Friday, January 31, 2020

Benarkah Wabak Maut Akan Berlaku Setiap 100 Tahun?

Benarkah Wabak Maut Akan Berlaku Setiap 100 Tahun?

Dengan kemelut virus korona daripada China, ramai yang cuba mengaitkan angka 20, yang kalau dilihat dari satu sudut, boleh nampak kebenaran disebaliknya. Virus Wuhan menular pada tahun 2020. Sehingga 28 Januari, virus ini telah menjangkiti 4,000 orang (The New York Times, 2020).

Wabak Maut 100 Tahun

100 tahun sebelumnya ialah giliran Influenza Sepanyol mengundang keuzuran terhadap 500 juta orang. Influenza ini merupakan antara yang paling membunuh dalam sejarah. Namun tidak terhenti di situ, kerana pada tahun 1820 pula penyebaran kolera telah membunuh ramai orang. Dan sekali lagi, 100 tahun sebelumnya, sebuah wabak besar membunuh sekurang-kurangnya 100,000 orang.

Apabila disunting sekali dalam suatu gambar, tularlah kisah menarik bahawa setiap 100 tahun mesti berlaku sejenis wabak. Orang pun pakat kongsikan dan sebarkan pendapat ini dengan gambar seperti dibawah:
  • Epidemik Cocoliztli 1550 (Mexico)
  • Malaria Amerika Selatan (1650)
  • Campak 13 Koloni (1750)
  • Demam Kuning Amerika (1850)/Influenza Amerika Utara (1850)
  • Kolera Mesir (1950)

Maka pada tahun 2050, kepercayaan yang sama mengatakan akan berlakunya suatu lagi penularan yang mengancam nyawa orang ramai. Ternyata perkaitan sedemikian bertatahkan syirik kerana wujud unsur ramalan. Sebenarnya tragedi ketiga tidak tepat pun kerana Campak 13 Koloni berlaku pada tahun 1747. Dan angka di atas pun ada masalah keralatan dari segi tahun.

Wabak Besar Marseille 1720

Sebelum tahun 1720, suatu wabak yang begitu besar telah menimpa dunia. Catatan sezaman telah merekodkan bahawa tanggapan umum mengatakan inilah kiamat. Tidak kira Islam atau Kristian, semua orang sudah takut. Dari Mekah sampai England, mayat bergelimpangan secara terbuka sekali gus mencetuskan krisis kesihatan jauh lebih teruk daripada wabak sedia ada.

Bakteria yang sama iaitu Yersinia pestis telah menimpa Marseille pada tahun 1720. Kematian 100,000 orang ini juga membunuh aktiviti ekonomi khususnya perdagangan daripada Barat ke Timur. Dan populasi semasa meningkat kembali ke paras pra-wabak 45 tahun kemudian.

Pandemik Kolera 1820

Disini terdapat keralatan dari segi data, kerana pandemik sedemikian tidak bermula pada tahun 1820. Sebaliknya, kota Calcutta telah menjadi punca penyebaran bermula tiga tahun sebelumnya.

India pada masa itu ialah periuk yang sentiasa menanak kolera. Tetapi kali ini lain pula, kerana kolera sedemikian merebak jauh keluar India sampai China dan Laut Mediterranenean.

Kegiatan penjajahan British dan perdagangan dunia juga memudahkan penyebaran ini. Ratusan ribu orang terkorban angkara pandemik ini. Dan setelah dikaji, titik paling awal kolera ini ialah Sungai Ganges yang sangat kotor.

Setelah beribadat, ramai kembali ke kampung mereka sambil membawa bala kolera tanpa disedari. Disebabkan inilah kolera sangat mudah menular sampai senang kata India sangatlah sinonim dengan kolera

Influenza Sepanyol 1820

Keralatan dari segi tarikh ini ibarat sama dengan Campak 13 Koloni yang dikatakan berlaku pada tahun 1850. Sedangkan campak sebenar bermula tiga tahun sebelumnya.

Keralatan yang sama juga berlaku bagi Influenza Sepanyol, kerana titik terawal ialah 1917 di hospital sekitar Etaples, Perancis.

Akibat kekurangan dari segi pengetahuan, maka influenza ini merebak dengan begitu pantas dan tangkas sampai beratus juta orang terkorban kerananya. Kegiatan peperangan dan aktiviti perdagangan global membawa influenza ini ke Amerika Syarikat pun.

Bukan semua perkara mempunyai tarikh sama wajar dikaitkan. Tragedi-tragedi sedemikian bukanlah ulangan 100 tahun.

Ini kerana wabak berlaku pada bila-bila masa pun, khususnya pada zaman-zaman yang serba-serbi kurang dari segi ilmu pengetahuan dan teknologi perubatan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Thursday, January 30, 2020

Lokasi Paling Selamat Pilihan Saintis Jika Berlaku Wabak Maut Di Seluruh Dunia

Lokasi Paling Selamat Pilihan Saintis Jika Berlaku Wabak Maut Di Seluruh Dunia

Apabila berlaku wabak yang mampu membawa maut disekitar kita, berita buruknya ialah tiada tempat untuk melarikan diri namun, sekiranya anda berada di tempat yang betul seperti di pulau yang terpisah daripada penyebaran wabak, anda mungkin akan selamat dan dapat membina semula kelangsungan manusia.

Pulau indah
Pulau Aogashima.

Saintis telah mengenalpasti dan meletakkan kedudukan pulau perlindungan yang berpotensi dalam menghadapi krisis tersebut. Pulau yang dapat memastikan kemandirian manusia dalam tempoh yang panjang.

Hal ini mungkin nampak seperti fiksyen sains distopia, tetapi sebahagian saintis memberikan amaran bahawa perkara ini tidak mustahil.

Dalam menentukan pulau yang efektif sebagai tempat perlindungan, mereka tidak mempertimbangkan pulau-pulau yang kecil. Walaupun pulau yang kecil dapat menempatkan manusia untuk terus bermandiri, populasi yang kecil tanpa pelbagai pakar teknikal tidak akan membantu manusia untuk membangunkan semula tamadun manusia.

Maka, saintis hanya mempertimbangkan negara berdaulat yang tidak mempunyai sebarang kekuasaan di darat, tidak mempunyai jambatan yang berhubung dengan daratan dan mempunyai populasi seramai 250,000 orang.

Selain dari ini, mereka mempertimbangkan ciri-ciri populasi, geografi, sumber alam semulajadi, sistem politik dan sistem sosial masyarakat. Selepas membuat penapisan, mereka telah menyenaraikan 20 lokasi yang paling sesuai untuk dijadikan sebagai pulau perlindungan. Markah pula diukur dari 0 – 1.

Tiga buah pulau gergasi yang paling cemerlang dan efektif sebagai tempat perlindungan ialah Australia (0.71), diikuti dengan New Zealand (0.68) dan Iceland (0.64).

Selain daripada tiga pulau, pulau-pulau lain mendapat markah kurang daripada 0.50 iaitu Jepun, Barbados, Cuba, Fiji dan Jamaica. Kemudian, banyak lagi yang kurang sesuai sebagai tempat kemandirian manusia.

Negara yang mempunyai GDP yang tinggi, iaitu negara yang dapat mengekalkan saluran makanan dan tenaga adalah negara yang efisyen sebagai tempat perlindungan.

Sesetengah negara mungkin dapat memperbaiki kedudukan mereka sekiranya mereka dapat meningkatkan produksi makanan dan tenaga. Sesetengah pulau mendapat kedudukan yang tidak beberapa baik kerana mempunyai situasi politik yang tidak stabil ataupun mudah terdedah dengan bahaya alam sekitar yang mana tidak sesuai untuk membangunkan tamadun manusia.

Sekumpulan saintis tersebut akur bahawa kaedah kajian mereka dapat diperbaiki di masa hadapan dengan memasukkan sekali faktor perubahan iklim namun, saintis sendiri berharap, mereka tidak perlu bergantung kepada analisis yang dikeluarkan.

Seperti insuran, kita harap tidak akan gunakan insuran tersebut tetapi apa-apa yang terjadi, kita harus bersedia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Tuesday, January 21, 2020

Misteri Sumpahan Makam Firaun Tutankhamun

Misteri Sumpahan Makam Firaun Tutankhamun

Tutankhamun ialah seorang firaun muda yang terkenal pada zaman kerajaan Tamadun Mesir purba, memerintah dari 1333 SM - 1323 SM dalam Dinasti Kelapan Belas yang turut dikenali sebagai Tempoh Kerajaan Amarna.

Patung emas Tutankhamun
Patung emas Tutankhamun.

Tutankhamun terkenal pada abad ke-20 apabila makamnya di Lembah Raja-raja ditemui oleh Howard Carter. Anehnya, mumia Tutankhamun tidak pernah dirompak oleh pencari harta karun.

Kebanyakan makam firaun lain yang terletak di Lembah Raja-raja pernah dijarah perompak makam setelah beribu-ribu tahun. Tutankhamun menjadi firaun Mesir ketika berusia hanya 9 tahun.

Dalam tempoh 10 tahun memerintah, Tutankhamun banyak membina semula kuil-kuil baru bagi menyembah tuhan-tuhan Mesir Purba, terutamanya Amun-Ra namun, Tutankhamun mangkat ketika berusia 19 tahun.

Punca kematian

Keranda Tutankhamun

Pada 18 Februari 2010, kajian genetik DNA mendapati Raja Tutankhamun mati akibat penyakit malaria iaitu sejenis penyakit tropika yang dibawa oleh nyamuk tiruk.

Laporan itu disiarkan oleh Journal of American Medical Association. Kajian itu dilakukan oleh saintis Jerman dan Mesir.

Tubuh Tuthankhamun lemah kerana hasil sumbang mahram antara dua adik beradik (kakak dan adik lelaki).

Tutankhamun sangat lemah dan menderita pelbagai penyakit dan mungkin berjalan dengan tongkat kerana kakinya cacat.

Rahsia Sumpahan Makam Firaun Tutankhamun

Lembah Raja-raja
Lembah Raja-raja.

Pada tahun 1922, ahli arkeologi Mesir Purba, Howard Carter bersama-sama pasukan beliau menemui pintu masuk ke makam Firaun Tutankhamun yang terletak di Lembah Raja-Raja atau dalam Bahasa Inggerisnya Valley of the Kings.

Lembah Raja-Raja ini terletak berhadapan Sungai Nil di Bandar Luxor, yang merupakan tempat persemadian terakhir bagi firaun-firaun dan individu penting Mesir Purba. Tetapi, kebanyakan makam telah pun dirompak sebelum ini oleh penjarah kubur.

Hanya sebuah makam sahaja yang lokasinya kekal misteri, tidak terusik atau dirompak kekayaannya dan makam itu adalah makam Firaun muda, Tutankhamun, yang mati sekitar 1323-1324 SM.

Pakar pengkaji Mesir Purba warganegara British iaitu Howard Carter, bertungkus-lumus untuk mengesan makam ini dan memulakan operasi pencarian.

Operasi ini bermula pada tahun 1914 dengan dana yang diterima daripada Lord Carnarvon namun, selama 7 tahun pencarian tersebut menemui jalan buntu.

Pintu makam Tutankhamun
Pintu makam Tutankhamun.

Apabila Lord Carnarvon hampir sahaja ingin menghentikan dana operasi pencarian tersebut, ibarat bulan jatuh ke riba, pasukan Howard Carter membuat salah satu penemuan arkeologi terhebat dalam sejarah.

Pada 4 November 1922, apabila seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pemberi air, menggali pasir menggunakan sebatang kayu, secara tidak sengaja, membawa kepada penemuan tangga batu.

Kemudian, kru pencarian tersebut memulakan penggalian di kawasan penemuan tangga batu itu, yang akhirnya membawa mereka kepada sebuah pintu yang tertutup rapat.

Pasukan itu seterusnya memecahkan pintu, namun menjumpai sebuah lagi pintu dengan lambang (insignia) Tutankhamun.

Pada ketika itu, barulah mereka yakin bahawa mereka telah menemui makam Firaun Tutankhamun, yang telah tersembunyi sejak sekian lama.

Lakaran makam Tutankhamun
Lakaran makam Tutankhamun
Lakaran makam Tutankhamun.

Menjelang 26 November, setelah beberapa minggu usaha membersihkan ruang di hadapan pintu itu dari batu-batan, Howard membuat satu lubang bukaan kecil di pintu makam tersebut.

Beliau dapat melihat ke dalam bahagian makam melalui lubang itu dengan bantuan cahaya lilin.

Hasil pemerhatian Howard, beliau sedar bahawa makam ini belum lagi dijarah, kerana harta-harta yang diperbuat daripada emas kelihatan seperti tidak pernah dialihkan.

Apabila ditanya oleh Lord Carnarvon; "Can you see anything?"

Carter menjawab; "Yes, Wonderful things."

Howard Carter dan Lord Carnarvon seterusnya menjadi individu pertama yang masuk ke makam Firaun Tutankhamun dalam masa 3,000 tahun.

Mereka kemudian merekod serta mengkatalog penemuan harta-harta karun itu dan hanya pada 27 Disember, harta karun pertama dikeluarkan daripada makam tersebut.

Antara barangan yang dikeluarkan adalah;
  • Topeng yang diperbuat daripada emas.
  • Takhta diperbuat daripada emas.
  • Pedati kuda diperbuat daripada emas.
  • Topeng diperbuat daripada emas (death mask).
  • Model kapal.
  • Minyak wangi.
  • Barang kemas dan perhiasan.
  • Makanan dan wain.
  • Sandal.
  • Belati diperbuat daripada meteorit.
  • Dan banyak lagi.

Penemuan harta karun ini merupakan antara penemuan terbesar barangan antikuiti Mesir Purba yang pernah direkodkan.

Pada 16 Februari 1923, barulah ruang yang paling dalam makam itu dibuka, membawa kepada sebuah keranda batu.

Apabila keranda batu itu dibuka, terdapat sebuah keranda lagi yang diperbuat dari emas padu seberat 100 kilogram dan di dalam keranda emas itu, terdapat mumia Firaun muda, Tutankhamun.

Penemuan Tutankhamun
Keranda Tutankhamun.

Susur Galur Tutankhamun

Sehingga tahun 2010, tiada apa yang diketahui tentang susur galur Tutankhamun.

Ia hanya diketahui kemudian, apabila ujian DNA dilakukan ke atas mumia Tutankhamun beserta 9 mumia-mumia firaun yang lain setelah dibenarkan oleh kerajaan Mesir.

Berdasarkan hasil ujian DNA tersebut, mumia Tutankhamun bersama-sama mumia firaun yang lain disyaki mempunyai hubungan darah (saudara terdekat).

Sampel DNA yang diambil dari tulang Tutankhamun mendedahkan misteri yang menyelubungi 'firaun muda' ini.

Hasilnya, susur galur keluarga selama 5 generasi dapat dibina melalui ujian DNA tersebut.

Ujian DNA tersebut mendapati, bahawa Firaun Amenhotep III merupakan datuk kepada Tutankhamun.

Sewaktu pemerintahan Amenhotep III, Mesir Purba berada dalam keadaan aman damai, manakala Tiye, permaisuri kepada Amenhotep III, merupakan nenek kepada Tutankhamun.

Amenhotep III dan Tiye mempunyai 3 orang anak lelaki dan 5 orang anak perempuan. Dan salah seorang daripada anak lelaki mereka, iaitu Akhenaten menjadi pewaris dan Firaun seterusnya.

Akhenaten adalah bapa kepada Tutankhamun, manakala identiti ibu Tutankhamun masih kekal misteri.

Terdapat ujian DNA ke atas mumia misteri yang dikatakan ibu kepada Tutankhamun. Pada masa yang sama, ujian mengesahkan bahawa individu tersebut merupakan salah seorang daripada 5 anak perempuan Amenhotep III dan Tiye.

Ini bermakna, Akhenaten mengahwini adik perempuannya sendiri!

Amalan pembiakbakaan-dalaman ini turut diamalkan Tutankhamun sendiri apabila mengahwini Ankhesenpaaten, yang merupakan adik perempuan tiri (1 bapa) kepada Tutankhamun.

Mereka mempunyai 2 orang anak perempuan tetapi kedua-duanya dilahirkan mati, atau telah gugur (stillbirth).

Kesan pembiakbakaan-dalaman

Mumia Tutankhamun
Mumia Firaun Tutankhamun.

Amalan pembiakbakaan-dalaman dikalangan keluarga diraja Mesir Purba ini menyebabkan selalu terjadi keguguran didalam kelahiran. Selain itu, penyakit yang disebabkan oleh kerosakan genetik turut terjadi kesan dari amalan ini.

Impaknya dialami sendiri oleh Tutankhamun apabila ujian DNA yang dibuat bagi mengenal pasti susur galur Tutankhamun turut mendedahkan bahawa firaun tersebut mempunyai beberapa masalah kesihatan.

Tutankhamun mempunyai kaki yang cacat, disebabkan oleh nekrosis tulang yang memaksa Tutankhamun berjalan menggunakan tongkat. Firaun itu juga mempunyai sumbing serta tulang belakang yang melengkung.

Selain itu, Tutankhamun turut berdepan dengan masalah keradangan akibat mempunyai sistem imun yang lemah.

Keadaan kesihatan Tutankhamun yang terjejas ini bukanlah penyebab kematiannya diusia muda, tetapi ia menyumbang kepada kemerosotan taraf kesihatannya.

Selain daripada masalah-masalah diatas, mumia Tutankhamun didapati patah kaki kanannya, turut dipercayai bahawa dia mempunyai penyakit malaria yang teruk.

Segala gejala permasalahan kesihatan inilah yang akhirnya menyebabkan Tutankhamun mati ketika berumur 19 tahun.

Nasib yang sama Raja Charles II dari dinasti Habsburg di Sepanyol, akibat ketiadaan pewaris, Tutankhamun merupakan Firaun terakhir didalam dinastinya.

Malaria yang dihidapi Tutankhamun adalah disebabkan oleh parasit Plasmodium falciparum.

Malaria disebabkan parasit ini merupakan yang paling berbahaya berbanding parasit malaria lain seperti Plasmodium vivax, Plasmodium ovale dan Plasmodium malariae.

Kebenaran Disebalik 'Sumpahan' Tutankhamun

Khabar angin mengenai sumpahan maut Tutankhamun menjadi bualan setelah kematian Lord Carnarvon, tidak lama selepas memasuki makam firaun muda itu.

Kemudian, muncul teori bahawa terdapat kemungkinan Lord Carnarvon terdedah kepada organisma seperti bakteria dan kulat berbahaya yang mendiami makam tersebut selama lebih 3,000 tahun.

Menurut pendapat Jennifer Wegner, seorang ahli kaji mesir purba dari Muzium Universiti Pennsylvania yang terletak di Philadelphia, Amerika Syarikat, bahawa sudah tentu makam tersebut mempunyai patogen yang mungkin berbahaya kepada manusia.

Oleh kerana selain daripada menyimpan mayat, makam itu juga turut menyimpan makanan seperti daging, sayur-sayuran yang akan menarik perhatian serangga, kulat dan bakteria.

Harta, makanan dan minuman serta persalinan pakaian dimakamkan bersama-sama firaun atau pegawai kerajaan penting Mesir Purba kerana tamadun mereka mempercayai bahawa terdapat alam kehidupan selepas mati.

Melalui kajian makmal terkini, saintis mendapati bahawa mumia purba sememangnya mempunyai kulat berbahaya kepada manusia. Antaranya ialah kulat dari spesies Aspergillus niger dan Aspergillus flavus.

Harta asal Tutankhamun
Harta asal Tutankhamun.

Kedua-dua kulat ini boleh menyebabkan tindakbalas alergi seperti kesukaran pernafasan dan lebih kritikal, pendarahan di dalam paru-paru.

Toksin-toksin yang dirembeskan kulat ini sangat berbahaya kepada individu yang lemah sistem imunnya.

Selain itu, dinding makam juga turut diketahui mempunyai bakteria yang menyerang sistem respiratori seperti bakteria genera Pseudomonas dan Staphylococcus.

Ujian makmal juga menunjukkan bahawa keranda yang menyimpan mumia purba turut mempunyai gas berbahaya seperti ammonia, formaldehid dan hidrogen sulfida.

Dalam konsentrasi tinggi, ia mampu memberi penghidu gas simptom seperti pneumonia, iritasi pada mata dan hidung malah berupaya membawa maut.

Akhir sekali, kehadiran kelawar yang menjadikan gua-gua pembukaan makam kediaman mereka juga mempunyai risiko tersendiri kepada manusia. Ini kerana najis kelawar mempunyai kulat yang mampu menyerang sistem pernafasan.

Harta Tutankhamun di Muzium
Harta Tutankhamun di Muzium.

Tetapi, pakar mendapati bahawa 'toksin makam' ini bukanlah punca kepada kematian Lord Carnarvon.

Ini kerana beliau diketahui mempunyai penyakit kronik sejak sekian lama sebelum beliau menjejakkan kaki ke dalam makam.

Selain itu, ia disokong dengan fakta bahawa kematian Lord Carnarvon berlaku berbulan lamanya selepas pendedahan awal kepada makam tersebut.

Jika kematian beliau disebabkan oleh bakteria atau kulat yang terkandung di dalam makam, sudah tentu Lord Carnarvon akan mengalami simptom penyakit lebih awal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Monday, December 30, 2019

Kenali Arabushi, Hadakabushi Dan Honkarebushi Makanan Pelik Popular Jepun

Kenali Arabushi, Hadakabushi Dan Honkarebushi Makanan Pelik Popular Jepun

Anda pernah mendengar sejenis perencah makanan daripada Jepun yang dikenali sebagai Katsuobushi? Bagaimana dengan Bonito? Tidak pernah? Jika anda peminat makanan Jepun, anda mungkin pernah merasai kelazatan makanan jalanan yang berasal dari matahari terbit itu yang kini banyak terdapat di Malaysia dikenali sebagai Takoyaki.

Kenali makanan Jepun

Di Jepun, Takoyaki adalah bebola yang berisi inti sotong kurita (tako) dan ditabur serbuk kasar rumpai laut (Aonari) dan kepingan halus Bonito kering.

Kebiasaannya ia dihidangkan bersama Mayonis dan Sos Takoyakinamun, tahukah anda bagaimana Bonito kering ini diproses.

Bonito kering diperbuat daripada ikan bonito atau tuna Skipjack (Katsuwowonus pelamis) yang disalai dan banyak terdapat di perairan laut Jepun. Ikan tuna yang telah disalai ini dikenali sebagai Katsuobushi.

Terdapat beberapa jenis Katsuobushi, bergantung kepada proses yang dilaluinya.

Arabushi

Arabushi adalah hasil pemprosesan Katsuobushi yang paling cepat dan murah.

Arabushi diproses selama lebih kurang 20 hari hingga sebulan dengan menggunakan ikan Bonito muda. Rasa dan baunya lebih kuat.

Arabushi pula dipasarkan secara meluas kerana harga yang murah. Kepala dan isi perut ikan akan dibuang kemudian ikan dipotong empat secara memanjang.

Kemudian, ikan direneh selama satu atau dua jam di dalam air panas pada suhu 85-95 darjah selsius bergantung kepada saiz ikan.

Setelah itu, ikan direndam dalam air sejuk untuk memudahkan proses mengikis kulit dan membuang tulang. Proses ini dilakukan dengan tangan secara pantas dan cermat untuk mendapatkan kualiti terbaik.

Kemudian, isi ikan yang dikisar halus akan disalut menutupi lubang yang terhasil ketika proses membuang tulang.

Seterusnya, ikan akan disalai dengan menggunakan pelbagai kayu daripada jenis oak, pasania atau casatopsis selama 4 hingga 6 jam sehari pada suhu sekitar 60 darjah bagi mengering, mendapatkan aroma yang unik serta menyahbakteria Katsuobushi.

Setiap dua jam sekali, Katsuobushi akan dikeluarkan dan disusun semula untuk memastikan kesemuanya disalai dengan baik.

Selepas semua proses ini berlangsung, ia akan dibiarkan dalam suhu bilik untuk menarik kelembapan dari dalam isi ke permukaan.

Proses ini sangat penting untuk mengurangkan kelembapan Katsuobushi dan ia akan diulang-ulang selama satu bulan.

Pada tahap ini, ia lebih dikenali sebagai Arabushi dan sudah boleh dipasarkan.

Karebushi

Manakala Karebushi kebiasaannya menggunakan ikan tuna Skipjack berkualiti tinggi yang memakan masa lebih kurang 6 bulan dan rasanya lebih sedap (savory, umami) dan baunya tidak terlalu kuat.

Hirisan Katsuobushi boleh dimakan begitu sahaja, ditabur pada makanan atau direbus sebagai stok asas sup yang dikenali sebagai Dashi.

Dashi kaya dengan Asid Inosinic (E630) dan digunakan sebagai penambah rasa makanan. Cara pemprosesan Katsuobushi sehingga kini masih sama sejak dari zaman Edo (1603-1868).

Hadakabushi

Sementara itu, Hadakabushi adalah daripada jenis Katsuobushi yang dibuat dengan mengikis lapisan luar lemak Arabushi dan mencantikkan rupa bentuknya.

Honkarebushi

Bagi mendapatkan Honkarebushi pula, Hadakabushi akan menjalani proses penapaian dan pematangan.

Lapisan luar yang telah dikikis dan disembur air yang mengandungi kulat kulinari daripada jenis Aspergillus. Beberapa hari selepas itu, kulit berwarna kebiruan akan muncul pada permukaan Hadakabushi.

Kulit ini akan menguraikan lemak kepada asid amino serta menyerap kelembapan yang akan menghasilkan rasa dan aroma yang lebih enak.

Salutan kulat ini juga akan menjauhkan micro-organisma yang lain daripada meracuni Katsuobushi.

Hadakabushi akan dijemur dibawah sinaran matahari selama dua hari dan akan disimpan selama dua minggu. Kaedah ini diulang selama beberapa bulan.

Fasa pertama kulat berwarna kebiruan, fasa kedua kulat bertukar warna kekuningan dan pada fasa terakhir, kulat sedikit keputihan seperti kayu mati yang kering.

Katsuobushi yang telah matang ini dikenali sebagai Karebushi atau Honkarebushi.

Tercipta Dari Kesilapan

Kaedah pengulatan ini sebenarnya terhasil daripada 'kesilapan' ketika penghantaran Katsuobushi pada zaman Edo.

Pada masa itu, Katsuobushi yang dihasilkan di kepulauan Kyushu dan Shikoku sebelum dihantar ke Edo yang kini dikenali sebagai Tokyo.

Perjalanan jauh yang memakan masa selama beberapa hari menyebabkan kulat mula tumbuh pada permukaan Katsuobushi.

Pada mulanya, mereka tidak mahu memakannya tetapi setelah dicuba, didapati bahawa rasa Katsuobushi yang berkulat lebih enak!

Sebelum digunakan, kulat pada Karebushi akan dikikis terlebih dahulu.

Kemudian, Katsuobushi akan dihiris halus dengan alat yang dipanggil Katsuobushi Kezuriki sebelum digunakan bagi mendapatkan rasa yang segar dan enak.

Hirisan Katsuobushi akan menjadi tidak segar dan lemau jika terdedah terlalu lama kepada udara.

Sangat Berharga

Tahukah anda, pada zaman dahulu Katsuobushi sangat berharga sehingga ianya digunakan untuk membayar cukai.

Pada asalnya Katsuobushi dihasilkan dengan teknik merebus dan dikeringkan dibawah sinaran matahari. Kemudian, proses menyalai mula diperkenalkan pada abad ke 15 untuk membolehkan ia disimpan dengan lebih lama.

Pada masa kini, teknologi pembungkusan menggunakan nitrogen diaplikasikan untuk menjamin kesegarannya. Ia juga terdapat di dalam bentuk serbuk dan cecair yang lebih popular dikalangan ibu-ibu moden.

Berkhasiat

Kandungan protein yang tinggi serta asid Docosaheaenoic (DHA) di dalam Katsuobushi membantu perkembangan otak dan kesihatan mata.

Ia juga kaya dengan vitamin B12, niacin, zat besi dan taurin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Friday, December 20, 2019

Sejarah Umat Islam Di Khianati Kerajaan Sepanyol

Sejarah Umat Islam Di Khianati Kerajaan Sepanyol

Pada tahun 1482, berlaku satu perang antara Kerajaan Islam Sepanyol dan Ratu Isabella yang mengetuai pasukan tentera Perancis, England dan Ireland. Perang 10 tahun ini berakhir selepas Granada yang menjadi tanah terakhir umat Islam di Eropah dikepung selama 9 bulan.

Capitulation of Granada

Bagi menyelamatkan umat Islam di Granada, Sultan Abu Abdullah Muhammad XII membuat satu perjanjian bersama Ratu Isabella dan Raja Ferdinand. Granada akan diserahkan kepada kerajaan Katolik Sepanyol, tetapi umat Islam yang masih tinggal di sana akan dibenarkan untuk terus bebas mengamalkan agama mereka

Perjanjian ini ditandatangani dan dinamakan “Capitulation of Granada”.

Tetapi menurut Dr Pamela, tidak seperti pemerintah Muslim yang meraikan hak beribadat non muslim sebelum ini, kedua dua Isabella dan Ferdinand tidak menghormati perjanjian yang mereka berdua sendiri tandatangani.

Malah, mereka berusaha memurtadkan umat Islam dalam tempoh 10 tahun pertama selepas penaklukan Granada. Tindakan ini menyebabkan umat Islam memberontak.

Apabila gerakan pemberontak ditumpaskan, Isabella memberi dua pilihan kepada umat Islam. Murtad atau keluar sehelai sepinggang. Majoriti memilih untuk menyelamatkan akidah walaupun kehilangan harta benda. Sebahagian lagi memilih untuk dibaptiskan dan kekal di Sepanyol.

Muslim yang murtad ini kemudiannya dikenali sebagai Moriscos atau Little Moors.

Tetapi, walaupun sudah murtad, kelompok ini masih dilayan seperti kelas ke dua. Bermula tahun 1530, kerajaan Sepanyol telah menangkap ribuan Moriscos dan menyita harta benda mereka. Mereka terdedah kepada penderaan awam, seksaan, sebatan dan hukuman bunuh.

Pada 1609, Philip II yang memerintah Sepanyol ketika itu mengarahkan agar semua Moriscos ini dihalau keluar daripada seluruh tanah Andalusia. Sekurang-kurangnya 300 ribu Moriscos menjadi pelarian dalam tempoh 5 tahun.

Bagi pelarian yang memilih untuk meminta perlindungan di Empayar Islam, mereka dipaksa meninggalkan zuriat mereka yang berusia kurang 7 tahun supaya kanak-kanak ini dapat dibesarkan di Sepanyol sebagai Kristian dan seterusnya ‘diselamatkan’.

Ini adalah tulisan sejarawan Barat tentang isu kemanusiaan Granada selepas nasib umat Islam diserahkan secara mutlak kepada pemerintah bukan Islam. Saya tidak menambah apa-apa.

Kerana jika saya mengambil kisah ini daripada sumber sejarawan Islam, maka setiap dari kita akan mempersoalkan tahap iman dirinya sendiri.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, December 13, 2019

Kisah Bagaimana Malaysia Mengekang Kezaliman Israel Terhadap Palestin

Kisah Bagaimana Malaysia Mengekang Kezaliman Israel Terhadap Palestin

Pada 22 Disember 2016, Mesir ketika itu dijadualkan untuk mengemukakan resolusi anti Israel kepada Majlis Keselamatan (UNSC), tetapi disebabkan tekanan yang terlalu besar, Presiden Abdel Fatah Al-Sisi kemudiannya telah menangguhkan pembentangan resolusi tersebut – satu khabar gembira buat Israel.

Resolusi 2334 Malaysia

Dengan kata lain, Mesir kalah sebelum berjuang dan Israel ketika itu menganggap tidak ada lagi negara yang berani mengemukakan usul anti mereka.

Keadaan ketika itu amat genting. Tempoh tamat keanggotaan negara anggota UNSC pada penggal tersebut adalah pada 31 Disember 2016. Pihak Sepanyol pula selaku pengerusi UNSC memutuskan untuk menamatkan mesyuarat pada 24 Disember 2016. Hanya 2 hari sahaja tinggal untuk mana-mana negara mempertahankan Palestin di peringkat antarabangsa.

Dalam masa sebeginilah, Wisma Putra berjaya memainkan peranan luar biasa dengan mengadakan pakatan 4 negara untuk memulakan proses kelulusan usul anti Israel.

Akhirnya pada 23 Disember 2016, Malaysia bersama sama 3 negara anggota Majlis Keselamatan lain – New Zealand, Senegal dan Venezuela telah mengemukakan Resolusi 2334.

Resolusi ini bermaksud untuk mengecam penempatan haram Israel di bumi Palestin dan mendesak Israel menghentikan kekejaman tersebut.

Resolusi ini diluluskan dengan keputusan 14-0 dengan AS sebagai negara yang sering memveto keputusan UNSC berkenaan Israel (42 kali) akhirnya mengambil keputusan berkecuali. Ini adalah kali pertama resolusi mengecam Israel dalam pendudukannya di Palestin diluluskan semenjak Resolusi 446 pada tahun 1979.

Resolusi ini membolehkan mana-mana pihak untuk membawa Israel atau warganya yang terlibat di dalam penempatan haram dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Ia juga menyebabkan segala pendudukan Israel di bumi Palestin selepas garisan sempadan tahun 1967 dikira haram dan tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Disebabkan usul yang dikemukakan ini juga dibuat dalam waktu yang tidak dijangka, Israel tidak cukup masa untuk melobi negara negara UNSC lain termasuk AS.

Apatah lagi Israel menjangkakan tidak ada negara lain yang berani mengemukakan resolusi ini selepas berjaya menundukkan Mesir untuk menghentikan proses usul tersebut sehari sebelumnya

Kejutan resolusi ini menyebabkan Israel memanggil pulang dutanya daripada Senegal dan New Zealand serta mengecam Presiden Barack Obama kerana gagal ‘mempertahankan’ Israel.

Israel juga membatalkan pelbagai program diplomatik dengan negara-negara UNSC termasuk lawatan Perdana Menteri Ukraine ke negara mereka.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu juga menerima tekanan politik dalaman negara apabila dikecam oleh pemimpin utama pembangkang Isaac Herzog.

The Times of Israel pula menyifatkan tindakan panik Benjamin Netanyahu tersebut sebagai cubaan untuk berperang dengan seluruh dunia.

Kejayaan resolusi ini menunjukkan bagaimana kehebatan Malaysia mengadakan diplomasi tahap tinggi dengan semua kuasa kuasa besar dunia bagi membolehkan wujudnya pembelaan ke atas Palestin.

Perancis contohnya memuji resolusi tersebut dengan katanya, "inilah kali pertama Majlis Keselamatan melakukan sesuatu yang betul di dalam konflik ini," sementara Russia pula secara terbuka menyatakan kekaguman mereka dengan cara resolusi tersebut dikemukakan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, December 06, 2019

Ratu Balqis: Permaisuri Agung Tamadun Saba

Ratu Balqis: Permaisuri Agung Tamadun Saba

Keinginan Nabi Sulaiman a.s untuk mengetahui siapakah pemilik takhta Kerajaan Saba bermula setelah burung Hud-Hud menyampaikan laporannya berkaitan tentang wujudnya sebuah kerajaan yang besar, makmur dan dilimpahi dengan kekayaan tetapi sayangnya, pemimpin kerajaan tersebut beserta rakyatnya menyembah matahari.

Kerajaan Ratu Balqis
Gambar hiasan.

Lalu, Nabi Sulaiman a.s mengutuskan burung Hud-Hud untuk menyampaikan surat baginda kepada pemimpin Kerajaan Saba yang dimana di dalam surat tersebut terkandung tentang tawaran dari Nabi Sulaiman a.s untuk mengajak Permaisuri Balqis beserta seluruh rakyatnya menyembah Allah swt.

Kisah ini berlangsung dengan menariknya dan diceritakan bagaimana gambaran keadaan pada masa itu sehinggalah Permaisuri Balqis bersetuju dan yakin untuk menganut agama yang dibawa oleh Nabi Sulaiman a.s, setelah baginda Permaisuri Balqis menyaksikan pelbagai mukjizat dari Nabi Sulaiman a.s atas kurniaan Allah swt.

Daripada kisah yang boleh diambil daripada firmanNya ini, manusia sudah mengetahui tentang kewujudan sebuah kerajaan besar yang bernama Saba dan diperintah oleh seorang permaisuri, berhubung dengan kerajaan paling besar di bumi pada waktu itu, iaitu kerajaan Nabi Sulaiman a.s.

Ada banyak kisah yang mengangkat Permaisuri Balqis sebagai pemimpin yang berpengaruh sehinggakan kisah-kisah ini lahir dalam pelbagai versi seiring dengan perubahan zaman.

Ada sebuah versi yang mengisahkan bahawasanya Permaisuri Balqis merupakan seorang wanita yang cerdik, cantik, dan memiliki jiwa pemimpin. Ada riwayat yang mengatakan, setelah kemangkatan ayahnya, Kerajaan Saba dipimpin oleh seorang lelaki yang kejam.

Namun, setelah beberapa tempoh waktu, kepemimpinannya mendatangkan kemerosotan dan kerosakan terhadap negara. Permaisuri Balqis pun turun tangan dan mengambil alih kembali takhta Kerajaan Saba.

Versi lain pula mengisahkan, Balqis adalah putri Sayarahil bin Dzijadan bin Assirah bin al Haryts bin Qais bin Shaifi bin Saba bin Yasyjab bin Ya’rab bin Qahtan. Ayahanda Balqis merupakan raja yang berpengaruh dan baginda tidak berkeinginan berkahwin dengan wanita kelahiran tanah Yaman.

Maka, ayahandanya mengambil keputusan untuk menikah dengan perempuan dari bangsa Jin yang bernama Raihanah as-Sakan dan hasil dari perkahwinan itu, mereka melahirkan seorang anak perempuan yang bernama Talaqam atau yang dikenali sebagai Balqis.

(Sumber ini merupakan sebuah sumber sekunder yang hanya diambil daripada mitos klasik bangsa kuno Arab dan Yahudi).

Daripada dua versi ini, kita akan melihat perbezaan, iaitu diantara fakta yang boleh diterima akal ataupun fakta yang luarbiasa penceritaannya.

Jadi daripada pelbagai versi berkenaan Permaisuri Balqis yang tersebar di serata dunia tanpa henti adalah lebih baik kita cuba mengkaji dan mengenali siapakah nama sebenar Permaisuri Balqis di dalam dunia sejarah mengikut kajian para ahli ilmuwan di seluruh dunia menurut kronologi sejarah yang didapati daripada kitab al-Quran mahupun kitab Perjanjian Baru/New Testament (Bible).

SIAPAKAH PEMILIK GELARAN PERMAISURI BALQIS DARI SABA?

Kemasyhuran Permaisuri Balqis tersebar di seluruh dunia sehinggakan kisah baginda ini diaplikasikan di dalam ajaran kuno Kabbala dan ajaran mistik Kristian. Walaupun mempunyai pelbagai bentuk versi yang adakalanya dipercayai atau diragui kebenarannya, tetapi kisah asli berkaitan Permaisuri Balqis boleh dikenalpasti secara berfakta dari tiga sumber utama iaitu:

1. Kitab suci agama Islam, al-Quran.
2. Kitab suci agama Kristian, Bible.
3. Kitab suci bangsa Ethopia, Kebra Nagast (The Glory of Kings).

Daripada ketiga sumber ini, kisah Permaisuri Balqis mempunyai tiga versi dan lain jalan penceritaannya. Bagaimanakah sosok bentuk Permaisuri Balqis di dalam setiap kitab-kitab ini?

Sumber al-Quran sudah diceritakan sebelum ini bagaimana seorang sosok permaisuri dari tanah Ma’rib (Yaman) yang datang ke kerajaan Nabi Sulaiman a.s. Daripada hasil pertemuan tersebut, Permaisuri Balqis memutuskan untuk memeluk agama Islam lantas meninggalkan ajaran sembahan matahari.

Hasil dakwah Nabi Sulaiman a.s dibawa oleh Permaisuri Balqis ke kerajaan Saba dan ajakan baginda Permaisuri Balqis menyeru rakyatnya memeluk agama Islam diterima tanpa bantahan. Ini menjadikan kerajaan Saba mengesakan Allah SWT selama beberapa tempoh waktu yang lama sebelum kerajaan Saba kembali menyekutukan-Nya kembali.

Begitu juga dari sumber Perjanjian Baru (Bible) yang menceritakan kisah yang sama seperti yang tercatat melalui firman Allah swt di dalam kitab al-Quran berkaitan Permaisuri Balqis atau Queen of Sheba, Balkis.

Tetapi daripada kedua sumber utama ini hanya meriwayatkan perjalanan sebuah pertemuan diantara Nabi Sulaiman a.s dengan Permaisuri Balqis menerima agama Islam.

Lain pula kisah yang didapati dari kitab Kebra Negast iaitu sebuah kitab kuno suci bangsa Ethopia yang disiapkan daripada hasil gabungan kisah yang didapati dari bangsa Arab dan bangsa Yahudi pada abad ke-14 Masihi.

Dalam kitab ini, Permaisuri Balqis dikenali sebagai Permaisuri Makeda yang berbangsa Ethiopia pernah datang menemui Raja Solomon (Nabi Sulaiman a.s).

Dalam pertemuan ini, Raja Solomon terpikat dengan kecantikan dan kecerdasan Permaisuri Makeda lantas baginda ingin menjadikannya sebagai seorang isteri. Raja Solomon mendapat idea untuk menjadikannya isteri dengan jalan yang halus iaitu dengan mengikat perjanjian.

Apakah perjanjian itu?

Jikalau Permaisuri Makeda menyentuh atau mengambil barang milik Raja Solomon di dalam istana tanpa izin maka Permaisuri Makeda wajib menerima Raja Solomon sebagai suaminya yang sah tanpa bantahan.

Perjanjian yang dipersetujui oleh Permaisuri Makeda ini akhirnya memakan dirinya sendiri. Permaisuri Makeda melanggar sebuah perjanjian ini dengan meneguk air minuman yang ditemui didalam istana Raja Solomon setelah baginda Permaisuri Makeda dihidangkan dengan pelbagai makanan yang membuatkannya haus iaitu makanan yang mengandungi lada hitam dan cuka.

Permaisuri Makeda pun berkahwin dengan Raja Solomon dan baginda tinggal bersama Raja Solomon selama beberapa bulan sebelum kembali ke kerajaannya di Tigray.

Setelah Permaisuri Makeda bermukim kembali di singgahsana kerajaannya di Tigray, maka baginda hamil anak dari hasil hubungannya dengan Raja Solomon. Anak pertama Permaisuri Makeda ini pun lahir dan diberikan nama Ebna Hakim atau Menelik I.

Permaisuri Makeda pun menghantar rombongan yang membawa anaknya, Ebna Hakim ke Jerusalem untuk bertemu dengan ayah kandungnya, Raja Solomon.

Raja Solomon ingin Ebna Hakim menetap di Jerusalem untuk mewarisi kekuasaan baginda tetapi Ebna Hakim lebih memilih untuk pulang ke Ethiopia dan menjadi raja di sana. Raja Solomon terpaksa akur dengan permintaan Ebna Hakim dan baginda mengizinkannya.

Raja Solomon menghadiahkan Tabut atau ‘Ark of Covenant’ kepada Ebna Hakim untuk dibawa pulang ke Ethiopia. Di dalam Tabut ini berisi dengan ’10 Perintah Tuhan’ atau ‘Ten Commandments’ yang diberikan Tuhan kepada Moses (Nabi Musa a.s).

Ada versi lain yang menyatakan bahawasanya rombongan Ebna Hakim ini mencuri Tabut ini lalu membawanya pulang ke Ethiopia. Tabut asli ini sekarang dipercayai diletakkan di sebuah gereja yang bernama ‘Saint Mary of Zion’ di daerah Aksum, utara Ethiopia.

Setelah kewafatan Permaisuri Makeda pada abad ke-10 SM, maka Ebna Hakim menaiki takhta kerajaan dengan menyandang nama sebagai Raja Menelik I merangkap pengasas Dinasti Solomon.

Kisah Dinasti Solomon yang diasaskan oleh Raja Menelik I ini boleh didapati di dalam buku Kabre Nagest. Walaupun buku ini dianggap sebagai kitab mitos semata-mata, tetapi bagi masyarakat Ethiopia menganggap ianya sebagai sebuah kitab asli tanpa mitos dan kitab ini juga disokong keasliannya oleh pihak gereja ‘Ethiopian Orthordox Tewahido’.

Kenapa kitab Nabre Nagest dianggap sebagai rekaan atau mitos?

Benarkah Raja Solomon melakukan hubungan seksual dengan Permaisuri Balqis atau Permaisuri Makeda lalu mendapat anak daripada hasil hubungan tersebut? Lalu anak tersebut membesar dan dijadikan raja Dinasti Solomon setelah kewafatan Permaisuri Balqis?

Benarkah Tabut asli tersebut masih berada di gereja tersebut? Jika ianya Tabut yang asli, mengapa pihak gereja masih menyembunyikan Tabut yang berisi 10 Perintah Tuhan itu?

Kesemua persoalan ini masih kekal misteri dan masih dikaji sehingga kini betapa tepatnya kisah dari Kabre Nagest tersebut ataupun ianya hanya rekaan semata-mata dari pihak agamawan tertentu pada zaman tersebut.

DI MANAKAH LOKASI TERLETAKNYA KERAJAAN SABA?

Negara Saba

Kerajaan Saba atau namanya dalam kitab Perjanjian Baru, Sheba, merupakan salah sebuah kerajaan kuno yang terletak di barat daya tanah Arab iaitu lebih tepat di wilayah Ma’rib yang dimana ianya sekarang dikenali sebagai Sanaa’ terletak di dalam negara moden Yaman.

Para sejarawan juga mencatat bahwa nama asli dari Saba’ adalah Abdu as-Syams.

Kerajaan Saba bukan sebuah kerajaan yang kecil dan lemah, tetapi kerajaannya merupakan salah sebuah kerajaan yang berdaulat dan menguasai jalur perdagangan di Laut Merah.

Kerajaan yang mempunyai dua buah kota besar, Ma’rib dan Sirwah, selalu aktif dengan pelbagai aktiviti perdagangan rempah-ratus dan hasil jualan tanaman yang subur seterusnya menjadikan kerajaan ini sebagai negara yang kaya-raya sehinggakan kerajaan Hadralmaut dan kerajaan Qataban tunduk untuk bersekutu di bawah panji daulah Saba.

Lokasi kerajaan Saba juga masih dikaji sehingga sekarang. Seorang sejawaran Yahudi, Flavius Josephus, menyatakan yang kerajaan ini terletak di sekitar bumi Mesir ataupun Ethiopia.

Lain pula bagi sejawaran Muslim yang beranggapan bahawasanya kerajaan ini terletak di daerah sekitar negara Yaman.

Bagi Karl Mauch, ahli geologi Jerman menyatakan yang kerajaan ‘The Great Zimbabwe’ pada zaman dahulu merupakan salah satu tapak kerajaan Saba pimpinan Permaisuri Balqis.

Teori-teori lain terus menyusul dengan mengatakan yang tapak runtuhan peradaban di Napata dan Meroe (Sudan) merupakan tapak kerajaan Saba.

Melalui pelbagai teori ini, para ahli sejarawan tidak dapat menyatakan bukti yang konkrit untuk memastikan tapak-tapak runtuhan peradaban ini milik Permaisuri Balqis.

Tetapi, daripada kesemua teori terbabit, hanya satu lokasi sahaja yang diyakini tapak kerajaan Saba iaitu di sekitar kawasan Eritrea, Ethiopia and Yaman.

Lokasi berdirinya kerajaan ini masih dipalit dengan bermacam kontroversi diantara para ahli sejarawan sehinggakan Bill Glanzman, seorang pakar arkeologi dari Universiti Calgary menyatakan sumber yang sedikit untuk mengetahui pemilik nama Permaisuri Balqis menyulitkan ahli sejarawan menentukan di lokasi yang tepat kerajaan Saba.

APAKAH KEGIATAN UTAMA MASYARAKAT NEGARA SABA?

Jantung utama kemajuan dan kehebatan kerajaan Saba terletak pada kekebalan Empangan Ma’rib, iaitu sebuah empangan yang besar yang dibina diantara daerah Ma’rib dan Himyar.

Dengan terbinanya sebuah empangan yang besar, maka masyarakat Saba mengambil peluang bercucuk tanam di sekitar kawasan terbabit dan sekaligus pekerjaan bertani menjadi sumber pendapatan utama rakyat dan negara.

Tanaman rempah yang paling mendapat permintaan tinggi adalah jenis Myrrh dan Olibanum.

Bukan itu sahaja, bahkan kerajaan Saba mempertingkatkan pembangunan dengan membina istana dan pelbagai infrastruktur lainnya sehinggakan kerajaan Saba berdiri kukuh menandingi kemajuan peradaban lain di dalam dunia pada ketika itu. (Baca mengenai Empayar Marib)

APAKAH AGAMA ANUTAN MASYARAKAT SABA SEBELUM PERMAISURI BALQIS MEMELUK AGAMA ISLAM?

Pengajian sejarah tentang peradaban Selatan Arab bermula apabila sebuah rombongan ahli arkeologi dari ‘Academie des Inscriptions et Belles-Lettres of Paris’ yang diketuai oleh Joseph Halévy menemui tapak-tapak baharu di sekitar runtuhan peradaban kerajaan Saba dan menghasilkan sebanyak 686 inskripsi yang mengaitkan tentang penemuan mereka.

Lalu tahun berikutnya, sebuah ekspedisi dari Perancis yang dianggotai oleh Joseph Arnaud, tiba di Sana’a pada bulan Julai tahun 1843 M dan menziarahi tapak runtuhan empangan Ma’rib, kuil sembahan Ilmaqah dan tapak runtuhan kota Sirwah. Daripada hasil ini, beliau menghasilkan catatan sebanyak 56 inskripsi.

Pada tahun 1927-1928, seorang pengembara, Carl Rathjens dan seorang ahli geografi, Hermann von Wissmann menemui sebuah runtuhan kuil yang kecil di al-Huqqa, 23 km dari daerah Sana’a.

Ilmaqah merupakan dewa sembahan masyarakat kuno Saba dan dipastikan bahawasanya Ilmaqah merupakan dewa yang disembah oleh Permaisuri Balqis sebelum baginda memeluk agama Islam.

Agama ini dikenali sebagai agama Semitik yang menyembah Matahari-Bulan-Venus. Ditlef Nielsen, yang mengeluarkan tesis berkaitan kepercayaan kepada Matahari-Bulan-Venus menyatakan di dalam hipotesisnya iaitu:

1. Agama Matahari-Bulan-Venus merupakan agama pagan pertama masyarakat Arab kuno.

2. Matahari melambangkan sebagai dewa, bulan melambangkan sebagai dewi lalu Venus melambangkan sebagai anak daripada dewa dan dewi ini.

3. Setelah masyarakat pada zaman tersebut aktif dengan pelbagai kegiatan pertanian, maka matahari merupakan sumber utama kesuburan untuk tanaman mereka. Jadi, mereka memilih untuk menyembah matahari lalu meninggalkan sembahan pada bulan dan Venus.

Banyak Tuhan

Walaupun panggilan nama dewa sembahan masyarakat Saba banyak pada masa itu dengan pelbagai gelaran seperti ‘Athtar’, ‘Ilumquh’, ‘Shams’, ‘Hawbas’, ‘Dhāt Himyān’, ‘Dhāt Baʿdān’, ‘Dhāt Baʿdānum’, ‘Dhāt Zahrān’ dan Ilmaqah, sudah diketahui umum bahawasanya sembahan mereka adalah untuk dewa matahari sebagaimana dikisahkan di dalam al-Quran.

Seorang penulis Islam dari Iraq, Mahmud al-Alusi menulis berkenaan Kerajaan Saba di dalam kitabnya, Bulugh al-‘Arab fi Ahwal al-‘Arab, Vol.2, mukasurat 70, yang masyarakat Saba mengamalkan ajaran agama Islam (zaman ini dikenali sebagai Zaman Pra-Islam) seperti menunaikan haji dan umrah di Baitullah, mandi wajib setelah melakukan hubungan seksual, mengetip kuku dan lelaki diwajibkan bersunat. Kesemua amalan ini seiring dengan ajaran Nabi Ibrahim a.s sepertimana yang diturunkan kepada Nabi Sulaiman a.s.

Ya, begitulah serba sedikit berkaitan Permaisuri Balqis ataupun di dalam legenda masyarakat Ehtiopia baginda dikenali sebagai Permaisuri Makeda yang dipercayai oleh ahli sejarawan yang masyarakat Saba bersama pemimpinnya menyembah dewa matahari Ilmaqah lalu mereka bersama-sama memeluk agama samawi (Islam) melalui dakwah Raja Nabi Sulaiman a.s seperti yang dikisahkan di dalam kitab suci agama Islam, al-Quran dan kitab suci agama Kristian, Bible.

Kami memohon maaf sekiranya maklumat berkaitan Permaisuri Balqis kurang memuaskan disebabkan kajian tentang permaisuri ini masih diperdebatkan tentang asal-usulnya, susur galurnya, tempat pemerintahannnya, apa yang berlaku padanya setelah menemui Nabi Sulaiman a.s, dan sebagainya.

Semoga dengan penerangan pendek daripada saya ini dapat membakar semangat para penuntut ilmu yang lain untuk menyelidiki dan menkaji siapakah sebenarnya Permaisuri Baqlis dan membungkam mitos yang disangka fakta oleh masyarakat Ethiopia di dalam kitab Kebra Nagest.

Wallahu’alam.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Sunday, December 01, 2019

Misteri 'Api Yunani' Senjata Pemusnah Terhebat Byzantine

Misteri 'Api Yunani' Senjata Pemusnah Terhebat Byzantine

Api Yunani merupakan senjata pembakar pertama digunakan oleh Kerajaan Rom Timur (Byzantine) pada pertengahan abad ketujuh Masihi. Ianya buat kali pertama digunakan untuk menangkis cubaan kempen ketenteraan Kerajaan Bani Umayyah yang mahu menawan Constantinople dan merealisasikan ramalan Rasulullah SAW semasa Perang Khandak.

Misteri Api Yunani

Dianggap sebagai bom napalm pada zamannya, cecair yang mudah terbakar ini menjadi senjata Byzantine bukan saja dalam mempertahankan ibu kota mereka. Bahkan ia menjadi senjata berkesan semasa kempen ketenteraan mereka. Tetapi, apa itu Api Yunani?

Api Yunani merupakan hasil ciptaan seorang arkitek Yunani beragama Kristian bernama Kalinikos (Callinicus) yang berasal dari Heliopolis (Baalbek moden, Lubnan), berdasarkan dakwaan seorang penulis Yunani bernama Theophanes, berkenaan Api Yunani dan kesannya kepada pihak musuh.

Bagaimanapun, ramai meragui dakwaan beliau yang menyatakan ia ciptaan seorang lelaki. Sebaliknya, para sejarawan berpandangan ia sebenarnya dihasilkan oleh sekumpulan pakar yang diupah kerajaan Byzantine sebagai sebahagian daripada projek persenjataan rahsia mereka.

Tidak diketahui apa komponen tepat atau bahan diperlukan untuk menghasilkannya memandangkan Api Yunani dianggap satu rahsia negara yang hanya diketahui oleh maharaja-maharaja Byzantine. Para saintis moden hari ini masih berdebat berkenaan formula Api Yunani.

Antara bahan yang dikemukakan sebagai sebahagian daripada komponen api tersebut ialah potasium nitrat, sulfur, nafta, resin, kapur tohor, bahan letupan dan niter. Apapun, proses pembuatannya amat berbahaya berikutan keadaannya yang mudah terbakar.

3 Rahsia Negara

Disebabkan rahsia Api Yunani inilah, ia membantu kerajaan Byzantine mengekalkan Constantinople selama tujuh abad. Maharaja Romanos II (959-963 Masihi) tahu nilainya tidak boleh dibeli dengan harta dan dianggap sebahagian daripada tiga perkara yang tidak patut dibenarkan jatuh ke tangan kuasa asing.

Selain Api Yunani, dua lagi perkara ialah puteri raja Byzantine dan kapal laut mereka.

Justeru tidak hairanlah pada sesetengah masa, kerajaan Byzantine membenarkan pemerintah asing berkahwin dengan kaum kerabat wanita mereka atau menghadiahkan kapal laut kepada rakan sekutu tetapi tidak pernah mendedahkan rahsia Api Yunani kepada sesiapa.

Ciri utama Api Yunani ialah ia boleh membakar pada semua keadaan sama ada di darat atau pada permukaan air dan ia merupakan senjata terbaik yang boleh diaplikasikan untuk pertempuran laut.

Pihak tentera boleh saja menyembur cecair mudah terbakar ini pada kapal-kapal musuh dengan menggunakan sejenis kapal dipanggil dromon, sebuah kapal laju yang boleh digerakkan dengan ramai pendayung.

Rekaan mekanisme alat menembak ini tidak diketahui tetapi tiubnya dibuat daripada gangsa dan mengandungi komponen seperti pam siphon dan muncung berpusing.

Senjata Api Yunani

Alat tersebut dilihat amat rumit kerana ia pernah dirampas dan cuba digunakan oleh angkatan tentera Bulgar tetapi gagal berikutan tidak tahu bagaimana menggunakannya.

Satu ilustrasi alat ini boleh dilihat pada lukisan kapal Maharaja Michael II (820-829 Masihi) yang menembak Api Yunani pada kapal-kapal Thomas Si Slavik yang menyerang dan mengepung Constantinople pada 821-822 Masihi.

Kesan dramatik Api Yunani dan cara penggunaannya sudah cukup membuatkan musuh Byzantine gerun dan berfikir banyak kali sebelum melancarkan kempen ke atas mereka.

Mana-mana barang atau individu yang terkena api ini akan terbakar sampai hangus dan lebih buruk, tiada cara untuk memadamkan api ini termasuk terjun dalam air.

Ini kerana ia masih boleh terbakar dengan baik pada permukaan air dan itulah apa yang dirasai ekspedisi tentera Bani Umayyah semasa kempen 678 Masihi di mana ramai askar terbunuh dan kapal-kapal mereka terbakar kerana diserang Api Yunani.

Selepas kempen tersebut, Api Yunani digunakan secara meluas bukan saja untuk kempen pertahanan tetapi juga sebagai alat serangan terutama semasa era Romanos I (919-944 Masihi) dan Constantine IX (1042-1055 Masihi).

Persamaan kedua-dua maharaja ini ialah kedua-duanya menggunakan Api Yunani ke atas ekspedisi tentera Rusia yang mahu menawan Constantinople. John I Tzimisces (969-976 Masihi) turut menggunakan senjata sama untuk mara ke ibu kota kerajaan Bulgar, Preslav dan mengilhak Bulgaria sebagai sebahagian daripada wilayah jajahan Byzantine.

Pengganti baginda, Basil II (976-1025 Masihi) pula menggunakan Api Yunani dan tentera upahan Rus yang dihantar oleh abang iparnya, Vladimir I dari Kiev untuk menghancurkan pemberontakan jeneral Byzantine, Bardas Phokas Yang Muda di Abydos.

Kejayaan-kejayaan ini memberi impak bukan sedikit kepada kerajaan tersebut dan terus bertahan untuk beberapa abad berikutnya.

Namun, senjata ini ada hadnya. Ia hanya boleh disembur dalam jarak terhad dan mana-mana tentera boleh mengelak selagi berada di luar lingkungan jarak Api Yunani dan bagi tentera-tentera Arab, mereka mendapati bahawa cuka merupakan bahan terbaik untuk menangani senjata itu.

Justeru, sebelum keluar berperang, mereka akan mencelup kulit binatang dengan cuka sebagai pelindung pada pakaian dan memandangkan ia hanya boleh digunakan pada cuaca baik berikutan keadaannya yang mudah terbakar, dalam sesetengah kempen, mereka cuba menyerang Constantinople semasa cuaca buruk.

Semua taktik ini bagaimanapun tidak menghalang pihak Byzantine mengadaptasi senjata tersebut untuk kempen darat. Mereka mencipta pam yang boleh diheret untuk disembur pada kubu pertahanan atau disembur dari kubu.

Serangan Api Yunani

Selain itu, mereka turut menggunakan bekas tanah liat yang pada bahagian dalamnya ialah kain yang direndam dengan cecair Api Yunani.

Bekas itu akan dibaling sama ada dengan tangan atau dengan manjenik ke arah kumpulan tentera musuh.

Bekas yang mengandungi Api Yunani ini sebenarnya merupakan versi awal bom tangan yang digunakan dalam perang moden hari ini. Bagaimanapun, ia masih lagi berkesan untuk kempen tentera laut di mana ia disembur dari kapal tanpa pemandu ke atas kumpulan kapal musuh semasa kempen pengepungan Constantinople 1204 Masihi.

Tidak diketahui mengapa Api Yunani tidak lagi direkodkan selepas kempen pengepungan Constantinople 1204 Masihi.

Ada yang membuat teori individu-individu yang memegang rahsia penghasilan senjata tersebut menjadi mangsa amukan tentera-tentera Salib semasa menjarah Constantinople.

Walau apapun teori tentang senjata Api Yunani ini, proses penawanan dan penjarahan yang dilakukan bukan saja menyebabkan rahsia Api Yunani hilang selama-lamanya, ia juga menandakan proses kemerosotan Byzantine dan akhirnya membawa kepada penaklukan Constantinople oleh Mehmed II pada 1453 Masihi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, November 29, 2019

Kenapa Dunia Sengaja Melupakan Pencapaian Hebat Tamadun Islam?

Kenapa Dunia Sengaja Melupakan Pencapaian Hebat Tamadun Islam?

Dalam sebuah artikel yang ditulis oleh Craig Considine, beliau telah menyebutkan tentang bagaimana berlakunya ‘amnesia sejarah’ yang ekstrim berlaku terhadap pencapaian dan sumbangan terhebat tamadun Islam dalam pendidikan, falsafah, penjagaan kesihatan dan sains.

Kegemilangan Tamadun Islam

Walhal, Islam telah melahirkan antara tamadun manusia yang terunggul di dunia. Ilmuan serta cendekiawan Islam seperti Ibn Sina atau Avicenna, Ibn Rushd atau Averroes dan Al-Khawarizmi telah menyumbang kepada pembangunan sains dan teknologi dunia.

Malah, pembangunan ilmu dalam Dunia Islam telah diakui sebagai pemangkin kepada Zaman Pembaharuan (Renaissance) di Eropah yang akhirnya melahirkan satu tamadun gemilang di sana.

Bangsa Barat khasnya Eropah telah mengambil inisiatif besar menterjemah malah mempelajari pelbagai jenis ilmu dari dunia Islam Sepanyol dan lain-lain wilayah di Timur Tengah.

Ilmu-ilmu yang diterjemah itu melewati ilmu-ilmu falsafah, perubatan, astronomi, matematik, logik, akhlak, kimia dan algebra.

Lahirnya Universiti Naples, Bologna, Universiti Paris, Oxford, dan Koln, akhirnya Eropah berjaya melepasi Zaman Kelam meluncur menuju Zaman Pembaharuan. Ilmu-ilmu dari dunia Islamlah sebenarnya yang telah membawa kejayaan kepada bangsa Eropah.

SUMBANGAN DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Mungkin, sebilangan masyarakat akan berasa terkejut apabila mengetahui bahawa universiti paling tua di dunia ditubuhkan oleh dua orang wanita Muslim, iaitu Fatima dan Miriram al-Firhi.

Mereka berdua menubuhkan al-Qarawiyyin di Fez, Maghribi pada tahun 859M. Pelajar-pelajar yang mendapatkan pendidikan di sini kebanyakannya mengambil subjek sekular dan agama.

Di penghujung tempoh pembelajaran, pihak guru akan membuat penilaian ke atas para pelajar dan menganugerahkan ijazah kepada mereka berdasarkan prestasi yang memberangsangkan.

Konsep penganugerahan ijazah seperti ini kemudiannya tersebar ke Andalusia, Sepanyol dan kemudian memasuki Universities of Bologna di Itali dan Oxford di England.

Muslim-Muslim Sepanyol di Andalusia merupakan ejen penggalak pendidikan yang amat berpengaruh dan pada kurun ke-8 hingga kurun ke-15 Masehi.

Ia menjadi salah satu pusat pendidikan dan keilmuan utama dunia. Pelajar-pelajar yang datang daripada kumpulan keagamaan lain mempelajari sains daripada ilmuwan Islam dalam sebuah suasana keilmuan yang menitikberatkan kepentingan bertoleransi.

SUMBANGAN DALAM BIDANG FALSAFAH

Salah satu sumbangan terbesar umat Islam kepada tamadun manusia dilakukan pada kurun ke-8 Masehi apabila ilmuwan-ilmuwan Islam menterjemahkan mutiara-mutiara hikmah yang terkandung di dalam teks-teks falsafah Yunani purba, sekaligus membawa kepada salah satu proses pemindahan ilmu terbesar dalam sejarah manusia.

Ilmuwan-ilmuwan Islam membawa idea penulis-penulis Yunani ulung seperti Socrates, Aristotle dan Plato ke Eropah, di mana falsafah mereka kemudiannya diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa di sana.

Umat Islam menghidupkan semula falsafah Yunani dan meniupkan nyawa baru kepada benua Eropah yang sebelum itu telah pun diruntuhkan oleh dogma keagamaan dan konflik dalaman yang berpanjangan.

Pada tahun 872 Masehi di Kaherah, Mesir, hospital Ahmad ibn Tulun dibangunkan dan dilengkapi dengan sebuah institusi yang menghadirkan kepelbagaian fungsi: sebagai sebuah pusat rawatan kesihatan, sebuah rumah pemulihan bagi mereka yang sedang menjalani pemulihan dari penyakit atau kemalangan, dan rumah penjagaan yang menyediakan keperluan hidup asas kepada golongan berusia dan lemah yang tidak mempunyai keluarga untuk menjaga mereka.

Hospital ini juga adalah yang pertama memberikan rawatan kepada pesakit mental. Sama seperti hospital-hospital Islam yang lain, Hospital Ahmad ibn Tulun merupakan sebuah institusi sekular yang meletakkan keutamaan moral dalam merawat mana-mana insan tanpa mengira sama ada lelaki mahupun wanita, dewasa mahupun kanak-kanak, dan Muslim mahupun bukan-Muslim.

Seratus tahun sesudah tertubuhnya hospital berkenaan, seorang pakar bedah bernama Al-Zahrawi mengarang sebuah ensiklopedia bergambar yang mutakhirnya digunakan sebagai kitab rujukan bagi pakar-pakar bedah di Eropah sepanjang lima kurun lamanya.

Peralatan bedah yang digunakannya, seperti pisau bedah, pemotong tulang, dan forsep masih lagi digunakan oleh pakar-pakar bedah moden pada hari ini. Beliau juga dicatatkan sebagai pakar bedah pertama yang melakukan pembedahan caesarean.

SUMBANGAN DALAM BIDANG SAINS

Umat Islam juga memberikan sumbangan yang signifikan dalam bidang sains. Kurun ke-7 hingga kurun ke-16 Masehi dijuluki sebagai Zaman Emas Islam. Tamadun berkenaan mengamal dan memajukan sains pada skala yang belum pernah dilakukan oleh manusia dalam sejarah-sejarah lampau.

Saintis-saintis Islam mencipta banyak proses dan peralatan asas yang digunakan oleh ahli-ahli kimia moden. Mereka turut dikreditkan dengan perubahan alkemis kepada ilmu kimia menerusi penyulingan pada kurun ke-8 dan kurun ke-9 Masehi.

Di zaman pertengahan, tamadun Islam memandang sains secara holistik. Disiplin-disiplin sains didekati secara saling berkait antara satu disiplin dengan satu disiplin yang lain, di samping pendekatan secara menyeluruh – seakan-akan ia adalah dahan-dahan bagi sebatang pokok.

Saintis-saintis Islam yan terkemuka lazimnya mahir dalam ilmu perubatan, astronomi dan matematik. Ilmuwan-ilmuwan yang memiliki bakat yang pelbagai ini memerincikan dan mencirikan kesatuan sains.

Mereka mengadunkan pembangunan sains dengan kedalaman pandangan yang mereka miliki, dan berjaya dalam penerokaan atau ujikaji yang dilakukan.

Umat Islam sesungguhnya telah memberikan sumbangan yang cukup besar buat tamadun manusia.

Menurut Consodine, manusia di seluruh dunia seharusnya diajar tentang sumbangan-sumbangan tersebut supaya dapat menghindarkan tercetusnya persepsi yang salah di samping agar budaya atau peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah dunia seperti ini tidak lagi dilupakan atau dipandang enteng.

Perbezaan antara Tamadun Islam dengan Tamadun Barat

Kehebatan tamadun Islam telah mengubah arah kegelapan tamadun barat menjadi sebuah tamadun yang hebat hingga ke hari ini. Kajian demi kajian dibuat terhadap tamadun Islam telah melahirkan banyak ahli fikir Eropah.

Secara kasar, tamadun Islam lebih mementingkan akhlak keperibadian mulia setiap insan tanpa membezakan setiap bangsa, namun tamadun barat lebih mementingkan kepada keuntungan atau lebih tepat materialistik (kebendaan) walaupun soal ahklak insan terbiar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Monday, November 25, 2019

Kisah Runtuhnya Tembok Berlin Angkara Kesilapan Kecil

Kisah Runtuhnya Tembok Berlin Angkara Kesilapan Kecil

9 November, merupakan tarikh hari ulangtahun runtuhnya Tembok Berlin, yang menjadi punca kejatuhan rejim Jerman Timur dan penyatuan semula Jerman pada tahun 1990 dan semuanya bermula hanya dengan satu kesilapan kecil.

Runtuhnya Tembok Berlin

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, Jerman ditakluk Kuasa Berikat dan dibahagi kepada empat. Bahagian UK, AS dan Perancis membentuk Jerman Barat dan Timur dikuasai oleh Soviet, membentuk Jerman Timur.

Begitu juga dengan ibu negara Jerman – Berlin, dibahagi kepada empat juga. Ketiga bahagian kuasa Berikat membentuk Berlin Barat, sementara di Timur menjadi Berlin Timur.

Selepas pembahagian tersebut, pihak Soviet melakukan “blockade” ke atas Berlin Barat, menyebabkan seluruh kawasan tersebut terkepung dari 24 Jun 1948 hingga 12 Mei 1949.

Tentera Berikat mengambil risiko melalui wilayah yang dikuasai Soviet untuk menghantar bantuan penting seperti makanan, ubat-ubatan dan peralatan membaiki bangunan serta petroleum untuk tenaga.

Ia kerana pengumuman tentera Berikat untuk menggunakan matawang Deutchmark sebagai matawang baru di seluruh Jerman Barat yang disokong oleh Amerika.

Selepas pembentukan dua negara Jerman serta Soviet membenarkan tiga laluan koridor dari Berlin Barat ke Jerman Barat, sempadan dua negara ini mula dibentuk pada 1949.

Pun begitu, orang dari Berlin Timur berhijrah ke Berlin Barat tanpa halangan, menyebabkan ramai warga Jerman Timur melarikan diri ke Barat.

Salah seorangnya ialah Conrad Schumann, seorang tentera Jerman Timur yang berpaling tadah dengan melarikan diri ke Barat.

Tembok Berlin mula dibina pada 13 Ogos 1961 dan memisahkan keluarga, sahabat, serta banyak hubungan terputus akibat pembinaan tembok ini.

Tembok ini dalam jargon rejim Jerman Timur sebagai Antifaschistischer Schutzwall, atau Tembok Perlindungan Anti Fasis, berdiri di tengah bandaraya Berlin selama 28 tahun.

Glasnost dan Perestroika

Segalanya bermula dari dasar glasnost dan perestroika yang dilaksanakan oleh pemimpin Soviet, Mikhail Gorbachev.

Glasnost bermaksud ‘keterbukaan’, sementara perestroika bermaksud ‘perubahan’.

Gorbachev mahu mengubah ekonomi Soviet yang selama ini tidak berkembang dengan melakukan perubahan terutamanya dalam ekonomi dengan membenarkan pasaran bebas dengan kawalan kerajaan komunis (sesuatu yang kemudiannya ditiru Republik Rakyat China dan berjaya melakukannya).

Pada tahun 1988, Presiden AS, Ronald Reagan melawat Berlin Barat. Dalam ucapannya, beliau mencabar Gorbachev untuk “runtuhkan tembok” jika benar mahukan glasnost dan perestroika berjaya.

Pada April 1989, Czechoslovakia dan Hungary mencabut pagar elektrik yang bersempadan dengan Austria, seterusnya menyebabkan orang dari blok komunis memasuki blok Barat melalui Austria.

Melihat keadaan itu, ramai warga Jerman Timur membanjiri kedutaan Jerman Barat di Prague, sehingga Menteri Luar Jerman Barat Hans Genscher mendesak Timur melonggarkan sempadan.

Masalah utama Jerman Barat dan Timur sebenarnya ialah berkenaan isu hutang Timur kepada Barat.

Sementara Czechoslovakia berjaya melunaskan hutang kepada Jerman Barat, Jerman Timur gagal, menyebabkan ahli politik di Barat menggunakan ini sebagai peluang populis untuk kempen pilihan raya.

Canselor Jerman Barat Helmut Kohl telah memujuk semua kuasa besar Eropah untuk menyelesaikan isu tentang Jerman Timur ini.

Selepas demonstrasi besar-besaran yang bermula di Leipzig, seminggu sebelum peristiwa ini, kerajaan Jerman Timur didesak kuasa besar untuk melonggarkan sempadan seperti Czechoslovakia, atau Jerman Barat menekan lagi berkenaan isu hutang.

Kesilapan 'Kecil'

Runtuhnya tembok berlin
Günter Schabowski.

Akhirnya, pada 9 November 1989, jurucakap kerajaan Jerman Timur, Günter Schabowski, mengeluarkan kenyataan yang beliau tersilap baca.

Kesilapan beliau mengakibatkan Tembok Berlin sudah tiada maknanya, dan bermulalah keruntuhan kerajaan Jerman Timur.

Seorang pegawai bernama Gerhard Lauter diarahkan untuk mendraf ucapan Schabowski.

Lauter telahpun menulis bahawa undang-undang baru akan berkuatkuasa pada hari esok, dimana warga Jerman Timur boleh memohon passport baru itu di pejabat imigresen mulai 10 November 1989.

Tetapi, apabila wartawan bertanya kembali tentang bila undang-undang baru ini bermula, Schabowski yang tidak membaca draf yang ditulis Lauter dengan betul, mengumumkannya, “serta-merta”.

Laporan itu disiarkan secara langsung di kaca TV Jerman Timur, menyebabkan ribuan rakyat terus berjalan menuju ke sempadan di Checkpoint Charlie.

Tentera Jerman Timur keliru kerana mereka mendapat arahan surat pekeliling menurut apa yang di draf Lautner, tetapi apabila sudah ratusan ribu warga Berlin Timur mula mengasak pos kawalan tersebut mengakibatkan tentera Jerman Timur hilang kawalan dan akhirnya hanya membiarkan sahaja rakyat Jerman Timur ke Berlin Barat.

Pada 3 Oktober 1990, kedua Jerman disatukan dan kerajaan Jerman Timur sudah tidak wujud lagi.

Tembok Berlin, yang menjadi mercu tanda Perang Dingin antara dua blok kuasa besar dunia telah diruntuhkan.

Dan lagu dari kumpulan Scorpions, Wind of Change, menceritakan sejarah tembok ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Friday, November 15, 2019

Pisau Raja Tutankhamun Berasal Dari Angkasa Lepas?

Pisau Raja Tutankhamun Berasal Dari Angkasa Lepas?

Raja Tutankhamun telah memerintah Mesir pada Dinasti ke-18 selama kira-kira 9 tahun sebelum kematiannya pada 1323 SM iaitu pada penghujung Zaman Gangsa semasa Mesir berada pada kemuncak kekuasaannya.

Pisau Tutankhamun

Populariti dan minat orang ramai untuk mengkaji raja Mesir ini sangat mendalam sejak penemuan makamnya yang dijumpai dalam keadaan hampir sempurna.

Selain itu, dia juga merupakan salah satu daripada hanya sebilangan raja Mesir yang dipuja sebagai dewa dengan penemuan binaan kuil sejauh Nubia.

Firaun sememangnya diketahui umum biasa membawa bersama harta dan barangan berharga untuk ditanam apabila mati.

Jadi, penemuan pisau belati milik Raja Tut yang ditanam bersama mumianya bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Namun, asal-usul pisau tersebut telah menjadi antara topik hangat yang menarik minat para ahli arkeologi dari seluruh dunia.

Penemuan makam Tutankhamun

Makam Tutankhamun telah ditemui oleh seorang ahli arkeologi berbangsa Inggeris iaitu Howard Carter pada tahun 1922 dalam satu ekspedisi yang dilakukan di Lembah Raja-raja, Mesir.

Selain mumia Tutankhamun, makam itu menempatkan 5,398 barangan lain termasuklah dua bilah pisau belati yang diletakkan di dalam balutan mumia sendiri.

Penemuan Makam Tutankhamun
Howard Carter dan keranda yang menyimpan mumia Tutankhamun.

Pencarian dan ekskavasi di makam firaun berusia 19 tahun itu bermula sejak 1915 dan telah dibiayai oleh George Herbert yang merupakan Earl Carnarvon ke-5.

Walaupun makam itu tidak bertutup dan telah dirompak beberapa kali, ia telah dilupakan antara kurun ke-12 dan 11 Sebelum Masihi kerana tertimbus sepenuhnya oleh serpihan batu yang mungkin dibawa oleh banjir atau disebabkan kerja-kerja pembinaan makam baru.

Makam Tutankhamun yang ditemui didapati menyimpan pelbagai objek lain seperti takhta, keranda yang diperbuat daripada emas tulen, topeng muka, mangkuk, trompet, piala, makanan, minuman, kasut dan linen yang dipercayai akan membantu raja tersebut dalam kehidupannya selepas mati.

Binaan Makam Tutankhamun
Binaan kawasan makam Raja Tutankhamun.

Terdapat juga beberapa objek logam yang dibalut bersama mumia seperti penyandar kepala di dalam topeng, gelang emas beserta tangkal dan juga dua bilah pisau belati berhulu emas.

Di bahagian abdomennya merupakan pisau yang keseluruhannya diperbuat daripada emas manakala sebilah lagi yang dijumpai di paha kanannya pula diperbuat daripada besi.

Dalam semua objek yang dijumpai, hampir kesemuanya dibuat dengan hasil pertukangan yang kasar kecuali pisau belati istimewa itu.

Harta Makam Tutankhamun
Antara objek-objek lain yang dijumpai dalam makam.

Pisau Tutankhamun telah menarik perhatian ramai ahli akademik dan sejarawan sejak penemuannya kerana bilahnya diperbuat daripada besi.

Pada Zaman Gangsa, besi adalah sejenis bahan yang sangat jarang dijumpai maka, pisau firaun ini telah mencetuskan pelbagai teori bahawa ia berasal daripada meteorit.

Dagger-of-Tutankhamun
Pisau dari angkasa lepas.

Bilah besi pisau ini telah dipasang ke dalam pemegang yang diperbuat daripada emas dan diukir dengan cantik serta terdapat tombol kristal di bahagian hujungnya.

Sarung pisau juga diperbuat daripada emas dan dihiasi dengan ukiran sejenis serigala dan corak bulu pelepah serta bunga lili.

Umum mengetahui tamadun Mesir purba sangat kaya dengan sumber mineral asli seperti tembaga, gangsa dan emas yang telah mula digunakan sejak milenium ke-4 Sebelum Masihi lagi untuk tujuan ritual, kesenian, upacara dan pemberian hadiah.

Namun, logam besi merupakan sesuatu yang sangat jarang didapati serta dianggap jauh lebih berharga daripada emas.

Tambahan pula, hampir kesemua bukti arkeologi menunjukkan aktiviti peleburan logam di Lembah Nil hanya bermula pada kurun ke-6 S.M.

Maka, tidak hairanlah kehadiran pisau besi pada mumia Tutankhamun ini menjadi tanda tanya bagi para pengkaji seluruh dunia.

Walaupun kandungan nikel yang tinggi pada pisau tersebut menandakan ia berasal daripada batuan meteor, tidak ada bukti sahih yang dapat menyimpulkan teori berkenaan ketika itu.

Tambahan pula, artifak-artifak Mesir agak sukar dianalisis kerana kesukaran mendapatkan kebenaran untuk menjalankan ujian secara lebih dekat.

Kemajuan teknologi sekitar dua dekad yang lalu terutamanya penciptaan spektroskopi pendarfluor X-ray (XRF) yang membolehkan pengesanan sebarang komposisi kimia tanpa merosakkan artifak telah membolehkan para saintis membuktikan bahawa pisau tersebut mengandungi bahan daripada salah satu antara 76 meteorit yang pernah dijumpai.

Kaedah ujian dilakukan

Apabila sesuatu bahan dihentam oleh sinar gama atau X-ray berkuasa tinggi, ia mengeluarkan sinar cirian yang digelar pendarfluor X-ray.

Teknik ini digunakan untuk analisis kimia pelbagai objek dalam bidang sains forensik, arkeologi, seni dan geokimia.

Keputusan ujian ke atas pisau Tutankhamun yang diterbitkan pada bulan Jun 2016 dalam jurnal "Meteorites and Planetary Science" menunjukkan hampir kesemuanya adalah logam besi dengan 11% nikel dan 0.6% kobalt.

Komposisi bahan tersebut serta nisbah antara nikel dan kobalt itu juga mengesahkan yang pisau itu berasal daripada serpihan tahi bintang.

Besi meteor ialah satu-satunya sumber besi paling tulen dalam aloi yang boleh didapati sebelum Zaman Besi dan merupakan bahagian utama dalam meteorit besi.

Meteorit besi ini pula dipercayai merupakan serpihan-serpihan daripada asteroid dan planetesimal yang sudah lama dan jauh lebih besar.

Tutankhamun XRF
Ujian mesin XRF yang boleh dilakukan tanpa sentuhan.

Aloi besi meteor yang mengandungi besi bernikel ini terjadi dalam dua fasa iaitu kamasit dan tenit.

Meteorit besi adalah sangat jarang berlaku berbanding meteorit batu. Ia mempunyai ciri-ciri spektrum asteroid jenis-M dan merupakan objek yang dipercayai wujud dalam cakera protoplanetari dan serpihan di sekeliling bintang.

Walaupun hanya 5.7% daripada kejadian meteorit yang boleh dilihat itu merupakan meteorit besi, ia membentuk sehingga 90% (500 tan) daripada jumlah jisim kesemua meteorit yang diketahui.

Hal ini demikian kerana ketumpatannya yang jauh lebih tinggi berbanding meteorit lain.

Selain itu, ia juga lebih cenderung terselamat daripada kemasukan atmosfera dan perubahan cuaca di Bumi.

Tutankhamun ini diterajui oleh para penyelidik dari Polytechnic University of Milan, University of Pisa, Itali dan Muzium Mesir di Kaherah.

Mereka membandingkan besi yang terkandung dalam pisau tersebut dengan 11 meteorit yang jatuh dalam radius sejauh 2,012 kilometer.

Ujian mendapati kandungan logam pisau tersebut berpadanan dengan meteorit "Kharga" yang ditemui berhampiran Marsa Matruh pada tahun 2000.

Meteorit Hoba
Meteorit "Hoba" di Namibia.

Meteorit besi terbesar yang digelar "Hoba" dijumpai pada tahun 1920 di Wilayah Otjozondjupa, Namibia.

Beratnya dianggarkan melebihi 60 tan dan ia merupakan besi semula jadi dengan jisim paling berat di dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi