Friday, July 27, 2018

Hutang Wajib Dibayar Walaupun Tidak Dituntut


Mungkin ada antara kita pernah melalui situasi yang agak sukar dalam hidup apabila orang berhutang wang dari anda liat untuk menjelaskannya dengan memberikan pelbagai alasan yang kadangkala tidak munasabah.

Hutang Wajib Dibayar Walaupun Tidak Dituntut

Itu yang selalu dialami oleh banyak orang. Sebelum berhutang, bukan main lagi manis mulut, tetapi selepas mendapat apa yang dihajati, begitu susah untuk melunaskan hutang.

Orang yang memberi hutang pula yang kelihatan ‘terhegeh-hegeh’ untuk mendapatkannya balik seolah-olah dia pula yang berhutang.

Lagi parah, setiap kali berselisih di jalanan, orang yang berhutang seolah-olah ingin melarikan diri.

Budaya berhutang sudah menjadi amalan dalam kehidupan masyarakat di negara ini sejak sekian lama dan menjadi ‘kudis’ yang susah untuk diubati jika tidak ditangani dengan baik.

Kegagalan atau sengaja untuk tidak membayar hutang memberikan implikasi buruk dalam hubungan sesama insan.

Hubungan persahabatan juga boleh renggang sekiranya seseorang cuba lari daripada menjelaskan hutang.

Amalan berhutang boleh dikaitkan dengan sikap manusia yang suka berbelanja di luar kemampuan bertujuan menunjuk-nunjuk kononnya mereka mempunyai wang yang banyak sedangkan realitinya tidak sedemikian.

Mungkin satu ketika dahulu, hutang selalu dikaitkan dengan golongan miskin yang terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup.

Tetapi sekarang semuanya berubah apabila golongan kaya juga terbelit dengan belenggu hutang untuk bermewah-mewahan.

Lebih parah jika seseorang itu terjebak hutang ah long yang bakal membuatkan kehidupan mereka menjadi haru-biru malah silap perhitungan, nyawa menjadi galang gantinya.

Sekiranya benar-benar terdesak untuk berhutang tidak menjadi apa-apa kesalahan, cuma cuba tepati janji untuk membayarnya kerana membayar hutang itu wajib dan menjadi tuntutan Islam.

Islam amat mengambil berat soal membayar hutang kerana ia merupakan hak si pemberi hutang sebagaimana yang dirakamkan dalam sebuah hadis daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang mati dalam keadaan masih memiliki hutang satu dinar atau satu dirham, maka hutang tersebut akan dilunasi dengan kebaikannya (pada hari kiamat nanti) kerana di sana (akhirat) tidak ada lagi dinar dan dirham.” - Riwayat Ibnu Majah

Demikian keadaan orang yang mati dalam keadaan masih membawa hutang dan belum juga dilunasi, maka untuk membayarnya akan diambil daripada pahala kebaikannya.

Ada dalam kalangan mereka yang jujur dengan membayarnya apabila cukup tempoh, namun terdapat segelintir yang cukup liat membayarnya.

Lebih menyakitkan hati, apabila mempunyai wang, mereka bukan menggunakannya untuk membayar hutang, sebaliknya berbelanja di pekan berhampiran.

Sikap seperti ini yang membuatkan perniagaan orang 'kita' menjadi semakin ‘malap’ kerana tidak dapat menggunakan wang mencukupi sebagai modal pusingan.

Lama-kelamaan perniagaan terpaksa ditutup kerana pelanggan tidak mahu membayar hutang lapuk.

Ingatlah, cuba belajar untuk membayar hutang walaupun secara ansuran kerana secara tidak langsung ia dapat membantu menaikkan ekonomi umat Islam dan masyarakat.

Apa yang lebih penting, hutang semestinya wajib dibayar walaupun tidak dituntut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kosmo

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon