Jumaat, Mac 08, 2019

Filipina: Kerajaan Islam Yang Di Murtadkan Sepanyol


Loading...

Ada satu kisah mengenai sebuah Kerajaan Islam yang dimurtadkan secara besar-besaran. Dulu, Filipina bukanlah sebuah negara seperti hari ini sebaliknya hanya gugusan tujuh ribu buah pulau. Orang-orang Nusantara datang membina tamadun dan kerajaan Hindu-Buddha yang diketuai oleh Lakan, Datu atau Rajah di sana. Antara kerajaan yang terawal adalah kerajaan Tondo.

Filipina-Sepanyol

Pada tahun 1380, Islam mula tersebar di kepulauan Sulu, Filipina oleh pendakwah Arab dari Melaka bernama Syeih Karim al-Makhdum dan Syarif al-Hashim Sayyid Abu Bakar.

Mereka mengislamkan raja Sulu lalu tertubuhlah Kesultanan Sulu. Kemasukan Islam ini tanpa pertumpahan darah sebaliknya adalah kerana rakyat di sana terpesona dengan adab dan akhlak orang Islam.

Semasa pemerintahan Sultan Bolkiah pada tahun 1485, Kesultanan Brunei mengembangkan pengaruh mereka bagi membentuk empayar yang berpengaruh sehingga ke utara kepulauan Filipina dengan mengalahkan kerajaan Tondo.

Oleh itu, Empayar Brunei mengasaskan Kesultanan Amanillah di utara Filipina itu dengan melantik seorang Raja di sana bagi menjadi kerajaan naungan Empayar Brunei. Kesultanan “Amanillah” bermaksud “Lindungan Allah” dalam bahasa Arab.

Pada akhir abad ke-15 pula, Syarif Muhammad memperkenalkan Islam di pulau Mindanao lalu menubuhkan Kesultanan Maguindanao. 98% warga Filipina ketika itu adalah orang Islam Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan selebihnya beragama Hindu-Buddha serta Animisma. Filipina menjadi tempat perdagangan dan persinggahan ulama Islam.

Ketika perluasan kuasa oleh kerajaan-kerajaan Islam ini, berlaku perang antara pulau yang telah Islam dengan pulau yang belum Islam (Hindu-Buddha atau Animisme).

Contohnya, perang antara Datu Lapu-Lapu iaitu seorang pahlawan Islam dari Maktan melawan Raja Humabon di Cebu serta perang antara Kerajaan Tondo dengan Kesultanan Amanillah yang dibantu Empayar Brunei. Peperangan seumpama ini memudahkan kemasukan kuasa penjajahan.

Pada tahun 1521, Ferdinand Magellan seorang penjelajah Portugis yang bekerja untuk Raja Sepanyol tiba di Filipina. Dengan pengaruh Magellan yang kuat beragama Kristian Katolik, Raja Humabon bersama pengikutnya bersetuju untuk dibaptis.

Mereka menjadi kumpulan pertama dikristiankan di Filipina lalu digelar oleh Magellan sebagai ‘Warga Tuhan Sepanyol’. Persetujuan Raja Humabon adalah disebabkan janji Magellan untuk membantunya memerangi Datu Lapu Lapu.

Ketika perang, Ferdinand Magellan dibunuh oleh Datu Lapu-Lapu, lalu saki baki tentera itu lari ke Sepanyol bagi menyiapkan angkatan perang baru. Orang Sepanyol mula memanggil semua gugusan pulau itu sebagai Filipina bersempena nama Raja Sepanyol Phillip II.

Usaha Sepanyol dalam misi Gold, Glory and Gospel diteruskan dengan beberapa lagi misi dihantar ke Filipina. Pada tahun 1565, Miguel Lopez de Legazpi tiba di Cebu yang telah dikristiankan, menyambut baik kehadiran Legazpi lalu dijadikan pusat pemerintahan penjajah Sepanyol.

Empayar Brunei

Pemerintah Kesultanan Amanillah iaitu Raja Sulaiman tewas pada tahun 1574 dan kekalahan ini menyebabkan pengaruh Empayar Brunei menguncup. Kesultanan Sulu pula mula mengembang hingga ke Sabah dan sebahagian Indonesia sebagai respon kejatuhan Empayar Brunei.

Pada tahun 1658, Sultan Brunei menyerahkan Sabah kepada Sultan Sulu atas jasa kerajaan tersebut membendung perang saudara yang meletus di Brunei pada ketika itu.

Ketika lemahnya Kesultanan Islam, Sepanyol memurtadkan hampir seluruh warga Filipina secara paksa. Kesultanan Amanillah yang strategik itu ditukar nama menjadi Manla dan dijadikan pusat pemerintahan “Spanish East Indies”.

Segelintir warga tempatan melarikan diri ke selatan Filipina iaitu wilayah Mindanao untuk menyelamatkan akidah mereka. Ini benteng terakhir orang Muslim dalam memerangi Sepanyol.

Moors

Orang Sepanyol menggelar mereka sebagai bangsa Moro bersempena nama Moors iaitu kaum Islam di Andalusia dulu. Kini Bangsa Moro berada di sekitar Mindanao, Sulu dan Palawan. Bangsa Moro berusaha untuk memisahkan wilayah mereka dari pemerintahan kristian Filipina.

Ketika Sepanyol sedang ghairah melebarkan kuasa mereka di Filipina, British melalui Syarikat Borneo Utara British (SBUB), ingin menguasai Sabah dari Sulu. Pada 1878, suatu perjanjian telah ditandatangani antara Sultan Sulu dan dua agen British, Alfred Dent dan Baron von Overback bagi menyerahkan kedaulatan Sabah kepada British.

Sepanyol pula ingin melebarkan penguasaan mereka hingga ke wilayah Mindanao di selatan Filipina, namun tidak pernah berjaya menjajah wilayah Mindanao.

Oleh itu, Sepanyol menggunakan jalan selamat untuk tidak menggunakan tentera sendiri di barisan hadapan sebaliknya menghantar warga Filipina yang telah dikristiankan untuk memerangi saudara mereka di Mindanao yang belum dikristiankan.

Saudara sebangsa warga Mindanao yang dimurtadkan di sebelah utara itu ramai berkahwin campur dengan orang Sepanyol dan hidup ala barat kristian.

Rakyat Filipina sama ada yang Kristian mahupun Islam mahukan kemerdekaan dari Sepanyol. Lalu berlakulah Revolusi Filipina yang dilancarkan pada tahun 1896 untuk melawan Sepanyol lalu mencapai kemerdekaan pertama.

Penjajahan Amerika

Namun, kemerdekaan ini tidak lama apabila Sepanyol terpaksa menyerahkan tanah jajahannya kepada Amerika Syarikat pada tahun 1898. Maka, Filipina dijajah oleh Amerika pula.

Pada 1907, ditubuhkan Dewan Undangan Filipina menerusi pilihanraya. Amerika menjanjikan kemerdekaan bagi Filipina. Namun, rakyat Mindanao cuba untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah mereka sendiri kerana mereka tidak pernah dijajah oleh Sepanyol.

Hal ini tidak diendahkan oleh Amerika kerana ketika Amerika mengambil alih Filipina dari Sepanyol, Sepanyol mendakwa keseluruhan kepulauan Filipina termasuk wilayah Mindanao di selatan Filipina adalah milik Sepanyol yang diserahkan kepada Amerika.

Ternyata Amerika mendapat kekuasaan ke atas wilayah Mindanao dengan muslihat. Hakikatnya, Mindanao tidak pernah dijajah oleh Sepanyol. Amerika sebenarnya hanya menguasai selatan Filipina itu atas kerta sahaja. Sebab itulah sampai ke hari ini Bangsa Moro di Mindanao menuntut autonomi.

Walaubagaimanapun, Amerika telah menghapuskan kedaulatan politik kesultanan Sulu melalui Perjanjian Carpenter yang ditandatangani pada tahun 1915.

Komanwel Filipina ditubuhkan pada 1935 sebagai langkah menuju kemerdekaan penuh. Namun pada 1942, Jepun menduduki Filipina sewaktu Perang Dunia Kedua. Sabah juga dijadikan sebahagian dari Empayar Jepun sehinggalah Jepun diusir oleh Amerika pada 1945 setelah Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Ke-2. Filipina dikembalikan kepada Amerika dan Sabah dijadikan koloni mahkota British. Hanya pada tahun 1946, Filipina mendapat kemerdekaan penuh dari Amerika.

Namun, Bangsa Moro tidak mahu merdeka dibawah pemerintahan kerajaan Filipina. Mereka mahu berkerajaan sendiri. Kerajaan Filipina menyerang bangsa Moro.

MNLF

Pada tahun 1969, seorang pensyarah bernama Nur Misuari yang dibiayai oleh Muammar Ghadaffi pemerintah kerajaan Libya, menubuhkan Moro National Liberation Front (MNLF) bagi membalas reaksi kerajaan Filipina. MNLF ini diiktiraf oleh OIC.

Dua tahun kemudian, kerajaan Filipina bersetuju untuk genjatan senjata dengan Bangsa Moro. Namun kemudiannya kerajaan Filipina memungkiri janji dan membunuh ribuan Bangsa Moro.

Pada tahun 1976, kerajaan Filipina bersetuju untuk memberi kuasa autonomi secara sah kepada bangsa Moro dengan nama Autonomous Region in Muslim Mindanao (ARMM). Hal ini menyebabkan bangsa Moro tidak berpuas hati dengan kepimpinan MNLF yang dilihat seolah-olah tunduk dengan kerajaan Filipina.

Atas sebab tak berpuas hati, pada tahun 1978, keluar serpihan MNLF membentuk MILF iaitu Moro Islamic Liberation Front bagi mendirikan Kerajaan Islam Bangsa Moro.

Pada tahun 1991, Ustaz Abdurajak Janjalani yang berjumpa dengan Osama bin Laden ketika belajar di Timur Tengah bertindak membentuk kumpulan militan Abu Sayyaf lalu merekrut ahli-ahli MNLF.

Abu Sayyaf adalah sayap Al-Qaeda di Selatan Filipina yang radikal dan keras. Mereka sering membuat pembunuhan masal dan menyerang orang awam. Oleh itu, Abu Sayyaf diumum sebagai kelompok pengganas.

Apabila masa berlalu, kerajaan Filipina menawarkan perjanjian damai. MILF yang lebih popular dari MNLF ketika itu turut bersetuju dengan perjanjian damai. Namun, Nur Misuari selaku pemimpin MNLF pula mengambil kesempatan ingin menonjol diri sebagai hero bagi mengembalikan popularitinya. Dia membuat satu pemberontakan besar-besaran namun gagal lalu melarikan diri ke Malaysia. Pihak berkuasa Malaysia menangkap dan mengembalikannya ke Filipina semula.

Tuntut Sabah

Oleh itu, Nur Misuari berdendam dengan Malaysia lalu mengetuai angkatan tentera MNLF menyerang Malaysia. Seorang lelaki yang dikenali sebagai Sultan Jamalul Kiram III dan mengaku sebagai pewaris Kesultanan Sulu ingin menuntut wilayah Sabah lalu berlakulah pencerobohan Lahad Datu antara kerajaan Malaysia dengan Sultan Jamalul Kiram III yang dibantu MNLF.

Sama ada memang Jamalul Kiram III ini betul pewaris kesultanan Sulu atau tidak, dia tetap tidak memiliki hak terhadap kedaulatan Sabah kerana Kesultanan Sulu sudah tiada kuasa dan tidak berdaulat lagi. Bahkan, jika Jamalul Kiram III memang raja, maka dia adalah raja paling miskin di dunia.

Pergolakan di Selatan Filipina masih berlaku hingga kini. MILF bersetuju dengan perjanjian damai, MNLF masih sangsi, Abu Sayyaf memang tak nak berdamai sebaliknya terus melakukan keganasan.

Kerajaan Filipina juga sedang berusaha menuntut Sabah. Sultan Sulu juga hendakkan Sabah. Begitulah kompleksnya isu Bangsa Moro ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon