkan, kemudian potong nipis-nipis dan rebus.

Apabila air rebusan telah sejuk sedikit, tapis air rebusan temu lawak itu dan tambahkan madu ke dalamnya.

Minum air rebusan temu lawak ini dua kali sehari secara berterusan sehingga mendapat hasil yang memuaskan.

6. Menyembuhkan Penyakit Buasir

Temu lawak juga berfungsi memelihara organ penghadaman dan dapat menyembuhkan penyakit buasir.

Zat di dalam temu lawak dikatakan dapat membantu melancarkan peredaran darah dan juga memperbaiki fungsi usus besar.

7 . Mencegah Serangan Jantung dan Stroke

Khasiat lain temu lawak adalah melancarkan pengaliran darah di dalam badan sekali gus dapat mengelakkan berlakunya serangan jantung dan juga stroke.

Penyakit jantung dan stroke merupakan penyakit yang berlaku disebabkan darah bergumpal di dalam salur darah.

Khasiat lain:
  • Merawat penyakit banyak angin dalam badan.
  • Sakit kepala.
  • Sistem pencernaan bermasalah.
  • Sakit jantung.
  • Muntah.
  • Cirit-birit.
  • Disentri.
  • Asma.
  • Sakit perut.
  • Reumatisme.
  • Pengaliran darah bermasalah.
  • Mati pucuk.
  • Lemah tenaga batin.
  • Keracunan udang.
  • Badan kesejukan.
  • Sakit pinggang.
  • Urat saraf lemah.
  • Mabuk kenderaan.
  • Batuk kering.
  • Kejang.
  • Buang air berlendir.
  • Darah haid berbau hamis.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wom

Kathy Sullivan, Wanita Pertama Sampai Ke Dasar Jurang Mariana Dan Penyelam Ke 8 Pernah Menyelam Sedalam Itu!

Kathy Sullivan, Wanita Pertama Sampai Ke Dasar Jurang Mariana Dan Penyelam Ke 8 Pernah Menyelam Sedalam Itu!

Bekas angkasawan dan ahli geologi NASA, Kathy Sullivan menjadi wanita pertama menyelam ke titik paling dalam di dasar laut, dikenali sebagai Challenger Deep, yang terletak di Jurang Mariana, Lautan Pasifik.

Jurang paling dalam di dunia
Jurang Mariana.

Yang pasti, bukan calang-calang individu diberi kesempatan untuk menyelam sampai ke dasar Jurang Mariana, lokasi paling dalam pada permukaan kerak bumi.

Jika kita berada di atas permukaan laut di atas jurang berkenaan, anda memerlukan tali sepanjang 11,035 meter atau bersamaan 11.035 kilometer untuk umpan dan batu ladung sampai ke dasarnya (diandaikan ia jatuh terus secara menegak).

Jurang lautan biasanya mengunjur 3–4 km (1.9–2.5 batu) di bawah paras lantai lautan di sekitarnya dan kedalaman laut paling dalam yang pernah diukur adalah Challenger Deep.

Wanita Pertama Menyelam Ke Dasar Jurang Mariana

Wanita Pertama Sampai Ke Dasar Jurang Mariana
Kathy Sullivan.

Walaupun sudah berusia 68 tahun, Kathy Sullivan sangat bertuah kerana berjaya menghabiskan ekspedisi berkenaan dengan menggunakan kenderaan submersible DSV Limiting Factor (LF).

Misi itu memerlukan Kathy Sullivan menyelam sehingga 35,000 kaki di bawah permukaan laut, menggunakan kenderaan yang dibina oleh syarikat Triton Submarines yang berpangkalan di Florida.

Kapal selam mini ini juga adalah kenderaan pertama dalam sejarah yang berulang kali berjaya sampai ke titik terdalam di lautan itu.

Biasanya, pada kedalaman itu, penyelam perlu berhadapan dengan tekanan yang sangat besar, kegelapan melampau dan tahap suhu yang hampir mencapai takat beku, dan hanya mikroorganisma tertentu yang boleh hidup.

Misi tersebut mencipta sejarah tersendiri pada 7 Jun 2020 dan Kathy Sullivan dan pasukannya kembali ke pelabuhan di Pulau Guam pada 15 Jun 2020.

"Sebagai ahli oseanografi dan angkasawan, ini adalah hari yang luar biasa, sekali seumur hidup, dapat melihat keadaan di Challenger Deep dan kemudian membandingkannya dengan nota dengan rakan-rakan di ISS mengenai kapal angkasa lepas yang boleh digunakan semula," kata Kathy yang menghabiskan masa lebih sejam di situ.

Jurang terdalam di dunia

Pada tahun 1984, Kathy Sullivan menjadi wanita pertama dari Amerika Syarikat yang berjalan di ruang angkasa lepas.

Dia kini menjadi individu kelapan yang berjaya sampai ke Challenger Deep, mengikuti jejak beberapa tokoh terkenal lain, antaranya Don Walsh dan Jacques Picard pada tahun 1960, dan juga pengarah filem Titanic, James Cameron pada tahun 2012.

10 Jurang Laut Paling Dalam:
  • Jurang Mariana (Lautan Pasifik): 11,034 kilometer (36,201 kaki)
  • Jurang Tonga (Lautan Pasifik): 10,882 kilometer (35,702 kaki)
  • Jurang Filipina (Lautan Pasifik): 10,545 kilometer (34,596 kaki)
  • Jurang Kuril–Kamchatka (Lautan Pasifik): 10,542 kilometer (34,587 kaki)
  • Jurang Kermadec (Lautan Pasifik): 10,047 kilometer (32,963 kaki)
  • Jurang Izu-Bonin (Jurang Izu-Ogasawara) (Lautan Pasifik): 9,810 kilometer (32,190 kaki)
  • Jurang Jepun (Lautan Pasifik): 9,504 kilometer (31,181 kaki)
  • Jurang Puerto Rico (Lautan Atlantik): 8,800 kilometer (28,900 kaki)
  • Jurang Sandwich Selatan (Lautan Atlantik): 8,428 kilometer (27,651 kaki)
  • Jurang Peru–Chile atau Jurang Atacama (Lautan Pasifik): 8,065 kilometer (26,460 kaki)

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: libur

Apa Itu Kurkumin Dalam Kunyit Yang Mampu Mencegah Kanser?

Apa Itu Kurkumin Dalam Kunyit Yang Mampu Mencegah Kanser?

Berdasarkan laporan oleh Google 2016 Food Trend Report, carian tentang kunyit (turmeric) atau curcumin meningkat sebanyak 56% daripada November 2015 hingga Januari 2016, menunjukkan minat masyarakat dunia kepada bahan curcumin yang terkandung dalam kunyit.

Kurkumin Kunyit

Berdasarkan laporan oleh University of Maryland Medical Centre menyatakan, WHO telah membuat anggaran bahawa 80% penduduk dunia mula bergantung kepada ubat-ubatan herba dalam perubatan primari mereka.

Di Jerman, lebih kurang 600 ke 700 ubat-ubatan berasaskan tumbuhan herba boleh di dapati dipasaran dan 70% daripada di berikan preskripsi oleh doktor-doktor disana.

Di USA juga sejak 20 tahun yang lepas, akibat ketidakpuasan hati masyarakat di sana dengan ubat preskripsi biasa maka terdapat ramai masyarakat disana telah mula menggunakan ubat-ubatan herba.

Bahan aktif didalam kunyit adalah 'kurkumin' (curcumin) iaitu sejenis bahan anti oksidan dan anti radang yang kuat. Disamping itu kunyit juga mengandungi mineral seperti manganese, zat besi, vitamin B6, kalium, vitamin C, magnesium dan serat yang tinggi.

Keradangan atau inflammasi adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit kronik seperti obesiti, kanser, sakit jantung, darah tinggi, sindrom metabolik, pengerasan saluran darah (atherosklerosis) dan penyakit Alzheimer.

Komponen utama dalam kunyit adalah 'kurkumin' yang merupakan bahan anti keradangan dan pengambilan kurkumin daripada kunyit boleh membantu melawan dan mencegah pelbagai penyakit kronik ini.

Kurkumin bertindak sebagai agen anti keradangan di peringkat molekul dengan menghalang molekul NF-κB masuk ke bahagian nukleus dalam sel yang akan mengaktifkan gen yang berkaitan dengan keradangan atau inflammasi.

Kajian terkini juga menunjukkan kurkumin boleh membantu dalam penyakit-penyakit akibat keradangan seperti penyakit keradangan usus besar (IBS), keradangan sendi rheumatoid, bengkak sendi dan mengurangkan sakit sendi dan urat.

Kurkumin juga didapati boleh menurunkan paras kolesterol, menjaga kesihatan jantung, mengurangkan masalah penghadaman dan meningkatkan fungsi hati.

Masyarakat moden hari ini sentiasa terdedah dengan pelbagai kerosakan akibat radikal bebas daripada pencemaran udara, air dan makanan disamping faktor stres dan merokok.

Antioksidan

Kajian membuktikan radikal bebas adalah punca kepada pelbagai jenis penyakit kronik seperti kanser, kardiovaskular dan sebagainya dan Kurkumin adalah bahan anti oksidan yang melawan kesan radikal bebas dengan meneutralkan radikal bebas yang menyerang sel-sel di otak, buah pinggang, hati dan jantung.

Menurut laporan oleh Institute Linus Pauling di Oregon State University, kurkumin yang diambil secara oral akan mencapai kepekatan yang mencukupi dalam gastro usus kita untuk menentang radikal bebas yang menyebabkan kesan oksidatif kerosakan DNA pada lapisan mukosa usus.

Disamping itu, kurkumin juga mencetuskan ekspressi Fasa II enzim anti oksidan termasuklah 'glutamate-cysteine ligase' (GCL) dan enzim untuk sintesis glutathione (GSH).

Glutathion ini adalah anti oksidan semulajadi dalam sel-sel tubuh kita yang sangat penting untuk sel-sel tubuh menghadapi stres atau tekanan.

Kajian menunjukkan curcumin meningkatkan ekspressi GCL dengan mengaktifkan pelbagai laluan isyarat dan lain-lain enzim detoksifikasi.

Kurkumin Mencegah Kanser

Kajian menunjukkan kurkumin boleh membantu mengurangkan risiko kanser. Terdapat juga kajian menunjukkan kurkumin boleh merencat perkembangan dan pertumbuhan sel-sel kanser di peringkat molekul lagi.

Kajian khusus dalam makmal dan juga kepada haiwan menunjukkan kurkumin mencegah kanser kolorektal.

Disamping itu, kurkumin juga menghalang pertumbuhan saluran darah baru (angiogenesis) kepada ketumbuhan kanser dan juga ia membantu menghalang merebaknya kanser atau metastases.

Kurkumin juga boleh membunuh sel-sel kanser secara terus. Satu kajian yang menarik melibatkan 44 orang peserta yang mempunyai ketumbuhan (lesion) dalam usus besar yang boleh berubah menjadi kanser.

Selepas di berikan 4 gram kurkumin selama 30 hari didapati 40% pengurangan jumlah ketumbuhan tersebut.

Kajian lain juga menunjukkan kurkumin boleh mencegah penyakit neurodegeneratif Alzheimer dan tiada rawatan untuk pemulihan penyakit ini dan cara terbaik adalah mencegahnya sebelum terkena.

Kurkumin adalah bahan yang boleh merentasi halangan lapisan darah-otak (blood brain barrier) dan kajian menunjukkan ia boleh membantu meningkatkan fungsi kecerdasan otak seseorang.

Kajian menunjukkan kurkumin mengurangkan pengumpulan bahan plak beta amyloid, mengurangkan degradasi sel saraf otak, 'chelation' logam berat, mengurangkan penghasilan sel mikroglia, anti keradangan dan anti oksidan.

Secara umumnya didapati kurkumin meningkatkan memori pesakit Alzheimer apabila mengambilnya.

Kajian oleh Stanford University School of Medicine menunjukkan bahan protin beta amyloid merosakkan sinapses saraf sebelum ia bergumpal sebagai plak yang akan membunuh sel-sel saraf. Kerana itulah seseorang pesakit Alzheimer mempunyai masalah ingatan kerana kerosakan.

Cara Pengambilan Curcumin (Kunyit) Yang Betul

Kandungan kurkumin dalam kunyit hanyalah 3% setiap gram berat. Oleh itu ekstrak kurkumin adalah cara terbaik untuk mendapat kesan yang optimum kerana hanya dengan pengambilan melalui makanan seperti kari dan masakan tidak akan mampu mencapai dosage yang diperlukan iaitu melebihi 1 gram sehari.

Kurkumin juga lebih susah di serap ke dalam saluran darah dan cara terbaik untuk meningkatkan penyerapannya adalah dengan pengambilan lada hitam sekali dengannya kerana lada hitam mengandungi bahan 'piperine' yang meningkatkan penyerapan kurkumin sehingga 2,000 peratus.

Kunyit adalah secara umumnya selamat dimakan, tetapi pengambilan yang terlalu banyak boleh menyebabkan masalah kembung angin, loya, cirit-birit, reaksi kulit, pedih ulu hati, sakit kepala dan darah cair.

Amalkan pengambilan kunyit setiap hari dalam masakan harian kita dan untuk mendapatkan kesan terbaik, bolehlah mengambil suplemen curcumin setiap hari sebagai satu kaedah menjaga kesihatan kita.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: drnorman