Selasa, Mei 29, 2018

Pencarian MH370 Akhirnya Berakhir

Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity, mengesahkan misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir.

Pencarian MH370 Akhirnya Berakhir

Ocean Infinity dalam satu kenyataan berkata, syarikat itu menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 kilometer persegi dan berjaya mengatasi keadaan dan kawasan dasar laut yang mencabar.

Keluasan kawasan yang diliputi dalam masa lebih tiga bulan operasi adalah jauh melebihi sasaran awal iaitu 25,000 km persegi dan hampir sama dengan kawasan pencarian sebelumnya dalam tempoh dua setengah tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett, merakamkan rasa dukacita semua pihak di Ocean Infinity kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam MH370.

"Sebahagian daripada motivasi kami untuk menyambung semula pencarian ialah cuba merungkaikan beberapa jawapan kepada mereka yang terbabit.

"Oleh itu, kami dengan hati yang amat berat mengakhiri usaha pencarian tanpa mencapai matlamat itu," katanya.

Beliau berkata, Ocean Infinity berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi tawaran dan peluang kepada syarikat itu menyambung semula misi pencarian.

Komitmen yang dizahirkan oleh kerajaan baharu di Malaysia untuk memberi keutamaan kepada usaha menjejaki MH370 adalah sangat baik, kata Plunkett.

"Walaupun hasil misi pencarian itu setakat ini amat mengecewakan, tetapi sebagai sebuah syarikat, kami amat berbangga dengan apa yang telah kami capai dari segi kualiti data yang kami hasilkan dan kecepatan tempoh masa yang telah diliputi dalam misi pencarian merangkumi kawasan yang luas.

"Belum pernah misi pencarian dasar laut laut berskala ini dijalankan dengan begitu cekap dan berkesan sebelumnya," kata beliau.

Beliau juga berkata, Ocean Infinity dengan ikhlas berharap syarikat itu sekali lagi dapat menawarkan khidmatnya dalam pencarian MH370 pada masa akan datang.

Ocean Infinity juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas kapal Seabed Constructor yang berusaha dengan gigih tanpa penat dan juga kepada semua syarikat, organisasi dan individu yang memberi sokongan, bimbingan dan nasihat yang tidak ternilai.

Plunkett berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada kakitangan di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dedikasi mereka usaha menjejaki pesawat itu tidak pernah pudar dan layak diberi pujian.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada Januari tahun 2018 ini, Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat malang itu.

Misi pencarian oleh Ocean Infinity di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma "no cure, no fee," yang bermakna bayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemui dan disahkan oleh pihak ketiga.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon