Sunday, April 09, 2017

Potongan Cukai Pendapatan 48% Dari Gaji, Tapi Kenapa Jerman Lebih 'Islamik' Berbanding Kebanyakan Negara Islam?

Secara amnya setiap rakyat atau sesiapa yang tinggal dan bekerja di Jerman ini tak kira tukang sapu atau makcik penjual sayur berpendapatan melebihi €800 tetap dikenakan cukai.

Cukai+pendapatan+jerman

Cuma ada segelintir yang tidak dikenakan cukai seperti pegawai diplomat asing dan individu tertentu.

Setiap individu di Jerman akan mempunyai nombor identiti cukai yang diberikan khas setelah lahir. Nombor tersebut akan direkodkan di dalam sistem percukaian negara.

Apabila ingin bekerja kelak, beliau perlu pergi ke pejabat cukai dan mendapatkan “Tax Card” atau kad cukai yang mana di dalam kad tersebut akan mempunyai butiran terperinci mengenai kadar cukai berdasarkan kelas 1, 2, 3, 4, 5 ataupun 6 yang membezakan orang bujang, berkahwin, mempunyai anak, tanggungan lain dan sebagainya.

Setiap majikan akan meminta kad cukai sebelum memberikan kerja kepada anda. Tanpa kad cukai maka anda tiada kerja.

Jadi anda harus ke pejabat cukai untuk mendaftarkan diri dan ditemuduga terlebih dahulu sebelum diberikan nombor dan juga kelas atau kategori cukai saya jika belum pernah memohon sebelum ini.

Berapakah jumlah cukai pendapatan yang perlu dibayar?

Terdapat beberapa jenis pemotongan yang dibuat setiap bulan yang merangkumi cukai pendapatan(Wage Tax) iaitu:-
  • Cukai pendapatan itu sendiri (wage tax) – sekitar 19%
  • Cukai gereja – sekitar 9% (bagi yang beragama kristian)
  • Surcaj perpaduan (Solidarity surcharge) – sekitar 0.6%
  • Keselamatan sosial (Social Security) – sekitar 20%

Jumlah keseluruhan cukai+potongan lain yang wajib = 48.6% iaitu menghampiri separuh daripada pendapatan kasar bulanan.

Saya berikan contoh potongan bagi seorang jurutera muda yang bujang dengan gaji berjumlah €3,500 sebulan seperti dibawah:

Cukai+pendapatan+jerman

Bagi yang berkahwin dan mempunyai seorang anak pula, gaji bersih akan menjadi sekitar €2,450 sahaja. Mampukah mereka hidup dengan baki gaji sebanyak itu?

Dapat dilihat jumlah pemotongan cukai tersebut berjumlah €1,407.22 iaitu 40% daripada gaji kasar.

Jumlah pemotongan bagi yang berpendapatan bawah dari €1,000 adalah sekitar 21% menjadikan pendapatan bersihnya sekitar €780.

Sekiranya seorang pekerja sambilan yang bekerja sebagai pelayan setiap hujung minggu dengan gaji sekitar €450 pun tetap dikenakan pemotongan lain yang bukan cukai pendapatan.

Tiada siapa pun yang akan terlepas dari membayar cukai dan atau surcaj ini yang dipotong terus setiap bulan oleh majikan anda.

Namun, dihujung tahun nanti apabila penyelarasan cukai dibuat dan setelah segala pelepasan cukai dikemukakan maka lebihannya akan dipulangkan.

Manfaat yang diterima

Terdapat banyak manfaat yang diterima secara langsung atau tidak langsung melalui pemotongan cukai pendapatan ini.

Manfaat ini boleh dilihat dari sudut ekonomi dan juga sosial dan ianya menjadikan Jerman ini sebuah negara maju dengan kuasa ekonomi terbesar di rantau Eropah ini.

Manfaat secara langsung

Manfaat ini dinikmati secara terus oleh rakyat atau pekerja di sini di mana mereka memperolehi:

1. Sistem penjagaan kesihatan yang terbaik

Tiada klinik atau hospital kerajaan di sini yang ada cuma hospital swasta. Servis yang diberikan adalah terbaik yang mana semuanya dibiayai oleh insurans kesihatan yang dipotong dari gaji dan turut dicarum oleh majikan.

Anda akan mempunyai perlindungan perubatan cukup komprehensif (mengikut piawaian antarabangsa) untuk membayar semua perjalanan ke hospital, doktor dan penjagaan pergigian asas dan ubat-ubatan yang ditetapkan dari farmasi.

2. Manfaat Pengangguran

Sekiranya anda hilang pekerjaan, anda akan dibayar 2/3 daripada gaji bersih terakhir anda setiap bulan sehingga anda mendapat pekerjaan baru.

3. Skim pencen

Setelah pencen ketika berumur 65 tahun, pencen akan dibayar setiap bulan berjumlah 70% daripada purata gaji anda.

4. Manfaat Kurang Upaya

Sekiranya anda menjadi seorang yang kurang upaya maka anda akan mendapat pelbagai kemudahan dan bantuan yang disediakan kerajaan.

5. Manfaat Kanak-Kanak

Setiap kanak-kanak yang lahir di Jerman layak mendapat “child benefit” berupa elaun tunai yang dimasukkan ke dalam bank setiap bulan berjumlah €184 (RM800) sebulan untuk setiap 2 anak yang pertama, €190 (RM 830) untuk anak ke-3 dan €215 (RM940) untuk anak seterusnya sehingga usia mereka 18 tahun atau sehingga usia mencecah 25 tahun sekiranya mereka masih belajar ketika itu.

6. Manfaat Ibu-bapa

Sekiranya seorang ibu atau bapa mengambil keputusan untuk bercuti tanpa gaji selama 12 bulan bagi menjaga bayi yang baru lahir, elaun berjumlah 67% daripada jumlah gaji bersih akan dimasukkan ke dalam akaun setiap bulan bagi menggantikan gaji yang tidak dapat semasa tempoh bercuti tersebut. Bagi ibu yang tidak bekerja juga akan menerima elaun bulanan sekitar €300 sebulan.

7. Pendidikan Percuma

Pendidikan percuma bermula dari tadika sehinggalah ke universiti.

8. Tiada cukai jalan

Tiada cukai jalan atau roadtax dikenakan terhadap setiap kenderaan yang dimiliki. Harga kereta pun murah.

9. Tiada Tol

Jaringan lebuhraya “Autobahn” tanpa had laju dan tanpa tol diseluruh Jerman.

Manfaat secara tidak langsung

Pelbagai manfaat lain yang diterima secara tidak langsung dinikmati oleh semua rakyat atau sesiap sahaja yang tinggal di Jerman.

Antara yang paling ketara adalah:

1. Kos hidup yang lebih rendah

Boleh dikatakan perbelanjaan sewa rumah di sini adalah sama seperti di Kuala Lumpur dengan kadar nisbah 1:1 di mana sekiranya sebuah apartment di Ampang dengan keluasan 900 kaki persegi disewa dengan kadar RM1350 sebulan, maka di Jerman pun kadar yang sama iaitu €1350 sebulan untuk apartment seluas itu.

Namun begitu, kos barangan lain seperti bahan mentah makanan, pakaian dan sebagainya adalah lebih murah.

2. Kadar jenayah yang sangat rendah

Adalah amat jarang untuk melihat, mendengar atau membaca laporan akhbar atau di sosial media tentang kes ragut, rompak, rogol dan sebagainya.

Punca utama jenayah tersebut telah dikekang dari awal iaitu penggangguran, kemiskinan, dadah, minuman keras dan juga seks.

Faktor tersebut merupakan penyumbang kepada kadar jenayah di mana-mana negara di dunia ini.

Setiap pengganggur diberi elaun serendah €750 sebulan dan setinggi €1500 sebulan berdasarkan kes.

Bagi penagih dadah, kedai khas menjual dadah disediakan bagi mengelakkan aktiviti gangsterism yang berebut kawasan bagi mengawal aktiviti pengedaran dadah dan pelacuran.

Jadi, tiada gangster yang menjual dadah dan tiada kes berbunuhan dan bertembakan.

Aktiviti pelacuran turut dikawal selia agar tiada unsur gangsterism dan kes-kes rogol dapat dielakkan.

3. Keselamatan yang terjamin

Tidak perlu risau untuk berjalan kaki seorang diri pada pukul 3 pagi untuk balik ke rumah dari pejabat atau dari mana2 sahaja. Faktor yang dibincangkan di atas menjadi penyebab kepada jaminan keselamatan ini.

4. Hidup yang lebih berkualiti

Wang ringgit bukanlah segalanya bagi rakyat Jerman. Dengan kos sara hidup yang rendah bagi mereka, walaupun bergaji bersih sekitar €1200 sebulan adalah cukup untuk menampung kos hidup di sini.

Jadi mereka tidak bekerja secara keterlaluan sehingga lewat malam dan sebagainya. Usai jam 5 petang semua beredar pulang dari tempat kerja masing-masing.

Kedai-kedai mula ditutup pada jam 7 malam kecuali restoran dan kafe yang ditutup sekitar tengah malam.

Pada hari Ahad, semua kedai ditutup kecuali restoran dan kafe bagi memberi peluang setiap orang untuk menghabiskan masa bersama keluarga.

Kesimpulannya

Cukai adalah tanggungjawab nombor satu semua rakyat atau sesiapa sahaja yang tinggal di Jeman. Tanpa cukai, adalah mustahil untuk menjadikan Jerman sebuah negara yang maju.

Cukai pendapatan adalah pendapatan ke-3 terbesar kerajaan selain dari cukai-cukai lain. Dengan hasil cukai yang banyak serta pengurusan cukai yang cekap, maka rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan berkualiti.

Banyak lagi cukai lain yang perlu dibayar oleh rakyat dan mereka yang tinggal di Jerman. Semua servis dan perkhidmatan adalah dikenakan cukai. Hantar kereta pergi servis turut dikenakan cukai. Beli barangan dapur atau barangan harian lain turut dikenakan cukai GST sebanyak 19%.

Selain itu sikap orang Jerman itu sendiri yang berusaha bekerja keras bagi membantu membangunkan ekonomi negaranya.

Mereka tahu setiap rakyat ada tanggungjawab masing-masing dan mereka berusaha memenuhi tanggungjawab tersebut.

Sikap mereka yang lebih “maju dan islamik“ membuatkan mereka mencapai status negara maju dan menikmati hidup yang berkualiti.

BACA INI JUGA: Ireland No 1 Negara Paling Islamik Di Dunia, Malaysia Ke 33

sumber: khairulabdullah

Blogger biasa yang menulis untuk berkongsi berita dan infomasi untuk memberi manfaat dan ilmu pengetahuan.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.

#senarai bloglist hilang secara misteri. rakan blogger yang ada memasukkan blog ini dalam senarai bloglist, sila 'remove' blog ni ye. maaf diatas segala kesulitan.
EmoticonEmoticon