Tuesday, May 19, 2020

SBDJ Siri 140: Lawi Ayam Pembelah Perut

SBDJ Siri 140: Lawi Ayam Pembelah Perut

Nyak Sulaiman bercakap dengan salah seorang daripada nelayan tersebut. Selesai bercakap, nelayan itu menghulur sampul surat berwarna kuning kepada Nyak Sulaiman. Mereka berdakapan dan bersalaman.

SBDJ siri 139

Enjin bot nelayan bergerak-gerak. Sinar matahari yang terik membuat kulitnya menjadi merah.

Pada hemat saya, waktu itu lebih kurang dua petang. Datuk terus menuju ke bilik air mengambil wuduk dan melakukan solat zuhur.

Selesai menjalankan perintah Datuk kembali duduk di ruang tamu. Nyak Sulaiman mendekatinya.

"Siapa orang tadi?" tanya Datuk.

"Saya tak tahu, tapi soal senjata api saya berurus dengan mereka. Mereka memberi upah kepada saya," jawab Nyak Sulaiman sambil melangkah menuju ke arah anak buah.

Saya terdengar suara Nyak Sulaiman menyuruh anak buahnya menyiapkan makan tengah hari. Nyak Sulaiman kembali menemui saya dan Datuk.

"Apa yang awak tengok tadi, itulah kerja terakhir saya dengan RIA," Nyak Sulaiman menyambung kembali cerita yang terputus.

"Maksud kamu?" soal Datuk.

"Esok dan sampai bila-bila saya tak akan libatkan diri dengan perjuangan RIA. Bot ini nak saya gunakan bawa penumpang berulang alik dari Belawan ke Pulau Pinang, Dumai ke Melaka, dari Lhok Senawi ke Lumut atau Bagan Datoh.

"Ramai orang Deli, Acheh, Riau berniaga dan berkampung laman di Semenanjung. Saya nak jadi saudagar. Saya dah jemu berjuang," Nyak Sulaiman meluahkan apa yang tersirat dalam dadanya.

Datuk tersenyum. Dua tiga kali bahu Nyak Sulaiman ditepuknya.

"Bagus, otak pedagang memang memikirkan untung walaupun terpaksa jadi tukang seludup senjata untuk membunuh orang," ungkap Datuk dengan diakhiri ketawa kecil. Nyak Sulaiman mengaru-garu pangkal dagunya beberapa kali.

"Apa yang awak katakan itu memang benar. Ini kenyataan, saya tak nafikan," pengakuan jujur dari Nyak Sulaiman.

"Bagus, sekarang bukan masanya bergaduh sama sendiri, kamu mesti ikut Nakhoda Tongkang," Datuk memberi semangat kepada Nyak Sulaiman.

"Iya, sudah tentu," sahutnya dengan sinar mata yang bercahaya.

"Sudah siap," anak buah Nyak Sulaiman yang diarahkan menyediakan makan tengah hari muncul tiba-tiba di depan kami. Dengan serta merta Nyak Sulaiman bangun.

"Mahu dibawa ke sini atau makan di bahagian dapur," sambung anak buah Nyak Sulaiman dengan senyum.

"Di dapur saja," secara mendadak Datuk bersuara.

"Saya setuju dengan cadangan itu," sahut Nyak Sulaiman.

Saya dan Datuk segera bangun. Kami melangkah ke bilik dapur. Di situ adalah bangku yang dibuat dari peti susu.

Ada meja kecil untuk hidangan. Keadaan biliknya cukup sempit dan bagi mengatasi gangguan waktu makan, periuk nasi, gulai, ikan bakar, ulam malah lesung batu penumbuk sambal diletakkan atas meja.

"Ikan bakar ni, ikan yang baru dipancing dari laut," tutur Nyak Sulaiman.

"Ikan dari laut ni terasa manisnya," tambah Nyak Sulaiman lagi. Saya dan Datuk angguk-angguk kepala.

"Orang kamu makan di mana?" tanya Datuk.

"Usah fikirkan mereka, bila lapar tahulah dia masak makan untuk perut mereka," jawab Nyak Sulaiman selamba.

Memang tidak dapat saya nafikan makan di tengah laut amat menyelerakan. Dua tiga kali saya tambah nasi. Dua ekor ikan bakar saya lanyak dengan sepuas-puasnya.

Walaupun begitu selera sekali saya makan, tetapi Datuk tetap makan seperti biasa. Tidak tambah nasi dan tidak tambah lauk.

Kalau nasi di pinggan untuk enam suap, habis enam suap dia terus berhenti.

Lepas makan saya segera keluar bilik dapur terus menuju ke ruang tamu. Beberapa minit kemudian Nyak Sulaiman menyuruh anak buahnya angkat sauh.

BERGERAK

Bot kembali bergerak di perairan Selat Melaka. Beberapa jam berlayar, saya mendapat tahu bot yang saya naiki sudah masuk zon antarabangsa.

Dalam tempoh sejam dua lagi, bot itu akan memasuki kawasan perairan Sumatera. Mungkin kerana terlalu kenyang saya terus terlelap.

Bila saya terjaga, Datuk sudah pun menunaikan sembahyang Asar. Bot juga sudah berhenti bergerak, saya segera menemui salah seorang anak buah Nyak Sulaiman yang sedang asyik memancing ikan di bahagian hujung bot.

"Kenapa labuhkan sauh," tanya saya.

"Itu perintah," jawab anak buah Nyak Sulaiman yang bernama Agus.

Batang pancingnya berjaya menaikkan seekor ikan merah yang terdampar atas bot. Begitu cepat Agus memisahkan mata pancing dari mulut ikan merah lalu ditaruh ke dalam raga khas.

"Untuk makan malam, kalau kita lambat rapat ke pantai, malam ini, kita tangkap ikan lagi," dengan senyum Agus bersuara.

Saya juihkan bibir ke depan , tidak berminat apa yang disebut oleh Agus.

Saya segera ke bahagian ruang tamu, saya lihat Datuk sedang bercakap-cakap dengan Nyak Sulaiman.

"Kita ni di mana?" saya terdengar Datuk mengajukan soalan kepada Nyak Sulaiman.

"Kita berada di kawasan Laut Sumatera."

"Kenapa tak rapat terus ke tepi?" Datuk mendesak.

"Biar agak jauh malam kita rapat ke pantai."

"Sebabnya?"

"Tak payahlah awak tahu sebabnya," Nyak Sulaiman menepuk bahu Datuk.

Dan Datuk tidak mengajukan sebarang pertanyaan. Malah, sabar menanti waktu yang akan dipilih oleh Nyak Sulaiman untuk rapat ke pantai Sumatera.

Lebih kurang pukul sebelas malam, enjin bot pun dihidupkan. Sauh segera diangkat. Nyak Sulaiman segera memberi arahan kepada anak buah supaya memastikan laluan bot menuju ke pantai.

Di samping itu, Nyak Sulaiman juga mengingatkan anak buahnya berusaha dengan sedaya upaya menjauhi sebarang bot. Anak buahnya akur dengan arahan.

Di saat bot kian mendekati pantai, tiba-tiba secara kilat muncul sebuah bot laju memintas perjalanan bot yang kami naiki.

Belum pun sempat anak buah Nyak Sulaiman mengubah haluan bot, beberapa orang dari bot laju melompat ke atas bot milik Nyak Sulaiman.

"Kita dalam bahaya, jangan menyerah," suara Nyak Sulaiman lantang.

Bot laju itu seolah-olah memaksa bot yang kami naik menuju ke sebuah pulau di depan.

Walaupun demikian, pemandu bot Nyak Sulaiman tidak mudah ditundukkan.

Dengan sedaya upaya dia melawan, saling tunda-menunda. Masing-masing tidak mahu mengalah.

Lagi sekali saya di amuk keresahan dan ketakutan. Andainya terjadi sesuatu yang buruk, sukar untuk saya dan Datuk menyelamatkan diri. Kami dikelilingi oleh Selat Melaka.

Dalam keadaan yang tidak tenteram itu, Nyak Sulaiman mengajak saya dan Datuk keluar dari bilik tamu.

"Kalau kita berada di bahagian atas, senang kita bertindak," mendengar cakap Nyak Sulaiman itu hati saya terus berdebar.

Apakah dia menyuruh Datuk dan saya terjun ke laut dan kemudian berenang dalam gelap mencari pantai.

Saya dongak ke langit, mata saya mencakup awan dan bintang yang bertaburan, saya renung ke bawah, hanya ombak laut alun beralun.

BERDIRI

Dua orang lelaki berdiri di depan kami, dari sinar lampu yang agak gelap, saya lihat kedua-dua lelaki itu berbadan tegap dan tinggi.

Wajah dan kepala di sarung dengan kain hitam kecuali bahagian mata.

"Siapa mereka?" tanya Datuk.

"Lanun pulau," jawab Nyak Sulaiman.

"Kita dalam bahaya," kata Datuk lagi.

"IIya, kita cuma ada pilihan sama ada melawan atau menyerah."

"Selalu kamu menghadapi masalah macam ni?"

"Belum, biasanya kami dapat melarikan diri," suara Nyak Sulaiman terketar-ketar. Datuk menggigit bibir.

Dua lelaki yang memakai sarung kepala dekat kepada kami. Salah seorang menghalakan muncung pistol ke arah Nyak Sulaiman, manakala seorang lagi mengangkat parang panjang seperti mahu memancung kepala saya dan Datuk.

"Serahkan semua barang-barang yang ada dalam bot ini kepada kami, kalau menentang, kamu semua kami bunuh," tutur salah seorang lelaki itu.

"Kami tak ada barang berharga," jawab Nyak Sulaiman.

"Kalau begitu, serahkan jam tangan, cincin dan makanan yang ada dalam bot," sambung lanun pulau.

Nyak Sulaiman pandang wajah Datuk. Bot yang tadi bergerak laju, saling himpit-menghimpit terus berhenti.

Beberapa orang lanun yang berada di bot mereka terus melompat ke atas bot Nyak Sulaiman. Mereka mengelilingi kami.

"Kami nak rampas bot awak, sekarang awak semua mesti terjun ke laut, pandai-pandailah selamatkan diri sendiri," tutur lelaki yang memakai sarung kepala warna hijau.

"Tak patutlah buat begitu kepada kami. Kalau awak mahu rampas bot ni, hantarkan kami ke pantai Tanah Melayu atau Sumatera, setidak-tidaknya ke pulau," Nyak Sulaiman merayu.

Lelaki itu tersenyum. Beberapa orang anak buah Nyak Sulaiman yang baru ditangkap, segera disatukan dengan kumpulan kami.

Saya kira lelaki bersarung kepala hijau itu ialah ketua lanun, sebabnya saya berkata begitu kerana dialah orang yang paling akhir melompat ke atas bot Nyak Sulaiman. Cakap-cakapnya dipatuhi oleh orang-orangnya.

"Tadi janji nak rampas jam tangan, cincin dan makanan, bukan nak rampas bot," Datuk bersuara.

"Itu bukan cakap aku. Aku ketua, kamu mesti ikut cakap aku," lelaki bersarung kepala hijau terus bersuara.

Dia memerintah anak buahnya menyelongkar isi perut bot. Dengan mendadak ketua lanun itu menolak bahu kanan Datuk.

Kerana Datuk tidak melawan dia terus merampas jam tangan Nyak Sulaiman. Dia datang kepada Datuk semula, badan Datuk dirabanya.

Datuk sudah berusaha supaya dia tidak menyentuh tali pinggang. Dia bagaikan tahu yang Datuk tidak suka dia menyentuh tali pinggang tersebut.

"Saya mahu ini," katanya.

"Ini tali pinggang pusaka," Datuk berdalih.

"Jadi awak tak mahu serahkan pada saya?"

"Bukan tak mahu serah, lain kali saya serahkan pada awak."

"Kurang ajar," jerit ketua lanun lalu melepaskan penampar ke muka Datuk.

Saya lihat Datuk tertiarap atas lantai bot. Bila ketua lanun itu mahu menendang Datuk, Nyak Sulaiman segera menghalang.

Ketua lanun berpusing ke arahnya. Nyak Sulaiman terlentang atas lantai bot. Bibirnya pecah dan berdarah.

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, saya segera mencari tempat persembunyian, tetapi usaha saya tidak berjaya.

Ketua lanun menyambar tangan kanan saya lalu dikilaskan ke belakang. Saya terus menjerit kesakitan.

"Diam, kalau kamu menjerit aku campak kamu ke laut," ketua lanun jegilkan mata ke arah saya.

Rasa cemas mula menguasai hati, tetapi saya cuba dengan sedaya upaya bersikap tenang dengan mendiamkan diri.

Semoga tindakan saya itu melembutkan hati ketua lanun, mudah-mudahan dia akan melepaskan tangan saya yang dipulasnya.

Harapan saya tidak menjadi kenyataan. Tangan saya terus dipulas. Sakitnya tidak dapat saya gambarkan. Saya mengerang kesakitan dan ketua lanun terus ketawa kecil.

Dengan keadaan serba tidak kena itu, saya terus berfikir dan merancang sesuatu untuk melepaskan tangan dari genggaman ketua lanun.

TEKAN

Tiba-tiba secara tidak disangka-sangka, ketua lanun menekan muka saya ke pangkal pahanya.

Bau hapak dari seluarnya membuat saya terasa mahu muntah pada saat itu juga timbul dalam fikiran saya untuk melakukan sesuatu.

Dengan serta merta saya bertindak, daging pahanya yang dibalut dengan seluar terus saya gigit dengan sekuat hati.

"Aduuuhhh!!!" jerit ketua lanun.

Serentak dengan itu dia melepaskan penampar kencang ke muka, saya terus jatuh atas lantai bot.

Kulit muka saya terasa pedih. Pandangan saya berpinar-pinar, bintang di langit kelihatan sekejap besar, sekejap kecil.

Malam yang sememangnya sudah gelap menjadi hitam pekat. Deru ombak sudah tidak begitu jelas kedengaran.

Dalam beberapa saat, terasa tubuh menjadi kecil dan terumbang ambing di awang-awangan. Dan seterusnya saya tidak ingat apa yang terjadi.

Bila saya dapat menggerakkan tangan dan membuka mata, saya dapati diri saya berada di celah kangkang ketua lanun.

Manakala Nyak Sulaiman sudah pun berdiri sambil mengesat darah di bibir. Datuk duduk mencangkung dengan sepasang mata merenung ke arah saya.

"Kau tak apa-apa Tamar?" tanya Datuk.

"Eeerrr..." saya tidak dapat meneruskan percakapan. Kedua belah rahang saya terasa sakit.

"Bertenang Tamar, masanya belum sampai."

"Saya cuba tuk, tapi mulut saya sakit tuk," saya terus mengadu dalam keadaan yang serba mencemaskan itu. Rasa sakit itu membuatkan air mata saya mengalir di pipi.

Melihat keadaan yang serba payah itu, timbul rasa belas di hati Datuk. Dia tidak rela melihat saya diseksa begitu. Dengan memberanikan diri Datuk terus berkata.

"Lepaskan cucu saya."

"Lepaskan cucu awak? Iya, sekarang saya lepaskan. Ambillah dia di celah kangkang saya ni."

Mendengar kata-kata ketua lanun itu, terbayang kegembiraan di wajah Datuk. Tanpa membuang masa, Datuk renung Nyak Sulaiman.

Saya lihat Nyak Sulaiman kenyitkan mata seolah-olah menyuruh Datuk supaya mengikuti arahan ketua lanun.

"Lepaskan cucu saya," rayu Datuk.

"Ambillah, saya tak halang."

Setelah meyakini yang ketua lanun itu tidak akan memperdayakan dirinya, Datuk pun menginsut perlahan-lahan sambil berusaha supaya salah satu anggota tubuhnya masuk ke dalam kangkang ketua lanun itu.

Kerana menyedari apa yang Datuk inginkan, saya pun hulurkan tangan kepadanya.

Di saat telapak tangan saya hampir bertemu dengan telapak tangan Datuk, ketua lanun angkat kaki kiri lalu melepaskan tendangan ke arah Datuk.

Dengan cepat Datuk mengelak dan tendangan itu hinggap ke peti kosong di kanan Datuk.

Ketua lanun naik darah. Dia segera mencapai sebatang kayu bulat panjang dan dengan sepenuh tenaga dia menghayun kayu itu ke arah Datuk.

Macam tadi juga, Datuk dapat mengelak dan saya pula berjaya keluar dari bawah kangkang ketua lanun dengan cara merangkak. Saya segera menggolekkan diri hingga sampai di sisi Nyak Sulaiman.

Ketua lanun terus melakukan serangan dengan berbagai-bagai cara terhadap Datuk. Saya lihat Datuk lebih banyak bertahan dan mengelak dari melakukan serangan kepada ketua lanun.

Kesimpulannya, Datuk tidak mahu mencetuskan perkelahian. Dia mahu berdamai dan kekeruhan yang terjadi mahu diatasi dengan cara yang paling baik.

Ternyata harapan Datuk tidak difahami oleh ketua lanun yang sedang berang itu. Dia mahu memperlihatkan kekuatan dan kemampuannya.

Dia seolah-olah mahu memberitahu Datuk yang dirinya tidak dapat ditewaskan oleh sesiapapun.

Laut itu adalah kawasan takluknya, siapa yang berani menentang akan kecewa juga akhirnya.

TEMBAK

Setelah puas mengelak dan bersabar, akhirnya Datuk mengambil keputusan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Tembak dia!"

Tiba-tiba saja ketua lanun mengeluarkan arahan kepada anak buahnya. Lima muncung pistol menghala ke arah batang tubuh Datuk. Tembakan itu berterusan hingga peluru kehabisan.

Anak buah ketua lanun bagaikan terpukau bila melihat tubuh Datuk tidak menghadapi sebarang kecederaan.

Mereka pun menjauhkan diri dari Datuk, masing-masing mencari tempat perlindungan. Mereka mengira Datuk akan bertindak.

Ternyata Datuk tidak bertindak. Ini membuat anak buah ketua lanun bertambah bingung.

Ketua lanun keluarkan pistol lalu mendekati Datuk sambil menghalakan muncung pistol ke arah dahi Datuk.

Sebelum ketua lanun menarik picu pistol, Datuk segera menghentakkan tumit kaki kanannya ke lantai bot, serentak dengan itu pistol terlucut dari tangan ketua lanun. Jatuh atas lantai lalu meletup sendiri.

Ketua lanun mencabut pedang dari sarung lalu melepaskan tetakan kencang ke arah Datuk, tepat mengenai bahu kanan, tetapi tidak meninggalkan sebarang kesan. Malah pedang yang digunakan terus bengkok dan matanya sumbing.

Melihat keadaan yang luar biasa itu, anak buah ketua lanun segera melarikan diri dengan melompat ke atas bot mereka.

Ketua lanun yang terdesak itu mula mencari helah untuk menuruti jejak langkah anak buahnya.

Datuk segera memintas dan merapatinya. Datuk pegang leher baju ketua lanun.

"Mahu ke mana kamu, tak ada gunanya mengambil harta orang lain untuk dijadikan hak sendiri, awak baliklah dan bertaubat, jangan buat kerja tak senonoh ni," tutur Datuk.

"Kurang ajar, siapa awak nak mengajar saya," sahut ketua lanun, lalu menepis tangan Datuk yang memegang leher bajunya.

Pegangan Datuk terlucut dan ketua lanun melepaskan penumbuk. Datuk dapat mengelak.

Pada saat itu juga terdengar bunyi jentera kapal lanun dihidupkan. Nyak Sulaiman segera bertindak dengan membelitkan tali botnya ke bahagian depan bot lanun.

Melihat keadaan sudah terdesak, anak buah ketua lanun segera mematikan jentera bot mereka lalu melompat kembali ke atas bot Nyak Sulaiman.

Anehnya, mereka seperti tergamam bila berdepan dengan Nyak Sulaiman, mereka terus mencampakkan senjata ke atas lantai bot.

PETI

Demi untuk menyelamatkan diri, saya terus menyorok di balik peti sambil mengintai tindak-tanduk selanjutnya antara Datuk dengan ketua lanun. Saya lihat ketua lanun cukup geram dengan karenah Datuk itu.

"Hei, sial laknat, kenapa diam, tangkap manusia babi ni," ketua lanun mengeluarkan arahan.

Seperti kilat anak buahnya yang tergamam tadi mengambil senjata (parang panjang) atas lantai lalu bergerak ke arah Datuk.

Mereka mengelilingi Datuk. Dengan tenang Datuk menghadapi semuanya, dia memperkemaskan langkah dan duduk.

"Kurang ajar."

Ketua lanun membuka silat dengan sebilah lawi ayam. Dia menerkam ke arah Datuk macam harimau lapar.

Serentak dengan itu anak buahnya melangkah mendekati Datuk sambil menghalakan mata parang ke tubuh Datuk. Saya cemas.

"Sedia," suara ketua lanun datang.

Dia terus melompat tinggi dengan perancangan yang teliti untuk jatuh atas badan Datuk dengan hujung mata lawi ayam menggaris dari dada hingga ke perut Datuk.

Dengan berbuat demikian perut Datuk akan terbelah dan segala isi perut Datuk akan terburai di atas perut bot.

Tetapi, semua gerakan ketua lanun itu dapat Datuk baca kerana itu di saat ketua lanun itu melompat, Datuk sudah mengatur strategi yang berkesan.

Dia merendahkan badannya, di saat tubuhnya mahu dihempap oleh ketua lanun, Datuk segera bangun lalu menyambar tangan kiri ketua lanun yang tidak bersenjata.

Tangan kiri itu dikilas sekuat hati hingga lawi ayam yang berada di tangan kanan terlucut.

Pada saat itu juga Datuk memusingkan tubuh ketua lanun lalu menjulang ke atas dengan kedua belah tangannya.

"Kamu yang mencari musuh," kata Datuk lalu memusingkan tubuh ketua lanun yang besar dan tegap itu sebanyak tiga kali.

Kemudian, batang tubuh ketua lanun dihumban ke laut. Ternganga mulut Nyak Sulaiman melihat kejadian yang tidak pernah difikirkannya berlaku di depan mata.

Sayup-sayup terdengar suara ketua lanun memaki hamun Datuk dari permukaan laut.

Dia terpaksa berenang untuk mengimbangi badannya agar jangan tenggelam ke dasar laut.

"Siapa lagi."

Datuk terus menatap biji mata anak ketua lanun yang mengelilingi. Semuanya terdiam, ada di antara menjeling ke arah laut yang nampak sekata dengan gelap malam.

"Siapa lagi, sila rapat."

Datuk pun merendahkan tubuhnya lalu membuka silat sambil mengambil pedang ketua lanun yang terdampar atas lantai bot.

Melihat Datuk berbuat demikian, dua orang dari mereka undur tiga tapak ke belakang, kemudian menjerit lantas terjun ke laut.

Tiga orang yang masih tinggal, tetapi kelihatan tenang dan cuba mahu menentang Datuk, berpandangan sama sendiri dan saling mengenyitkan mata.

Salah seorang dari mereka yang wajahnya seperti orang Arab, bertubuh tinggi tetapi kulitnya hitam dengan misai dan jambang yang lebat maju setapak ke arah Datuk.

Bagaikan kilat dia mengeluarkan ekor pari dari dalam bajunya lalu melibaskan ke arah Datuk.

Libasan pertama membelit tubuh Datuk hingga meninggalkan kesan bintit-bintit merah di pipi dan bahu, baju Datuk terus koyak.

Datuk tidak pula jatuh atau mengalami sebarang rasa kesakitan. Dia tetap seperti tadi, masih mengatur langkah silat untuk mempertahankan diri dari sebarang kemungkinan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 140/284

BACA: SBDJ Siri 139: Seludup Senjata Untuk Pejuang
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Kawah Asteroid Yarrabubba Berusia 2 Bilion Tahun Tertua Di Dunia

Kawah Asteroid Yarrabubba Berusia 2 Bilion Tahun Tertua Di Dunia

Para saintis telah mengenal pasti kawah asteroid paling tua di dunia yang terletak di Australia mungkin boleh memberikan penjelasan kepada kita, bagaimana bumi telah beralih dari Zaman Ais menjadi seperti yang kita ada sekarang.

Kawah Yarrabubba

Penyelidik memaklumkan, asteroid tersebut telah melanda Yarrabubba di Australia Barat kira-kira 2.2 bilion tahun lalu sekali gus membentuk kawah yang berusia kira-kira separuh usia bumi.

Kesimpulan itu dicapai berdasarkan ujian mineral pada batu berkenaan dan para saintis menyifatkan ia sebagai penemuan yang menarik kerana boleh memaparkan peristiwa pemanasan ketika era tersebut.

Laporan kajian itu turut diterbitkan dalam jurnal Nature Communications.

Kawah tersebut ditemui di kawasan pedalaman pada 1979, namun ahli geologi tidak pernah menguji untuk mengetahui usia sebenarnya.

Hakisan sejak berbilion tahun lalu menyebabkan kawah tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan saintis perlu memetakan impak pada kawasan medan untuk mengesahkan diameter berukuran 70 kilometer terbabit.

Landskap itu sangat rata kerana usianya berbilion tahun, namun batuannya mempunyai ciri tersendiri, kata penyelidik, Profesor Chris Kirkland.

Menurutnya, mereka dapat mengira usia sebenar kawah tersebut berdasarkan kristal pada batu itu yang mengandungi sejumlah kecil uranium yang merosot pada kadar konsisten.

Ia berusia 200 juta tahun lebih tua berbanding impak struktur, Vredefort Dome di Afrika Selatan.

Menurut saintis, landskap Australia Barat adalah sangat usang dan mereka tidak pernah menjangkakan kawah tersebut berusia berbilion tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Monday, May 18, 2020

Misteri Tangan Mayat Bergerak Dalam Keranda Di Manado!

Misteri Tangan Mayat Bergerak Dalam Keranda Di Manado!

Sebuah video yang tular di media sosial menampakkan sebuah mayat melambaikan tangannya ketika sedang dikebumikan, dengan media antarabangsa menyebut bahawa kejadian itu dilaporkan terjadi di Manado, Indonesia.

Mayat hidup Manado

Kejadian mayat melambai saat dimakamkan itu bermula ketika seseorang mula membaca doa semasa upacara pengebumian.

Tidak lama selepas itu, kamera mula fokus kepada tingkap kaca yang terdapat di keranda dan apa yang mengejutkan adalah, kelihatan ada tangan dan jari sedang bergerak seolah-olah sedang melambai.

"Rakaman mengejutkan ini terjadi di Manado, Sulawesi Utara, Indonesia, pada 5 Mei," tulis Mirror dalam laporannya.

Beberapa saat selepas doa diucapkan, mayat itu dilihat 'melambaikan' tangannya.

Video ini telah mencetuskan debat sama ada mayat itu memang betul-betul melambai atau sebenarnya itu hanyalah kesan kamera.

Tonton video di bawah.

BACA INI JUGA:



sumber: thevocket

Set Pinggan Mangkuk 'Bone China' Halal Atau Haram?

Set Pinggan Mangkuk 'Bone China' Halal Atau Haram?

Set pinggan mangkuk mengandungi dan diperbuat daripada 'bone china' sentiasa menjadi topik hangat di kalangan netizen selepas timbulnya dakwaan kemungkinan produk tersebut mengandungi bahan terlarang atau tidak halal.

Set Pinggan Mangkuk Bone China

Dakwaan mengenai status halal produk tersebut sering dipersoalkan selepas produk set pinggan mangkuk ini dibicarakan oleh netizen-netizen mengenai kecantikan reka bentuknya dan ada yang berkira-kira untuk mendapatkannya.

APA ITU BONE CHINA?

Bone china dirujuk sebagai tembikar china yang mengandungi 50% debu tulang, 25% kaolin dan 25% batu Cornish, manakala tulang yang digunakan ialah tulang haiwan yang dipanaskan pada suhu yang tinggi.

Campuran ketiga-tiga bahan diatas ini yang menghasilkan Bone china yang amat berkualiti, ditambah pula dengan lukisan seninya yang halus menjadikan harganya sangat mahal dipasaran.

Bone china adalah sejenis tembikar baharu yang menggunakan tulang binatang sebagai salah satu dari kandungannya. Tulang tersebut dibakar sehingga 1,000 darjah selsius sehingga berubah sifat dan bentuknya.

Bone china kemudian dicampur dengan bahan-bahan lain seperti tanah liat untuk menjadikannya keras, dan dipanggil sebagai bone china.

Berikut adalah tips untuk mengenali pinggan mangkuk Bone China:
  • Ada perkataan FINE BONE di pinggan.
  • Ada perkatan BONE CHINA.
  • Mangkuk atau pinggan lebih murah, lebih tipis dan lebih berkilat.

Definisi Bone China

The ingredients of bone china are china clay, china stone, silica, alumina, alkalies, lime and bone ash. It is fired at high temperatures of 2300 to 2500 degrees Fahrenheit. In the best grades of English bone china 50% or more of the bodyconsists of refined bone ash prepared from specially selected animal bones which are reduced to a fine powder by heat. The bone is mixed with the finest china clays and highest quality Cornish stone. Specially skilled workers are needed in the manufacture of bone china and the best and most highly skilled in the world are found in the pottery district of England.

Was-was

Walaupun tidak dinyatakan set pinggan mangkuk yang mengandungi bahan yang diperbuat daripada komposisi abu tulang itu tidak halal, ramai meluahkan rasa was-was terhadap status tulang haiwan yang digunakan dalam menghasilkan produk ini.

Bagi mengelakkan kekeliruan dan perasaan was-was dalam menggunakan produk yang mengandungi abu tulang itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebenarnya telah pun menjawab mengenai perkara ini pada 2016:

"Jika diyakini syarikat berkenaan menggunakan sumber tulang yang suci, maka ia bukan najis.

"Jika sebaliknya, maka ia adalah najis dan tidak sesuai digunakan sebagai bekas makanan."

Fatwa Kebangsaan

Hukum Penggunaan Peralatan Dan Perhiasan Berasaskan Abu Tulang Haiwan (Bone China) juga telah dibicangkan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-99 yang bersidang pada 4-6 Mei 2012.

Antara keputusan yang dicapai ketika itu adalah berdasarkan mazhab Shafie, sifat kenajisan babi masih kekal dalam produk bone china dan sifat najis tersebut tidak akan hilang kerana proses istihalah dianggap tidak berlaku.

Selain itu, mereka juga memutuskan penggunaan bahan peralatan atau perhiasan yang dihasilkan daripada abu tulang haiwan (bone china) yang tidak halal, termasuk haiwan yang halal dimakan tetapi tidak disembelih mengikut hukum syarak adalah tidak diharuskan.

"Walau bagaimanapun, penggunaan peralatan dan perhiasan berasaskan abu tulang haiwan (bone china) yang halal dimakan dan disembelih mengikut hukum syarak adalah diharuskan," jelas jawapan yang dimuat naik di laman Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini.

Jadi, kepada anda yang berhajat untuk mendapatkan set pinggan mangkuk yang diperbuat daripada bone china, seeloknya anda memahami saranan yang telah diberikan pejabat mufti ini.

Tidak lupa juga, pastikan bahan-bahan yang digunakan untuk membuat produk-produk ini adalah halal dan sekiranya tidak menemui maklumat lanjut mengenainya adalah lebih baik untuk memilih produk yang tidak menimbulkan rasa was-was dan ragu untuk kita menggunakannya.

KAJIAN BAGAIMANA BONE CHINA DIHASILKAN

Berikut ini adalah beberapa sumber yang kukuh termasuk suatu Analisis Fatwa-Fatwa Bone China daripada Perspektif Hukum Islam yang disediakan oleh Norhidayah binti Pauzi dan Saadan bin Man darpada Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Keraguan
Bone china adalah produk porselin yang mengandungi abu tulang, kaolin, dan Cornish Stone. Campuran ketiga-tiga bahan ini menghasilkan Bone china yang amat berkualiti.

Adanya abu tulang haiwan dalam produk Bone china menimbulkan keraguan masyarakat Islam terhadap kehalalan penggunaannya. Produk-produk yang berasaskan haiwan sememangnya banyak menimbulkan keraguan.

Hal ini kerana ia bersangkutan kepada dua perkara yang utama iaitu jenis haiwan yang disembelih dan cara penyembelihan haiwan tersebut.

Penyelidikan ini menghuraikan konsep Bone china, proses-proses pembuatannya secara terperinci, dan lebih pentingnya membincangkan kaedah-kaedah syarak yang sesuai diguna pakai dalam penentuan hukum ke atas penggunaan Bone china.

Kajian ini juga seterusnya merumuskan hukum yang bersesuaian terhadap isu-isu penggunaan Bone china berasaskan kepada prinsip-prinsip hukum syarak.

Untuk mencapai objektif kajian ini, metodologi kajian yang telah digunakan hasil daripada kajian perpustakaan adalah metode dokumentasi dan metode historis. Tambahan juga, kajian ini menggunakan kajian lapangan iaitu metode temubual dan observasi, serta analisis data menggunakan metode induktif dan deduktif.

Hasilnya, hukum penggunaan Bone china dapat dirumuskan berpandukan dua pandangan utama;

Pandangan pertama, mazhab Hanafi dan mazhab Maliki mengharuskan penggunaan Bone china bagi pengguna-pengguna Islam kerana mereka menerima kaedah istihalah sebagai instrument penyucian dalam Islam.

Namun demikian, menurut pandangan kedua, yakni pandangan yang didominasi oleh mazhab Syafii dan Hanbali, keduanya tidak mengharuskan penggunaan Bone China. Ini kerana mereka menganggap tidak berlaku istihalah dalam penghasilan Bone China.

Bone China

Kehalusan dan kesenian dekorasi barangan meja bone china seperti set cawan dan set pinggan mangkuk adalah faktor utama bone china diminati bagi kaum wanita sebagai koleksi peribadi mereka.

Bone china adalah produk tembikar berkualiti tinggi yang sering digunakan sebagai perhiasan dan juga peralatan makan dan minum oleh kalangan masyarakat elit kerana harganya yang amat tinggi.

Bone china merupakan produk porselin yang mengandungi abu tulang (bone ash), kaolin, dan Cornish stone. Bahkan, penghasilan bone china adalah daripada abu tulang babi yang diharamkan oleh syarak.

Selain itu, fatwa-fatwa bone china yang dikeluarkan dalam beberapa negara adalah bertentangan antara satu sama yang lain, menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam terhadap penggunaannya.

Justeru, artikel ini akan menganalisis perbezaan fatwa-fatwa bone china dan membuat penilaian semula tentang hukum penggunaan bone china menurut perspektif hukum Islam semasa.

Analisis Fatwa Yang Mengharuskan

Analisis fatwa-fatwa bone china yang diwartakan melibatkan beberapa buah negara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) belum mengeluarkan fatwa berkenaan dengan bone china tetapi, terdapat sebuah panduan agama (irsyad) yang dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Singapura yang membahaskan isu ini.

Irsyad merupakan sebuah panduan agama dan bukan fatwa yang diwartakan dan Irsyad tersebut berbunyi (Majlis Ugama Islam Singapura, 2011):

"Bone china adalah sejenis tembikar baru yang menggunakan tulang binatang sebagai salah satu dari kandungannya. Tulang tersebut dibakar sehingga 1000 darjah celsius sehingga berubah sifat dan bentuknya. Bone china kemudian dicampur dengan bahan-bahan lain seperti tanah liat untuk menjadikannya keras, dan dipanggil sebagai bone china. Oleh kerana sifat tulang tersebut telah berubah, dan juga bone china telah bercampur secara halus dengan bahan-bahan lain, maka bejana dari "bone china" boleh digunakan untuk menyediakan makanan. Bone china bukan najis."

Analisis fatwa bone china daripada (MUIS), berdasarkan kenyataan daripada buku panduan irsyad ternyata sandaran yang digunakan berasaskan konsep istihalah (Izal bin Mustafa, 2011). Kaedah istihalah didefinisikan Ibn al-`Arabi sebagai perubahan bahan najis menjadi suci dari aspek zat dan sifat-sifatnya. Zat dan sifat-sifatnya berubah menjadi bahan baru dan hukumnya juga berubah menjadi suci (Muhy al-Din Ibn 'Arabi, 1961). Oleh itu, hukum penggunaan bone chinaadalah diharuskan oleh syarak.

Pada 29 Februari 2008, Halal Monitoring Committee (HMC) di United Kingdom telah mengeluarkan sijil halal kepada syarikat Istipitar Sdn. Bhd. seperti berikut (t.n) (2009):

Hasil daripada analisis terhadap produk Ansley's Bone China yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pemantauan Halal (HMC), mereka menyimpulkan bahawa: "Keputusan akhir analisis yang dilakukan terhadap bahan-bahan mentah yang digunakan dalam produk bone china tidak mengandungi unsur-unsur haiwan yang tidak halal, bahkan menggunakan 100% daripada abu tulang lembu. Sijil halal ini dikeluarkan pada 29 Februari 2008."

Berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh HMC, Zainal Hisyam Yusuf yang merupakan Ketua Eksekutif di Istipitar Sdn. Bhd. menegaskan bahawa produk bone china yang dijual adalah halal dan boleh digunakan oleh orang Islam tanpa sebarang keraguan.

Selain itu, pihak HMC telah menganalisis bahawa pembuatan jenama Ansley's Bone China tidak dimasukkan bahan haram, bahkan hanya menggunakan tulang lembu sepenuhnya.

Oleh itu, penggunaan pinggan mangkuk Ansley's Bone China adalah harus bersandarkan kepada sijil halal yang dikeluarkan di United Kingdom.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

SBDJ Siri 139: Seludup Senjata Untuk Pejuang

SBDJ Siri 139: Seludup Senjata Untuk Pejuang

Sebaik saja mendengar kata-kata Datuk itu, terpamer senyuman di wajah anak muda. Dengan ramah dia menepuk bahu Datuk dan saya berkali-kali. Kepuasan dan ketenangan dapat saya rasa dari gerak-gerinya.

SBDJ siri 139

"Kenapa kamu tak ikut jalan darat? Kenapa kamu pilih jalan laut?" Datuk mengulangi pertanyaan yang tidak berjawab.

"Nanti saya ceritakan. Beri saya masa untuk menghisap rokok," anak muda itu memberi jawapan.

Datuk angguk kepala, lalu memenuhi permintaannya. Dengan tergesa-gesa anak muda mengeluarkan sekotak rokok dari saku seluar. Dicabutnya sebatang.

Setelah diapit ke bibir dan dipasang api dia menyedutnya dalam-dalam. Asap rokok di hembusnya perlahan-lahan.

"Maafkan saya, biar saya habiskan sebatang rokok ni dulu," katanya lalu duduk di bahagian pangkal akar pokok besar yang condong ke laut.

Bau asap rokok kretek yang kurang menyenangkan itu terus menyumbat lubang hidung. Akhirnya, anak muda menghabiskan sebatang rokok.

"Panjang ceritanya kenapa saya ikut laut," anak muda itu memulakan cerita.

Pada masa itu kaki langit kian cerah, matahari sudah pun mengembangkan sayapnya, kabus nipis sudah berkurangan.

"Lain yang dirancang, lain pula jadi. Mula-mula disuruh ikut jalan darat, bila semua persiapan dibuat, disuruh ikut jalan laut, akibatnya saya lambat jumpa tuan," lanjut anak muda itu dengan wajah yang serius.

"Tak mengapa, mungkin ada sebab tertentu yang bapa saudara kamu suruh buat macam tu, soalnya sekarang, kamu sudah pun menjalankan tugasnya."

"Saya faham tuan."

"Usah bertuan dengan aku, umur kamu dengan cucu aku, bezanya tidak jauh. Kamu muda antara lapan hingga sepuluh tahun saja," Datuk memberi saranan kepadanya.

Anak muda itu anggukkan kepala setuju dengan saranan itu.

"Sudah bercakap begini lama, kamu tak perkenalkan diri kamu pada aku?" dalam senyum Datuk bersuara.

"Oh ya, nama saya Nyak Abdul Jabar, orang panggil Nyakbar saja."

"Kalau begitu aku panggil kamu Nyakbar juga, apa macam kamu setuju?"

"Tentulah setuju," anak muda anggukkan kepala.

"Kata bapa saudara saya, pak cik bukan sebarang orang," sambungnya.

"Ah, kamu jangan dengar sangat cakap bapa saudara kamu tu," tingkah Datuk.

Mereka terus ketawa dan saya tumpang tersenyum.

Abdul Jabar dan Datuk merenung ke arah laut, sinar matahari mula meninggi, kicau burung agak berkurangan.

Saya kira dalam tempoh setengah jam lagi, seluruh alam akan terang-benderang.

"Mari kita pergi pak cik, dalam perahu nanti saya cerita kisah sebenar kenapa saya tak ikut jalan darat."

"Silakan, pak cik hanya mengikut saja, pokoknya pak cik mesti berada di tempat yang dijanjikan sebelum pukul lapan pagi."

"Saya faham, pak cik."

Abdul Jabar memulakan langkah menuju ke perahu, lalu diikuti oleh Datuk dan saya. Kami bertiga menolak perahu kecil ke dalam air.

Bila perahu sudah berada di air, saya disuruh naik dulu. Disuruh duduk diam-diam di situ sambil mengimbangi tubuh mengikut rentak gelombang air laut.

Beberapa minit kemudian, Datuk mula naik. Duduk di hujung perahu. Abdul Jabar menolak perahu supaya lajak agak jauh di tengah.

Masa perahu itu bergerak dia melompat ke dalam perahu. Dia duduk di pangkal perahu dengan dayung di tangan.

Saya tidak sedar, bila masa dia mengenakan terendak kepalanya.

BELAKANG

Perahu yang didayung terus melawan ombak, terumbang ambing. Tubuh saya juga turut bergerak, tersengguk ke depan, tersengguk ke belakang.

"Kalau dengan perahu ini kita ke Sumatera, alamat kita mati kering. Entah-entah kita bertiga masuk perut ikan Yu," saya luah rasa bimbang kepada Datuk.

Datuk Cuma tersenyum, tetapi Abdul jabar ketawa besar.

"Kita tak akan mati. Ada orang bergayut pada papan sekeping di laut boleh hidup," Abdul Jabar memberi komen. Saya terus gigit bibir.

Abdul Jabar terus mendayung perahu. Pancaran matahari kian terasa, beberapa bahagian tubuh saya mula diruapi peluh halus.

Ombak terus mengalun menatang buih menuju pantai. Perut mula terasa perit dan saya terus sendawa beberapa kali.

Kepala terasa berat dan rasa mahu muntah tidak dapat ditahan-tahan lagi.

Melihat wajah saya pucat dan tidak bermaya, Datuk segera meletakkan tangannya ke batang leher saya.

Jari-jemarinya segera bergerak mencari urat lalu memicitnya. Lebih kurang lima minit Datuk memicit batang leher saya.

Jari-jemarinya terus beralih ke tapak kaki saya. Di situ juga Datuk mencari urat dan memicitnya.

Rasa pedih perut, mahu muntah dan sakit kepala segera hilang. Dua tiga kali kentut.

Abdul Jabar terus ketawakan saya. Muka dan badan saya berpeluh dengan banyaknya, saya kembali bertenaga.

Pada saat itu juga saya menyedari yang Abdul Jabar tidak mendayung ke arah tengah laut tetapi menyusur pantai arah ke selatan.

"Kalau nak naik tongkang kena dayung ke tengah laut Nyakbar, kenapa kamu dayung menyusur pantai. Agaknya kamu tersilap atau terlupa," belum pun sempat saya berkata apa-apa, Datuk sudah pun meluahkan teguran untuk Abdul Jabar.

"Saya tak lupa pak cik, saya tak silap. Sengaja saya buat macam ni."

"Sengaja kamu buat?" Datuk jegilkan biji mata.

"Iya," sahut Abdul Jabar penuh yakin.

Saya lihat Datuk melagakan gigi atas dengan gigi bawah beberapa kali. Dia termenung panjang macam memikirkan sesuatu.

Mungkin dia merasakan dirinya sudah dipermainkan atau ditipu oleh nakhoda tongkang dari Aceh.

"Inilah rahsianya saya mahu bagi tahu pak cik," kata anak muda itu sambil memegang pendayung dengan kemas.

"Rahsia apa Nyakbar?"

"Rahsia janji yang tak sama pak cik."

"Aku tak faham dengan cakap kamu Nyakbar."

"Mudah aje pak cik. Bapa saudara saya janji dengan pak cik naik tongkang, nampaknya janji tu dah bertukar."

"Kenapa jadi begitu Nyakbar?" tanya Datuk agak gugup.

Matanya tetap terpaku ke wajah Abdul Jabar yang menggunakan sepenuh tenaga untuk mendayung perahu.

"Tongkang bapa saudara tak jadi pergi ke Belawan, dia suruh saya bawa pak cik ke satu tempat."

"Ke mana?" Datuk segera memotong cakap Abdul Jabar.

"Saya dipesan olek bapa saudara saya supaya jangan memberitahu nama tempat tersebut, kecuali bila sudah sampai."

"Agaknya nak dihantar ke tempat lanun," tingkah saya.

"Boleh jadi tempat lanun, boleh juga jadi tempat orang penyeludup barang," sahut Abdul Jabar.

"Kalau aku dan cucu aku selamat, aku tak kisah, kalau dalam bahaya kamu teruk aku kerjakan Nyakbar," suara Datuk keras, wajahnya nampak garang sekali.

"Rasanya, tidak sampai ke situ pak cik," dengan tenang Abdul Jabar bersuara. Seluruh badannya basah dengan peluh.

"Aku juga fikir begitu," Datuk anggukkan kepala.

Perahu terus meredah ombak, sinar matahari makin garang. Kulit muka saya mula terasa pedih tetapi tubuh terasa segar disentuh bayu laut. Dari jauh kelihatan berbalam sebuah tanjung, juga kelihatan kepulan asap.

"Itulah tempat yang kita nak tuju pak cik."

"Hum, kalau tak silap aku, itu Tanjung Keluang, tak jauh dengan Kuala Panchor," kata Datuk sambil mengedutkan dahi.

Matanya kelihatan mengecil merenung tajam ke arah tanah yang terjulur ke permukaan laut.

TANJUNG

Akhirnya, kami sampai ke pangkalan kecil Tanjung Keluang, terdapat beberapa buah perahu nelayan.

Kerana Datuk pernah datang ke situ dia dapat menceritakan kepada Abdul Jabar serba sedikit tentang tempat tersebut.

Menurut Datuk, kira-kira sepuluh keluarga tinggal di situ, kebanyakannya berasal dari seberang (Sumatera). Mereka datang ke Tanjung Keluang sebelum perang dunia kedua.

Di situ terdapat sebuah surau dan sebuah balai raya. Pada masa itu tidak ada kemudahan asas di tempat tersebut. Bagi mendapatkan air mereka menggali perigi.

Waktu malam mereka menggunakan lampu minyak tanah. Anak-anak mereka bersekolah di Kampung Panchor.

Apa yang menariknya, setiap rumah mempunyai radio yang menggunakan bateri kering.

Mata pencarian mereka ialah ke laut atau menjadi buruh kepada beberapa buah syarikat nelayan di Bagan Panchor. Ada juga yang menjadi peniaga di Pantai Remis, Sungai Batu dan Tuntung.

"Kalau begitu nampaknya, pak cik banyak tahu tempat ini," dari nada suara Abdul Jabar terus mengikat perahu di pengkalan.

"Serba sedikit pak cik tahu, bukan semua," Datuk tatap wajah Abdul Jabar, mereka berbalas senyum.

"Di zaman Belanda jadi raja di Sumatera, tempat ini jadi tempat perlindungan orang dari Aceh, Jambi, Palembang, Deli dan Serdang, mereka ke mari melarikan diri dari ditangkap askar Belanda," Datuk lanjutkan cerita.

Saya dan Datuk mengikut langkah Abdul jabar menuju ke arah sebuah bot usang yang letaknya agak terpencil dengan bot-bot lain.

Sambil berjalan saya terus mengawasi keadaan sekeliling.

"Pak cik," Abdul Jabar berhenti melangkah.

"Orang itu yang akan menguruskan pelayaran pak cik," sambung Abdul Jabar sambil telunjuknya menuding ke arah seorang lelaki yang memakai baju dan seluar ala tentera.

Orang itu menyandarkan tubuh ke batang kelapa sambil menghisap rokok dengan tenang.

Melihat kedatangan kami, lelaki itu bergegas menuju ke arah pelantar kecil yang dibuat dari pelepah kelapa.

Tetapi, empat tiangnya dari batang jambu batu. Tingginya kira-kira dua kaki dari permukaan bumi.

Lelaki itu duduk di pelantar dan cuba melindungi mukanya dari dilihat oleh Datuk dengan merenung ke arah rimbunan pepokok renek di sebelah kiri pelantar, asap rokok yang di luah berkepul di udara.

"Assalamualaikum..." Datuk memberi salam mendahului Abdul Jabar.

"Waalaikumsa..." lelaki berpaling ke arah Datuk.

Dengan serta merta dia bangun. Matanya tidak berkelip merenung Datuk dengan wajah yang serius. Lagaknya seperti berhadapan dengan musuh.

Saya jadi cemas lalu memandang ke arah Abdul Jabar, yang saya lihat juga resah seperti saya. Keselamatan Datuk dan saya dalam bahaya.

"Hai kawan, kita berjumpa juga," lelaki itu menjerit dengan lantang.

Dia menerkam dan memeluk Datuk, sudah tentunya perbuatannya itu amat mengejutkan diri saya. Datuk saya lihat terpampan.

"Ingat saya?"

Dia mengajak Datuk duduk di pelantar.

"Ingat tak saya?" ulang lelaki yang berkulit hitam, bentuk mukanya bujur sirih.

Datuk segera kerutkan dahi dan kening untuk mengingati sesuatu. Perasaan saya terus berdebar, macam mana dia boleh kenal dengan Datuk? Agaknya dia salah orang.

Dengan ekor mata saya jeling lelaki itu, ternyata dia resah selagi Datuk tidak memberi jawapan.

Dia luruskan kaki kanan dan menyeluk saku seluar mengeluarkan pistol jenis browning lalu diletakkan atas lantai pelantar.

Datuk masih lagi kerutkan dahi dan kening. Sepasang kaki saya terasa lenguh. Saya segera duduk di batang kelapa. Abdul Jabar juga turut duduk sama.

HITAM

Lelaki berkulit hitam manis dalam usia 45-50 itu terus mencapai pistol. Muncung pistol dihalakan ke arah kepala Datuk.

Sementara jari telunjuknya ke arah kepala Datuk, jari telunjuknya terus bergerak di sekitar picu pistol.

Darah saya berderau, nyawa Datuk dalam bahaya. Andainya jari telunjuk itu tertarik picu, pasti muncung pistol meluahkan peluru segar ke arah kepala Datuk.

Darah bersemburan dan Datuk jatuh tergolek atas pelantar menjadi mayat.

Anehnya, Datuk tetap tenang menghadapi suasana yang begitu mendebarkan hati saya, mungkin juga hati Abdul Jabar.

"Awak tak ingat saya?" ulang lelaki itu lagi.

Muncung pistolnya tidak juga berubah dari sasarannya. Abdul jabar tunduk merenung pasir. Barangkali dia mengawal perasaan cemas yang berkocak di dadanya.

"Iya, saya ingat sekarang," suara Datuk bergetar.

"Apa yang awak ingat tentang saya?"

"Saudaralah yang menerima wang derma yang saya kumpulkan untuk membantu orang-orang di Tanah Acheh melawan Belanda," tambah Datuk.

Ada senyum terpamer di wajah lelaki berkulit hitam, hanya untuk seketika.

"Betul, saudara masih ingatkan saya," kata lelaki dalam nada suara yang lemah. Keriangan di wajahnya segera bertukar menjadi muram.

"Tetapi awak tidak mahu membantu saya, bila saya menjadi pengikut Wood Barueh menentang Sukarno," sambungnya dengan rasa hampa yang amat sangat.

Perlahan-lahan dia menghalakan muncung pistolnya ke arah tandan buah kelapa gading.

Dia menarik picu pistol dan bunyi tembakan bergema, serentak dengan itu juga dua biji kelapa muda jatuh ke bumi.

"Kamu menyimpan dendam kerana aku tidak menolong kamu?"

"Dendam-mendendam bukan amalan hidup saya. Sama ada awak mahu menolong atau tidak, itu hak awak," jawab lelaki itu lalu memasukkan pistol ke saku seluar kuningnya.

Saya dan Abdul Jabar segera mendekati Datuk dan lelaki berwajah bujur sirih.

"Nama kamu Nyak Sulaiman?" tanya Datuk. Lelaki itu anggukan kepala.

"Sudah kenal, tak perlulah saya perkenalkan," celah Abdul Jabar bersama senyum riang.

"Iya Jabar, ayah saudara kamu menyuruh kamu membawa lelaki ke sini," Nyak Sulaiman menatap wajah Abdul Jabar.

"Iya," angguk Abdul jabar.

"Kamu tahu yang bapa saudara kamu menyuruh aku membawa orang ini ke Sumatera?"

"Itu saya tak tahu."

"Sekarang kamu sudah tahu, kalau begitu eloklah kamu tinggalkan kami di sini," tutur Nyak Sulaiman kepada Abdul Jabar.

Tanpa mahu membuang masa, Abdul Jabar hulurkan tangan pada Nyak Sulaiman, kemudian bersalam dengan saya dan Datuk.

Dengan senyum Abdul Jabar atur langkah menuju ke perahunya.

"Dia tu ada pertalian keluarga dengan saya, begitu juga saya dengan Nakhoda Tongkang, kami berasal dari satu moyang," terang Nyak Sulaiman.

Dia juga memberitahu Datuk bahawa nama sebenar Nakhoda Tongkang ialah Amirul, dan di zaman menuntut kemerdekaan dia mengetuai pasukan gerila yang bergerak dari Acheh Timur hingga ke kawasan Acheh Utara.

Bila Indonesia mencapai kemerdekaan dia terus terjun ke dalam dunia dagang dan hasil bekerja keras, dia berjaya membeli dua buah kapal untuk membawa barang dari Singapura ke Tanjung Pinang, Lhok Seumawe dan ke Sigli di Acheh.

Dari situ balik semula ke Pulau Pinang, kerana perniagaan awalnya menggunakan tongkang, dia terus dipanggil Nakhoda Tongkang hingga ke hari ini.

Nyak Sulaiman mengajak saya dan Datuk menjenguk bahagian dalam bot. Saya tersentak dengan apa yang wujud di depan mata saya.

Sesungguhnya bot yang kelihatan usang dan tidak menarik di luar, ternyata berbeza bila berada di dalamnya. Bagaikan bot kepunyaan jutawan.

Semuanya nampak lengkap. Ada bilik tidur, bilik istirahat dan mesyuarat. Keadaan di dalamnya sungguh lapang sekali.

"Ini bukan bot nelayan nak menangkap ikan," komen Datuk setelah duduk di bangku ruang tamu. Nyak Sulaiman anggukkan kepala, setuju dengan pendapat Datuk itu.

"Aku rasa, dulu kau bawa bot lain," tutur Datuk lagi sambil melihat setiap sudut.

"Iya, masa itu botnya kecil. Bot yang awak naik ini, bot orang Belanda, kami curi masa revolusi di Tanjung Periuk.

"Kami ubah suai ikut selera kami, catnya kami tukar, bila revolusi sudah selesai, bot ini diserahkan kepada saya," Nyak Sulaiman berhenti bercakap.

Dia tinggalkan saya dan Datuk di bilik tamu. Nyak Sulaiman masuk ke bilik sebelah, entah apa yang dibuatnya di situ, saya tidak tahu.

TALAM

Nyak Sulaiman keluar dari bilik sebelah dengan menatang talam bersama dua cawan kopi.

"Minum," dia meletakkan talam atas meja.

Kemudian dengan tenang dua cawan kopi di depan saya dan Datuk. Asap nipis berkepul di permukaan cawan

"Minum, kopi asli Acheh, bijinya saya kisar sendiri. Biji-biji kopi ni saya jual sepikul sepuluh ringgit, kepada pengilang di Sungai Batu.

"Pengilang kopi kisar pakai mesin kemudian di jual kepada kedai runcit dan kedai kopi dengan harga sekati tujuh ringgit," sambung Nyak Sulaiman.

"Baunya sudah membuka selera," kata Datuk.

"Maklumlah barang tulen tentulah baik."

"Lagi apa kau bawa dari Sumatera untuk kau jual di sini?" risik Datuk lagi.

"Macam-macam, kalau awak nak orang pun saya boleh carikan," Nyak Sulaiman bergurau.

Datuk ketawa begitu juga dengan Nyak Sulaiman, saya hanya tersenyum saja.

Setelah minum kopi panas, badan rasa segar dan berpeluh. Hembusan bayu dari Selat Melaka yang masuk ke ruang tamu bot membuat saya terasa mengantuk dan menguap panjang.

"Mari saya tunjukkan tempat rahsia di bot ni."

"Tempat rahsia?" Datuk jegilkan biji mata.

"Iya, mari ikut saya."

Nyak Sulaiman segera menarik tangan Datuk menuju ke tempat rahsia. Saya hanya mengekori dari belakang.

Nyak Sulaiman menunjukkan tempat menyimpan senjata api, tempat menyimpan barang-barang keperluan seharian untuk diseludupkan ke Sumatera semasa merebut kemerdekaan dari Belanda.

Tempat rahsia ini dibuat di bahagian lantai, dindingnya dilapisi dengan zink dan penutupnya dari papan yang menyerupai lantai, sukar membezakan antara penutup tempat rahsia dengan lantai bot.

Sekali pandang kelihatan sama, tidak ada siapa yang dapat menduga bahawa di bawah lantai yang dipijak itu tersembunyi khazanah yang berharga yang sukar dapat dikesan oleh Tentera Laut Belanda.

Saya tetap memuji, mengagumi orang yang mereka cipta tempat khas itu.

"Sekarang, tempat ini tak digunakan lagi?" soal Datuk.

"Kamu masih membantu orang-orang Daud Berawih yang mahu mendirikan Republik Islam Acheh atau ringkasnya RIA?"

Nyak Sulaiman tidak menjawab pertanyaan yang Datuk ajukan kepadanya. Sebaliknya dia menarik tangan kanan Datuk menuju ke bucu bot.

Dengan menggunakan besi bulat sebesar ibu jari yang bahagian hujungnya bengkok dan tajam, dengan senyum dia memanfaatkan besi itu untuk mencungkil sekeping papan berlidah.

Setelah papan sekeping itu dicabut dari tempatnya, apa saya lihat tersusun sepuluh pucuk rifle panjang, sekarang rifle itu tidak digunakan lagi.

Rifle jenis ini amat popular semasa perang dunia kedua dan di zaman darurat. Di samping itu terdapat lima pucuk senapang kampung laras satu.

Lima dari sepuluh bom tangan dan peluru ditempatkan di situ. Saya lihat Datuk menarik nafas panjang, entah apa yang Datuk fikirkan, saya sendiri pun tidak tahu.

"Sekarang awak dah tahu apa yang saya buat," kata Nyak Sulaiman sambil mengenakan papan sekeping di tempat asalnya.

Dengan menggunakan besi bengkok, dia mencantumkan lidah papan hingga rapat dan kejap.

Dengan kata-kata yang diucapkan oleh Nyak Sulaiman itu, fahamlah Datuk bahawa Nyak Sulaiman masih menyokong perjuangan untuk menegakkan RIA (sekitar awal enam puluhan).

Saya lihat Datuk berada dalam keadaan yang serba salah. Datuk sebenarnya tidak mahu terjebak dalam situasi yang tidak menyenangkan ini.

"Dari mana kau dapat semua senjata ini?"

"Dari Thailand, Burma, India semuanya dibekalkan orang anggota RIA, saya hanya menyeludupkan sahaja."

"Aku masuk perangkap," Datuk mengeluh.

"Maksud awak?"

"Aku tak mahu terlibat dalam hal yang merugikan ini. Aku sudah melihat saudara-saudaraku melawan Belanda, kemudian saudara-saudara itu berperang sesama sendiri. Kenapa tak bersatu di bawah pimpinan Sukarno," Datuk gelengkan kepala.

Nyak Sulaiman menggigit bibir, kemudian menelan air liur. Wajah Datuk ditatapnya penuh simpati.

"Usah bimbang, awak tak akan menghadapi apa-apa masalah. Awak selamat," Nyak Sulaiman meluahkan janji kepada Datuk.

Dia bergegas menuju ke bahagian enjin. Beberapa saat kemudian bot mula meraung.

BERGERAK

Di saat bot mula bergerak, lima orang lelaki melompat ke atas bot. Saya tidak tahu dari mana lelaki itu muncul.

Bagi mengetahui keadaan sebenar, saya terus menuju ke tempat enjin. Di situ kelima-lima lelaki itu mengelilingi Nyak Sulaiman.

Mereka mendengar arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Nyak Sulaiman dengan tenang.

Menyedari kedatangan saya dan Datuk, Nyak Sulaiman terus bersuara:

"Usah bimbang mereka semua adalah anak buah saya."

"Begitu," kata Datuk dengan senyum.

"Kamu uruskan perjalanan ini," tutur Nyak Sulaiman kepada salah seorang anak buahnya.

Tanpa banyak cakap, anak buah yang telah diberikan tugas terus mengendalikan perjalanan yang sudah ditetapkan haluan dan arahnya.

Bot terus membelah ombak. Saya dan Datuk dibawa oleh Nyak Sulaiman ke ruang tamu kembali. Kami di layan dengan baik.

Kira-kira satu setengah jam perjalanan di laut yang tidak kelihatan tanah tepi, saya terasa mual, isi perut terasa mahu keluar.

Mungkin semuanya ini berpunca dari bot yang terlalu kuat dilambung ombak.

Bagi mengatasi masalah itu, saya rebahkan diri di bangku tanpa mempedulikan Datuk dan Nyak Sulaiman yang rancak berborak.

Mungkin menyedari keadaan saya tidak begitu baik, Datuk segera mengurut tiap sendi saya.

Akhirnya dia mengurut bahagian perut hingga badan saya berpeluh. Kemudian Datuk suruh saya minum segelas air setengah masak.

Rasa mual segera hilang, saya kembali bertenaga, dapat melihat ombak laut yang beralun dalam sinaran matahari yang kian meninggi.

Sayup-sayup saya melihat kapal dagang yang besar bergerak di permukaan laut.

"Bersedia," jerit Nyak Sulaiman sekuat hati, bila melihat bot laju menghampiri bot yang kami naiki.

"Awak berdua tenang saja," sambungnya lagi lalu keluar ke bahagian atas bot.

Empat orang anak buahnya segera mengikuti Nyak Sulaiman.

"Perlahankan," jerit Nyak Sulaiman lagi.

Bot yang kami naiki mula memperlahankan lajunya. Dan bot yang mendatang segera mendekati bot kami.

"Matikan enjin dan campakkan sauh," dengan mudah arahan yang dikeluarkan oleh Nyak Sulaiman dipatuhi oleh anak buahnya.

Bahagian tepi bot kami bertemu dengan bahagian tepi bot pendatang. Bentuk bot yang mendatang itu agak kecil dari bot milik Nyak Sulaiman.

Dua orang lelaki berpakaian seperti nelayan melompat ke atas bot Nyak Sulaiman.

Bercakap dengan Nyak Sulaiman. Saya dan Datuk berpandangan, rasa cemas dan takut tetap bersarang dalam dada saya.

Mana tahu, kalau Nyak Sulaiman menyerahkan saya dengan Datuk kepada nelayan tersebut.

Setelah berbincang agak lama, Nyak Sulaiman membawa kedua orang nelayan ke tempat rifle.

Dia serahkan rifle, senapang kampung dan bom tangan kepada dua orang lelaki itu.

Dengan pantas dua lelaki itu membawa senjata api ke dalam botnya lalu diletakkan di tempat khas di bahagian perut bot yang kemudian ditutup dengan papan lapis.

Di atas papan lapis diletakkan hasil ikan dan alat-alat kelengkapan menangkap ikan.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 139/284

BACA: SBDJ Siri 138: Ular Kepala Buaya
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Sunday, May 17, 2020

Gaji Menteri Ahli parlimen Malaysia RM55,000 Sebulan Tidak Termasuk Elaun Lumayan!

Gaji Menteri Ahli parlimen Malaysia RM55,000 Sebulan Tidak Termasuk Elaun Lumayan!

Kalau bukan kerana bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes kehilangan wang dari kediamannya, pasti ramai dari kita tidak akan tahu berapa sebenarnya gaji seorang menteri.

Syed Saddiq Gaji Menteri

Menurut Syed Saddiq, beliau telah memberi kerjasama kepada SPRM sejak kes tersebut mula disiasat hampir dua bulan dan beliau sendiri telah membuat laporan polis berhubung kehilangan berjumlah RM250,000.

Persoalan menarik yang beliau timbulkan adalah, mengapa ada keperluan untuk Menteri makan rasuah memandangkan gaji dan elaun seorang Menteri adalan sangat tinggi.

Gaji Dan Elaun Ahli Parlimen

Belum masuk one-off payments yang diterima, gaji Menteri yang juga Ahli Parlimen ialah RM55,000 sebulan.

Jumlah tersebut tidak termasuk bayaran yang diterima apabila Menteri balik ke kawasan mereka ataupun menghadiri program yang jauh dari pejabat kerana terdapat insentif tambahan.

Elaun Pinggan Mangkuk

Menurut Syed Saddiq lagi, ahli parlimen turut menerima elaun sekali bayar berjumlah RM42,000 untuk pinggan dan mangkuk dan elaun tahunan percutian sebanyak RM70,000.

Elaun Makan

Menteri Parlimen turut menerima elaun harian makan yang boleh dituntut sehingga RM180 kerana belanja makan tanpa mengira jumlah orang yang dibelanja.

Secara ringkasnya, Elaun Makan seorang menteri Parlimen adalah sebanyak RM65,700 setahun atau RM5,475 sebulan!

Elaun Kena Pecat

Katanya lagi, beliau turut menerima elaun pindah rumah sebanyak RM10,000 selain pembayaran sekali bayar sebanyak RM150,000 apabila diberhentikan sebagai Menteri.

"Sampai sekarang saya tidak faham mengapa ada keperluan untuk Menteri makan rasuah," katanya.

Menurut Syed Saddiq, beliau menceburi bidang politik untuk membersihkan politik, bukan untuk kedudukan dan kewangan.

Malah katanya, terdapat cubaan untuk mengaitkannya dengan kes rasuah suatu masa dahulu namun sampai sekarang tidak berjaya dibuktikan langsung.

Kesimpulannya, kini anda dah tahu berapa sebenarnya gaji seorang menteri.

Tetapi apa yang pelik adalah, ahli politik di Malaysia ramai yang kaya raya dan jika ada yang merasakan jumlah ini sangat lumayan, kita tetap tertanya-tanya, bagaimana mereka mampu mengumpul aset beratus juta ringgit dalam akaun peribadi?

Dan 'kejujuran' Syed Saddiq ini setelah sekian lama rakyat tertanya-tanya adalah contoh terbaik bahawa ahli politik itu benarnya satu, tapi bohong dan putar belitnya beribu.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiagazette

Diskaun 50% Saman PDRM Pada 18 Hingga 21 Mei 2020

Diskaun 50% Saman PDRM Pada 18 Hingga 21 Mei 2020

Memahami kekangan yang dihadapi orang ramai ketika ini, pihak Polis Diraja Malaysia pada telahe mengumumkan diskaun sehingga 50 peratus bagi pembayaran saman terpilih yang dibuat secara dalam talian.

Diskaun Saman PDRM

Tempoh diskaun itu akan berlangsung selama empat hari dari 18 hingga 21 Mei 2020 ini, menurut kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Selain diskaun pembayaran saman secara atas talian, PDRM juga akan membuka kaunter perkhidmatan untuk memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran saman dan pembekalan dokumen berkaitan kes kemalangan.

Ia akan dilakukan secara berperingkat juga bermula 18 Mei 2020 ini di semua ibu pejabat polis daerah dan kontinjen seperti yang disenaraikan di bawah dengan mereka yang hadir perlu mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan.

Jadi, kepada anda yang menunggu peluang untuk membayar saman dan mengambil dokumen berkaitan kemalangan bolehlah berbuat demikian bermula Isnin ini yang hanya akan berlangsung selama empat hari sahaja.

Di samping itu, anda juga tidak perlu risau dengan penularan wabak COVID-19 ketika ini kerana pihak PDRM memang ada menawarkan perkhidmatan pembayaran secara online, sekali gus mengelakkan anda daripada risiko jangkitan dan bertemu orang ramai.

Mereka yang ingin melakukan pembayaran secara online dan menikmati diskaun tersebut, boleh mengunjungi portal www.myeg.com.my.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Paru-paru Bocor Selepas Joging Guna Topeng Muka!

Paru-paru Bocor Selepas Joging Guna Topeng Muka!

Sejak bermulanya wabak berbahaya COVID-19, manusia di seluruh dunia telah disajikan dengan terma ‘kebiasaan baharu’. Jarak dijaga, cara bernafas dikawal, dan bersentuhan dengan orang lain adalah ‘haram’ buat seketika.

Bahaya joging dengan face mask
Gambar hiasan.

Setiap orang harus mematuhi peraturan ini walaupun ketika bersenam di luar rumah, namun memakai topeng bukanlah perkara yang baik untuk dilakukan ketika bersenam.

Seorang lelaki di China terpaksa menjalani pembedahan setelah paru-parunya bocor ketika dia melakukan aktiviti jogging dengan jarak 4KM dan memakai topeng mulut dan hidung.

Menurut Mirror, Zhang Ping, lelaki tempatan berusia 26 tahun dimasukkan ke Hospital Wuhan dengan kadar segera setelah dia mengalami sakit dada dan sesak nafas.

Doktor telah melakukan pemeriksaan dan mendapati bahawa paru-paru kirinya telah dikompres sebanyak 90% dan jantungnya telah bergerak ke bahagian kanan tubuh.

Zhang berhenti dari berlari setelah dia mengalami kesukaran untuk bernafas. Selepas itu dia pulang ke rumah dan disebabkan kondisinya yang semakin teruk, keluarganya membuat keputusan untuk terus menghantarnya ke hospital.

Namun, dia kembali dari pembedahan dalam keadaan stabil dan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Weibo oleh Hospital Wuhan, pakar mengatakan bahawa keadaan yang hampir meragut nyawa ini adalah disebabkan oleh pelari memakai topeng mulut dan hidung ketika berlari.

Dalam dunia perubatan, paru-paru yang bocor dikenali sebagai pneumothorax dan sekiranya ini berlaku, anda masih boleh bernafas, tetapi paru-paru tidak dapat mengembang secara normal, jadi oksigen yang dipam masuk ke paru-paru akan berkurang.

Zhang mula berlari 14 hari sebelum itu, dengan harapan dapat meningkatkan kembali kecergasannya setelah tempat tinggalnya berada dalam perintah penguncian selama lebih dari dua bulan, lapor International Business Times.

Dia juga dilaporkan memakai topeng ketika berlari sebagai langkah pencegahan untuk melindungi dirinya dari COVID-19.

Zhang pada mulanya berlari sejauh tiga kilometer sehari tetapi mula meningkatkan jarak larian menjadi enam kilometer setelah seminggu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

'Industri Hiburan Malaysia Gagal, Tiada Keberkatan'

'Industri Hiburan Malaysia Gagal, Tiada Keberkatan'

Pelakon Zul Yahya, mencetuskan kontroversi apabila menyeru pekerja industri filem dan drama kalangan kru produksi dan teknikal belakang tabir di Malaysia untuk mengubah haluan kerjaya yang diceburi mereka selama ini.

Zul Yahya kata industri hiburan tidak berkat

Menerusi perkongsian video berdurasi tiga minit di Instagram TV (iGTV), Zul berkata, sudah tiba masanya mereka melakukan perubahan dalam kehidupan untuk mencari rezeki lebih berkat di sisi Allah.

Walaupun tidak dapat dipastikan punca gesaan tersebut dilakukan namun ia difahamkan kerana terlalu banyak ketidakadilan yang berlaku kepada para pekerja industri tersebut ketika ini.

"Jom ubah kehidupan kita. Industri ini (hiburan) tak bawa ke mana pun, tak ada keberkatan. Dapat banyak pun (wang) tak pernah cukup.

"Dalam industri ada banyak kaki ampu, berpuak-puak, pentingkan diri sendiri dan rasuah. Begitu juga salah guna kuasa untuk peroleh sesuatu diingini.

"Nasib kru (pekerja belakang tabir) yang kerja susah payah tak ikut tempat, semua ceruk diredah dan makan tak menentu, pihak atasan tak nampak pengorbanan ini. Apa yang mereka nampak adalah keuntungan," katanya.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya juga mendakwa penerbit, pengarah, stesen TV dan banyak pihak tak ambil berat soal keberkatan.

Katanya, apa yang ditayangkan pun tak berkat, apatah lagi yang mengusahakan produk terbabit. Justeru, Zul menyeru kepada pekerja terbabit untuk ambil peluang ubah cara hidup dan undur diri.

"Kerja dalam industri ini, EPF (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja) pun tak ada. Insurans ada yang boleh bayar, ada tak mampu.

"Jadi, hadirnya Covid-19 ketika ini, ia sebagai ujian untuk kita buka minda dan ambil peluang itu untuk ubah kehidupan.

"Undur diri, cari rezeki lebih berkat. Biar sedikit, asalkan cukup. Rezeki Allah ini luas dan kena berubah. Lagi pun, industri (hiburan) kita ini gagal," katanya.

Menurut Zul, apa yang dikongsi itu berdasarkan pengalaman pernah dilaluinya menceburi kerjaya seni selama 20 tahun.

Katanya, melalui pengalaman terbabit membuatkan dia akhirnya nekad mengundur diri meninggalkan industri seni dan berubah mencari rezeki lebih berkat.

'Industri tiada keberkatan'

Perkara ini menurutnya berlaku kerana cara industri yang diceburi mereka ketika ini diuruskan dengan terlalu banyak kesalahan oleh mereka yang berada di dalamnya.

Perkara ini secara tidak langsung menurut penerangan yang diberikan Zul menjadikan industri tersebut bukanlah pilihan yang baik sekiranya seseorang itu mahu menjalani pekerjaan yang diberkati tuhan.

"Industri yang tiada keberkatan, dapat banyak mana pun kita tak akan pernah rasa cukup.

"Dapat banyak mana pun cepat habis sebab cara industri ini dipimpin sangat-sangat lari dari kehendak Allah SWT."

'KAMI BUKAN PELAKON FILEM LUCAH'

"Menyatakan sesuatu pekerjaan sebagai tidak berkat adalah satu tindakan tidak sepatutnya, memandangkan ramai yang mencari rezeki dalam industri seni ini," kata pelakon, Azrel Ismail.

Ia susulan kenyataan pelakon, Zul Yahya yang menyeru penggiat industri filem dan drama dalam kalangan kru produksi untuk mengubah haluan kerjaya diceburi yang dianggap tidak berkat.

Azrel yang juga pelakon drama Korban Kasih berkata, adalah tidak adil kenyataan sebegitu ditujukan kepada penggiat seni tempatan.

"Kami bukan berlakon atau bekerja untuk hasilkan filem lucah. Kalau dilihat, banyak karya tempatan yang menjurus kepada kisah keagamaan. Paling tidak pun, akan ada mesej positif disampaikan menerusi sesuatu karya.

"Jadi, tidak adil sekiranya dia menempelak kerjaya sebagai pekerja seni seperti kru produksi dan teknikal sebagai satu kerja yang tidak berkat," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Azrel tetap menghormati pelakon itu yang dianggap sebagai senior.

"Saya menonton karya lakonannya sejak kecil lagi. Walaupun tidak pernah bekerjasama, sehingga ke hari ini saya menghormatinya sebagai orang yang terlebih dahulu bekerja dalam industri.

"Namun, saya terpaksa akui bahawa saya tidak bersetuju dengan pendapatnya kali ini," katanya.

Menurut Azrel, banyak syarikat produksi yang menitikberatkan soal agama walaupun sibuk di lokasi penggambaran.

"Saya pernah bekerja dengan beberapa syarikat produksi dan kebanyakannya menitikberatkan soal agama seperti waktu solat dan sebagainya.

"Selain pelakon dan kru, pekerja seni hiburan juga antara lain adalah artis nasyid dan sebagainya.

"Jadi, tak bolehlah nak labelkan industri seni hiburan ini sebagai satu kerja yang tidak berkat.

"Kalau kita lihat, ramai juga pendakwah yang pernah berlakon. Jadi, takkan mereka sebagai orang Islam nak berlakon sekiranya kerja sebagai pekerja seni ini tidak berkat?" katanya.

Sementara itu, pelakon, Yana Samsudin menerusi status di Facebook menyatakan syarikat produksi masih mementingkan tuntutan agama Islam.

"Lain padang lain belalang. Sepanjang saya berlakon boleh saja berhenti untuk solat. Bilik solekan dan salin baju pun asing daripada lelaki.

"Makanan daripada katering orang Melayu dan halal. Ada waktu rehat untuk solat Jumaat dan waktu rehat seketika untuk menghormati azan dan ada juga produksi yang bercuti pada setiap Jumaat," katanya.

Menurutnya, setiap skrip untuk karya yang ditawarkannya juga ada menyebarkan mesej positif dalam jalan cerita.

"Saya nak baca skrip pun duduk dalam kereta seorang diri. Tak bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim pun. Setiap skrip mesti ada moralnya. Kalau tidak, mana-mana stesen TV takkan luluskan.

"Saya pun bukan sempurna juga, tapi lama-lama, kita berubah ke arah kebaikan. Asalkan kerja halal, tidak mencuri dan merompak," katanya.

Yana juga menegaskan bahawa tidak adil untuk pekerjaan sebagai pekerja seni dilabel sebagai tidak berkat.

"Saya tegaskan, ia adalah ilmu hidup dan teras agama diri sendiri. Bukan faktor pekerjaan seseorang. Tak adil untuk orang yang betul-betul mencari rezeki bagi menyara hidup dan masih mengekalkan jati diri orang Islam, tapi dilabel sedemikian.

"Habis tu, haramkah hasil kami selama ini?" tulisnya.

Yana juga turut menyentuh mengenai isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibangkitkan Zul.

"Mengenai KWSP, saya carum sendiri, buat pelaburan dan insurans semua secara sendiri. Alhamdulillah, dari muda saya dah buat. Dapat bayaran, saya masukkan ke dalam akaun Amanah Saham Berhad (ASB). Insurans dari umur 21 tahun saya dah buat," katanya lagi.

SIAPA KATA KERJA KAMI TAK BERKAT?

Sementara itu, Pelakon Sharifah Shahora menegaskan kerja penerbitan dan penggambaran bukanlah pekerjaan yang melalaikan dan tiada keberkatan.

Shahora berkata, perkara yang melalaikan itu bergantung kepada keperibadian setiap individu yang bekerja.

"Kerja yang melalaikan itu mengikut pembawakan individu, bukan hanya kerja dalam penggambaran saja. Budaya kerja produksi penggambaran lebih kurang sama saja dengan kerja lain.

"Ketika azan, kita akan hentikan penggambaran, tak kiralah sama ada itu produksi Cina atau India. Waktu solat, kita solat," katanya.

Shahora menerusi status di Facebook berkata, kru produksi juga menunaikan solat di lokasi.

"Ramai di set penggambaran yang menunaikan solat berjemaah dan sendiri. Penolong pengarah akan berikan masa untuk kita menunaikan solat sebab nak cuci solekan atau bersiap semula.

"Tak ada sesiapa yang menghalang pelakon atau kru untuk melakukan kebaikan," katanya.

Menurut Shahora, dia tidak menafikan terdapat individu di lokasi penggambaran yang terkait dengan perkara yang tidak berfaedah.

"Ada juga yang tak solat, ada yang terkait dengan benda yang tak elok, tak tutup aurat dan gelak tak kira masa. Tapi, itu bukan sebagai pekerjaan itu salah. Sebaliknya salah individu itu sendiri," katanya.

Dalam masa sama, Shahora juga menyentuh beberapa perihal mengenai sistem kewangan dan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Semua terima gaji dulu. Penerbit pun terima bayaran dari stesen (TV) dua hingga tiga bulan selepas itu.

"Kalau panggung, enam hingga 12 bulan selepas tayangan. Kalau nak kenang pengorbanan, 30 orang dalam tu kita kena kenang.

"KWSP untuk yang bekerja sendiri perlu dimohon sendiri kerana kalau kita ikat kontrak bekerja sebulan dengan produksi A, takkan setiap bulan produksi A nak kena bayarkan KWSP kita sampai 55 tahun sebab kita kerja ikut kontrak. Insurans pun produksi sediakan mengikut masa kita bekerja," katanya.

Shahora menutup kenyataannya dengan meminta pihak tertentu untuk menghormati pekerjaan orang lain.

"Ramai tersinggung kalau dikatakan hasil pekerjaan kita ini tak berkat. Pilihan di tangan kita. Kalau kita rasa kecewa dengan industri, kita boleh pilih kerja lain. Tapi, kalau pekerjaan ini boleh membawa rezeki kepada keluarga, teruskan.

"Apa pun, bukan salah pekerjaan itu sendiri. Tetapi, bagaimana kita membawa diri kita dalam pekerjaan itu. #hormatkerjaorang," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Friday, May 15, 2020

Doa Ketika Melihat Tahi Bintang Dilangit

Doa Ketika Melihat Tahi Bintang Dilangit

Dalam Al Qur'an disebutkan; "Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan gugusan bintang-bintang (di langit) dan Kami telah menghiasi langit itu bagi orang-orang yang memandang (nya). Dan Kami menjaganya dari tiap-tiap syaitan yang terkutuk. Kecuali syaitan yang mencuri-curi (berita) yang dapat didengar (dari malaikat) lalu dia dikejar oleh semburan api yang terang." (QS. Al Hijr, 15 : 16-18)

Doa tahi bintang

Berdasarkan firman Allah di atas, bintang jatuh merupakan petanda terdapat iblis yang berusaha mencuri maklumat langit, dan dihalau dengan semburan api yang terang.

Peristiwa bintang jatuh merupakan pemandangan alam yang menakjubkan, tetapi ia tidak menjadi perantara terkabulnya doa seperti dalam mitos.

Namun, ketika melihat bintang jatuh, kita dianjurkan memuji kebesaran Allah kemudian berzikir sebagaimana disebutkan dalam kitab al-Azkar.

Imam Nawawi menyebutkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Sunni dari Ibnu Mas'ud r.a. berkata, "Kami diperintahkan untuk tidak mengikuti arah bintang jatuh dan ketika terjadi, kami diperintahkan untuk membaca:

مَاشَاءَاللّٰهُ لاَحَوْلَ لاَقُوَّةَ اِلاَّبِاللّٰهِ

"Maa syaa-allah laa haula walaa quwwata illaa billaah."

Yang ertinya; "Semua atas kehendak Allah, tidak ada daya upaya dan kekuatan kecuali atas kehendak-Nya."

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bincangsyariah