Friday, July 12, 2019

Bukan Mudah Untuk Bersabar, Jauh Lebih Sukar Mempertahankan Kesabaran


Perkataan sabar sering diungkap dalam pelbagai situasi kurang menyenangkan menimpa seseorang dan menutur sabar itu mudah, tetapi tidak semudah itu ia mampu melunturkan perasaan gundah dan negatif seseorang pada situasi yang dihadapinya terutama kepada yang masih buntu penyelesaian.

Bukan mudah bersabar

Imam al-Ghazali dalam kitab al-Arba'in fi Usul al-Din menyatakan, "Bermula hakikat sabar itu keteguhan yang membangkitkan agama ketika melawan keinginan hawa nafsu."

Sabar adalah menahan diri daripada marah kepada perkara yang tidak disukai dan menahan lidah daripada mengadu kepada selain Allah.

Sabar Sebahagian Dari Iman

Sabar mudah disebut di bibir tanpa menghadirkan rasa simpati yang tinggi dalam hati namun tanpa disedari, sabar sebenarnya suatu sifat yang menuntut kepada mujahadah dan ketahanan pada aras tinggi.

Bukan mudah untuk bersabar dan jauh lebih sukar untuk mempertahankan kesabaran.

Jika dapat melepasi tahap sabar, maka sabar itu mampu menjadi penawar paling mujarab dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi.

Ketika berjaya melepasi cabaran sabar untuk bersabar, ia akan melahirkan kepuasan kepada diri, di samping mampu menjadi inspirasi kepada yang lain bahawa tiada sesuatu perkara yang mustahil untuk ditempuhi.

Sabar sangat hampir dengan keimanan seperti firman Allah yang bermaksud, "Dan orang yang bersabar dalam musibah, penderitaan dan peperangan, mereka itulah orang yang benar imannya dan mereka itulah orang yang bertakwa." (Surah Al-Baqarah, ayat 177)

Sesungguhnya, sabar itu akan membawa diri mendekati Allah SWT namun tidak dinafikan, majoriti manusia mampu bersabar pada peringkat awal berlaku sesuatu musibah.

Ada juga golongan yang tidak sabar pada permulaan, tetapi selepas diingat-ingatkan berkenaan sabar akhirnya individu itu menzahirkan perasaan sabarnya.

Namun, ada segelintir yang bersabar dari permulaan, tetapi gagal untuk mengekalkan sabar hingga ke akhirnya.

Sabar terbahagi kepada beberapa perkara:

Pertama adalah sabar dalam menjalankan perintah dan ketaatan kepada Allah SWT seperti firman-Nya mafhumnya, "Dan perintahkanlah kepada keluargamu untuk mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya, kami tidak meminta rezeki kepadamu, kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan akibat yang baik itu adalah bagi orang yang takwa." (Surah Toha, ayat 132)

Menahan diri agar tetap istiqamah dalam menjalankan perintah Allah SWT adalah sebahagian daripada suruhan Allah SWT.

Belajar untuk kekal bersabar kerana Allah telah menjanjikan syurga bagi hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya dengan baik sesuai syariat yang telah Allah SWT turunkan.

Ibadah seperti solat, zakat, puasa, dakwah dan lain-lain perlu dilaksanakan dengan sabar jika berkeinginan untuk mengecapi kejayaan seperti yang telah termaktub dalam al-Quran maksudnya:

"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang yang khusyuk." (Surah Al-Baqarah, ayat 45)

Kedua, perlu sabar kepada perkara yang dilarang oleh Allah SWT kerana bukan mudah untuk bersabar dalam meninggalkan kemaksiatan.

Sabda Nabi SAW bermaksud, "Sesungguhnya syurga itu dikelilingi oleh perkara-perkara yang tidak disukai, manakala neraka pula dikelilingi oleh perkara-perkara yang memuaskan syahwat." (Riwayat Imam al-Tirmizi)

Sabar dalam meninggalkan kemaksiatan kebiasaannya berdepan dengan dugaan dan cabaran yang besar.

Sering kali mereka yang cuba berubah kepada kebaikan akan menerima kata-kata sinis, cemuhan dan fitnah yang boleh menggoyahkan kesabaran untuk kekal dalam kebaikan dan perubahan dilakukan.

Sesungguhnya, semua itu adalah godaan dan mainan syaitan untuk mematahkan semangat untuk berjuang dalam meninggalkan kemaksiatan.

Sebagai umat Islam, haruslah bersabar pada setiap larangan yang digariskan oleh Allah SWT dengan meyakini bahawa semua larangan itu ada hikmahnya yang tersembunyi.

Iman Yang Tinggi

Menerusi keimanan yang tinggi kepada Allah maka akan lahir sifat sabar yang akan mengawal diri daripada berbuat atau mengulangi dosa.

Akhir sekali adalah bersabar terhadap perkara yang telah ditakdirkan oleh Allah SWT, contohnya, jika ditentukan lahir dalam keadaan fizikal yang berbeza daripada yang sepatutnya, maka bersabarlah.

Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah SWT berfirman: jika hambaku diuji dengan kedua-dua matanya dan dia bersabar, maka Aku akan mengganti kedua matanya dengan syurga." (HR Bukhari)

Allah SWT juga berfirman, "Sesungguhnya harta benda dan anak kamu adalah ujian dan pada Allah juga pahala yang besar." (Surah al-Taghabun, ayat 15)

Harta benda dan anak-pinak juga adalah ujian kerana jika tidak hadir sabar, maka akan lahir sifat bakhil terhadap harta dimiliki.

Ujian anak pula datang saat mereka jauh daripada syariat Islam, yang akan mencabar kesabaran untuk mengatur dan membentuk keluarga dan anak untuk kembali kepada-Nya.

Sesungguhnya Allah berserta dengan orang yang sabar, bahawa orang yang bersabar akan mendapat kegembiraan, petunjuk, keberkatan dan rahmat daripadaNya.

Bersabarlah, janji dan jaminan Allah SWT kepada orang yang bersabar adalah bukti kebaikan yang tidak ada tolok-banding dan tidak akan dipersiakan.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon