Saturday, July 28, 2018

Saintis Berjaya Temui Tasik Bawah Tanah Di Marikh?

Saintis Berjaya Temui Tasik Bawah Tanah Di Marikh?

Para saintis berkata mereka telah berjaya menemui sesuatu yang kelihatan seperti sebuah tasik bawah tanah di Marikh, menandakan kali pertama air dijumpai di planet itu, lapor Agensi Maklumat Macedonia (MIA).

Saintis Berjaya Temui Tasik Bawah Tanah Di Marikh?
Imej yang dilakar oleh artis dari kapal angkasa Mars Express. -AP

Penemuan yang dilaporkan itu menimbulkan kemungkinan bahawa terdapat hidupan di planet tersebut.

Scott Hubbard, seorang profesor di Universiti Stanford yang juga pengarah program pertama Marikh NASA (Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika) pada tahun 2000, menyifatkan penemuan itu sebagai "begitu mengujakan," lapor Associated Press (AP).

Kajian itu, yang disiarkan dalam jurnal Sains, adalah berdasarkan isyarat radar selama tiga tahun dari kapal angkasa Mars Express milik Agensi Angkasa Lepas Eropah.

Data kajian mencadangkan kawasan takungan tasik garam seluas 12 batu di bawah ais itu terletak di kutub selatan planet tersebut.

Para penyelidik menghabiskan masa dua tahun meneliti data itu bagi memastikan bahawa apa yang mereka kesan adalah air dan bukan ais atau sesuatu yang lain, lapor AP.

Kirsten Siebach, seorang penyelidik dari Universiti Rice yang tidak mengambil bahagian dalam kajian itu, memberitahu AP bahawa cuaca yang sejuk dan kemasinan melampau bukanlah keadaan yang ideal untuk hidupan, namun mikrob mampu menyesuaikan diri dalam situasi yang sama di Bumi.

Pada 4 Mei, NASA telah melancarkan kenderaan pertamanya ke Marikh iaitu sebuah pesawat tanpa pemandu dinamakan InSight, yang akan meneroka planet merah itu dan menggerudi permukaannya.

Ia dijangka tiba di planet itu pada November 2018.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Geliga Lipan Menjadi Buruan Kaki Judi Dan 'Penarik Harta'

Geliga Lipan Menjadi Buruan Kaki Judi Dan 'Penarik Harta'

Menurut cerita yang didengar daripada golongan yang taksub memiliki batu geliga lipan, kelebihan butiran berwarna merah coklat ini sangat menakjubkan. Mempunyai keupayaan tembus pandang, sesetengah pemiliknya dikatakan berupaya mengetahui dan melihat sesuatu yang terselindung, contohnya angka yang tersembunyi di belakang daun terup.

Geliga Lipan Menjadi Buruan Kaki Judi Dan 'Penarik Harta'
Gambar hiasan.

Kebanyakan pemburu geliga ini sanggup mengeluarkan jutaan ringgit hanya kerana mahu berjudi. Malah ramai juga percaya mereka bakal mendapat keuntungan berlipat kali ganda jika ia dibawa ke kasino di Genting Highlands.

Menurut telahan saya, geliga ini bukan tembus pandang tetapi pemiliknya dapat mengetahui perkara tersembunyi itu melalui 'khadam' yang menjaga geliga lipan tersebut.

Pemilik dikatakan dapat mendengar bisikan di telinga yang memberitahu perkara yang tersembunyi walaupun tidak melihatnya secara terus.

Namun, tidak dinafikan ada yang terlalu taksub dengan geliga ini hingga sanggup mengadakan ritual yang tidak sepatutnya hanya kerana mahu cepat kaya.

Penawar bisa

Bahkan ada yang menjadikan makhluk ghaib sebagai khadam kepada geliga ini, yang didakwa terhasil daripada pengerasan air liur seekor raja lipan itu dipercayai boleh menarik duit dan harta jika mengamalkan ritual khusus untuk tujuan tersebut.

Wujud juga teori yang mengatakan geliga lipan bukan sekadar untuk perubatan atau tembus pandang bahkan ia juga membawa tuah seperti murah rezeki

Sesetengah orang mengatakan pemakaian geliga tersebut boleh membuat seseorang itu kebal dan halimunan.

Cara ini digunakan individu untuk menarik duit atau harta namun, geliga untuk tujuan ini sangat jarang ditemui dan sukar mendapatkannya.

Dari sudut perubatan, geliga ini dipercayai berguna sebagai penawar bisa dan geliga yang diambil daripada mulut lipan adalah yang paling berharga.

Dengan khasiatnya yang boleh menyerap bisa tidak kira bisa binatang mahupun bisul, geliga ini hanya perlu diletakkan pada bahagian yang sakit, In Sha' Allah bisa akan menyurut dan hilang.

Tergolong sebagai sejenis serangga berbisa yang mempunyai banyak kaki, ada cerita rakyat menyebut 'sehingga naga pun turut takut akan serangga kecil' ini kerana kepantasan dan bisanya.

Jenis-jenis Geliga Lipan

Ada empat jenis geliga lipan, iaitu yang terdapat di kepala lipan dan dinamakan mahkota, di dalam perut, terdapat di antara sengatnya dan yang terakhir dan dikira paling berharga ialah yang terdapat di dalam mulutnya. Ia dikatakan dapat memancarkan cahaya di dalam gelap.

Geliga yang berada di dalam mulut lipan biasanya ditemui pada lipan yang mati beragan atau mati tua.

Mistiknya, walaupun haiwan tersebut mati dan kering, geliga ini sangat sukar untuk diambil daripada mulutnya.

Jika pengambilan secara paksa, geliga tersebut tidak akan memiliki kelebihan, tak ubah seperti butiran manik sahaja.

Untuk mengambilnya pula, satu ritual khas perlu dilakukan di mana ia disertai dengan zikir dan sehelai kain merah ditadah untuk menyambut geliga tersebut.

Ritual ini dikatakan mampu menyerap khasiat raja lipan ke dalam geliga.

Dijual mahal

Keaslian geliga yang mampu mencecah harga RM10 juta sebutir ini dapat diuji dengan cara memegangnya.

Untuk mengetahui keasliannya sama ada ia hidup atau mati, cara memegang yang betul dapat menentukannya.

Jika merasai getaran atau gigitan, itu jelas menunjukkan ia geliga asli namun, ujian ketepatan yang paling baik ialah apabila terasa lipan merayap di tangan dan warna paling lazim geliga lipan ialah merah. Selain itu ada juga yang berwarna biru, hijau dan kuning.

Menurut beliau lagi, harga geliga ini sepatutnya tidak mencecah jutaan ringgit, malah jauh lebih rendah.

Namun, apabila wujud broker atau orang tengah, harga yang dikenakan kadang-kadang tidak masuk akal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

5 Sebab Kenapa Pacuan Empat Roda Sangat Popular di Sabah dan Sarawak

5 Sebab Kenapa Pacuan Empat Roda Sangat Popular di Sabah dan Sarawak

Sekiranya pernah berkunjung ke Sabah atau Sarawak, anda akan dengan mudah melihat kereta pacuan empat roda 4×4 seperti Toyota Hilux, Triton, Isuzu Dmax, Nissan Navara, Ford Ranger dan lain-lain di serata tempat di kedua-dua negeri itu.

5 Sebab Kenapa Pacuan Empat Roda Sangat Popular di Sabah dan Sarawak
Gambar hiasan.

Berikut adalah antara sebab kenapa pacuan empat roda 4×4 menjadi pilihan popular di Borneo.

1. Jalan raya yang teruk terutamanya jalan kampung, jalan balak

Dengan adanya pacuan empat roda 4×4, senang bergerak ke mana-mana

Dengan adanya pacuan empat roda 4×4, adalah lebih senang bergerak ke mana-mana terumatanya untuk balik ke kampung yang kondisi jalannya masih tidak begitu baik.

2. Kegunaan harian ke tempat kerja dan kegunaan keluarga

Sekiranya tempat kerja seperti kem balak, ladang kelapa sawit, maka pemilikan kereta ini adalah sesuai dengan keperluan pengangkutan yang digunakan ke tempat kerja.

Selain itu, ia juga kereta yang sesuai digunakan untuk seisi keluarga.

3. Menjadi trend, kereta idaman kebanyakan kaum lelaki

Seperti impian kebanyakan kaum lelaki yang pasti mahu memiliki sebuah kereta sport, memiliki pacuan empat roda adalah impian yang lebih dekat dan nyata serta lebih mudah untuk direalisasikan.

4. Kadar cukai jalan yang lebih rendah di Sabah dan Sarawak berbanding Semenanjung

Kadar cukai jalan di Sabah dan Sarawak adalah lebih rendah kerana 2 faktor utama iaitu “keadaan geografi, jarak perjalanan serta tahap kemudahan dan prasana jalan raya yang disediakan sangat berbeza”, demikian menurut laporan Paultan.org yang memetik kata Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

5. Kegunaan Memburu

Pikap 4×4 adalah pilihan terbaik untuk digunakan oleh individu-individu yang gemar memburu.

Ini kerana jalan yang dilalui ketika memburu biasanya sangat teruk dan hanya boleh dilalui kereta 4x4.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: borneodihati

Friday, July 27, 2018

Kisah Luar Biasa Luka Modric

Kisah Luar Biasa Luka Modric

Impian Croatia untuk menjulang trofi Piala Dunia buat julung kalinya gagal selepas tunduk 2-4 di tangan Perancis dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2018.

Kisah Luar Biasa Luka Modric

Jaringan gol sendiri daripada Mario Mandzukic, diikuti dengan jaringan penalti daripada Antoine Griezmann dan dua lagi gol pantas daripada Paul Pogba dan Kylian Mbappe sekali gus memusnahkan harapan Croatia untuk menjulang Piala Dunia buat pertama kali.

Meskipun Croatia dikenali sebagai 'comeback kings' dalam kejohanan ini, perlawanan akhir menentang Perancis ternyata terlalu sukar untuk mereka apabila ketinggalan 1-4 seawal minit 65.

Kesilapan daripada penjaga gol Perancis, Hugo Lloris bagaimanapun memberi harapan buat Croatia apabila Mario Mandzukic berjaya mengambil kesempatan menjaringkan gol kedua pada minit ke-69. Namun, segalanya sudah terlambat.

Walaupun tewas, pemain tengah sensasi Croatia, Luka Modric dinobat sebagai pemain terbaik kejohanan dengan anugerah 'Golden Ball'

Midfield maestro dan kapten pasukan, Luka Modric adalah pemain paling penting untuk Croatia. Dia telah mempamerkan bakatnya dalam setiap perlawanan, malah memimpin Croatia dengan jayanya sehingga ke perlawanan akhir.

Kisah Luar Biasa Luka Modric

Masih ingat lagi jaringan beliau ketika menentang Argentina pada peringkat kumpulan?

Statistik menunjukkan bahawa Luka Modric adalah pemain yang paling jauh berlari dalam kejohanan, pemain Croatia paling banyak membuat hantaran dan through balls, malah turut melengkapkan 2.7 key passes dalam setiap perlawanan.

Luka Modric membawa imej lengkap sebagai seorang pemain bola sepak bertaraf dunia yang merangkumi bakat, kepimpinan, penguasaan bola, kebolehan menjaringkan gol, dan ketokohan di dalam dan luar padang.

Modric, 32, mengecapi kejayaan ini setelah mengalami zaman kanak-kanak yang kejam sebagai pelarian selepas datuknya ditembak mati ketika beliau berusia 6 tahun.

Hidup Modric tunggang terbalik seawal usianya 6 tahun setelah datuknya mati di tangan samseng militan dan dia terpaksa menjalani hidup sebagai pelarian di negaranya sendiri.

Modric dibesarkan dan dijaga oleh datuknya, Luka Modric Snr sementara ibu bapanya Stipe dan Radojka bekerja berjam-jam di kilang pakaian demi menampung kewangan keluarga.

Kisah Luar Biasa Luka Modric
Rumah Luka Modric dibesarkan.

Pada 8 Disember 1991, semasa Perang Balkan, militan ganas dari Serbia mula menyerang Modrici, sebuah perkampungan kecil berhampiran pergunungan Velebit dan mengusir keluarga Croatia yang tidak melarikan diri

Salah seorang yang terkena tembakan itu adalah datuknya yang sedang berjalan dengan lembu di sebuah jalan kosong.

Datuknya dikepung oleh militan Serbia, kemudian ditembak mati dengan kejam bersama lima orang penduduk tempatan.

Kejadian itu memaksa dia dan ibu bapanya meninggalkan Modrici dan mereka mencari perlindungan di Hotel Iz di bandar Zadar.

Tanpa sebarang elektrik dan air, bunyi bom dan peluru menjadi kebiasaan bagi Luka Modric dan kakaknya, Jasmina

"Apabila perang meletus, kami menjadi pelarian, dan ia adalah masa yang sangat sukar," kata Modric.

"Saya berumur enam tahun ketika itu dan keadaan memang suka. Saya masih ingat dengan jelas, tetapi ia bukan sesuatu yang saya mahu ingat atau fikirkan.

"Kami tinggal di sebuah hotel selama bertahun-tahun. Kami bergelut dari segi kewangan, tetapi saya sukakan bola sepak. Saya masih ingat shin pad pertama saya mempunyai gambar Ronaldo (Brazil), " katanya lagi.

Menurut Modric, perang telah menjadikan dirinya lebih kuat.

"Ia adalah masa yang sangat sukar untuk saya sekeluarga. Saya tidak mahu membawa memori ini dengan saya selama-lamanya, tetapi saya juga tidak mahu melupakannya," kata Modric.

Kisah Luar Biasa Luka Modric

Di hotel itu jugalah tempat beliau menyepak bola kempis sekitar tempat letak kereta, sambil bermimpi suatu hari nanti beliau akan dapat melupakan segala yang telah terjadi

Tetapi peperangan, kematian ahli keluarga, kemiskinan, dan kesusahan bukan satu-satunya perkara yang perlu beliau atasi. Fizikalnya yang kecil juga merencatkan perjalanannya untuk menjadi pemain bola sepak.

Pada usia 10 tahun, ramai jurulatih enggan mengambilnya bermain, malah mempersoal tentang kemampuannya untuk menjadi pemain profesional. Masing-masing menganggap dia terlalu lemah untuk permainan bola sepak, lebih-lebih lagi bermain di tahap tertinggi.

Namun begitu, walaupun dalam keadaan sedemikian, itu tidak menghentikan kanak-kanak bercita-cita tinggi itu untuk menjadi salah seorang pemain bola sepak terbaik di dunia

Kisah Luar Biasa Luka Modric

Beliau menjawab segala keraguan dengan empat gelaran 'Champions League' dan satu gelaran 'La Liga' bersama Real Madrid, mengetuai dan mengemudi pasukan Croatia ke perlawanan akhir kejohanan Piala Dunia buat pertama kali, membawa pulang 'Golden Ball' dan memenangi banyak lagi anugerah peribadi di peringkat antarabangsa.

Luka Modric, what a class!

BACA INI JUGA:



sumber: says

Bagaimana Hebatnya Tun Mahathir Menundukkan Kuasa Barat

Bagaimana Hebatnya Tun Mahathir Menundukkan Kuasa Barat

Kejayaan merampas semula Guthrie, Sime Darby dan Golden Hope, kemudiannya disusuli pula kejayaan Mahathir mengambilalih Carcosa Seri Negara yang telah diserahkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj kepada British.

Bagaimana Hebatnya Tun Mahathir Menundukkan Kuasa Barat

Semuanya bermula pada 11 September 1982 apabila wakil Wanita UMNO, Rahmah Osman menyuarakan dalam Perhimpunan Agung UMNO Ke-33.

Carcosa Seri Negara kembali ke tangan Malaysia pada 12 Mei 1984 dengan pertukaran sebidang tanah di Jalan Ampang sebagai Residensi dan Kedutaan Britain di Malaysia.

Satu lagi kisah yang wajar diperhalusi dan diperhatikan mengapa Amerika begitu berdendam dengan Mahathir dan berusaha menjatuhkannya menerusi Anwar Ibrahim dan parti-parti pembangkang Malaysia seperti DAP.

PETRONAS merupakan antara syarikat minyak utama yang mendapat ‘keistimewaan’ di Sudan, malah PETRONAS sebenarnya merupakan syarikat petroleum terbesar dan banyak mendapat projek di negara-negara Afrika berbanding syarikat-syarikat minyak dari Amerika Syarikat dan semuanya merujuk kepada kebijaksanaan dan keberanian Mahathir berhadapan dengan Amerika Syarikat.

Bagaimana boleh jadi begitu?

Tahun 1988, apabila Sudan mulai stabil dan hendak memajukan negara, negara-negara Barat, khususnya Amerika Syarikat menawarkan bantuan untuk memajukan industri carigali minyak di negara tersebut memandangkan Sudan tidak mempunyai modal dan kepakaran sendiri.

Amerika Syarikat membuat tawaran menerusi TEXAS OIL yang telah datang ke Sudan dan membuat kajian selama tiga bulan.

Atas helah Zionis dan bertujuan untuk melakukan penjajahan dan tipu daya, Texas Oil menyatakan, bumi Sudan tidak mempunyai minyak yang cukup meskipun Sudan yakin, simpanan minyak mereka cukup banyak dan ekonomikal bagi tujuan pengeluaran.

Tiada negara lain yang berani ‘menentang’ Amerika Syarikat, apatah lagi Amerika Syarikat telah memberikan isyarat agar urusan mereka dengan Sudan tidak dicampuri oleh negara-negara lain.

Namun, sekali lagi Dr. Mahathir menunjukkan kewibawaan dan kebijaksanaannya. Atas arahannya, PETRONAS masuk ke Sudan dan membuat tawaran selain melakukan kajian. Hasil daripada kajian yang dibuat oleh PETRONAS mendapati, simpanan minyak di Sudan adalah antara yang terbesar di dunia.

Apabila kapal-kapal dari Malaysia hendak berlabuh di Sudan, Amerika Syarikat membuat sekatan di perairan antarabangsa yang bersempadan dengan Sudan.

Isyaratnya ialah, seandainya kapal-kapal Malaysia melepasi sekatan tersebut, Malaysia telah mengisytiharkan perang terhadap Amerika Syarikat.

Walaupun CEO PETRONAS mahu membuat keputusan mengarahkan kapal-kapal Malaysia balik, namun Tun Dr. Mahathir dengan beraninya telah mengarahkan agar pelayaran diteruskan dan dia berjanji, sebarang risiko akan ditanggungnya, malah dia sendiri akan menyelesaikan masalah dengan Amerika Syarikat.

Rupa-rupanya, Mahathir mempunyai agenda lain untuk memalukan dan menakut-nakutkan Amerika Syarikat.

Mahathir menggunakan helah Tun Perak, Bendahara Kesultanan Melayu Melaka pada abad Ke-15 yang terkenal itu dengan berkunjung ke China dan menjadikan China sebagai rakan kongsi PETRONAS dalam projek minyak di Sudan.

Syarikat minyak China telah diberikan tanggungjawab memasang paip.

Apabila Amerika Syarikat mengetahui perkara tersebut, kapal-kapal perangnya yang melakukan sekatan serta-merta diarahkan menggantung sekatan.

Amerika Syarikat tidak berani berhadapan dan tidak mahu mengambil risiko berhadapan dengan China.

Selesai masalah dengan sekatan Amerika Syarikat, Tun Dr. Mahathir sekali lagi membuat perjanjian dengan Sudan yang dilihat lebih menguntungkan pada masa hadapan.

Standard rundingan pada waktu itu adalah 70% keuntungan untuk syarikat dan 30% keuntungan untuk negara tersebut.

Petronas bagaimanapun, telah meminda standard tersebut yang sudah tentu akan membuatkan syarikat-syarikat minyak dari Amerika Syarikat menggigit jari.

PETRONAS hanya mengambil 15% daripada keuntungan di Sudan dengan 85% yang lain dipulangkan kepada Sudan bagaimanapun, hanya 25% dari 85% keuntungan tersebut diberikan dalam bentuk kewangan, manakala bakinya, PETRONAS bertanggungjawab membangunkan bandar-bandar, mendirikan sekolah, infrastruktur dan sebagainya.

Sebabnya mudah. Tun Dr. Mahathir sedar, kalau Amerika Syarikat tidak boleh mendapat projek minyak di Sudan, mereka akan cuba menjual senjata pula agar Sudan kucar-kacir dan mereka akan dapat masuk menjajah negara itu dengan lebih mudah.

Tawaran yang dibuat oleh PETRONAS itu mendapat perhatian daripada negara-negara Afrika yang lain.

Bermula dari itu, PETRONAS mendapat tawaran kerja sehingga menjadikan syarikat petroleum Malaysia itu menjadi syarikat minyak asing kedua terbesar dalam penguasaan kawasan di dunia.

Kehebatan yang ditunjukkan oleh Tun Dr. Mahathir itulah yang membuatkan banyak pihak di Barat terutama sekali yang berkepalakan Yahudi seperti George Soros, menaruh dendam yang cukup besar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: facebook

Aksi #KekeChallenge Menari Diluar Kereta Yang Kontroversi

Aksi #KekeChallenge Menari Diluar Kereta Yang Kontroversi

KekeChallenge adalah aksi yang bermula dengan turun dari kereta kemudian terus menari di luar kereta sambil bergerak mengikut pergerakan kereta itu.

Aksi #KekeChallenge Menari Diluar Kereta Yang Kontroversi

Tarian 'Keke Challenge' dikatakan tercetus selepas pelawak Lil Shuzi menggunakan salah satu baris lirik lagu popular nyanyian Drake, In My Feelings, iaitu "Kiki, do you love me?" untuk mereka satu gerak tarian.

Ia kemudiannya ditularkan sebagai 'Keke Challenge' dan mula mencetuskan kegilaan di seluruh dunia.

Ramai selebriti tempatan kemudiannya turut sama ter’pengaruh’ dan memuatnaik video mereka melakukan aksi ini.

Yang kelakar pun ada, yang comel pun ada, yang sempoi pun ada.

Apa-apa pun diingatkan agar semua yang ingin melakukan #KekeChallenge agar berhati-hati dan memastikan keadaan sekeliling selamat terlebih dahulu.

Yang penting pastikan pemandu sentiasa peka dengan apa yang ada di depan mereka.

Tak mahulah jadi sesuatu yang tidak diiinginkan.

KONTROVERSI

Sementara itu, pengacara tersohor, Datuk Aznil Hj Nawawi mengakui tidak gemar atau setuju dengan aktiviti ‘Keke Challenge’.

Menerusi akaun Instagram (IG) peribadinya, Aznil memberitahu dia tidak akan menyahut cabaran tarian itu kerana ia aktiviti yang tidak berfaedah malah boleh menyebabkan kemalangan dan membahayakan diri.

Menurut Aznil, dia juga berpegang kepada pesan ibu bapanya.

“Kalau #paknil muda pun Paknil rasa tak lah terikut nak buat camni.

“Mak ayah Paknil pernah berpesan, ‘dari kau baru lahir, ayah mak jaga kau sampai nyamuk gigit pun kami jaga. Supaya apa?

"Supaya kau tak cacat di tangan kami.

"Bila besar, kau sendiri pulak yang sengaja cari kecacatan dengan buat benda-benda yang tidak ada faedah," tulisnya.

TAK BERFAEDAH

KekeChallenge PU

Fenomena video ini menarik perhatian seorang pendakwah muda, Pencetus Ummah (PU) Amin yang terkesan dengan insiden seorang budak perempuan yang mahu aksi tarian geleknya dirakamkan bapanya.

“Tadi aku terkesan bila aku nampak depan mata budak perempuan marah ngomel- ngomel dengan bapa dia sebab bapa dia tak rakam betul betul masa dia tengah joget nak buat ‘keke challenge’ entah apa benda entah.

“Aku cuma nak cakap ingat dalam Al-Quran ada Surah An Nisa, Surah yang Allah SWT buat khusus untuk memuliakan dan menghormati wanita.

"Nak menari berjoget lentik macam mana pun buat dalam rumah depan orang yang halal,” katanya menerusi status yang dimuat naik di laman Instagramnya.

Status PU Amin atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim turut dimuat naik bersama sebuah video beliau memberi pandangan dan teguran sinis kepada mereka yang membuat ‘keke challenge’.

Sindiran itu berikutan nasihat yang diberikan untuk perkara yang sering menjadi kemarahan dan rasa tidak puas hati segelintir netizen.

“Kau orang ni tak boleh nak ditegah-tegah, tak boleh dimarah-marah. Lagi kita tegah, kita marah, lagi dia buat.

"Berjogetlah berjoget, biar orang boleh cuci mata tengok kau orang berjoget-joget ni. Berjogetlah, tak ada masalah.

“Jangan berjoget masa perlahan saja, masa kereta tengah laju, tekan minyak 120 (kilometer sejam), berjoget dan menari puas-puas.

“Jangan buat dalam rumah, bagi orang nampak bagi semua orang tengok kita ni berjoget.

"Biar bini kita tu buat, biar kakak kakak orang perempuan buat. Lagi kita tegah, lagi kita marah, lagi dia buat,” sindir PU Amin.

Dalam keterangan video itu, PU Amin turut menyatakan sabda Rasulullah SAW bahawa adalah baik meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat.

PU Amin turut berkata, trend tersebut hanya merosakkan nilai orang Melayu beragama Islam yang membuat video berkenaan.

Beliau turut berharap video ‘keke challenge’ yang kebiasaannya dirakam dari kereta yang sedang bergerak tidak dibuat dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.

“Aku minta maaf banyak banyak kalau ramai marah, ramai kata ketinggalan zaman.

"Hari ni hari Jumaat, harap tiada siapa yang berjoget buat benda ni masa nak pergi Solat Jumaat,” katanya.

ABU DHABI TANGKAP TIGA PERSONALITI MEDIA SOSIAL

KekeChallenge AbuDhabi

Pendakwa Awam Abu Dhabi pada Isnin lalu mengeluarkan arahan penangkapan ke atas tiga personaliti media sosial kerana telah membahayakan nyawa pengguna lalu lintas lain dengan melakukan ‘Keke Challenge’ di jalan raya.

Mereka yang melakukan ‘Keke Challenge’ ini boleh berdepan hukuman penjara atau denda di bawah Kanun Keseksaan Persekutuan dan Undang-undang No 21 1995 mengenai peraturan trafik.

Menurut Jabatan Kehakiman Abu Dhabi, mereka telah melanggar undang-undang serta menggunakan media sosial untuk mempopularkan budaya yang tidak sesuai dengan nilai dan tradisi masyarakat setempat.

Jabatan itu turut memberi amaran mengenai penularan fenomena negatif tersebut dan menegaskan bahawa golongan muda harus melibatkan diri dalam kegiatan yang bersesuaian dengan nilai-nilai masyarakat dan menyumbang kepada perkembangan sosial yang lebih positif.
Advertisement

“Pegawai jabatan kehakiman berhak menangkap mana-mana individu yang melakukan perbuatan itu,” jelasnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar | beautifulnara | astroawani | siakapkeli

Hutang Wajib Dibayar Walaupun Tidak Dituntut

Hutang Wajib Dibayar Walaupun Tidak Dituntut

Mungkin ada antara kita pernah melalui situasi yang agak sukar dalam hidup apabila orang berhutang wang dari anda liat untuk menjelaskannya dengan memberikan pelbagai alasan yang kadangkala tidak munasabah.

Hutang Wajib Dibayar Walaupun Tidak Dituntut

Itu yang selalu dialami oleh banyak orang. Sebelum berhutang, bukan main lagi manis mulut, tetapi selepas mendapat apa yang dihajati, begitu susah untuk melunaskan hutang.

Orang yang memberi hutang pula yang kelihatan ‘terhegeh-hegeh’ untuk mendapatkannya balik seolah-olah dia pula yang berhutang.

Lagi parah, setiap kali berselisih di jalanan, orang yang berhutang seolah-olah ingin melarikan diri.

Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat di negara ini sejak sekian lama dan menjadi ‘kudis’ yang susah untuk diubati jika tidak ditangani dengan baik.

Kegagalan atau sengaja untuk tidak membayar hutang memberikan implikasi buruk dalam hubungan sesama insan.

Hubungan persahabatan juga boleh renggang sekiranya seseorang cuba lari daripada menjelaskan hutang.

Amalan berhutang boleh dikaitkan dengan sikap manusia yang suka berbelanja di luar kemampuan bertujuan menunjuk-nunjuk kononnya mereka mempunyai wang yang banyak sedangkan realitinya tidak sedemikian.

Mungkin satu ketika dahulu, hutang selalu dikaitkan dengan golongan miskin yang terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup.

Tetapi sekarang semuanya berubah apabila golongan kaya juga terbelit dengan belenggu hutang untuk bermewah-mewahan.

Lebih parah jika seseorang itu terjebak hutang ah long yang bakal membuatkan kehidupan mereka menjadi haru-biru malah silap perhitungan, nyawa menjadi galang gantinya.

Sekiranya benar-benar terdesak untuk berhutang tidak menjadi apa-apa kesalahan, cuma cuba tepati janji untuk membayarnya kerana membayar hutang itu wajib dan menjadi tuntutan Islam.

Islam amat mengambil berat soal membayar hutang kerana ia merupakan hak si pemberi hutang sebagaimana yang dirakamkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (pada hari kiamat nanti) kerana di sana (akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” - Riwayat Ibnu Majah

Demikian keadaan orang yang mati dalam keadaan masih membawa hutang dan belum juga dilunasi, maka untuk membayarnya akan diambil daripada pahala kebaikannya.

Ada dalam kalangan mereka yang jujur dengan membayarnya apabila cukup tempoh, namun terdapat segelintir yang cukup liat membayarnya.

Lebih menyakitkan hati, apabila mempunyai wang, mereka bukan menggunakannya untuk membayar hutang, sebaliknya berbelanja di pekan berhampiran.

Sikap seperti ini yang membuatkan perniagaan orang 'kita' menjadi semakin ‘malap’ kerana tidak dapat menggunakan wang mencukupi sebagai modal pusingan.

Lama-kelamaan perniagaan terpaksa ditutup kerana pelanggan tidak mahu membayar hutang lapuk.

Ingatlah, cuba belajar untuk membayar hutang walaupun secara ansuran kerana secara tidak langsung ia dapat membantu menaikkan ekonomi umat Islam dan masyarakat.

Apa yang lebih penting, hutang semestinya wajib dibayar walaupun tidak dituntut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Thursday, July 26, 2018

Memahami Perbezaan GST Dan SST

Memahami Perbezaan GST Dan SST

Ramai masyarakat masih lagi keliru dengan perbezaan sistem cukai yang digunakan sekarang iaitu Goods and Services Tax (GST) dan bakal digantikan dengan sistem cukai yang pernah digunakan pada satu masa dahulu iaitu Sales and Services Tax (SST).

GST CEKIK DARAH

Sistem SST akan diperbaharui dan akan sedikit berbeza berbanding sistem lama yang akan beroperasi secara manual.

Untuk pemahaman semua, cukai jualan dan perkhidmatan (SST) berbeza daripada GST di mana cukai jualan hanya dikenakan ke atas pengeluar dan caj perkhidmatan dikenakan ke atas pengguna yang menggunakan perkhidmatan cukai.

Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pula meliputi semua orang, peruncit dan perdagangan.

Cukai jualan dikenakan ke atas pengilang manakala cukai perkhidmatan merangkumi perkhidmatan tertentu seperti perkhidmatan professional.

Bagi para pembekal, mereka boleh menuntut semula cukai yang mereka bayar dari kerajaan melalui sistem GST berbanding dengan sistem SST dimana pembekal tidak boleh menuntut semula cukai dan cukai tersebut dianggap sebagai kos perniagaan.

Pada 16 Julai 2018, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, di bawah Akta SST yang bakal dilaksanakan pada 1 September depan, cukai jualan dicadangkan adalah 10 peratus, manakala untuk cukai perkhidmatan, 6 peratus setelah Rang Undang-undang mengenai SST diluluskan di Parlimen pada bulan Ogos.

Menurut Lim Guan Eng, kutipan SST dijangka RM23 bilion kurang berbanding kutipan GST.

Ini bermakna, RM23 bilion telah dikembalikan kepada rakyat manakala kadar GST disifarkan kerajaan mulai 1 Jun 2018.

Contoh barang GST yang tidak dikenakan cukai (GST) adalah sardin, susu, kopi, teh, sos cili, motosikal dan basikal sudah kembali ke cukai lama dengan pelaksanaan SST.

Puan Norsa’adah Ahmad adalah antara pengguna Facebook yang membuat perbandingan ini secara berhemah.

BEZA GST SST

Menerusi posting oleh Puan Norsa’adah ini, anda akan nampak lebih jelas tentang perbandingan kedua-dua jenis cukai ini.

Apabila cukai SST dilaksanakan, pasti akan berlaku naik turun harga barang dan sebagai pengguna kita harus bersedia menghadapi pelbagai kemungkinan yang akan berlaku.

Diharap apabila SST dilaksanakan, penurunan harga barang akan dapat membantu golongan B40 terutamanya yang terkesan dengan GST sebelum ini.

Kedua-dua sistem cukai ini akan mengakibatkan harga barang naik sekiranya tidak dikawal oleh pihak kerajaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Mesut Ozil Kecewa Dianggap Pendatang, Bersara Dari Skuad Jerman

Mesut Ozil Kecewa Dianggap Pendatang, Bersara Dari Skuad Jerman

Mana-mana pemain bola sepak yang sudah mewakili negaranya 92 kali dan menjaringkan 23 gol untuk membawa pasukannya menjulang piala paling berprestij dalam dunia sukan seharusnya layak mendapat penghormatan terutamanya daripada penyokongnya sendiri.

Mesut Ozil Kecewa Dianggap Pendatang, Bersara Dari Skuad Jerman

Namun, Mesut Ozil yang menjadi sasaran media susulan persembahan buruk Jerman dalam Piala Dunia 2018 terpaksa membuat keputusan drastik untuk berhenti bermain mewakili negaranya.

Keputusan itu dibuat Ozil susulan kecaman dan layanan buruk yang diterimanya bukan saja dari media dan penyokongnya, tapi juga daripada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) sendiri, termasuk presidennya Reinhard Grindel.

Lebih malang, pemain berketurunan Turki itu turut menerima bahana kebencian daripada sikap perkauman pengkritiknya.

Dalam menjelaskan perkara itu, Ozil barangkali telah mengeluarkan kenyataan paling keras pernah dikeluarkan oleh seorang ahli sukan dalam mengecam perkauman selepas kenyataan petinju Mohamad Ali yang enggan direkrut menyertai perang Vietnam.

"Di mata Grindel dan penyokongnya, saya orang Jerman apabila pasukan kami menang, tapi saya pendatang bila kami kalah," kata pemain berumur 29 tahun itu.

Kenyataan Ozil itu dibuat ketika perbahasan politik Jerman bertemakan 1.6 juta imigran yang masuk ke negara itu sejak pertengahan 2014 yang juga merupakan modal utama kempen politik dalam mencabar dasar Jerman berhubung isu berkenaan.

Ozil dan rakan sepasukannya, Ilkay Gundogan, yang juga berketurunan Turki dikecam penyokong Jerman dalam perlawanan pemanasan Piala Dunia di Rusia sebelum ini.

Kecaman itu dibuat ke atas Ozil dan Gundogan kerana mengunjungi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan Mei lalu.

Mengulas gambarnya dengan Erdogan dalam pertemuan itu, Ozil berkata ia bukanlah dibuat atas dasar politik atau pilihan raya namun sebagai menghormati pemimpin negara asal keluarganya.

"Seperti ramai orang, keturunan keluarga saya berasal lebih daripada satu negara. Ketika membesar di Jerman, latar belakang keluarga saya masih mempunyai akar yang kuat di Turki.

"Saya ada dua hati, satu sebagai orang Jerman dan satu lagi sebagai orang Turki," katanya.

Ayah Ozil, Mustafa yang berkongsi kekecewaan Ozil turut menyifatkan tindakan Ozil bergambar dengan Erdogan adalah atas dasar berbudi bahasa.

"Ozil seorang yang pendiam dan pemalu, bagaimana dia boleh menolak permintaan seseorang seperti Erdogan untuk bergambar dengannya?" kata Mustafa.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Ozil menyorot sikap perkauman yang tetap diterimanya meskipun dengan segala sumbangan dan jasanya.

"Meskipun membayar cukai di Jerman, menderma fasiliti kepada sekolah di Jerman dan memenangi Piala Dunia bersama Jerman pada 2014, saya masih tidak diterima dalam masyarakat. Saya dilayan seperti saya 'berbeza'.

"Saya terima 'Bambi Award' pada 2010 sebagai contoh kejayaan integrasi dalam masyarakat Jerman, saya terima anugerah ‘Silver Laurel Leaf’ pada 2014 darpada kerajaan, dan saya pernah menjadi duta bola sepak Jerman pada 2015. Tapi sangat jelas, saya tidak dianggap orang Jerman.

"Adakah saya tidak memenuhi kriteria untuk menjadi orang Jerman sepenuhnya?

"Kawan saya Lukas Podolski dan Miroslav Klose tidak pernah dianggap sebagai orang Poland-Jerman, jadi kenapa saya di anggap orang Turki-Jerman? Adakah sebab saya seorang muslim?"

Mengulas lanjut, Ozil mengakui ia keputusan yang berat namun terpaksa dibuat.

"Layanan yang saya terima daripada DFB dan ramai pihak lain buat saya tidak lagi mahu memakai jersi kebangsaan Jerman.

"Saya rasa tidak dialu-alukan. Orang yang mempunyai sikap diskriminasi tidak seharusnya berkerja di persatuan bola sepak paling besar di dunia yang mempunyai ramai pemain yang keluarga dwiketurunan.

"Dengan rasa berat hati dan selepas pertimbangan mendalam susulan perkembangan baru-baru ini, saya tidak lagi akan bermain untuk Jerman di peringkat antarabangsa selagi wujud sikap tidak hormat dan perkauman ini.

"Saya pernah memakai jersi Jerman dengan bangga dan penuh keterujaan, tapi kini tidak lagi.

"Ini merupakan keputusan yang sukar, namun apabila pegawai kanan DFB sendiri bersikap seperti itu, tidak menghormati keturunan saya dan secara mementingkan diri menjadikannya agenda politik, cukuplah.

"Ini bukan sebab saya bermain bola sepak, dan saya tidak akan duduk diam tanpa berbuat apa-apa tentangnya.

"Perkauman tidak sekali-kali boleh diterima," katanya.

Selain kecaman media, Ozil turut mendedahkan bahawa dia dan keluarganya menerima ugutan melalui panggilan telefon dan media sosial.

"Semua mereka ini mewakili Jerman di masa lalu, Jerman yang tidak terbuka kepada budaya baru, Jerman yang saya tidak banggakan," katanya.

Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan di Rusia yang juga merupakan paling buruk dalam kempen Piala Dunia dalam tempoh 80 tahun.

Ozil menjadi sasaran kritikan atas kegagalan pasukan Jerman mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada 2014.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Pejabat MonSpace Diserbu Atas Dakwaan Skim Pelaburan Haram

Pejabat MonSpace Diserbu Atas Dakwaan Skim Pelaburan Haram

Pegawai penguatkuasa dari 3 agensi; KPDNKK, Bank Negara dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia melakukan serbuan di 16 premis yang dikaitkan dengan syarikat e-dagang Monspace Sdn. Bhd dan anak syarikatnya atas dakwaan menjalankan pelaburan secara haram atau skim “permainan wang”, lapor The Sun Daily.

MonSpace Diserbu Atas Dakwaan Skim Pelaburan Haram

Sumber mengatakan operasi besar-besaran itu dilakukan di Lembah Kelang bermula pada 11.30 pagi dan berakhir pada 5 petang.

Difahamkan, serbuan tersebut telah merampas berdozen dokumen, kereta, malah akaun-akaun bank syarikat berkenaan turut dibekukan.

Antara premis yang diserbu adalah ibu pejabat MonSpace di Bukit Jalil dan kediaman pengarah syarikat tersebut.

Kes tersebut disiasat di bawah undang-undang akta Penjualan Langsung dan Anti-Piramid.

Sementara itu, peguam MonSpace, Andy Yong menaikkan hantaran di facebook beliau mendakwa beliau dihalang oleh polis dan pegawai KPDNKK dari bercakap dengan pekerja klien beliau.

Menurut Andy Yong, pegawai-pegawai tersebut menuduh beliau menghalang penjawat awam dari melakukan tugas.

Beliau juga mendakwa dikasari oleh pegawai apabila beliau enggan memberikan kad pengenalan dan telefon bimbitnya.

“As a lawyer, I was prevented by the police (& KPDNKK officers) to speak to the employees of my client during a raid yesterday. I was also rebuked for taking photos (but subsequently medias allowed to do so). They accused me of obstructing the duties of their 40+ personnels. One of the officer asked for my IC & handphone. When I refused, he shouted & pushed me. He even threatened to hand-cuff me. Behaving like thugs!I could not retrieve the CCTV footage of the commotion as they unplugged the same.Imagine how would they intimidate an ordinary citizen who is vulnerable & ignorant on his rights and the law? High time for some of these enforcement officers to stop behaving like gangster esp PDRM!” – Andy Yong.

MonSpace telah melakukan perniagaan beberapa tahun berhadapan masalah apabila 19 warga China melakukan laporan polis terhadap syarikat tersebut pada Mei bulan lepas kerana mendakwa kerugian ratusan ribu ringgit wang pelaburan.

2 minggu kemudian, lebih 70 warga China muncul di sini dan membuat dakwan yang sama.

MonSpace telah disenaraihitam dalam senarai “Bank Negara MonSpace Financial Consumer Alert".

Senarai tersebut mengandungi syarikat dan laman web yang tidak diberikuasa atau diluluskan di bawah undang-undang relevan dan regulasi yang ditadbirkan oleh Bank Negara Malaysia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: ttkm