Selasa, Oktober 23, 2018

DuitNow, Sistem Mudah Memindahkan Wang Secara Online


Loading...

DuitNow adalah kaedah terkini penghantaran dan penerimaan wang kepada pihak ketiga tanpa memerlukan nombor akaun penerima. Hanya dengan nombor kad pengenalan, nombor telefon bimbit atau nombor pasport penerima, membolehkan transaksi pemindahan dan penerimaan wang berjalan dengan lebih pantas dan berkesan.

DuitNow, Sistem Mudah Memindahkan Wang Secara Online

DuitNow adalah sebuah perkhidmatan perbankan terbaru yang diperkenalkan oleh PayNet, salah satu agensi dibawah Bank Negara yang sebelum ini telah menerajui beberapa perkhidmatan perbankan, termasuk antaranya adalah MEPS untuk pengeluaran duit melalui ATM, selain JomPay yang memudahkan pembayaran bil.

Sejak daripada 8 Oktober 2018 lepas, ramai pengguna yang terkejut dengan beberapa bank tempatan yang telah mula membuat pendaftaran automatik untuk perkhidmatan DuitNow, sekali gus menimbulkan kekeliruaan sama ada SMS yang diterima mereka adalah sahih atau sebaliknya.

Ini ditambah lagi dengan laman DuitNow sendiri seperti masih belum bersedia dan tidak menggunakan HTTPS, membuatkan beberapa pelayar web memaparkan ia sebagai “Tidak Selamat”.

Apa Itu DuitNow?

DuitNow merupakan perkhidmatan perbankan baru yang ingin memudahkan pengguna membuat pindaan wang kepada seseorang dan tidak terikat kepada penggunaan nombor akaun bank semata-mata.

Melalui DuitNow, seseorang boleh memautkan nombor telefon, nombor kad pengenalan (MyKad), atau nombor pasport (untuk bukan warganegara) ke akaun bank mereka.

Selepas memautkannya, pengguna boleh menerima pembayaran ke akaun mereka terus menggunakan sebarang nombor berkenaan. Langkah ini sekali gus akan memudahkan beberapa proses pembayaran.

Sebagai contoh, pengguna boleh memasukkan nombor akaun penerima duit dengan hanya memilihnya daripada senarai buku alamat nombor telefon dan melakukan pembayaran, sekali gus memudahkan pembayaran dilakukan pada peranti mudah-alih.

Selain itu, penggunaan DuitNow juga akan memudahkan syarikat atau agensi kerajaan untuk membayar terus ke MyKad anda.

Sebagai contoh, majikan boleh membayar terus ke nombor MyKad dan tidak lagi perlu sukar meminta nombor akaun bank dan sebagainya daripada pekerja mereka.

Hal sama juga untuk kerajaan melakukan sesuatu pembayaran terus kepada rakyat dan memudahkan simpanan rekod.

Pada masa yang sama, DuitNow turut menyokong akaun perbankan syarikat yang bermakna, syarikat boleh memautkan akaun pendaftaran syarikat mereka ke akaun bank dan seterusnya menerima pembayaran yang dibuat ke akaun pendaftaran syarikat mereka.

Ini juga mungkin meningkatkan kadar keyakinan seseorang pembeli terhadap sesuatu syarikat berkenaan.

Secara keseluruhan, DuitNow dilihat sebagai langkah PayNet untuk memudahkan pengguna mengingati maklumat penerima pembayaran.

Bagaimana DuitNow Berfungsi?

DuitNow berfungsi seperti perbankan biasa, dimana pengguna perlu memasukkan nombor telefon atau nombor MyKad pada tempat penerima, seterusnya memasukkan amaun.

Seperti pembayaran biasa, pengguna akan dibawa kepada skrin seterusnya untuk mengesahkan maklumat penerima (seperti nama) dan sebaik sahaja disahkan, pemindahan wang akan dilakukan seperti biasa.

DuitNow menawarkan pemindahan percuma untuk nilai di bawah RM5,000.

Menurut PayNet, sekiranya sesuatu nombor telefon atau MyKad tidak dipautkan kepada sesuatu nombor akaun – maka ia akan memaparkan mesej yang mana penerima berkenaan tidak wujud, sekali gus tidak membolehkan anda membuat pemindahan wang.

Penggunaan Nombor Telefon/MyKad

Ramai pengguna yang risau berkenaan dengan penerimaan SMS sejak awal bulan Oktober ini, kerana pihak bank tidak memaklumkan hal ini dengan baik kepada pengguna sebelum melaksanakannya.

Setiap nombor telefon atau MyKad hanya boleh dipautkan kepada satu bank sahaja.

Sebagai contoh, sekiranya anda telah menerima SMS berkenaan nombor telefon yang dipautkan kepada akaun Maybank, maka anda tidak boleh menggunakan nombor telefon sama untuk akaun bank lain.

Anda perlu nyah-daftar ia terlebih dahulu sebelum dapat menggunakannya pada perkhidmatan perbankan lain. Perkara sama juga untuk MyKad.

Switch DuitNow

Buat masa ini, pihak bank masih tidak menyediakan panel pengurusan untuk memautkan nombor telefon atau MyKad ini ke akaun bank.

Hal ini akan berubah pada 8 Disember 2018 kelak apabila bank-bank tempatan bakal memperkenalkan fungsi ini terus pada perkhidmatan perbankan atas-talian mereka untuk pengurusan dengan menyertakan sokongan “Switch DuitNow” yang membolehkan anda memindah atau menukar nombor telefon berdaftar DuitNow dari satu bank ke bank lain. Berkemungkinan, semua bank akan turut menyertakan ciri lebih kurang sama.

Walau bagaimanapun, buat masa ini, pendaftaran dan nyah-daftar dilihat diuruskan melalui bank atas-talian atau menggunakan aplikasi mudah-alih sahaja. Ia masih belum boleh diuruskan melalui perkhidmatan ATM buat masa ini.

Selamatkah DuitNow?

Cara daftar DuitNow

Dengan penggunaan nombor telefon, ramai yang risau mereka akan tersilap dan melakukan pemindahan tanpa sengaja, namun ini merupakan salah satu perkara yang anda tidak perlu risau.

Ini kerana pemindahan wang ke DuitNow hanya satu hala sahaja dan boleh dilakukan menggunakan perbankan atas-talian atau aplikasi mudah-alih.

Pengguna hanya boleh menerima pembayaran sahaja menggunakan nombor telefon atau nombor kad pengenalan.

Pengguna tidak boleh melakukan pembayaran menggunakan nombor telefon, sebaliknya perlu melakukan ia melalui akaun bank mereka seperti biasa.

Apa Seterusnya?

Pengenalan DuitNow ini dijangka akan menjadi titik tolak untuk sejumlah perkara lain dalam arena kewangan.

Sebagai contoh, dengan pengenalan DuitNow ini juga kita mungkin akan dapat melihat PayNet menggunakan kerangka sama dalam pengenalan sistem kod QR universal yang dinantikan ramai.

Malah, ia juga mungkin memudahkan syarikat teknologi kewangan (fintech) lain dalam mengintegrasikan kemudahan pembayaran dan menambah-baik penawaran masing-masing.

DuitNow bakal mengubah landskap pembayaran di Malaysia dengan menyediakan kemudahan, kecekapan dan ketersediaan dana segera 24 jam sehari.

FAQ

SOALAN 1: Bagaimanakah cara untuk membolehkan saya menerima bayaran/kiriman wang melalui DuitNow?

Anda perlu terlebih dahulu mendaftar DuitNow bersama Bank dengan menggunakan salah satu nombor pengenalan berikut:
  • Nombor telefon bimbit
  • Nombor kad pengenalan
  • Nombor passport

SOALAN 2: Bagaimanakah cara untuk mengakses DuitNow?

DuitNow boleh didapati mulai Januari 2019. Anda perlulah terlebih dahulu mendaftar sebagai pengguna sebelum boleh menggunakan DuitNow.

SOALAN 3: Apakah had penggunaan nombor pengenalan (ID) untuk DuitNow?

Anda boleh mendaftar pelbagai ID yang dibenarkan. Walau bagaimanapun, setiap ID tersebut hanya boleh digunakan/dihubungkan dengan satu akaun bank sahaja (sama ada bank yang sama ataupun bank yang berbeza).

SOALAN 4: Adakah terdapat sebarang caj jika menggunakan DuitNow?

Semua penghantaran wang yang tidak melebihi RM5,000 melalui DuitNow adalah PERCUMA. Caj RM0.50 hanya akan dikenakan bagi setiap transaksi melebihi RM5,000.

SOALAN 5: Apakah tempoh masa yang diperlukan bagi penerima untuk menerima bayaran/pindahan wang melalui DuitNow?

Penerimaan bayaran/pindahan wang adalah dalam masa sebenar (real time). Penerima akan menerima wang tersebut pada sebaik sahaja transaksi berjaya dilakukan oleh pihak penghantar.

SOALAN 6: Berapakah had transaksi DuitNow?

Maksimum RM50,000 bagi setiap transaksi pindahan wang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon