Monday, May 13, 2019

4 Peperangan Yang Berlaku Ketika Bulan Ramadhan


Ketika umat Islam di seluruh dunia menanti ketibaan bulan Ramadhan ditahun 2019 dengan penuh kegembiraan dan keriangan, nasib berbeza menimpa saudara seagama di Gaza, Palestin apabila terpaksa berhadapan dengan serangan dari Israel sehingga menyebabkan 25 penduduk Palestin dan empat orang Israel terbunuh.

Perang berlaku di bulan Ramadhan
Ilustrasi Perang Hittin.

Serangan terhadap umat Islam ketika bulan Ramadhan bukan perkara baharu kerana sejak zaman awal Islam lagi sejarah telah merakamkan beberapa peperangan yang berlaku dalam bulan Ramadhan dan ketika umat Islam berpuasa.

1. PERANG BADAR

Pada Jumaat 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah, tentera Islam yang hanya mempunyai kekuatan sebanyak 313 orang terpaksa berhadapan dengan 1,000 orang tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata dalam perang Badar.

Peperangan ini sangat luar biasa kerana selain jumlah tentera Islam berkali-kali ganda kurang selain tidak mempunyai kelengkapan persenjataan yang hebat, mereka juga terpaksa berperang ketika dalam keadaan berpuasa.

Namun begitu, dengan kekuasaan dan pertolongan Allah, tentera Islam yang diketuai oleh Rasulullah SAW akhirnya berjaya memenangi peperangan ini dengan 70 tentera musyrikin terbunuh, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri.

Kisah mengenai perang Badar turut dirakam dalam surah Ali-Imran ayat 123 yang bermaksud, “Sungguh Allah SWT telah menolong kamu dalam peperangan Badar, padahal kamu adalah (ketika itu) orang yang lemah. Kerana itu bertakwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri-Nya."

2. PERANG KHANDAK

Biarpun perang Khandak atau turut dikenali sebagai perang Ahzab tidak berlangsung pada bulan Ramadhan dan berlaku pada Syawal, persiapan untuk menghadapi peperangan ini dilakukan oleh tentera Islam yang diketuai oleh Rasulullah pada bulan Ramadhan.

Pertempuran ini yang dinamakan khandak atau parit merujuk kepada parit besar yang digali oleh tentera Islam hasil cetusan idea Salman al-Farisi sebagai strategi untuk berhadapan musuh.

Selain itu, al-Quran turut menggunakan perkataan Al-Ahzab atau bermaksud gabungan dalam surah Al-Ahzab bagi menggambarkan gabungan tentera musyrik dan Yahudi dalam menentang Islam.

Seperti perang Badar, jumlah tentera Islam dalam perang Khandak hanya seramai 3,000 orang dan terpaksa berhadapan dengan gabungan tentera musuh seramai 10,000 orang yang mempunyai pelbagai kelengkapan perang.

Lebih menyukarkan keadaan, persiapan mengorek parit ini dibuat pada bulan Ramadhan atau kira-kira dua minggu hingga sebulan sebelum pertempuran berlaku.

Kerja-kerja mengorek juga tidak semudah disangka kerana banyak kawasan yang mempunyai batu-batu keras dan hanya menggunakan peralatan biasa untuk menggali.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai dugaan, akhirnya tentera Islam berjaya memenangi pertempuran yang berlanjutan selama 27 hari setelah pasukan Muslim berjaya memecah belahkan pakatan musuh.

3. PERANG HITTIN

Pada tanggal bulan Ramadhan 584 hijrah atau pada Oktober 1187 menyaksikan detik bersejarah apabila Baitulmuqaddis berjaya dibebaskan oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi daripada tentera Salib.

Dalam pertempuran Hittin ini, Salahuddin menggunakan kepakaran dan kepintarannya menewaskan pihak musuh.

Salahuddin yang ketika itu memimpin kira-kira 20,000 tentera Islam berjaya memancing tentera Salib ke sebuah lembah bernama Hittin ketika musim panas yang sangat terik.

4. PERANG AIN JALUT

Peperangan ini melibatkan antara kerajaan Mamluk yang ketika itu di bawah pemerintahan Sultan Saifuddin al-Qutuz dengan pasukan tentera Mongol.

Berdasarkan sejarah, tentera Mongol sebelum itu di bawah kepemimpinan Hulagu Khan berjaya mengalahkan kerajaan Abbasiyah di Baghdad pada 1258.

Kejatuhan Baghdad tidak memuaskan hati tentera Mongol yang dipimpin oleh Hulagu dan mereka terus merencana serangan untuk menghancurkan benteng terakhir kerajaan Islam iaitu kerajaan Mamluk yang berpusat di Mesir.

Akhirnya, pada 24 Ramadhan 658 hijrah, dua pasukan tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Saifuddin sendiri dan Ruknuddin Baibars memilih kawasan mata air bernama Ain Jalut sebagai lokasi peperangan.

Ketika pasukan Mongol tiba keesokan harinya mereka telah diserang oleh dua pasukan itu bermula dengan pasukan Ruknuddin dan kemudian datang pula kepungan daripada pasukan Sultan Saifuddin.

Panglima tentera Mongul, Kitbuga yang bertanggungjawab meruntuhkan Baghdad berjaya dibunuh.

Kejayaan ini adalah satu peristiwa besar dan amat bersejarah untuk umat Islam kerana ini adalah kemenangan pertama dicapai oleh umat Islam terhadap empayar Mongol.

Renungan

Peperangan ini membuktikan puasa tidak sepatutnya menjadi penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredaan Allah.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon