Thursday, July 26, 2018

Mesut Ozil Kecewa Dianggap Pendatang, Bersara Dari Skuad Jerman


Mana-mana pemain bola sepak yang sudah mewakili negaranya 92 kali dan menjaringkan 23 gol untuk membawa pasukannya menjulang piala paling berprestij dalam dunia sukan seharusnya layak mendapat penghormatan terutamanya daripada penyokongnya sendiri.

Mesut Ozil Kecewa Dianggap Pendatang, Bersara Dari Skuad Jerman

Namun, Mesut Ozil yang menjadi sasaran media susulan persembahan buruk Jerman dalam Piala Dunia 2018 terpaksa membuat keputusan drastik untuk berhenti bermain mewakili negaranya.

Keputusan itu dibuat Ozil susulan kecaman dan layanan buruk yang diterimanya bukan saja dari media dan penyokongnya, tapi juga daripada pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Jerman (DFB) sendiri, termasuk presidennya Reinhard Grindel.

Lebih malang, pemain berketurunan Turki itu turut menerima bahana kebencian daripada sikap perkauman pengkritiknya.

Dalam menjelaskan perkara itu, Ozil barangkali telah mengeluarkan kenyataan paling keras pernah dikeluarkan oleh seorang ahli sukan dalam mengecam perkauman selepas kenyataan petinju Mohamad Ali yang enggan direkrut menyertai perang Vietnam.

"Di mata Grindel dan penyokongnya, saya orang Jerman apabila pasukan kami menang, tapi saya pendatang bila kami kalah," kata pemain berumur 29 tahun itu.

Kenyataan Ozil itu dibuat ketika perbahasan politik Jerman bertemakan 1.6 juta imigran yang masuk ke negara itu sejak pertengahan 2014 yang juga merupakan modal utama kempen politik dalam mencabar dasar Jerman berhubung isu berkenaan.

Ozil dan rakan sepasukannya, Ilkay Gundogan, yang juga berketurunan Turki dikecam penyokong Jerman dalam perlawanan pemanasan Piala Dunia di Rusia sebelum ini.

Kecaman itu dibuat ke atas Ozil dan Gundogan kerana mengunjungi Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan Mei lalu.

Mengulas gambarnya dengan Erdogan dalam pertemuan itu, Ozil berkata ia bukanlah dibuat atas dasar politik atau pilihan raya namun sebagai menghormati pemimpin negara asal keluarganya.

"Seperti ramai orang, keturunan keluarga saya berasal lebih daripada satu negara. Ketika membesar di Jerman, latar belakang keluarga saya masih mempunyai akar yang kuat di Turki.

"Saya ada dua hati, satu sebagai orang Jerman dan satu lagi sebagai orang Turki," katanya.

Ayah Ozil, Mustafa yang berkongsi kekecewaan Ozil turut menyifatkan tindakan Ozil bergambar dengan Erdogan adalah atas dasar berbudi bahasa.

"Ozil seorang yang pendiam dan pemalu, bagaimana dia boleh menolak permintaan seseorang seperti Erdogan untuk bergambar dengannya?" kata Mustafa.

Sementara itu, dalam kenyataannya, Ozil menyorot sikap perkauman yang tetap diterimanya meskipun dengan segala sumbangan dan jasanya.

"Meskipun membayar cukai di Jerman, menderma fasiliti kepada sekolah di Jerman dan memenangi Piala Dunia bersama Jerman pada 2014, saya masih tidak diterima dalam masyarakat. Saya dilayan seperti saya 'berbeza'.

"Saya terima 'Bambi Award' pada 2010 sebagai contoh kejayaan integrasi dalam masyarakat Jerman, saya terima anugerah ‘Silver Laurel Leaf’ pada 2014 darpada kerajaan, dan saya pernah menjadi duta bola sepak Jerman pada 2015. Tapi sangat jelas, saya tidak dianggap orang Jerman.

"Adakah saya tidak memenuhi kriteria untuk menjadi orang Jerman sepenuhnya?

"Kawan saya Lukas Podolski dan Miroslav Klose tidak pernah dianggap sebagai orang Poland-Jerman, jadi kenapa saya di anggap orang Turki-Jerman? Adakah sebab saya seorang muslim?"

Mengulas lanjut, Ozil mengakui ia keputusan yang berat namun terpaksa dibuat.

"Layanan yang saya terima daripada DFB dan ramai pihak lain buat saya tidak lagi mahu memakai jersi kebangsaan Jerman.

"Saya rasa tidak dialu-alukan. Orang yang mempunyai sikap diskriminasi tidak seharusnya berkerja di persatuan bola sepak paling besar di dunia yang mempunyai ramai pemain yang keluarga dwiketurunan.

"Dengan rasa berat hati dan selepas pertimbangan mendalam susulan perkembangan baru-baru ini, saya tidak lagi akan bermain untuk Jerman di peringkat antarabangsa selagi wujud sikap tidak hormat dan perkauman ini.

"Saya pernah memakai jersi Jerman dengan bangga dan penuh keterujaan, tapi kini tidak lagi.

"Ini merupakan keputusan yang sukar, namun apabila pegawai kanan DFB sendiri bersikap seperti itu, tidak menghormati keturunan saya dan secara mementingkan diri menjadikannya agenda politik, cukuplah.

"Ini bukan sebab saya bermain bola sepak, dan saya tidak akan duduk diam tanpa berbuat apa-apa tentangnya.

"Perkauman tidak sekali-kali boleh diterima," katanya.

Selain kecaman media, Ozil turut mendedahkan bahawa dia dan keluarganya menerima ugutan melalui panggilan telefon dan media sosial.

"Semua mereka ini mewakili Jerman di masa lalu, Jerman yang tidak terbuka kepada budaya baru, Jerman yang saya tidak banggakan," katanya.

Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan di Rusia yang juga merupakan paling buruk dalam kempen Piala Dunia dalam tempoh 80 tahun.

Ozil menjadi sasaran kritikan atas kegagalan pasukan Jerman mempertahankan kejuaraan yang dimenangi mereka pada 2014.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon