Monday, April 29, 2019

SBDJ Siri 57: Sumpah Selendang Merah

SBDJ Siri 57: Sumpah Selendang Merah

Saya lihat Datuk kurang senang dengan arahan yang diberikan oleh Sajono pada saya. “Ayuh, orang muda,” suara Sajono lembut. “Cucu saya, masih bodoh pak.”

Sumpah Selendang Merah

“Dia harus belajar, mungkin di masa akan datang dia tidak akan berhadapan dengan perkara semacam ini.”

“Tapi...”

“Jangan bimbang, biarkan dia lalui pengalaman ini, setidak-tidaknya akan jadi bahan sejarah untuk dirinya. Ayuh,” Sajono menggosok-gosok kepala saya.

Badan saya menggeletar. Takut dan bimbangnya Tuhan saja yang tahu.

Saya berharap Datuk akan berusaha menggagalkan rancangan yang diaturkan oleh Sajono itu.

“Pergi Tamar, jangan kecewakan kepercayaan orang,” kata Datuk.

Ternyata, saya tidak ada pilihan lain.

Saya pun rapat ke arah Samad Perang yang terlentang, kedua belah kakinya terkangkang.

Biji matanya bergerak mengikut gerak geri saya. Dengan hati-hati saya masukkan anak kunci ke lubang kunci. Usaha saya berjaya. Saya renung muka Sajono.

“Kau sudah membuka kunci di kakinya, sekarang rantai dan kunci di bahagian tangannya,” perintah Sajono.

Saya renung muka Datuk minta simpati. Datuk tersenyum.

“Buka kunci di tangannya Tamar,” perintah Datuk. Saya sungguh kecewa dengan sikapnya itu.

Saya terus membuka kunci di kedua belah tangannya. Bila saya memberi belakang pada Samad Perang, saya terasa ada sesuatu yang menghentak pada pangkal belikat saya.

Saya terjerumus di hujung lutut Sajono. Samad Perang mula melompat dan menari, tidak ubah macam orang berjoget.

“Bangun nak, kau jatuh sendiri, orang yang sakit tidak menendangmu, ada orang lain yang membuatnya,” Sajono melekapkan telapak tangan kanannya di dahi saya.

Badan saya tidak terasa sakit malah macam tidak ada apa-apa yang berlaku pada saya. Saya segera duduk di sebelah Datuk.

Sajono terus merenung dengan renungan yang tajam dan marah. Samad Perang berhenti menari.

“Duduk di sini,” kata Sajono. Samad Perang terus duduk.

Sajono mengeluarkan rotan seni sepanjang enam inci dari celah pinggangnya.

Badan Samad Perang dipukulnya lima kali berturut-turut. Kemudian dia menentang biji mata Samad Perang.

Samad Perang angkat kepala dan terus menentang mata Sajono dengan wajah yang bengis.

Sajono tetap tenang dan matanya tidak berkedip memanah ke mata Samad Perang. Saya lihat seluruh badan Samad Perang menggeletar dan akhirnya rebah atas lantai.

“Bangun, tentang mata saya,” kata Sajono. Samad Perang berusaha bangun.

Percubaannya itu tetap gagal, setiap kali dia bangun, setiap kali pula dia rebah.

Mukanya nampak pucat, kedua-dua belah cuping telinganya nampak kecut.

“Awak bangun perlahan-lahan Samad dan kemaskan sila, duduk menghadap saya,” ucap Sajono dalam nada suara yang lembut.

Cukup sukar Samad Perang mematuhi arahan Sajono itu. Setelah menghempas pulas, akhirnya Samad Perang berjaya.

Duduk bersila di hadapan Sajono. Saya sudah dua kali mengucap. Datuk dan Mamat Bukit tidak berkata apa-apa.

Mereka cuma memerhati dengan penuh teliti segala gerak-geri Sajono dan Samad Perang.

Sajono merenung muka Datuk dan Mamat Bukit. Mereka berbalas senyum. Sajono rapat pada Samad Perang.

“Yang jahat, yang baik semuanya keluar,” suara Sajono meninggi.

Samad Perang rebah kembali. Tidak sedarkan diri. Tidak ada sesuatu yang dilakukan oleh Sajono untuk menyedarkan Samad Perang dari pengsan.

“Biarkan dia sedar sendiri,” beritahu Sajono pada Mamat Bukit dan Datuk.

Isteri Samad Perang sandarkan badan ke dinding dengan wajah yang tenang.

Malam bertambah tua udara terasa amat dingin sekali. Sayup-sayup kedengaran kokok ayam. Bunyi burung hantu dan jampuk, tidak kedengaran lagi, suara cengkerik juga tidak sehebat tadi.

Sesekali terdengar bunyi dedaun rumbia di pinggir rumah berlaga sama sendiri, disentuh angin malam yang bertiup.

Samad Perang sedar dari pengsan. Dia terus duduk dalam keadaan yang amat letih sekali.

Sajono tersenyum sambil menggosok-gosok kedua belah telapak tangannya.

Kemudian, Sajono membetulkan letak songkoknya yang senget. Kain pelikat berpetak besar yang tersangkut di bahu kanan diubah ke bahu kiri.

“Yang jahat jangan datang, yang baik berumah dalam diri,” cukup lantang suara Sajono.

Mukanya kelihatan merah padam. Anak rambut di kiri kanan pelipisnya bergerak-gerak.

Samad Perang jatuh pengsan lagi. Kali ini, Sajono segera memulihkannya dengan menggunakan kain pelikat.

“Air,” muka Samad Perang.

“Berikan,” ujar Sajono.

Isteri Samad Perang hulurkan segelas air pada Mamat Bukit dan Mamat Bukit serahkan pada Samad Perang.

“Minum,” kata Sajono.

“Terima kasih,” jawab Samad Perang.

Semua yang ada di situ merasa gembira. Saya lihat kelopak mata isteri Samad Perang digenangi air jernih.

Tetapi di bibirnya tetap terukir segaris senyum yang melambangkan kebahagiaan dirinya.

“Pertama kali saya melihat suami saya bercakap dengan baik dan sopan santun,” kata isteri Samad Perang pada Datuk.

Sajono yang berwajah tenang menggigit bibir. Samad Perang merenung wajah isterinya.

“Kau menangis, Sofiah?”

“Tak, saya tak menangis bang.”

“Matamu berair.”

“Ya, saya menangis bang, saya gembira kerana abang dah baik.”

“Aku tak faham dengan cakap kau Sofiah.”

“Abang sebenarnya sakit.”

“Sakit?” Samad Perang renung Mamat Bukit.

Saya lihat Mamat Bukit anggukkan kepala. Membenarkan kata-kata yang diucapkan oleh isterinya.

“Beri dia bantal, biar dia berehat,” Sajono menujukan kata-kata itu pada isteri Samad Perang.

Perempuan yang berbadan kurus dan berwajah cengkung itu segera masuk ke bilik tidur dan keluar membawa sebiji bantal.

Samad Perang saya lihat seperti keadaan orang bingung. Dia renung pada rantai besi dan ibu kunci yang terdapat pada tiang seri.

“Saya mengantuk,” katanya pada Mamat Bukit.

“Tidurlah dulu.”

“Maafkan saya, mata saya tak boleh tahan,” suara Samad Perang lemah sekali.

Dia terus merebahkan badannya atas lantai. Mamat Bukit angkat kepalanya dan isterinya menyorongkan bantal.

“Ikat tangannya saja, bukan apa-apa sekadar untuk berjaga,” isteri Samad Perang segera mematuhi arahan dari Sajono.

Dalam beberapa minit saja, kami yang berada di situ sudah dapat mendengar suara dengkur Samad Perang.

“Selesai atau ada lagi Kiai?” cukup hati-hati Mamat Bukit mengajukan pertanyaan pada Sajono yang sedang duduk termenung macam memikirkan sesuatu.

“Ada lagi ke Kiai?” ulang Mamat Bukit.

“Untuk malam ini dah selesai, malam esok saya datang untuk menamatkannya,” Sajono bangun.

Saya dan Datuk juga berjalan dalam ruang rumah dua kali. Bermula dari arah selatan menuju ke utara dan berhenti di muka pintu.

Dia merenung malam yang gelap, merenung pokok-pokok yang tertegun di halaman. Kokok ayam bertambah kerap. Udara sejuk kian terasa.

“Saya nak pulang,” kata Sajono pendek dan ketika itu juga saya terdengar jam dinding di rumah Samad Perang berbunyi sebanyak dua belas kali.

Mamat Bukit segera turun ke tanah. Isteri Samad Perang membawa lampu gasolin ke muka pintu.

Cahaya daripada lampu gasolin menerangi sebahagian daripada kawasan halaman rumah.

“Saya hantarkan Kiai,” ujar Mamat Bukit sambil menolak basikal tua keluar dari bawah rumah.

Sajono memijak mata anak tangga dengan teliti. Dia akhirnya menyarungkan selipar kulit ke kaki. Berdiri di situ sejenak.

“Malam esok saya datang lagi, saya minta sediakan rotan halus atau rotan seni yang panjangnya kira-kira tiga kaki,” Sajono meninggalkan pesan pada isteri Samad Perang.

“Saya balik dulu, malam esok saya harap awak datang,” Sajono merenung muka Datuk.

“Dengan izin Allah saya akan datang,” balas Datuk.

“Saya harap Allah akan memperkenankan permintaan awak,” balas Sajono lalu bersalaman dengan Datuk.

“Jaga suami awak baik-baik, saya rasa malam ni dia akan tidur sampai siang. Kalau takut, cari kawan,” Sajono renung isteri Samad Perang.

“Baik Kiai, saya jaga dia.”

“Lepas hantar Kiai, saya datang ke mari,” cara mendadak Mamat Bukit bersuara.

“Bagus,” celah Datuk.

Sajono renung muka saya dan tangan kanannya menepuk bahu kiri saya.

Sajono terus duduk di bahagian belakang basikal. Mamat Bukit pun kayuh basikal tanpa lampu membelah malam yang gelap.

“Hebat, naik basikal malam tak berlampu,” kata saya.

“Mamat sudah biasa begitu,” sahut isteri Samad Perang.

Datuk ketawa kecil, seolah-olah memberitahu saya, itulah keistimewaan orang kampung yang tidak kenal dunia moden, tidak kenal lampu elektrik di tepi jalan.

Tetapi, mereka tidak pernah mengeluh dengan keadaan itu, mereka hadapi dengan tenang dan penuh cabaran.

“Kami balik dulu,” beritahu Datuk pada isteri Samad Perang.

“Selamat jalan, jangan lupa malam esok datang lagi.”

“Kalau tak ada sakit demam dan umur pula panjang, saya sampai," jawab Datuk.

Saya dan Datuk sampai ke rumah hampir pukul satu subuh. Nenek menyambut kami dengan wajah yang masam di muka pintu.

Tetapi, Datuk tetap memberikan senyum yang paling manis untuk seorang isteri yang setia, seperti nenek.

“Janda mana yang awak gila, anak dara mana yang awak intai hingga jauh malam baru sampai ke rumah,” gegendang telinga saya menangkap suara nenek.

“Tak ada janda, tak ada anak dara, yang ada awak seorang aje, sebab itulah saya balik ke rumah,” tingkah Datuk yang diakhiri dengan ketawa pendek.

Nenek terus diam dan merapatkan daun pintu serta menguncinya sekali.

Saya terus merebahkan badan di bilik kecil yang dikhaskan untuk saya. Semua yang saya lihat dan alami di rumah Samad Perang terbayang kembali.

Sukar untuk dipercayai dengan fikiran yang waras, bila seseorang menyuruh sesuatu yang dianggap jahat dan baik keluar dari tubuh manusia, kemudian mengizinkan benda yang baik menguasai hati dan perasaan manusia seperti yang dilakukan oleh Sajono pada Samad Perang.

Andainya, kalau saya ceritakan pada orang lain tentang kejadian itu, pasti orang yang mendengarnya ketawa dan mengira perkara itu tidak masuk akal lalu menuduh saya pembohong.

Tetapi, perkara yang tidak masuk di akal itulah yang saya saksikan dengan mata kepala saya sendiri.

Memang aneh, dunia dan manusia tidak dapat dipisahkan dari menjalani kejadian-kejadian aneh yang kadang-kadang tidak masuk di akal, kata hati kecil saya sambil menarik selimut. Akhirnya saya terlelap.

Saya terjaga dari tidur, bila Datuk menarik kaki saya dengan kuatnya.

“Bangun, jangan dilayan kemahuan hati, nanti kau berkawan dengan syaitan, bangun sembahyang Subuh,” katanya keras.

Saya tidak boleh membantah. Saya pun bangun dan menjalankan rukun Islam kedua.

Datuk sengaja pulang lewat ke rumah Samad Perang malam ini. Kata Datuk tidak guna pergi awal, Sajono sendiri sudah mengatakan yang dirinya akan sampai ke rumah tersebut pukul dua belas tengah malam.

“Pukul sebelas kita bertolak dari rumah, sementara itu biar aku membaca Quran,” beritahu Datuk pada saya.

Rasa gembira menguasai hati saya, bila mendengar keputusan dari Datuk.

“Kau pergi baca surah Yasin,” ujar Datuk lagi.

“Saya baca dalam bilik tok.”

Tanpa membuang masa saya masuk ke bilik. Pintu bilik saya kunci dari dalam.

Membaca surah Yasin, bukanlah satu tugas yang menyenangkan hati saya, lebih-lebih lagi kalau ada tugas lain yang saya kira lebih mustahak dari itu.

Jadi, saya buat keputusan yang muktamad. Saya tidak mahu membaca surah Yasin.

Saya harus menyambung kerja saya yang terbengkalai sejak dua tiga hari yang lalu, iaitu membuat sangkar burung.

Pelita minyak tanah saya pasang dua sekali. Keadaan dalam bilik cukup terang tetapi, saya tidak puas hati.

Saya mahu cahaya yang terang lagi. Saya pasang lima batang lilin. Kemudian saya keluarkan pisau kecil serta bilah-bilah buluh yang sudah diraut dari bawah katil.

Saya pun memulakan kerja membuat sangkar burung mengikut bentuk yang saya ingini.

“Tamar kau baca Yasin atau tidur, tak dengan suara pun.”

“Saya baca tok, tapi tak boleh kuat, suara serak, tekak saya sakit.”

“Betul ke ni Tamar.”

“Betul, sumpah tok,” kata saya sambil menajamkan bilah buluh bahagian bawah, kemudian bilah itu saya tekan pada rotan yang dijadikan gelegar sangkar.

Bagi meyakinkan hati Datuk yang saya membaca surah Yasin sesekali saya tinggikan suara sambil menyebut beberapa ayat dari surah tersebut yang saya ingati.

Sambil melakukannya, saya ketawa sendirian kerana saya sudah berjaya memperdayakan Datuk.

Tepat jam sebelas malam, Datuk terus ketuk pintu bilik. Kelam-kabut saya sorongkan sangkar yang baru siap separuh ke bawah katil.

Kepala saya sarungkan dengan songkok, surah Yasin saya pegang. Pintu bilik saya buka lebar-lebar.

“Bagus, kau cucu yang baik dan mendengar cakap,” kata Datuk.

“Terima kasih tok.”

“Habis, apa lagi.”

Saya dan Datuk pun meninggalkan rumah. Nenek Cuma menghantar hingga ke kaki tangga saja.

Nenek berpesan supaya kami berhati-hati berjalan kerana banyak binatang bisa yang merayap malam.

Begitulah sikap nenek saya, dalam marah dia tetap sayangkan suami.

Setiap detik yang berlalu, tidak dipersiakan begitu saja, tetap diisi dengan doa dan harapan semoga berbahagia serta dipanjangkan usia.

“Nenekmu wanita kampung yang banyak menyerahkan harapan pada keadaan. Seorang isteri yang setia tetapi mempunyai suami yang kurang mementingkan hati dan perasaannya,” Datuk mengeluh dalam perjalanan.

“Saya sayangkan nenek tok.”

“Aku juga sayangkan dia Tamar. Kalau kau mencari isteri, carilah perempuan sebaik nenekmu.”

“Saya tak mahu kahwin tok.”

“Satu waktu, kau akan kahwin juga Tamar.”

“Dengan siapa tok.”

“Hanya Allah Yang Maha Besar akan menentukan jodohmu Tamar.” Saya tersenyum mendengar cakap Datuk.

Saya bayangkan dalam kepala wajah-wajah gadis yang saya kenali tetapi, semuanya tidak saya minati.

Kami sampai ke rumah Samad Perang. Sajono dan Mamat Bukit duduk di bawah pokok bertemankan lampu minyak tanah.

Datuk tidak menyoal kenapa mereka duduk di luar tidak di dalam rumah. Datuk tahu selagi belum tepat jam dua belas malam, Sajono tidak akan memijak lantai rumah Samad Perang.

Saya dan Datuk turut duduk di bawah pokok. Sajono yang tenang tidak banyak bercakap. Tetapi, Mamat Bukit tetap rancak bercakap dengan Datuk.

Tepat jam dua belas. Kami pun masuk ke rumah Samad Perang. Duduk di ruang tengah. Isteri Samad Perang menyerahkan rotan seni pada Sajono.

“Bagaimana keadaannya,” tanya Sajono.

“Alhamdulillah, dia tidak meracau dan terus tidur, bila dia jaga dia minta air.”

“Lagi.”

“Dia bercakap dengan baik dan mula bertanya khabar tentang kawan-kawannya.”

“Bersyukurlah pada Allah yang memberkati usaha-usaha kita,” Sajono menadahkan kedua belah telapak tangannya sambil membaca sesuatu.

Bila mulutnya berhenti bergerak, kedua belah telapak tangannya menyapu muka.

“Saya mulakan sekarang,” beritahu Sajono pada Datuk dan Mamat Bukit.

“Silakan,” jawab Mamat Bukit dan Datuk serentak.

Sajono terus membuka kunci pada rantai besi yang mengikat tangan Samad Perang.

“Bangun,” Sajono kejutkan Samad Perang, tergesa-gesa Samad Perang, gosok kelopak mata serta duduk bersila di depan Sajono.

Tangan kanan Samad Perang dijamah oleh Sajono, tiap sendi jejari tangan itu dipicitnya berkali-kali.

Kemudian Sajono mengikat jejari tangan kanan itu dengan rotan seni. Bila dirasakannya ikatan itu sudah cukup kejap, Sajono terus merentapnya dengan kasar sekali.

Samad Perang kelihatan cemas wajahnya berkerut menahan rasa sakit. Samad Perang terus menjerit dan meronta-ronta.

Sajono terus memegang hujung rotan dengan sekuat hatinya. Samad Perang berpusing-pusing di lantai, dia bagaikan kehilangan tenaga untuk berdiri dan jejari tangan kanannya yang diikat dengan rotan, kelihatan lembik.

Samad Perang terus lemah, suaranya bagaikan tidak keluar ketika itu juga Sajono meratapinya, lalu menepuk belakangnya.

Saya lihat Samad Perang terus kaku, macam patung kayu tetapi, kelopak mata masih boleh dipejam celikkan.

“Syaitan masih mahu mengganggunya lagi,” Sajono renung muka Mamat Bukit.

Cepat-cepat Mamat Bukit anggukkan kepala. Datuk juga begitu.

Samad Perang rebah perlahan-lahan atas lantai. Tetapi Sajono segera memulihkan badan Samad Perang yang lemah itu dengan melucutkan rotan yang mengikat kelima-lima jari kanannya.

“Samad,” kata Sajono.

“Ya.”

“Kau kenal dengan saya?”

“Tak kenal, awak siapa?”

“Saya Sajono, datang untuk berusaha memulihkan sakit dan Allah mengizinkan usaha itu, kau beransur sembuh.”

“Terima kasih.”

“Ingat Samad, Allah itu Maha Besar, Maha Mengetahui, tidak ada kuasa yang boleh mengatasi kuasa Allah, penunggu itu syaitan.”

“Saya faham,” kata Samad Perang.

Sajono tersenyum merenung kami. Dia menyerahkan rotan yang telah digunakannya pada isteri Samad Perang.

Dia pun membaca doa kesyukuran pada Allah yang telah memberkati segala usahanya itu.

“Hantarkan saya pulang,” Sajono mengemukakan pertanyaan pada Mamat Bukit yang bersandar di dinding.

“Terlalu cepat nak balik,” kata Datuk pula, muka Sajono di renungnya lama-lama.

Sajono membetulkan songkoknya. Dan hujung kain pelikat di bahu dirabanya berkali-kali.

“Niat dari rumah untuk menolong orang, bila niat sudah tercapai, mesti pulang, hidup tidak boleh banyak cabang nanti ditumpangi syaitan,” Sajono memberikan ceramah pendek. Datuk anggukkan kepalanya.

“Apa puncanya sakit kawan saya ni Kiai,” Mamat Bukit menyoal.

“Amalan yang baik tapi tersilap langkah itu saja silapnya.”

“Maksud Kiai.”

“Saya cuma dapat memberi tahu setakat itu saja.”

Sajono pun bangun melangkah menuju ambang pintu. Mamat Bukit segera memintas di depannya dan terus menuju ke tanah.

Dalam beberapa minit saja, Mamat Bukit sudah sedia dengan basikal buruk di kaki tangga.

“Semoga Allah akan memberkati perjalanan awak,” suara Datuk pendek.

“Mudah-mudahan,” jawab Sajono.

Mamat Bukit pun kayuh basikal. Saya dan Datuk berpandangan, ketika itu juga saya terdengar suara dari isteri Samad Perang menyuruh kami duduk untuk minum kopi panas. Permintaan itu tidak kami hampakan.

Samad Perang yang sudah pulih itu turut sama duduk dekat Datuk. Terlalu banyak yang Samad Perang tanyakan pada Datuk berhubung dengan dirinya.

Semua pertanyaan itu tidak perlu dijawab oleh Datuk. Isterinya menjelaskan kedudukan yang sebenar.

Di malam yang singkat itu, tanpa diminta oleh sesiapa Samad Perang menceritakan pada Datuk dan saya bagaimana nama perang tercantum di hujung namanya.

Menurut Samad gelaran perang di hujung namanya itu diperolehi waktu zaman darurat dulu.

Ketika itu dia berkhidmat dalam pasukan keselamatan.

"Saya jadi polis di bahagian Jungle Squad, setiap kali saya membawa orang-orang saya masuk hutan, pasukan yang saya pimpin selalu kena serang dan sejak itu nama saya ditambah dengan perkataan perang kerana bila masuk hutan saya mesti berperang dengan komunis,” kata Samad Perang dengan nada suara yang rendah.

Tetapi, wajahnya tetap membayangkan rasa bangga dan megah.

Samad Perang juga memberitahu kami, ketika berkhidmat dalam pasukan keselamatan jugalah, dia belajar ilmu yang bertujuan untuk mempertahankan dirinya dari serangan pihak musuh.

“Apa ilmu yang kau belajar?” tanya Datuk.

“Ilmu kebal, saya juga mandi minyak dan lain-lain lagi hingga saya diberikan oleh guru saya selendang merah.”

“Di mana kau belajar semuanya itu?”

“Waktu saya bertugas di Cincin, Melaka.”

“Apa yang kau dapat dari ilmu yang kau tuntut itu.”

“Bila saya masuk hutan, saya pakai selendang merah, komunis tidak sanggup menentang pasukan yang saya pimpin terlalu lama.”

Datuk terdiam mendengar keterangan dari Samad Perang. Isterinya tersenyum mendengar cerita suaminya.

Samad Perang nampak bersih, biji matanya merenung tulang bumbung rumah dua tiga kali.

“Dulu, suami saya patuh dengan syarat yang diberikan oleh mahaguru, tetapi, sejak dia berhenti semua syarat-syarat itu dilupakan,” tiba-tiba isteri Samad Perang bersuara.

Biji mata Datuk terbeliak mendengarnya. Samad Perang cuma senyum saja.

“Apa syarat-syaratnya?” Datuk mula mencungkil rahsia.

Samad Perang renung isterinya, kemudian anggukkan kepala, seolah-olah memberi kebenaran pada isterinya untuk menjawab pertanyaan yang diajukan oleh Datuk.

“Apa syaratnya?” ulang Datuk lagi.

“Sembahyang lima waktu tak boleh tinggal, tidak boleh minum arak, tidak boleh berjudi dan main perempuan, setiap malam Jumaat mesti baca Yasin, tidak boleh makan minum di kedai bukan Islam,” cukup lancar isteri Samad Perang bercakap.

Saya lihat Samad Perang terdiam. Wajahnya nampak kesal. Sesekali dia menarik nafas panjang, membayangkan rasa hampa dan kecewa dalam hati.

“Semuanya saya langgar, saya minum arak, saya berjudi saya percaya pada perkara-perkara tahyul, akibatnya saya tanggung sekarang. Saya menyesal,” kata Samad Perang.

Saya simpati dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang tetapi, bila saya fikirkan yang dirinya gagal memenuhi syarat-syarat yang dicarinya sendiri. Rasa simpati itu segera hilang.

“Mulai sekarang, ikut pesan guru kamu yang baik itu dan buang perangai yang tidak baik dari dirimu,” Datuk melahirkan nasihat.

Datuk minta diri untuk pulang. Samad Perang dan isterinya mengizinkan permintaan Datuk itu.

Bila saya dan Datuk berada di halaman rumah. Mamat Bukit pun tiba. Mukanya berpeluh dalam kedinginan malam.

“Bagaimana keadaan dirinya,” Mamat Bukit bersuara.

“Nampaknya sihat dan elok.”

“Kata Kiai, dia akan pulih betul dalam seminggu dua ini. Kiai itu juga beritahu saya, guru tempat Samad Perang belajar ilmu dulu, sepupunya.”

“Apa pesannya, ilmu yang dituntut sudah luput, pesan yang baik mesti diikut, kalau tidak diikut syaitan datang lagi.”

“Sepupunya, masih ada lagi?”

“Sudah balik ke Tanah Jawa.”

Datuk bersalam dengan Mamat Bukit. Kami tinggalkan halaman rumah Samad Perang ketika Mamat Bukit memijak anak tangga pertama.

Angin malam terus bertiup lembut, menggugurkan dedaun tua. Kokok ayam mula kedengaran sayup-sayup. Saya dan Datuk terus melangkah dengan tenang.

Waktu saya dan Datuk sampai ke rumah, nenek masih belum tidur lagi. Dia menunggu kami pulang untuk makan malam bersama.

“Nasi dan lauknya masih panas, baru selesai dimasak, saya dah agak awak bersama cucu pulang dalam waktu begini,” kata nenek lalu duduk di sisi Datuk.

Kami makan dengan penuh selera, meskipun malam sudah terlalu dekat menuju ke pagi.

Sebulan kemudian, saya dan Datuk mengunjungi rumah Samad Perang. Keadaannya sudah banyak berubah, tidak mudah naik darah. Wajahnya kelihatan tenang, berhati-hati bila bercakap.

“Sejak malam itu, saya sudah insaf, saya berkawan baik dengan Sajono, saya belajar ilmu mengubat orang sakit dengan menggunakan rotan,” beritahu Samad Perang pada Datuk.

“Kau mahu jadi dukun pula?”

“Saya sudah belajar, kalau ada anak buah saya mengalami sakit macam itu, bolehlah saya gunakan ilmu yang saya tuntut.”

“Bagus, apa kau tak pernah ke hutan lagi mencari rotan?”

“Saya sudah berhenti, biarlah Mamat Bukit dan kawan-kawannya membuat kerja itu.”

“Kau buat apa sekarang?”

“Saya mengusahakan tanah di belakang rumah, saya tanam pisang dan keledek, ini sumber rezeki saya.”

“Pelik?”

“Tak pelik, saya tak mahu buat kerja maksiat.”

“Maksud awak?”

“Masa mencari rotan dulu, sayalah kepala memuja tunggul buruh, pokok besar untuk mencari kekayaan.”

“Aku tak faham Samad.”

“Saya jadi kepala menurun nombor ekor, memang kami berjaya dapat duit ekor sampai lima enam ribu, tapi duit habis begitu saja. Duit haram tetap panas,” Samad Perang mengeluh.

Datuk tersenyum kerana sudah mengetahui rahsia sebenar kenapa Samad Perang menentang bermati-matian ketika dia menyertai rombongan Mamat Bukit mencari rotan dulu.

“Sudahlah Samad lupakan semuanya itu,” kata Datuk dengan tenang. Samad Perang ketawa.

“Sebulan dua lagi, saya nak pindah ke Kuala Lumpur, anak saudara saya mengajak saya ke sana, katanya di sana ada banyak peluang berniaga,” terkejut juga saya mendengar cakap Samad Perang itu.

Saya harap apa yang diucapkannya itu tidak akan menjadi kenyataan.

“Kau bergurau atau sungguh-sungguh,” tanya Datuk.

“Apa yang dicakapkannya tu betul, saya dah pergi ke Kuala Lumpur, saya sudah menandakan tanah untuk dibuat rumah, anak saudara saya yang buat semuanya ini,” jawab isteri Samad Perang.

“Di mana? Di Kuala Lumpur tu luas,” soal Datuk lagi.

“Di Kampung Nakhoda, dekat Batu Caves, pacak rumah dulu, sementara nak bertapak, malam saya nak jual mee, siang Samad menjual ikan dan sayur di pasar Selayang,”

“Banyak modalnya itu.”

“Anak saudara yang keluarkan modal dulu,” tambah isteri Samad Perang.

Beberapa bulan kemudian, Samad Perang dan isterinya pindah ke Kuala Lumpur.

Berita terakhir yang saya dengan dari kawan-kawannya, Samad Perang sudah menjadi ahli perniagaan yang berjaya di Kampung Nakhoda.

Tanah haram yang didudukinya, sudah menjadi miliknya sendiri. Dia mendirikan rumah batu dua tingkat. Samad Perang banyak menghabiskan masa lapangnya di masjid.

Saya gembira mendengar berita itu dan berharap Samad Perang tidak akan jatuh dalam dunia perniagaannya, kalau dia jatuh, saya bimbang dia akan membuat kerja lamanya menyembah tunggul dan pokok-pokok besar untuk meminta nombor ekor.

“Allah memberikan jalan yang baik untuknya, semoga dia akan jadi manusia yang berguna pada agama, saya senang dengan cara saya mencari rezeki dengan memanjat bukit untuk mencari rotan,” kata Mamat Bukit, bila dia mendengar berita tentang kawan karibnya itu.

Tamat siri 57/284

BACA: SBDJ Siri 56: Bomoh Terjun
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Sunday, April 28, 2019

Legenda Cik Siti Wan Kembang, Srikandi Yang Memancung Kepala Raja Thai

Legenda Cik Siti Wan Kembang, Srikandi Yang Memancung Kepala Raja Thai

Ada sebuah kisah tentang satu susuk tubuh bernama Adruja Wijayamala Singa. Seorang raja dan agamanya Islam dari keturunan Maharaja Srivijaya daripada dinasti Mauli iaitu Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa.

Legenda Cik Siti Wan Kembang
Legenda Cik Siti Wan Kembang.

Adruja adalah sebutan yang dipendekkan daripada perkataan “aadhi raja” yang membawa maksud raja yang besar, mulia, tinggi darjat, yang utama, terbaik malah membawa maksud pemuka pasukan perang.

Wijayamala pula membawa maksud bunga seroja sakti yang berdasarkan mitologi kononnya mampu menghidupkan orang yang sudah mati. Singa pula sudah tentu kita semua tahu mengenai raja haiwan ini. Berani, gagah dan perkasa.

Seperti namanya, Adruja membuktikan bahawa dia adalah seorang raja mulia yang sangat sakti dalam mempertahankan negara, bangsa dan agama dan dalam masa yang sama seberani, segagah dan sehebat sang singa.

Ini kisah bagaimana anak kepada Sultan Muhammad atau Raja Sang Tawal yang memerintah sebuah kerajaan Melayu bernama Malayur yang terletak di kawasan sekitar Segenting Kra.

Seperti nenek moyangnya, Adruja bakal memahat sejarah sebagai seorang pembela yang terhebat dalam sejarah Melayu itu sendiri.

Ini kisah perseteruan antara Adruja dan juga Rama Khamhaeng, seorang raja kejam lagi zalim dari bumi Thailand yang tidak habis-habis cuba melanggar semenanjung Tanah Melayu sebelum dia menemui lawannya yang paling setimpal!

Gadis ini dilahirkan pada zaman Kerajaan Sukothai yang acap kali menyerang Malayur. Pada usia yang kecil lagi, Adruja menunjukkan bahawa beliau bakal menjadi seorang srikandi yang hebat.

Menunggang kuda dan memanah serta aktiviti lasak lain seperti bermain senjata seperti kelewang sudah mengalir dalam setiap saraf darahnya, tetapi sisi keindahan seorang hawa masih lagi tertanam disebalik peribadi seorang panglima yang dimilikinya.

Kononnya, Adruja amat menyukai wangian kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur.

Namun demikian, Adrujha dikatakan bujang sehingga akhir hayatnya. Ini mungkin berkaitan dengan cabarannya kepada sesiapa sahaja yang mahu memperisterikannya, harus menewaskan dirinya dalam pertarungan satu lawan satu.

Sehingga kini, kita boleh beranggapan bahawa oleh kerana Adruja sendiri tidak mempunyai suami, mungkin tidak ada mana-mana lelaki yang mampu mengalahkannya dalam pertarungan satu lawan satu sepanjang usianya.

Apabila usianya meningkat belasan tahun, maka Adruja dikatakan sering mengikuti ayahnya ke medan perang.

Adruja selalu diberi amanah untuk membawa panji kibaran Malayur dalam peperangan melawan Sukothai.

Selain itu, Adruja juga berperanan memberi rawatan kepada tentera-tentera ayahandanya yang tercedera dalam medan perang.

Terdedah kepada perang sejak usia remaja, meskipun bergelar seorang wanita, Adruja mula membuka mata betapa negaranya sedang di ambang kemusnahan.

Pegunduran demi pegunduran yang berpunca daripada ketidakmampuan melawan serangan membuatkan dia bertekad untuk menubuhkan pasukan khasnya sendiri demi melawan Sukothai yang terdiri daripada kaum wanita. Kerana sayangkan anakandanya, maka Sang Tawal terpaksa memperkenankan permintaan Adruja.

Pada asalnya, Adrujha menghampiri anak dara yang belum berkahwin, namun semuanya ditolak. Maka datanglah para janda muda yang telah kematian suami mereka di medan perang akibat berperang dengan Sukothai, bersetuju untuk menyertai pasukan yang ditubuhkan oleh Adruja.

Selepas merasakan bahawa latihan yang dijalankan ke atas pasukan itu sudah cukup untuk membolehkan mereka turun berperang, maka Adruja pun menghadap Raja Sang Tawal yang ketika itu sedang bermesyuarat dengan panglima-panglima perang.

Lantas ketika itu, Raja Sang Tawal diajak bersama para panglima perangnya ke tingkap istana, untuk memperkenalkan para pasukannya.

Namun, oleh kerana pasukan itu dianggotai oleh kaum wanita, maka ada panglima yang memperkecilkan kemampuan mereka.

Ini memaksa Adruja yang mengamuk lalu menarik salah seorang daripada kumpulan panglima itu menghadap tingkap, lalu Adruja memberikan arahan kepada salah seorang anak buahnya dari bawah istana supaya memanah panglima itu.

Anak panah tersebut dikatakan hanya beberapa inci sahaja daripada memamah wajah panglima, membuatkan seluruh isi bilik itu tergamam. Apa yang dilakukan oleh Adruja membuatkan para panglimanya terpaksa akur.

Dugaan pertama yang melanda pasukan janda yang dinamakan sebagai Sriwijayamala itu ialah serangan ke atas salah satu daripada kampung di bawah Mayaur sendiri.

Ini memaksa Adruja mengerahkan pasukan Sriwijayamala, menggempur sendiri pasukan pembuat kacau itu.

Berkat kepimpinan Adruja, akhirnya pasukan tersebut berjaya menang ke atas tentera dari Sukothai itu. Khabar kemenangan itu mula masyhur ke seluruh Malayur dan sampai ke telinga Raja Sang Tawal.

Ram Khamhaeng pula terbakar mendengar khabar bahawa tiada seorang pun tentera Sukothai yang terselamat selepas dikalahkan oleh sepasukan tentera wanita.

Dendamnya semakin membara lalu dikerahkan tentera untuk melanggar Malayur buat kali kedua.

Asalnya, Sang Tawal tidak membenarkan Adruja dan pasukannya untuk turut serta dalam peperangan namun, legenda mengatakan tentang kemunculan seorang lelaki tua yang menggalakkan Adruja menyelinap keluar dari kota.

Dihadiahkan kepada Adruja sebuah tasbih untuk dipakai ketika turun ke dalam medan perang.

Di medan perang, pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang meredah dan merempuh apa sahaja di hadapan mereka.

Tentera dan kuda habis dibelit dengan belalai, dipijak dengan kaki atau dirodok oleh gading gajah dan Adruja akhirnya bertemu Rama Khamhaeng yang sedang berada di atas sebuah gajah.

Raja agung Siam itu berjaya dijatuhkan dari atas gajahnya lalu kepalanya ditebas oleh pasukan Adruja.

Ketika itu, pasukan Siam tergamam melihat apa yang sudah berlaku kepada raja mereka lalu menyerah kalah dalam peperangan. Peristiwa hebat ini berlaku pada 1317 Masihi.

Dipendekkan cerita, serangan bertali arus dari pewaris Rama Khamhaeng, iaitu Loethai, maka jatuhlah Malayur dan Raja Sang Tawal pun berundur sehingga ke Sanjura, lalu mengarahkan supaya dibina sebuah kota untuk dijadikan sebagai pusat pemerintahan yang baharu pemerintahan beliau.

Cik Siti Wan Kembang

Raja Sang Tawal juga telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja sebagai mengenang jasa puteri kesayangannya itu yang telah berperang demi tanah air serta menebas kepala Raja Rama Khamhaeng.

Negeri tersebut diberi nama Serendah (Seri Indah) Sekebun Bunga atau nama lainnya, Kisaran Payung. Beliau digelar Cik Siti Wan Kembang.

Lama-kelamaan, gelaran tersebut telah menjadi gelaran rasmi bagi semua raja perempuan yang memerintah negeri tersebut.

Hari ini, kita semua mengenali Adruja Wijayamala Singa sebagai Cik Siti Wan Kembang pertama yang memerintah bumi Kelantan.

Negeri yang diperintah oleh Adruja menjadi semakin maju sehingga ia dikunjungi oleh seorang pengembara Islam yang terkenal dalam sejarah iaitu Ibnu Battuta.

Beliau telah singgah di Kuala Krai pada 1345 Masihi dan ketika itu dan telah menghadap seorang raja perempuan beragama Islam merujuk kepada Adruja.

Kejelitaan yang dimiliki oleh Adruja disamakan dengan kejelitaan puteri Turki dan baginda sendiri bertutur dalam Bahasa Turki ketika bercakap dengan Ibnu Battuta.

Bahkan, kaum perempuan di kerajaan yang diperintah oleh Adruja dikatakan sangat gagah, cekap menunggang kuda dan mampu memanah seperti seorang lelaki taranya.

Saudari kandung Adruja iaitu Puteri Chandana dikahwinkan dengan pemerintah kerajaan Samudera-Pasai iaitu Sultan Malikul Zahir I.

Namun demikian, Adruja dikatakan membujang sehingga akhir hayatnya namun, ada cerita menarik mengenai hayat bujangnya.

Keunggulannya dalam peperangan pada tarikh 1317 Masihi telah tersebar ke seluruh alam Melayu. Maka berduyun-duyun putera raja cuba melamar baginda.

Namun, semuanya diberi syarat bahawa dia hanya akan berkahwin dengan putera raja yang mampu mengalahkannya dalam pertempuran.

Tiada siapa yang berani berbuat demikian kerana kegerunan akan kehebatan dan kegagahannya.

Kemudian, sampai satu detik dalam hidupnya, baginda merasakan perlunya seorang teman dan telah meminta Pateh Jina, seorang pembesar kerajaan ayahandanya yang mahir melukis untuk mengembara ke serata alam Melayu untuk melukis potret putera-putera raja seluruh alam Melayu.

Bertahun lamanya Pateh Jina mejelajah kerajaan-kerajaan sekitar alam Melayu dan beliau telah berjaya melukis 99 potret putera raja, akhir sekali beliau berangkat ke Samudra dan melukis potret putera raja yang ke-100.

Putera tersebut bernama Raja Muda Abdul Jalil, putera kepada Al Mulikuz Zahir II dari Samudera Pasai berpangkat dua pupu baginda.

Adruja telah jatuh hati sekilas menatap potret Raja Muda Abdul Jalil dan asalnya mereka berdua bakal berkahwin namun jodoh tidak kesampaian apabila ada urusan peperangan dengan kerajaan lain yang harus diuruskannya.

Maka tersebutlah seterusnya dalam sejarah betapa srikandi teragung dalam sejarah Melayu ini tidak berkahwin sehingga akhir hayatnya.

Sesungguhnya, semangat perjuangan Adruja Wijayamala Singa patut dikenang oleh kita semua. Baginda tidak pernah gentar dalam mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.

Biar bergadai nyawa sekalipun, baginda tidak sanggup melihat anak bangsanya dijajah oleh bangsa asing. Kita semua haruslah mempunyai semangat itu dalam diri. Biar putih tulang, jangan putih mata!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Pokok Zaitun, Penanaman, Manfaat Dan Khasiatnya

Pokok Zaitun, Penanaman, Manfaat Dan Khasiatnya

Buah Zaitun atau Olive (Olea europaea) yang dihasilkan dari pokok zaitun merupakan sejenis tumbuhan dari keluarga Oleaceae, merupakan tumbuhan paling tua didunia berasal dari kawasan Mediterranean dengan pokok dilaporkan mampu hidup sehingga lebih 1,000 tahun.

Pokok Zaitun
Buah Zaitun.

Tumbuhan ini boleh tahan dalam keadaan suhu panas, kemarau dan keadaan tanah yang agak masin (high salinity) serta mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dalam masyarakat sejak zaman kuno lagi.

Zaitun merupakan sejenis buah yang telah ditanam dan digunakan sejak zaman purba Mesir lagi. Kehebatan buah zaitun telah di tulis dalam AlQuran iaitu, "Makanlah minyak zaitun dan lumurlah minyaknya, kerana ia berasal daripada pohon yang penuh berkat." (Riwayat At-Tirmizi dan Ibnu Majah)'

Dan ayat ini, "..yang dinyalakan dengan minyak yang banyak faedahnya (iaitu) zaitun yang tumbuh tidak di sebelah timur dan tidak pula di sebelah barat, yang minyaknya (sahaja) hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api.."

Ini juga menunjukkan yang pokok dan buah zaitun merupakan sejenis tumbuhan yang sangat berguna dan telah diperdagangkan semenjak 2,000-3,000 tahun sebelum masihi lagi.

Pokok Zaitun telah tersebar di kawasan Mediterranean, Afrika Utara dan Eropah kerana mudah dibiakkan dengan cara vegetatif dalam keadaan cuaca kering.

Pengeluar Buah Zaitun

Penanaman pokok zaitun diseluruh dunia kini dilaporkan oleh 39 buah negara dimana pengeluaran seluruh dunia sebanyak 19.6 juta metrik tan pada tahun 2011 (Laporan FAO Statistic). Nilai pengeluaran pula adalah dilaporkan sebanyak USD15.7 bilion pada tahun tersebut. Tanaman pokok zaiton atau olive tree menjadi satu industri yang sangat penting di dunia.

Negara utama pengeluar buah zaiton terbesar di dunia adalah Sepanyol yang menghasilkan sebanyak 6.9 juta metrik tan setahun diikuti oleh Itali (3.2 juta mt), Greece (2.0 juta mt), Turki (1.75 juta mt ), Morroco (1.36 juta mt), Syria (1.09 juta mt), Tunisia, Mesir, Portugal dan Algeria (420,000 mt).

Amerika Syarikat juga menanam seluas 32,000 hektar pokok zaiton yang menghasilkan sebanyak 94,500 mt buah zaitun setahun terutama di kawasan California sebagai tanaman yang penting. Kadar penghasilan di catatkan adalah sebanyak 5,700 lbs seekar.

Pokok zaiton berkayu keras dengan banyak cabang dimana mampu mencapai ketinggian 8-15 meter. Batang pokok ini sangat besar dan seakan berpusar (typically gnarled and twisted) apabila mencecah umur ratusan tahun.

Kayu keras pokok zaiton boleh digunakan dalam industri perabot dan paling popular dikalangan orang Islam adalah untuk dibuat Tasbih kerana kayunya berminyak serta mengeluarkan bau harum.

Daunnya berbentuk Bulat lonjong (Oblong) dengan warna dun hijau perak berukuran sekitar 4-10 cm panjang dan 1-3 cm lebar. Penyusunan daun adalah bertentangan (opposite) dengan hujung daun berbentuk tajam serta agak tebal. Lazimnya umur daun adalah selama 2 tahun sebelum gugur ketanah.

Bunga pokok zaiton bersaiz kecil dengan terbit dalam 'racemose panicles' berwarna putih dalam jambak. Satu jambak selalunya mengandungi antara 15-30 kuntum bunga kecil terbit dari dahan berumur lebih dari satu tahun sahaja.

Bagaimanapun, banyak berlaku keguguran bunga dan hanya meninggalkan antara 1-3 bunga sahaja untuk pendebungaan berjaya. Setiap kuntum bunga mempunyai 4 kelopak dengan dua stamen.

Bunga ini menjalankan pendebungaan sendiri oleh faktur angin tetapi jika berlaku pendebungaan bersilang oleh kultivar tertentu mampu menghasilkan fruit-set lebih tinggi.

Buah zaitun adalah dalam bentuk Buah Drupe yang kecil dengan saiz sekitar 1-2.5 cm sahaja (Oblong) dengan warna hijau semasa muda dan akan bertukar warna kepada hijau kuning, merah gelap atau ungu apabila cukup masak bergantung kepada varieti.

Kulitnya licin dan seakan berkilat atau berminyak. Buah ini memerlukan masa selama 6-8 bulan sebelum masak sepenuhnya untuk dituai.

Buah zaitun ini yang digunakan untuk banyak kegunaan terutama untuk menghasilkan 'MINYAK ZAITUN" atau nama Inggerisnya 'Olive Oil" dan boleh digunakan untuk dalaman (kesihatan) juga luaran (kecantikan). Ia merupakan syarat utama untuk gaya hidup yang lebih sihat.

Ia digunakan dalam pembuatan produk kecantikan kerana cirinya yang boleh melembutkan kulit. Ia merupakan minyak semulajadi yang terbaik dan pilihan utama untuk tumbesaran. Paras asid yang rendah memudahkan penghadaman berbanding lemak lain.

Vitamin E dalam minyak zaitun merendahkan kolesterol LDL, tekanan darah dan risiko sakit jantung koronari. Vitamin K pula menghalang darah dari melekit dan membeku.

Kesimpulannya, minyak zaitun tulen mengandungi perlindungan kesihatan, ia mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, arteriosklerosis dan pelbagai masalah akibat proses penuaan. Sila baca artikel seterusnya yang membincangkan mengenai buah zaitun.

Penanaman Pokok Zaitun

Tanah untuk tanaman pokok zaitun boleh dari pelbagai jenis tanah daripada tanah mineral, tanah agak masin atau pH tanah agak tinggi. Pokok ini toleran pada pH tinggi dan juga tanah mengandungi unsur Boron tinggi.

Pokok boleh tahan dalam keadaan tanah panas dan kering tetapi akan mati jika akarnya terendam dalam air selama 1 minggu.

Kawasan yang mempunyai iklim panas dan kering dengan kelembapan rendah seperti di Mediterrnean sangat sesuai untuk tanaman zaitun.

Negara yang mempunyai kelembapan tinggi seperti di Malaysia tidak sesuai untuk tanaman ini kerana mudah diserang penyakit terutamanya kulat dan juga pertumbuhan tidak seimbang.

Beberapa varieti yang di tanam di California USA juga didapati tahan kepada keadaan suhu sejuk (sekitar 5-15 Fahrenheit) tetapi untuk jangkamasa tidak terlalu lama.

Penanaman pokok zaitun di Malaysia mungkin memerlukan kajian lanjut untuk melihat kesesuaian dengan varieti baru yang mungkin sesui dengan kelembapan tinggi, hujan lebat dan juga suhu tropika yang panas sepanjang tahun.

Penanaman pokok zaitun lazimnya akan menggunakan bahan keratan batang yang kemudian akan disemai dalam nurseri. Anak benih pokok zaitun memang cepat mengeluarkan akar sama ada ia dari keratan batang, keratan akar atau dari Ovulli.

Anak benih yang disemai dibiarkan beberapa bulan sehingga sesuai untuk ditanam diladang. Kaedah penanaman pokok zaitun secara tradisional adalah dengan mengisi kawasan tanah kosong atau tanah lapang dimana kadar kepadatan lazimnya sekitar 40 pokok seekar.

Dalam sistem tanaman moden pada tanah baru pula, pokok ditanam dalam barisan dengan kepadatan sekitar 40-60 pokok sehektar.

Bentuk susunan tanaman dan sistem percabangan tanaman zaitun seakan menanam pokok limau manis. Jalankan pangkasan atau cantasan pucuk selepas pokok mencecah ketinggian 0.8-1.2 meter untuk membenarkan pokok tidak terlalu tinggi bagi menggunakan mekanisasi jentera ladang ketika menuai.

Cantasan dengan membuat sistem dahan terbuka (Open branching system) akan mengurangkan risiko serangan kulat dan juga memberikan bentuk pokok seimbang.

Kawalan rumpai dan sistem pengairan dijalankan mengikut kesesuaian kawasan dan keadaan faktur cuaca. Pembajaan diberi mengikut keperluan dan umur pokok.

Pohon Buah Zaitun
Pokok Zaitun.

Buah zaitun muda berwarna hijau dan apabila masak akan menjadi hijau kekuningan, merah gelap atau ungu bergantung kepada varieti. Buah agak keras sedikit (firm) yang lazimnya pada pertengahan musim gugur hingga musim luruh.

Apabila warna buah menjadi kehitaman atau ungu maka lazimnya kandungan minyak zaitun mencecah 20-30% dan sesuai dipetik.

Kaedah memetik buah zaitun secara tradisional dengan 3 cara menggunakan tenaga kerja yang banyak. Buah yang masak akan gugur dan dikutip selain daripada memilih buah masak yang belum gugur dan cara memetik ketiga dengan memukul dahan pokok untuk jatuhkan buah. Hamparan plastik diletakkan dibawah pohon yang hendak dituai agar buah tidak jatuh ketanah.

Kaedah memetik buah zaitun dengan jentera dinegara maju ladang komersil lebih cepat dan cekap. Jentera khas akan melalui barisan tanaman zaitun yang dikawal ketinggiannya dan alat kkas akan menggegarkan pokok lalu buah yang jatuh masuk dalam konveyor yang masuk kedalam kontena.

Buah yang dipetik akan dikumpulkan dan perlu digredkan mengikut saiz, indeks kematangan dan juga warna sebelum dijual.

Bagi tujuan buah zaitun yang hendak diproses akan dihantar ke pusat atau kilang memproses. Buah ini akan di proses dibiarkan beberapa ketika untuk hilangkan rasa pahit akibat kandungan glucocide oleoropein.

Buah akan direndam dalam larutan 1-2% lye (Sodium hydroxide) sehingga neuteral. Pemprosesan buah zaitun menggunakan peralatan khas bagi mengisar iaitu terdiri dari dua buah batu giling yang berpusing bertentangan. Buah akan lumat dan minyaknya diekastrak dengan penapis bagi menghasilkan minyak zaitun.

Minyak segar ini tahan beberapa minggu tetapi lazimnya ia akan disimpan dalam peti sejuk pada suhu 40-50 darjah Fahrenheit dan tahan sehingga 2 tahun. Minyak ini akan dijual kepada pengilang lain bagi pelbagai produk akhir.

Begitulah teknologi penanaman dan pemprosesan buah dan minyak zaitun yang saya paparkan untuk bacaan anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: animhosnan

Ribut Solar Tahun 1770, Fenomena Aurora Paling Dahsyat Pernah Terjadi Di Angkasa

Ribut Solar Tahun 1770, Fenomena Aurora Paling Dahsyat Pernah Terjadi Di Angkasa

250 tahun dahulu pada tahun 1770, selama hampir 2 minggu langit di beberapa bahagian Asia seolah diliputi api yang marak dalam satu fenomena ganjil yang kejadian tersebut berjaya dicatatkan namun rekodnya hilang.

Ribut Solar 1770

Fenomena tersebut yang selama ini dipercayai berlaku hanya selama dua hari bermula pada 16 September hingga 18 September 1770, kini dibuktikan berlaku lebih daripada 9 hari, meliputi kawasan yang lebih besar jaraknya berbanding sangkaan awal selama ini.

Sekumpulan pengkaji Jepun diketuai Professor Hisashi Hayakawa dari Universiti Osaka telah menemui rekod-rekod sejarah bagi tempoh September 1770 hingga Oktober 1770, dalam bentuk rekod-rekod rasmi kerajaan dan catatan orang ramai.

Menggunakan bahan baru ini, mereka berjaya merungkai kisah sebenar tentang fenomena ini yang melanda Jepun dan negara-negara berdekatan.

Penemuan mereka membuktikan ribut solar yang berlaku pada 1770 itu merupakan ribut di angkasa paling panjang dan terhebat pernah berlaku di bumi, jika dibandingkan dengan satu lagi ribut solar yang pernah berlaku pada 1859 bergelar Carrington Event.

Dianggarkan kekuatan ribut solar pada ketika itu melebihi 10-12% lebih kuat berbanding ribut solar Carrington pada 1859, yang selama ini disangkakan paling buruk pernah terjadi di bumi.

Masyarakat bumi pada ketika itu bernasib baik, kehidupan mereka belum bergantung kepada elektrik. Jika tidak, bencana yang lebih buruk akan berlaku.

Carrington Event hanya berlaku selama 2 hari menyebabkan kerosakan pada sistem telegraf di Eropah dan Amerika Utara, selain mengakibatkan ada di antara operator telegraf mengalami kejutan elektrik dan ada litar yang menyala sendiri tanpa dihidupkan.

Apa akan berlaku jika ribut solar sekuat ribut 1770 berlaku sekarang?

Ribut Solar

Pengkaji NASA sejak dulu kerap memberikan amaran berkenaan kesan cuaca angkasa dan kesan buruknya ke atas bumi.

Risiko yang bakal kita tanggung akibat ribut solar ketika ini amat berbeza dengan apa yang pernah berlaku dalam tahun 1770 dan 1859 kerana elektrik sudah menjadi sebahagian daripada keperluan kita.

Menurut Professor Hayakawa, jika bumi mengalami ribut solar dalam tempoh yang panjang ketika ini, orang ramai akan menghadapi kerosakan disebabkan oleh gelombang magnet yang timbul kerana ia mampu merosakkan banyak peralatan elektrik.

Gelombang magnetik ini akan menyebabkan kerosakan pada sistem komunikasi, pendedahan radioaktif pada pesawat, kerosakan sistem GPS dan sebagainya.

Pasukan tentera udara Amerika Syarikat juga mempunyai unit khas mengkaji kewujudan pancaran solar dari matahari bagi memastikan tidak ada penerbangan dilakukan sekiranya pancaran solar mengenai bumi kerana ini akan menyebabkan peralatan penerbangan terjejas.

Menurut satu kajian yang dilakukan pada tahun 2008, andai ribut solar sekuat Carrington Event berlaku pada zaman moden, mereka menganggarkan kerosakan berjumlah USD$2 trilion perlu ditanggung.

Menurut Professor Hayakawa, ribut solar yang berlaku pada tahun 1770 di Asia yang kini dibuktikan berlaku lebih panjang pasti memberikan impak negatif yang lebih besar pada masyarakat dunia dengan jumlah kerugian lebih besar.

Penduduk bumi sebenarnya bernasib baik kerana pada 23 Julai 2012, ribut solar yang sama kuatnya dengan Carrington Event dianggarkan berlaku.

Namun, letusan daripada matahari tidak terpancar terus ke bumi seperti yang berlaku semasa Carrington Event, kerana pusingan gas di matahari terlambat selama 9 hari.

Jika letusan itu berlaku 9 hari lebih awal ketika kedudukan punca letusan dengan bumi selari, entah apalah yang akan berlaku.

Hanya sedikit kesan letusan itu mengenai orbit bumi dengan datanya berjaya dikutip oleh peranti Solar Terrestrial Relations Observatory atau STEREO ciptaan NASA, yang membuktikan gelombang itu mempunyai kekuatan antara yang terkuat jika dibandingkan dengan mana-mana ribut solar yang pernah berlaku setakat ini.

Menurut anggaran, jika ribut solar benar-benar menimpa bumi pada tahun 2012, kerosakan yang perlu ditanggung oleh negara Amerika Syarikat sahaja dianggarkan sekitar $0.6 trilion hingga $2.6 trilion akibat kerosakan pada sistem komunikasi.

Seorang profesor bernama Ying D. Liu dari badan pengkaji angkasa China pula menambah, tempoh yang diperlukan bagi memulihkan kesemua fasiliti yang rosak akan mengambil masa 4 ke 10 tahun jika letusan 2012 mengenai tepat ke bumi.

Setakat ini belum ada penjelasan saintifik bagaimana angin yang membawa gelombang letusan itu dicipta oleh permukaan matahari.

Ribut Solar Seikai

Dikhabarkan, NASA dan European Space Agency sedang mengkaji permukaan matahari dan mengenal pasti bagaimana hendak meramal fenomena ini supaya penduduk bumi lebih bersedia.

Menurut kajian tahun 2012 oleh seorang pakar fizik bernama Pete Riley dari Predictive Science Inc, menggunakan data dan analisa daripada ribut solar yang pernah berlaku dalam tempoh 50 tahun sebelum ini, peluang ribut solar sekuat Carrington Event atau ribut solar 2012 tepat mengenai bumi dalam tempoh 10 tahun akan datang adalah 12%.

Masyarakat dunia diminta bersedia, tetapi persoalannya, bagaimana?

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Benarkah Minum Kopi Dan Teh Panas Meningkatkan Risiko Kanser?

Benarkah Minum Kopi Dan Teh Panas Meningkatkan Risiko Kanser?

Menikmati minuman teh atau kopi panas dikatakan boleh meningkatkan risiko pembentukan kanser oesophageal, menurut satu kajian yang telah dijalankan dan telah diterbitkan dalam Jurnal Kanser Antarabangsa, dibuktikan dengan kajian ke atas 50,045 individu berusia 40 hingga 75 tahun untuk median 10 tahun.

Kopi panas

"Ramai orang suka minum teh atau kopi dan minuman panas lain dan menurut laporan kami, ia berupaya meningkatkan risiko kanser oesophagal.

"Jadi, anda dinasihatkan menunggu sehingga ia sejuk sebelum minum, " kata pengarang utama Farhad Islami, dari Persatuan Kanser Amerika.

Susulan kajian itu, 317 kes baharu kanser oesophageal telah direkodkan.

Kanser oesophageal merupakan penyakit melibatkan kecacatan sel dalam salur pemakanan yang membesar dengan tidak terkawal.

Menurut Kajian Kanser UK, ia turut dikenali sebagai gullet. Walau bagaimanapun, tidak dinyatakan berapa kekerapan minum teh atau kopi panas sehari yang boleh menyebabkan risiko kanser.

Jadi, buat peminat teh dan kopi panas, bersederhanalah menikmati jamuan kegemaran anda itu.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

SBDJ Siri 56: Bomoh Terjun

SBDJ Siri 56: Bomoh Terjun

Datuk terus memulas kedua belah tangan Samad Perang ke belakang. Udin Candung pula memegang kedua belah kaki. Mamat Bukit terus duduk di atas belakang Samad Perang. “Dollah kau ambil rotan,” Mamat Bukit beri arahan pada Dollah Beranggas.

Bomoh Terjun

Cepat-cepat Dollah Beranggas melompat ke tanah dan segera naik ke rumah bersama segulung rotan.

Tanpa membuang masa, Dollah Beranggas buka gulung rotan dan terus mengikat kedua belah pergelangan kaki Samad Perang.

“Rotan. Aku nak ikat tangannya, cepat sikit Dollah,” Dollah pun melemparkan rotan pada Mamat Bukit.

Kedua belah tangan Samad Perang pun terus diikat.

Samad Perang terkapar di situ, nafasnya tercungap-cungap macam ikan atas daratan.

Mungkin kerana letih membuatkan Datuk, Mamat Bukit, Udin Candung dan Dollah Beranggas tersandar di dinding rumah.

“Kita tak boleh biarkan dia begitu, kesian dan tak elok pada mata orang lain, macam kita tak berakal sangat,” kata Datuk pada Mamat Bukit.

“Habis apa yang patut kita buat?, Kalau kita buka ikatannya nanti dia membunuh orang lain.”

”Bagaimana, kalau kita rantaikan kakinya pada tiang seri.”

“Betul juga cakap awak, kita kena berunding dengan kaum keluarganya dulu.”

“Terpulanglah pada awak Mamat.”

Mamat Bukit pun menemui keluarga Samad Perang. Setelah berunding Mamat Bukit menyuruh Dollah Berangas mencari rantai besi dan kunci.

Dollah Beranggas segera akur dengan permintaan Mamat Bukit itu.

Setengah jam kemudian, Dollah Beranggas kembali ke rumah dengan membawa rantai besi serta ibu kunci tembaga. Semuanya diserahkan pada Mamat Bukit.

“Di mana kamu dapat barang-barang ni Dollah?” Soal Mamat Bukit.

“Rantai besi dan kunci tu, saya pinjam dari Haji Ishak.”

“Macam rantai pengikat sampan (perahu) rupanya.”

“Ya, memang rantai pengikat sampan, kunci tembaga tu kunci peti duitnya.”

“Habis sekarang peti duitnya tak berkuncilah Dollah?”

“Duitnya memang tak ada, dia simpan petinya saja,” kata Dollah Beranggas sambil tersenyum.

Samad Perang pun diangkat berhampiran tiang seri, kakinya terus dirantai dan dikunci.

Rotan yang mengikat kaki dan tangannya pun dibuka. Samad Perang terus bangun sambil meronta-ronta.

“Lepaskan aku, lepaskan aku, aku nak kambing putih, aku nak balik ke bukit,” jerit Samad Perang dengan lantang.

Pinggan berisikan nasi yang dihulurkan oleh isterinya terus dipecahkannya dan nasinya dipijak-pijak.

Jiran-jiran yang melihat kejadian aneh itu, ada yang geleng kepala dan ada pula yang menangis penuh simpati.

Beberapa orang dukun yang cuba mengubati semuanya kena maki hamun dari Samad Perang.

Dan Datuk tidak dapat berbuat apa-apa dalam masalah ini, Datuk merasakan apa yang terjadi pada diri Samad Perang memang ganjil sekali.

“Pelik, sungguh tadi elok sihat tiba-tiba ini jadinya,” keluh Datuk.

“Bukan apa-apa tu, kena sampuk penunggu bukit,” celah Mamat Perang.

“Penunggu?”

“Ya, apa awak tak percaya? Awak dah tengok sekarang.”

Datuk menggigit kuku di jari manis. Dia agak enggan mahu mengakui kebenaran kata-kata akhir dari Mamat Bukit itu.

Dan Mamat Bukit bagaikan tahu kesangsian yang bermain dalam diri Datuk.

“Kau tidak percaya pada penunggu?”

“Susah nak aku cakapkan, terus terang aku katakan pada kamu Mamat, ini semuanya kerja syaitan.”

“Terpulanglah, tak usah kita bertengkar fasal ini, apa yang mesti kita fikirkan bagaimana mahu memulihkan diri Samad Perang.”

“Ya, memang betul cakap kau.”

Mamat Bukit dan Datuk berbalas senyum. Secara spontan Mamat Bukit minta Datuk mengubatinya.

Tetapi, Datuk menolaknya dengan alasan dia tidak mampu. Samad Perang yang dirantai kakinya terus menjerit sambil menumbuk-numbuk dada.

Dia berusaha mahu memutuskan rantai besi, untuk lari ke hutan. Tiang seri dari kayu cengal terus di gegarnya.

Kerana kedudukan tiang seri itu teguh dan dipasak dengan baji kayu jenis keras, membuat tiang itu tidak bergerak walau sedikit pun.

“Saya balik dulu Mamat,” bisik Datuk pada Mamat Bukit.

“Silakan. Tapi esok macam mana?”

“Saya tak faham cakap awak.”

“Mudah saja, pagi esok kami nak ke hutan menghantar kambing jantan putih serta membuat semahan atau jamuan untuk penunggu.”

“Saya tidak mahu subahat dengan kerja-kerja yang bercanggah dengan ajaran agama Islam Mamat.”

“Tak apalah, awak jangan menyesal kalau penunggu kacau awak.”

“Saya serahkan pada Allah yang maha besar.”

Saya dan Datuk pun meninggalkan rumah Samad Perang yang jaraknya dengan rumah Datuk kira-kira dua batu lebih.

Bersama sinar matahari petang yang kian menurun, terdengar sayup-sayup jeritan Samad Perang.

Sampai di rumah Datuk terus menyelitkan rotan semambunya di gelegar rumah. Bila saya tanya kenapa Datuk tidak membawa masuk ke dalam rumah.

Datuk hanya memberi jawapan yang pendek begini bunyinya:

“Menurut petua orang tua-tua, barang-barang yang diambil dari hutan, tidak baik dibawa terus ke dalam rumah.”

“Apa sebabnya tok?”

“Entahlah, tapi itu kepercayaan entah betul entah tidak dan hati aku ragu-ragu nak bawa masuk.”

Saya puas hati dengan penjelasan yang diberikan, tidak ada pertanyaan yang mahu saya kemukakan padanya.

Dari air mukanya saya dapat menduga bahawa Datuk begitu kecewa dengan nasib malang yang menimpa diri Samad Perang.

Dua hari kemudian, saya dan Datuk pergi semula ke rumah Samad Perang kembali.

Orang pertama yang ditemui oleh Datuk ialah Mamat Bukit. Mereka bersalaman.

“Permintaan penunggu sudah kami tunaikan,” beritahu Mamat Bukit.

“Macam mana kamu buat?”

“Kami buat ancak, semua barang yang dikehendakinya kami letakkan di situ, di bawah pokok besar.”

“Kambing jantan putih?”

“Kami sembelih, separuh dagingnya kami bawa balik, separuh lagi kami tinggalkan di bawah pokok.”

“Kerja membazir,” Datuk terus merungut.

Mamat Bukit ketawa kecil dan memberikan keyakinan pada Datuk yang penyakit Samad Perang akan sembuh dalam sedikit masa lagi kerana permintaan penunggu sudah dipenuhi.

Datuk agak keberatan untuk mempercayai jaminan yang diberikan oleh Mamat Bukit itu.

Dengan ditemani oleh Mamat Bukit Datuk terus menemui isteri Samad Perang.

“Sudahkah awak berusaha mengubati penyakit suami awak?”

“Sudah dua orang pawang saya panggil, semuanya gagal.”

“Awak tak mahu bawa ke rumah sakit?”

"Kalau dibawa ke rumah sakit, suami saya akan dihantar ke rumah sakit otak di Tanjung Rambutan, saya mahu berusaha cara kampung.”

“Ya, kita cuba cara kampung dulu,” Datuk memberikan keyakinan pada isteri Samad Perang.

Datuk pun meninggalkan isteri Samad Perang di situ, baru tiga langkah Datuk melangkah meninggalkan, isteri Samad Perang segera menghampirinya.

“Malam ni ada bomoh terkenal datang untuk mengubati suami saya.”

“Bomoh dari mana?”

“Dari mana saya tak tahu, anak saudara saya yang uruskan, bayarannya juga mahal.”

“Berapa?”

“Lima ratus ringgit, tidak termasuk tambang dan makan minumnya, saya harap awak datang malam ni.”

“Baiklah.”

Malam itu selepas menunaikan sembahyang Isyak, saya dan Datuk terpaksa menapak sejauh dua batu menuju ke rumah Samad Perang.

Ketika kami tiba, beberapa jiran sudah pun berada di anjung rumah. Semuanya duduk bersila.

Seorang lelaki berbadan tegap yang dipanggil Mahaguru duduk menghadapi mangkuk perasap yang berisi bara.

Dia menaburkan kemenyan atas bara, seluruh ruang dikuasai bau kemenyan. Satu baldi air tersedia di sebelah kanannya.

Lelaki yang dipanggil mahaguru itu terus bangun, dia membuka langkah silat dan menyeru nama beberapa pahlawan Melayu, antara nama yang disebutnya termasuklah nama Hang Jebat.

Dia terus menampar muka Samad Perang dan kakinya menyepak badan Samad Perang.

Kemudian dia mengambil baldi yang berisi air. Badan Samad Perang dijirusnya dengan air. Saya lihat badan Samad Perang menggeletar kesejukan.

Lelaki yang digelar mahaguru itu meletakkan hujung keris yang berluk sembilan atas dahi Samad Perang.

“Ikut cakap aku,” katanya.

“Saya patuh dengan perintah mahaguru,” jawab Samad Perang.

“Buka kunci dan rantai besi,” suara mahaguru keras.

Rantai besi yang mengikat kaki Samad Perang pun dibuka oleh Mamat Bukit.

Mahaguru terus duduk berhadapan dengan Samad Perang yang kelihatannya terlalu lemah dan mengikut apa sahaja perintah yang dikeluarkan oleh mahaguru.

Beberapa orang jiran berbisik sama sendiri memuji kehandalan Mahaguru.

Dengan perlahan-lahan Mahaguru menghembus asap kemenyan ke muka Samad Perang.

Mahaguru terus menepuk lantai dengan tangan kiri. Keris berluk sembilan diletakkan dekat kepala lutut kiri.

“Bukan apa-apa, dia ditegur jin bukit,” kata mahaguru.

“Apa macam boleh dipulihkan Mahaguru,” tanya isteri Samad Perang.

“Boleh baik, usahkan jin bukit, jin gunung pun boleh saya ajar,” kata Mahaguru dengan bangga.

Mahaguru pun menentang biji mata Samad Perang. Tiba-tiba Samad Perang bertempik dan bangun, tempat perasap kemenyan ditendang hingga hancur, bara bertaburan atas lantai.

Keris mahaguru disambarnya, muka mahaguru disepaknya. Semua orang yang berada di situ terkejut.

Dan mahaguru yang mendakwa dirinya bomoh terkenal jadi kelam-kabut, tanpa berfikir panjang dia terus terjun ikut tingkap melarikan diri, kain sampingnya tersangkut di tingkap, semua alat-alat perubatannya habis dipijak-pijak oleh Samad Perang.

Bila melihat mahaguru lari ikut tingkap, jiran-jiran yang berada di situ juga lari bertempiaran, beberapa orang jiran bengkak di dahi akibat berlaga sama sendiri, saya dan Datuk juga lari.

Keadaan jadi kelam kabut masing-masing mahu menyelamatkan diri dan dalam keadaan yang tidak menentu itu Samad Perang terus menjerit dan lari menuju ke hutan di malam yang hitam.

Mujurlah Mamat Bukit cepat bertindak dengan memburu Samad Perang.

Mamat Bukit berjaya menangkap Samad Perang dan kedua belah kakinya dirantai kembali.

Mungkin kerana keletihan membuat Samad Perang tidak melakukan sesuatu yang ganjil setelah kakinya diikat. Dia terus tidur hingga berdengkur.

Lebih kurang pukul satu malam dia bangun dan meminta nasi. Permintaan itu segera ditunaikan oleh isterinya.

Samad Perang makan tiga pinggan nasi tanpa lauk. Bila perutnya sudah kenyang dia tidur kembali.

Sepanjang malam itu saya, Datuk dan Mamat Bukit berada di rumah Samad Perang semata-mata memenuhi permintaan isterinya.

Menjelang waktu Subuh, Samad Perang kembali menjerit dan meronta-ronta di tiang seri. Bila matahari terbit di kaki langit dia terus tidur.

Sebelum meninggalkan rumah Samad Perang pagi itu, Datuk berpesan pada isterinya supaya berikhtiar mengubati suaminya, walau dengan apa cara sekalipun.

Datuk juga melahirkan rasa puas hatinya pada Mamat Bukit yang berjanji akan membantu isteri Samad Perang yang sedang dilanda masalah besar itu.

“Saya tidak akan membiarkan keluarga kawan saya menderita.”

“Baguslah, semoga Allah akan menolong kamu.”

“Saya juga berharap awak tidak membiarkan saya keseorangan.”

“Tidak, carilah saya bila awak memerlukan pertolongan.”

Mamat Bukit senang hati dengan janji yang diberikan oleh Datuk itu. Mereka terus berjabat tangan.

Tetapi Mamat Bukit melahirkan juga rasa kesalnya atas sikap manusia yang menggelar dirinya sebagai mahaguru itu.

“Hati-hati bila kau mencari orang untuk mengubat kawan kamu Mamat, sekarang banyak orang menyamar. Ada ilmu setengah cawan mengaku mahaguru.”

“Ya, saya faham. Mahaguru tu sambil dia lari sempat juga dia menyambar wang dalam mangkuk putih.”

“Itulah manusia Mamat.”

“Kalau tak sanggup mengaku tak sanggup, jangan ambil wang orang, bini Samad sandar tanah pada ketua kampung nak cari wang sebanyak itu.”

“Lupakan saja tentang itu Mamat, kita cari yang lain.”

“Doakan saya berjaya.”

“Jangan bimbang, saya tetap bersama awak.”

Datuk dan saya pun meninggalkan Mamat Bukit di halaman rumah Samad Perang.

RUMAH

Sudah dua minggu saya dan Datuk tidak mengunjungi rumah Samad Perang, tetapi Datuk tahu segala kegiatan yang terjadi di rumah tersebut.

Dollah Beranggas selalu menemui Datuk dan menceritakan apa yang terjadi.

Dari mulut Dollah Beranggas juga Datuk mendapat tahu, selama dua minggu lima orang bomoh sudah diundang untuk mengubati sakit yang ditanggung oleh Samad Perang.

Semua usaha itu menemui jalan buntu. Masuk minggu yang ketiga, Mamat Bukit sendiri datang ke rumah Datuk.

“Bagaimana sekarang apa usaha yang telah kamu lakukan Mamat?”

“Macam-macam ikhtiar saya jalankan. Malam ini ada sukarela nak mengubatinya.”

“Siapa orangnya.”

“Saya tak kenal, kalau awak nak kenal eloklah datang malam ini.”

“Baiklah saya datang nanti.”

Seperti yang dijanjikan, kira pukul sepuluh malam, saya dan Datuk pun sampai di rumah Samad Perang.

Tidak ada apa-apa peralatan yang disediakan di ruang tengah seperti tempat perasap kemenyan, mangkuk putih atau sebagainya yang selalu digunakan oleh bomoh atau dukun bila mengubati orang yang sedang sakit.

Mamat Bukit terus memperkenalkan Datuk dengan seorang lelaki. Orangnya kurus, memakai songkok hitam yang sudah kuning tepinya.

Air mukanya nampak bersih dan tenang. Datuk terus bersalam dan memperkenalkan diri padanya.

“Dari mana,” bisik Datuk padanya.

“Asalnya orang Parit Jawa, Johor. Sekarang menetap di Cenderung Balai Teluk Intan.”

“Macam mana boleh datang ke sini?”

“Saya datang ke rumah anak yang jadi guru sekolah di sini, dia minta tolong ikhtiarkan mengubat orang sakit ganjil.”

“Ada hubungan keluarga dengan orang sakit.”

“Tidak, anak si sakit ini, murid anak saya. Menurutnya budak itu pintar tetapi, sejak ayahnya sakit sudah lama tak datang ke sekolah.”

“Kerja apa?”

“Saya bersawah dan jadi imam surau.”

Walaupun baru bertemu, saya lihat Datuk dan orang itu sudah cukup mesra, bagaikan sudah berkenalan bertahun-tahun.

“Silakan kiai,” kata Mamat Bukit.

“Jangan panggil saya kiai, ini terlalu tinggi panggil saja nama biasa, nama saya Sajono.”

“Minta maaf pak.”

“Tak mengapa, awak tak tahu.”

Sajono bangun dan terus menuju ke tempat Samad Perang. Dia menyuruh Mamat Bukit membuka rantai besi yang mengikat kaki Samad Perang.

Bila rantai dibuka, macam diarah-arah oleh sesuatu Samad Perang terus duduk bersila di hadapan Sajono.

Sajono menentang biji mata Samad Perang. Saya lihat mata Samad Perang tidak berkelip menentang mata Sajono.

Makin lama, makin garang sinar mata Samad Perang. Sajono pun begitu juga. Mereka beradu kekuatan dengan mata.

Badan Samad Perang menggeletar macam menahan benda berat yang terdampar atas kedua belah bahunya.

Sesekali saya terdengar dengan jelas suara Sajono membaca ayat-ayat al-Quran dari surah Al-Jin. Tiba-tiba Sajono terus jatuh atas lantai.

Biji mata Samad Perang yang merah dan kelihatan agak tersembul itu terus merenung muka Sajono.

Perlahan-lahan Sajono bangun tetapi, tersungkur kembali. Sajono bangun semula.

Kali ini dia memperkemaskan duduknya. Wajahnya kelihatan tenang dan peluh-peluh halus kelihatan berbintik-bintik di kedua belah pipinya yang berkulit lembut itu.

Sajono terus membaca ayat-ayat dari al-Quran. Semua orang yang ada di situ dapat mendengarnya.

Sebabnya, ketika Sajono berikhtiar mengubati Samad Perang, suasana di ruang anjung agak sepi.

Tidak ada seorang pun yang berani bercakap atau bersuara.

Andainya ada sebatang jarum yang jatuh pun akan dapat didengar, begitulah tenang dan sunyi di ruang anjung.

Semua yang hadir tumpukan seluruh perhatian pada Sajono.

Cara Sajono berusaha berbeza dengan cara-cara yang dilakukan para pawang atau dukun yang datang mengubati Samad Perang dulu, kebanyakan melompat atau bersilat.

Ada pula yang seperti kemasukan syaitan bercakap tidak tentu arah dan terus tidak sedarkan diri.

“Memang Sajono ada cara yang tersendiri,” kata hati kecil saya.

Dan saya kira orang-orang yang berada di situ juga akan beranggapan demikian.

Suasana yang sepi itu berkocak juga akhirnya, semua orang yang hadir terkejut besar.

Samad Perang yang tadinya kelihatan gagah dan garang beransur lemah dan terus rebah atas lantai. Terkapar di situ, macam ayam kena sembelih.

Sajono terus sujud syukur pada Allah yang memberkati usahanya, Sajono terus merenung wajah-wajah yang ada di situ dengan senyum.

“Bersyukurlah tuan-tuan semua pada Allah yang memberkati usaha saya ini,” katanya dengan tenang. Mamat Bukit segera menghampirinya.

“Apa sakitnya Pak Sajono.”

“Semuanya ni kerja syaitan.”

“Syaitan?”

“Ya, syaitan. Awak tahu syaitan pada setiap saat berusaha mahu membinasakan anak Adam, dalam pelbagai bentuk dan cara ada kalanya menyerupai manusia.

Saya lihat Mamat Bukit menarik nafas panjang, agaknya dia dapat menerima dengan apa yang dikatakan oleh Sajono itu.

Saya dan Datuk berpandangan. Samad Perang sedar dari pengsan. Sajono menghampirinya. Dua kali Sajono menepuk bahunya.

“Ikat dia kembali, saya akan datang lagi untuk berusaha menolongnya,” beritahu Sajono pada Mamat Bukit.

Samad Perang pun dirantai semula. Datuk terus mendekati Sajono.

“Syaitan terlalu kuat mempengaruhi perasaannya,” kata Sajono.

“Apa lagi yang mahu tuan lakukan padanya.”

“Malam besok saya datang lagi, saya mahu menyambung kerja-kerja ini di rumah anak saya.”

“Memang baik cadangan awak, saya harap awak akan bersama saya malam esok.”

Datuk dan Sajono berpeluk-pelukan. Dengan diiringi oleh anak saudara Samad Perang, Sajono melangkah ke tangga.

Dari kaki tangga Sajono terus duduk di atas lanting basikal (bahagian belakang basikal untuk seorang penumpang).

Anak saudara Samad Perang terus kayuh basikal membelah kegelapan malam menuju ke jalan besar.

“Saya tunggu sampai pagi di sini,” kata Mamat Bukit pada Datuk, bila Datuk minta diri untuk pulang.

Saya dan Datuk terus menapak menuju ke rumah sejauh dua batu di malam yang mula dingin.

DATANG

Malam itu, saya dan Datuk datang lagi ke rumah Samad Perang. Kami terus duduk di anjung. Isteri Samad Perang menghidangkan dua cawan kopi untuk kami.

“Minum, kopi bujang aje,” kata isteri Samad Perang.

“Tak apa ini pun sudah seribu rahmat dapat kopi,” balas Datuk bersama ketawa kecil. Saya merenung permukaan cawan yang berasap nipis.

“Mamat Bukit ke mana?” Tanya Datuk pada isteri Samad Perang yang kelihatan cengkung dan agak pucat itu tetapi, masih mampu melayan setiap tetamu yang datang ke rumahnya dengan wajah yang manis.

Senyumnya tidak pernah mati dari bermain dari bibir. Setiap kata yang diucapkannya membayangkan ketabahan dan keyakinan yang suaminya akan pulih seperti sediakala.

“Mamat Bukit belum datang lagi, tiap-tiap malam dia berjaga menjaga suami saya, katanya malam ni dia datang lewat sikit,” ujar isteri Samad Perang.

“Payah mahu mencari kawan yang setia macam dia.”

“Nampaknya, begitulah.”

“Macam mana keadaannya, selepas kami balik malam semalam.”

“Ada kurang sikit cuma, waktu subuh dia menjerit dan meronta-ronta nak lari masuk ke hutan.”

“Bersabar, berkat usaha dan diizinkan oleh Allah, dia akan sembuh.”

“Saya harap begitu.”

Percakapan Datuk dengan isteri Samad Perang saya ikuti dengan teliti.

Datuk minta izin pada isteri Samad Perang untuk melihat suaminya, permintaan Datuk itu diperkenankan.

“Tamar kau nak ikut aku?”

“Tak mahu, biar saya tunggu di sini.”

“Tak mahu pun tak apa,” kata Datuk sambil bangun.

Datuk pun melangkah, satu, dua, tiga, masuk langkah yang keempat saya mula terasa seram.

Punggung saya terangkat dari lantai. Bulu tengkuk saya meremang dengan sendiri. Tanpa membuang masa saya terus mengejar Datuk.

“Kenapa Tamar?”

“Saya seram tok.”

“Seram? Kau ni penakut sangat,” rungut Datuk sambil menjeling tajam pada saya.

Isteri Samad Perang tersenyum melihat telatah saya yang agak melucukan itu.

Datuk menghampiri Samad Perang yang terikat di tiang seri.

Kedua belah kelopak mata Samad Perang bertaut rapat, dadanya kelihatan turun naik, menarik dan melepaskan nafas macam orang penat selepas melakukan kerja-kerja yang berat.

“Jangan bangunkan, biar dia tidur,” kata Datuk, bila melihat isteri Samad Perang mahu mengejutkan suaminya.

Tanpa diduga Samad Perang membuka kedua belah kelopak matanya.

“Kawan awak, ini cucunya,” celah isterinya.

Samad Perang diam. Kedua-dua biji matanya kelihatan merah macam biji saga. Dari atas ke bawah, dari bawah ke atas, dia memandang saya dan Datuk.

“Aummmmmm...,” Samad Perang mendengus sambil memperlihatkan giginya, macam harimau jantan berhadapan dengan kucing.

Samad Perang terus meronta-ronta mahu menerkam ke arah Datuk dan saya. Kami segera berundur dan menuju ke anjung rumah semula.

Datuk nampak kesal. Dia seolah-olah menyesal menghampiri Samad Perang tadi.

Saya merenung keluar, tidak ada sesuatu yang dapat saya lihat. Semua gelap belaka.

Bunyi cengkerik dan burung hantu jelas kedengaran. Dalam saat yang sama kedengaran suara Samad Perang ketawa memanjang, bersama bunyi rantai besi berlaga dengan lantai dan tiang seri.

Suasana begitu sungguh tidak menyenangkan dan menakutkan diri saya.

Badan saya menggeletar tidak tentu arah. Datuk tetap duduk bersila sambil menundukkan kepalanya merenung lantai.

Isteri Samad Perang kelihatan tidak tentu arah. Sekejap datang ke ruang anjung, sekejap berlari ke ruang tengah dan menuju ke dapur, tidak ubah macam kucing kehilangan anak.

“Sabar dan tenang,” Datuk mendamaikan hati isteri Samad Perang.

“Minta pertolongan dan perlindungan dari Allah,” suara isteri Samad Perang perlahan sekali.

Rasa cemas dan takut yang menguasai diri saya dan isteri Samad Perang segera hilang, bila Mamat Bukit dan Sajono tiba.

“Dah lama sampai?” Tanya Mamat Bukit pada Datuk.

“Lama juga, kira setengah jam lebih.”

“Saya terlambat sikit, memang mengikut petua saya, masa datang malam, kedua dan ketiga harus dilambatkan sejam, tidak boleh datang dalam masa yang sama, malam ini saya datang pukul sebelas, malam esok pukul dua belas,” Sajono menerangkan sebab-sebab ia datang lewat.

Datuk anggukkan kepala dan terus bersalam dengan Sajono dan Mamat Bukit.

Sajono dan Mamat Bukit duduk. Isteri Samad Perang meletakkan dua cawan kopi di hadapan mereka.

“Minta maaf, saya tak boleh minum selagi kerja belum selesai, malam pertama boleh minum, sebelum memulakan kerja, malam kedua boleh minum selepas selesai jalankan kerja dan malam ketiga langsung tak boleh minum, walaupun kerja dah selesai,” Sajono memberitahu isteri Samad Perang.

Kopi yang disediakan untuk Sajono dibawa ke dapur kembali. Dan Mamat Bukit terus minum kopi bahagiannya.

Angin malam yang bertiup lembut masuk ke ruang rumah menerusi jendela yang terbuka, beberapa ekor kelekatu terus mengharung cahaya gasolin.

Seekor kelawar sesat masuk ke ruang tengah rumah terbang tidak tentu arah dan akhirnya keluar ikut jendela.

Bunyi burung hantu dan jampuk jelas kedengaran. Semuanya itu tidak mendatangkan sebarang kesan buat diri Sajono.

Malah, dia marahkan Mamat Bukit yang cuba mahu membunuh seekor cicak yang jatuh dari tulang bumbung ke atas lantai.

“Jangan bunuh dia biarkan dia hidup, bukankah dia makhluk Allah,” katanya.

“Cicak membawa sial pada kita, Kiai,” balas Mamat Bukit.

“Pada Allah tidak ada makhluk yang sial dan bertuah, cuma manusia saja yang pandai membeza-bezakannya,” jawab Sajono.

Tidak ada jiran-jiran lain yang datang ke rumah Samad Perang. Malam sebelumnya, ruang anjung itu penuh dengan para jiran yang jumlahnya lebih dari dua puluh orang.

Mungkin mereka merasa bosan atau merasakan tidak ada faedahnya berjaga, sedang keadaan Samad Perang tidak banyak berubah, menyebabkan mereka tidak mahu datang.

“Saya mulakan sekarang,” kata Sajono pada Datuk.

“Silakan.”

“Mari ikut saya, Sajono renung muka Datuk, renung muka Mamat Bukit dan saya.

Tanpa banyak karenah, Datuk, Mamat Bukit dan saya terus mengiringi Sajono menuju ke tempat Samad Perang dirantai.

Sajono terus menepuk bahu Samad Perang, kemudian duduk bersila berhadapan dengan Samad Perang.

“Kamu bukakan rantainya,” kata Sajono pada saya. Badan saya mula menggeletar menerima anak kunci dari Mamat Bukit.

“Cucu saya pak,” kata Datuk dengan wajah yang cemas.

“Tak mengapa biarkan.”

“Tapi, dia tak tahu semuanya ini pak.”

“Dia harus belajar,” Sajono merenung wajah Datuk sambil menepuk bahu kiri Datuk.

Tamat siri 56/284

BACA: SBDJ Siri 55: Mamat Bukit Yang Gagah
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Saturday, April 27, 2019

Maksud Mimpi Hilang Ingatan

Maksud Mimpi Hilang Ingatan

Ketika mendapat mimpi yang berkaitan dengan mimpi hilang ingatan, biasanya tafsir mimpinya berkaitan tentang suasana lucu. Walau bagaimanapun, kronologi dalam mimpi ini menjadikan takwil mimpinya tidak sama dan bergantung siapa yang memimpikannya.

Mimpi Hilang Ingatan

Berikut adalah 6 erti dan maksud mimpi hilang ingatan untuk lelaki dan wanita, tafsirannya seperti berikut:

Lelaki Sudah Berkahwin

Jika lelaki yang sudah berkahwin bermimpi tentang hilang ingatan, maka erti mimpinya adalah; Si pemimpi akan menghadapi satu keadaan dimana dia akan mengalami kegagalan dalam rancangannya yang menyebabkan timbul pelbagai masalah.

Lelaki Bujang

Jika Mimpi hilang ingatan ini di mimpikan oleh lelaki yang masih single, maka erti mimpinya adalah, Terpaksa atau tidak, dalam waktu terdekat ini, anda akan melakukan aktiviti yang jarang anda lakukan, mungkin juga aktiviti tersebut sangat anda hindari kerana pelbagai alasan.

Remaja Lelaki

Jika seorang remaja lelaki yang memimpikannya, maka erti mimpinya adalah, Akan mengalami kejadian kurang menyenangkan, merugikan malah menakutkan.

Ini mungkin terjadi kerana anda terlalu takut atau selalu berkhayal tentang perkara-perkara yang di dramatik.

Wanita Berkahwin

Jika wanita yang sudah berkahwin bermimpi tentang hilang ingatan, maka erti mimpinya adalah, Akan adanya situasi dimana si pemimpi mengalami banyak fikiran atau pelbagai masalah yang perlu difikirkan.

Wanita Bujang

Jika Mimpi tentang hilang ingatan di mimpikan oleh wanita single, maka erti mimpinya adalah, Ada baiknya jika tidak memandang remeh suatu urusan yang dianggap mudah atau biasa kerana mungkin anda sendiri belum tentu dapat menyelesaikan urusan tersebut.

Remaja Perempuan

Jika remaja perempuan yang memimpikannya, maka erti mimpinya adalah, Kamu mungkin merasa kurang beruntung, tapi yakinlah semua itu tidak benar.

Mimpi yang anda alami menjelaskan bahawa seseorang selalu menginginkan kehadiran kamu, namun sukar mengungkapkannya.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: iniprimbon

Rakyat Malaysia Paling Obesiti Di Asia 2019

Rakyat Malaysia Paling Obesiti Di Asia 2019

Malaysia terus mengekalkan kedudukan ditangga teratas bagi tahun 2019, sebagai negara yang mempunyai bilangan penduduk obesiti paling tinggi di Asia sejak tahun 2015. Statistik itu amat membimbangkan memandangkan obesiti merupakan antara faktor utama bagi sebilangan besar penyakit kronik.

Malaysia Paling Obesiti

Data yang diperoleh melalui Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015 menunjukkan Malaysia telah menjadi sebuah negara obes di mana seorang dalam dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara paling gemuk di Asia, dengan jangkaan populasi berlebihan berat badan sebanyak 33 peratus dan obesiti sebanyak 18 peratus.

Kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia juga menunjukkan masalah obesiti dikalangan kanak-kanak negara ini adalah kedua tertinggi di Asia selepas Brunei.

Bahaya Obesiti

Dianggarkan, jumlah mereka yang obes di Malaysia sudah meningkat kepada 5.5 juta, sekali gus mencatatkan budaya yang membimbangkan terutama dari aspek menjaga kesihatan di kalangan rakyat negara ini.

Masalah obesiti berlaku kerana pengambilan makanan berlebihan yang diburukkan lagi dengan kecenderungan kepada makanan manis, terutamanya di Semenanjung.

Bilangan rakyat Malaysia yang gemuk dijangka terus meningkat jika tiada inisiatif dilakukan untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Dengan gaya hidup golongan muda yang menghabiskan banyak masa mengadap telefon, tv, bersembang di kedai kopi tanpa banyak melakukan aktiviti lain, masalah berat badan ini juga berkait rapat dengan gaya hidup tidak sihat kerana sudah kurang bersenam.

Apa Bahaya Obesiti?
  • Mati Awal (disebabkan oleh penyakit).
  • Diabetes.
  • Serangan jantung.
  • Strok.
  • Gangren.
  • Tekanan darah tinggi.
  • Kanser (orang gemuk berisiko tinggi mendapat kanser usus, esofagus (saluran makanan), payu dara (wanita dan lelaki. Lelaki obes mengalami pembentukan tisu lemak di dada).
  • Sindrom apnea tidur (tidur berdengkur, mudah penat dan tidak berkualiti).
  • Masalah pernafasan.

Lupa Ajaran Agama

Cubalah bermula dari sekarang untuk menjalani gaya hidup sihat dengan mengamalkan senaman selain mengamalkan ajaran agama, makan bila lapar, berhenti sebelum kenyang, kerana ia mampu mengurangkan risiko masalah penyakit angkara nafsu makan melampau anda.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: msn

Lelaki Rogol Pelacur Tanpa Kondom Dipenjara 12 Tahun

Lelaki Rogol Pelacur Tanpa Kondom Dipenjara 12 Tahun

Seorang lelaki, Lee Hogben, 35, dipenjara 12 tahun atas kesalahan merogol pekerja seks apabila membuang kondom semasa mereka 'bersama' dan tidak menghiraukan mangsanya ketika wanita itu memberitahu dia 'tak buat seperti ini'.

Rogol Pelacur
Lee Hogben.

Dia menghubungi wanita itu yang ditemui di laman web, yang mana secara khusus mensyaratkan bahawa pelanggan mesti menggunakan 'perlindungan' turut diugut ketika cuba melepaskan diri.

Mereka bertemu di Royal Bath Hotel di kampung halamannya di Bournemouth, Dorset, pada 19 Januari 2018 lalu, selepas bersetuju dengan harga selama dua jam. Wanita itu bagaimanapun tidak pernah menerima bayaran.

Pendakwa Jodie Mittell berkata Hogben mengancam pekerja seks itu dengan keganasan apabila dia cuba menghalang.

"Hogben melampaui apa yang telah dipersetujui dengan membuang pelindung, yang mana pengadu telah menetapkan syarat supaya memakainya ketika bersama.

"Dia berulang kali membantah "saya tak buat seperti ini, tolonglah jangan".

"Dia cuba melawan tetapi lelaki itu mengugutnya supaya berhenti dengan memberitahunya dia kaki pukul dan perompak.

"Mangsa akhirnya meninggalkan hotel, memberitahu polis dan Hogben ditangkap pada hari berikutnya sebelum dikaitkan dengan rogol," kata pendakwa.

Mangsa juga memberitahu mahkamah bahawa dia pernah terfikir untuk mencederakan diri akibat dirogol.

Hogden, yang dihukum kerana melakukan gangguan dan kesalahan memandu, disabitkan dengan rogol dan dua tuduhan serangan.

Dia mengaku mengancam untuk memusnahkan harta benda, mendedahkan gambar-gambar peribadi, melanggar perintah tahanan dan membuat komunikasi yang berniat jahat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar