Tidak lama lagi sebelum Samsung bakal melancarkan smartphone flagship terbaru mereka iaitu Samsung Galaxy Note 9, Samsung nampaknya bersedia untuk menawarkan spesifikasi terbaik khusus buat para pengguna.
Berdasarkan ura-ura, Samsung dijangkakan bakal menyertakan processor Exynos 9810 bersama 8 GB RAM.
Difahamkan processor ini bakal menawarkan kepantasan dan kecekapan yang lebih baik berbanding Snapdragon 845.
Selain itu, pengguna model ini dijangkakan bakal ditawarkan dengan ruang storan sehingga 512 GB.
Dari segi harga, tanda harga dibawah RM4,000 seperti model Samsung Galaxy Note 8 antara yang dijangkakan bagi model premium daripada Samsung ini.
Agak-agak apa pula inovasi terbaru yang bakal dibawakan Samsung pada kali ini?
Sebelum memenangi anugerah di BMA (Billboard Music Awards 2018) untuk dua tahun berturut-turut, nama ahli kumpulan BTS iaitu V atau Taehyung tular dikalangan peminat Islam terutama sekali peminat di Malaysia kerana jejaka yang pernah dinobatkan sebagai Lelaki Terkacak Di Dunia 2017 ini mengenakan Baju Melayu Cekak Musang kiriman dari peminat sewaktu sesi raptai persembahan.
Kali ini, BTS tular lagi dengan isu berkaitan Islam dan difahamkan, menerusi album terbaru BTS berjudul Lover Yourself Tear yang mendapat sambutan luar biasa menerima kecaman hebat dari netizen menerusi sebuah lagu bertajuk Airplane PT.2.
Menerusi komen dari netizen, BTS telah didakwa menggunakan suara wanita dalam pembukaan lagu berkenaan yang mana suara berkenaan telah mengeluarkan kalimah atau ayat dalam bahasa Arab yang dikatakan biasa digunakan untuk puji-pujian Islam.
Dalam audio tersebut, kalimah yang didengar ialah ALF SALAT WA SALAM AALAYKA YA HABIB ALLAH MUHAMMED yang membawa maksud – A Thousand Prayer and Peace Be Open You Muhammed, Beloved God.
Selepas ia dikesan, netizen lain mula merasakan BTS tidak menghormati Islam dan kalimah tersebut amat kurang sesuai diletakkan dalam lagu berkenaan.
Malah, mereka percaya lagu ini sudah pasti menjadi track untuk dimainkan di kelab malam, konsert dan banyak tempat sehingga boleh mencemarkan nama baik Nabi Muhammad S.A.W.
Dalam pada itu, peminat BTS menganggap, jika benar yang didakwa itu, BTS yang dianggotai 7 anak muda yang kacak lagi berbakat ini sama sekali tidak bersalah.
Malah, kesalahan ini harus ditujukan kepada pihak produksi yang kurang mengambil berat pengertian dan maksud ayat tersebut.
Disamping itu, ARMY iaitu gelaran untuk peminat BTS mempercayai bahawa dakwaan tersebut benar belaka apabila ahli BTS bernama Suga pernah memberitahu rentak dan irama Arab akan sedap didengar apabila ia diserapkan dalam lagu Korea pada sekitar 2014.
Sungguhpun begitu, ARMY yang berasal dari Arab dan menggunakan bahasa itu sebagai bahasa percakapan utama sama sekali tidak bersetuju dengan dakwaan berkenaan.
Mereka mengatakan ia bukanlah bahasa Arab sebaliknya bahasa latin yang berbunyi UNO DOS TRESS yang dilontarkan dalam nada yang tinggi dan pecah.
Dakwaan ini diyakinkan pula dengan konsep lagu Airplane PT. 2 yang mempunyai vibe muzik dari POP-LATIN yang sesuai pembukaannya menggunakan bahasa Sepanyol.
Apa sekalipun, sama ada ia benar atau tidak, tunggulah pengakuan dari BTS atau produser lagu ini.
Perdana menteri Tun Mahathir, mengumumkan pembentukan tabung khas bagi membolehkan rakyat Malaysia membantu mengurangkan beban hutang negara.
“Kita akan tubuhkan Tabung Harapan Malaysia untuk terima derma rakyat untuk membantu kedudukan kewangan negara,” kata Tun Mahathir Mohamad.
Anggota parlimen Langkawi itu berkata, ramai rakyat tahu berkaitan kedudukan kewangan negara yang “begitu buruk” dan sanggup menderma kepada kerajaan.
“Kita alu-alukan sikap patriotik mereka ini kita ucap terima kasih kepada mereka untuk tentukan derma ini sampai kepada pihak yang bertanggungjawab dalam kerajaan.
“Maka kerajaan tentukan semua derma ini diberi kepada kementerian berkenaan,” katanya.
Mahathir sebelum ini mengumumkan hutang negara telah mencecah RM1 trilion.
Pemimpin kerajaan turut menyalahkan pentadbiran lama yang didakwa terlalu bergantung kepada China dan terpalit dalam skandal 1MDB.
Tabung Harapan Malaysia
Rakyat Malaysia yang ingin menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) bagi menangani masalah hutang negara boleh menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Maybank 5660-1062-6452..
Penubuhan tabung itu yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet, adalah bagi membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan rakyat secara sistematik dan telus.
Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja.
Kerajaan turut merakamkan penghargaan di atas keprihatinan dan segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.
Berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.
Rakyat yang secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada kerajaan bagi menangani isu tersebut.
Tanggal 29 Mei merupakan hari gembira bagi umat Islam suatu ketika dahulu apabila tentera umat Islam pimpinan seorang sultan muda telah berjaya menawan kota Constantinople.
Kota Constantinople yang dikenali sebagai Istanbul kini adalah salah sebuah bandar bersejarah dunia yang diasaskan oleh Maharaja Rom bergelar Emperor Constantine pada tahun 330 Masihi.
Kota ini yang sangat strategik dari segi pentadbiran, ekonomi dan ketenteraan menjadi idaman para pemerintah dunia untuk mendapatkan kawasan ini termasuklah pemimpin dan panglima Perancis Napoleon Bonaparte.
Beliau pernah mengatakan bahawa jika dunia sebuah negara, maka Constantinople adalah bandar yang paling layak menjadi ibu kotanya.
Dalam lipatan sejarah Islam, usaha penaklukan kota ini telah pun dilakukan oleh tentera Islam sejak zaman Kerajaan Umayyah pada tahun 44 Hijrah.
Siri-siri peperangan telah berlanjutan sehingga zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyyah termasuklah semasa kekuasaan Khalifah Harun ar-Rashid pada 190 Hijrah.
Bagaimanapun usaha tersebut berjaya dipatahkan oleh tentera musuh.
Sehinggalah zaman pemerintahan Uthmaniyyah, Sultan Muhammad bin Murad Bin Muhammad Bin Bayazid (Sultan Muhammad Al-Fateh) berjaya menakluk kota Costantinople ketika berumur 21 tahun.
Selepas menaiki tahta menggantikan ayahnya, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahan termasuk juga mengendap masuk secara rahsia di sekitar kawasan tembok.
Baginda mengarahkan pembinaan peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kilogram sejauh 1 batu sebagai persiapan perang.
Bermula 19 April 1453, peperangan tercetus antara umat Islam melawan tentera Kristian Ortodoks di bawah Empayar Byzantine.
Dinding kota yang begitu teguh dibina secara berlapis-lapis sangat sukar ditembusi umat Islam ketika itu menyebabkan Sultan Muhammad Al-Fateh mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine yang memuatkan ratusan tentera.
Bagaimanapun, Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut dan menghalang kemaraan umat Islam.
Tidak cukup dengan itu, tentera Byzantin telah dibantu oleh angkatan tentera Pope Vatican (Rom) yang sampai di Perairan Teluk Golden Horn dengan merentangkan rantai besi menyebabkan umat Islam tidak dapat mara.
Ketika ini berlaku situasi yang menjadi titik bermakna dalam sejarah perang dunia apabila Sultan Muhammad Al-Fateh menggunakan kebijaksanaannya dengan memerintahkan 72 kapal perang diangkut merentasi gunung sebelum diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn.
Taktik ini diakui oleh para sejarawan Barat sebagai antara taktik peperangan terbaik di dunia.
Tentera Islam terus mara, menembak kapal-kapal perang musuh menggunakan meriam dan membedil dinding pertahanan belakang kota.
Sebahagian tentera Islam syahid ketika memanjat dinding kubu tersebut menyebabkan mereka yang lain mula hilang semangat untuk terus berjuang.
Namun, kecekalan salah seorang tentera utama umat Islam, Hasan Ulubate mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera Janassari dengan berani membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ.
Walaupun mereka syahid dihujani panah, namun percikan darah mereka telah berjaya membangkitkan semangat luar biasa tentera-tentera Islam sekali gus menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah “Allahu Akbar”.
Pada masa itu juga, pihak musuh mendapat tahu tentera Islam lain telah berjaya mengorek terowong untuk memasuki kota tersebut.
Akhirnya, kesabaran dan semangat yang ada pada umat Islam, telah berjaya menawan kota kukuh di bawah pemerintah Rom dan Byzantin sejak berabad lamanya.
Sultan Muhammad Al-Fateh melumurkan tanah ke dahinya seraya melakukan sujud syukur atas kemenangan tersebut.
Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al-Fateh” yang memberi makna menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.
Antara rahsia kejayaan dan ketabahan baginda, para ulama dan pakar seperti Sheikh Semsuddin yang merupakan guru kepada Sultan Muhammad Al-Fateh dibawa ketika perang bagi membakar semangat jihad tentera Islam.
Baginda telah menjadikan golongan ulama dan cendekiawan sebagai penasihatnya dan sering kali meminta pandangan daripada mereka.
Kejayaan umat Islam menawan kota Kostantinople di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh telah terungakap dalam hadis Rasulullah S.A.W.
“Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam.
"Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).
Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity, mengesahkan misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir.
Ocean Infinity dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 kilometer persegi dan berjaya mengatasi keadaan dan kawasan dasar laut yang mencabar.
Keluasan kawasan yang diliputi dalam masa lebih tiga bulan operasi adalah jauh melebihi sasaran awal iaitu 25,000 km persegi dan hampir sama dengan kawasan pencarian sebelumnya dalam tempoh dua setengah tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett, merakamkan rasa dukacita semua pihak di Ocean Infinity kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam MH370.
"Sebahagian daripada motivasi kami untuk menyambung semula pencarian ialah cuba merungkaikan beberapa jawapan kepada mereka yang terbabit.
"Oleh itu, kami dengan hati yang amat berat mengakhiri usaha pencarian tanpa mencapai matlamat itu," katanya.
Beliau berkata, Ocean Infinity berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi tawaran dan peluang kepada syarikat itu menyambung semula misi pencarian.
Komitmen yang dizahirkan oleh kerajaan baharu di Malaysia untuk memberi keutamaan kepada usaha menjejaki MH370 adalah sangat baik, kata Plunkett.
"Walaupun hasil misi pencarian itu setakat ini amat mengecewakan, tetapi sebagai sebuah syarikat, kami amat berbangga dengan apa yang telah kami capai dari segi kualiti data yang kami hasilkan dan kecepatan tempoh masa yang telah diliputi dalam misi pencarian merangkumi kawasan yang luas.
"Belum pernah misi pencarian dasar laut laut berskala ini dijalankan dengan begitu cekap dan berkesan sebelumnya," kata beliau.
Beliau juga berkata, Ocean Infinity dengan ikhlas berharap syarikat itu sekali lagi dapat menawarkan khidmatnya dalam pencarian MH370 pada masa akan datang.
Ocean Infinity juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas kapal Seabed Constructor yang berusaha dengan gigih tanpa penat dan juga kepada semua syarikat, organisasi dan individu yang memberi sokongan, bimbingan dan nasihat yang tidak ternilai.
Plunkett berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada kakitangan di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dedikasi mereka usaha menjejaki pesawat itu tidak pernah pudar dan layak diberi pujian.
Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.
Pada Januari tahun 2018 ini, Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat malang itu.
Misi pencarian oleh Ocean Infinity di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma "no cure, no fee," yang bermakna bayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemui dan disahkan oleh pihak ketiga.
Sejak semalam, tersebar mesej di media sosial dan aplikasi Whatsapp mendakwa Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar bakal mendirikan rumah tangga dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.
Apatah lagi selepas kunjungan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama keluarga ke Istana Kelantan atas undangan bonda Yang di-Pertuan Agong Tengku Anis Tengku Abdul Hamid.
Khabar angin itu sempat menimbulkan cakap-cakap di media sosial.
Nurul Izzah bagaimanapun menafikan perkara itu dan menyifatkannya sebagai berita palsu.
"Tolong abaikan berita palsu yang disebar. Terima kasih.
"Marilah kita semua memberi tumpuan kepada kerja-kerja yang ada, menyelamatkan ekonomi Malaysia," katanya.
Ibunya, Wan Azizah turut menyangkal perkara itu ketika ditanya pemberita.
"Astagafirullahalazim, jangan dengar berita khabar angin. Tidaklah." katanya seperti dipetik Bernama.
Menurut laporan itu lagi, Wan Azizah dilihat mengurut dada dan terkejut apabila ditanya soalan itu tetapi masih tersenyum ketika ditemui di Kuala Kubu Bharu.
Pertemuan Wan Azizah dan keluarga dengan Tengku Anis dibuat secara tertutup dan berlangsung selama sejam pada 24 Mei lalu.
Difahamkan, kunjungan itu juga bagi mempersembahkan ucapan terima kasih Anwar kepada Istana Kelantan susulan pengampunan diraja yang diperkenan oleh Sultan Muhammad V.
Tun Mahathir Mohamad kini menjadi tumpuan berikutan petisyen dalam talian yang melobi Perdana Menteri itu supaya dicalonkan untuk Hadiah Nobel Keamanan tahun 2018 ini.
Petisyen Change.org membandingkan Tun Mahathir dengan revolusi anti-apartheid oleh Nelson Mandela, telah dilancarkan dan sejak itu ia telah menerima lebih 34,400 tandatangan.
Menurut Alexandria Abishegam, petisyen yang ditujukan kepada Yayasan Nobel, mahu Dr Mahathir dicalonkan bagi Hadiah Nobel Keamanan sebagai pengiktirafan terhadap keazamannya untuk kembali ke dunia politik pada usia 92 tahun dan mengetepikan prasangka politiknya untuk bekerjasama dengan bekas pengkritiknya demi menyelamatkan negara.
“Hakikatnya Tun Dr Mahathir juga secara terbuka mengakui kesilapan beliau dan memohon maaf di atas kesilapan yang lampau membuatkan beliau seorang yang begitu disegani dan seorang pemimpin yang wajar dicontohi,” menurut petisyen itu.
Petisyen tersebut turut meraikan pengerusi Pakatan Harapan itu kerana menerajui peralihan kuasa secara aman dan secara khusus menyatakan bahawa pentadbiran baharu itu bukan untuk 'membalas dendam' terhadap pentadbiran sebelum ini di bawah bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Diperkasakan oleh hak demokratik, mereka telah menyaksikan peralihan kuasa buat pertama kali sejak negara memperoleh kemerdekaan daripada British pada 1957, rakyat Malaysia menyambut petisyen itu untuk menyuarakan pendapat mereka mengenai Kerajaan baharu.
Petisyen boleh ditandatangani dalam talian menerusi;
Ia merupakan petisyen Change.org keempat yang telah dilancarkan sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan pada 10 Mei lalu.
Petisyen pertama dilancarkan pada 19 Mei sebagai tindak balas kepada bantahan terhadap pelantikan Menteri Pendidikan baharu.
Satu petisyen menggesa Dr Mahathir supaya mengekalkan keputusannya untuk menerajui portfolio Kementerian Pendidikan meskipun terdapat kritikan terhadap beliau berhubung pelanggaran klausa dalam manifesto Pakatan Harapan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri tidak akan memegang jawatan menteri.
Pada masa sama, petisyen kedua dilancarkan sebagai sokongan kepada Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan.
Petisyen ketiga pula dilancarkan yang mempersoalkan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap sekatan ke atas pendakwah kontroversi, Zakir Naik ke Malaysia.
Semenjak tahun 2005, sebuah pertubuhan antarabangsa bernama BDS atau Boycott, Divestment and Sanctions mula memperjuangkan sebarang bentuk sekatan ke atas apa saja yang berkait dengan negara haram Israel.
Semua itu hanya akan dihentikan selepas hak negara Palestin dikembalikan dan segala sekatan yang dikenakan ke atas warga Palestin dihapuskan.
Individu-individu berpengaruh dalam industri muzik seperti vokalis kumpulan Pink Floyd, Roger Waters dan komposer legenda Brian Eno, adalah antara nama-nama besar yang bersetuju untuk memboikot semua aktiviti yang melibatkan budaya di Israel atau berkait dengan negara tersebut.
Walaupun begitu, muncul gerakan menentang agenda BDS yang dinamakan Culture for Coexistence (COC), sebuah pertubuhan yang mahu memperbanyakkan lagi hubungan dua hala dengan Israel agar kerjasama dapat dicapai.
Antara nama besar yang menyokong COC adalah penulis siri novel Harry Potter, JK Rowling.
Pertubuhan itu yang berjaya mendapatkan 700 tandatangan daripada pelbagai kelompok individu berpengaruh bersetuju penyelesaian konflik di Palestin, hanya akan dapat dicapai melalui persetujuan penubuhan negara masing-masing.
Di tengah-tengah konflik ini, adalah kumpulan Radiohead.
Radiohead, Palestin dan Israel
Pada bulan Julai tahun 2017, kumpulan terkenal Britain, Radiohead dijadualkan akan mengadakan sebuah konsert di Hayarkon Park, Tel Aviv.
Krisis timbul setelah wakil pihak BDS berusaha untuk memujuk Radiohead daripada meneruskan konsert mereka dan menyertai boikot yang dilangsungkan.
Thurston Moore, vokalis kepada kumpulan klasik Sonic Youth berusaha meyakinkan Radiohead agar menghentikan konsert tersebut sebagai menghormati pengorbanan yang telah dilakukan oleh rakyat Palestin menghadapi penindasan.
Berada di tengah-tengah konflik antarabangsa, kumpulan Radiohead mengambil keputusan meneruskan konsert mereka di Tel Aviv. Langkah ini seterusnya menimbulkan konflik lebih besar.
Selepas tamat konsert tersebut dan mendapat kecaman dunia, kumpulan Radiohead membuat dua kenyataan balas terhadap insiden tersebut yang mendapat liputan seluruh dunia.
Yang pertama adalah pandangan yang mereka yang tidak menyokong agenda BDS dan kenyataan kedua, berkenaan pandangan berkecuali mereka terhadap kerajaan Israel.
Thom Yorke, vokalis kumpulan Radiohead berpendapat bermain di hadapan peminat mereka di Israel bukan membawa maksud mereka menyokong apa yang dilakukan oleh kerajaan Israel terhadap rakyat Palestin.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mengetahui dengan lebih dalam sejarah kumpulan ini, Radiohead dan negara Israel sebenarnya mempunyai hubungan yang sangat signifikan.
Bagaimana Israel menjadikan Radiohead popular
Selepas pelancaran album Radiohead yang pertama berjudul 'Pablo Honey' pada tahun 1992, album tersebut boleh dikatakan kurang berjaya dipasaran.
Sekiranya lagu 'Creep' menjadi siulan ramai ketika ini, pada waktu pelancaran album tersebut lagu popular mereka itu sebenarnya tidak membawa impak yang diharapkan.
Kecuali di Israel!
Seorang DJ radio terkenal Israel bernama Yoav Kutner mula memainkan lagu 'Creep' berulang kali di udara. Sehinggakan ada ketikanya semasa waktu siaran, Yoav memainkan lagu itu tiga kali dalam satu jam.
Pada waktu tersebut, industri muzik di Britain sedang berlangsung pertarungan hebat antara kumpulan Oasis dengan kumpulan Blur.
Citarasa di Israel pula berbeza.
Menurut pengarah syarikat rakaman EMI Israel, Uzi Preuss - rakyat Israel pula bertelagah tentang siapa lebih hebat, Radiohead atau sebuah lagi kugiran terkenal, Suede.
Semuanya bermula dengan sambutan orang ramai terhadap lagu yang menjadi kegilaan Yoav.
Uzi melihat peluang, menjemput Radiohead untuk hadir mengadakan persembahan di Israel bagi memenuhi hasrat peminat fanatik mereka di sana.
Tiga persembahan di atur untuk Radiohead di Tel Aviv dengan satu kemunculan di televisyen, untuk Radiohead mempersembahkan lagu 'Creep.'
Apa menunggu Radiohead di Israel, sangat berbeza dengan sambutan yang biasa mereka dapat di negara mereka sendiri.
Merasai pengalaman selebriti di Tel Aviv
Menjejakkan kaki di Israel, perkara pertama yang dilakukan oleh kumpulan tersebut adalah memenuhi permintaan pegawai-pegawai kastam Israel; menyanyikan lagu 'Creep' dalam bentuk a capella di lapangan terbang.
Ratusan peminat sudah menunggu dan keadaan menjadi tidak terkawal sehinggakan ada peminat yang berjaya menarik rambut Thom Yorke.
Kumpulan Radiohead agak kaget melihat sambutan yang mereka dapat di Israel kerana tidak menjangka mereka punya peminat di situ.
Lebih memelikkan keadaan, peminat-peminat setia Radiohead di Israel pula tidak menyangka sebuah kugiran daripada Britain akan datang ke negara mereka, hanya kerana lagu mereka meletup di Israel.
Begitupun, realiti kembali melanda Radiohead selepas berangkat balik ke Britain.
Selepas dilayan seperti selebriti terkenal, di Britain mereka kembali kepada sebuah kugiran yang tidak dikenali, berbeza dengan apa yang sudah mereka rasakan di Israel.
Kehadiran mereka di Israel memulakan perubahan pada nasib Radiohead. Hasil populariti 'Creep' di Israel merebak di New Zealand, Sepanyol dan negara-negara Scandinavia.
Radio-radio di Amerika mula turut sama memainkan lagu tersebut sebelum pengaruhnya berjaya meletakkan lagu tersebut pada kedudukan 34 carta Billboard.
EMI yang menjadi label Radiohead memberikan mereka peluang kedua di UK dan 'Creep' dilancarkan semula untuk kali kedua, berjaya memecah masuk kedudukan carta 10 terbaik UK pada kedudukan ke 7.
Bagi kumpulan Radiohead sendiri, mereka mengakui faktor Israel banyak membantu mereka sebelum ini namun memilih untuk mengelak daripada mengaitkan politik dunia dengan muzik mereka.
Lagipun gitaris Radiohead, Jonny Greenwood telah pun berkahwin dengan seorang warga Israel.
Dengan meletakkan Radiohead di antara pertelagahan Israel dan Palestin, itu semua hanya akan menyebabkan kesulitan yang tidak mencerminkan realiti sebenar hidup mereka.
Radiohead bakal diusahakan untuk hadir ke Malaysia
Dalam persembahan yang diadakan di Glasgow pada 9 Julai 2017, beberapa orang penunjuk perasaan membantah rancangan Radiohead untuk ke Israel dan mengibarkan bendera Palestin semasa persembahan Radiohead.
Vokalis Radiohead, Thom Yorke menjadi agak berang semasa konsert berlangsung, lalu mengeluarkan kata-kata kesat beberapa kali.
Dia juga dikatakan menunjukkan isyarat lucah kepada mereka yang membantah konsert Radiohead di Israel di kawasan legar konsert.
Berdepan dengan tunjuk perasaan serta bantahan dunia tidak menghalang Radiohead untuk ke Israel semula.
Pada 19 Julai 2017, Radiohead mengadakan persembahan di Hayarkon Park, stadium yang mampu memuatkan 40 ribu orang penonton, yang sebenarnya dibina di atas penempatan asal orang Palestin.
Kini, atas permintaan seorang peminat Radiohead di negara kita, ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar telah berjanji akan cuba membawa masuk kumpulan tersebut bagi mengadakan persembahan di Malaysia.
Kami menerbitkan artikel ini sekarang seandainya perkara tersebut benar-benar berlaku, anda sudah tahu latar belakang kaitan Radiohead dan Israel yang kami ramalkan akan menjadi kontroversi kelak.
Pesanan kami pada rakyat Malaysia; jangan lupa juga untuk mempelajari lagu-lagu Radiohead yang lain selain lagu 'Creep'.
Harus diingatkan, lagu tersebut sebenarnya dibenci oleh penciptanya sendiri.
Lailatul Qadaradalah satu anugerah Allah SWT yang sangat besar kepada manusia. Ia adalah malam yang paling tinggi kedudukannya dalam Islam.
Allah SWT akan meningkatkan darjat hamba-Nya serta mengurniakan pahala sebanyak 1,000 bulan kepada hamba-Nya yang melakukan amal ibadat pada malam tersebut.
Kelebihan malam Lailatul Qadarboleh dilihat menerusi firman Allah SWT yang bermaksud, "Malam Lailatul Qadarlebih baik dari seribu bulan." Al-Qadr: 3
Rasulullah SAW juga ada menyebut tentang kelebihan malam Lailatul Qadardalam sabdanya yang bermaksud, "Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadardengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas." HR Bukhari dan Muslim
Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih ada menjelaskan tentang detik-detik berlakunya Lailatul Qadar, namun ulama berselisih pendapat tentang bila berlakunya malam Lailatul Qadar.
Berdasarkan pada dalil-dalil tersebut, bolehlah disimpulkan bahawa, Lailatul Qadarjatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.
Rasulullah SAW bersabda, "Carilah Lailatul Qadarpada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan." HR Bukhari
Tujuh Malam Terakhir Ramadhan
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Carilah pada sepuluh malam terakhir, yakni Lailatul Qadar. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah dia tertewas pada baki tujuh malam yang terakhir." HR Muslim
Malam 27 Ramadhan
Berpandukan kepada hadis daripada Ubai bin Ka'ab r.a. yang bermaksud, "Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang mana Rasulullah SAW telah menyuruh kami untuk beribadah, iaitu malam ke 27."
Ubai berkata lagi, "Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada harinya tiada sinarnya." HR Muslim
Bagi yang mengikuti laman instagram milik Sheila Rusly, pasti biasa melihat perkongsian air tangan oleh Penerbit JS Pictures ini yang rajin berkongsi resipi hasil masakan dilaman sosial tersebut untuk rujukan pengikut akaunnya.
Shiela Rusly diakui merupakan antara selebriti yang hebat memasak didapur dan mempunyai program rancangan memasak sendiri seperti “Ketuk-Ketuk Ramadhan” yang telah 14 tahun menghiasi kaca tv.
Sempena kedatangan Ramadan ini, Sheila Rusly ada kongsikan video resipi ‘Masak Taucu Ikan Ayam’ yang menjadi menu kegemaran suaminya, Pengarah Azman Hj Yahya atau lebih dikenali dengan nama Jinggo atau Tok Sidang ketika berbuka puasa.
Bahan-Bahan:
Ikan Ayam (Digoreng)
Bawang Merah
Bawang Putih
Halia
Pes Taucu
Air
Asam keping
Timun
Serbuk Perasa
Cili Padi
Sedikit Gula
Minyak Masak
Cara Membuat:
Panaskan minyak dalam kuali, masukkan bawang merah, bawang putih dan halia yang dikisar tumis sehingga naik bau.
Masukkan 2 sudu pes taucu, tumis seketika dan masukkan segelas air.
Masukkan asam keping dan timun.
Kemudian masukkan serbuk perasa dan sedikit gula.
Kemudian masukkan cili padi dan ikan ayam yang telah digoreng serta bawang merah.
Siap! Selamat mencuba!
Wah, menarik kan resipi ni, simple sangat. Mak-mak boleh cuba buat sendiri untuk hidangan waktu berbuka nanti.
Sesungguhnya air tangan isteri itu adalah pengikat kasih sayang suami. Rajin-rajinkanlah diri, masak menu kegemaran suami selalu.