Friday, July 12, 2019

Bagaimana Cara Membuat Wasiat?

Bagaimana Cara Membuat Wasiat?

Wasiat bukan sahaja penting untuk orang Islam, tetapi kepada semua bangsa yang tertakluk kepada Akta Pembahagian Harta 1958 dan Akta Wasiat 1958, kerana jika ada wasiat, pembahagian harta akan menjadi lebih mudah dan memberi manfaat kepada waris untuk mengelakkan timbul masalah berbangkit di kemudian hari.

Cara Membuat Wasiat

Terdapat dua kategori harta yang boleh diwasiatkan iaitu harta boleh alih seperti kereta, wang simpanan dan saham dan harta tidak boleh alih seperti rumah dan tanah.

Wasiat juga membolehkan mereka yang bukan waris, menikmati sebahagian harta pusaka mengikut hukum dan undang-undang, berbanding hanya 'cakap mulut' yang tidak boleh dijadikan bukti.

Prosedur membuat dokumen wasiat atau hibah

Kenapa anda perlu membuat dokumen wasiat atau hibah. Ya, kerana sekarang ini, harta tidak dituntut dan telah dibekukan oleh kerajaan berjumlah hampir 70 bilion di Malaysia dan sejuta lebih geran tanah belum ditukar nama. Malang bukan?

Kenapa anda perlu merancang harta?

1. Supaya harta yang anda tinggalkan tidak menjadi beku Dan kita tidak mahu semua waris bergaduh kerananya dan ada waris yang makan harta batil.

2. Dan supaya harta yang anda cari setiap hari selama ini menjadi asbab waris anda bersatu, berkasih sayang dan pahala sentiasa mengalir setiap hari walaupun kita sudah di kubur dengan manfaat harta tersebut disedekahkan.

Antara faktor harta beku di Malaysia ialah:
  • Waris tak tahu urus pusaka.
  • Waris tiada masa nak urus pusaka.
  • Anggap pusaka tidak perlu disegerakan dan kalau nak urus cepat dianggap tamak.
  • Tiada muafakat waris.
  • Tiada duit untuk uruskan.

Bagaimana cara mudah untuk merancang harta anda dengan membuat dokumen?

Pertama: Ketahui faraid anda

Kenapa dalam dokumen kita wajib menyatakan faraid anda? Supaya anda dan waris tahu siapa waris mengikut hukum faraid.

Elakkan pengaduhan yang tak perlu dengan waris yang bukan waris faraid, kerana kematian yang tiba-tiba menyebabkan ada yang mengaku sebagai waris faraid sedangkan ikut syarak beliau bukan.

Jadi itu langkah pertama. Tahu waris faraid anda siapa.

Kedua: Lantik wasi

Buat wasiat pelantikan wasi yang boleh dibahagikan kepada dua:
  1. Syarikat Amanah.
  2. Individu.

Apa itu wasi?

Wasi dalam panggilan lain ialah pentadbir kerana selepas anda meninggal dunia, wasi inilah yang akan melakukan perancangan tuntutan harta pusaka.

Jika harta kita tidak lebih 2 juta, lebih sesuai melantik individu sahaja. Kalau lebih, barulah lantik syarikat Amanah seperti Amanah Raya Berhad, As Salihin Trustee, dan lain lain.

Kenapa melantik Wasi penting?

1. Memberi rasa tanggungjawab kepada waris untuk menguruskan harta pusaka arwah.

2. Bantuan kepakaran kepada Wasi

Wasi yang dilantik sewaktu hidup akan diberi surat yang kemudiannya boleh menghubungi syarikat.

Wakil syarikat akan datang ke rumah untuk memberi khutbah pusaka, mendapatkan persetujuan waris dan proses pusaka terus dibuat segera hanya dalam tempoh 1 ke 6 bulan.

Ketiga: Buat wasiat sedekah

Sangat digalakkan semua umat Islam membuat wasiat sedekah, kerana inilah yang akan menjadi saham akhirat kita nanti.

Buatlah wasiat sedekah 1/3 dari harta kita. Lebih baik buat wakaf terus. Lebih baik dan pahala berterusan sehingga ke hari Kebangkitan.

Keempat: Dokumenkan dengan bantuan pakar

Dokumenkan segala perancangan, wasiat, hasrat anda dengan bantuan pakar. Jangan buat pesanan mulut. Jangan buat sendiri.

Buatlah dokumen dengan mana-mana syarikat pengurusan pusaka.

Kelima: Dana pantas untuk waris

Bantu Wasi dan waris dari segi kewangan dengan sistem penamaan. Apabila kita meninggal, semua aset akan beku, termasuklah duit dalam akaun dan sebagainya.

Namun, ada beberapa instrumen yang tidak beku dan dalam masa 1 ke 2 minggu boleh ditransfer masuk ke akaun penama.

1. KWSP

Buatlah penama di KWSP. Apabila kita tiada, duit itu akan ditransfer ke penama dalam masa 2 minggu – 4 minggu. Waris boleh guna duit ini untuk kos pengurusan pusaka, bayar hutang arwah dan sebagainya.

Namun perlu diingat, penama bukan milik mutlak harta. Mereka hanya pemegang amanah sahaja dan boleh gunakan duit apa yang dibenarkan oleh syarak sahaja.

2. Penama Tabung Haji

Sama konsepnya seperti penama KWSP. Pastikan anda buat untuk memudahkan urusan waris anda nanti.

3. Penama di polisi Takaful

Takaful ada dua akad, satu akad hibah dan satu penama. Buatlah kedua duanya, kerana masing-masing ada fungsinya tersendiri.

Keenam: Dokumen Hibah

Jika faraid anda termasuk dalam golongan kritikal, buatlah dokumen hibah. Mudahkan urusan waris anda.

Hibah ialah pemberian, yang dibuat semasa hidup, diberikan sebagai tanda kasih sayang, pemberian daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang.

Jadi, cukuplah 6 langkah bagi memudahkan waris anda dengan membuat Dokumen Perwarisan Lengkap:
  1. Ketahui faraid dan rekodkan.
  2. Lantik wasi.
  3. Buat wasiat sedekah.
  4. Dokumen dengan bantuan pakar.
  5. Dana pantas untuk waris.
  6. Buat dokumen hibah (jika perlu).

Bagaimana proses ingin membuat perancangan harta ini?

Berjumpalah dengan perunding Shariah Estate Planners untuk membuat dokumen seperti di atas. Rancanglah secepat mungkin, kerana kita apabila kita dipanggil ilahi, tak lewat sesaat, tak cepat sesaat pun.

Kerana mereka berlesen yang membolehkan mereka mengakses kepada 5 syarikat:
  1. Amanah Raya Berhad.
  2. Pacific Trustee Berhad.
  3. As Salihin Trustee.
  4. MyPusaka.info
  5. Majlis Agama Islam Selangor.

Mereka boleh membantu membuat perbandingan plan mana paling baik dan membuat plan tailor made mengikut kehendak anda.

Jadikan harta anda dapat menghasilkan pelaburan pahala yang berkekalan apabila anda tiada nanti. Moga semua amal kita diterima oleh Allah SWT dan dimasukkan ke syurga. Amin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fatihinabshar


Sejarah Tumbangnya Empayar Byzantine Dan Kota Constantinople di Tangan Empayar Uthmaniyyah

Sejarah Tumbangnya Empayar Byzantine Dan Kota Constantinople di Tangan Empayar Uthmaniyyah

Kota Constantinople telah bertahan melawan serangan dan pengepungan sejak berabad-abad lamanya sehinggalah akhinya teknologi baru meriam besar Empayar Uthmaniyyah telah dibawa ke ibu kota Empayar Byzantine itu.

Masjid Hagia Sophia
Hagia Sophia.

Kejatuhan Constantinople pada bulan Mei 1453 itu menandakan berakhirnya zaman kegemilangan kebanyakan empayar di Eropah dan Asia Barat.

Selepas meriam besar membedil kubu Constatinople, tentera Uthmaniyyah merampas bandar purba itu. Hampir 4,000 orang telah terkorban dan 50,000 lagi menjadi tawanan perang.

Latar belakang Constantinople

Constantinople adalah ibu kota kepada Empayar Byzantium atau Empayar Rom Timur, juga menjadi salah satu kota utama bagi agama Kristian.

Bandar ini dinamakan sempena Maharaja Constantine yang memerintah pada kurun ke-4 Masihi pada awal kebangkitan Kristian.

Hari ini, bandar ini dinamakan Istanbul dan majoriti penduduknya adalah Muslim namun, ini bukanlah kali pertama Constantinople dan Empayar Byzantine diserang.

Sebelum Empayar Uthmaniyyah menyerang bandar itu pada kurun ke-15, Constantinople telah berjaya menahan beberapa serangan lain seperti:
  • Pada kurun ke-7 dan ke-8 oleh bangsa Arab.
  • Pada kurun ke-9 oleh Bulgar Khan (Khan of Bulgaria).
  • Pada kurun ke-9, 10 dan 11 oleh Kievan Rus.
  • Pada kurun ke-9 oleh Thomas the Slav.
  • Pada kurun ke-13 oleh Tentera Salib (mereka berjaya menawan buat seketika kerana pintu kubu dibiarkan terbuka).

Greek Fire

Tentera Byzantine yang berpangkalan di dalam bandar dan mempunyai armada di pelabuhan telah menghalang penceroboh selama beberapa abad lamanya, kerana angkatan bersenjata Constantinople mempunyai senjata rahsia yang dipanggil "Greek Fire" iaitu cecair yang sangat mudah terbakar.

Aset terbesar kota itu adalah tembok pertahanan dan paritnya kerana pada abad ke-5, Maharaja Theodosius II telah membangunkan sistem pertahanan kota itu dengan membina tiga lapisan tembok sepanjang 6.5 km.

Selain itu, Constantinople terletak di bahagian semenanjung dan dikelilingi oleh tiga sisi laluan air.

Adalah sangat mudah untuk menghalang kapal daripada menghampiri dengan memasang rantai di bawah permukaan air pada laluan masuk.

Ketika berlakunya serangan tentera Uthmaniyyah pada April 1453, dianggarkan hanya 5,000 orang tentera sahaja yang mengawal bandar itu dan beberapa buah kapal mempertahankan perairannya.

Uthmaniyyah meminta Constantinople menyerah

Pada 5 April 1453, Sultan Muhammad al-Fateh atau dikenali juga sebagai Muhammad II dan tenteranya telah mengepung Constantinople.

Sultan yang hanya berusia 21 tahun itu telah menghantar utusan kepada Maharaja Constantine IX, menuntut supaya menyerah kepada tentera Uthmaniyyah.

Constantine IX tidak memberikan sebarang jawapan, lalu Sultan Muhammad al-Fateh bertekad untuk menawan kota purba itu dan dia sememangnya mempunyai jumlah kekuatan yang cukup bagi menyokong tindakannya itu.

Tidak seperti mereka yang pernah menyerang Constantinople sebelum ini, Muhammad al-Fateh mempunyai senjata berat yang direka oleh seorang rakyat Hungary bernama Orban.

Kekuatan pasukan Muhammad al-Fateh dianggarkan antara 60,000 hingga 200,000 orang tentera dan armada besar yang menunggu di luar untuk memasuki pelabuhan Costantinople.

Meriam Gergasi

Meriam milik tentera Uthmaniyyah yang digunakan untuk menghancurkan tembok kota sememangnya sangat menggerunkan.

Salah satu daripada meriam itu berukuran 9 meter panjang dengan lubang meriam berukuran 1 meter diameter, yang boleh menembak peluru seberat 500 kg dengan jarak sejauh 1.5 km.

Namun, meriam itu akan menjadi terlalu panas sehinggakan hanya boleh ditembak sebanyak tujuh kali sahaja sehari.

Akan tetapi, tentera Uthmaniyyah juga mempunyai meriam lain yang lebih hebat dan boleh menembak sebanyak 100 kali sehari.

Pengeboman tanpa henti

Keesokan harinya pada 6 April, meriam besar Uthmaniyyah mula memecahkan tembok Constantinople menjadi runtuhan.

Tentera Constantinople akan membalas serangan melalui tembok yang berlubang dan cuba membaiki tembok itu pada waktu malam.

Tentera Constantinople juga mempunyai meriam, namun jauh lebih kecil berbanding meriam milik tentera Uthmaniyyah. Pengeboman ke atas Constantinople berlangsung selama enam minggu lamanya.

Tentera Constantinople cuba untuk memasang rantai pada perairan kota mereka tetapi tentera Uthmaniyyah berjaya mematahkan perangkap tersebut.

Armada Uthmaniyyah akhirnya berjaya membawa masuk sebanyak 70 buah kapal ke dalam pelabuhan Constantinople dan mula mengebom tembok yang lebih lemah menghadap laut.

Pemberontakan di Asia Kecil

Pada akhir bulan Mei, Sultan Muhammad al-Fateh menerima berita bahawa beberapa tanah jajahannya di Asia Kecil sedang berlaku pemberontakan kerana kebanyakan tenteranya telah dikerahkan ke Constantinople.

Pada waktu ini Sultan Muhammad al-Fateh telah membuat tawaran kepada Maharaja Constantine IX agar maharaja itu membayar ufti kepadanya dan sultan akan menarik balik pengepungan terhadap Constantinople agar dapat kembali ke Asia Kecil.

Akan tetapi, Maharaja Constantine IX telah menolak tawaran itu, yang merupakan satu kesilapan besar dilakukan oleh maharaja Empayar Byzantine.

Sultan Muhammad al-Fateh kemudian mengarahkan tenteranya untuk terus menyerang dan menawan Constantinople yang merupakan bandar terkaya di dunia ketika itu.

Pada 29 Mei 1453, selepas 57 hari mengepung Constantinople, akhirnya Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan kota itu.

Mereka menaikkan bendera Uthmaniyyah dan membuka pintu utama di bandar itu bagi membolehkan tentera selebihnya masuk.

Masjid Hagia Sophia


Sultan Muhammad al-Fateh kemudiannya masuk ke bandar itu pada hari yang sama dan menitahkan agar gereja Hagia Sophia yang megah itu ditukarkan menjadi sebuah masjid.

Selepas penaklukan kota purba tersebut, Sultan Muhammad al-Fateh telah memindahkan ibu kota Uthmaniyyah dari Andianople (Edirne di Turki) ke Constantinople.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Bukan Mudah Untuk Bersabar, Jauh Lebih Sukar Mempertahankan Kesabaran

Bukan Mudah Untuk Bersabar, Jauh Lebih Sukar Mempertahankan Kesabaran

Perkataan sabar sering diungkap dalam pelbagai situasi kurang menyenangkan menimpa seseorang dan menutur sabar itu mudah, tetapi tidak semudah itu ia mampu melunturkan perasaan gundah dan negatif seseorang pada situasi yang dihadapinya terutama kepada yang masih buntu penyelesaian.

Bukan mudah bersabar

Imam al-Ghazali dalam kitab al-Arba'in fi Usul al-Din menyatakan, "Bermula hakikat sabar itu keteguhan yang membangkitkan agama ketika melawan keinginan hawa nafsu."

Sabar adalah menahan diri daripada marah kepada perkara yang tidak disukai dan menahan lidah daripada mengadu kepada selain Allah.

Sabar Sebahagian Dari Iman

Sabar mudah disebut di bibir tanpa menghadirkan rasa simpati yang tinggi dalam hati namun tanpa disedari, sabar sebenarnya suatu sifat yang menuntut kepada mujahadah dan ketahanan pada aras tinggi.

Bukan mudah untuk bersabar dan jauh lebih sukar untuk mempertahankan kesabaran.

Jika dapat melepasi tahap sabar, maka sabar itu mampu menjadi penawar paling mujarab dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Ketika berjaya melepasi cabaran sabar untuk bersabar, ia akan melahirkan kepuasan kepada diri, di samping mampu menjadi inspirasi kepada yang lain bahawa tiada sesuatu perkara yang mustahil untuk ditempuhi.

Sabar sangat hampir dengan keimanan seperti firman Allah yang bermaksud, "Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertakwa." (Surah Al-Baqarah, ayat 177)

Sesungguhnya, sabar itu akan membawa diri mendekati Allah SWT namun tidak dinafikan, majoriti manusia mampu bersabar pada peringkat awal berlaku sesuatu musibah.

Ada juga golongan yang tidak sabar pada permulaan, tetapi selepas diingat-ingatkan berkenaan sabar akhirnya individu itu menzahirkan perasaan sabarnya.

Namun, ada segelintir yang bersabar dari permulaan, tetapi gagal untuk mengekalkan sabar hingga ke akhirnya.

Sabar terbahagi kepada beberapa perkara:

Pertama adalah sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan kepada Allah SWT seperti firman-Nya mafhumnya, "Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki kepadamu, kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan akibat yang baik itu adalah bagi orang yang takwa." (Surah Toha, ayat 132)

Menahan diri agar tetap istiqamah dalam menjalankan perintah Allah SWT adalah sebahagian daripada suruhan Allah SWT.

Belajar untuk kekal bersabar kerana Allah telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya dengan baik sesuai syariat yang telah Allah SWT turunkan.

Ibadah seperti solat, zakat, puasa, dakwah dan lain-lain perlu dilaksanakan dengan sabar jika berkeinginan untuk mengecapi kejayaan seperti yang telah termaktub dalam al-Quran maksudnya:

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

Kedua, perlu sabar kepada perkara yang dilarang oleh Allah SWT kerana bukan mudah untuk bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan.

Sabda Nabi SAW bermaksud, "Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai, manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang memuaskan syahwat." (Riwayat Imam al-Tirmizi)

Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan kebiasaannya berdepan dengan dugaan dan cabaran yang besar.

Sering kali mereka yang cuba berubah kepada kebaikan akan menerima kata-kata sinis, cemuhan dan fitnah yang boleh menggoyahkan kesabaran untuk kekal dalam kebaikan dan perubahan dilakukan.

Sesungguhnya, semua itu adalah godaan dan mainan syaitan untuk mematahkan semangat untuk berjuang dalam meninggalkan kemaksiatan.

Sebagai umat Islam, haruslah bersabar pada setiap larangan yang digariskan oleh Allah SWT dengan meyakini bahawa semua larangan itu ada hikmahnya yang tersembunyi.

Iman Yang Tinggi

Menerusi keimanan yang tinggi kepada Allah maka akan lahir sifat sabar yang akan mengawal diri daripada berbuat atau mengulangi dosa.

Akhir sekali adalah bersabar terhadap perkara yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT, contohnya, jika ditentukan lahir dalam keadaan fizikal yang berbeza daripada yang sepatutnya, maka bersabarlah.

Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah SWT berfirman: jika hambaku diuji dengan kedua-dua matanya dan dia bersabar, maka Aku akan mengganti kedua matanya dengan syurga." (HR Bukhari)

Allah SWT juga berfirman, "Sesungguhnya harta benda dan anak kamu adalah ujian dan pada Allah juga pahala yang besar." (Surah al-Taghabun, ayat 15)

Harta benda dan anak-pinak juga adalah ujian kerana jika tidak hadir sabar, maka akan lahir sifat bakhil terhadap harta dimiliki.

Ujian anak pula datang saat mereka jauh daripada syariat Islam, yang akan mencabar kesabaran untuk mengatur dan membentuk keluarga dan anak untuk kembali kepada-Nya.

Sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang sabar, bahawa orang yang bersabar akan mendapat kegembiraan, petunjuk, keberkatan dan rahmat daripadaNya.

Bersabarlah, janji dan jaminan Allah SWT kepada orang yang bersabar adalah bukti kebaikan yang tidak ada tolok-banding dan tidak akan dipersiakan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Thursday, July 11, 2019

Sejarah Bola Sepak Piala Dunia Wanita FIFA

Sejarah Bola Sepak Piala Dunia Wanita FIFA

Piala Dunia Wanita FIFA adalah sebuah kejohanan bola sepak antarabangsa untuk wanita yang disertai oleh pasukan wanita kebangsaan daripada kalangan ahli FIFA dan diadakan empat tahun sekali sejak tahun 1991, sebelumnya dikenali sebagai Kejohanan Dunia Wanita yang telah diadakan di China.

Piala Dunia Wanita FIFA
AS juara FIFA 2019.

Format terkini kejohanan ini menyaksikan terdapat 24 slot di mana 1 slot dirizabkan kepada pasukan tuan rumah dan 23 slot lagi ditawarkan kepada pasukan kebangsaan yang akan melalui fasa kelayakan yang diadakan selama lebih kurang tiga tahun.

Pusingan akhir kejohanan ini kemudian diadakan di negara yang telah ditetapkan sebagai tuan rumah selama sebulan.

Setakat ini, lapan edisi kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA telah diadakan dan dimenangi oleh empat pasukan kebangsaan berbeza, termasuklah pasukan Amerika Syarikat, yang mengalahkan pasukan Norway dengan jaringan 2-1 dalam edisi pertama.

Juara semasa dimenangi oleh pasukan Amerika Syarikat, selepas memenangi kejuaraan kali keempat mereka dalam kejohanan Piala Dunia Wanita FIFA 2019.

Format

Pusingan akhir menyaksikan 12 hingga 24 buah pasukan kebangsaan bertanding dalam masa sebulan di negara tuan rumah.

Ianya mempunyai dua peringkat iaitu; peringkat kumpulan dan kalah mati. Dalam peringkat kumpulan, pasukan akan dibahagikan kepada empat kumpulan yang setiap satunya terdiri daripada empat pasukan.

Setiap kumpulan akan bermain menggunakan format round-robin di mana setiap pasukan dijadualkan beraksi sebanyak 3 perlawanan menentang pasukan lain dalam kumpulan yang sama.

Bagi perlawanan terakhir kumpulan, ianya dijalankan pada masa serentak bagi mengekalkan kesaksamaan di antara kesemua pasukan dalam kumpulan itu.

Pada tahun 2019, yang menggunakan format 24 pasukan, dua pasukan teratas dalam setiap kumpulan serta empat pasukan terbaik yang menduduki kedudukan ketiga setiap kumpulan akan layak ke pusingan kalah mati. Mata akan diberikan kepada pasukan dalam setiap kumpulan.

Sejak tahun 1994, tiga (3) mata diberikan kepada pasukan yang memenangi perlawanan, satu (1) mata kepada pasukan yang seri manakala tiada mata (0) diberikan kepada pasukan yang kalah.

Dalam pusingan kalah mati pula, pasukan akan melawan pasukan yang telah ditetapkan sebanyak satu perlawanan sahaja, di mana masa tambahan atau sepakan penalti akan diadakan jika perlawanan berkesudahan seri selepas masa penuh.

Keputusan Pemenang Perlawanan Akhir
  • 1991: Amerika Syarikat 2–1 Norway
  • 1995: Norway 2–0 Jerman
  • 1999: Amerika Syarikat 0–0 China (Penalti 5–4)
  • 2003: Jerman 2–1 Sweden (Gol Emas)
  • 2007: Jerman 2–0 Brazil
  • 2011: Jepun 2–2 Amerika Syarikat (Penalti 3–1)
  • 2015: Amerika Syarikat 5–2 Jepun
  • 2019: Amerika Syarikat 2-0 Belanda

Saksikan aksi AS menewaskan Belanda pada final FIFA 2019.

BACA INI JUGA:



sumber: wikipedia

Nor ‘Phoenix’ Diana Penggusti Berhijab Pertama Jadi Tumpuan Dunia

Nor ‘Phoenix’ Diana Penggusti Berhijab Pertama Jadi Tumpuan Dunia

Sebelum ini tidak ramai peminat sukan gusti di Malaysia menyedari bahawa kita mempunyai saingan Malaysia Pro Wrestling (MYPW) yang terdiri daripada individu berbakat dan juga mempunyai potensi untuk pergi dengan lebih jauh.

Penggusti Berhijab Pertama

Namun, sentimen tersebut seakan-akan berubah sepenuhnya apabila penggusti wanita berhijab bernama Nor ‘Phoenix’ Diana muncul sebagai juara wanita pertama yang memenangi kejuaraan Malaysia Pro Wrestling dalam acara MyPW Wrestlecon.

Pernah memakai topeng sebagai trademark beliau dalam sukan gusti, Nordiana yang berusia 19 tahun itu menceritakan perjalanannya di Instagram, sebagai penggusti wanita profesional.

“Semuanya bermula ketika saya berusia 14 tahun. Saya banyak bermain permainan video gusti bersama adik saya.

"Bermula saat itu, saya mula menonton rancangan gusti di televisyen dan minat untuk lebih mendalami dunia gusti timbul saat itu.

“Ketika berusia 15 tahun, saya mula mencari persatuan gusti Malaysia dalam talian dan saya terjumpa MYPW yang sebelum ini dikenali dengan nama Persatuan Gusti Malaysia.

"Saya memutuskan untuk menyertai dan berlatih bersama mereka bagi merealisasikan impian saya sebagai penggusti profesional,” katanya.

Ketika ditanya mengenai layanan yang diberikan oleh MYPW dan ahli yang lain kepada beliau, Nordiana menyifatkan layanan yang diberikan adalah sama rata dan tiada layanan istimewa yang diberikan memandangkan beliau adalah penggusti wanita dan memakai hijab.

Mengulas lebih lanjut, Nordiana menjelaskan ada cerita unik mengenai asal usul beliau mendapat gelaran Phoenix.

Ketika itu, penggusti berbadan kecil ini terpaksa menggantikan seorang lagi penggusti dalam sebuah acara.

Beliau nyata terkejut dengan tawaran yang diberikan kerana baru belajar beberapa gerakan sahaja malah, Diana tidak mempunyai watak dan juga outfit beliau sendiri.

“Saya pergi ke kedai bundle berhampiran dan membeli seluar serta topi kulit bagi menyesuaikan dengan baju yang saya pakai ketika itu.

"Jurulatih memberi arahan untuk membawa watak seolah-olah Phoenix dan pada masa yang sama jurulatih memberi saya topeng luchador untuk dikenakan,” ujarnya.

Nordiana turut menggesa penggusti wanita di luar sana agar menyertainya di MYPW sekali gus merancakkan lagi suasana gusti di rantau Asia.

“Ayuh sertai kami. Hanya sedikit bilangan penggusti wanita profesional di Asia, khususnya Malaysia ketika ini.

"Layari Facebook dan Instagram Pro Wrestling Developmental Centre (MYPWDC) untuk mendapat maklumat lanjut.

Setelah memenangi Malaysia Pro Wrestling, Nordiana memberikan indikasi bahawa kejayaan baru-baru ini hanyalah permulaan dan beliau sudah bersedia untuk menujukkan kepada dunia apa yang mampu dilakukan oleh penggusti berhijab ini.

Saksikan video aksinya di Instagram.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Wednesday, July 10, 2019

Rahsia Personaliti Penunggang Kapcai, Super-moped, Superbike Dan Vespa

Rahsia Personaliti Penunggang Kapcai, Super-moped, Superbike Dan Vespa

Mempunyai kenderaan sendiri adalah impian setiap orang. Tidak kiralah jika sekadar motor kapcai biasa atau jentera berprestasi tinggi yang merajai jalan raya, ia sentiasa memberi kepuasan kepada pemiliknya.

Ada yang memiliki motosikal untuk dijadikan pengangkutan seharian ke tempat kerja dan ada juga berpendapat memiliki motosikal adalah satu hobi yang memuaskan.

Tapi tahukah anda, sebenarnya jenis motosikal yang anda tunggang boleh memberi gambaran mengenai personaliti anda. Kapcai, Super-moped, Superbike ataupun Vespa, setiap pemiliknya mempunyai personaliti tersendiri yang menarik untuk kita perhatikan.

Kapcai

Kapcai Honda

Bagi yang memilih untuk memiliki motosikal jenis Kapcai tidak kisahlah jenama apa pun, mereka biasanya adalah orang yang simple dan ‘going with the flow’.

Selain itu, penunggang Kapcai juga merupakan seorang yang mengutamakan ‘practicality’. Bagi anda, asalkan boleh bergerak dari point A ke point B ia sudahpun memadai.

Nak cari pakir lebih senang dan anda tidak perlu terlalu memikirkan soal keselamatan kerana ‘pencuri-pencuri’ lebih cenderung menyasarkan motosikal dalam kategori seterusnya sebagai ‘mangsa’.

Lagipun, harga Kapcai dalam pasaran tempatan tidaklah terlalu mahal kan?

Super-moped

Personaliti penunggang Super-moped

Rekaan menarik, boleh memecut laju dan selesa ditunggang, Super-moped adalah jawapan untuk anda yang mempunyai jiwa muda dan sukakan kelajuan.

Selain itu, seperti Kapcai, pemilik super moped juga lebih memikirkan soal ‘practicality’ tetapi tidak kisah untuk berbelanja lebih untuk tampil bergaya berbanding rakan-rakan yang lain.

Pemilik Super-moped juga sebenarnya seorang yang suka kebebasan dan gemar mengembara. Anda tidak kisah untuk berhimpun beramai-ramai dengan rakan-rakan lain dan keluar berkonvoi kemana-mana.

Super-bike

Personaliti penunggang Super-bike

Tiada apa yang perlu diperkatakan lagi apabila anda menunggang sebuah jentera berprestasi tinggi membelah jalan setiap hari.

Anda barangkali seorang yang sukakan sesuatu yang ekstrem dan berada pada tahap maksima setiap masa. Adrenalin yang memuncak setiap kali minyak dipulas habis memberikan satu perasaan yang tidak dapat digambarkan.

Selain itu, mempunyai sebuah Superbike juga menandakan anda seorang yang suka menjadi sebahagian daripada komuniti. Dengan kata lain, anda seorang yang peramah dan suka berdamping.

Maka tak hairanlah pemilik Superbike kebiasaannya menjadi ahli kepada kumpulan motosikal tertentu yang mempunyai ikatan rapat antara satu sama lain. Selain berkonvoi sama ada dalam atau ke luar negara, geng-geng moto ini juga biasanya turut mempunyai aktiviti kekeluargaan yang lain.

Satu lagi, memiliki Superbike juga lambang kepada status anda. Jadi tidak salah jika diandaikan bahawa pemilik Superbike mempunyai personaliti orang yang sukses dalam hidupnya.

Vespa/Skuter

Personaliti penunggang Vespa

Old school. Ya, penunggang Vespa adalah seorang yang sangat cool dan sukakan sesuatu yang nostalgik. Bagi anda, setiap yang berlaku dalam hidup sangat penting dan perlu dihargai. Pemilik Vespa juga adalah seorang yang setia.

Penunggang Vespa juga sukakan ketenangan dan santai-santai. Jika anda menggunakan Skuter atau Vespa untuk ke tempat kerja, anda mungkin tidak memecut terlalu laju dan memilih untuk menikmati perjalanan tersebut.

Selain itu, pemilik Vespa juga selalunya mempunyai penampilan diri yang menarik dan seringkali mengenakan pakaian yang bergaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: siakapkeli

SBDJ Siri 88: Mayat Berdiri

SBDJ Siri 88: Mayat Berdiri

"Kerana kau waris terdekat pada si sakit, kau berhak mengambilnya dan berhak membuat keputusan,” Datuk jeling ke arah guru silat. Muka guru silat terus jadi pucat. Dia seperti mahu mengelak dari menyentuh bungkusan tersebut.

Toyol jadi-jadian

“Tak payah,” katanya.

“Mana boleh cakap macam tu, awak ada hak, ambillah.”

“Eh, saya tak mahu, nanti bala datang pada saya.”

“Ambillah, tak mengapa.”

“Saya tak mahu,” guru silat undur tiga tapak ke belakang. Datuk jadi serba-salah.

“Kalau kau mahu aku berikhtiar menyembuhkan orang yang sakit, kau harus mendengar cakap aku,” nada suara Datuk mula keras.

Guru silat melangkah tiga tapak ke depan. Berdiri di sisi Datuk.

“Macam mana? Kau setuju nak ambil bungkusan ni, kalau kau tak mahu biar aku tanam semula,” Datuk minta satu kepastian yang muktamad.

Kelopak mata guru silat terkebil-kebil. Dia masih buntu untuk membuat satu keputusan yang tegas.

Dalam keadaan yang tidak menentu itu, Datuk terus bersuara:

“Bagaimana? Mahu atau tidak.”

“Mahu,” jawab guru silat.

“Bagus,” Datuk tersenyum.

“Boleh saya ambil sekarang?”

“Nanti dulu.”

“Hum, ah...,” guru silat bagaikan mengeluh.

Datuk terus mengambil sehelai daun rambai kering. Daun rambai itu diramasnya hingga hancur. Guru silat terpegun melihat gerak-geri Datuk.

Saya dongakkan kepala melihat putik rambai yang berjuntaian di dahan dan nampak terbuai-buai dirempuh angin.

“Ke mari,” Datuk panggil guru silat.

“Kenapa?”

“Marilah, jangan banyak cakap.”

Guru silat segera menghampiri Datuk. Saya agak terkejut, bila Datuk terus menyambar tangan kiri guru silat lalu dipulas ke belakang, anehnya guru silat tidak bertindak. Menyerahkan diri pada keadaan seperti kena pukau.

Dalam keadaan diri guru silat berada antara sedar dengan tidak itu, Datuk segera mengepal tanah lalu digaulkan dengan daun rambai yang sudah diramasnya itu.

Kedua belah telapak tangan guru silat segera dilumurkannya dengan tanah dan daun rambai.

“Sekarang, kau ambillah bungkusan itu.”

Guru silat segera mendekati pangkal pokok rambai. Direnungnya bungkusan yang kelihatan seketul itu. Guru silat masih ragu-ragu untuk bertindak selanjutnya.

“Ambillah, jangan tangguh lagi,” perintah Datuk.

“Saya takut.”

“Jangan takut, ambillah.”

“Tak ada bala yang dalang.”

“Tak ada, jangan buang masa lagi,” Datuk mula marah.

Direnungnya muka guru silat dengan renungan yang tajam. Tanpa membuang masa lagi, guru silat terus ambil bungkusan tersebut.

Datuk suruh guru silat letakkan bungkusan sebesar penumbuk itu atas daun rambai kering. Semuanya dipatuhi oleh guru silat dengan tenang dan teratur sekali.

“Sekarang kamu langkah bungkusan itu dua kali,” itu arahan Datuk yang dipatuhi oleh guru silat.

Datuk tersenyum dan terus menghampiri guru silat. Datuk membisikkan sesuatu ke telinga guru silat.

Saya lihat guru silat tersenyum dan anggukkan kepala beberapa kali. Guru silat terus duduk mencangkung menghadapi bungkusan sebesar penumbuk.

Saya segera mendekati. Kain pembalut bungkusan itu ternyata berwarna hitam pekat dan diikat dengan tali guni yang juga dilumur dengan warna hitam. Tanah yang melekat pada bungkusan itu nampak lembap dan berair.

“Buka,” kata Datuk.

Guru silat terus membukanya, saya terlihat kain berwarna kuning.

“Buka lagi, biasanya ada tiga lapis kain dan tiga warna,” lanjut Datuk dengan penuh keyakinan.

Guru silat terus membukanya. Kain kuning terbentang atas daun kering. Saya renung kain putih yang membalut bungkusan itu. Saya kira kain putih itu adalah kain lapisan yang terakhir.

Guru silat buka kain putih, saya terlihat kain warna biru dan bau hapak mula menusuk lubang hidung dan saya renung muka Datuk. Dia kelihatan tersengih dan menyuruh guru silat membuka kain warna biru.

Bila kain warna biru dibuka dari ikatannya, darah gemuruh mula menguasai urat saraf saya. Dua tiga kali saya pejam celikkan kelopak mata. Saya terlihat bulu burung tersusun.

Kepala burung dibalut dengan kain merah. Badan burung yang sudah dicabut bulunya kelihatan kering. Di bahagian paha burung yang sudah dicabut bulunya kelihatan kering.

Di bahagian paha burung yang sudah kering itu terdapat beberapa bilah jarum di samping kulit limau nipis yang sudah kering.

“Ke tepi,” kata Datuk.

Guru silat dan saya ke tepi memberi ruang untuk Datuk bertinggung sambil melihat badan burung.

Datuk ambil sebatang ranting. Badan burung ditolaknya hingga badan burung tersebut terlentang dengan kedua belah kakinya menghala ke dada langit.

Saya terlihat pada bahagian burung itu, terdapat kesan jahitan.

“Perut burung ni dibelah kemudian dijahit semula,” kata Datuk sambil menekan perut burung itu. Bau hapak kian terasa.

Setiap kali Datuk tekan hujung ranting, kelihatan air keluar dari celah jahitan.

Datuk menyuruh saya mencari pucuk keladi rimba. Saya tidak dapat memenuhi permintaan Datuk itu, mana mungkin mencari daun keladi rimba di tengah kampung.

“Tak apa, kau pergi ambil mengkuang di bawah rumah,” ujar Datuk sambil menunjuk ke arah sesikat mengkuang di bawah rumah si sakit.

Saya segera ke situ. Datang kembali pada Datuk dengan sehelai mengkuang berduri. Datuk ambil daun mengkuang.

Tanpa minta pertolongan dari saya dan guru silat, Datuk terus ambil bangkai burung terus diletakkan atas daun mengkuang.

Bila daun mengkuang itu dilipatkan untuk dijadikan pembalut pada badan burung tersebut, saya lihat daun mengkuang menikam kulit burung, ketika itu juga kami terdengar jeritan si sakit dari arah rumahnya.

Suaranya lantang bagaikan menahan kesakitan yang amat sangat. Datuk tidak menghiraukan jeritan itu.

Datuk terus membalut badan burung dengan daun mengkuang, dilipat jadi tiga segi macam kuih koci. Setelah itu Datuk tindih dengan besi yang dibawanya.

Suara jeritan si sakit terus sambung-menyambung. Datuk terus menutup bungkusan itu dengan daun-daun kering. Kemudian Datuk bakar.

Suara jeritan si sakit terus berkurangan. Tidak sampai sepuluh minit bulu dan badan burung terus menjadi abu.

Apa yang menghairankan saya, kain yang jadi pembalut badan burung tidak dibakar oleh Datuk. Dilipat tiga segi dan dibalut dengan daun rambai muda. Datuk isi dalam saku seluarnya.

Lubang yang dikorek oleh Datuk segera ditimbus kembali, tanpa meninggalkan sebarang kesan, memang sukar untuk dijejaki oleh orang lain.

Datuk terus mengajak kami pulang. Tindakan Datuk itu menimbulkan keraguan dalam diri guru silat.

Pada sangkaan guru silat, tentulah Datuk pergi ke rumah si sakit, bertanya khabar kenapa si sakit menjerit.

“Tak pergi ke rumah si sakit?” guru silat memberanikan diri bertanya.

“Tak payah.”

“Kenapa?”

“Usah banyak tanya, mari kita balik,” kata-kata terakhir itu mematikan semangat guru silat untuk bertanya selanjutnya.

Waktu kami melintasi halaman rumah, isteri si sakit sudah pun berdiri di muka pintu sambil melaung-laung nama guru silat dan Datuk berkali-kali.

“Singgahlah dulu, tengok perangai suami saya yang lain macam ni,” suara isteri si sakit lantang.

“Minta maaf, kami dah lambat,” sahut guru silat.

“Singgah sekejap aje, tengok muka suami saya yang hitam sebelah dan suka menjilat-jilat lantai.”

“Sabar, lepas senja, hitam di mukanya akan hilang dan dia berhenti menjilat lantai,” balas Datuk tanpa memperlahankan langkahnya.

Jawapan dari Datuk itu amat menghampakan hati isteri si sakit. Dia tidak terdaya untuk melanjutkan kata-kata, hanya kelihatan kecil saja yang terungkap dari kedua belah kelopak bibirnya.

Saya hanya tunduk merenung rerumput di tepi jalanan dalam warna hari yang beransur samar-samar itu. Di hujung langit sudah kelihatan warna kemerah-merahan.

Beburung kelihatan terbang sekawan demi sekawan pulang ke sarang. Bunyi gemeresik angin yang menyentuh dedaun di hujung ranting jelas kedengaran.

Sesekali terdengar pekik gagak yang pulang senjakala. Saya terus melangkah tanpa mahu merenung ke kiri dan ke kanan.

Saya tahu pemandangan sekitar saya memang tidak menarik, penuh dengan pepohon yang tidak dapat memberikan sebarang keindahan.

Saya dapat mengesan perangai Datuk berkeadaan lain macam. Kelihatan seperti dilanda keresahan yang tidak menentu. Macam ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.

Wajahnya, membayangkan rasa tidak aman yang memanjang. Bila Datuk berada dalam keadaan demikian, saya rasa jalan paling selamat yang wajar saya pilih ialah membisu seribu bahasa dan patuhi saja apa yang diperintahkannya.

Kami terus melangkah dalam cuaca yang beransur gelap. Agas dan nyamuk terasa menyerang pipi dan batang hidung.

Langkah kaki sering saja terhenti akibat tersepak akar dan tunggul kayu di tepi jalan. Kicau burung tidak kedengaran lagi.

“Ah sial, tak ada tempat lain kamu nak cari makan,” saya merungut lalu menampar pipi sebelah kiri.

Aduh! Kepala sakitnya, nyamuk tak mati, pipi sendiri yang terasa pedih. Hati saya terus membara dan marah tidak tentu arah.

Bagi melepaskan geram, saya sepak sepotong kayu di tepi jalan dengan sekuat hati. Guru silat segera menoleh ke arah saya.

“Kenapa?” tanyanya perlahan.

“Jemu,” sahut saya perlahan.

“Kejap lagi kita sampai,” guru silat cuba menenangkan perasaan saya.

Ketika itu juga, Datuk berhenti melangkah. Sepasang matanya merenung tajam ke arah saya, memancarkan rasa marah.

“Ada apa Tamar?”

“Tak ada apa-apa tuk.”

“Aku dengar kamu macam merungut, cakap apa yang kamu tak puas hati.”

“Tak ada apa-apa tuk.”

“Hum,” suara Datuk parau dan terus berhenti merenung wajah saya.

Apa yang dialami sebentar tadi, bagaikan mengingati diri saya supaya hati-hati. Jangan mengeluh tidak tentu fasal. Perbuatan begitu boleh mengganggu diri Datuk.

“Oh uuuuuuuuppppppppppp.”

Guru silat segera melompat. Langkah saya dan Datuk terus kaku. Mata kami tertumpu ke dada jalan. Seekor katak puru merayap dengan tenang ke gigi jalan, kemudian menghilangkan diri dalam rimbunan rerumput di situ.

Saya melihat Datuk tersenyum. Hatinya terusik dengan telatah guru silat yang mudah terperanjat. Datuk segera menghampiri guru silat.

“Orang macam awak ni, sebaik-baiknya jangan mudah terkejut dan melatah. Cubalah kawal perasaan,” Datuk memberikan nasihat.

Guru silat terus menarik nafas dalam-dalam. Ekor matanya masih menjeling ke arah saya.

“Saya cuba mengatasinya.”

“Cubalah. Pendekar kalau mudah melompat dan terkejut tak baik nanti pihak lawan tahu sejauh mana kekuatan kita.”

“Saya faham,” suara guru silat lemah.

Datuk terus melagakan gigi atas dengan gigi bawah dua tiga kali. Saya berhenti melangkah dan terus menggeliat dua tiga kali. Pangkal belikat dan pangkal paha mula terasa sakit. Guru silat segera menghampiri saya.

“Tak jauh lagi, tak usah berhenti, jalan saja,” bisiknya ke telinga saya.

“Paha saya sakit.”

“Tak apa, kejap lagi sampailah,” guru silat terus menarik tangan saya.

Datuk menjeling tajam ke arah saya. Tidak ada pilihan lain untuk saya, melainkan meneruskan perjalanan.

Saya merenung tajam ke depan. Nampak berbalam bentuk rumah peninggalan arwah orang tua guru silat. Hati saya riang.

Pada hemat saya, lebih kurang lima minit lagi sampailah ke rumah tersebut dengan syarat tidak berhenti di mana-mana.

“Ha, langkah panjang-panjang biar cepat sampai,” usik guru silat.

“Langkah pendek pun sampai, dah dekat,” balas saya sambil tersenyum.

Guru silat ketawa kecil sampai menepuk bahu kanan Datuk dua tiga kali. Datuk segera merenung ke arahnya.

“Kenapa?” tanya Datuk.

“Tak ada apa-apa.”

“Kalau tak ada apa-apa, buat apa ditepuk?” Datuk seperti kesal tetapi, guru silat terus tersenyum lebar.

“Aku rasa malam ni, semuanya selesai,” cetus Datuk ketika memasuki halaman rumah pusaka.

Saya menelan air liur dan tertanya-tanya dalam hati maksud dari kata-kata yang diluahkan oleh Datuk.

“Apa yang awak cakapkan tadi,” guru silat menyoal lalu merempuh saya yang berdiri tidak jauh dari Datuk.

Saya terdorong ke sebelah kiri. Marah juga rasa hati melihat sikap guru silat yang main langgar tanpa memikirkan tentang orang lain.

“Maafkan aku Tamar, aku tak sengaja terlanggar kamu.”

“Tak apa,” balas saya dengan sedikit rasa kesal dalam hati.

Guru silat terus mendekati Datuk yang sudah hampir dengan kaki tangga. Muka Datuk direnungnya.

“Apa yang awak katakan tadi? Saya tak dapat dengar jelas,” nada suara guru silat merendah.

Datuk menarik nafas panjang. Matanya masih tertumpu ke wajah guru silat.

“Malam ni, semuanya selesai,” Datuk senyum.

“Maksud awak.”

“Dengan izin Allah yang kuasa, orang yang sakit beransur sihat dan orang yang berbuat jahat akan menerima padahnya,” cukup tenang Datuk melafazkan kata-kala itu.

“Awak bergurau?” guru silat minta kepastian.

“Saya tak bergurau, dengan izin Allah semuanya berjaya.”

“Ha...” mulut guru silat terlopong.

“Dengan izin Allah,” ulang Datuk.

Guru silat segera mengatupkan mulutnya kembali. Wajahnya seperti orang dungu.

Geli rasa hati melihat telatahnya.

Saya mengharapkan guru silat mengeluarkan berbagai-bagai pertanyaan. Apa yang saya harapkan tak menjadi kenyataan. Guru silat terus termenung.

Bila guru silat tidak mahu bertanya, ertinya saya tidak ada peluang untuk menerima cerita dari Datuk.

Guru silat terus duduk di anak tangga bongsu. Merenung ke arah pepohon di kiri kanan halaman yang kaku dalam suasana kelam yang kian mencengkam.

“Biar kita ke telaga dulu, mandi dan ambil air sembahyang,” Datuk terus melangkah.

Lagi sekali guru silat tergamam dan terkejut dengan apa yang Datuk lakukan.

Kenapa Datuk tidak mahu menggunakan air paip seperti selalu? Kenapa mesti menggunakan air perigi?

Timbul pertanyaan dalam diri saya. Cepat-cepat saya renung muka guru silat.

“Kenapa Datuk kamu Tamar? Lain macam saja hari ini.”

“Entah, saya tak tahu sebabnya.”

“Pelik juga air paip ada, kenapa air telaga yang dicari.”

“Biarkan, Datuk saya dengan caranya.”

“Ah, pelik, banyak perkara pelik yang dibuatnya,” keluh guru silat sambil merenung wajah saya sejenak. Kami berbalas senyum.

“Biar saya pergi ke bilik air dulu,” kata saya pada guru silat yang masih termenung panjang.

Agaknya, ia masih memikirkan tentang tindak-tanduk Datuk yang dianggapnya agak luar biasa.

“Pergilah Tamar.”

“Baiklah.”

PULAS

Saya pun terus menuju ke bilik air yang terletak di bahagian belakang rumah. Saya pulas kepala paip dan terus basuh muka.

Dari basuh muka ada baik mandi terus, fikir saya dan terus membuka baju dan seluar. Beberapa saat kemudian seluruh badan saya dibasahi dengan air paip. Badan terasa segar dan bertenaga.

Sebaik sahaja saya keluar dari bilik air, guru silat pula masuk. Datuk masih lagi berada di perigi. Saya terus duduk di anak tangga bongsu, merenung hari yang kain gelap.

Tidak lama lagi saya kira, suara azan pasti berkumandang menguasai seluruh kampung.

Saya terus mengelamun dan menyusun rancangan dalam kepala. Saya bercadang petang esok, saya mahu minta izin dan Datuk untuk ikut kawan-kawan ke Kuala Juru, melihat perahu nelayan.

Lamunan saya terganggu oleh suara guru silat di kamar mandi. Saya tidak tahu kenapa nada suara guru silat meninggi.

Mungkin ada sesuatu yang kurang menyenangkan hatinya, fikir saya sendirian sambil memanjangkan leher meninjau ke arah bilik air.

Tiba-tiba secara mendadak guru silat keluar dari bilik air. Berlari ke arah saya dengan wajah yang cemas.

“Kenapa?”

“Aku macam ternampak mayat orang berdiri dekat pintu bilik air, bila aku pandang lagi sekali, mayat itu hilang.”

“Ah, pandangan mata saja tu, maklumlah kita letih,” saya menenteramkan perasaan guru silat.

Ternyata perasaan guru silat tidak tenteram dengan kata-kata yang saya luahkan. Rasa takut masih dapat dikesan di wajahnya.

Saya terus mengajak guru silat naik ke rumah. Sebaik saja, saya duduk di bangku usang, Datuk pun sampai dengan wajah yang amat tenang.

“Kita jemaah di surau?” Datuk ajukan pertanyaan pada guru silat.

Saya lihat guru silat mengerutkan dahi, buah halkumnya nampak bergerak bila ia menelan air liur.

“Saya nak sembahyang di rumah,” jawab guru silat.

“Kalau begitu, biar aku dengan Tamar ke surau, kau sembahyang seorang di rumah.”

“Eh, begini saja, biar saya dan Tamar sembahyang di rumah, awak seorang saja pergi ke surau.”

“Tak apa, saya ikut cakap awak,” jawapan Datuk itu ternyata amat menggembirakan hati guru silat.

Datuk tukar pakaian. Tanpa mengucapkan sesuatu ia terus meninggalkan saya dan guru silat.

Sebaik saja Datuk sampai dekat pohon jati, suara Azan terus berkumandang. Datuk mempercepatkan langkahnya.

Saya dan guru silat sembahyang di rumah. Setelah selesai sembahyang, saya disuruh oleh guru silat ke dapur untuk memasak air panas.

Hasrat guru silat itu tidak saya bantah, setelah menyalakan api dan meletakkan cerek atas tungku. Saya kembali duduk di sisi guru silat.

“Malam ni, kita makan di rumah, aku masak lauk dan nasi,” kata-kata yang amat menyenangkan dari guru silat.

Saya segera terfikir, lauk apa yang mahu dimasaknya? Ikan bilis, ikan goreng? Semuanya bahan-bahan ini tidak ada dalam simpanan guru silat.

“Ikan tak ada, sayur tak ada, nak masak apa?” tanya saya, guru silat menggigit bibir sambil memperkemaskan silanya.

“Ada Tamar.”

“Ada di mana?”

“Ada saya beli semalam, saya simpan dalam almari, saya beli ikan kurau kering, kita buat masak lemak, biar pecah perut kita malam ni. Dah kenyang makan baru kita pergi ke rumah si sakit. Kau setuju Tamar.”

“Setuju,” jawab saya cepat dan tegas.

“Bagus,” guru silat tegakkan ibu jari kanannya.

“Sekarang, kamu pergi basuh beras dan letakkan periuk nasi atas tungku,” satu arahan terkeluar secara spontan dari kedua belah kelopak bibir guru silat.

Kali ini, saya agak keberatan untuk mematuhi perintahnya itu. Masak nasi kerja leceh. Guru silat bagaikan tahu apa yang ada dalam hati saya.

“Kau tak suka masak nasi, Tamar?”

“Ya, kerja leceh."

“Tak apa, kau buat kopi sudahlah, masak nasi dan lauk biar saya buat. Kau setuju bukan?”

“Setuju,” suara saya riang dan terus bangun menuju ke ruang dapur untuk membuang kopi.

Baru lima langkah, saya melangkah guru silat segera mendekati saya. Cepat-cepat Ia menarik tangan saya. Perbuatannya itu amat mencemaskan hati saya.

“Kenapa?”

“Kau tengok tu,” guru silat meluruskan jari telunjuknya ke arah dinding.

Saya kerutkan dahi. Dua tiga kali kelopak mata saya pejam celikkan. Saya yakin, apa yang saya lihat di depan mata bukannya hanya sekadar tersilap pandang, saya yakin, saya sedang melihat sesuatu yang benar. Dada saya jadi berdebar.

“Kau nampak Tamar?”

“Nampak.”

“Kau sendiri tengok aku membuangnya ke dalam sungai, siang tadi.”

“Ya, pelik macam mana tongkat yang dah dibuang ada dalam rumah semula. Siapa yang membawanya?”

“Itulah yang memeningkan kepala aku sekarang,” guru silat seperti mengeluh.

Ia terus menarik tangan saya mendekati tongkat yang tersandar di dinding. Saya hanya menurut saja tetapi, saya rasa gementar dan cemas tetap berada dalam hati.

“Cuba kau tengok Tamar.”

Saya terus membongkok dan menatap tongkat tersebut. Memang itulah tongkat yang dicampakkannya ke dalam sungai. Anehnya, macam mana boleh berada di rumah kembali.

“Cuba kau pegang Tamar.”

“Tak mahu, pak gurulah pegang.”

“Cubalah Tamar.”

“Minta maaf, pak guru,” ujar saya dengan nada suara yang lembut bersama wajah yang minta dikasihi.

Guru silat terus mengambil kain pelekat yang berada tidak jauh darinya.

Kain pelekat dicampakkan oleh guru silat ke arah tongkat tersebut. Kain pelekat terus melekat di kepala tongkat dan terus memberat ke kanan.

Tongkat itu terus jatuh berdentum. Bunyinya cukup kuat tidak padan dengan bentuk dan berat tongkat.

“Kau berani pegang Tamar?”

“Minta maaf pak guru.”

“Kalau kau tak berani biar aku pegang tapi, kau mesti tunggu di situ."

“Baik pak guru.”

Guru silat terus mendekati tongkat yang berbalut dengan kain pelekat. Dalam jangkaan saya, sudah pasti guru silat terus memegang tongkat yang berada dalam kain itu.

Jangkaan saya salah. Guru silat terus menyentap kain pelekat dengan sekuat hati hingga kain pelekat terpisah dengan tongkat.

Tongkat pun tergolek di tepi dinding. Kepalanya yang berbentuk dua kepala ular itu mengarah pada saya dan guru silat. Saya tiba-tiba merasa seram.

“Saya rasa tak ada apa-apa pak guru, cuba pegang,” saya terus mengajukan cadangan.

Guru silat menggigit bibir. Ia masih bimbang dan ragu untuk melakukan dengan apa yang saya katakan.

Guru silat menggenggam penumbuk. Matanya tertumpu ke wajah saya. Perlahan-lahan guru silat mendekati tongkat tersebut.

“Cubalah pak guru.”

“Ya, aku cuba, kalau syaitan kita binasa.”

“Nanti dulu.”

“Kenapa Tamar.”

“Cuba pak guru baca beberapa ayat dan Quran...,” kata saya mengingatkan guru silat.

Saya jadi hampa dan agak kecewa kerana saranan saya tidak diterima oleh guru silat.

“Tak payah,” katanya pendek.

Saya tidak dapat berbuat apa-apa. Apa yang mampu saya buat ialah melihat dengan sepasang mata tindak-tanduk guru silat yang kian ghairah untuk memegang tongkat.

Guru silat terus menyambar tongkat tersebut. Dalam sekelip mata saja tongkat aneh itu sudah berada dalam tangan guru silat. Saya lihat wajahnya cukup riang.

“Memang benar, tongkat ini tongkat pusaka,” suara guru silat penuh keriangan.

Ia terus menarik tangan saya untuk menjamah badan tongkat. Saya menolak. Cepat-cepat saya menarik tangan saya yang dipegangnya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 88/284

BACA: SBDJ Siri 87: Tongkat Berukir Kepala Ular
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM


Kontroversi Menteri Lantik Pondan, Tanda Pengiktirafan Kerajaan Terhadap LGBT?

Kontroversi Menteri Lantik Pondan, Tanda Pengiktirafan Kerajaan Terhadap LGBT?

Berita sensasi mengenai perlantikan seorang transgender heboh diperdebatkan di media setelah tular surat perlantikan diberikan kepada Rania Zara Medina, sebagai ahli Country Coordinating Mechanism (CCM) Malaysia bagi penggal 2019/2021.

Rania Zara Medina Pondan

Surat perlantikan itu ditandatangani oleh Dr. Lee Boon Chye selaku Timbalan Menteri di Kementerian Kesihatan Malaysia dan pengerusi CCM.

CCM Malaysia ditubuhkan bertujuan menangani isu HIV dan AIDS melalui sumbangan daripada Global Fund, sebuah organisasi antarabangsa yang menggerakkan dan melabur lebih daripada USD4 bilion setahun untuk mengakhiri penularan wabak AIDS, batuk kering dan malaria.

Usahasama ini dijalankan dengan penglibatan kerajaan, masyarakat, sektor swasta dan golongan pesakit.

Golongan sasaran untuk program CCM adalah pengguna dadah melalui suntikan atau “Injecting drug users (IDUs)”, pekerja seks (lelaki, perempuan dan mak nyah) dan lelaki yang melakukan seks dengan lelaki atau “Men who have sex with men (MSM)”.

Perlantikan Rania dilihat bagi mewakili golongan mak nyah, tidak diperjelaskan dengan awal oleh Kerajaan hingga menyebabkan kegusaran di kalangan rakyat di mana Islam merupakan agama rasmi negara.

Isu ini adalah isu sensitif kepada masyarakat beragama Islam. Perlantikan ini dilihat seolah-olah kerajaan secara rasminya menghalalkan golongan mak nyah mewakili negara di peringkat organisasi antarabangsa.

Surat rasmi daripada Kementerian juga menyatakan, “Puan” Rania seolah-olah mengiktiraf kebebasan tanpa had hak asasi manusia yang dipelopori barat.

Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan nilai-nilai ketimuran dan berpaksikan Islam sebagai agama rasmi.

Keadaan ini adalah satu kejanggalan keterlaluan pada era Malaysia baru. Adakah Malaysia Baru ini lebih liberal dan mengamalkan hak asasi tanpa batasan?

Kerajaan dilihat tidak berhemah dalam menangani isu ini. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia menggesa perlantikan di dalam CCM dianggotai juga golongan cendekiawan Islam agar program yang dilaksanakan oleh CCM berpaksikan Islam untuk membawa golongan mak nyah kembali ke pangkal jalan.

Jika YB Mujahid kehadapan seawal memegang jawatan Menteri Agama untuk menyantuni golongan maknyah, kenapa pihak agensi beliau tidak terlibat sama pada kali ini?

Perlantikan mak nyah juga tidak kena pada masanya ketika negara digegarkan dengan video semburit luar tabi’i, antara seorang lelaki dengan lelaki yang lain.

Tun Mahathir Terkejut Pelantikan Pondan

Sementara itu, Perdana Menteri, Tun Mahathir terkejut apabila dimaklumkan Kementerian Kesihatan melantik seorang lelaki dengan penampilan wanita, Rania Zara Medina sebagai ahli jawatankuasa pertubuhan Country Coordinating Mechanism (CCM).

Beliau mengakui tidak maklum berhubung status jantina Rania Zara Medina.

“Apa transgender? Awak (wartawan) dah periksa dia ke? Betul ke dia transgender?

“Saya tidak tahu macam mana dia transgender, saya tak jumpa dia,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen.

Lantikan Yang Jelas Salah

Shahir Adnan, Ketua Pemuda Dewan Pemuda IKATAN Malaysia berpendapat bahawa, pihak yang menganggotai CCM haruslah diwakili golongan terlibat yang telah kembali ke pangkal jalan, bukan golongan aktivis yang secara terang memberi sokongan kepada LGBTQ.

Contohnya, adalah tidak masuk akal untuk melantik penagih dadah tegar untuk menganggotai CCM bagi mewakili golongan IDUs.

Keputusan yang rasional adalah melantik golongan yang pernah terlibat dengan dadah tetapi sudah pulih dari penagihan dan mahu mengubah kehidupan penagih dadah lain ke arah lebih baik. Seharusnya keputusan lebih baik dibuat bagi mewakili golongan mak nyah.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia juga menggesa kerajaan menggunakan CCM sebagai serampang dua mata untuk menurunkan kes HIV dan AIDS serta membawa kembali golongan LGBTQ kembali ke pangkal jalan agar tidak terlibat dengan seks songsang yang menjadi antara penyebab utama HIV dan AIDS.

Demi Bangsa Malaysia!

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

5 Orang Jutawan Yang Muflis Sekelip Mata

5 Orang Jutawan Yang Muflis Sekelip Mata

Deretan nama ini suatu ketika dahulu merupakan antara manusia paling kaya di dunia, tetapi malangnya kini mereka jatuh muflis hampir langsung tanpa sebarang harta. Benarlah seperti kata pepatah, dunia ini ibarat putaran roda. Ada masanya, kita berada di atas dan ada masanya kita berada di bawah.

Senarai ini hanyalah sebahagian daripada kisah ramai lagi jutawan yang berakhir dengan kisah tragis.

1. Eike Batista

Jutawan Yang Muflis

Pada tahun 1980, Eike Batista menubuhkan syarikat Commodity Empire yang terlibat dalam industri minyak.

Pada tahun 2012, industri minyak telah melonjakkan kekayaan beliau menjadi orang ketujuh terkaya di dunia dengan memiliki aset sebanyak AS$30 bilion.

Tidak lama selepas itu, industri pengeluaran minyak semakin perlahan, menyebabkan pelabur semakin berkurangan lantas menyebabkan peningkatan hutang dan kejatuhan di bursa saham.

Pada tahun 2013, beliau telah disahkan muflis dengan nilai kerugian AS$1 bilion.

2. Jordan Belfort

Jutawan Yang Muflis

Beliau merupakan pemilik saham dan memiliki syarikat Stratton Oakmont pada tahun 1989, iaitu sebuah syarikat yang melakukan perdagangan secara haram untuk mengaut keuntungan berlipat ganda.

Keuntungan syarikatnya melonjak dan pada usia 25 tahun, beliau mempunyai aset kekayaan berjumlah AS$85 juta.

Beliau telah membelanjakan wangnya untuk membeli kereta mewah, kapal layar dan berpesta serta berparti di rumah agamnya. Beliau juga terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah.

Pada tahun 1995, pihak berkuasa menutup syarikat miliknya kerana didapati melakukan pengubahan wang secara haram.

Jordan Belfort ditahan di dalam penjara selama empat tahun dan dikenakan denda sebanyak AS$110.4 juta ke atas jenayah penipuan yang pernah dilakukannya.

3. Johnny Unitas

Jutawan Yang Muflis

Beliau merupakan salah seorang pemain bola sepak Amerika Syarikat yang paling mahal dibayar pada tahun 1970, sebanyak AS$1.3 juta oleh National Football League (NFL).

Beliau melaburkan wangnya untuk memulakan perniagaan restoran, perniagaan hartanah dan meminjam jutaan dolar daripada City of Baltimore untuk membeli syarikat pengeluar papan litar.

Malangya, setiap wang yang dilaburkan untuk bisnes barunya tidak berjaya dan disahkan muflis pada tahun 1991.

Beliau hidup susah dan memiliki hutang keliling pinggang sehinggalah kematian menjemputnya.

4. Sean Quinn

Jutawan Yang Muflis

Pada tahun 1973, Sean Quinn menubuhkan syarikat QUINN yang bermula sebagai syarikat kuari dan akhirnya membesar menjadi sebuah syarikat binaan yang terbesar.

Pada tahun 2008, beliau menjadi salah seorang jutawan di Ireland yang memegang aset sebanyak AS$6 bilion.

Beliau melaburkan duit ke dalam sebuah bank terbesar, Anglo Irish Bank dan memegang saham sebanyak 25 peratus.

Malangnya, Irish Bank muflis pada tahun 2008 kerana masalah kewangan, sekali gus mengakibatkan Sean Quinn dibebani hutang yang banyak dan diisytihar muflis pada tahun 2012.

5. Marion Jones

Jutawan Yang Muflis

Pada tahun 2000 pada Sukan Olimpik Sydney, pelari pecut Marion Jones berjaya meraih tiga butir pingat emas dan dua pingat gangsa sekali gus menjadikan beliau ikon sukan di Amerika Syarikat.

Kejayaan beliau berjaya menarik perhatian syarikat jenama terkenal seperti Gatorade dan Nike melantiknya sebagai duta jenama tersebut dengan tawaran bayaran jutaan dolar.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2007, selepas disiasat, beliau akhirnya mengaku mengambil steroid untuk meningkatkan prestasinya sebagai pelarik trek.

Tawaran iklan dan tajaan serta pingat yang telah dimenanginya ditarik balik dan diarah untuk membayar ribuan dolar untuk denda ke atasnya.

Selepas enam bulan ditahan di penjara di atas pertuduhan dadah terlarang yang diambilnya, Marion Jines tidak lagi aktif dalam acara sukan trek dan tidak mempunyai sumber pendapatan

Akhirnya, beliau disahkan muflis dan hanya mempunyai wang AS$2,000 sahaja.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Tuesday, July 09, 2019

3 Patung Berhantu Yang Benar-benar Wujud

3 Patung Berhantu Yang Benar-benar Wujud

Ramai kanak-kanak menjadikan anak patung sebagai teman dan rakan baik ketika mengharungi kehidupan yang penuh keriangan namun, terdapat anak patung yang mempunyai rupa bentuk yang buruk dan sangat menakutkan.

Malah, ada di antara anak patung ini seolah-olah mengalami sumpahan dengan kisah menyeramkan, walaupun bagi orang dewasa. Buktinya? Ramai yang terkucil ketika menonton filem Annabelle.

Berikut adalah 3 anak patung yang diyakini benar-benar berhantu di dunia.

1. Annabelle

Annabelle Doll

Seperti yang anda sudah jangkakan, anak patung Annabelle memang benar-benar telah wujud sebelum penghasilan filem Annabelle, yang dikatakan akan berubah posisi dan tempat, ketika pemiliknya seorang pelajar kejururawatan bernama Donna, berada di luar rumah.

Menurut Donna, Annabelle juga pernah berubah tempat hingga ke bilik yang lain dan pernah menerima mesej yang ditulis dengan pensel di atas kertas, seolah-olah ia mesej dari Annabelle.

Pada kertas itu tertulis, "Tolong kami".

Donna memberitahu bahawa beliau pernah terlihat titisan darah pada dada dan di belakang kepala Annabelle.

2. Joliet

Joliet Doll

Anak patung mengerikan yang mempunyai kening nipis dan halus ini dikatakan diserahkan secara turun temurun daripada seorang ibu kepada anak perempuan untuk beberapa generasi.

Dipercayai kini miliki seorang wanita bernama Anna, anak patung Joliet ini dikatakan menyumpah setiap anak perempuan untuk melahirkan dua anak, seorang anak perempuan yang akan menjadi pewaris anak patung ini dan seorang lagi anak lelaki yang dikatakan akan mati 3 hari selepas dilahirkan.

Namun, kematian bayi lelaki itu tidaklah sia-sia kerana didakwa rohnya akan masuk dan tinggal di dalam badan Joliet, serta akan menangis pada waktu malam.

3. Robert

Robert Doll

Dahulunya dimiliki oleh Robert Eugene Otto, seorang pelukis, anak patung yang diberi nama Robert ini dikatakan diberikan kepadanya pada tahun 1906 oleh satu keluarga hamba.

Keluarga hamba itu dikatakan mahir dalam ilmu hitam dan mahu menghancurkan keluarga Robert Eugene.

Menurut sumber, ibu bapanya pernah mendengar Robert Eugene berborak dengan anak patung tersebut.

Ketika tiada sesiapa di rumah, patung ini dikatakan berpindah bilik dan kejadian itu disaksikan oleh jiran mereka melalui tingkap.

Selepas kematian Robert Eugene, keluarganya berpindah dan rumah tersebut dihuni oleh keluarga baru yang mempunyai seorang anak perempuan.

Kanak-kanak perempuan tersebut memberitahu terlihat anak patung itu di dalam biliknya pada waktu malam dan cuba untuk membunuhnya.

Robert sering menjadi perbandingan kepada Annabelle, anak patung yang dirasuk.

Kini, anak patung Robert berada di Muzium Fort East Martello, Florida, Amerika Syarikat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi