Sunday, May 27, 2018

Malam Lailatul-Qadar, Anugerah Agung Allah Kepada Manusia


Lailatul Qadar adalah satu anugerah Allah SWT yang sangat besar kepada manusia. Ia adalah malam yang paling tinggi kedudukannya dalam Islam.

Malam Lailatul Qadar

Allah SWT akan meningkatkan darjat hamba-Nya serta mengurniakan pahala sebanyak 1,000 bulan kepada hamba-Nya yang melakukan amal ibadat pada malam tersebut.

Kelebihan malam Lailatul Qadar boleh dilihat menerusi firman Allah SWT yang bermaksud, "Malam Lailatul Qadar lebih baik dari seribu bulan." Al-Qadr: 3

Rasulullah SAW juga ada menyebut tentang kelebihan malam Lailatul Qadar dalam sabdanya yang bermaksud, "Sesiapa yang menghidupkan malam Lailatul Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan baginya dosa yang telah lepas." HR Bukhari dan Muslim

Al-Qur'an dan hadis-hadis sahih ada menjelaskan tentang detik-detik berlakunya Lailatul Qadar, namun ulama berselisih pendapat tentang bila berlakunya malam Lailatul Qadar.

Berdasarkan pada dalil-dalil tersebut, bolehlah disimpulkan bahawa, Lailatul Qadar jatuh pada salah satu malam yang ganjil pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan.

Rasulullah SAW bersabda, "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadhan." HR Bukhari

Tujuh Malam Terakhir Ramadhan

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, "Carilah pada sepuluh malam terakhir, yakni Lailatul Qadar. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu maka janganlah dia tertewas pada baki tujuh malam yang terakhir." HR Muslim

Malam 27 Ramadhan

Berpandukan kepada hadis daripada Ubai bin Ka'ab r.a. yang bermaksud, "Demi Allah sesungguhnya aku tahu pada malam bilakah ia, itulah malam yang mana Rasulullah SAW telah menyuruh kami untuk beribadah, iaitu malam ke 27."

Ubai berkata lagi, "Melalui tanda-tanda dan alamat yang dikhabarkan oleh Rasulullah kepada kami bahawasanya matahari yang akan terbit pada harinya tiada sinarnya." HR Muslim

Wallahu a'lam.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

  1. Moga kita dapat bertemu dgn malam lailatul qadar...aamiin

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon