Thursday, September 05, 2013

Kontroversi Pemilihan Hadiah Keamanan Nobel


Kenapa gerangan Hadiah Keamanan Nobel kadang kala mencetuskan kontroversi berpanjangan seperti berlaku kepada penerima terakhir sebelum ini, Liu Xiaobo dari China?

Nobel Prize

Dalam majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Oslo, Norway tanpa kehadiran beliau dan tidak disertai oleh sekurang-kurangnya 19 negara, termasuk beberapa negara Islam - Arab Saudi, Mesir, Pakistan, Iran, Iraq, Afghanistan, Sudan, Maghribi dan Kazakhastan.

Juga tidak hadir ialah Russia, Vietnam, Filipina, Ukraine, Cuba dan Venezuela. Beberapa nama negara-negara lain tidak dicatat oleh sesetengah akhbar.

Ertinya, beberapa negara komunis, bukan komunis dan Islam sama-sama tidak hadir di majlis penyampaian Hadiah Nobel yang kini berumur 111 tahun.

Segalanya bermula dari wasiat Alfred Nobel (1833-1896) yang mencipta bahan letupan setelah memiliki kilang membuat pelbagai senjata perang yang menjadikannya begitu terkenal.

Berikut cerita dari laporan Wikipedia:

"Pada tahun 1888, Alfred terkejut bila membaca berita kematiannya, berjudul The Merchant of Death is Dead dalam sebuah akhbar Perancis.

Walhal yang meninggal itu ialah abangnya Ludwig dan berita kematiannya itu lapan tahun lebih awal. Alfred berasa kecewa kerana ia tidak mahu dikenang sebegitu rupa.

Lalu beliau meminda wasiatnya. Ramai kemudian terkejut kerana wasiat akhir itu memutuskan supaya kekayaannya digunakan untuk mereka yang menghasilkan faedah terbesar pada manusia.

Nobel mewariskan lebih 90 peratus daripada kekayaannya (sejumlah dollar Amerika $186 juta menurut kiraan tahun 2008) untuk lima Hadiah Nobel.

Antara para penulis yang menerima hadiah ialah Rudyard Kipling, Rabindranath Tagore, Anatole France, George Bernard Shaw, Pearl S. Buck, Bertrand Russel, Ernest Hemingway, Jean-Paul Sartre, Pablo Neruda, Wole Soyinko, Naguib Mahfouz (dari Mesir pada tahun 1988), V.S. Naipaul, Orhan Pamuk (dari Turki, pada tahun 2006).

Antara penerima Hadiah Keamanan pula ialah: Presiden Barack Obama, George Marshall (dari Amerika), Dag Hammarskjold (Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu 1961), Henry Kissinger dari Amerika dan Le Duc Tho dari Vietnam kerana perjanjian damai Perang Vietnam 1973, Aung San Sun Kyi dari Myanmar, Yasser Arafat dari Palestin, Shimon Peres dan Yitzhak Rabin dari Israel pada 1994, Dalai Lama, 1989 dan Liu Xiaobo dari China tahun 2010.

Pemilihan Liu seorang tokoh pembangkang dan penentang dari negeri China mencetuskan kemarahan pemerintah China.

Laporan Xinhua, agensi berita China menyatakan: "Liu telah melakukan pelbagai tindakan subversif terhadap kerajaan China dan ini selaras dengan strategi sesetengah organisasi dan pihak-pihak dunia Barat terhadap negara China.

Itulah sebabnya sesetengah pihak di dunia Barat serta-merta mengalu-alukan dan dengan itu melancarkan serangan baru terhadap negara China".

Liu telah dijatuhkan hukuman 11 tahun penjara kerana kegiatan-kegiatan subversif. Beliau seorang penulis yang melancarkan manifesto pro demokrasi.

Seperti dilaporkan waktu dahulu kontroversi tercetus manakala Dalai Lama menerima Hadiah Nobel. Beliau antara lain memperjuangkan nasib warga Wilayah Tibet dan pergeserannya dengan kerajaan China berlanjutan.

Majlis penyampaian hadiah kepada Liu menyaksikan kehadiran beberapa rakan Liu semasa berlaku demonstrasi di Tiananmen Square di Beijing pada tahun 1989. Antara mereka ialah Yang Jiangli yang dipenjarakan selama setahun dan kini bermastautin di Amerika.

Antara analisa politik ialah pojok Geoff Dyar, ketuai biro akhbar Financial Times di Beijing. Antara lain beliau menulis: "Di kalangan warga China yang berpelajaran, hadiah kepada Liu berupa penghinaan kerana menurut mereka ia tidak menghiraukan perubahan-perubahan pada kebebasan individu.

Para belia China kini bebas bekerja di mana saja, berkahwin dengan sesiapa saja dan berkunjung ke mana saja, yang dahulunya mustahil bagi ibu bapa mereka".

Pertanyaan: Adakah tokoh-tokoh yang menamatkan pertelingkahan berlarutan Palestin - Israel akan menerima Hadiah Keamanan nanti? Bolehkah berdamai dan wujud negara Palestin yang merdeka? -Utusan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon