Tuesday, May 14, 2019

5 Kartel Dedak Dalam PAS, Dakwaan Terima Duit Dari Parti Lain

5 Kartel Dedak Dalam PAS, Dakwaan Terima Duit Dari Parti Lain

Isu "kartel dedak" mula menjadi panas selepas Zaharudin memuat naik siri hantaran di media sosial menceritakan mengenai isu melibatkan beberapa pemimpin kanan PAS, yang mengaitkan isu penerimaan wang daripada Umno atau orang Umno dengan beberapa tokoh yang tidak dinamakan secara jelas.

5 Kartel Dedak PAS

Menantu Hadi Awang, Zaharuddin Muhammad mendedahkan terdapat lima ahli dalam Pas yang dikategorikannya sebagai “kartel dedak”.

Mereka yang disenaraikannya itu ialah:-
  1. Dr. Hussam II.
  2. Mr. NT.
  3. Mr. KT.
  4. Mr. KH.
  5. “Semua dah tahu.

Zaharuddin seterusnya menambah, “Yang nombor 5, sahabat yang bagus. Cuma terlalu ikut kawan-kawan dan jadi ‘front liner’ (barisan hadapan) bela kawan. Yang dia tahu tak banyak pun.

“Ramai-ramai ni, (individu) nombor 1 tu saja saya fokus. Sebab yang dia buat ‘Mr2’ (individu nombor 2) sampai ‘Mr5’ (individu nombor 5) tak tahu pun.

“Dia maha licik mengalahkan Hussam. Sapu kiri kanan.

“Dengan Azmin (Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali) pun rapat. Pernah cuba mendedak dengan Azmin tapi tak tahu dapat ke tidak,” kata Zaharuddin lagi melalui catatan dalam Facebooknya.

Alamak? Yang semua ingin tahu, siapa 5 “kartel dedak” yang dimaksudkan Zaharuddin itu?

Sediakah mereka tampil mengaku atau Zaharuddin mungkin akan mendedahkan maklumat lebih detail selepas ini?

Yang tak kurang menariknya juga ialah sejak bila “kartel dedak” ini wujud dalam Pas?

Hadi Awang Nafi Bagi Restu Dedah Siapa Kartel Dedak

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menegaskan beliau tidak memberi restu kepada menantunya membuat pendedahan mengenai "kartel dedak".

Bercakap kepada media di Ampang, Selangor, Abdul Hadi berkata beliau tidak pernah berbuat demikian dan kenyataan dibuat Zaharudin Muhammad di luar pengetahuannya.

“(Saya) restu itu, tak betul. Saya tak ada restu,” tegasnya.

Hadi juga berkata, pendedahan "kartel dedak" yang dikisahkan secara bersiri oleh menantunya itu boleh diibaratkan sebagai filem lama yang sengaja ditayangkan semula.

"Itu (isu didedahkan Zaharudin) filem lama yang sudah ditayang, ia sudah selesai.

"Kita anggap perkara itu dah selesai, ia melibatkan disiplin," ujar Abdul Hadi.

Langgar disiplin parti

Antara yang disebut secara jelas ialah dua anggota parlimen PAS iaitu Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Dr Khairuddin Aman Razali yang masing-masing mewakilli kawasan Bachok, Kelantan, dan Kuala Nerus, Terengganu.

Turut dilibatkan dalam dakwaan Zaharudin ialah Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

Zaharudin, yang mengaku menjadi "komander" untuk menyingkirkan kumpulan "jebon" sebelum ini - memberitahu pendedahannya mengenai kumpulan terbabit direstui Abdul Hadi.

Nik Abduh pula sebelum ini mendakwa Abdul Hadi merestui beliau agar tidak bercakap benar semasa ditanya mengenai kesahihan audio satu ucapan dalam majlis dihadirinya bersama Zaharudin beberapa tahun lalu.

Zaharuddin menerusi kenyataan di Facebook juga menjelaskan tindakannya mendedahkan gerakan "kartel dedah" itu bertujuan mengelak serangan parti lawan serta menjarakkan pimpinan PAS daripada isu wang Umno.

Sementara itu mengulas isu sama, Takiyuddin berkata Jawatankuasa Disiplin PAS sudah menerima aduan mengenai tindakan yang dipercayai melanggar peraturan parti.

"Kita dimaklumkan, menerima aduan berhubung perlanggaran tatatertib parti.

"Jawatankuasa Disiplin PAS akan membuat keputusan. Aduan itu akan disiasat dan dibuat pendakwaan," katanya.

Takiyuddin yang juga anggota parlimen Kota Bharu menambah, isu tersebut tidak wajar diungkit semula.

Katanya, ada kemungkinan Zaharudin akan dikenakan tindakan disiplin jika jawatankuasa yang menyiasat aduan tersebut berpendapat ia adalah tidak perlu.

Sementara itu Nik Abduh ketika ditemui sebelum bermulanya sidang media dan ditanya isu "kartel dedak" itu enggan mengulas lanjut.

Beliau sebaliknya mengarahkan pemberita bertanya kepada Abdul Hadi secara terus.

"Jangan tanya saya, pergi tanya di dalam (bilik sidang media) di sana ada semua jawapan," katanya ringkas.

MB Terengganu Bukan Ahli Kartel

Menantu presiden PAS Zaharudin Muhammad tampil menafikan dua nama yang dikaitkan dalam senarai ahli 'kartel dedak' yang didedahkannya sebelum ini.

Melalui hantaran Facebook, Zaharudin menafikan “Dr Hussam II” dan “Mr. KT” dalam senarai yang didedahkannya merujuk kepada Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan adik iparnya yang juga Ketua Pemuda PAS, Khalil Abdul Hadi.

Zaharudin juga menuduh Amanah bertanggungjawab dalam mengaitkan nama-nama yang ada dalam senarai itu.

“Ini palsu. Tak sama dengan apa yang saya maksudkan.

"Takkan menteri besar Terengganu terlibat? Takkan adik ipar ana (saya) sendiri terlibat. Jangan percaya (dakwaan) Amanah,” tulisnya.

Pada 10 Mei 2019 lalu, Zaharudin mendedahkan wujudnya "kartel dedak", dipercayai merujuk kepada kumpulan dalam PAS yang didakwa menerima dana daripada pihak tertentu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Monday, May 13, 2019

Mengenang Pembunuhan Dan Huru-hara 13 Mei 1969

Mengenang Pembunuhan Dan Huru-hara 13 Mei 1969

Rencana berikut mengisahkan insiden berdarah, rusuhan 13 Mei 1969. Episod gelap ini terlalu memedihkan sehingga dianggap tabu dan rahsia. Kami singkap semula kisah ini untuk bacaan generasi rakyat Malaysia yang lahir selepas rusuhan yang berlaku 50 tahun lalu. Semoga ia menjadi pengajaran untuk hari ini dan untuk masa depan kita bersama.

Rusuhan 13 Mei

Pada tahun 1969, Malaysia bergelut dengan ancaman komunis di samping perhubungan antara kaum yang lemah. Penjajahan Jepun dan pemerintahan British memupuk ketidakpercayaan antara kaum, dan beberapa pertempuran kecil antara kaum berlaku.

Menjelang hari mengundi pada 10 Mei, dua petugas parti politik dibunuh di Pulau Pinang dan ibu kota Kuala Lumpur. Salah seorangnya jentera Umno, manakala seorang lagi dari Parti Buruh yang dikaitkan dengan komunis.

Sehari sebelum hari mengundi, ribuan orang berarak di KL untuk mengingati pekerja Parti Buruh tersebut. Keadaan di ibu kota tegang.

Keputusan awal menjunjukkan parti pembangkang DAP dan Gerakan yang didominasi bangsa Cina, menang banyak kerusi. Di Selangor - negeri terletaknya Kuala Lumpur - Dewan Undangan Negeri tergantung.

Pada 11 dan 12 Mei, penyokong parti pembangkang berarak di KL sambil menghina kaum Melayu. Tercabar dengan tindakan itu, Pemuda Umno bercadang berarak pada 13 Mei selepas waktu Maghrib.

Sekumpulan pemuda Melayu sudah berkumpul sejak dua jam. 5,000 berkumpul, tetapi keadaan terkawal. Ramai membawa kayu dan kain rentang. Segelintir membawa parang dan keris.

PEMBUNUHAN DAN HARU-BIRU DI KAMPUNG BARU

Ini adalah cerita seorang saksi mata tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969. Pada masa itu, dia merupakan pelajar tahun pertama di Universiti Malaysia (UM). Dia terperangkap sehingga 16 Mei di Kampung Baru, yang merupakan salah satu ‘kawasan panas’ rusuhan tersebut.

Kini berusia 70 tahun, dia yang berbangsa Melayu itu sudi ditemu bual dengan syarat identitinya tidak didedahkan. Akuinya, kejadian 50 tahun lalu itu masih lagi meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

“Sampai sekarang pun, bila saya ke kawasan masjid (Masjid Jamek Kampung Baru), saya terimbas balik segala apa yang pernah saya saksikan,” katanya.

Dengan mata yang bergenang, dia mengimbas semula kejadian di depan matanya apabila satu kereta yang dinaiki keluarga Cina dibakar oleh sekumpulan perusuh Melayu.

“Saya tak tahu apa yang terjadi, saya macam kena rasuk. Yang saya ingat, saya jerit, ‘Lepaskan mereka! Lepaskan mereka! Bunuh aku! Bunuh aku!’ Saya ingat saya sebut perkataan itu. Saya koyak baju dan mengamuk.

“Saya pun tak tahu kenapa saya bertindak macam itu, tapi saya tak boleh terima. Bila saya lihat dua budak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan, menangis dalam kereta dan kedua ibu bapanya mengggigil ketakutan, saya tak boleh terima. Apa dosa mereka? Sebab mereka orang Cina? Kenapa mereka yang dijadikan mangsa?

Ini ialah cerita saksi tersebut, seperti yang diceritakan kepada Aidila Razak dan Tham Seen Hau dari malaysiakini.

Pendaftaran kampus UM bermula seminggu sebelum 13 Mei. Saya dilahirkan pada 1949, jadi semasa saya mendaftar di kampus pada 1969 itu, saya baru 20 tahun.

Saya belum cukup umur untuk mengundi, dan saya tak pernah kisah pun. Saya lebih kisah tentang macam mana saya hendak bergerak di kampus tanpa motosikal. UM terletak jauh daripada tempat saya tinggal, kena naik dua bas. Jadi, saya kena fikir cara macam mana nak bergerak. Nak pinjam motor atau cari duit untuk beli sebiji.

Ada juga kawan-kawan yang datang dari kampung yang belum ada bilik sewa, jadi saya banyak habiskan masa ketika pilihan raya itu untuk membantu mereka cari bilik atau rumah sewa.

Saya pun tiada duit. Saya tak dapat biasiswa. Jadi sambil itu, saya juga mencari duit untuk saya bayar yuran pendaftaran semester pertama, di samping itu membantu kawan-kawan yang sekapal dengan saya. Itu sajalah yang kami bimbangkan ketika itu.

Kami langsung tak berminat tentang politik. Kami tak tahu apa terjadi masa itu. Kami cuma hendak mulakan kehidupan kami sebagai pelajar, itu saja. Itu semua sebelum insiden 13 Mei tercetus.

Perhimpunan di rumah Datuk Harun

Pada hari rusuhan tersebut, saya ada di kampus. Seorang senior beritahu suruh dapatkan beberapa orang dan pergi ke rumah Datuk Harun. Saya tanya, “Kenapa? Ada bagi duitkah? Atau makanan?”

Dia jawab, ada perjumpaan. Pada masa itu, biasalah pelajar dipanggil untuk meramaikan mana-mana majlis. Mungkin dapat nasi bungkus, atau RM5 - itu saja pun dah cukup buat kami gembira.

Tapi yang kali itu agak pelik, sebab tiada pengumuman apa-apa tentangnya. Senior saya datang, berbisik saja kepada saya. Saya tak tanya lebih-lebih, sebab hormat senior.

Kami tak ada kenderaan, jadi senior itu aturkan dengan beberapa orang yang ada motosikal. Jadi kami pergi naik lima motosikal. Masa itu antara pukul 5 ke 6 petang. Pekerja pejabat pun dah balik kerja.

Sesetengah kawan saya yang ikut itu, mereka orang kampung. Jadi mereka ingatkan dapatlah mereka keluar tengok bandar sekali. Macam itulah naifnya kami masa itu.

Sebaik sampai, saya perasan, keadaan tak macam perjumpaan biasa pun. Tak ada meja pendaftaran, tak ada jalan nak masuk ke dalam, tak ada kain rentang. Cuma ada orang yang berlegar-legar saja.

“OK-lah. Mungkin ada makanan di dalam,” fikir saya sambil berjalan masuk menuju ke perkarangan (rumah).

Tapi di dalam, lebih aneh lagi. Kebanyakan orang nampak macam bukan orang Kuala Lumpur. Mereka bercakap sesama sendiri dalam bahasa Jawa. Mereka nampak keras, tak macam kerani kerajaan yang selalu hadir di kebanyakan perjumpaan.

Senior yang jemput kami itu hilang dalam orang ramai, jadi kami pun cuba bersembang dengan orang-orang di situ. Mereka kata, “Eh, takkan kau tak tahu?”

Saya mula syak ada benda tak kena apabila saya lihat mereka agihkan lilit kepala, kain merah yang ditulis Arab La ila haillahllah. Ini dah macam orang-orang silat.

Jadi, beberapa orang kawan saya ambil keputusan untuk balik. Mereka tak gemar apa yang mereka lihat. Saya pun kata, “OK, baliklah dulu.” Tinggal kami bertiga saja.

Saya ambil lilit kepala itu. Semua orang pun ambil. Tapi apabila mereka suruh pakai lilit kepala itu, saya cakap, “Saya tak mahu pakai lilit merah ini, macam nak pergi perang saja.” Mereka balas, “Kau sepatutnya dah tahu. Memang itu yang kau patut buat pun.”

Budak muda penghantar kopi

Saya dah mula kurang senang. Kemudian saya ada nampak orang yang saya kenal. Saya tanya dia, dan dia pun kata, “Kita nak berarak”. Itulah kali pertama saya diberitahu apa yang nak jadi. Nampaknya, ada perarakan balas terhadap perarakan oleh Gerakan dan DAP sehari sebelum itu bagi meraikan kejayaan mereka.

Saya tanya dia lagi, apa rancangan sebenarnya. Dia jawab, kami semua sepatutnya berjumpa di jam besar tepi Masjid Jamek dan berdemonstrasi di seluruh tempat. Saya tanya lagi berapa orang akan terlibat, dan jawabnya, “Ramai, kita kat sini saja sudah 500”.

Saya dapat tahu ada orang datang dari Klang, Negeri Sembilan, Pudu dan Setapak untuk perarakan ini. Saya tanya dia, saya patut balik atau terus di situ? Dia jawab, “Kau balik, aku tetak”.

Pada masa itulah saya sedar, dia ada parang. Selepas itu, saya turut perasan ada senjata yang disembunyikan di pagar rumah Harun. Orang di situ makin tak tentu arah. Saya dengar ada wirid dan doa dibaca dari dalam rumah.

Saya sangat takut dan nak balik rumah, tapi tak boleh sebab mereka kunci pagar. Tak ada sesiapa boleh masuk, tak ada sesiapa boleh keluar. Bermula dari situlah, perkara paling buruk terjadi.

Ada orang tempah kopi dari kedai kopi di Jalan Gurney yang berdekatan. Jadi budak Cina ini datang hantar kopi dengan dulang, dan mereka bunuh dia. Saya tak nampak pembunuhan itu, tapi saya nampak dia dah mati.

Saya tak tahu tentang ini pada mulanya, tapi rupa-rupanya pada masa itu ada orang berbisik sesama sendiri tentang orang Melayu dibunuh orang Cina di Setapak.

Selepas itu, mereka tahan sebuah van dan bunuh orang di dalamnya. Saya mula berundur ke belakang, tapi saya nampak di belakang pun ada orang jaga.

Rasa saya, kalau sekumpulan orang berjalan bersama-sama, itu kita boleh panggil berarak. Tapi bila dibukakan pagar, mereka bukan berarak, mereka meluru. Mereka mengamuk. Rupa-rupanya, mereka terdengar cerita ada orang Melayu kena bunuh, jadi mereka meluru untuk pertahankan orang Melayu. Huru-hara jadinya.

'Lindungi kawasan ini'

Saya tak tahu nak buat apa. Kawan-kawan saya berjaya ambil Vespa mereka dan kami pergi ke masjid. Ada orang di situ, nampak macam ketua-ketua. Benda pertama dia tanya saya, sama ada saya ada lilit kepala atau tidak. Lilit kepala itu ada dalam poket saya, dia suruh saya pakai. Kemudian, dia suruh saya minum sejenis air yang sudah dijampi. Air itu sepatutnya buat saya jadi berani.

Selepas 13 Mei, ada banyak cakap-cakap tentang pendekar silat yang boleh terbang, keris dan parang sakti, tapi saya tak pernah nampak pun. Saya cuma tahu air yang saya minum itu diambil daripada kolah masjid, tempat orang berwuduk. Ramai orang cirit-birit malam itu (lepas minum air).

Orang-orang yang beri arahan di dalam masjid adalah gangster Kampung Baru. Saya tak nampak mereka di perkarangan rumah Datuk Harun sebelum itu, tapi sekarang mereka bentuk kami menjadi kumpulan pertahankan diri.

Mereka bahagi-bahagikan Kampung Baru kepada beberapa kawasan dan berkata, “Kau jaga kawasan ini”. Mereka tak kata, “Bunuh orang Cina”. Tak. Mereka suruh kami lindungi kawasan masing-masing, jangan biar sesiapa masuk. Siapa yang nak keluar boleh keluar, tapi siapa yang keluar, matilah.

Mereka bimbang sebab orang Cina sedang bergerak masuk dari Jalan Kamunting. Kampung Baru ada bersebelahan beberapa kampung Cina, jadi mereka yang tinggal berdekatan dengan kawasan Cina, berpindah ke masjid untuk mendapatkan perlindungan. Kelab Sultan Sulaiman dikunci kerana ia sebelah Kampung Limau, iaitu kawasan Cina.

Ada satu rumah yang cantik di bahu Jalan Campbell (kini Jalan Dang Wangi) dan Jalan Ampang, rumah itu dibakar oleh perusuh Cina. Orang Cina di sebelah sini, orang Melayu di sebelah sana.

Senjata api dan parang berkilat macam pedang

Malam itu, selepas solat Isyak, saya ditugaskan untuk berjaga di Jalan Raja Alang (jalan menuju ke masjid) bersama 20 yang lain.

Pada masa itu, saya lihat ada sekumpulan orang Cina menunggang motosikal menuju ke arah kami. Lampu masih menyala, jadi kami dapat nampak mereka bersenjata. Mereka ada pistol, senapang patah dua laras (pada masa itu, banyak orang Cina memiliki senjata memburu). Sesetengah mereka bawa parang yang berkilat macam pedang.

Saya memang kecut perut. Tiada siapa yang boleh menghalang mereka. Kami ialah baris pertahanan paling depan, tapi apa yang kami ada? Selain batang kayu, tak ada apa-apa lagi. Saya tak ada parang, tapi saya kena bertahan. Sesetengah daripada kami asah buluh runcing. Tapi setakat itu sajalah.

Mereka datang dari arah Jalan Chow Kit menuju ke masjid. Kalau mereka melepasi kami, mereka akan dapat ambil alih masjid. Terus-terang, terkencing kami dibuatnya. Kami ini muda lagi, mereka itu gangster-gangster lama. Menggeletar kami.

Kemudian, mereka membelok ke satu jalan yang menuju ke tokong Cina. Saya tak tahulah mereka belok itu kerana mereka nampak kami, atau memang awal-awal lagi mereka nak pergi ke tokong itu. Saya memang takut betul. Cuma tak menangis saja lagi.

Malam itu agak kucar-kacir. Saya ikut beberapa orang dan akhirnya tiba untuk berjaga di kawasan berdekatan sungai, setentang dengan Sekolah Lai Meng (ketika itu). Sekolah Lai Meng terletak di Jalan Ampang - kawasan Cina- sementara kami berada di seberang, di Kampung Baru.

Pada masa ini, saya sedar ada penembak hendap. Pada masa itu, orang tak tahu macam mana rupa penembak hendap, bukan macam sekarang, kamu boleh lihat dalam filem.

Kami cuma nampak orang kena tembak. Kami terkejut. Ada seorang lelaki, saya rasa dia pernah berkhidmat dalam tentera, dia kata, “Eh, ada penembak”. Dia suruh kami menyorok, jangan duduk di kawasan terbuka.

Ada beberapa orang cuba nak menyeberangi sungai untuk memeriksa di mana penembak itu bersembunyi, tapi tak dapat. Mereka ditembak. Kami jangka penembak itu ada di Sekolah Lai Meng.

Orang Cina sedang bergerak masuk dari Setapak, Jalan Campbell, Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman). Apakah ada rancangan untuk mereka takluk Kampung Baru? Saya tak tahu.

Tapi gangster itu nampaknya mungkin tahu kerana mereka dah aturkan orang mereka untuk jaga kawasan-kawasan itu. Pada masa itu, ada kumpulan gangster yang berbilang bangsa di KL, jadi mungkin mereka dah bagi amaran sesama mereka.

Jip penuh dengan raifal

Saya di Kampung Baru selama tiga hari - 13, 14 dan 15 Mei. Banyak benda terjadi dalam masa tersebut.

Pada 13 haribulan, seorang pegawai tentera bawa masuk jip yang penuh dengan raifal di Kampung Baru. Saya ingat lagi, raifal automatik, saya pun dapat satu. Berat senjata itu. Tapi kebanyakan kami tak tahu macam mana nak guna senjata api itu, dan ramai naiki teruja hingga mereka menembak tak tentu hala sampai peluru habis cepat.

Pegawai tentera itu tak beri kami peluru, hanya apa yang ada dalam raifal itu saja. Jadi, mungkin dia bertindak ikut kepala sendiri (bukan arahan pihak atasan). Saya tak rasa perkara itu dirancang.

Saya juga lihat pegawai-pegawai keselamatan membawa keluar orang-orang kaya Kampung Baru menggunakan trak. Mereka nampak gayanya dibawa ke depot polis atau kawasan Kementerian Pertahanan di Jalan Gurney. Bertahun-tahun kemudian, saya diberitahu oleh mereka yang datang daripada keluarga yang ada ‘hubungan’ ini, mereka memang dibawa ke situ untuk dilindungi.

Rumah dan kedai dipecah masuk sejak 13 Mei lagi. Keluarga kakak ipar saya tinggal di Kampung Baru, dan saya nampak mereka di masjid. Rumah mereka dekat dengan kawasan Cina, jadi mereka lari.

Rumah mereka dipecah masuk, tapi saya rasa oleh orang Melayu. Orang Melayu pun bukannya semua baik. Malah, sesetengah rumah yang dipecah masuk itu memang jauh ke dalam Kampung Baru, jadi mustahil orang Cina yang pecah masuk. Inilah juga sebabnya kenapa kumpulan pertahanan ditubuhkan.

Kampung Melayu dikelilingi oleh kedai Cina. Apabila rusuhan itu tercetus, sesetengah orang pecah masuk ke dalam kedai Cina ini untuk musnahkan buku hutang. Tapi mereka tak tahu, tauke Cina itu bawa sekali buku hutang semasa melarikan diri.

Saya pun pecah masuk beberapa kedai. Tak ada makanan untuk keluarga yang berlindung di masjid, jadi kami pergi cari makanan di tengah-tengah malam. Saya cuba cari rokok nak curi, tapi tak ada. Dah ada orang pecah masuk lagi awal daripada kami. Tapi kawan saya jumpa seguni beras, dia bawa ke masjid. Tapi bila dibuka, garam, bukannya beras.

Banyak juga perkara kelakar sebegini terjadi di tengah-tengah pembunuhan beramai-ramai tersebut.

Seorang lagi kawan saya, kerdil saja orangnya - cukup-cukup empat kaki tinggi - dia cuba curi angsa dari rumah Cina yang berdekatan. Keluarga Cina itu bela ayam dan angsa. Angsa itu sama tinggi dengan dia, tapi dia pegang leher angsa itu, angkat dan lari.

'Bunuh aku! Bunuh aku!'

Hari kedua, mayat berapungan di Sungai Klang. Mayat Melayu, Cina dan India. Orang-orang tua di masjid kumpulkan orang untuk bawa keluar mayat Melayu, supaya dikebumikan. Tapi akhirnya, polis ambil semua mayat itu dibawa ke rumah mayat.

Saya saksikan sendiri bagaimana mereka bawa keluar mayat dari sungai berdekatan Kampung Cendana. Saya lihat mereka bawa keluar enam ke lapan jasad. Mereka periksa muka; kalau jasad lelaki mereka periksa bersunat ke tidak. Jika tak nampak macam Melayu, mereka tinggalkan dalam sungai.

Pada 15 haribulan, saya bersama seorang lelaki diarahkan untuk mengeluarkan dua mayat dari tempat pembuangan sampah. Dua perempuan Melayu: penari kabaret yang bekerja di Great Eastern Cabaret di Jalan Campbell. Kami serahkan jasad itu kepada pihak polis.

Ada satu hal yang saya tak pernah beritahu kepada sesiapa pun sebelum ini, walaupun kepada anak saya sendiri. Pada hari itu, saya nyaris dibunuh.

Ada satu keluarga Cina ini. Tak tahulah entah apa sebabnya mereka memandu dekat dengan persimpangan Jalan Campbell dengan Jalan Ampang. Mereka perlu lalui kawasan rusuhan orang Melayu.

Masih jelas wajah mereka - seorang ayah, ibu dan dua anak kecil: seorang lelaki dan seorang perempuan. Mereka dalam sebuah kereta yang kecil, Fiat 600 dengan nombor plat Perak. Perusuh mengerumuni kereta itu dan cuba menterbalikkannya.

Saya tak tahu apa yang terjadi pada saya, saya macam kena rasuk. Yang saya ingat, saya jerit: “Lepaskan mereka! Lepaskan mereka! Bunuh aku! Bunuh aku!” Saya ingat saya sebut perkataan itu. Saya koyak baju dan mengamuk.

Saya pun tak tahu kenapa saya bertindak macam itu, tapi saya tak boleh terima. Bila saya lihat dua budak kecil, seorang lelaki dan seorang perempuan, menangis dalam kereta dan kedua ibu-bapanya menggigil ketakutan, saya tak boleh terima. Apa dosa mereka? Sebab mereka orang Cina? Kenapa mereka yang dijadikan mangsa?

Sekarang pun, bergenang mata ini bila teringat pasal kejadian itu. Sampai sekarang saya tak tahu kenapa saya bertindak macam itu. Macam ada sesuatu dalam diri ini. Saya pun tak faham.

Keluarga di dalam kereta itu berjaya meloloskan diri, tapi perusuh menjadikan saya pula sebagai sasaran. Pada ketika itulah gangster Kampung Baru datang menyelamatkan saya. Mereka hentikan perusuh-perusuh itu, dan berkata, “Dia buat tindakan yang betul. Kita pun patut hentikan ini semua.”

Saya rasa, pada masa itulah saya sedar keamanan sedang dalam proses perundingan. Gangster Melayu dan gangster Cina buat pertemuan, dan berbincang tentang rundingan damai. Perkara ini tidak direkod di mana-mana, tapi saya tak ada sebab untuk mencurigainya. Pada zaman itu, gangster-gangster sangat berkuasa. Mereka boleh bakar satu KL kalau mereka mahu.

Sebenarnya, banyak cerita tentang orang saling membantu antara satu sama lain.

Ada mandur Melayu yang bekerja di sebuah bengkel di Jalan Campbell. Semasa rusuhan tercetus, satu keluarga Cina selamatkan dia dan sorokkan dia di siling mereka. Kami bantu bawa dia keluar dari rumah tersebut beberapa hari selepas itu.

Seorang tukang baiki televisyen berbangsa Cina yang kami cukup kenal, menceritakan bagaimana dia sedang membaiki televisyen untuk satu keluarga Melayu di Kampung Datuk Keramat (ketika rusuhan tercetus). Keluarga itu tak mahu biar dia keluar untuk balik ke rumah. Mereka pakaikan dia dengan persalinan Melayu dan simpan dia dalam rumah sampai keadaan beransur selamat.

Orang Cina datang

Saya dapat balik ke rumah pada 16 Mei. Emak saya hampir pengsan apabila dia nampak saya. Saya antara begitu banyak orang yang hilang dalam beberapa hari itu. Dia ingatkan saya dah mati. Dalam beberapa hari selepas itu, dia buat semua benda supaya saya tak keluar rumah. Nasib dia tak gari tangan saya.

Selepas itu, banyak hari saya tak dapat tidur. Saya akan terjaga di tengah-tengah malam, berfikir “Orang Cina datang”.

Saya ambil masa setahun sebelum saya dapat jejakkan kaki semula ke Kampung Baru. Sampai sekarang pun, bila saya pergi ke kawasan masjid itu, saya terimbas balik segala apa yang pernah saya saksikan.

Universiti tutup seminggu disebabkan rusuhan tersebut. Apabila kami pulang semula, keadaan sudah berbeza. Tak ada orang yang nak bercakap tentang apa yang dah terjadi.

Di pasar, malah di Chow Kit sekalipun, anda banyak dengar, “Minta maaf encik, tumpang lalu, tak apa, tak apa.” Orang makin berhati-hati dan sopan.

Di kampus, Persatuan Bahasa Cina akan pergi kepada Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan Pelajar Islam sebelum mereka menganjurkan pesta tanglung. Mereka tanya orang Melayu dulu sebelum mereka minta kebenaran universiti.

Tapi diam-diam, semua orang bersiap-siaga. Mak saya beli banyak betul parang, setiap satu untuk anak-anak lelaki dia. Sesetengah orang akan sembunyikan parang dalam kereta mereka. Kawan saya, seorang Cina, keluarganya simpan lembing sepuluh kaki di rumah mereka. Semakin ramai ikut latihan seni mempertahankan diri, dan tangkal pelindung pun semakin laku. Suasana berubah, KL dah berubah.

Saya bersekolah di sekolah mubaligh Kristian dan kebanyakan kawan-kawan sekelas saya orang Cina. Kami dah kenal sejak tingkatan satu lagi. Banyak di kalangan kami ke universiti sama. Tapi selepas 13 Mei, keadaan jadi janggal. Kami masih bercakap, tapi kemesraan itu sudah tak ada.

Satu hari, saya berjumpa mereka dan kami berbincang tentang kejanggalan tersebut. Disebabkan kami sungguh-sungguh cuba mengatasi fasa itu, kami masih menjadi kawan baik sehingga ke hari ini.

Cerita kami ini adalah salah satu cerita rakyat Malaysia yang hidup dan membesar bersama, dan berjaya mengharungi tragedi tersebut bersama-sama.

Hari ini, darah saya mendidih bila dengar orang-orang muda mengugut untuk mengulangi rusuhan 13 Mei. Saya nak tanya mereka, “Kamu di mana masa 13 Mei 1969? Dalam perut mak atau masih pakai seluar pendek?”

Saya nak beritahu mereka, “Kamu belum pernah berdepan satu kumpulan gangster yang bawa parang berkilat, meluru ke arah kamu sedangkan kamu cuma ada sebatang kayu untuk mempertahankan diri. Kamu tak tahu macam mana rasanya.”

Saya ada di sana. Saya masih dapat hidu bau darahnya. Saya dah cuba untuk lupakan sepanjang 50 tahun ini.

Pengalaman itu terlalu pahit, sampai kita cuma mahu lupakan segalanya. Sakit hati ini apabila teringatkan seorang budak muda dibunuh, hanya kerana dia menghantar kopi. Dia tak tahu apa-apa. Bila teringat hal itu, saya tak dapat terima hakikat.

Orang macam kami tak mahu bercakap tentang hal ini, kami lebih rela berdiam diri dan berharap ia takkan terjadi lagi. Satu-satunya sebab saya bercakap tentangnya adalah kerana saya merasakan dah sampai masanya. Banyak saksi kejadian itu telah meninggal dunia. Saya mahu cerita saya ini menjadi pengajaran.

Harapan saya, kejadian itu jangan pernah dibiar terjadi lagi.

SATU KAMPUNG CINA DISERANG

Semasa insiden 13 Mei 1969 tercetus, Datuk Foong Yee merupakan seorang inspektor polis percubaan.

Lima puluh tahun berlalu, pengalamannya merentasi jalan-jalan di Kuala Lumpur yang porak-peranda, masih lagi segar dalam ingatannya.

Dalam catatan pengalamannya ini, dia menceritakan semula bagaimana dia menyelamatkan keluarganya, seluruh perkampungannya dan jiran Melayunya daripada dibunuh oleh ahli kongsi gelap Cina.

Malah, dia juga berselisih dengan maut, apabila secara tidak sengaja memecut keretanya meluru ke arah sekumpulan pegawai tentera.

Kata Foong, dia masih ingat muncung pistol dihalakan ke kepalanya.

“Jika dia tarik picu, saya tak akan ada lagi di sini menceritakan semua ini,” katanya.

Pada tahun 2000, Foong bersara sebagai timbalan ketua polis Kuala Lumpur.

Ini ceritanya, seperti yang diceritakan kepada Tham Seen Hau (malaysiakini).

Pada 13 Mei, saya di Kepong Baru, mengubah suai sebuah rumah yang baru dibeli oleh ayah saya. Saya di sana seharian dengan ayah saya, mak dan adik lelaki.

Lewat petang, jiran kami balik ke rumah mereka dan menceritakan bagaimana di bandar, ada masalah tercetus sehinggakan orang Cina dan Melayu saling berbunuhan.

Kami ada satu TV lama yang kami baru pasang. Kami buka TV itu dan ada berita yang menghebahkan tentang perintah berkurung sekitar Kuala Lumpur.

Perkara pertama yang terlintas di kepala ialah kami kena balik ke Kampung Limau, ikut Jalan Batu (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman). Keluarga kami tinggal di situ, dan adik-beradik saya yang lain masih ada di situ. Jadi kami terus masuk kereta saya yang agak kecil itu, dan terus bergerak pergi.

Di tengah perjalanan ada sekumpulan lelaki Cina memegang kayu besi menghalang kereta yang lalu. Di depan saya ada sebuah kereta yang dipandu seorang Melayu. Kumpulan Cina tersebut menghentak kereta itu dengan batang besi tapi tidak apa-apakan pemandu itu.

Bila tiba giliran saya, mereka nampak kami sekeluarga Cina. Mereka bertanya kami nak ke kemana dan bila diberitahu mereka, seorang daripada mereka menegah saya jangan ke sana kerana orang Cina di sana kena bunuh, rumah pun dibakar.

Dari jauh, saya boleh nampak kepulan asap naik ke langit. Tapi saya nekad untuk teruskan perjalanan.

Kebakaran dan huru-hara

Sepanjang perjalanan banyak kereta terbakar dan benda berselerakan di atas jalan sampaikan susah untuk memandu.

Saya sampai di satu sungai kerana tak berani teruskan perjalanan. Dulu di situ, ada Klinik Reddy yang beroperasi 24 jam dan sebuah kedai kopi.

Sebuah kenderaan peronda polis lalu di hadapan kedai kopi tersebut dan tidak semena-mena, sekumpulan lelaki Cina menghentikan kenderaan tersebut dan sodok dengan paip besi.

Pada masa itu, saya sedar undang-undang sudah tak bermakna lagi. Saya perlu buat keputusan sendiri.

Saya beritahu ibu bapa saya yang saya akan tinggalkan mereka di Klinik Reddy, dan saya akan ikhtiar bagaimana untuk mendapat berita tentang keadaan adik-beradik yang lain di rumah.

Ibu bapa saya melarang, mereka merayu sambil menangis supaya saya jangan pergi. Mereka kata, kalau dah ditakdirkan anak-anak mereka yang lain terkorban, biarlah sekurang-kurangnya kami berempat terus bersama. Tapi saya kata tak boleh begitu. Saya tetap mahu pergi, biarpun mereka merayu begitu.

Saya berhenti di Balai Polis Jalan Campbell (kini Ibu Pejabat Polis Dang Wangi) untuk mendapatkan maklumat, tapi tempat itu penuh dengan orang. Huru-hara.

Dari balai polis, boleh ikut jalan semak di belakang satu bengkel di situ, jalan itu boleh bawa saya tembus terus ke Kampung Limau. Tak jauh, dalam lebih kurang 2 km saja.

Semasa saya berjalan melalui semak itu, saya nampak sekumpulan orang meluru ke arah saya, mereka dah angkat parang. Saya fikir, habislah aku kali ini. Tapi mujur seorang dari mereka kenal saya. Mereka penduduk Kampung Limau. Kata mereka, kampung belum terbakar dan mereka cuba halang orang masuk ke kampung.

Macam medan perang

Perkara pertama yang saya lakukan sesudah sampai di Kampung Limau ialah ke rumah. Adik-beradik saya semua selamat.

Tidak jauh dari rumah kami adalah Sekolah Teck Meng, satu institusi swasta Cina. Penjaga di situ tak mahu buka pagar, jadi saya umpil pagar itu guna batang besi. Saya sedar, tindakan macam itu boleh undang masalah, tapi masa itu saya dah tak fikir semua itu.

Orang kampung saya semua masuk ke sekolah itu. Tak putus-putus orang masuk, sampai tempat itu pun sesak. Keadaan masa itu, macam kita lari daripada medan perang.

Sesetengah orang sempat bawa barang-barang peribadi mereka, yang kecil-kecil. Ada bayi, ada juga perempuan mengandung. Ada banyak bilik darjah, semuanya penuh dengan orang. Keadaan kekal begitu sampai pukul 12 malam, atau mungkin lebih lama dari itu.

Pada masa itu, saya pergi ke bumbung Sekolah Teck Meng. Saya pandang ke bawah ke arah Jalan Chow Kit dan Jalan Hale (kini Jalan Raja Alang). Saya lihat, semua benda sedang terbakar.

Saya mula menangis. Saya tanya diri sendiri, “Apa yang dah terjadi sebenarnya?”

“Kenapa?”

Pistol di kepala

Foong Yee polis ketika 13 Mei
Datuk Foong Yee.

Ibu bapa saya masih di Klinik Reddy jadi saya patah balik melalui jalan semak untuk mendapatkan kereta dan selamatkan mereka. Hanya kereta saya yang bergerak di atas jalan.

Dalam perjalanan, suluhan lampu kereta saya terpancar pada dapat lihat sekumpulan orang- sesetengahnya memakai kain pelikat. Saya terfikir, “Ya Tuhan, orang-orang Melayu ini akan bunuh aku.” Saya tekan pedal minyak dan kereta meluru ke arah mereka. Mereka melompat dan saya dapat dengar mereka menjerit. Tapi saya tak berhenti.

Saya lakukan yang sama apabila ternampak satu lagi kumpulan. Disebabkan takut diapa-apakan, saya terus tekan minyak dan tak berhenti langsung. Kemudian, saya nampak sesuatu yang berkilat apabila disuluh lampu kereta saya- lencana tentera! Saya terus tekan brek kuat-kuat, kali ini saya berdoa supaya kereta berhenti.

Bila kereta saya berhenti, saya dapat rasa muncung pistol dihalakan ke kepala saya. Pada masa itu, kereta saya tak ada pendingin hawa, jadi saya buka tingkap kereta.

Pemegang senjata api tersebut teragak-agak, dia tak pasti apa nak dilakukan. Kalau dia tarik picu, saya takkan ada di sini menceritakan semua ini.

Saya keluarkan kad polis dan tunjuk pada mereka. Lelaki itu tengok kad itu dan serahkan pada seorang lagi askar. Mereka lepaskan saya.

Lega betul hati saya apabila menemui ibu dan bapa masih ada di Klinik Reddy. Mereka pun lega apabila dapat tahu semua anak-anak mereka selamat. Kami balik ke Sekolah Teck Meng.

Hujan peluru

Menjelang pagi, kami perlu pertahankan Kampung Limau. Kami balik semula ke kampung dan berjaga di sepanjang sungai, sebab orang Melayu hanya tinggal di seberang sungai.

Kami pegang senjata, kerana kami perlu berhadapan dengan perusuh. Ada yang pegang parang, ada yang pegang paip air. Saya pegang gergaji. Ayah saya tukang kayu, jadi dia memang ada semua peralatan ini.

Saya terfikir, saya kan pegawai polis. Saya tak sepatutnya berada dalam situasi yang macam ini. Tapi apa lagi pilihan yang saya ada? Tiba-tiba, kedengaran bedilan senjata api, dan lelaki di sebelah saya tumbang. Dia kena tembak di perut.

Sebahagian daripada kami bawa dia ke Jalan Batu dan tahan sebuah ambulans yang lintas di situ. Saya dapat tahu kemudian yang dia dapat diselamatkan.

Apabila saya kembali ke sungai, saya dapati banyak tembakan senjata api bertalu-talu. Saya tak tahu datangnya dari mana. Tenterakah? Atau orang kampung Melayu? Tapi kalau begitu keadaannya, kami memang takkan menang. Jadi kami berundur.

Apa kata kita bunuh saja, kata gangster Cina

Pertahanan kami sangat lemah. Pada waktu itulah sekumpulan ahli kongsi gelap datang dari Jalan Sultan. Sebahagian mereka memang pernah tinggal di Kampung Limau.

Ada dalam lebih kurang 10 ke 11 orang, tak ramai. Sesetengah daripada mereka kata, “Apa kata kita bunuh saja orang Melayu? Ada beberapa keluarga Melayu tinggal di sini”.

Bila saya dapat tahu tentang hal itu, saya terus pergi kepada mereka dan kata, “Saya rasa itu bukan idea yang bagus.

“Kalau kita tangkap mereka dan jadikan mereka tebusan, sekurang-kurangnya kalau ada orang Melayu dari seberang sungai serang kita, kita boleh boleh bawa mereka ini ke depan dan ugut untuk bunuh mereka”.

Idea saya diterima dan pada masa itu, saya fikir, buat masa itu saya dah dapat selamatkan orang-orang Melayu ini. Tapi sampai bila? Saya tahu saya perlu bawa mereka keluar dari situ, tapi macam mana caranya? Ada dalam 20 ke 30 orang Melayu.

Mujur, mereka bernasib baik, saya nampak dua trak tentera di Batu Road. Kebetulan mereka ada betul-betul di depan saya. Saya tunjuk kad polis saya dan dan tahan trak itu. Saya ceritakan mereka apa yang terjadi, minta mereka selamatkan keluarga-keluarga Melayu ini.

Saya berlari di depan trak, tapi kena menyorok-nyorok juga. Saya tak nak ahli kongsi gelap lihat saya sebagai pengkhianat yang membantu trak tentera bawa lari tebusan.

Dari jauh, saya dapat lihat orang-orang Melayu itu masuk ke dalam dua trak tersebut dan mereka pun cabut. Lepas daripada itu, barulah saya keluar semula dari bersembunyi, berpura-pura macam tak ada apa-apa yang terjadi.

Tinggalkan Kampung Limau

Selepas membantu menyelamatkan keluarga-keluarga Melayu, saya perlu fikir tentang keselamatan diri pula. Saya sangat keletihan. Tak dapat makan, tak dapat tidur, saya pun tak tahulah saya punya tenaga, semangat dan keberanian datang dari mana. Yang saya tahu, saya kena minta bantuan.

Jadi saya lari ke Balai Polis Campbell, tapi seperti semalam, tempat itu masih huru-hara. Saya nampak seorang anggota polis di situ cuba membantu apa yang dia mampu. Saya kenal dia, Gilbert Ang.

Dia pernah menjadi ketua jabatan (yang mengendalikan urusan) kongsi gelap. Pada masa itu, kumpulan kongsi gelap memang masalah besar. Saya beritahu dia saya anggota polis percubaan, dan saya perlukan kenderaan untuk bawa keluarga saya keluar daripada bahaya.

Dia pandang ke arah saya, dan berkata, “Maaf, saya tak dapat tolong kamu”.

Jadi ketika itu, saya pun ambil keputusan untuk dedahkan kepadanya tentang apa yang saya pernah buat sebelum menyertai polis.

“Kamu ingat bila kamu pernah jadi ketua jabatan kongsi gelap? Ada mamat ini yang hubungi kamu dan beri maklumat tentang aktiviti kongsi gelap kepada kamu? Beritahu kamu siapa yang terlibat dan maklumat bahawa mereka semua ini dari Kampung Limau?”

Dia jawab, “Ya. Saya ingat. Bagus maklumat yang dia bagi kepada kami dulu”.

Saya ingatkan dia bahawa pemberi maklumat tersebut tidak mahu bertemu dengannya, tapi dia ada maklumkan yang pangkal namanya ialah “FY”.

“Sayalah FY. Foong Yee.”

Terkejut Ang. Dia peluk saya dan tanya apa yang saya perlukan. Saya beritahu dia, saya perlu bawa keluarga saya keluar dari Kepong baru, dan saya juga beritahu ada juga orang Jinjang dan Kepong di Kampung Limau.

Ang beri saya satu bas. Bas Sri Jaya. Saya bawa bas itu ke Sekolah Teck Meng, dan orang di situ mula menyerang bas itu sebab mereka ingat orang Melayu datang serang mereka. Tapi bila mereka nampak saya, mereka pun bertenang.

Saya beritahu mereka, siapa yang tinggal di Kepong atau Jinjang boleh naik bas. Keluarga saya naik bas. Dalam bas, ada kira-kira 12 ke 13 orang. Ada keluarga saya (dalam enam ke tujuh orang), dan saudara-mara yang lain termasuk anak buah saya Nicholas - masa itu masih bayi- dan pengasuhnya yang bisu.

Saya terpaksa tinggalkan mereka yang lain di situ. Saya perlu selamatkan keluarga saya dulu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

7,000 Bitcoin Hilang Selepas Laman Web Di Godam

7,000 Bitcoin Hilang Selepas Laman Web Di Godam

Menyebut tentang bitcoin, pasti ramai yang cukup kenal dan tahu mengenai kripto, wang digital paling popular di dunia ini yang telah mula ditawarkan untuk transaksi secara online dengan meluas sejak beberapa tahun lalu.

Binance Bitcoin Hacked

Disebalik penggunaannya, transaksi kripto bitcoin nampaknya masih belum mampu untuk bebas daripada aktiviti godaman dimana baru-baru ini sebanyak 7,000 bitcoin berjumlah $40 juta (~RM166.26 juta) lesap.

Jumlah yang besar ini sekali gus meletakkan aktiviti godaman ini sebagai antara yang terbesar dalam sejarah setakat ini.

Menurut CEO platform kripto Binance, Changpeng Zhao, pihak mereka memerlukan sekurang-kurang seminggu untuk menyelidik aktiviti penggodam tersebut memandangkan mereka memiliki saiz data yang besar.

Aktiviti ini juga dilakukan dengan sangat teliti dan hebat dimana ramai yang tidak menyangka mereka mampu melakukannya.

Meskipun kesemua transaksi telah dibekukan, difahamkan para pengguna bakal tidak terkesan dengan aktiviti godam ini.

Jumlah bitcoin yang hilang dilaporkan bakal digantikan semula oleh Secure Asset Fund for Users (SAFU).

Kejadian ini bukan sahaja memberi peringatan buat Binance malah platform serta pengguna lain untuk lebih berhati-hati dalam menjalankan transaksi kripto terutamanya bitcoin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

50 Tahun Tragedi 13 Mei 1969

50 Tahun Tragedi 13 Mei 1969

Insiden berdarah 13 Mei 1969 yang berlaku hanya tiga hari selepas pilihan raya umum (PRU) ke-3 menjadi detik hitam yang tidak dapat dipadam dalam lipatan sejarah negara. Biarpun berpuluh tahun berlalu, 13 Mei masih digunakan sebagai senjata oleh sesetengah pemimpin politik bagi mencapai kepentingan mereka, terutama apabila tiba musim pilihan raya.

Tragedi 13 Mei

Bagi mangsa yang masih hidup, atau ahli keluarga bagi mangsa yang terkorban, trauma masih berbekas. Tragedi itu menjadi luka bisu dan tabu yang tidak sanggup mereka bicarakan.

Seperti Malaysia, beberapa negara lain turut pernah berdepan trauma seperti 13 Mei, tetapi mereka berjaya mengharungi tempoh getir itu dan menuju ke arah perdamaian.

Lihat sahaja Afrika Selatan. Setelah Nelson Mandela diangkat sebagai presiden pada tahun 1994 (setelah lama memakai topi ‘pemimpin pembangkang’), kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Kebenaran dan Perdamaian bagi menangani kesan dasar aparteid.

Suruhanjaya itu menganjurkan sesi siasatan (truth-seeking) bagi memberi kedua-dua pihak- mangsa (kaum berkulit hitam) dan penindas (kaum berkulit putih) - ruang selamat untuk berkongsi pengalaman. Pihak penindas dimaafkan dengan beberapa syarat tertentu dipenuhi.

Truth-seeking adalah proses mengenal pasti kebenaran (selalunya berkenaan konflik yang terjadi dalam sesebuah negara) sebelum membenarkan penemuan tersebut diakses oleh orang awam.

Tujuan sesi ini adalah bagi memulihkan hubungan antara dua kaum tersebut yang pernah terlibat dalam hubungan mangsa-penindas pada zaman aparteid. Ia dijalankan dengan menggalakkan proses pencarian kebenaran, persefahaman, ganti rugi yang sewajarnya, kemaafan dan kepercayaan terhadap perekodan sejarah.

Di samping menyiarkan laporan terperinci beribu-ribu muka surat, pihak suruhanjaya juga terus melakukan usaha membantu mangsa dan mencadangkan polisi yang dapat membantu pemulihan pada skala nasional.

Namun, sesi itu tetap mempunyai kelemahannya tersendiri.

Bagi menggalakkan kaum penindas mendedahkan perkara sebenar, mereka dijanjikan dengan tawaran pengampunan. Hal ini mengundang pertikaian memandangkan ia bercanggah dengan hak mendapatkan keadilan dalam kalangan mangsa dan keluarga mangsa. Kerajaan Afrika Selatan dicabar di Mahkamah Perlembagaan berhubung perkara ini.

Ini berbeza dengan apa yang terjadi di Jerman selepas berakhirnya Perang Dunia kedua. Pemimpin-pemimpin Nazi yang berjawatan tinggi dihukum mati atau penjara seumur hidup dalam perbicaraan Nuremberg.

Perbicaraan itu diadakan bagi menghukum penindas yang terlibat dalam jenayah penghapusan kaum terhadap kira-kira enam juta orang Yahudi Eropah bawah kerajaan Jerman Nazi. Perbicaraan tersebut dijalankan oleh Tribunal Ketenteraan Antarabangsa yang ditubuhkan oleh Pasukan Bersekutu setelah mereka menawan Jerman.

Bagaimanapun, pendekatan yang bersifat menghukum seperti itu tidak dapat memulihkan rasa percaya antara mangsa, penindas dan penyokong mereka.

Walaupun simbol Nazi diharamkan di Jerman, negara itu terus bergelut dengan gerakan Neo-Nazi. Pada 2012, agensi perisikan Jerman menganggarkan terdapat kira-kira 6,000 pengikut Neo-Nazi di negara itu.

Konteks sosial

Jadi, model manakah yang patut Malaysia contohi bagi membebaskan diri daripada kesan rusuhan 13 Mei yang masih menghantui?

Menurut pengkaji politik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat, pendekatan negara luar digagaskan mengikut konteks sosial mereka dan berdasarkan pengalaman mereka sendiri. Oleh itu, pendekatan mereka mungkin tidak sesuai diambil dan dilaksanakan seratus peratus di Malaysia.

Katanya, sebab utama Jerman mampu menyahkan unsur Nazi daripada rejim lamanya kerana ketika itu mereka kalah.

Selepas penyatuan semula Jerman juga, rekod lampau berkenaan Stasi (polis rahsia Jerman timur) didedahkan dan mereka yang terlibat dengannya diharamkan daripada menjawat beberapa pekerjaan. Hal itu sama sahaja dengan pemutihan di sesetengah negara ketika era pasca-komunis.

“Bila rakyat terima sesuatu jenayah telah dilakukan kerajaan mereka, masa lalu perlu dilupakan demi membina masa depan yang berbeza,” katanya.

Di Afrika Selatan pula, jelas Wong, keadilan dapat ditegakkan memandangkan dasar aparteid memang dikutuk oleh seluruh dunia, lebih-lebih lagi orang kulit hitam merupakan kaum majoriti di situ.

Tambahnya lagi, sekiranya tindakan tegas dikenakan terhadap rejim lama Afrika Selatan, konflik etnik akan berlarutan. Oleh itu, pendekatan yang lebih lembut diambil.

Di sesetengah negara pula, “keadilan peralihan” tidak pernah dilaksanakan. Keadilan peralihan merujuk kepada langkah kehakiman dan bukan kehakiman bagi menangani pelanggaran hak asasi manusia.

Di Indonesia contohnya, penyiasatan terhadap pembunuhan beramai-ramai komunis dan orang Cina dibimbangi akan menyebabkan ketidastabilan politik dan sosial.

“Kalau tak ada keadilan peralihan ini, maka bagi mangsa, tidak adalah penamatnya. Oleh itu, tidak akan ada perdamaian dalam erti kata yang sebenarnya. Dari satu segi pula, jika keadilan peralihan ini menyebabkan pihak satu lagi (penindas) bertindak balas dengan keras, perdamaian juga tak akan dapat dicapai,” katanya.

Di Malaysia, cabaran terbesar ialah mendapatkan kebenaran. Walaupun Majlis Gerakan Negara (Mageran) telah menerbitkan kertas putih tentang rusuhan itu pada Oktober 1969, laporan itu berdepan pertikaian yang tidak putus-putus.

Berdasarkan laporan tersebut, rusuhan 13 Mei dikatakan tercetus sebagai tindak balas terhadap perarakan parti pembangkang yang tidak sensitif ketika meraikan kejayaan mereka menyapu hampir separuh kerusi DUN Selangor pada pilihan raya umum (PRU) 1969.

Bagaimanapun, cendekiawan seperti Kua Kia Soong mendakwa rusuhan 13 Mei berkemungkinan merupakan satu rampasan kuasa terhadap kepimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, yang menyokong timbalannya Tun Abdul Razak Hussein. Penobatan Abdul Razak sebagai perdana menteri pada 1970 dikatakan sebagai bukti yang membenarkan dakwaan tersebut.

Perbezaan laporan angka kematian turut mengundang perdebatan. Jika berpandukan laporan Mageran, 196 terkorban. Bagaimanapun, diplomat-diplomat British menganggarkan angka korban sekitar 800 orang.

Satu lagi hal yang menimbulkan perdebatan ialah perbezaan kadar kematian Cina dan Melayu- kebanyakannya akibat tembakan senjata api. Hal itu menimbulkan tanggapan bahawa wujud sikap memihak di kalangan pasukan keselamatan yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu.

Banyak yang diperjudikan

Selain itu, langkah pemulihan daripada rusuhan itu turut dikatakan bermasalah. Parlimen digantung pada 1969. Ketika parlimen bersidang semula pada 1971, Razak merupakan perdana menteri.

Razak percaya bahawa perpaduan hanya boleh dicapai melalui agihan kekayaan yang adil. Kepercayaan itu menjurus kepada pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971 bagi meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera.

Biarpun DEB tidak lagi dilaksanakan, semangatnya masih utuh dalam dasar-dasar lain yang memberi kelebihan kepada kaum Melayu dan bumiputera lain.

Tambah Wong, ramai bukan Melayu percaya, sekiranya tragedi 13 Mei disingkap dan dikaji semula, ia akan memberi ruang buat kerajaan menimbang semula kesesuaian dasar pro-Melayu yang diamalkan sejak selepas 1969.

Pada masa sama pula, menurutnya lagi, kebayanakan orang Melayu melihat sistem pro-Melayu sebagai asas kelangsungan hidup serta tanda dominasi etnik dan agama mereka yang perlu dipertahankan tak kira apa pun terjadi.

“Jika mengkaji semula sejarah boleh membahayakan sistem tersebut, maka mereka akan rasa perlu untuk menyembunyikan atau memesongkan fakta sejarah.

“Jika sejarah di sebalik 13 Mei itu hanya akan mencetuskan perang lebih besar, maka menyingkap dan mengkajinya semula tidak akan membawa kita lebih dekat ke arah perdamaian.

“Tapi, jika kita terus melupakan tragedi 13 Mei, bukan sahaja mangsa dan keluarga mangsa tidak akan mendapat penamat yang sepatutnya, 13 Mei akan terus dipergunakan parti-parti politik dan terus menghantui kita,” tambahnya lagi.

Atasi ketakutan dan mulakan perbincangan

Berpuluh tahun berlalu, generasi selepas 1969 membesar dengan rasa takut terhadap tragedi 13 Mei. Insiden itu tidak diceritakan dalam buku-buku sejarah, sementara mereka yang pernah melaluinya enggan berbicara tentangnya kepada generasi lebih muda kerana tidak mahu dipandang serong.

Selama berpuluh-puluh tahun, 13 Mei menjadi momok yang membuatkan rakyat risau setiap kali timbul isu tukar kerajaan. Jika disingkap semula pada tahun 1969, rusuhan itu berlaku selepas penyokong pembangkang meraikan ‘kemenangan’ mereka di Selangor, sedangkan hakikatnya ketika itu DUN tergantung.

Tetapi pada tahun 2008 dan 2018, pertukaran kerajaan berlaku secara aman di peringkat negeri dan pusat. Kerisauan tentang kemungkinan berlakunya kekecohan hanya tinggal cakap-cakap sebelum pilihan raya saja. Adakah kini kita sudah sampai ke waktu yang tepat untuk membincangkan tentang rusuhan 13 Mei?

Sepuluh tahun dahulu, bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jerald Joseph mula menganjurkan bengkel antiperkauman dan bengkel antidiskriminasi. Baginya, perbincangan terhadap episod hitam itu perlu digalakkan bagi memastikan kita dapat melangkah selangkah lebih dekat ke arah perdamaian.

“Perdamaian adalah tentang bagaimana kita hendak mengatasi rasa curiga, salah faham, salah maklumat, dan berubah ke arah menghormati antara satu sama lain.

“Kalau langsung tak bercakap, atau tak dapat bercakap tentang ini (rusuhan), maksudnya kita belum bebas daripada terperangkap dalam sejarah silam.

“Saya rasa buku sejarah hari ini mestilah cuba mendedahkan pelaku sebenar yang terlibat dan bagaimana ia terjadi,” katanya lagi.

‘Tak ada orang nak berperang’

Dalam tiga dekad pertama selepas rusuhan berlaku, sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat tentang insiden itu di Arkib Negara hanya akan dapat menemui laporan Mageran.

Salinan-salinan surat khabar daripada tahun 1969 tak ditemui kerana dikatakan telah rosak dimakan waktu.

Tetapi perubahan sedang berlaku. Salinan-salinan rencana surat khabar dan gambar berkaitan rusuhan itu mula memasuki arkib sejak 2001, dan kini sudah boleh diakses oleh orang ramai.

Antara gambar yang boleh didapati ialah gambar sekitar kempen pilihan raya pada tahun itu, perarakan jenazah seorang pekerja daripada Parti Buruh di Kuala Lumpur (berdasarkan laporan Mageran, perarakan itu adalah penyebab kepada meningkatnya ketegangan sebelum berlangsung pilihan raya), dan gambar sekitar stadium yang menempatkan pelarian 13 Mei. Beberapa buku terbitan NGO serta transkrip daripada pengakuan lisan turut boleh didapati.

Bagaimanapun, memandangkan surat khabar lama belum disimpan secara digital, ada helaiannya yang sudah reput dan hancur apabila diselak.

Kemasukan barangan ini ke dalam arkib secara tidak langsung memberi gambaran bahawa kita semakin bersedia untuk membincangkan isu 13 Mei.

Bagi Joseph, dia percaya Malaysia sudah bersedia untuk mengguna pakai model suruhanjaya seperti di Afrika Selatan bagi mendapatkan kebenaran 13 Mei, dan seterusnya menuju ke arah langkah perdamaian yang tidak berunsurkan politik.

Pengalamannya menganjurkan bengkel-bengkel antiperkauman mengajarnya bahawa rakyat Malaysia mampu berbicara tentang kesangsian dan ketakutan yang mereka rasa terhadap kaum lain tanpa menimbulkan kesan susulan yang negatif.

“Ada yang sampai menangis semasa proses itu, tapi di akhirnya, semua berpelukan, dan mereka mula bercakap tentang penderitaan masing-masing.

“Itu juga salah satu proses perdamaian. Dah banyak usaha-usaha kecil dilakukan, sedikit demi sedikit, dan saya rasa dah tiba masanya Malaysia menyelesaikan masa silam kita tentang perkauman.

“Semua itu adalah masa lepas. Tak ada orang yang mahu ajak berperang. (Cadangan) ini hanyalah untuk kita tutup buku lama supaya tak ada lagi yang berani menggunakan 13 Mei sebagai cara mengugut rakyat Malaysia yang lain,” kata Joseph.

Kerajaan rapuh

Tidak semua berpendapat sedemikian. Helen Ting ialah seorang penganalisis politik yang pakar dalam politik identiti kebangsaan, kepelbagaian budaya dan pendidikan sejarah.

Menilai daripada keadaan politik semasa, dia percaya, sekarang bukanlah masa yang tepat untuk membincangkan isu-isu perkauman yang sensitif seperti 13 Mei.

Katanya, kerjasama Umno-PAS selepas PRU-14 memacu agenda politik yang berasaskan kaum dan agama.

“Membincangkannya sekarang dalam keadaan kerajaan terlalu ‘rapuh’ untuk berdepan dengan retorik politik perkauman yang bersifat memecah-belahkan, ia hanya akan menyimpang daripada objektif perdamaian,” katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan belum cukup bersedia dan beberapa kali tunduk apabila berdepan tekanan berkaitan isu bangsa dan agama.

“Saya percaya satu hari nanti, kerajaan patut mengakui pengalaman yang dialami rakyat ini, patut mengakui yang rakyat hanyalah mangsa dan tidak bersalah.

“Tapi bilakah masa itu? Itulah masalahnya. Saya tak rasa sekarang masa yang tepat,” katanya.

Menurut Ting, keadaan kini sudah berubah dengan pelaksanaan DEB berjaya meningkatkan status sosioekonomi golongan Melayu dalam kelas pertengahan.

“Mereka pun tak mahu rusuhan kaum terjadi lagi, kerana ia akan memberi kesan kepada ekonomi negara dan turut memberi kesan kepada mereka.

Daripada menjadikan 13 Mei sebagai kisah peringatan, bagi Ting, cara lain boleh digunakan untuk mengelak insiden itu daripada berulang. Cara itu termasuklah penguatkuasaan undang-undang yang adil dan kawalan terhadap penyebaran berita palsu.

Naratif baru

Bagi Penganalisis politik Abdul Rahman Embong pula, mendapatkan kebenaran tentang kejadian 13 Mei 1969 merupakan satu tugas yang sukar.

“Menggali masa silam ada baik dan buruknya, terutamanya masa silam yang sensitif. Kalau kamu kata mahu cari kebenaran, macam mana kamu hendak sahkan kebenaran? Apa yang benar bagi kamu, mungkin tak diterima sebagai benar oleh pihak lagi satu,” kata profesor emeritus dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Tambahnya, dia percaya rusuhan seperti 13 Mei berkemungkinan besar tidak akan berulang memandangkan keadaan politik dan ekonomi Malaysia sudah berubah.

“Kenapa nak patah balik? Kita patut bergerak ke depan. Ya, ada kesilapan pada masa silam, tapi apa yang penting ialah masa depan. Kalau masa silam itu baru sahaja berlalu, itu lain cerita. Tapi ini sudah dekat setengah abad berlalu,” katanya lagi.

Daripada melaksanakan sesi kebenaran dan perdamaian seperti di Afrika Selatan, katanya, lebih baik kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bagi membuat pungutan suara di peringkat akar umbi tentang naratif baru Malaysia yang sepatutnya.

Ke arah perdamaian, satu topik sukar yang perlu ditangani ialah tindakan afirmatif berasaskan kaum dan kesannya terhadap perpaduan nasional.

Kata Joseph, biarpun tindakan afirmatif berasaskan kaum diterima sebagai cara untuk membetulkan ketidakstabilan pada tahun 1969, polisi seumpama itu jika dijalankan tanpa tarikh luput akan membudayakan diksriminasi kaum.

Jika mahu menuju perpaduan, polisi itu perlu diganti dengan polisi berasaskan keperluan. Biarpun menurut Abdul Rahman, polisi berasaskan keperluan tetap akan memberi kelebihan kepada orang Melayu memandangkan ramai golongan B40 terdiri daripada kaum itu, setidak-tidaknya golongan memerlukan daripada kaum lain akan turut dibantu.

Pun begitu, jika dinilai daripada reaksi rakyat terhadap keputusan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd), sebarang perbincangan ke arah memansuhkan semangat DEB (dalam dasar lain) pasti akan berdepan tentangan hebat.

Bagi Wong, arah tuju sistem politik dan sosio-ekonomi negara perlu ditentukan oleh pendapat rakyat pada masa kini, bukan apa yang terjadi pada masa lepas.

Tegasnya, bagi membolehkan perbincangan sejarah dilakukan dan memperbetul sebarang ketidakadilan, rakyat perlulah bersikap ‘memahami dan berempati’, bukannya terus memilih pihak demi kepentingan peribadi sendiri.

“Paling penting, kita perlu merekod sejarah sebanyak yang boleh. Saksi dan mangsa semakin lama semakin tua, seorang demi seorang meninggal dunia.

“Kemudian, kita perlu mengkaji arkib sejarah memandangkan banyak fail di arkib negara luar mungkin sudah tidak lagi dilabelkan sulit. Bagi melakukan perkara ini, kita perlukan dana yang mencukupi,” tambah Wong.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

4 Peperangan Yang Berlaku Ketika Bulan Ramadhan

4 Peperangan Yang Berlaku Ketika Bulan Ramadhan

Ketika umat Islam di seluruh dunia menanti ketibaan bulan Ramadhan ditahun 2019 dengan penuh kegembiraan dan keriangan, nasib berbeza menimpa saudara seagama di Gaza, Palestin apabila terpaksa berhadapan dengan serangan dari Israel sehingga menyebabkan 25 penduduk Palestin dan empat orang Israel terbunuh.

Perang berlaku di bulan Ramadhan
Ilustrasi Perang Hittin.

Serangan terhadap umat Islam ketika bulan Ramadhan bukan perkara baharu kerana sejak zaman awal Islam lagi sejarah telah merakamkan beberapa peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan dan ketika umat Islam berpuasa.

1. PERANG BADAR

Pada Jumaat 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, tentera Islam yang hanya mempunyai kekuatan sebanyak 313 orang terpaksa berhadapan dengan 1,000 orang tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata dalam perang Badar.

Peperangan ini sangat luar biasa kerana selain jumlah tentera Islam berkali-kali ganda kurang selain tidak mempunyai kelengkapan persenjataan yang hebat, mereka juga terpaksa berperang ketika dalam keadaan berpuasa.

Namun begitu, dengan kekuasaan dan pertolongan Allah, tentera Islam yang diketuai oleh Rasulullah SAW akhirnya berjaya memenangi peperangan ini dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Kisah mengenai perang Badar turut dirakam dalam surah Ali-Imran ayat 123 yang bermaksud, “Sungguh Allah SWT telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri-Nya."

2. PERANG KHANDAK

Biarpun perang Khandak atau turut dikenali sebagai perang Ahzab tidak berlangsung pada bulan Ramadhan dan berlaku pada Syawal, persiapan untuk menghadapi peperangan ini dilakukan oleh tentera Islam yang diketuai oleh Rasulullah pada bulan Ramadhan.

Pertempuran ini yang dinamakan khandak atau parit merujuk kepada parit besar yang digali oleh tentera Islam hasil cetusan idea Salman al-Farisi sebagai strategi untuk berhadapan musuh.

Selain itu, al-Quran turut menggunakan perkataan Al-Ahzab atau bermaksud gabungan dalam surah Al-Ahzab bagi menggambarkan gabungan tentera musyrik dan Yahudi dalam menentang Islam.

Seperti perang Badar, jumlah tentera Islam dalam perang Khandak hanya seramai 3,000 orang dan terpaksa berhadapan dengan gabungan tentera musuh seramai 10,000 orang yang mempunyai pelbagai kelengkapan perang.

Lebih menyukarkan keadaan, persiapan mengorek parit ini dibuat pada bulan Ramadhan atau kira-kira dua minggu hingga sebulan sebelum pertempuran berlaku.

Kerja-kerja mengorek juga tidak semudah disangka kerana banyak kawasan yang mempunyai batu-batu keras dan hanya menggunakan peralatan biasa untuk menggali.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan, akhirnya tentera Islam berjaya memenangi pertempuran yang berlanjutan selama 27 hari setelah pasukan Muslim berjaya memecah belahkan pakatan musuh.

3. PERANG HITTIN

Pada tanggal bulan Ramadhan 584 hijrah atau pada Oktober 1187 menyaksikan detik bersejarah apabila Baitulmuqaddis berjaya dibebaskan oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi daripada tentera Salib.

Dalam pertempuran Hittin ini, Salahuddin menggunakan kepakaran dan kepintarannya menewaskan pihak musuh.

Salahuddin yang ketika itu memimpin kira-kira 20,000 tentera Islam berjaya memancing tentera Salib ke sebuah lembah bernama Hittin ketika musim panas yang sangat terik.

4. PERANG AIN JALUT

Peperangan ini melibatkan antara kerajaan Mamluk yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Saifuddin al-Qutuz dengan pasukan tentera Mongol.

Berdasarkan sejarah, tentera Mongol sebelum itu di bawah kepemimpinan Hulagu Khan berjaya mengalahkan kerajaan Abbasiyah di Baghdad pada 1258.

Kejatuhan Baghdad tidak memuaskan hati tentera Mongol yang dipimpin oleh Hulagu dan mereka terus merencana serangan untuk menghancurkan benteng terakhir kerajaan Islam iaitu kerajaan Mamluk yang berpusat di Mesir.

Akhirnya, pada 24 Ramadhan 658 hijrah, dua pasukan tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Saifuddin sendiri dan Ruknuddin Baibars memilih kawasan mata air bernama Ain Jalut sebagai lokasi peperangan.

Ketika pasukan Mongol tiba keesokan harinya mereka telah diserang oleh dua pasukan itu bermula dengan pasukan Ruknuddin dan kemudian datang pula kepungan daripada pasukan Sultan Saifuddin.

Panglima tentera Mongul, Kitbuga yang bertanggungjawab meruntuhkan Baghdad berjaya dibunuh.

Kejayaan ini adalah satu peristiwa besar dan amat bersejarah untuk umat Islam kerana ini adalah kemenangan pertama dicapai oleh umat Islam terhadap empayar Mongol.

Renungan

Peperangan ini membuktikan puasa tidak sepatutnya menjadi penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredaan Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

'Rosmah Mansor Perdana Menteri Sebenar, Dia Mahu Semuanya'

'Rosmah Mansor Perdana Menteri Sebenar, Dia Mahu Semuanya'

Pada 4 Oktober 2018, Rosmah didakwa dengan 17 pertuduhan melibatkan wang haram di mana 12 dakwaan berkaitan deposit haram RM7,097,750 melalui 235 transaksi ke akaun Affin Bank antara 4 Disember 2013 dan 8 Jun 2017.

Rosmah Perdana Menteri

Manakala lima lagi pertuduhan kerana gagal mengisytihar jumlah RM7,097,750 yang sama kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri sebagai cukai pendapatan.

Pada 15 November 2018 pula, Rosmah didakwa dengan dua pertuduhan melibatkan rasuah.

Ketamakan Rosmah telah dibongkar oleh seorang bekas rakan niaga Najib, Deepak Jaikishan kepada Al Jazeera dalam satu temubual yang mula disiarkan sejak 9 Mei 2019.

Dalam temubualnya bersama wartawan sensasi Mary Ann Jolley untuk program 101 East, Deepak menyifatkan bahawa Rosmah adalah seorang Perdana Menteri 'de facto'.

Ini memberi makna Rosmah itu adalah Perdana Menteri 'sebenar', walaupun tidak dilantik secara rasmi oleh kerajaan.

"Mana-mana Menteri Kabinet yang menentang dan tidak bersetuju dengannya akan serta-merta dipecat. Boleh kata dialah Perdana Menteri 'de facto' kita," kata Deepak.

"Dia tamak, dia mahukan semuanya!"

Deepak memberitahu, peniaga dari serata dunia menghadiahkan barang kemas dan pelbagai barangan mewah kepada Rosmah sebagai pertukaran kepada kontrak pembangunan yang lumayan.

"Berlian, terutamanya yang mahal dan tidak ternilai adalah cara dia menyimpan duit.

"Ini satu cara mudah baginya untuk menyedut wang dan menyimpannya di tempat yang mudah.

"Mereka tidak pernah membayangkan akan kalah pada pilihan raya. Mereka tidak pernah membayangkan polis akan menggeledah rumah mereka," kata Deepak lagi.

Bukan setakat berlian, Deepak berkata, Rosmah dan Najib turut terlibat dalam macam-macam urusan perniagaan yang membolehkan mereka memiliki rumah, kereta, dan wang.

"Saya telah memberikan mereka sejumlah wang tunai, hartanah, kereta mewah dan semua ini diberikan di Malaysia atau di UK.

"Saya membeli kereta Bentley Flying Spur untuk Datin Rosmah dan sebuah rumah di Malaysia yang didaftarkan di bawah nama saudara kandung kepada Datuk Najib, iaitu Datuk Nazim, sebagai sebahagian daripada ganjaran," jelasnya lagi.

Saksikan video penuh berjudul 'Malaysia: Power and Corruption' di bawah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:



sumber: says

Sunday, May 12, 2019

Kenapa Ikan Tuna Sirip Biru Sangat Mahal?

Kenapa Ikan Tuna Sirip Biru Sangat Mahal?

Ikan bluefin tuna atau tuna sirip biru adalah sebahagian daripada keluarga ikan mackerel yang diburu secara melampau kerana harganya yang sangat mahal dan mendapat permintaan tinggi dipasaran, terutamanya di negara Jepun.

Ikan Tuna Sirip Biru
Antara Ikan Tuna Sirip Biru termahal di dunia.

Ikan tuna sirip biru telah ditangkap secara meluas menyebabkan tangkapan berlebihan yang menjejaskan populasinya dan kini diancam kepupusan.

Tapi, apa sebenarnya kelebihan ikan tuna sirip biru?

1. Spesies Tuna Terbesar

Anda boleh membayangkan sendiri betapa besarnya spesies dewasa ikan tuna sirip biru yang biasanya mampu mencapai 3-4 meter panjang dan tersenarai sebagai salah satu `ikan bertulang’ (bony fish) terbesar dari semua spesies tuna. Berat purata ikan tuna sirip biru dewasa sekitar 130 hingga 679 kg.

Walau bagaimanapun, melebihi julat berat badan diatas kini amat jarang ditemui.

2. Kelajuan

Ikan tuna sirip biru biasanya berenang pada kelajuan antara 7 hingga 15 km sejam, tetapi apabila mengejar mangsa atau untuk mengelakkan pemangsa, ikan tuna sirip biru boleh berenang sehingga 100 km sejam.

Ketika bertarung dengan pemancing, tuna sirip biru akan melakukan aktivit otot yang sangat tinggi sehingga mampu memasak dagingnya sendiri.

Pergerakan sirip ekornya amat pantas sehingga 30 kali sesaat!

3. Makan apa saja

Tuna sirip biru akan memburu hampir apa saja ikan yang lebih kecil, belut, krustasia dan sotong.

Ikan tuna sirip biru juga akan menapis makanan pada zooplankton dan organisme kecil lain termasuk memakan kelp (rumpai laut).

4. Penyamaran hebat

Ikan tuna sirip biru adalah salah satu ikan terbesar, terpantas dan paling hebat dari semua ikan di dunia.

Dengan badan berbentuk torpedo, ia dibina untuk kelajuan dan ketahanan.

Dengan warna badan biru metalik di atas dan berkilauan perak putih di bahagian bawah, membantu penyamaran Ikan tuna sirip biru dari atas dan bawah untuk menyerang mangsa.

5. Diancam kepupusan

Disebalik kehebatan ikan tuna sirip biru, malang sekali populasi ikan ini telah menjadi terlalu teruk akibat tangkapan melampau.

Atas sebab itu, komuniti Marine Conservation Society melahirkan kebimbangan dan menasihatkan agar pemburuan kesemua spesies tuna sirip biru untuk makanan dihentikan demi kelestariannya di lautan.

6. Jutaan telur

Ikan tuna sirip biru bertelur hanya sekali setahun dan tidak mencapai kematangan reproduktif sehinggalah berusia lapan hingga 12 tahun.

Ini menjadikan ikan tuna sirip biru lebih terdedah kepada penangkapan ikan berlebihan berbanding beberapa spesies tuna yang lebih kecil.

Ikan tuna sirip biru Atlantik betina boleh menghasilkan sehingga 10 juta telur setiap tahun, tetapi hanya sebahagian kecil mampu bertahan sehingga dewasa.

7. Spesies

Terdapat lapan spesies tuna dan empat daripadanya adalah sebahagian daripada famili tuna sirip biru (Atlantic bluefin atau northern bluefin, southern bluefin, Pasific bluefin dan longtail).

Empat spesies lain adalah albacore, bigeye, blackfin dan yellowfin tuna.

8. Aerodinamik

Ikan tuna sirip biru dibina seperti torpedo, bukan sahaja mempunyai bentuk hidrodinamik, sirip pektoral ikan ini boleh ditarik balik dan tidak seperti spesies lain, mata ikan tuna sirip biru ditala ke badan.

Ini bermakna badan Ikan tuna sirip biru mampu mengurangkan daya seretan apabila berenang di air.

9. Bernilai tinggi

Harganya tidak terkira! Pada Januari 2017 lalu, seekor ikan tuna sirip biru seberat hampir 200 kilogram telah menjadi rebutan berpuluh-puluh pengusaha restoran termasuk individu bergelar jutawan untuk membeli ikan tersebut dengan harga yang tinggi.

Namun, ikan tuna itu akhirnya menjadi milik seorang pengusaha restoran sushi terkemuka di Jepun apabila berjaya membida harga ikan tuna sirip biru itu dengan harga 74.2 juta Yen sekali gus menjadi ikan paling mahal di dunia.

10. Enam deria

Bluefin mempunyai banyak deria arah, dengan menggunakan pineal window mereka untuk mengikuti isyarat matahari dan langit.

Ikan tuna sirip biru memanfaatkan deria visual, pencium dan elektromagnetik untuk terus berenang atau memburu mangsanya.

Selain itu, Ikan tuna sirip biru adalah thermotactic (pergerakan organisma ke arah atau jauh dari sumber haba).

Diburu melampau-lampau, apa sebenarnya khasiat Ikan Tuna Sirip Biru?

Kaya Omega-3

Kandungan omega-3-nya membuatkan ikan tuna sirip biru mempunyai seribu satu manfaat bagi kesihatan tubuh.

Dilihat dari komposisi gizinya, ikan tuna sirip biru mempunyai nilai gizi yang sangat luar biasa.

Kadar protein pada ikan tuna sirip biru hampir dua kali ganda kadar protein berbanding telur yang selama ini dianggap sebagai sumber protein utama.

Kadar protein bagi setiap 100 gram ikan tuna sirip biru dan telur masing-masing 22g dan 13g.

Sebagai salah satu komoditi dari laut, ikan tuna sirip biru kaya lemak omega-3 dan kandungannya 28 kali lebih banyak berbanding ikan air tawar.

Omega-3 dapat menurunkan kadar kolesterol dalam salur darah dan menghalang terjadinya penyumbatan pembuluh darah.

Pengambilan ikan 30 gram sehari dapat menurunkan risiko kematian akibat penyakit jantung hingga 50 peratus.

Omega-3 juga mempunyai peranan penting untuk proses perkembangan sel-sel saraf, termasuk sel otak, sehingga dapat meningkatkan kecerdasan, terutama pada anak-anak yang sedang mengalami proses pembesaran.

Sumber mineral

Ikan tuna juga kaya pelbagai mineral penting yang diperlukan tubuh. Kandungan iodium dalam ikan tuna sirip biru lebih 28 kali kandungan iodium pada ikan air tawar.

Iodium sangat penting untuk mencegah penyakit dan meningkatkan kecerdasan anak.

Selain itu, ikan tuna sirip biru juga kaya selenium. 100 gram sehari sudah cukup untuk memenuhi 52.9 peratus keperluan tubuh setiap hari.

Selenium mempunyai peranan penting dalam tubuh, iaitu mengaktifkan enzim antioksidan glutathione peroxidase, yang dapat melindungi tubuh dari serangan radikal bebas penyebab pelbagai jenis kanser.

Dilihat dari perbandingan kalium dan natrium, ikan tuna sirip biru sangat baik untuk pesakit jantung dan menyihatkan pembuluh darah kerana mengandungi ratio kalium dan natrium 5 berbanding 1.

Perbandingan kalium dan natrium mencapai 6,4:1 pada tuna sirip biru; 11:1 pada tuna jenis skipjack; dan 12:1 pada tuna yellow fin.

Kalium bermanfaat untuk mengawal tekanan darah, terapi darah tinggi, serta membersihkan karbon dioksida di dalam darah.

Kalium sangat baik untuk otot dan masalah saraf serta membantu kelancaran oksigen ke dalam otak dan keseimbangan cairan tubuh.

Sumber Vitamin

Kandungan vitamin pada ikan tuna sirip biru, sangat tinggi, mencapai 2,183 IU. Pengambilan 100 gram ikan tuna sirip biru setiap hari sudah cukup untuk memenuhi 43.6 peratus keperluan vitamin A setiap hari.

Vitamin A sangat baik untuk memelihara sel, menguatkan antibodi tubuh, pertumbuhan badan dan penglihatan Ikan tuna sirip biru juga merupakan sumber yang baik untuk vitamin B6 dan folat.

World's Health Rating dari The George Mateljan Foundation menggolongkan kandungan vitamin B6 tuna ke dalam kategori sangat baik kerana mempunyai nutrien density yang tinggi, iaitu 6.7 (kategori terbaik adalah 3.4-6.7).

Vitamin B6 bersama folat mampu menurunkan tahap homosistein, yang sangat berbahaya bagi pembuluh arteri dan menjadi punca terjadinya penyakit jantung.

Walaupun ikan tuna mengandungi kolesterol, kadarnya cukup rendah dibandingkan dengan haiwan lain, sekitar 38-45mg bagi setiap 100 gram.

Mencegah Strok dan Obesiti

Kandungan gizi yang tinggi membuatkan ikan tuna sirip biru sangat efektif untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, salah satunya strok.

Satu kajian yang pernah dilakukan selama 15 tahun menunjukkan bahawa pengambilan ikan tuna sirip biru 2-4 kali setiap minggu, dapat menurunkan sehingga 27 peratus risiko penyakit strok.

Pengambilan 5 kali atau lebih dalam seminggu dapat menurunkan risiko penyakit strok sehingga 52 peratus.

Manakala pengambilan ikan tuna sirip biru 13 kali sebulan dapat mengurangkan risiko tubuh dari ischemic strok, iaitu strok yang disebabkan oleh kurangnya aliran darah ke dalam otak.

Dari lapan kajian yang tercatat dalam, The George Mateljan Foundation (2006), pengambilan tuna 1-3 kali sebulan dapat mengurangkan risiko ischemic strok sebanyak 9 peratus.

Seterusnya, risiko menurun sebanyak 13 peratus jika pengambilan tuna sekali seminggu, 18 peratus 2-4 kali seminggu dan 31 peratus jika diambil 5 kali atau lebih setiap minggu.

Sebuah kajian yang diterbitkan pada 6th Congress of The International Society for the Study of Fatty Acids and Lipid pada Disember 2004, membuktikan bahawa ikan tuna sirip biru dapat mencegah obesiti dan sangat baik untuk pesakit diabetes melitus tahap 2.

Ia disebabkan kandungan EPA (eicosapentaenoic acid) yang tinggi pada ikan tuna dapat menstimulasi hormon leptin, iaitu hormon yang membantu mengawal pengambilan makanan.

Dengan itu, tubuh akan terhindar dari pengambilan makanan secara berlebihan, yang menjadi penyebab obesiti.

Mencegah kanser payudara

Ikan tuna juga baik untuk mencegah kanser payudara, disebabkan kandungan omega-3 pada tuna dapat menghalang enzim proinflammatory yang disebutcyclooxygenase 2 (COX 2), enzim yang menjadi punca terjadinya kanser payudara.

Omega-3 juga dapat mengaktifkan reseptor di membran sel yang disebut peroxisome proliferator-activated receptor (PPAR), yang mampu mengawal aktiviti sel penyebab kanser, selain dapat memperbaiki DNA tubuh.

Jadi, kini tahulah anda kenapa harga ikan tuna sirip biru sangat mahal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

5 Negara 'Pelancongan Perubatan' Terbaik Di Dunia

5 Negara 'Pelancongan Perubatan' Terbaik Di Dunia

"Medical tourism" atau pelancongan perubatan merupakan salah satu industri yang tiba-tiba popular selepas kenaikan kos rawatan bagi pesakit di seluruh dunia, kerana bukan semua negara menyediakan perkhidmatan kesihatan secara mudah dan murah.

Ada kalanya sesetengah pesakit langsung tidak akan diberikan bantuan kesihatan hanya kerana ketiadaan insurans atau wang, bergantung kepada situasi.

Pelancongan perubatan membuka pintu kepada negara-negara yang mempunyai pakej perubatan menarik untuk menjadi destinasi pesakit seterusnya membuka kepada pelbagai peluang lain bagi menjana ekonomi.

Namun, negara-negara manakah yang diiktiraf sebagai destinasi pelancongan perubatan terbaik di dunia?

1. Malaysia

Negara Pelancongan Perubatan

Siapa sangka ketika ini Malaysia menjadi pilihan ramai dalam mendapatkan rawatan? Terkenal dengan kos rawatan rendah serta fasiliti yang mencukupi, Malaysia mendapat faedah besar selepas kos di Singapura semakin lama semakin meningkat. Fasiliti di Malaysia juga dilaporkan lebih baik berbanding India.

Dengan dibarisi doktor-doktor terlatih yang fasih berbahasa Inggeris, pelancong kerap berkunjung ke Georgetown atau Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan.

Pesakit boleh memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital awam melalui konsep full paying patient atau ke hospital yang dikendalikan syarikat swasta bagi mendapatkan keselesaan lebih.

Dari tahun ke tahun, jumlah pelancong yang datang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan perubatan meningkat 100% dan sedikit sebanyak, ini membantu meningkatkan ekonomi negara.

2. India

Dengan tawaran mampu menjimatkan hampir 75% perbelanjaan, India menjadi sasaran pelancong perubatan yang mahu menjimatkan wang dalam menampung kos perbuatan.

Dianggarkan, pelancongan perubatan di India saja mempunyai nilai terkumpul hampir RM8.8 bilion pada tahun 2015 selepas lebih 100 ribu orang pesakit luar berkunjung ke sana.

Perubatan di India terkenal kepada mereka yang perlu menjalani rawatan sum-sum tulang, pembedahan mata dan pakej pintasan jantung yang berharga RM45 ribu, dibandingkan dengan jumlah RM450 ribu di negara lain.

3. Colombia

WHO menyenaraikan Colombia pada kedudukan ke 22 daripada 191 negara dalam kualiti perkhidmatan kesihatan.

Mempunyai sistem insurans kelolaan kerajaan yang dinamakan sebagai EPS, setiap peserta membayar sebanyak 12% daripada gaji mereka untuk membolehkan pesakit mendapatkan semua jenis rawatan.

Pilihan hospital yang pelbagai juga menjadikan Colombia sebagai destinasi menarik pesakit dan lebih separuh daripada 43 buah hospital terbaik di benua Latin Amerika terletak di Colombia.

4. Costa Rica

Dengan pelaburan besar kerajaan Costa Rica bagi memastikan sektor kesihatan mempunyai peruntukan secukupnya, kesihatan kini menjadi salah satu sebab mengapa pelancong gemar berkunjung ke Costa Rica khasnya daripada Amerika Syarikat.

Mengamalkan dua sistem perubatan di Costa dengan satu dijaga sektor swasta sementara satu lagi sistem yang digelarkan 'caja' - memerlukan sumbangan bulanan daripada peserta dalam bentuk potongan gaji sebanyak 6 ke 12% yang turut sama melindungi ahli keluarga.

Dengan pembayaran yuran bulanan tersebut, pesakit berhak mendapatkan sebarang jenis rawatan tidak kira apa jenis sakit.

5. Singapura

Memegang status negara maju menjadikan Singapura mudah untuk menarik minat masyarakat dunia berkunjung ke sana bagi mendapatkan rawatan, kerana mempunyai fasiliti yang cukup dan pakar yang berkemahiran tinggi.

Singapura berada dalam kedudukan antara negara terbaik dunia dalam kualiti perkhidmatan kesihatan mereka.

Malah, ia terbukti dengan kadar kematian bayi terendah dunia disamping mempunyai purata kadar hidup lebih baik berbanding banyak negara maju lain.

Jadi, tidak hairanlah Singapura adalah antara destinasi pelancongan perubatan terbaik bagi pesakit.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Costis Mistotakis, Lelaki Malang Yang Terlepas Peluang Menjadi Jutawan

Costis Mistotakis, Lelaki Malang Yang Terlepas Peluang Menjadi Jutawan

Pada awal tahun 2000, Costis Mistotakis dari Greece telah berkenalan dengan seorang gadis Sepanyol bernama Sandra del Pozo dan tidak lama selepas itu, mereka jatuh cinta, membeli sebuah RV dan berhijrah untuk memulakan hidup di negara asal Sandra.

Lelaki Malang Yang Terlepas Peluang Menjadi Jutawan
Costis Mistotakis.

Mereka memilih pekan Sodeto yang berada di bahagian timur laut Sepanyol sebagai destinasi untuk memulakan kehidupan bersama kerana di sinilah terletaknya kediaman nenek Sandra.

Sodeto merupakan salah satu daripada kira-kira 300 buah perkampungan nelayan yang dibina di bawah pemerintahan diktator Francisco Franco pada tahun 1950-an.

Hampir kesemua perkampungan nelayan yang dibangunkan ketika itu mempunyai binaan dan reka bentuk yang sama.

Pekan berpopulasi 200 penduduk ini mempunyai sebuah gereja di tengah-tengahnya dan hanya terdapat sebuah restoran merangkap bar untuk dikunjungi.

Rumah-rumah di sini pula kesemuanya berwarna seperti pasir dan berbumbung merah.

Sodeto bukanlah suatu tempat yang sering menjadi pilihan percutian pelancong, apatah lagi untuk dijadikan tajuk berita liputan media.

Walau bagaimanapun, pada tahun 2011, segalanya berubah apabila setiap daripada penduduk di Sodeto berjaya memenangi hadiah loteri cepumas terbesar di Sepanyol.

Mungkin kita biasa mendengar kisah-kisah individu bertuah yang memenangi hadiah loteri namun, keajaiban unik berlaku apabila pekan yang tidak pernah dikenali ini mula menempa nama setelah seluruh penduduk di situ menang loteri.

Loteri di Sepanyol

Di Sepanyol, permainan loteri merupakan obsesi lebih 75% masyarakat di sana dan dijalankan dengan sedikit kelainan.

Walaupun terdapat pelbagai pilihan, loteri yang ditunggu-tunggu oleh setiap orang adalah "La Loteria de Navidad" (Loteri Krismas) yang diadakan setiap tahun sejak 1812.

Cukai Yang 'Kejam'

Banyak kerajaan di seluruh dunia menganggap loteri sebagai kaedah yang berguna untuk mengumpulkan dana bagi program awam.

Walau bagaimanapun, ia sebenarnya adalah sejenis cukai regresif yang lebih menekan orang miskin.

Karl Marx pernah menyatakan ia telah direka sebagai satu muslihat untuk membuat golongan bawahan mempercayai bahawa ada jalan mudah untuk keluar daripada kemiskinan.

Pihak gereja juga mendapati cabutan loteri adalah sesuatu yang kufur dan tahyul sehinggakan pada tahun 1826, kerajaan British telah mengharamkan loteri sepenuhnya selama hampir seratus tahun.

Pada tahun 1862, Sepanyol juga telah memberikan respon pada kritikan dunia ketika itu dengan membuat sedikit pengubahsuaian pada sistem loteri kebangsaan agar tidak begitu memeras rakyat yang hidup susah.

Pihak kerajaan menyangka dengan menaikkan harga setiap tiket, hanya golongan berkemampuan sahaja yang akan membelinya namun, situasi sebaliknya berlaku.

Sindiket-sindiket loteri mula berleluasa dengan permainan loteri secara berkumpulan dan loteri di negara itu menjadi kian popular daripada sebelumnya.

Loteri Krismas

Dalam loteri ini, sebarang nombor di antara 00000 sehingga 99,999 boleh menjadi pemenang.

Disebabkan kos yang tinggi untuk membeli sendiri nombor pilihan, banyak organisasi menyediakan kemudahan dengan membeli satu nombor kemudian menjual 'saham-saham kecil' kepada individu-individu yang berminat untuk berkongsi nombor tersebut pada harga dua euro, lima euro dan sebagainya.

Ribuan 'pemegang saham' boleh memiliki bahagian yang sama dalam sesuatu nombor. Lebih kecil bahagian yang dimiliki, maka pulangan hadiah jackpot (sekiranya nombor menang) juga tidak begitu lumayan.

Kos yang tinggi untuk membeli sendiri sekeping tiket loteri juga telah menjadikan ia sebagai suatu pesta sosial yang besar di negara ini.

Organisasi-organisasi tempatan akan menjual tiket dengan sedikit tokokan harga bagi para pengumpul dana.

Kebanyakan rakyat Sepanyol akhirnya akan memiliki satu timbunan tiket di mana setiap satunya merupakan saham kecil daripada pelbagai nombor yang dibeli.

Jualan bagi tiket loteri yang akan dicabut pada setiap 22 Disember ini berlangsung sepanjang musim panas.

Cabutan nombor diadakan di Madrid iaitu di teater yang sama dengan cara yang sama saban tahun.

Sebuah pentas didirikan dan di tengah-tengahnya diletakkan dua biji bola gergasi berwarna emas.

Di dalam setiap bebola gergasi ini terdapat nombor-nombor dan cabutan hadiah yang bakal dimenangi.

Selepas bola dicabut, dua kanak-kanak akan menyanyikan nombor dan hadiah itu dengan canta Gregory dan acara cabutan loteri ini akan berlanjutan selama beberapa jam.

Walau bagaimanapun, hadiah yang paling ditunggu-tunggu semua orang adalah hadiah terbesar pada hari tersebut iaitu "El Gordo" yang bermaksud "Yang Paling Gemuk."

Hadiah El Gordo kebiasaannya bernilai hampir berbilion dolar dan setiap kali pengumuman pemenang El Gordo dibuat, para wartawan akan berkerumun untuk mengetahui kawasan Sepanyol di manakah tiket bertuah tersebut telah terjual.

Pemenang "El Gordo" 2011

Pada 22 Disember 2011, penduduk pekan Sodeto telah berjaya menggondol hadiah utama tersebut.

Tiket kemenangan mereka telah dijual di seluruh pekan oleh Persatuan Suri Rumah yang dianggotai beberapa orang wanita yang gemar menganjurkan jamuan dan aktiviti di kawasan itu.

Persatuan itu menjual tiket dari rumah ke rumah pada harga enam euro. Lima euro adalah harga tiket manakala satu euro lagi akan dimasukkan ke dalam tabung persatuan.

Suri rumah bernama Maria-Carmen Lambea dari persatuan itu merupakan wanita yang bertanggungjawab memilih nombor kemenangan Sodeto.

Semasa mendapat tahu tentang kemenangan mereka, dia mula membuat panggilan kepada kesemua rakan-rakan namun tiada siapa yang mempercayainya.

Lama-kelamaan, orang ramai mula berkumpul di plaza dan kisah kemenangan mereka tersebar. Setiap tiket bernilai enam euro (RM27) itu telah meningkat menjadi 100,000 euro (RM461,000).

Pada tahun 2011 juga, nombor bertuah 58268 itu bukan sahaja dimenangi penduduk Sodeto, terdapat beberapa ribu lagi orang lain yang berkongsi hadiah cepumas yang sama bernilai 750 juta euro.

Lebih banyak tiket dibeli, maka lebih besar nilai pulangan yang diterima dan di Sodeto, setiap penduduk menerima sekurang-kurangnya 100,000 euro.

Pelayan bar, petani dan isterinya, semua telah menang besar, termasuklah datuk bandar.

Apa Kaitan Costis Mistotakis dan Kisah Loteri Ini?

Hampir setiap penduduk di pekan kecil Sodeto telah meraih sebahagian daripada kemenangan El Gordo, kecuali seorang lelaki iaitu Costis Miksotaksis.

Entah bagaimana ahli-ahli persatuan itu terlepas pandang rumahnya semasa menjual tiket dari rumah ke rumah.

Lelaki malang

Enam tahun kemudian, Costis masih tinggal di pekan kecil itu walaupun telah berpisah dengan Sandra.

Apabila terfikir mengenai kemenangan seluruh penduduk Sodeto, dia tidak pernah berkecil hati atau menyesal.

Sebagai seorang pembuat filem, dia gembira kerana telah berjaya merakam hari bersejarah di mana seluruh pekan secara tiba-tiba menjadi kaya-raya.

Tidak seperti Powerball Jackpot di Amerika Syarikat ataupun National Lottery Jackpot di United Kingdom yang biasanya hanya mempunyai satu atau dua orang pemenang hadiah cepumas, Loteri Krismas yang bergerak di sebalik sebuah sindiket besar ini akan dibahagikan kepada beribu-ribu pemenang.

Walaupun pemenang El Gordo ini belum lagi layak untuk membeli rumah agam atau sebuah kapal layar, namun seluruh penduduk sudah berkemampuan untuk melangsaikan semua hutang dan membeli kereta.

Kemenangan loteri ini membawa kekayaan ke seluruh kawasan pekan dan mengubah ekonomi setempat kerana kekayaan itu diagihkan sama rata kepada seluruh penduduk yang bertuah.

Tidak mahu jadi seperti Costis Mistotakis

Pakar-pakar ekonomi telah lama cuba memahami mengapa ramai orang gemar bermain nombor ekor kerana ia merupakan satu pelaburan yang amat tidak rasional.

Kebarangkalian untuk memenangi hadiah jackpot adalah sangat tidak munasabah dan merupakan kaedah taruhan paling teruk antara semua jenis perjudian.

Akan tetapi, di Sepanyol, ia merupakan suatu acara sosial di kalangan masyarakat tempatan.

Mereka tidak mahu terlepas peluang membeli tiket loteri kerana tidak mahu menjadi individu malang seperti Costis yang tidak menang.

Bahkan, sentimen sama inilah yang sering dieksploitasi oleh penganjur loteri untuk menakut-nakutkan rakyat Sepanyol dalam iklan mereka setiap tahun.

Persatuan Suri Rumah pekan Sodeto yang kini dikenali sebagai Persatuan Wanita berterusan memilih nombor bertuah mereka dalam Loteri Krismas tahun demi tahun.

Jika dahulu mereka perlu berkunjung dari rumah ke rumah untuk menjual tiket, kini penduduk Sodeto sendiri yang datang kepada mereka untuk mengambil bahagian dan kesemua tiket terjual tempoh yang singkat.

Menurut penduduk Sodeto, mereka pernah bertuah sekali dan mungkin akan bernasib baik untuk kali kedua.

Bagaimanapun, kali ini tiada siapa yang ingin ketinggalan dan menjadi seperti Costis Mistotakis, lelaki Greek paling malang di Sepanyol.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi