Saturday, January 20, 2018

'3 Petua Bagaimana Saya Menjadi Jutawan Muda'

Ramai yang mengimpikan menjadi usahawan dan pastinya dikalangan itu juga ramai yang ingin menjadi usahawan jutawan muda. Apa taknya, bila dilihat dikaca TV memang gah digambarkan dalam filem usahawan muda berkereta sport dan rumah di tepi pantai dan bersuka ria setiap hari.

'3 Petua Bagaimana Saya Menjadi Jutawan Muda'

Namun, mungkin bukan seperti itu niat kita ingin menjadi berjaya dalam perniagaan ketika muda, mungkin pula dengan wang tambahan boleh memberi sedikit kemewahan kepada diri sendiri dan keluarga, dapat membawa ibu bapa kesayangan menunaikan haji, membawa keluarga melancong, serta memperbaiki gaya hidup diri dan keluarga seandainya menjadi jutawan.

Tidak kira apa sahaja niatnya kini, menjadi jutawan pada usia yang mudah bukan lagi mustahil. Semakin ramai usahawan-usahawan muda yang berjaya dilahirkan tidak kira, di dada akhbar dan juga di TV, sering dikongsikan kisah-kisah kejayaan usahawan jutawan ini.

Yang menariknya juga, tidak kira bidang apa, dari bidang pertanian, perindustrian atau bidang fotografi, hinggalah bidang percetakan, pastinya ada usahwan jutawan muda yang mencorak nama di dalam industri masing-masing.

Diri saya sendiri (Irfan Khairi) juga menjadi sebutan sejak tahun 2006 lagi dengan gelaran “Jutawan Internet Muda”.

Namun, soalan yang sering ditanya ramai adalah, bagaimana hendak menjadi usahawan jutawan muda?

Artikel kali ini saya ingin kongsikan 3 petua dari pengalaman saya sendiri, khas untuk usahawan-usahawan muda apakah caranya untuk menjadi jutawan muda.

1. Lakukan perniagaan yang anda minat sangat-sangat

Amat penting untuk memulakan perniagaan yang menarik minat anda. Minat ini pula, bukanlah minat yang dikatakan “saja cuba-cuba” atau “cuba test try” tengok macam mana, ok ke tidak menjalankan perniagaan ini!

Minat yang saya maksudkan adalah minat yang amat sangat dalam sesuatu bidang itu. Mungkin sehingga menjadi hobi.

Contohnya, sekiranya minat dalam fotografi, jadikan itu sebagai perniagaan anda. Sekiranya minat dalam muzik, jadikan bidang muzik sebagai perniagaan anda.

Jangan memulakan sesuatu perniagaan yang anda tidak minat kerana minat adalah umpama gasolin yang menyalakan api dengan lebih hebat lagi.

Dalam perniagaan pastinya ada turun naik perniagaan. Ada juga akan kedengaran suara-suara negatif yang menganggu, dari kawan dan juga lawan.

Namun, dengan minat yang sungguh mendalam dalam sesuatu bidang itu, kita tidak akan mudah goyang dengan kegagalan atau anasir-anasir negative yang mungkin datang menganggu. Sebabnya, kita lakukan kerana minat!

2. Banyak membaca dan belajar

Ketahui bahawa untuk berjaya, memerlukan ilmu. Tidak semestinya mendapat kelulusan dari university.

Ramai usahawan jutawan yang saya kenali tidak mempunyai segulung ijazah pun tetapi, yang pasti ilmu mereka adalah tinggi dalam bidang perniagaan.

Ilmu boleh diperolehi dari buku-buku perniagaan di pasaran. Zaman kini, ilmu di hujung jari membolehkan kita membaca pelbagai teknik, dan strategi kejayaan di Internet juga.

Sekiraya malas membaca seperti ramai antara kita, YouTube itu sendiri mengandungi pelbagai ilmu perniagaan yang boleh didalami.

Pendek kata, zaman ini, tiada alasan untuk tidak mencari ilmu oleh kerana ianya terdapat di mana-mana sahaja.

Untuk berjaya, tidak semestinya kita melakukan sesuatu yang baru yang tidak pernah dilakukan oleh orang lain.

Mencapai kejayaan usahawan jutawan telah dicapai oleh ramai usahawan. Tugas anda adalah melihat dan belajar daripada kisah-kisah kejayaan ini dan aplikasi kepada diri anda sendiri.

3. Cari sokongan sekeliling

Jauhkan daripada mereka yang sering berfikir dan bercakap negatif. Mereka akan menghilangkan keyakinan diri dan semangat anda.

Dekatkan diri dengan mereka yang berfikir positif dan bercakap postif. Mereka akan meningkatkan keyakinan dan semangat anda untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.

Sememangnya benar, sokongan sekeliling adalah amat penting. Sekiranya kenalan kita sekeliling di kategorikan sebagai kaki lepak, lambat laun, kita sendiri pun akan turut sama jadi kaki lepak.

Tetapi sekiranya kenalan kita sekeliling terdiri daripada usahawan-usahawan, pastinya aura keusahawanan itu juga dapat pada diri kita sendiri.

Bayangkan keadaan di mana anda mempunyai masalah perniagaan dan kongsikan masalah tersebut pada kenalan kaki lepak.

Pastinya jawapannya adalah, “Tu la engkau ni, aku dah kata dah. Susah buat bisnes. Baik lepak je."

Tetapi, sekiranya masalah yang sama dikongsikan dengan kenalan usahawan pula, pastinya jawapan adalah, “Eh, biasa lah tu dalam perniagaan. Jangan risau kalau tak dapat sale, aku dulu pun tak dapat sale juga. Jom kita pergi sama-sama buat sale.”

Mempunyai sokongan yang padu dari kenalan dan keluarga sekeliling pastinya akan dapat membantu anda dalam mencapai kejayaan.

Kesimpulan

3 petua ini adalah petua yang saya sendiri amalkan sejak dulu lagi ketika mula memulakan perniagaan ketika umur saya di awal 20-an sehingga hari ini.

Saya akan pastikan sekiranya saya memulakan sesuatu perniagaan, saya akan lakukan perniagaan yang menurut minat saya dan selalu mencari ilmu di mana-mana sahaja.

Saya tidak mudah putus asa dan berusaha secara konsisten serta akan mencari jaringan kenalan usahawan dalam menyokong usaha saya.

Mudah-mudahan petua ini dapat membantu anda, mana tahu anda pula yang akan menjadi usahawan jutawan muda seterusnya!

Oleh Irfan Khairi (Ekstrak artikel Harian Metro).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Dalam Bisnes Jual Beli Hargai Orang Asing, Itu Pesanan Jack Ma

sumber: myluvitamin

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon