Tuesday, May 29, 2018

29 Mei: Tentera Terbaik Islam Menakluki Constantinople


Tanggal 29 Mei merupakan hari gembira bagi umat Islam suatu ketika dahulu apabila tentera umat Islam pimpinan seorang sultan muda telah berjaya menawan kota Constantinople.

29 Mei: Tentera Terbaik Islam Menakluki Constantinople

Kota Constantinople yang dikenali sebagai Istanbul kini adalah salah sebuah bandar bersejarah dunia yang diasaskan oleh Maharaja Rom bergelar Emperor Constantine pada tahun 330 Masihi.

Kota ini yang sangat strategik dari segi pentadbiran, ekonomi dan ketenteraan menjadi idaman para pemerintah dunia untuk mendapatkan kawasan ini termasuklah pemimpin dan panglima Perancis Napoleon Bonaparte.

Beliau pernah mengatakan bahawa jika dunia sebuah negara, maka Constantinople adalah bandar yang paling layak menjadi ibu kotanya.

Dalam lipatan sejarah Islam, usaha penaklukan kota ini telah pun dilakukan oleh tentera Islam sejak zaman Kerajaan Umayyah pada tahun 44 Hijrah.

Siri-siri peperangan telah berlanjutan sehingga zaman pemerintahan Kerajaan Abbasiyyah termasuklah semasa kekuasaan Khalifah Harun ar-Rashid pada 190 Hijrah.

Bagaimanapun usaha tersebut berjaya dipatahkan oleh tentera musuh.

Sehinggalah zaman pemerintahan Uthmaniyyah, Sultan Muhammad bin Murad Bin Muhammad Bin Bayazid (Sultan Muhammad Al-Fateh) berjaya menakluk kota Costantinople ketika berumur 21 tahun.

Selepas menaiki tahta menggantikan ayahnya, Sultan Muhammad Al-Fateh telah mengkaji pelan Kota Costantinople setiap malam bagi mengenal pasti titik kelemahan termasuk juga mengendap masuk secara rahsia di sekitar kawasan tembok.

Baginda mengarahkan pembinaan peralatan perang termoden seperti meriam besar yang boleh menembak bom 300 kilogram sejauh 1 batu sebagai persiapan perang.

Bermula 19 April 1453, peperangan tercetus antara umat Islam melawan tentera Kristian Ortodoks di bawah Empayar Byzantine.

Dinding kota yang begitu teguh dibina secara berlapis-lapis sangat sukar ditembusi umat Islam ketika itu menyebabkan Sultan Muhammad Al-Fateh mengarahkan penggunaan menara bergerak yang lebih tinggi dari dinding kubu Byzantine yang memuatkan ratusan tentera.

Bagaimanapun, Tentera Byzantin berjaya memusnahkan menara tersebut dan menghalang kemaraan umat Islam.

Tidak cukup dengan itu, tentera Byzantin telah dibantu oleh angkatan tentera Pope Vatican (Rom) yang sampai di Perairan Teluk Golden Horn dengan merentangkan rantai besi menyebabkan umat Islam tidak dapat mara.

Ketika ini berlaku situasi yang menjadi titik bermakna dalam sejarah perang dunia apabila Sultan Muhammad Al-Fateh menggunakan kebijaksanaannya dengan memerintahkan 72 kapal perang diangkut merentasi gunung sebelum diluncurkan semula ke perairan Teluk Golden Horn.

Taktik ini diakui oleh para sejarawan Barat sebagai antara taktik peperangan terbaik di dunia.

Tentera Islam terus mara, menembak kapal-kapal perang musuh menggunakan meriam dan membedil dinding pertahanan belakang kota.

Sebahagian tentera Islam syahid ketika memanjat dinding kubu tersebut menyebabkan mereka yang lain mula hilang semangat untuk terus berjuang.

Namun, kecekalan salah seorang tentera utama umat Islam, Hasan Ulubate mengetuai sekumpulan kecil 30 tentera Janassari dengan berani membuka dan melompat masuk ke dalam kubu musuh lantas memacak bendera Islam di situ.

Walaupun mereka syahid dihujani panah, namun percikan darah mereka telah berjaya membangkitkan semangat luar biasa tentera-tentera Islam sekali gus menyerbu bertali arus menembusi barisan pertahanan Byzantin sambil melaungkan kalimah “Allahu Akbar”.

Pada masa itu juga, pihak musuh mendapat tahu tentera Islam lain telah berjaya mengorek terowong untuk memasuki kota tersebut.

Akhirnya, kesabaran dan semangat yang ada pada umat Islam, telah berjaya menawan kota kukuh di bawah pemerintah Rom dan Byzantin sejak berabad lamanya.

Sultan Muhammad Al-Fateh melumurkan tanah ke dahinya seraya melakukan sujud syukur atas kemenangan tersebut.

Semenjak peristiwa inilah Baginda diberi gelaran “Al-Fateh” yang memberi makna menang kerana kejayaannya membebaskan Constantinople.

Antara rahsia kejayaan dan ketabahan baginda, para ulama dan pakar seperti Sheikh Semsuddin yang merupakan guru kepada Sultan Muhammad Al-Fateh dibawa ketika perang bagi membakar semangat jihad tentera Islam.

Baginda telah menjadikan golongan ulama dan cendekiawan sebagai penasihatnya dan sering kali meminta pandangan daripada mereka.

Kejayaan umat Islam menawan kota Kostantinople di bawah pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh telah terungakap dalam hadis Rasulullah S.A.W.

“Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam.

"Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad).

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mynewshub

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon