Thursday, December 21, 2017

'Wang Nadi Politik Yang Menjengkelkan'


Menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14, pelbagai paluan gendang dan seruan para politikus di kedua-dua belah pihak memeriahkan situasi kehidupan yang semakin tidak menentu.

Wang Nadi Politik Menjengkelkan

Kalau baca di media sosial, negara sedang menuju ke arah kebangsatan yang dibawa politikus kleptokrat. Manakala kalau mengikuti media perdana yang hampir bankrap semuanya, negara sedang bergerak pantas menjadi negara maju berpendapatan tinggi dan antara negara terhebat di muka bumi.

Terpulanglah kepada rakyat unuk menilai dan membuat keputusan mengikut peringkat kepandaian dan kematangan. Tidak perlu bijak dengan GCPA 3.86 atau mempunyai MBA dari universiti atas talian, apa lagi PhD dengan tesis yang sendiri tidak malu untuk membaca.

Kata orang, tepuk dada tanya selera, baik makan dedak mahupun sukarela sebagai parti berkecuali yang mahu ke syurga dengan mengkafirkan sesiapa sahaja di atas nama perjuangan agama.

Takkan salam kosong?

Dalam politik di Malaysia, selain terpaksa mengikut 'adat' untuk tidak melangkah bendul dan mesti berpura-pura, hipokrit sepanjang waktu, membuang masa di kedai kopi dan mengikut para politikus yang hampir semuanya mengejar projek dan mencari makan dengan menunggang apa-apa sahaja, asalkan perut terisi, boleh bergaya dengan 'rezeki politik'.

Apalagi ramai yang bertanya selamba selepas bersalam, "Takkan salam kosong sahaja?"

Wang menjadi nadi politik yang menjengkelkan. Kalau ada politikus yang berkata perjuangan demi agama, bangsa dan negara, "kepala bapak kaulah!"

Dan kebiasaannya, para politikus yang makan garam dahulu, majoritinya tidak mahu melepaskan jawatan selagi boleh menikmati habuan politik.

Generasi lebih baik

Kalau di kebanyakan negara maju yang demokrasinya jauh ke hadapan, ramai pemimpin muda dilahirkan dan kadang-kadang tiba-tiba muncul kerana memang mempunyai kualiti dan kewibawaan. Tidak perlu ada ikatan darah.

Dinasti politik di Malaysia di kalangan elitis semakin menjadi budaya yang diterima kerana untuk membalas budi.

Pemikiran feudal yang terus memundurkan bangsa dan menjahanamkan integriti, maruah dan kesetiaan kepada negara, sebagai puncak perjalanan politik.

Kerana itu, dengan melihat para politikus yang sedang sibuk berkempen, hampir semuanya muka-muka lama yang telah menjadi politikus semenjak empat dekad dan mungkin semenjak merdeka lagi. Manakala barisan pelapis pula, kelompok generasi kedua dinasti politik yang mengambil alih.

Apakah ramai cerdik pandai di kalangan 32 juta rakyat Malaysia hanya layak sebagai pengundi?

Ramai politikus yang banyak kali menjadi Yang Berhormat (YB), ketua bahagian, atau kedudukan dan jawatan politik tertentu sudah patut berambus sahaja. Cukuplah tuan dan puan berbakti kepada negara. Ramai yang sudah kaya-raya dan tidak habis makan tujuh keturunan.

Berikan peluang kepada generasi yang sepatutnya menjadi generasi lebih baik di bawah perjuangan politik kalian. Bersihkan politik daripada budaya usang, kotor dan feudal yang tidak membawa perubahan kepada bangsa seluruhnya.

Sampai bila mahu menongkat langit? Sehebat-hebat Robert Mugabe pun dijatuhkan oleh kawan sendiri.

Selepas enam dekad

Tidak perlulah ada sayap pemuda misalnya, buka kepada semua untuk sama taraf. Kalau dua penggal menjadi Yang Berhormat, ketua bahagian, ketua wanita dan apa sahaja jawatan, berambuslah.

Berambuslah kerana kalian yang mahu dilantik, beriya-iya berkempen. Apa-apa sahaja 'bakti dan jasa' kalian sudah dapat pampasan. Tidak perlu ungkit-ungkitlah. Buat orang menyampah dan meluat sahaja.

Terutama kabinet, dari perdana menteri kepada setiausaha politik sehingga kepada pembawa beg, kalian tidak hebat kalau memerlukan lebih daripada dua penggal malah, nampak sangat kalian mengutamakan perut daripada perjuangan ke syurga.

Selepas enam dekad merdeka, di abad ke 21 dan konon-konon sudah hampir mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi, harap kalian, politikus yang sudah tidak boleh dipakai lagi, sudah lupus tarikh kegunaan.

Yang sudah kaya raya, yang rasuah, yang menyeleweng dana, yang ponteng, berkecuali dan menjadi monyet di parlimen, para kleptokrat yang masih belum terasa keparat, sila berambus, nyahlah kalian dan bersedialah menghadapi hari pengadilan di padang mahsyar!

Harap faham dan insaf, kalau belum sedar diri, sila pergi meninggal!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: 3.7 Juta 'Enggan' Daftar Mengundi, Adakah Kerana Politik Terlalu Najis?

sumber: mk

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon