Tuesday, April 09, 2019

Paa Joe Pembuat Keranda Pelik Di Ghana

Paa Joe Pembuat Keranda Pelik Di Ghana

Sudah menjadi lumrah bagi setiap insan yang bernyawa, semuanya akan meninggal dunia apabila tiba waktunya, namun bagi sesetengah individu, mereka pastinya mempunyai perancangan apabila hari itu telah tiba.

Paa Joe Lion Coffin
Paa Joe.

Misalnya, ada yang membuat wasiat untuk ditanam di lokasi pilihan, malah ada juga yang sudah siap menempah keranda untuk diri sendiri.

Berbicara soal keranda, seorang lelaki di Ghana mencipta nama apabila rekaan keranda miliknya sering menjadi tular. Dia merupakan pembuat keranda popular di negara itu.

Paa Joe menjadi bualan ramai kerana kepakaran membina keranda dalam pelbagai bentuk mengikut keinginan pelanggan dan mula membuat keranda sewaktu berusia 16 tahun.

Paa Joe Fish Coffin

Antaranya, keranda berbentuk kereta Porshe, kasut Nike, botol Coca-Cola, cili, roket, singa dan macam-macam lagi.

Mempunyai lima dekad pengalaman, Paa Joe pernah menerima kunjungan individu berpengaruh seperti Kofi Anan dan Bill Clinton.

Di Ghana misalnya, rakyatnya sememangnya meraikan kematian.

Paa Joe Chili Coffin

"Orang meraikan kematian di Ghana sewaktu pengebumian, kita raikan mereka yang meninggalkan kita.

"Sewaktu upacara, akan ada ramai orang dan banyak bunyi-bunyian," ujar Jacob, anak kepada Joe.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Kehebatan Michael Jackson Mencipta Lagu Tanpa Ilmu Tentang Muzik

Kehebatan Michael Jackson Mencipta Lagu Tanpa Ilmu Tentang Muzik

Komposer terkenal Mozart mampu mendengar sesebuah simfoni dalam kepalanya, John Lennon menggunakan peralatan seperti pensil untuk menghasilkan lagu dan penyanyi kumpulan Spiritualized, Jason Pierce yang menyanyikan dahulu bahagian orkestra kepada perakam audio.

Michael Jackson Dance

Ramai pasti tahu lagu-lagu nyanyian Michael Jackson, tapi tahukah anda bagaimana lagu-lagu tersebut dihasilkan?

Michael bukanlah seorang yang berkemahiran dalam bidang teori muzik kerana dia tidak mempunyai pendidikan muzik, malah tidak mampu menulis atau membaca notasi muzik.

Kemahirannya bermain instrumen juga tidaklah sehebat mana walaupun dia mampu bermain beberapa jenis instrumen, seperti yang tertera dalam kredit albumnya, HIStory.

Jadi, bagaimana Michael Jackson mampu mencipta muzik yang sehingga kini terus menjadi keminatan ramai?

Sebenarnya, tidak ramai yang tahu bagaimana, sehinggalah Michael Jackson dituduh melakukan plagiat oleh seorang komposer bernama Crystal Cartier dalam album 'Dangerous' beliau.

Dalam perbicaraan mahkamah, Michael perlu menjelaskan bagaimana penghasilan lagu-lagu dalam album tersebut dibuat untuk membuktikan tidak wujud unsur plagiat.

Oleh kerana tiada pendidikan formal dalam muzik, Michael Jackson akan menyanyikan sendiri secara beatboxing setiap satu instrumen yang diperlukan dalam setiap lagunya sebagai demo lagu tersebut.

Dengar video di bawah untuk tahu prosesnya secara menyeluruh.


"Saya hanya menyanyikan bahagian bass lagu tersebut ke perakam audio, kemudian meletakkan irama ke atas bass yang dibuat secara beatboxing untuk mencipta lapisan-lapisan audio," kata Michael menjelaskan bagaimana lagu 'Billie Jean' dicipta.

"Dalam lagu Billie Jean, ada 4 lapisan bass yang berbeza dan bertugas memberikan watak pada lagu tersebut."

Rob Hoffman, seorang jurutera bunyi yang bertugas merakamkan lagu Michael menyifatkan proses bekerja dengan Michael dengan cara berikut;

"Dia akan datang dengan sebuah lagu yang baru ditulis semalam. Kemudian kami akan panggil pemain gitar. Michael akan menyanyikan tiap-tiap note pada setiap kord yang dia perlukan. Ini note pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Selepas pemain gitar dapat mengenal pasti note mana yang diperlukan, Michael akan menyanyikan lagu tersebut secara langsung di situ juga."

"Untuk bahagian orkestra pun sama. Dia akan menyanyikan semua bahagian. Semua ada dalam kepala dia dan Michael perlu menerangkan kepada bahagian orkestra satu per satu note muzik yang diperlukan jadi pemuzik bertugas untuk mendapatkan note yang dia nyanyikan."

Bila Michael sendiri ditanya bagaimana dia menulis lagu oleh pihak mahkamah, dia hanya mampu berkata yang "semua lirik, susunan, kord, nota, bunyi, datang dalam kepala saya seolah-olah diletakkan dan begitulah apa yang saya dengar."


Ada pengkarya yang memerlukan dia duduk dengan instrumen untuk mendapatkan karya, tetapi bagi Michael apa yang diperlukan adalah suara beliau.

Selalunya, Michael akan bekerja dengan 5 lagu setiap masa dan itu juga sesuatu yang sangat mengagumkan.

Bagi seseorang yang tidak ada pendidikan formal muzik serta tidak mampu membaca nota muzik, kemahiran Michael melahirkan lagu-lagu pop yang masih kekal relevan sehingga sekarang sebenarnya membuktikan yang dia memang mempunyai bakat yang cukup luar biasa.

Apabila ditanya dalam mahkamah, adakah Michael Jackson merasakan kemahiran menguasai teori muzik satu perkara yang penting, dengan tenang Michael menjawab - "tidak. Ia bukan satu kemestian."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Bateri iPhone Meletup Selepas Dilengkungkan Nyaris Butakan Remaja

Bateri iPhone Meletup Selepas Dilengkungkan Nyaris Butakan Remaja

Seorang remaja lelaki berumur 15 tahun, Jay Watson, dari Brisbane, Australia, nyaris hilang penglihatan selepas bateri telefon bimbit meletup di mukanya ketika sedang membelek iPhone 6 miliknya apabila bateri telefon tersebut meletup.

iPhone Meletup

Selain menyambar rambutnya, letupan itu turut menyebabkan asid dari bateri terpercik ke dadanya.

"Saya nak tengok ada apa di dalamnya.

"Saya hanya buat ia melengkung dan apabila saya melakukannya ia meletup. Saya hanya dengar bunyi letupan dan kemudian nampak nyalaan api," kata Watson kepada 7News.

Dia dikejarkan ke Royal Brisbane and Woman's Hospital selepas ibunya mendengar jeritannya dan menelefon ambulans. Selepas letupan, peranti yang meletup terus dibawa ke sinki.

Dia kemudian dibenarkan keluar.

Doktor berkata Watson bernasib baik kerana asid itu tidak terkena bahagian lain.

"Asid terkena bahagian dada. Dia mungkin akan hilang penglihatan jika percikan asid terkena matanya," kata ibu Watson, Kari Lashbrook.

Pengeluar telefon dan pihak berkuasa telah memberi amaran berhubung gangguan terhadap bateri lithium ion kerana sifat komponennya tidak menentu.

Pada 2016, Samsung menghentikan pengeluaran telefon Note 7 mereka kerana masalah bateri, yang menyebabkan banyak telefon terlalu panas dan meletup walaupun tidak diganggu.

"Saya mungkin harus Google terlebih dahulu," kata Watson, mengakui dia mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku.

2 Pelajar Tipu Syarikat Apple $1 Juta

Tipu Apple

Sementara itu, dua pelajar universiti di Oregon, Amerika Syarikat (AS) yang menipu Apple kira-kira AS$1 juta dalam bentuk penggantian iPhone dibicarakan di mahkamah persekutuan terhadap tuduhan jenayah

Penipuan itu bermula pada 2017 apabila pelajar kejuruteraan dari China, Yangyang Zhou dan Quan Jiang mula menyeludup iPhone palsu dari China ke AS, lapor The Verge.

Kemudian mereka akan menghantar peranti-peranti palsu itu untuk dibaiki atau diganti, dengan alasan ia tidak boleh dihidupkan.

Dalam banyak kes, Apple menggantikan item-item palsu itu dengan iPhone sebenar, yang telah menelan kos sebanyak AS$895,800, menurut laporan itu.

iPhones 'original' yang diperolehi menerusi penggantian itu kemudian akan dihantar ke China untuk dijual kepada pihak di sana.

Wang hasil jualan itu dibayar kepada ibu Jiang yang kemudian akan mendepositkan wang tersebut ke dalam akaun yang digunakan anaknya di AS.

Jiang didakwa telah menghantar 3,069 tuntutan waranti dan hasilnya, Apple telah memberikan 1,493 iPhone gantian dengan kerugian hampir AS$900,000 dari penipuan ini.

Menurut aduan persekutuan, Jiang dan Zhou mendakwa mereka tidak tahu bahawa telefon-telefon itu palsu, tambah laporan itu.

Zhou dituduh mengeksport barangan secara haram manakala Jiang berdepan tuduhan memperdagangkan barangan palsu secara haram dan melakukan penipuan, kata laporan itu.

Walaupun kedua-dua mereka bebas dari tahanan, Jiang, yang dituduh kembali pada 2018 dipantau oleh GPS.

Tahun lepas, seorang warganegara China yang tinggal di New Jersey atas visa pelajar mengaku bersalah menjual iPhone dan iPad palsu, dengan mengumpul AS$ 1.1 juta hasil jualan daripada skim ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2


Pembunuhan Christchurch, Perang Budaya Dan Kaitannya Dengan Zionis Israel

Pembunuhan Christchurch, Perang Budaya Dan Kaitannya Dengan Zionis Israel

Di dalam politik tidak ada satu perkara pun yang berlaku secara tersendiri. Semuanya dirancang. Semuanya diatur. Semuanya dilakukan untuk melunaskan satu agenda yang telah dirancang dan telah dipersetujui.

Pembunuhan Christchurch

Di dalam dunia ini juga tidak ada sesuatu perkara bergerak atau berjalan dengan sendirinya. Semua bergerak kerana ada sebab musabab. Ini hukum alam.

Hukum-hukum ini tidak akan beralih atau berubah walau dalam negara apa bentuk sekali pun. Politik ialah perancangan untuk menjalankan satu agenda.

Apa yang kita baca di akhbar, di laman Internet, di portal berita hanyalah manifestasi dari agenda tersebut.

Berita-berita politik seperti ucapan perdana menteri, presiden atau ketua parti atau imam, pope atau mufti adalah manifestasi dari agenda politik.

Manifestasi

Manifestasi adalah perkara yang dapat dilihat atau dibaca. Di belakang berita-berita ini ada sebab musabab yang melahirkan manifestasi ini. Ada yang halimunan.

Kewujudan Osama Ben Laden adalah manifestasi. Perang Iraq adalah manifestasi. ISIS dan Wahabi adalah manifestasi. Wujudnya Gaza dan Isreal atau Singapura adalah manifestasi. Pembunuhan dalam masjid di Christchurch adalah manifestasi.

Contoh terbaik untuk senang difahami ialah gerakan Reformasi 1998. Manifestasinya ialah demonstrasi. Sebab musababnya ialah Anwar dibuang dari kerajaan kerana tuduhan meliwat.

Semua manifestasi berlaku memiliki sebab musabab. Sebab musabab ini juga memiliki sebab musabab yang memangkin ia terjadi. Ini dipanggil garis bawah. Ada yang halimunan dan ada yang dapat dilihat.

Garis bawah - bottom line - dari semua manifestasi ini adalah keuntungan dan dalam sistem ekonomi kapitalis keuntungan adalah rukun utama. Ini agenda induk.

Sistem ekonomi kapitalis ini adalah sistem yang pada hari ini sedang meneraju dunia. Malaysia mengamalkan ekonomi kapitalis. Arab Saudi mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. China Merah juga mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Kapitalisme tidak ada agama. Rukun iman kapitalis ialah mencari untung.

Mencari untung dan harta kekayaan inilah yang menerajui kehidupan umat manusia di dunia kita hari ini. Bahasa, budaya, gaya hidup atau agama hanyalah manifestasi dari agenda mencari untung dan kekayaan.

Malah, manifestasi ini juga boleh dijadikan bahan modal untuk meraih dan mengumpul keuntungan.

Latar belakang ini wajib diketahui dan difahami terlebih dari. Ini bertujuan agar pembacaan politik kita tidak juling.

Secara tersusun kita dapat membaca babak-babak politik dengan lebih jelas dan terang. Dengan mengenal manifestasi maka kita akan dapat mencari dan memahami sebab musabab dan kenapa satu-satu manifestasi ini terjadi.

Ingat, dalam politik semua dirancang. Justeru adakah apa yang dilakukan oleh Brenton Harrison Tarrant di Christchuch itu dirancang? Apa yang dilakukan oleh Osama Ben Laden juga dirancang?

Betul. Tepat. Semua dirancang. Semua diatur. Semua disusun. Semua untuk satu agenda.

Projek Wahabi

Pada 22 Mac 2019 yang lalu akhbar Washington Times telah melaporkan satu temubual dengan Putera Mohamad Bin Salman (MBS).

Anak raja Saudi ini untuk pertama kali telah mengakui bagaimana Amerika dan negara sekutu penyokong Saudi telah meminta Raja Saudi mengunakan Islam dan Wahabi sebagai senjata Perang Dingin. Ini di awal tahun 70-an.

Perang Dingin ialah perang ideologi. Perang antara blok kapitalis Amerika dengan blok sosialis Soviet Rusia. Saudi, Islam dan Wahabi digunakan untuk menentang Soviet Union.

Kaum kiri dan kaum progresif seluruh dunia telah mengetahui fakta ini dari awal lagi. Tetapi inilah kali pertama ia diakui secara rasmi oleh tuan empunya projek.

Projek Wahabi ini bertujuan untuk menghalang dan mematahkan gerakan kiri dan progresif yang sedang memimpin maju warga Arab di Timur Tengah.

Mesir dibawah nasionalis progresif Gamel Addel Nasser (1918-1970) sedang memimpin dunia Arab.

NAM
Tiga lagi negara majoriti Islam sedang dipimpin oleh sosok progresif. Ayub Khan (1907-1974) dari Pakistan, Sukarno (1901-1970) dari Indonesia dan Ahmad Ben Bela (1916-2012) dari Algeria.

Mereka bersama Perdana Menteri Nehru (1889-1964) dari India dan Presiden Tito (1892-980) dari Yukoslavakia telah menubuhkan Gerakan Negara Berkecuali - Non-Aligned Movement (NAM) pada tahun 1961.

Garis politik NAM ialah negara-negara ahli NAM tidak mahu menjadi barua atau budak suruhan imperialis Amerika dan Soviet Union.

Justeru Wahabi melalui Islam kolot yang anti berfikir telah dimajukan ke hadapan sebagai jawapan kepada gerakan progresif NAM. Islam menghafal dan Islam ritual telah ditonjolkan. Bukan Islam Baitul Hikmah.

Arab Saudi mengembangkan ajaran Islam hafal dari masjid ke masjid dan surau di negara yang ada warga Islam.

Berfikir dan bertanya dilarang oleh tok guru kerana ini akan memunculkan pemikiran kritikal. Fikrah yang kritikal bahaya untuk kaum pemodal dan pemerintah yang zalim lagi bebal.

Pertanyaan yang digalakkan ialah pertanyaan halal haram kentut mentot dari pandangan sang ustaz.

Pertanyaan atau soalan berbentuk konsep, kritikal dan falsafah ala Baitul Hikmah memang tidak digalakkan. Mungkin juga Sang Ustad tidak berupaya.

Fakta membuktikan bahawa sebelum meledaknya harga minyak - dana untuk projek Wahabi disalurkan oleh Amerika.

Aset CIA dan sekutunya dengan jubah hijau menyerap masuk menyalurkan dana ke pertubuhan belia Islam, gerakan mahasiswa Islam dan kumpulan amal bakti Islam.

Apa apa yang dilakar ini betul dan sahih ? Atau cerita dongeng penglipur lara? Untuk memahaminya, mari kita menjala dan menyelongkar sejarah. Sejarah tidak pernah berbohong.

Pada musim panas 1993 Samuel Huntington ahli fikir dan ahli akademik dari Universiti Harvard telah menulis satu esei dalam jurnal Foreign Affairs.

Journal ini adalah jurnal yang terpenting dalam dunia. Foreign Affairs adalah jurnal pemikiraan para intelektual Amerika.

Tulisan mereka mencadang, mengariskan dasar dan hala tuju Amerika dan dunia kapitalis.

Esei “Clash of civilisation” atau Pertempuran Budaya ini melakarkan garis baru dan keadaan baru yang akan dihadapi oleh Amerika dan dunia kapitalis sesudah tamatnya Perang Dingin.

Dalam esei ini, Huntington menerangkan bagaimana agama dan budaya akan menjadi titik pertempuran. Perbezaan agama akan membawa perang.

Esei Huntington ini telah meramal dan menujumkan tujuh tahun lebih awal apa yang akan berlaku di New York pada pagi September 11 2001.

“They hate our freedom ,” kata George W Bush, Presiden Amerika ke-43.

Kata-kata Presiden Bush menjadi induk berita dan dijaja ke seluruh dunia. Inilah mantera yang digunakan untuk menerangkan kepada dunia apabila bangunan WTC telah meledak runtuh dilanggar oleh kapal terbang yang dibajak oleh warga Islam Saudi pada 11 September 2001.

Serangan terhadap WTC 9/11 menjadi manifestasi. Iraq diserang pada tahun 2003. Esei Huntington telah lama bersedia dengan konsep manifestasi pertempuran budaya.

Senjata pemusnah - weapon of mass destructiion - dikatakan dimiliki Saddam. Beliau menjadi Hitler dan wajib diselamatkan dengan demokrasi.

Semua bertujuan untuk mengolah persetujuan dunia. Jika masih juga tidak yakin dengan sebab musabab ini maka pertempuran budaya dijual sebagai sebab utama perang berlaku.

Hakikatnya di belakang semua manifestasi, bottom line ialah projek utama untuk merampas bahan bakar petroleum milik Iraq yang menjadi emas hitam pada ketika ini.

Serangan ke atas Iraq diikuti dengan perang di Afghanistan. Belum pun tamat perang Afghanistan, Syria pula diserang. Timur tengah menggelodak. Warga Arab dengan budaya Arab Islam menjadi marah dan naik minyak.

Kemarahan warga Arab ini diatur, disusun dan didorong. Mereka dididik dan diajar main senjata. Senjata didatangkan dari Amerika dan negara Eropah Barat seperti Perancis dan United Kingdom. Tukang bayar ialah Saudi. Turki memberi sokongan strategik.

Ketika Perang Dingin dahulu diwujudkan Wahabi. Dalam clash of civilisation atau pertempuran budaya kali ini gerakan Wahabi bertukar jubah menjadi Islamic State for Iraq and Sham (ISIS). Ideolojinya masih lagi Islam ritual dan Islam hafal.

Ideologi ini dijadikan benteng untuk menentang apa yang ditakrif sebagai demokrasi dan sekular.

Di media kita baca gerakan ISIS ini anti mazhab Syiah dan anti-Iran. Juga anti Barat yang kini ditujukan kepada Rusia.

ISIS menentang demokrasi. Berjuang untuk mewujudkan kembali pemerintahan khalifah. Berjuang untuk membawa kembali dunia Arab ke belakang seperti 1,000 tahun tahun.

Garis bawah dari manifestasi ini bukan lagi bahan bakar petrol kerana syarikat petroleum Amerika kini memiliki hak cari gali di Iraq. Kali ini bottom line ialah keselamatan negara yang dipanggil Israel.

Bagaimana pula kali ini - garis bawahnya - bukan lagi keuntungan tetapi Israel?

Sabar dahulu. Jangan salah baca. Jangan tidak sedar. Jangan lalai. Ketahuilah dunia kita hari ini ialah dunia kapitalis yang dimiliki oleh kumpulan Zionis-Anglo-Amerikan. Tiga puak ini senang mendominasi dunia.

Kumpulan Rahsia

Kumpulan ini tidak ramai. Jumlah mereka hanya 1% dari penduduk dunia dan pada 14 November 2017 lalu, laporan portal CNBC telah menunjukkan jumlah kekayaan dunia ialah 280 trilion.

Lebih setengah dari jumlah kekayaan dunia ini dimiliki oleh 1% warga dunia dan inilah sarang dan rumah kaum Zionis-Anglo-Amerikan.

Garis bawahnya masih lagi keuntungan. Kaum pemodal inilah yang sedang mendominasi dunia. Kaum pemodal dan puak inilah yang sedang mengembangkan hegemoni ke atas seluruh penduduk dunia.

Mereka mamagari dunia dengan hegemoni budaya dan ideologi. Mereka memiliki jentera, alat dan teknoloji untuk memastikan harta kekayaan dunia ini terus menjadi milik mereka.

Yang kita lihat di kaca TV, di panggung wayang, di media, di dewan kuliah, dari sekolah ke universiti adalah manifestasi dari hegemoni Zionis-Anglo-Amerikan.

Semua mereka atur. Semua mereka rancang untuk agenda dan botton line mereka.

Apa kena mengena hegemoni kumpulan Zionis-Anglo-Amerikan ini dengan apa yang berlaku di Christchurch. Ada apa dengan Israel. Tunggu minggu hadapan. Setannya akan muncul. END

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

BTS Pencetus Fenomena #microwavechallenge, Aksi Berputar Seperti Dalam Ketuhar

BTS Pencetus Fenomena #microwavechallenge, Aksi Berputar Seperti Dalam Ketuhar

#microwavechallenge ialah satu lagi fenomena besar yang ingin ditiru oleh semua golongan millennial, malah turut disahut oleh selebriti ternama seperti Ryan Seacrest, selepas trend yang menjadi ikutan ramai sebelum ini seperti “Mannequin Challenge” dan “Keke Challenge”.

BTS #microwavechallenge
BTS #microwavechallenge.

Idea #microwavechallenge sebenarnya tercetus daripada kumpulan ikonik K-pop, iaitu BTS (Bangtan Boys) yang pernah membuat aksi tarian ini sewaktu sesi latihan tarian mereka pada 2016 yang lalu.

Pada waktu itu, J-Hope dan Jungkook pastinya tidak menyangka aksi tarian mereka bakal menjadi viral tiga tahun kemudian.

Dalam video BTS ini, mereka telah melakukan aksi #microwavechallenge secara spontan dan ternyata ramai yang kagum dengan cara pergerakan tarian mereka di dalam klip video yang berdurasi 10 minit itu.

Tanpa disedari, jumlah klip video yang menyahut cabaran #microwavechallenge ini sudahpun mencecah seramai 125 juta di aplikasi TikTok.

Ia bukan sahaja mendapat sambutan besar di TikTok, malah jika anda mencari hashtag #microwavechallenge ini di laman sosial Instagram mahupun Twitter, pastinya anda akan dapat melihat ramai menikmati cabaran itu kerana ia sungguh serupa seperti makanan yang dipanaskan di dalam ketuhar gelombang mikro.

BTS yang mempunyai pengikut seramai 16.2 juta di laman Instagram memang tidak asing lagi dengan kehebatannya yang sering menjadi pengaruh besar dan dikagumi ramai orang.

Bagaimana "Microwave Challenge" Mula Tercetus Selepas Sekian Lama?

Memang tidak pernah terlintas di fikiran, sebuah alat pemanas makanan, ketuhar gelombang mikro dapat menjadi satu inspirasi kepada golongan millennial untuk jadikan ia sebagai aksi cabaran #microwavechallenge yang viral.

Fenomena “Microwave Challenge” menunjukkan seolah-olah mereka yang menyahut cabaran ini seperti berada di dalam ketuhar gelombang mikro dan sedang berpusing.

Segalanya bermula dengan pengguna aplikasi TikTok @djtaylortot, yang memuat naik sebuah video dirinya sedang berpusing dan dimainkan lagu "Slow Dancing in the Dark" nyanyian artis terkenal dari Jepun, Joji.

Dalam rakaman video itu, Taylor yang sedang duduk dan berputar perlahan sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan ramai netizen.

Bagaimanapun, tanda tanya itu kemudiannya bertukar menjadi keinginan pengikut Taylor yang turut melakukan aksi serupa serta meletakkan kapsyen “Can we make this a chain please?”

Memandangkan aksi itu dinamakan sebagai cabaran, maka banyak halangan dan kesukaran yang harus dilalui oleh mereka yang berkeinginan melakukan "Microwave Challenge" itu.

Namun begitu, di luar kesedaran, “Microwave Challenge” disahut seramai 126 juta orang di seluruh dunia berdasarkan jumlah hashtags di di aplikasi TikTok.

Tiada yang mustahil

Pergerakan berpusing yang sering kita lihat dalam ketuhar gelombang mikro sementara menunggu sajian makanan dipanaskan, itulah gaya ditiru oleh mereka yang telah mencuba trend baharu #microwavechallenge ini.

Sesetengah yang mencuba cabaran #microwavechallenge itu juga ada menggunakan bantuan seseorang bagi menggerakkan badan mereka.

Tidak kira bagaimana caranya, tujuan asal “Microwave Challenge” ini adalah hanya untuk kelihatan berputar dengan lancar.

Memang terbukti, sesuatu yang unik di media sosial pastinya mendapat perhatian ramai dan “Microwave Challenge” dikatakan satu lagi fenomena, tetapi tidak berisiko seperti “Keke Challenge” yang merupakan virus besar tahun 2018 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

SBDJ Siri 37: Terkena Badi Belibis

SBDJ Siri 37: Terkena Badi Belibis

Matahari terus memancar. Sesekali terdengar suara burung tekukur dan merbuk tingkah meningkah di dahan kayu. Beberapa monyet liar berlompatan dari dahan ke dahan. Lama juga kami meniarap, saya sudah merasa bosan dan lemas. Maklumlah mencium bau daun dan tanah.


"Mereka sudah hampir”, kata datuk.

Saya angkat kepala, toleh kiri, toleh kanan. Tidak ada batang tubuh manusia yang lihat.

Saya lihat muka datuk. Dia senyum dan dia bagaikan tahu apa yang bergolak dalam diri saya.

"Cuba renung ke depan”, bisik datuk.

Saya pun renung ke depan. Dari celah-celah daun serunai laut itu, saya lihat tiga manusia datang ke arah kami.

Dua daripadanya membawa senapang kampung laras dua. Seorang lagi membawa kayu bulat kira-kira enam kaki panjangnya.

Sambil melangkah mereka merenung ke kiri dan ke kanan macam mencari sesuatu. Akhirnya, mereka terus duduk atas tanah datuk.

"Keluar”, kata datuk.

"Ke mana?" tanya saya.

"Rapat pada mereka.”

"Merbahaya tu tok.”

"Kau ni suka sangat bantah cakap orang, ikut saja sudahlah”, datuk mula marah dan menarik saya keluar dari bawah rimbunan daun serunai laut.

Datuk suruh saya berdiri sambiI meletakkan tapak tangan kanan atas bahagian punggung.

"Jatuhkan tangan itu dan melangkah perlahan-Iahan”, perintah datuk saya patuhi.

Kerana kami melangkah begitu hati-hati dan datang pula dari arah belakang, ketiga-tiga manusia yang duduk itu tidak sedar kami sudah menghampiri mereka.

Datuk pura-pura batuk. Ketiga-tiga manusia itu melompat dan terkejut besar.

Salah seorang daripada mereka menghalakan muncung senapang itu.

"Kerana awak berniat mahu menembak lepaskan tembakan itu”, kata datuk.

Orang itu tergamam melihat wajah datuk yang dibasahi peluh. Senapangnya terlepas dari tangan, datuk terus menyambarnya.

Melihat senapang sudah berada di tangan datuk, kawannya yang seorang lagi jadi cemas.

Kawannya itu merasakan keselamatan dua orang kawannya dalam bahaya dan tanpa berfikir panjang orang itu menghalakan hujung senapangnya ke arah datuk lalu menarik pemetik senapang.

Senapang itu tidak berbunyi dan mengeluarkan peluru walaupun pemetiknya ditarik berkali-kali.

Melihat keadaan yang ganjil itu, orang itu jadi cemas. Mukanya pucat.

"Saya tidak berniat jahat pada awak semua. Kenapa mahu menembak kami? Awak bertiga masuk ke tanah saya”, beritahu datuk pada orang ketiga.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Datuk memulangkan senapang di tangannya kepada orang yang berhak.

"Saya bukan musuh. Saya bukan komunis yang mesti awak takutkan”, tambah datuk lagi.

Saya lihat orang bertiga menarik nafas panjang. Mereka bersalam dengan datuk minta maaf.

Datuk pula minta mereka melepaskan tembakan ke udara kerana menurut datuk, peluru senapang itu harus dikeluarkan kerana itu adalah merupakan niat dari tuan punya senapang.

Kalau tidak dilepaskan senjata itu akan memakan tuannya sendiri.

Berpandukan pada petua datuk itu, kedua lelaki yang memiliki senapang berlaras dua melepaskan tembakan.

Gema dari tembakan itu menguasai seluruh kawasan di pinggir banjaran gunung Titiwangsa yang mengakibatkan monyet-monyet liar bertempiaran lari, melompat dari dahan ke dahan.

Dedaun getah muda dan tua berguguran. Suasana di kawasan tersebut jadi haru-hara.

Bila suasana sudah tenang, datuk pun mengajak ketiga-tiga orang itu bersila di atas tanah.

Kerana kami ada membawa air kopi dan goreng pisang datuk pun menjamu mereka. Rasa kemesraan terjalin antara kami dengan orang bertiga.

Saya merenung ke arah lelaki yang berbadan tegap, berambut panjang dengan parut besar melintang atas dahinya.

Dia kelihatan resah tidak menentu macam ada sesuatu yang dibimbangkannya. Tetapi, dua orang lagi kawannya tidak begitu resah atau bimbang.

"Ceritakan pada saya”, datuk mengajukkan per­tanyaan pada orang yang berbadan tegap itu.

O­rang itu kerutkan dahinya lalu memandang kepada dua orang kawannya. Dan kawannya memberikan isyarat supaya menjawab apa yang di soal datuk.

"Kami mencari kawan kami yang ghaib tiba-tiba waktu menembak burung belibis”, lelaki berbadan tegap membuka rahsia.

Datuk anggukkan kepala sambil melihat langit yang cerah dan bersih.

"Di mana?"

"Di kolam dekat kaki gunung waktu senja.”

"Bila hilangnya?"

"Kira-kira dua hari yang lalu.”

"Awak semua ni dari mana?"

"Kami dari Talang, Kuala Kangsar.”

"Jauhnya mencari burung belibis.”

"Ada orang yang diberitahu kami di situ tempat burung belibis mandi senja.”

Datuk menarik nafas panjang. Datuk menikam-nikam tanah dengan ranting getah.

Orang bertiga itu melihat sahaja telatah datuk. Wajah orang bertiga itu jadi pucat bila datuk memberitahu mereka, sejak lepas perang Jepun, sudah tujuh orang ghaib di kaki gunung itu kerana menembak burung belibis.

Kehilangannya tidak dapat dikesan oleh sesiapa pun.

"Masuk kawan awak ini, sudah jadi lapan orang”, ujar datuk sambil menyapu peluh yang berkumpul dipangkal dagu dengan tapak tangan kiri.

Orang bertiga berpandangan sesama sendiri. Saya melihat ke arah lubang yang baru saya korek.

"Kalau kami tak jumpa, kami nak buat sembahyang ghaib”, mendadak sahaja orang berbadan tegap bersuara sambil menggosok laras senapangnya.

Saya tahu bila datuk merenung awan berarak, ertinya dia mencari ke arah mana tiupan angin itu menuju.

Datuk tersenyum, dia sudah menemui apa yang di carinya.

"Awak semua berhajat benar nak menemui kawan awak yang hilang tu”, tanya datuk minta kepastian.

"Memang berhajat. Kami mahu mencari mayatnya untuk disempurnakan pengebumiannya sebagai seorang Islam.

"Pihak warisnya berharap benar pada kami mencarinya”, jawab orang berbadan tegap.

Belibis ialah sejenis burung yang bentuk badannya hampir serupa dengan itik biasa. Tetapi ukurannya lebih kecil.

Biasanya terbang berkawan dan mencari makan di bekas-bekas lombong dan paya yang terpencil.

Dagingnya boleh dimakan oleh orang Islam dan rasanya lebih kurang macam daging ayam hitam.

Datuk terus berpeluk tubuh. Rapatkan kedua belah matanya dan mulutnya membaca sesuatu.

Datuk bertafakur lebih kurang dua minit. Dia muka mata kembali, renung wajah orang bertiga dengan tenang.

"Sebenarnya kau orang masuk kawasan orang lain. Kawan yang hilang tu namanya Usman, ada isteri dan anak.

"Satu anaknya bekerja sebagai kerani Jabatan Parit dan Taliair di Kuala Kangsar, umurnya baru 32 tahun”, demikian datuk memberi keterangan tentang orang yang hilang.

Orang bertiga besar mengakui apa yang datuk katakan itu memang benar.

"Apa dia ditawan oleh komunis?" tanya orang berbadan tegap.

"Tidak, ada di kawasan kolam tinggal tu.”

"Masih hidup lagi ke?"

"Susah nak cakap”, balas datuk sambil tersenyum.

Datuk dan orang bertiga mengadakan perundingan dan datuk pula bersedia memberikan khidmatnya untuk membantu mereka.

Supaya kerja yang akan dilakukan berjalan lancar, datuk mengajak mereka tinggal di rumah datuk. Tawaran datuk itu mereka terima.

Datuk pun mengadakan rundingan kilat dengan orang bertiga. Datuk bersedia memberikan khidmatnya bagi mengatasi masalah yang mereka hadapi.

Tawaran dari datuk yang tidak pernah mereka duga itu amat mengembirakan mereka.

"Kita akan mencari orang yang ghaib tu dua hari lagi. Kita mulakan pada sebelah petang dan kita mesti berada di tepi kolam tempat belibis turun sebelum waktu senja”, datuk meluahkan rancangan pada orang yang tergonggok di hadapannya.

Ada beberapa persediaan yang perlu datuk ada­kan. Orang bertiga itu perlu dibekalkan dengan be­berapa tangkal tertentu bagi menghindarkan diri mereka dari diresapi semangat penunggu kolam.

Lebih kurang pukul satu petang, kami pun sampai dirumah. Datuk menyuruh orang bertiga mandi di sungai.

Saya terus memberitahu nenek supaya memasak nasi dan sayur lebih dari biasa. Ada tetamu baru yang harus di jamu makan sampai kenyang.

Bila selesai sembahyang Zuhur, kami pun terus makan. Memang enak makan pucuk ubi bersama gulai lemak pucuk labu dan nasi dari padi huma.

Lepas makan saya terus tersandar di dinding rumah. Datuk menyuruh salah seorang dari orang bertiga itu pulang ke tempatnya untuk memberitahu pada orang-orang ditempatnya yang diri mereka berada dalam keadaan selamat.

"Biarlah saya saja yang pergi”, orang yang berbadan tegap itu menawarkan diri.

Tidak ada bantahan dari kawan-kawannya yang lain. Orang itu pun segera berangkat dengan janji dia akan sampai kerumah datuk sebelum tengah hari keesokannya.

Lepas sembahyang Asar, datuk terus mengajak kenalan barunya berborak di bawah pokok manggis.

Sedang asyik berborak, dua orang anak muda datang menemui datuk. Datuk terkejut dengan kedatangan anak muda yang tidak di kenalinya itu.

Rasa terkejutnya itu segera hilang dari dari hati datuk, bila salah seorang anak muda itu memperkenalkan dirinya sebagai Abdul Rahman Hitam datang dari Parit Terachi, Negeri Sembilan.

"Kami sebenarnya mengelilingi tanah semenanjung dengan berbasikal, singgah ke sini nak jumpa Mohammad Ramli, kawan saya sama-sama belajar di Ipoh dulu”, kata Abdul Rahman Hitam yang berbadan kurus.

"Di Ipoh belajar dimana?", soal datuk.

"Trade School, macam Ramli."

"Macam mana tahu rumah ini?"

"Ikut alamat yang diberi oleh Ramli.”

"Ramli itu cucu saya, dia baru dua hari pergi ke Segamat.”

"Apa halnya?"

"Kerja. Dia jadi juruteknik rendah JKR di sana."

Abdul Rahman Hitam termenung panjang. Rasa hampa terbayang di wajahnya.

Datuk terus menepuk bahu kanan Abdul Rahman dua kali, sambil menjeling ke arah kawannya yang duduk atas bangku panjang bawah pokok manggis.

"Sabarlah. Satu hari nanti kau akan berjumpa juga dengannya”, ujar datuk.

"Dia kawan baik saya, dah lama kami tak jumpa”, keluh Abdul Rahman sambil menggigit ibu jari kiri.

Datuk pun memperkenalkan saya dengan Abdul Rahman Hitam. Datuk memberitahu padanya, saya adalah salah seorang daripada cucunya yang dipelihara sejak berusia sebulan.

Dan Abdul Rahman memberitahu saya, dia salah seorang pekerja syarikat lombong besi iaitu EMMCO di Bukit Besi, Terengganu.

Dia dihantar oleh syarikat tersebut belajar ke Trade School Ipoh mengikuti kursus jurutera selama tiga tahun.

Di Ipoh dia berkenalan dan berkawan rapat dengan sepupu saya Mohammad Ramli. Bila dia tamat belajar dia terus berhenti dari menjadi pekerja dengan syarikat tersebut.

Abdul Rahman mahu meneruskan cita-cita mengelilingi dunia dengan basikal dan mahu menetap di Jerman Barat di samping meneruskan pelajarannya di bidang kejuruteraan.

Tidak lama Abdul Rahman bercakap dengan datuk dan saya, kira-kira satu jam sahaja.

Kemudian Abdul Rahman Hitam dan kawannya meneruskan perjalanan ke utara. Bila selesai mengelilingi tanah semenanjung, dia akan mengelilingi dunia pula.

Tetapi sejak petang itu cerita tentang diri Abdul Rahman Hitam tidak saya ketahui. Apakah dia berjaya dalam cita-citanya atau dia masih hidup lagi kini, saya pun tidak tahu.

Malah, sepupu saya pun tidak pemah menyebut tentang dirinya.

"Dia anak muda yang bercita-cita besar”, kata datuk pada saya sebaik sahaja Abdul Rahman dan kawannya meninggalkan kawasan rumah.

Suasana petang itu cukup damai. Langit cerah dan angin bertiup lemah tetapi, mampu meng­gugurkan daun-daun manggis yang tua.

Datuk mengajak dua orang kenalannya itu pergi menjala ikan di sungai untuk di buat lauk makan malam.

Kenalannya itu setuju. Saya dengan nenek pula pergi ke sawah melihat dan memetik buah terung dan mentimun yang ditanam atas batas bendang.

Sebelum menjelang waktu Maghrib kami berkumpul kembali di rumah.

Pada sebelah malam membawa ke waktu subuh datuk menghabiskan masanya dengan membaca Al-Quran.

Pada sebelah paginya, datuk mengajar kedua kenalannya cara membaling buluh runcing supaya tepat pada sasarannya.

Menurut datuk, perkara itu perlu untuk mereka bila masuk ke dalam hutan kelak. Datuk tidak mahu mereka menggunakan besi jika berhadapan dengan binatang buas.

Masa yang ditetapkan pun tiba. Datuk sudah pun mengikat benang hitam bercampur putih pada pergelangan tangan kiri kedua orang kenalannya, manakala kenalan yang berbadan tegap pula datuk gantungkan benang hitam bercampur putih di lehernya.

"Kau aku jadikan harapan”, kata datuk pada lelaki yang berbadan tegap itu.

Datuk menyerahkan pada mereka buluh kuning sepanjang tiga kaki, tiap seorang.

Datuk melihat matahari di langit. Dia membaca sesuatu dan melangkah tiga tapak ke depan lalu memacakkan buluh kuning yang dibawanya ke situ.

Datuk pun menyukat bayang buluh itu dengan tapak kaki kanannya. Dia merenung wajah saya dan orang bertiga dengan tersenyum.

"Dah pukul lima lebih, eloklah kita pergi, semua barang-barang dah siap?", datuk mengajukan pertanyaan pada lelaki yang berbadan tegap.

"Dah”, jawab lelaki itu.

"Periksa lagi sekali. Kita terpaksa bermalam dalam hutan, kalau tak kena caranya, kita pula yang sesat.”

"Ah, seram juga dengarnya. Biarlah saya periksa.”

Lelaki berbadan tegap itu terus memeriksa barang-barang yang akan dibawa sekali lagi.

Dia yakin, semua barang yang diperlukan oleh datuk sudah ada. Tetapi datuk tidak puas hati, dia sendiri memeriksa barang-barang itu bagi kali terakhir.

"Saya puas hati”, katanya pada kami.

Tanpa banyak bicara datuk meninggalkan pesan pada nenek, kalau dia tidak pulang dalam masa tiga hari, dia minta nenek memberitahu orang-orang kampung supaya mencarinya.

Nenek berjanji akan melaksanakan semua pesan datuk dan nenek memberikan doa selamat atas keberangkatan rombongan kami pada petang itu.

Bila sampai ke gigi hutan, datuk menyuruh lelaki berbadan tegap dan berambut panjang jadi kepala jalan.

Pada mulanya lelaki berbadan tegap itu enggan memenuhi permintaan datuk dengan memberi berbagai-bagai alasan.

"Jangan takut, aku tak membiarkan kamu susah, aku ada bersama kamu. Aku ingat kamu ikut saja cakap aku ni. Kamu sudah biasa datang ke sini, ini lebih memudahkan kita, cepat sampai ke tempat yang dituju," suara datuk mula keras.

"Saya.. saya.."

"Usah berdalih lagi. Jalan saja. Kalau aku jadi kepala jalan lambat sampai nanti. Semua kerja kita tak menjadi."

"Baiklah."

Lelaki berbadan tegap yang berambut panjang itu membawa kami masuk ke kawasan hutan sebelah kanan.

Saya mula terasa sukar untuk melangkah. Kaki saya selalu sahaja tersepak akar-akar kayu.

Pokok-pokok besar yang terdapat di situ semuanya dililit oleh akar yang berjuntaian, sesekali saya melihat ular daun memanjat akar menuju ke dahan pokok besar.

Nyamuk mula terasa menggigit muka dan telinga, manakala pacat hutan berkeliaran di daun-daun kayu dan cuba memanjat tubuh kami.

Bunyi burung-burung hutan yang bersahutan membuat bulu tengkuk saya meremang. Beberapa ekor pelanduk melompat-Iompat di celah-celah perdu pokok besar.

"Jangan anaiyakan binatang itu, dia mahu hidup," pesan datuk bila dia melihat lelaki berbadab tegap mahu melontarkan buluh runcing ke arah binatang tersebut.

Lelaki berbadan tegap itu segera minta maaf pada datuk. Matahari bertambah condong.

Perjalanan menjadi bertambah sukar. Lelaki berbadan tegap dua tiga kali tersungkur akibat tersepak akar kayu.

"Jauh lagi ke?", tanya datuk pada lelaki berbadan tegap.

"Tak jauh lagi, lebih kurang lima rantai dari sini."

"Tak apalah," balas datuk sambil meneruskan perjalanan.

Tiba-tiba lelaki berbadan tegap itu berhenti melangkah. Mukanya pucat dan undur mendapatkan datuk. Keadaan jadi kelam kabut sebentar.

Seekor harimau duduk mencangkung di hadapan kawasan yang akan kami lalui. Datuk tersenyum dan memaksa lelaki berbadan tegap itu mara.

Ternyata lelaki berbadan tegap itu tidak berdaya melangkah. Dia jatuh terjelupuk. Kedua orang kawannya bersedia untuk lari tetapi diha­lang oleh datuk.

Perbuatan datuk itu menimbulkan kemarahan pada mereka dan mereka menghalakan buluh runcing ke arah datuk.

"Awak berdua jangan nak buat kurang ajar de­ngan saya”, datuk mula marah.

Saya menggigit bibir dan terus duduk di pangkal pokok besar sambil memerhati dengan teliti kearah harimau. Saya lihat harimau itu menjelirkan lidahnya dan terus menguap.

"Awak nak anaiyakan kami!”, jawab salah seorang dari mereka.

"Anaiya apa, saya nak tolong awak.”

"Harimau ada di depan awak suruh pergi.”

"Apa salahnya?”

"Awak nak suruh kami mampus!”, pekik orang itu lalu merodokkan buluh runcing ke perut datuk.

Buluh runcing itu tidak dapat menembusi perut datuk. Orang itu jadi serba salah.

Bila orang itu mencuba merodok perut datuk untuk kali yang kedua, harimau yang ada di hadapan melompat dan terus merebahkan orang itu ke bumi.

"Jangan”, pekik datuk.

Harimau itu tidak jadi mencakar muka orang itu dengan kukunya. Datuk menepuk kepala harimau itu dua tiga kali. Saya lihat harimau itu dengan penuh manja menjilat lengan datuk.

"Kau tahu aku ke sini”, kata datuk.

Harimau itu goyangkan ekornya sambil mengesel-geselkan badannya pada kaki datuk.

"Merbahayakah aku ikut sini?", tanya datuk pada harimau.

Dan harimau itu bagaikan mengerti dengan apa yang dikatakan oleh datuk. Dia mengaum dengan perlahan lalu memusingkan kepalanya dari arah matahari terbit ke arah matahari jatuh.

"Kita ikut arah yang ditunjukkannya”, kata datuk pada saya.

Datuk menyuruh lelaki yang mahu menikamnya dengan buluh runcing bangun. Begitu juga dengan lelaki yang berbadan tegap.

Kali ini saya lihat gerak-geri lelaki bertiga itu kian bersopan dan menghormati datuk. Mereka tidak berani memandang wajah datuk.

Saya tidak tahu apakah perbuatan itu kerana malu atau kerana mereka takut pada datuk.

"Biar aku jadi kepala jalan, kalau ada diantara kita berniat jahat, jangan marahkan saya bila menerima padahnya”, datuk mengingatkan lelaki bertiga. Mereka diam dan tunduk.

"Untut, kau jaga kami dan bawa kami ikut jalan selamat”, kata datuk.

Harimau yang berada beberapa ela di hadapan datuk segera menghampiri datuk dari rusuk sebelah kiri.

Harimau itu mencium badan datuk dan menjilat tangan kiri datuk sebelum berlari ke depan semula. Kami terus mengekori harimau itu.

Sebaik sahaja sampai ke satu kawasan lapang harimau itu terus ghaib. Datuk berdiri di kawasan lapang itu sambil merenung ke kiri dan ke kanan. Kiri kanan kawasan lapang itu di tumbuhi oleh pokok-pokok buluh.

"Kita dah sampai”, secara mendadak sahaja lelaki berbadan tegap bersuara.

Dia terus berdiri dekat datuk. Tiba-tiba kami terdengar kokok ayam hutan bertalu-talu.

Daun-daun buluh yang tua berguguran meskipun angin tidak bertiup ketika itu.

Saya merenung di bahagian kawasan lapang yang ditumbuhi pokok-pokok buluh.

Ternyata pokok-pokok buluh itu bersambung dengan kawasan hutan yang tebal hingga ke kaki Gunung Titiwangsa.

"Mana kolamnya?", datuk menyoal lelaki berbadan tegap.

"Mari kita ke hadapan lagi”, jawabnya.

Datuk pun mengikutinya. Saya mula terasa sakit pada pergelangan kaki. Badan mula terasa letih tetapi saya paksakan juga melangkah menuju ke tempat yang di cari.

"Disini”, jerit lelaki berbadan tegap.

Dan saya melihat sebuah kolam terbentang di hadapan mata dengan airnya yang cukup jernih.

Di permukaaan kolam terdapat pokok teratai dan kiambang terapung-apung. Anak-anak ikan yang melompat mencipta alun kecil yang menghempas pada batang teratai. Suasana terasa nyaman dan sunyi sekali.

Datuk segera memerintahkan kami mencari tempat yang sesuai untuk tempat duduk.

Datuk dan lelaki berbadan tegap itu terus mengelilingi kolam tersebut.

Sesekali saya terdengar suara harimau mengaum yang memberikan keyakinan pada saya bahawa kami berada dalam keadaan yang selamat.

Saya lihat langit yang terbentang. Awan berselisih bersama pancaran matahari yang membekalkan keadaan yang samar-samar di sekitar kawasan kolam.

"Pukul berapa?", tanya saya pada salah seorang kenalan datuk yang duduk dekat saya. Orang itu segera melihat jam tangannya.

"Lagi lima minit pukul enam setengah”, katanya.

"Kalau di luar keadaan tak macam ini.”

"Tentulah, kita sekarang berada di tengah hutan, pokok-pokok besar ini melindungi sinar matahari.”

"Betul cakap awak tu”, tingkah saya.

Kami berbalas senyum. Kawannya yang seorang lagi membakar ranting-ranting kayu untuk di buat unggun.

Asap yang datang dari unggun itu menghalau nyamuk dari menggigit kami.

Datuk dan lelaki tegap tu masih lagi mengelilingi kolam. Saya terus duduk mencangkung macam Cina kalah judi.

Saya masih memikirkan bagaimanakah rupa dan bentuk burung belibis itu. Tanpa saya sedari, datuk dan lelaki berbadan tegap itu sudah berdiri di belakang saya.

Datuk merenung ke tengah kolam macam mencari sesuatu. Semua orang yang berada di situ diam tidak berkata melihat keadaan datuk.

"Di mana hilangnya?", tanya datuk pada lelaki berbadan tegap.

"Di situ”, lelaki berbadan tegap itu menunjuk ke arah sebuah busut jantan yang tidak jauh letaknya dari perdu buluh.

Datuk anggukkan kepala. Datuk mengeliat dan menguap panjang, kemudian terus duduk dekat perdu buluh. Datuk termenung panjang di situ.

Suasana yang tenang dan damai itu dipecahkan oleh bunyi suara azan. Kami berpandangan sesama sendiri.

Kami tidak tahu dari arah mana suara azan itu datang. Bila suara azan itu ghaib, datuk segera bangun menuju ke bibir kolam.

Datuk benamkan tangan kirinya ke dalam air kolam kira-kira dua tiga minit. Datuk buat tidak kisah tentang suara azan yang didengarinya itu.

"Kalau siapa nak mandi boleh mandi, tapi jangan pergi jauh”, ujar datuk pada kami.

Dia terus memacakkan buluh kuning yang di bawanya dalam kolam. Datuk terus basuh muka sambiI mulutnya bergerak-gerak macam mem­baca sesuatu.

Keadaan di sekitar kawasan kolam bertukar dari samar-samar menjadi gelap.

Bunyi burung-burung hutan mula kedengaran tingkah meningkah antara satu sama lain. Datuk terus memandang ke arah saya dan kawan-kawannya.

"Siapa yang mahu mandi, silalah turun”, suara datuk lembut.

Tidak ada seorang pun yang mahu memberi jawapan atas pertanyaan datuk itu, masing-­masing membatu dengan wajah cemas. Datuk pun beredar dari bibir kolam, berdiri dekat unggun api.

"Kalau mahu mandi, jangan lepas dari kawasan buluh yang aku pacakkan tu”, tambah datuk sambil membuka baju.

"Saya tak mahu mandi”, tiba-tiba lelaki berbadan tegap bersuara.

Dan dua orang lagi rakannya juga memberikan jawapan yang sama. Datuk tersenyum sambiI membuka seluar dan membelitkan kain basahan ke pinggangnya. Datuk terus terjun ke dalam kolam.

Setelah selesai mandi dan menyarungkan kain dan baju ke tubuhnya, datuk terus ambil air sembahyang. Bila melihat datuk berbuat demikian kami terus ambil air sembahyang.

Kami pun sembahyang Maghrib dan datuk jadi imamnya. Tidak ada sesuatu pun yang mengacau kami ketika itu.

Bila selesai memberi salam, saya lihat ada harimau duduk tertungguk berhampiran perdu buluh. Bila datuk selesai membaca doa, harimau tersebut terus ghaib.

Datuk tukar pakaian. Dia menyarungkan seluar dan baju hitam ke tubuhnya. Datuk lilit kepalanya dengan kain merah dan mendongakkan kepalanya ke langit, melihat langit dan awan kira-kira dua tiga saat.

"Kau yakin tempat ini belibis turun?”, soal datuk pada lelaki berbadan tegap.

Lelaki itu anggukkan kepalanya. Datuk kerutkan kening, dia terasa sudah cukup lama menanti, sedangkan belibis tidak juga turun bermain dalam kolam.

Datuk terus berpeluk tubuh sebentar. Sepasang matanya tertumpu kepada air kolam yang tenang itu.

"Baiklah, kita mulakan sekarang. Jangan ada di antara kamu menegur apa yang aku buat”, datuk mengeluarkan perintah dan dia terus duduk bersila.

Kami pun segera mencari tempat duduk yang sesuai. Datuk terus menekan bumi dengan ibu jari kiri. Tiga kali berturut-turut dia melakukan perkara itu.

Kemudian datuk pun meletakkan kedua lengannya atas kepala lutut kiri dan kanan. Mulutnya membaca sesuatu dan kedua belah matanya dirapatkan. Datuk menumpukan seluruh pancainderanya ke alam ghaib.

Anehnya, saya lihat datuk berkali-kali menggelengkan kepalanya dan berusaha dengan sedaya upayanya menyatukan seluruh perasaannya dengan alam ghaib. Wajah datuk terus berpeluh.

Suara burung hantu mula kedengaran. Pokok-pokok buluh bergoyang dengan sendirinya macam dilanda ribut besar.

Bermacam jenis suara mula kedengaran. Ada suara orang bertempik, ada suara orang membaca syair bersama paluan gendang.

Bila suara itu hilang, seekor ular sawa sebesar batang kelapa merayap di hadapan kami. Ular sawa itu menuju ke arah datuk lalu membuka mulutnya di belakang datuk.

Badan datuk bagaikan berada dalam rahang ular itu, manakala bahagian badan ular pula melingkari kawasan datuk duduk, tetapi, datuk tidak menghiraukan semuanya.

Kenalan datuk yang bertiga tidak dapat berkata apa-apa, wajah mereka pucat. Beberapa saat kemudian ular itu ghaib.

Air dalam kolam pula berkocak. Kemudian berhenti, suasana kembali aman. Tidak ada sebarang keganjilan berlaku. Semuanya seperti keadaan biasa.

Datuk berhenti dari tugasnya. Datuk nampak resah sekali, wajahnya yang dimandi peluh nampak merah.

Saya terus menyuruh lelaki berbadan tegap menyalakan lampu gasolin. Tergesa-gesa dia membuka bungkusan yang di bawanya.

Dia keluarkan lampu gasolin dan minyak tanah lalu memasangnya. Cahaya gasolin menerangi seluruh kawasan tanah lapang.

Datuk menggaru pangkal kening kirinya berkali-kali. Sesekali dia merenung ke arah busut jantan.

"Susah. Dia sudah tidak bernyawa lagi”, keluh datuk.

Tamat siri 37/284

BACA: SBDJ Siri 36: Pukau Ular Tedung
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Monday, April 08, 2019

Becky Lynch Juara Wanita RAW dan SmackDown WrestleMania 35

Becky Lynch Juara Wanita RAW dan SmackDown WrestleMania 35

Becky Lynch, wanita bergelar ‘The Man’ itu yang meningkat secara mendadak sejak beberapa bulan lalu untuk menjadi antara bintang terbaik di WWE, muncul juara bagi RAW dan SmackDown apabila menewaskan dua pencabar, Ronda Rousey dan Charlotte Flair dalam acara WWE WrestleMania 35, di New Jersey pada Isnin.

Becky Lynch Juara WrestleMania 35
Becky Lynch (kanan).

Becky Lynch berjaya menewaskan Rousey yang merupakan bekas juara wanita UFC, meskipun kemenangan itu dipertikai beberapa pihak kerana bahu Rousey dikatakan tidak mencecah lantai semasa kiraan dibuat.

Sungguh pun begitu, pengadil perlawanan tetap mengisytiharkan Lynch sebagai pemenang, sekali gus juara bagi kedua-dua jenama WWE tersebut.

Ini merupakan kali pertama dalam sejarah WWE tiga wanita diletakkan pada acara utama di Wrestlemania.

Bagi gelaran Juara Universal pula, Seth Rollins muncul juara selepas menewaskan penggusti veteran Brock Lesnar.

Perlawanan dimulakan dengan Lesnar melompat ke arah Rollins sambil melancarkan beberapa siri pukulan termasuk balingan ‘Suplex’.

Rollins yang cedera, kemudiannya bangkit dan menumbuk Lesnar di bahagian bawah pinggang, diikuti dengan tiga pukulan ‘Curb Stomp’ untuk memenangi tali pinggang berprestij itu.

Lesnar, yang juga merupakan seorang petarung di UFC, dikhabarkan akan kembali ke Octagon untuk bertemu juara berganda heavyweight dan light heavyweight, Daniel Cormier.

Sementara itu, untuk takhta Juara WWE pula, Kofi Kingston mengalahkan Daniel Bryan menerusi ‘pinfal’ selepas penantian lebih 11 tahun.

Kingston menjadi penggusti lelaki kedua berbangsa Afrika-Amerika untuk meraih gelaran tersebut.

Kemenangan itu disambut dengan sorakan gemuruh dari penonton Stadium MetLife, diikuti rakan-rakannya dari New Day iaitu Big E dan Xavier Woods yang menyerbu masuk gelanggang untuk turut meraikannya.

Berikut merupakan keputusan bagi perlawanan lain dalam acara WWE WrestleMania 35:
  • Kejuaraan Cruiserweight -- Tony Nese tewaskan Buddy Murphy menerusi pinfall.
  • Carmella juarai Battle Royal Wanita.
  • Kejuaraan Tag Team Raw -- Zack Ryder & Curt Hawkins tewaskan The Revival menerusi pinfall.
  • Braun Strowman -- menangi ‘Andre the Giant Memorial Battle Royal’.
  • AJ Styles tewaskan Randy Orton menerusi pinfall.
  • Kejuaraan Tag Team SmackDown -- The Usos tewaskan The Bar menerusi pinfall, Ricochet & Aleister Black dan Rusev & Shinsuke Nakamura untuk kekalkan kejuaraan.
  • Shane McMahon tewaskan The Miz menerusi pinfall.
  • Kejuaraan Tag Team Wanita -- The IIconics tewaskan Boss 'N Hug Connection menerusi pinfall, Beth Phoenix & Natalya dan Nia Jax & Tamina untuk meraih kejuaraan.
  • Kejuaraan Amerika Syarikat — Samoa Joe tewaskan Rey Mysterio menerusi submission untuk kekalkan kejuaraan.
  • Roman Reigns tewaskan Drew McIntyre menerusi pinfall.
  • Triple H tewaskan Batista menerusi pinfall dalam ‘No Holds Barred’.
  • Baron Corbin tewaskan Kurt Angle menerusi pinfall dalam ‘Farewell Match’.
  • Kejuaraan Intercontinental — Finn Balor tewaskan Bobby Lashley menerusi pinfall untuk raih kejuaraan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

Punca Hibah Tabung Haji Terlalu Rendah

Punca Hibah Tabung Haji Terlalu Rendah

Pasti ramai yang bertanya kenapa hibah Tabung Haji sangat rendah? Mungkin ramai yang akan tidak hati, sebahagian didasari kebimbangan, sebahagian yang lain pula hanya bersumber kepada sebab kebencian dan perseteruan politik.

Hibah Tabung Haji

Adalah diingatkan tulisan ini bukan dari orang politik, melainkan sekadar usaha berkongsi ulasan untuk bacaan orang ramai yang bertanya.

Info dan fakta dalam ulasan ini bersumber dari pihak Tabung Haji sendiri dan penulis tiada kepentingan dalam TH malah telah pun beberapa Kali l menunaikan haji melalui perjalanan sendiri sewaktu belajar dahulu, tiada satupun bersama TH.

Ulasan ini dibuat bagi melaksanakan tugasan menjawab soalan mereka yang cintakan ilmu dan kebenaran, sekadar menyampaikan maklumat sebenar sekdar yang difaham, juga tiada sebarang autoriti atau kuasa untuk menjustifikasi berlebihan, mempertahankan atau mempengaruhi sebarang keputusan komersial, operasi dan penstrukturan oleh pihak TH.

Justeru, jika ada keputusan dan tindakan TH yang dilihat tidak tepat dari sudut komersial, itu adalah perbezaan biasa sudut pandangan komersial dari seseorang individu atau institusi dengan pengurusan TH.

Ia tidak semestinya lebih tepat atau lebih baik dari keputusan TH, kerana TH diyakini lebih fahami luar dalam organisasi yang diurusi mereka.

Tak pelik kadar 1.25 peratus

Maksud Hibah dalam bahasa arab ertinya adalah hadiah dan dari sudut kontrak dalam fiqh muamalat, adalah pelik dan tiada kewajaran untuk penerima hibah memarahi hadiah yang kecil diberi oleh pemberi hadiah.

Maka hibah kecil berbanding sebelum tentunya bersebab. Kerana kontrak syarah yang digunapakai oleh Tabung Haji dengan penyimpan adalah Wadi’ah Yad Dhamanah, yang bererti kontrak pinjaman wang.

Maka, hadiah dan jumlahnya mestilah diberi secara tanpa paksa dan sukarela oleh pemberi hadiah bagi mengelakkan elemen riba. Hal ini juga telah diteliti oleh Majlis Penasihat Shariah TH.

Kenapa Hibah TH terlalu rendah?

Ada pelbagai sebab yang tercantum dan membarah, antaranya kelemahan pengurusan TH terdahulu, pelanggaran Akta Tabung Haji 1995 serta faktor politik ekonomi dalam dan luar negara.

a) Kelemahan pengurusan terdahulu

Kelemahan pengurusan TH yang dahulu (kerana hibah 2018 adalah refleksi tugasan dan keputusan pengurusan TH sejak dari tahun sebelumnya sehinggalah tahun 2017 dan 2018), sebahagian keputusan ini tidak dianggap jenayah kerana menurut undang-undang, kelemahan ‘ certain type of bad investment decision is not a crime ’, maka tidak semua jenis kelemahan boleh diheret ke mahkamah.

Sebahagian lagi yang lain, telah pun dilaporkan kepada polis dan dalam siasatan iaitu kes yang merugikan Tabung Haji.

Antara kes-kes yang membawa kerugian seperti arahan untuk tidak menjual saham FGV sehingga kerugian RM1.1 bilion, TH menyelamatkan Ramunia Holdings Bhd (nama lama sebelum ditukar kepada nama TH Heavy Engineering Bhd) sehingga kerugian RM670 juta dan TH membeli 30 peratus pemilikan dalam syarikat Putrajaya Perdana Berhad melibatkan RM144 juta kerugian.

Menurut laporan TH, Lembaga Pengarah TH baru telah membuat laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli lembaga pengarah dan pengurusan lama.

Laporan pertama melibatkan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017, di mana dana berjumlah lebih daripada RM22 juta telah dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik. Ia jelas bertentangan dengan Memorandum dan Artikel Persatuan YTH.

Laporan kedua dibuat ke atas beberapa pengurusan TH yang lalu berhubung dengan salah nyata dan penyembunyian maklumat penting yang melibatkan penjualan saham TH dalam tahun 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM 3.7 billion).

Laporan ketiga dibuat pada bulan Januari 2019 berhubung dengan akaun kewangan TH bagi tahun berakhir 31 Disember 2017 (FY17).

Laporan ini melibatkan pembentangan laporan kewangan oleh bekas para eksekutif utama TH sehingga berjaya mengisytiharkan hibah walaupun keuntungan tidak mencukupi, bertentangan dengan Akta Tabung Haji 1995.

Pihak polis juga sedang membuat siasatan mengikut Seksyen 420 dan 409 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat ahli lembaga pengarah dan pengurusan yang lama. Lebih banyak laporan polis akan dibuat pada masa hadapan berkaitan dengan kerugian yang dialami oleh TH.

b) Melanggar Akta Tabung Haji 1995

Mantan gabenor Bank Negara Malaysia, Zeti Akhtar Aziz pernah menulis surat kepada mantan menteri yang bertanggungjawab pada 23 Disember 2015 untuk memberi amaran bahawa TH mengalami masalah kekurangan aset.

Walau bagaimanapun, kerajaan tidak mengambil iktibar amaran tersebut dan terus membenarkan TH membayar hibah (dividen) yang tinggi, walaupun keuntungannya tidak mencukupi.

Melihat laporan kewangan TH tahun 2017, mencatatkan kemerosotan nilai sebanyak RM120.4 juta sahaja, maka seolahnya TH tiada kerugian dan serta asetnya melebihi liabiliti termasuk kerugian, namun hakikat sebenarnya ukur rujuk kemerosotan nilai telah diubah, menyalahi standard piawaian perakaunan yang dipakai oleh TH sendiri iaitu menurut Financial Reporting Standard Consensus no 14 di bawah ‘ impairment ’ menghendaki TH merekodkan semua ini sebagai kerugian, apabila ia dikembalikan menurut standard yang betul, kemerosotan nilai tahun 2018 menokok sebanyak 12.5 kali ganda sehingga menjadi RM1.507 bilion.

Inilah yang menjadikan TH kekurangan aset berbanding liabiliti serta menyekat pemberian hibah yang lebih besar.

c) Politik ekonomi dalam dan luar negara

Faktor politik dan ekonomi dalam negara dan juga faktor ekonomi luar negara seperti Federal Reserve USA menaikkan kadar faedahnya sebanyak 4 kali pada tahun 2018, naik dari 2 peratus kepada 2.25 peratus, ini menyebabkan pelabur global mengutamakan Pasaran Saham USA yang lebih menyakinkan berbanding pasaran negara-negara membangun termasuk Malaysia, Trade War di antara China dan AS turut memberi kesan besar kepada kestabilan pasaran saham.

Begitu juga kekalutan isu Brexit yang mempengaruhi seluruh pasaran saham serantau termasuk Asia. Ini tentunya menjadi salah satu penyebab tambahan bagi jatuhnya nilai pelbagai saham yang dipegang oleh TH juga.

Tidak dinafikan, perubahan kerajaan PH dari BN buat pertama kali dalam sejarah Malaysia turut menambah lagi perisa ketidaktentuan pasaran saham di Malaysia. Ia perkara lumrah bagi sebuah perubahan besar dalam sesebuah negara.

Tak untung cuma pusing wang penyimpan

Menurut CEO Tabung Haji Zukri Ab Samat dalam sidang media pengumuman hibah, akta TH menghadkan pemberian hanya pada lebihan (surplus) aset berbanding liabiliti, maka walaupun keuntungan semasa TH adalah RM2.014 bilion, tetapi jumlah yang boleh diagihkan berdasarkan Akta TH (bagi memastikan agar liabiliti tidak lebihi asset lagi) hanyalah RM913 juta sahaja.

Itulah jumlah yang membentuk 1.25 peratus hibah tahun 2018 yang terendah dalam sejarah.

Dijelaskan juga oleh pengurusan terkini TH, sejak beberapa tahun dahulu TH mampu memberikan hibah tinggi kerana wujud manipulasi piawaian perakaunan TH dan juga ketidaktepatan kedudukan akaun TH.

Akibatnya, hibah bagi beberapa tahun lalu adalah datang dari wang depositor bukannya dari untung perniagaan sebenar. Ia adalah resepi keruntuhan TH sekiranya diteruskan serta tidak diperbaiki dan diperbetulkan.

Bermakna, hibah tinggi masih boleh diberi tetapi dengan cara melanggar akta TH, mengubah ambang kemerosotan nilai secara salah sekali gus melanggar piawaian perakauan TH sendiri dan menggunakan deposit penyimpan.

Ini semua kalau dilakukan pada tahun 2018, pasti boleh memberikan lebih dari 6 peratus hibah tetapi ia salah di sisi undang-undang dan juga syarak serta menjatuhkan standard TH seperti skim cepat kaya pak man telo yang menggunakan duit pelabur awal untuk membayar pelabur terkemudian, bukan didasari oleh untung perniagaan tetapi memusing-musing wang penyimpan.

Kerajaan biaya kos selamatkan TH

Berdasarkan maklumat dari sidang akhbar TH, iaitu melalui suntikan dana bersih sejumlah RM17.8 bilion ke dalam TH akan dibiayai oleh kerajaan dalam tempoh 10 tahun, iaitu dari tahun 2020 sehingga tahun 2030.

Kerajaan menerusi sebuah syarikat tujuan khas atau special purpose vehicle (SPV), iaitu Urus Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang diketuai oleh CEO yang baru dilantik iaitu Izad Shahadi, membeli aset TH yang kini bernilai hanya RM9.7 bilion dengan harga yang lebih tinggi pada RM19.9 bilion.

Pembayaran RM19.9 bilion ini terdiri daripada:

RM10.0 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.05% setahun bertempoh 7 tahun.

RM9.6 bilion dalam bentuk sukuk berkupon sifar dengan pulangan 4.10% setahun bertempoh 10 tahun.

RM0.3 bilion dalam bentuk bayaran tunai yang dijana menerusi aset RM9.7 bilion yang telah dijual kepada SPV (dividen dan sewa yang diperolehi).

Dengan penerimaan aset-aset bernilai RM19.9 bilion, nilai aset TH akan bertambah dan melebihi liabilitinya sambil mematuhi piawaian yang sepatutnya.

Dengan peningkatan nilai asetnya, TH akan terus mampu membayar hibah menurut keuntungan yang diperolehi pada masa depan.

Dengan kata lain, kerajaan akan menanggung beban kewangan sebanyak RM19.6 bilion untuk menyelamatkan TH.

Kos yang akan ditanggung oleh kerajaan ke atas sukuk bernilai RM19.6 bilion tersebut dianggarkan sebanyak RM7.9 bilion dan ini juga akan dibiayai oleh kerajaan.

Ini menjadikan tanggungan kasar kerajaan untuk menyelamatkan TH sebanyak RM27.5 bilion yang disandarkan kepada aset bernilai RM9.7 bilion.

Selepas menolak nilai aset sebanyak RM9.7 bilion, kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion ke dalam TH yang akan dibayar dalam tempoh 10 tahun.

Berdasarkan kenyataan CEO TH, rumusannya keadaan TH sekarang adalah:

Defisit telah berjaya ditutup. Hibah boleh diagihkan mengikut Akta Tabung Haji.

Semua kerugian rosot nilai telah direkodkan. Dijangka tiada lagi kejutan di masa hadapan.

Kedudukan kewangan telah pulih. Pulangan yang stabil daripada aset yang berdaya saing.

Sokongan daripada kerajaan melalui peruntukan tahunan diberikan untuk memastikan semua sukuk ditebus semula oleh SPV.

Hak keutamaan dimiliki TH yang mana TH boleh mengambil semula aset yang telah dipindahkan setelah dipulihkan.

Tadbir Urus dan ketelusan yang lebih baik. Pengawalseliaan yang diperkukuhkan serta pengurusan pelaburan dan risiko yang lebih mampan.

Subsidi haji masih ada bagi mereka yang ingin menunaikan haji termasuk pengiring.

Simpanan penyimpan semua selamat malah dijamin 100 peratus oleh kerajaan.

Aset yang dipegang oleh SPV Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) kini diuruskan sendiri oleh UJSB yang diketuai oleh CEO Melayu Muslim bernama Izad Shahadi Mohd Sallehuddin dengan dibimbing oleh 5 orang ahli Lembaga Pengarah yang semuanya Islam. Prokhas dan CEO berbangsa Cina tiada lagi peranan dalam hal ini.

Keputusan besar dan penting berkaitan urusan TH semuanya dibawa ke kabinet menteri dan tiada sama sekali dikawal oleh menteri kewangan atau mana-mana bukan muslim.

TH adalah di bawah tugasan perdana menteri dan menteri hal ehwal agama sahaja.

Pandangan saya bagi pendepositor, bagi sesiapa yang menyimpan untuk menunaikan haji, terlebih baik untuk mereka kekal dalam TH bagi melunaskan hasrat mulia dan kewajiban haji terbabit serta mendapat subsidi haji dari TH.

Bagi penyimpan untuk keuntungan yang lain dari itu termasuklah 1.3 peratus penyimpan kaya di TH yang merupakan pemegang RM37 bilion daripada keseluruhan jumlah simpanan RM74 bilion wang penyimpan, bertenanglah sekejap dan kemudian dengar dan fahami penjelasan pihak Tabung Haji dan bukan orang politik dari mana-mana parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan (mereka saling melobi sokongan).

Sebaiknya fahamkan penjelasan CEO Tabung Haji Zukri Samad sebagaimana yang beliau huraikan dalam suatu sidang media .

Biarlah kita mengambil maklumat dari bukan orang politik, ia lebih terpercaya.

Jika masih tidak percaya, maka duit simpanan itu adalah duit anda dan siapapun berhak menentukan keputusan terbaiknya.

Tahniah bagi mereka yang mampu membaca dan berusaha faham dari awal sehingga di para terakhir ini. Semoga hidayah dan kebenaran milik kita bersama.

***

DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN ialah Prof Adjung Unisel dan juga Pengarah Urusan Elzar Shariah Solution.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Realme 3 Mula Dijual Di Malaysia, 3GB RAM, Bateri 4230mAh

Realme 3 Mula Dijual Di Malaysia, 3GB RAM, Bateri 4230mAh

Berbekalkan slogan ‘Proud To Be Young’, telefon pintar Realme dikhaskan buat mereka yang mahu mendapatkan telefon pintar dengan harga berbaloi tetapi berdasarkan spesifikasi yang menarik dan jenama yang semakin diminati di Malaysia ini telah melancarkan telefon pintar kelas pertengahan mereka, Realme 3.

Realme 3 review
Realme 3.

Dari segi spesifikasi, Realme 3 hadir dengan processor Mediatek MT6771 Helio P60 beserta 3GB RAM. Ruang storan pula 32GB.

Penawaran skrin 6.22-inci pastinya memberi kepuasan berganda buat para pengguna.

Menariknya, model ini hadir dengan kapasiti bateri yang besar iaitu 4230mAh serta dibantu dengan teknologi penjimatan bateri.

Dalam erti kata lain, anda berpeluang menggunakan Realme 3 tanpa risau mengenai bateri untuk kegunaan seharian.

Material yang digunakan pada model ini iaitu Gradient Unibody secara tidak langsung berjaya membuatkan model ini sedap dipegang serta tampak premium.

Dari segi kamera, Realme disertakan dua lensa pada bahagian belakang merangkumi 13-megapixel dan 2-megapixel.

Dari segi harga, Realme 3 mula ditawarkan pada harga serendah RM599 sahaja dan ditawarkan melalui tiga warna menarik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

HelloGold: Aplikasi Jual Beli Emas Patuh Syariah Di Malaysia

HelloGold: Aplikasi Jual Beli Emas Patuh Syariah Di Malaysia

HelloGold merupakan sebuah aplikasi mudah alih untuk peranti Android dan iOS yang membolehkan anda membeli dan menjual emas secara online dengan mudah, murah dan pantas. Jadi, bagi anda yang mahu menjual atau membeli emas dengan cara paling ringkas, kini terdapat cara yang lebih mudah tanpa perlu membazir terlalu banyak masa dan kos.

Jual beli emas HelloGold

HelloGold adalah aplikasi membeli emas mudah alih patuh syariah pertama di dunia, membolehkan anda membeli dan menjual emas yang dibenarkan dalam hukum Islam di satu platform, syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2015 dan beroperasi dari ibu pejabat di Kuala Lumpur, Malaysia.

Pengguna boleh membeli emas pada harga semurah RM1 dan emas tersebut akan disimpan di dalam sebuah peti keselamatan ataupun anda boleh meminta emas tersebut dihantar ke alamat pilihan anda.

Jongkong emas pelanggan yang disimpan di dalam bilik kebal HelloGold oleh penyimpan terpercaya rasmi, BullionStar International, di Singapura.

BullionStar diinsuranskan oleh penaja jamin terkemuka, Chubb International, diinsurankan pada nilai gantian penuh.

Jenis Emas

HelloGold menggunakan jongkong emas 1 kilo gred pelaburan dengan ketulenan 99.99%, bersumber dari tukang emas antarabangsa yang dikenali sebagai Produits Artistiques Métaux Précieux (PAMP) yang merupakan sebahagian daripada London Bullion Market Association (LBMA).

PAMP ialah satu daripada hanya tiga kilang penapis di seluruh dunia yang dilantik sebagai ‘Approved Good Delivery Referees’ oleh LBMA, bermakna emas dijamin berkualiti tinggi!

Emas Tulin

Emas yang disimpan oleh pembekal emas HelloGold, Bullion Star International, telah diaudit secara bebas oleh Bureau Veritas, iaitu juruaudit yang diluluskan oleh badan LBMA setiap enam bulan.

Sebagai sebahagian dari juruaudit, Bureau Veritas akan melakukan semakan seperti berikut:

Kesemua kewujudan fisikal logam berharga milik pelanggan yang disimpan oleh Bureau Veritas mewakili pelanggan dan sebagai tempat penyimpanan;

Nombor bersiri jongkong yang dipilih secara rawak berdasarkan senarai nombor siri dalam senarai jongkong BullionStar;

Berat jongkong yang dipilih secara rawak berdasarkan huraian jongkong yang disimpan.

Kadar Keuntungan

Akaun HelloGold bukanlah akaun bank. Wang di dalam akaun HelloGold anda hanya boleh digunakan untuk:
  • Pembelian produk dan perkhidmatan daripada HelloGold, atau
  • Dikeluarkan mengikut kemudahan anda.

Wang anda tidak boleh dipindahkan kepada mana-mana pihak ketiga atau digunakan untuk sebarang maksud lain.

Selain itu, tiada faedah atau pulangan terjamin lain dibayar sama ada dalam bentuk wang tunai atau emas yang berada di dalam simpanan akaun HelloGold anda.

Patuh Syariah

Pihak HelloGold juga berkata bahawa perniagaan emas yang dilakukan oleh syarikat tersebut mematuhi undang-undang Syariah, kerana mereka hanya akan menjual emas yang dipegang oleh syarikat tersebut.

HelloGold adalah syarikat Malaysia yang telah menerima pengiktirafan Patuh Shariah oleh Amanie Advisors dan semua operasi dan proses HelloGold adalah selaras dengan Piawaian Shariah terhadap Emas.

Piawaian Shariah terhadap Emas dibangunkan bersama dengan Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), World Gold Council dan Amanie Advisors.

Selain itu, proses pengendalian perniagaan HelloGold telahpun dikaji oleh Bank Negara Malaysia tanpa sebarang masalah.

Semua aspek perniagaan HelloGold adalah sah dibawah undang-undang Malaysia dan fokus adalah untuk memastikan wang dan emas pelanggan dilindungi melalui ciri-ciri keselamatan teknologi maklumat yang kukuh.

HelloGold tidak mengamalkan skim pemasaran pelbagai peringkat (MLM) atau perniagaan jual lansung yang berasaskan komisyen.

HelloGold telah memenuhi dua syarat paling penting:
  • Ia dijamin oleh emas secara fizikal serta diperuntukkan sepenuhnya, dan
  • Proses membeli dan menjual emas secara fizikal dilengkapkan dalam masa yang dibenarkan oleh piawaian.

Pelanggan boleh mengeluarkan emas yang mereka ada dalam akaun sendiri dan akan di hantar ke alamat yang di daftarkan.

Jual Beli Emas

Melalui aplikasi ini, pengguna boleh melihat perubahan harga emas secara langsung dan memilih samada mahu membeli atau menjual emas terutamanya bila harga naik dan dari situlah caranya anda boleh mendapat untung.

Jika HelloGold ditutup, adakah wang dikembalikan?

Ya. Emas yang disimpan bersama HelloGold dijaga dengan selamat di bilik kebal di Singapura.

HelloGold tidak boleh melakukan apa-apa dengan emas tersebut selain menyimpannya untuk anda, melainkan anda mahu menjual atau menghantarkannya kepada anda.

Cara Mendaftar

Pertama, anda hanya perlu mendaftar terlebih dahulu di, Hellogold.com.

Muat Turun Aplikasi HelloGold

Aplikasi HelloGold boleh dimuat turun pada kedua-dua platform iOS dan Android.

Untuk Android:
  • Buka laman web Google Play Store atau Google Play Store di telefon pintar Android anda.
  • Cari “HelloGold” atau klik sini.
  • Tekan “Install” dan
  • Lihat kebenaran yang diminta dan pilih “OK”.

Untuk iOS:
  • Buka App Store.
  • Cari “HelloGold” atau klik sini.
  • Tekan “Get”.

Login menggunakan username dan password ketika mendaftar diatas kemudian lengkapkan butir-butir peribadi anda.

Jadi, apa tunggu lagi. Mulakan pembelian emas anda hari ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz