Friday, October 15, 2021

Penyakit Kurang Darah Kuning, Punca, Simptom Dan Rawatannya

Penyakit Kurang Darah Kuning, Punca, Simptom Dan Rawatannya

Penyakit Kurang Darah Kuning atau dalam bahasa saintifiknya Idiopathic Thrombocytopenic Purpura (ITP) adalah dimana sistem imun tubuh memusnahkan sel darah kuning (platelet) yang diperlukan untuk pembekuan darah yang normal. Individu dengan penyakit ini mempunyai terlalu sedikit platelet (darah kuning) dalam darah.

Penyakit Kurang Darah Kuning

Umumnya, terdapat tiga jenis sel dalam darah iaitu sel darah merah, sel darah putih dan sel darah kuning (platelet).

Mempunyai bacaan platelet yang rendah juga dikenali sebagai 'thrombocytopenia' dan ia boleh menyebabkan masalah dalam pembekuan darah yang normal kesan daripada kekurangan thrombocytes iaitu sel-sel darah tidak berwarna yang dihasilkan oleh sum-sum tulang.

Thrombocytes bertanggungjawab membantu dalam pembentukan darah beku dalam arteri/urat dan menghentikan pendarahan, dan keadaan platelet yang rendah akan meletakkan seseorang pada risiko yang lebih tinggi untuk mengalami pendarahan dalaman atau masalah pembekuan darah dan juga masalah berkaitan saluran darah.

APA ITU DARAH KUNING?

Platelet dalam darah sentiasa diperbaharui oleh sum-sum tulang dan bacaannya kekal normal serta konsisten sepanjang proses pengeluaran dan kemusnahan.

Individu yang sihat, plateletnya akan mati selepas kira-kira 10 hari dan seterusnya akan digantikan dengan yang baru. Tetapi untuk individu dengan platelet rendah, platelet dihasilkan mungkin kurang, atau kadar kematian platlet yang lebih cepat antara penyebab bacaan platelet menjadi tidak normal.

Sum-sum tulang adalah tisu seperti span di dalam tulang, yang mengandungi sel-sel yang sangat penting dipanggil sel stem.

Sel stem matang dan berkembang menjadi pelbagai jenis sel darah, termasuk sel-sel darah merah, sel-sel darah putih dan platelet.

Seseorang yang mengalami kerosakan kepada sel stem dalam sumsum tulang tidak dapat menghasilkan sel-sel darah dan platelet yang diperlukan untuk pembekuan darah.

Individu dengan bacaan platelet darah yang normal mempunyai antara 150,000-450,000 platelet setiap microliter peredaran darah, tetapi mereka yang mempunyai kiraan platelet rendah boleh mempunyai bacaan lebih rendah dari yang normal.

GOLONGAN BERISIKO

Kurang Darah Kuning berlaku apabila sel-sel tertentu sistem imun menghasilkan antibodi terhadap platelet dalam saluran darah yang rosak dengan menempel kepada platelet. Limpa kemudiannya akan memusnahkan platelet yang membawa antibodi.

Pada kanak-kanak, penyakit ini kadang-kadang berlaku berikutan jangkitan virus manakala pada orang dewasa, ia lebih kerap berlaku kepada mereka yang berpenyakit kronik (jangka panjang) dan boleh berlaku juga selepas jangkitan virus, penggunaan ubat-ubatan tertentu, semasa mengandung atau sebagai sebahagian daripada gangguan imun.

Kurang Darah Kuning menjejaskan wanita lebih kerap berbanding lelaki dan adalah lebih biasa berlaku kepada kanak-kanak daripada orang dewasa.

Punca sebenar dan faktor risiko yang lain masih tidak diketahui, kerana gejalanya berbeza pada setiap pesakit kecuali kanak-kanak yang mungkin berkaitan dengan jangkitan virus.

SIMPTOM

Tanda-tanda dan gejala yang biasanya dialami individu dengan masalah platelet yang rendah termasuklah:

  • Pendarahan dari luka tanpa henti untuk tempoh yang lama.
  • Mudah mengalami lebam atau lebam berlebihan (dipanggil Purpura, yang kelihatan sebagai tanda ungu, biru atau coklat di bawah kulit).
  • Pendarahan di bawah kulit yang kelihatan sebagai ruam bintik kecil (petechiae), cenderung untuk berlaku di bahagian kaki.
  • Pendarahan gusi dan penyakit gusi (ini boleh berlaku semasa anda memberus gigi anda atau masa yang lain).
  • Mengalami hidung berdarah.
  • Terdapat darah dalam air kencing atau najis (najis boleh kelihatan seperti darah merah atau warna hitam-kelabu gelap).
  • Pendarahan haid yang banyak.
  • Sering merasa letih dan penat.
  • Kerap mengalami sakit kepala.
  • Berlaku pembesaran limpa yang boleh menyebabkan kesakitan di bahagian perut.
  • Warna kuning pada kulit (jaundis).

Segera berjumpa dengan doktor jika anda mempunyai sebarang gejala-gejala ini. Pendarahan yang tidak berhenti adalah satu kecemasan perubatan.

Dapatkan bantuan segera jika anda mengalami pendarahan yang tidak boleh dikawal dengan teknik-teknik pertolongan cemas biasa, seperti mengenakan tekanan ke kawasan pendarahan.

PUNCA DAN PENYEBAB KURANG DARAH KUNING

Terdapat beberapa faktor yang dikatakan sebagai penyebab kepada masalah platelet rendah termasuklah:

Reaksi kepada ubat-ubatan

Pengeluaran platelet boleh berubah disebabkan oleh penggunaan ubat-ubatan, termasuklah VAKSIN COVID-19, diuretik, NSAID, ubat-ubatan anti-radang dan antibiotik, atau kerap mengambil ubat penahan sakit biasa seperti ibuprofen dan aspirin.

Pembesaran limpa

Limpa membantu melawan jangkitan dan membersihkan darah, jadi penyakit yang menyebabkan pembesaran limpa boleh menyebabkan terlalu banyak platelet terperangkap di dalam semasa badan cuba melawan bakteria atau virus.

Penyakit autoimun

Penyakit seperti lupus dan artritis reumatoid menyebabkan sistem imun tersilap menyerang dan memusnahkan platelet. Ini dikenali sebagai thrombocytopenia imun atau ITP.

Alkohol

Alkohol memperlahankan pengeluaran platelet dan menjadikan masalah menjadi lebih besar bila diambil secara berlebihan, terutamanya jika diet seseorang juga rendah dengan nutrien.

Diet yang tidak seimbang dan kekurangan nutrien

Nutrien tertentu diperlukan untuk menghasilkan platelet yang mencukupi termasuklah zat besi, vitamin B12 dan folat. Kekurangan nutrien ini boleh mengubah kadar penghasilan platelet dan keupayaan platelet untuk bertahan dalam tempoh masa biasa.

Jangkitan dan virus

Jangkitan bakteria yang teruk yang melibatkan darah boleh menjejaskan pengeluaran platelet. Virus yang dapat mengubah cara platelet diperbaharui termasuklah denggi, cacar air, beguk, rubella, hepatitis, HIV/AIDS dan virus tertentu yang jarang ditemui.

Kebanyakan virus biasa hanya mengubah platelet darah buat sementara waktu, tetapi sesetengah virus yang serius seperti AIDS boleh menyebabkan kerosakan kekal.

Pendedahan toksin dari alam sekitar

Bahan kimia yang biasa ditemui dalam alam sekitar, termasuk racun perosak, arsenik dan benzena, semua boleh melambatkan penghasilan platelet.

Kehamilan

Terdapat wanita hamil yang melalui pengalaman pengeluaran platelet yang perlahan, tetapi ia biasanya tidak membahayakan dan akan hilang selepas bayi dilahirkan. Anggaran menunjukkan bahawa kira-kira 5 peratus daripada wanita hamil mengalami thrombocytopenia ringan semasa hamil.

Genetik

Terdapat keadaan tertentu yang diwarisi dari keluarga menyebabkan bacaan platelet rendah, termasuk Wiskott-Aldrich dan sindrom Mei-Hegglin.

Kanser

Leukemia atau limfoma secara langsung mampu merosakkan sum-sum tulang dan memusnahkan sel-sel stem darah dan rawatan kanser yang paling biasa (radiasi dan kemoterapi) juga memusnahkan lebih banyak sel stem.

Anemia aplastik

Apabila sum-sum tulang berhenti mengeluarkan sel-sel darah baru yang mencukupi, ia menyebabkan kiraan platelet yang rendah. Keadaan ini dipanggil anemia aplastik.

RAWATAN

Pesakit Kurang Darah Kuning sekiranya tidak mendapatkan rawatan segera akan mengakibatkan pendarahan yang teruk dalam saluran penghadaman dan juga pendarahan di dalam otak.

Pada kanak-kanak, penyakit biasanya akan hilang tanpa rawatan, namun bagi sesetengah kanak-kanak, bagaimanapun mungkin memerlukan rawatan.

Untuk orang dewasa, biasanya rawatan bermula dengan pengambilan ubat anti-radang steroid dipanggil Prednisolone.

Dalam sesetengah kes, pembedahan untuk membuang limpa (splenectomy) adalah disyorkan, bagi meningkatkan bilangan platelet.

Jika penyakit ini tidak menjadi lebih baik dengan Prednisolone, rawatan lain mungkin termasuklah:
  • Satu ubat yang dipanggil danazol (Danocrine) yang diambil melalui mulut.
  • Suntikan berdos tinggi gamma globulin (faktor imun).
  • Ubat yang melawan sistem imun (memerlukan penerangan lebih lanjut).
  • Penapisan antibodi daripada aliran darah.
  • Anti-RhD terapi bagi individu dengan jenis darah tertentu.

Mereka yang mengidap Penyakit Kurang Darah Kuning atau ITP tidak perlu mengambil aspirin, ibuprofen, atau warfarin kerana ubat-ubatan ini mengganggu fungsi platelet atau pembekuan darah, dan pendarahan mungkin berlaku.

Dengan rawatan, peluang sembuh (tempoh gejala bebas) adalah baik. Jarang sekali pengidap penyakit kurang darah kuning atau ITP menjadi satu jangka panjang di kalangan orang dewasa atau ia muncul semula, walaupun selepas tempoh tempoh gejala bebas.

RAWATAN ALTERNATIF PENYAKIT DARAH KUNING

Klorofil

Klorofil merupakan pigmen hijau tumbuh-tumbuhan yang menyerap cahaya untuk menghasilkan tenaga bagi tumbuhan melalui proses fotosintesis.

Dr Richard Willstatter dan Dr. Hans Fisher pada tahun 1915 dan 1930 masing-masing telah menerima Hadiah Nobel dalam bidang perubatan dan kimia untuk penemuan struktur molekul sel darah merah manusia dan klorofil.

Dalam penemuan ini, klorofil didapati berfungsi untuk menggalakkan pertumbuhan semula sel dan reproduksi serta membantu dalam membina dan menguatkan sistem imun tubuh.

Ada laporan tidak rasmi menyebut bahawa, pengambilan suplemen Klorofil telah berjaya menyembuhkan penyakit Kurang Darah Kuning.

Kerang

Makanan laut seperti tiram, udang galah, ketam dan kerang mengandungi selenium yang membantu sel darah putih menghasilkan cytokin iaitu sejenis protein yang menyingkirkan virus dari tubuh.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Tuesday, September 14, 2021

Apa Itu Gangguan Seksual?

Apa Itu Gangguan Seksual?

Gangguan seksual adalah sebarang bentuk perkataan atau tingkah laku berunsur seksual yang tidak diingini dan memberi kesan sebagai satu gangguan sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal kepada diri mangsa.

Gangguan seks

Gangguan seksual boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu ugutan seksual, yang atas sebab munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai mengenakan syarat berbentuk seksual ke atas pekerjaannya dan pengacauan seksual yang atas sebab yang munasabah, boleh dianggap oleh penerima (mangsa) sebagai satu pencabulan maruah, atau penghinaan atau ancaman terhadap dirinya.

Jenis-jenis gangguan seksual

Gangguan seksual boleh berlaku sekali sahaja atau berulang kali, boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira jantina mereka.

Ia juga boleh berlaku di mana-mana sahaja sama ada ditempat kerja, dalam pengangkutan awam, tempat riadah dan lain-lain lagi.

Gangguan seksual ini boleh dibahagikan kepada beberapa jenis gangguan:

1. Gangguan seksual secara lisan

Kata-kata, komen, gurauan, usikan, bunyi dan soalan berbentuk ancaman atau cadangan seksual.

2. Gangguan seksual secara isyarat atau bukan lisan

Pandangan atau jelingan yang membayangkan sesuatu niat atau keinginan, menjilat bibir, memegang atau memakan makanan dengan cara menggoda, isyarat tangan atau bahasa isyarat yang membayangkan perlakuan seks dan mengurat berterusan.

3. Gangguan seksual dalam bentuk visual

Menunjukkan bahan-bahan lucah, melukis gambar lucah, menulis surat berunsur seksual, mendedahkan bahagian badan yang sulit yang tidak sepatutnya didedah.

4. Gangguan seksual berbentuk psikologi

Mengulangi jemputan sosial yang tidak diterima, memujuk rayu berterusan untuk keluar bersama atau bercumbuan.

5. Gangguan seksual berbentuk fizikal

Sentuhan yang tidak diingini, menepuk, mencubit, mengusap, menggesel badan, memeluk, mencium, serta serangan seksual.

Tiada Akta Gangguan Seksual

Perlu diketahui, pada masa kini tiada akta khusus untuk mengatasi masalah gangguan seksual yang berlaku di Malaysia.

Mangsa gangguan seksual perlu mengambil langkah perudangan melalui beberapa jenis saluran peruntukan undang-undang sedia ada yang memiliki kelemahannya yang tersendiri.

Ini seperti Akta Kerja 1955, Akta Perhubungan Industri 1967, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerja 1994 dan Kanun Keseksaan.

Antara kelemahan peruntukan undang-undang sedia ada termasuklah dari aspek syarat beban pembuktian yang tinggi.

Ini menyebabkan mangsa menghadapi kesukaran membuktikan dakwaan kes gangguan seksual yang berlaku terhadap dirinya.

Prosedur sedia ada dalam peruntukan undang-undang sedia ada ini juga tidak sesuai untuk mengendalikan kes gangguan seksual yang sensitif serta kompleks ini.

Peruntukan khas

Oleh yang demikian, penting peruntukan khas diwujudkan bagi mengatasi ini dengan lebih berkesan.

Apa yang paling penting adalah pihak mangsa gangguan seksual kelak tidak merasakan diri mereka tidak mempunyai harapan untuk membawa kes serta mendakwa pelaku gangguan seksual berkenaan ke muka pengadilan.

Oleh itu, kerajaan digesa memperkenal akta khusus berkaitan dengan isu gangguan seksual seperti dicadangkan NGO agar masalah gangguan ini diselesai mengikut peruntukan lebih jelas, tanpa menumpang atau menggunakan akta lain seperti dinyatakan di atas, yang mempunyai kelemahan.

Untuk makluman, pada masa kini sebuah cadangan akta khusus bagi mengatasi masalah gangguan seksual sedang giat diusahakan untuk dibentangkan sebagai RUU dalam negara kita.

Undang-undang khusus bagi mengatasi masalah gangguan seksual yang ingin diwujudkan ini mempunyai dua matlamat penting.

Pertamanya, ia mengkehendaki setiap pihak mengambil langkah proaktif mencegah gangguan seksual daripada berlaku dan kedua, menyediakan mangsa satu bentuk pembelaan undang-undang lebih sesuai, berkesan dan bermakna.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

10 Tips Menghadapi Anxiety Yang Anda Wajib Ketahui

10 Tips Menghadapi Anxiety Yang Anda Wajib Ketahui

Jika anda melihat seorang pesakit anxiety, seseorang itu memang kelihatan sihat pada luarannya, tetapi di dalam minda mereka sedang bersusah-payah dan begitu terseksa apabila diserang kebimbangan, bimbang tanpa sebab melampau ini.

Anxiety

Anxiety datang tanpa diundang, menyerang sesiapa pun dan bagi mereka yang mungkin memandang serong pada mereka yang menghidapi penyakit ini, anda sepatutnya membantu mereka sehingga pulih.

Seorang pesakit anxiety, Shehnaz Khan, telah berkongsi cara bagaimana dia melawan anxiety, agar anda tahu dan faham apa sebenarnya yang terjadi.

Ini adalah 10 cara dia melawan anxiety secara umum:

1. Ingat Allah

Mendekatkan diri kepala Allah dan perbanyakkan istighfar dan selawat.

2. Jauhkan diri dari orang yang negatif

Biar tidak ada kawan yang ramai asalkan ada kawan yang berkualiti. Apabila berkawan dengan orang yang negatif, minda kita akan tertekan dan bertambah parah anxiety.

3. Berfikiran Positif

Betulkan mindset dengan selalu cakap dalam hati, "Saya sihat dan tidak takut."

4. Jangan Berseorangan

Selalulah bergaul, berbual dan ceritakan masalah pada orang yang memahami. Luah segalanya, mesti lega.

5. Beriadah

Lakukan aktiviti yang seronok bersama kawan-kawan, suami, anak-anak atau ibu bapa untuk mengelakkan berfikir terlalu banyak dan cemas. Sedikit sebanyak boleh membuatkan kita lupa tentang 'perkara' itu.

6. Jangan Berseorangan

Jangan tidur keseorangan dan sentiasa tidur berteman supaya boleh tangani jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Sebagai contoh, pesakit anxiety akan kurang tidur dan cepat cemas, atau mungkin sesak nafas. Orang sekeliling sangatlah penting untuk membantu.

7. Berjumpalah Doktor Psikologi

Wajib dapatkan nasihat doktor psikologi. Anxiety bukan gila dan jangan takut atau malu kerana ia banyak membantu untuk menyembuhkan sakit.

Mereka sangat pakar dalam memahami pesakit anxiety dan anda juga boleh mendapatkan nasihat mereka.

8. Makanan Sihat

Amalkan makan makanan yang sihat dan banyakkan minum air masak.

9. Beranikan Diri

Cabar diri untuk memecahkan tembok yang anda takuti seperti takut untuk keluar rumah. Cabar diri untuk keluar dan yakin.

10. Sokongan

Sokongan moral secara mental dan fizikal daripada keluarga, suami, isteri, kawan-kawan dan mereka yang faham apa itu anxiety amatlah penting.

Walaupun pesakit anxiety sukar pulih sepenuhnya, tetapi mereka masih boleh menemui sinar kebahagiaan dan mengawal penyakit ini jika anda turut sama membantu mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thevocket

Monday, September 13, 2021

Di Sebalik 'Siiuuuu' Cristiano Ronaldo!

Di Sebalik 'Siiuuuu' Cristiano Ronaldo!

Kerinduan penyokong Manchester United terhadap Cristiano Ronaldo bukan sahaja terubat dengan dua gol yang diledak bintang Portugal itu ketika menumpaskan Newcastle 4-1, malah gaya 'siuuuu..' mewarnai Liga Perdana Inggeris.

Ronaldo

Ronaldo yang membuat kepulangan pertama selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford, meledak gol ke-119 dan 120 buat Red Devils.

Sejurus menjaringkan gol, dia berlari ke tepi padang, melompat sambil memusingkan badan dengan tangan merentang dan menjerit 'ssiuuuu...'

Mendedahkan maksud di sebalik aksi 'siuuuu' yang popular itu, Ronaldo berkata, trademark tersebut sebenarnya tidak pernah dilakukan ketika dia menyarung jersi United dari 2003 hingga 2009.

Ia hanya bermula selepas dia menyertai Real Madrid pada 2009.

"Pada mulanya saya berkata 'si', yang bermaksud seperti 'yes', ketika itu saya bersama Real Madrid.

"Saya berada di Amerika Syarikat dan kami menentang Chelsea (2013) dan saya tidak tahu dari mana gaya itu datang.

"Saya menjaringkan gol dan sejujurnya, secara spontan melakukan aksi tersebut. Sejak itu saya mula melakukannya dengan lebih kerap.

"Bila saya melakukannya, saya nampak penyokong sudah boleh mengagak dan mereka menjerit seperti 'Cristiano, siiiiiuuu!'.

"Saya macam, wow!! Orang ingat saya kerana gaya lompatan itu! Ia sangat bagus dan saya terus melakukannya," kata pemenang Ballon d’Or lima kali itu.

Ronaldo sendiri pun tidak percaya

Biarpun berusia 36 tahun, Cristiano Ronaldo melakukan kepulangan cukup sempurna bersama Manchester United di hadapan 76,000 penonton dengan aksi dipamerkan jelas membuktikan dia sememangnya layak memegang status pemain terbaik dunia.

"Saya tidak jangkakan untuk meledak dua gol. Saya fikir mungkin satu sahaja dan bukan dua. Saya perlu menghargai penyokong setelah apa dilakukan mereka kepada saya hari ini.

"Saya rasa sangat bangga apabila dapat melakukannya. Sudah tentu saya gembira menjaringkan gol, saya tidak menafikannya. Tetapi perkara paling penting adalah pasukan dan mereka bermain bagus.

"Ia sukar dipercayai. Ketika saya memulakan perlawanan saya sangat gementar, saya bersumpah. Saya tidak menjangkakan mereka akan menyanyikan nama saya sepanjang perlawanan.

"Saya sangat gementar, mungkin saya tidak menunjukkannya, tetapi ia benar. Sambutan menakjubkan tetapi saya di sini untuk menang dan membantu pasukan," katanya kepada BBC Sport.

Sementara itu, pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer yang pernah bergandingan dengan Ronaldo dari tahun 2003 hingga 2009 bersama skuad Red Devils, cukup lega dengan persembahan pemain itu ketika membenam Newcastle United 4-1.

"Ini adalah kehebatan Cristiano dan adalah hari untuk dinikmati semua orang," ujarnya.

Dalam perlawanan itu, penyokong tuan rumah disajikan dengan 21 percubaan termasuk enam daripada Ronaldo, selain menyaksikan Red Devils melakukan serangan bertali arus ke atas lawan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

SBDJ Siri 179: Kain Hitam Pembalut Tubuh

SBDJ Siri 179: Kain Hitam Pembalut Tubuh

Selesai saja kata-kata itu diucapkan, bahu kanan saya ditumbuk dengan kuat sekali dan saya seperti tersentak. Bahagian bahu yang ditumbuk segera saya raba dan picit untuk menghilangkan rasa sengal-sengal.

"Tamar."

"Iya Andi."

"Kau tak dikuasai oleh apa-apa sekarang. Cuba lihat keadaan sekeliling kamu."

Toyol jadi-jadian

Permintaan Andi Kamarool tidak saya hampakan. Dengan sepasang mata, keadaan sekitar segera saya sorot dengan tenang.

Saya dapati suasana sekitar cukup sepi. Di padang yang luas, saya lihat ada kabus nipis, terdengar kokok ayam sayup-sayup.

Gegendang telinga dapat menangkap suara Andi Kamarool yang perlahan membaca beberapa potong ayat dari Al-Quran.

"Sekarang lebih kurang pukul dua pagi Tamar."

"Iya," kata saya perlahan.

"Untuk apa, kamu datang ke rumah batu lama?"

"Tadi, sebelum aku mengejutkan kamu, aku berjumpa dengan dua orang perempuan cantik, aku kira mereka berdua masih gadis lagi," saya sudah tidak terdaya menyimpan rahsia.

Andi Kamarool tidak terkejut dengan penjelasan itu.

"Salah seorang darinya mungkin Mia?" Andi Kamarool masih lagi menatap wajah saya tetapi, renungan kali ini lebih tajam. Dengan pantas saya menggelengkan kepala.

"Jadi, kau tak kenal langsung dengan mereka?"

"Iya, aku tak kenal langsung, Andi."

Buat beberapa ketika, Andi Kamarool termenung panjang, macam ada sesuatu yang diflkirkannya.

Dan dalam keadaan yang damai itu, terasa diri ini seperti dipermainkan oleh keadaan.

"Kita keliling rumah batu ni, Tamar."

Cadangan yang membuat bulu tengkuk saya tegak berdiri. Hati terasa cemas semacam.

"Buat apa Andi?"

"Jangan banyak fikir, jangan banyak tanya lagi. Ikut saja cakap aku."

Tangan saya segera ditarik oleh Andi Kamarool. Tidak ada pilihan lain, kecuali mengikut saja kemahuannya.

Dalam suasana dinihari yang dingin itu, kami pun memulakan langkah untuk mengelilingi rumah batu lama dari arah kiri dan kanan.

Ketika melintasi bahagian dapur, terdengar suara perempuan dan lelaki mengerang dan mengeluh seperti menahan rasa sakit yang amat sangat.

Berpandukan pada suara tersebut, saya dapat mengagak usia mereka sekitar tujuh puluhan lebih.

Dan secara spontan, saya teringatkan bilik misteri yang terdapat di bahagian ruang dapur rumah batu lama itu.

Mungkinkah suara itu suara datuk dan nenek Mia? Fikir saya dalam hati.

JUMPA

"Hai, dah jumpa dengan pengawal rumah batu?"

Serentak saya dan Andi Kamarool menoleh ke kanan. Kak Sun tercegat di bucu rumah batu dengan rambut mengerbang.

Sepasang matanya nampak kemerah-merahan. Merenung tajam ke arah saya. Andi Kamarool dan saya tergamam, tidak tahu dari arah mana Kak Sun datang.

Barangkali dia baru keluar dari ruang makan, saya membuat kesimpulan. Tetapi saya lihat pintu dapur bertutup rapat.

Andi Kamarool yang sudah dapat mengawal tergamamnya, begitu tenang menghadapi situasi yang saya kira agak gawat itu.

"Kak Sun bermalam di rumah batu?" Andi Kamarool mengemukakan pertanyaan. Kak Sun mengangguk.

"Sebilik dengan Mia?" tambah Andi Kamarool lagi.

"Tidak, dia di bilik atas, aku di bilik bawah," sambil bercakap mata Kak Sun merenung ke tingkat atas.

Dan secara tidak sengaja, saya dan Andi Kamarool mendonggakkan kepala ke tingkat atas.

Dari cahaya lampu bilik yang agak samar-samar itu, kelihatan bebayang manusia menyisir rambut.

"Itu, kalau tak silap saya, Mia," terkeluar ungkapan itu dari kelopak bibir saya.

Andi Kamarool tidak memberikan sebarang komentar tetapi, dia mengigit bibir.

"Memang benar kata kamu, Mia," sahut Kak Sun.

Aneh sungguh, sudah dinihari masih mahu menghias diri, kemana dia mahu pergi. Fikir saya dalam hati sambil mengerutkan kening.

"Mia belum tidur lagi, sekarang dah pukul dua lebih," Andi Kamarool segera melibatkan diri.

"Dia memang begitu, ada malam-malam tertentu dia terpaksa bangun pukul dua atau empat pagi.

"Masa itulah dia menghias diri dan memakai wangi-wangian dan aku selalu dipanggil tidur di rumah batu ni untuk menemaninya," penjelasan Kak Sun itu memaksa saya dan Andi Kamarool saling bertukar pandangan.

"Dia nak ke mana Kak Sun, berpakaian cantik waktu tengah malam. Mesti ada sesuatu yang tak kena pada dirinya Kak Sun," saya memberikan komentar ikhlas.

Tetapi, Andi Kamarool tidak gemar dengan komentar yang saya luahkan itu. Perkara itu dapat saya kesan dari kenyit matanya.

"Tamar!" sergah Kak Sun secara tiba-tiba.

"Kenapa perkara itu yang kamu tanyakan? Itu urusan dirinya. Dia nak bangun malam, dia nak menghias diri, itu urusan dia. Kamu sudah keterlaluan Tamar," duga Kak Sun marah dengan tiba-tiba.

Nada suaranya cukup tinggi, wajahnya nampak garang.

"Maafkan saya kak."

"Hisss..." katanya separuh hati.

Saya menarik nafas kesal sedangkan Andi Kamarool tunduk merenung bumi. Dingin dinihari menghimpit diri.

"Kak mengawasi kami," suara Andi Kamarool lembut sekali.

Saya tahu nada suara itu sengaja dilembutkan dengan harapan api kemarahan Kak Sun akan menurun. Dia nampak tenang dan selesa.

"Kak memang tak berhajat nak mengawasi kamu berdua Andi."

"Jadi untuk apa kak berada di sini?"

"Begini Andi. Aku cuma nak menemani Mia ke..." Kak Sun tidak meneruskan kata-kata.

Dia donggakkan muka ke tingkat atas. Mia masih menghias diri.

Angin yang bertiup lembut menambahkan lagi rasa sejuk. Kokok ayam sekali-sekala tetap kedengaran di sampingnya.

"Ke pangkal pokok buluh kuning," syukur Kak Mia tidak lagi menyimpan rasa marah terhadap saya.

"Di situ kubur datuk neneknya," celah Andi.

"Kenapa? Kamu takut?"

Andi Kamarool terdiam, saya menggigit bibir.

"Sejuk, embun dah jatuh atas kepala," Kak Sun seperti merungut, kemudian dia memeluk tubuhnya dengan erat untuk menghilangkan rasa dingin.

CAHAYA

Malam yang sudah beransur tua, membuat saya resah dan mula menggigil kedinginan. Kak Sun masih merenung ke arah bilik Mia yang masih diterangi cahaya lampu.

Dia bagaikan tidak ambil peduli dengan suara burung hantu, lolongan anjing liar dan desiran angin yang merempuh dedaun sekitar kawasan rumah. Bagi saya, suasana sedemikian amat menyeramkan.

"Bagi kak, apa yang dibuat oleh Mia adalah biasa. Setiap sepuluh, lima belas, dua puluh dan dua puluh lima haribulan Islam, dia mesti pergi ke kubur di perdu buluh kuning.

"Pukul tiga atau empat pagi, bila masuk waktu subuh baru dia balik," tambah Kak Sun lagi.

Penjelasan Kak Sun itu memang di luar dugaan. Saya mengalami kejutan yang amat hebat.

Dua tiga kali pangkal hidung saya gosok. Dua tiga kali air liur ditelan, rasa resah tidak juga berkurangan.

Andi Kamarool merenung suasana dinihari yang agak kelam, ada kabus nipis menguasai sekitar. Barangkali dia juga menghadapi keresahan seperti saya.

Memang tidak pernah terfikir dalam benak saya (mungkin juga Andi Kamarool) yang selama ini Mia melakukan kerja-kerja aneh dan pelik.

Memanglah, dia gadis yang diselubungi dengan seribu satu misteri.

Untuk sekian kalinya, saya merenung Andi Kamarool. Dia masih resah, memicit-micit kedua belah tangannya. Meraba-raba batang lehernya beberapa kali.

Apa yang dilakukan oleh Andi Kamarool kelihatan seperti serba tidak kena. Dingin dinihari kian hebat menghimpit tubuh, kabus nipis kelihatan di mana-mana.

Ketika pandangan diluahkan ke kaki langit, saya lihat bintang timur mula bangkit. Bayu yang berhembus lembut membawa suara solakan anjing liar.

Nyanyian burung hantu terus bersahut-sahutan, cukup rancak dan gempita sekali. Bau hamis harimau mula menusuk lubang hidung.

Kak Sun yang berdiri (di antara saya dan Andi Kamarool) cuba mengelak agar bahunya, tidak bersentuhan dengan tubuh saya dan Andi Kamarool.

Kami bertiga (saya, Kak Sun dan Andi Kamarool) berdiri sebaris tetapi, merenung ke arah yang tidak berlainan.

Kak Sun merenung ke arah rumpun buluh kuning, Andi Kamarool ke arah bucu dapur rumah batu lama dan pandangan atau renungan saya lebih berkecamuk lagi, sekejap merenung ke arah jendela bilik Mia di tingkat atas.

Sebenarnya, saya mahu melihat perkembangan Mia, apakah sudah menyisir rambut, dia akan membuka baju tidur untuk digantikan dengan baju yang baru. Tumpuan saya terganggu, macam ada sesuatu yang berlari di bumi.

"Ah! Binatang sial ni," itu yang terungkap di kelopak bibir saya.

Dengan biji mata yang terbeliak, saya melihat kemunculan beberapa ekor kucing hitam dengan sinar mata yang garang.

Cemas juga rasanya, bila kumpulan kucing itu mengiau sambil memperlihatkan siungnya yang tajam dan panjang.

Kemunculan kumpulan kucing hitam itu ternyata tidak menarik perhatian Kak Sun dan Andi Kamarool.

Nampaknya kumpulan kucing hitam itu lebih senang mengelilingi saya, tidak mahu mendekati Kak Sun atau Andi Kamarool.

"Kucing hitam Kak Sun," kata saya sambil merenung wajahnya.

Kak Sun tersenyum sambil menggaru pangkal telinga kiri. Setiap kali kepalanya bergerak, rambutnya juga ikut bergerak.

"Itu kucing peliharaan, jangan diapa-apakan dia, Tamar."

"lyalah, Kak" sahut saya separuh kesal sambil merenung ke arah Andi Kamarool.

Dia kelihatan bersahaja. Tidak kisah dengan kemunculan kumpulan kucing hitam itu, semuanya ini membuat saya tidak senang hati.

Memang saya tidak tahu, dari mana kumpulan kucing hitam itu muncul. Jumlahnya lebih dari tujuh ekor.

Ukuran atau bentuk tubuhnya lebih besar dari kucing Siam, hampir menyamai anak harimau yang baru belajar main ekor ibunya.

Kesemua kucing hitam ganjil itu terus mengelilingi saya dan ada ketikanya mengeselkan tubuh ke kaki. Bulu roma terus meremang dan seluruh sendi terasa lemah.

Saya terus angkat kepala merenung ke arah bilik tidur Mia di tingkat atas. Lampu biliknya sudah padam, langsir sudah dijatuhkan dan bau wangi menguasai sekitar kawasan kami berdiri.

Saya terdengar bunyi daun pintu dapur dibuka dan ditutup. Bila direnung ke situ tidak nampak pun kelibat manusia.

ANGKAT

Ke mana dia menghilang? Barangkali Mia sudah merebahkan tubuh di katil. Begitu saya membuat kesimpulan dan membayangkan bentuk tubuh Mia yang montok terkapar di katil tanpa pakaian.

Saya menelan air liur dan rasa ghairah yang tidak bertepi terus mengusai otak.

"Mia sudah menanti aku di situ."

Saya tersedar dari lamunan. Biji mata saya mengikuti arah yang ditunjuk oleh Kak Sun dengan jari telunjuknya, iaitu perdu buluh kuning.

Kami lihat ada beberapa batang lilin sedang memancarkan cahaya, menerangi sebahagian daripada kawasan di bawah rumpun buluh kuning, termasuk kuburan batu.

Di bahagian kepala kubur terdapat sebatang lilin besar yang diletakkan di atas batu besar dua pemeluk manusia dewasa.

Tidak tahu, siapa yang menyediakan dan menyalakan api lilin tersebut.

Angin dinihari yang lembut turut menggugurkan dedaun buluh yang kering, terdampar atas kubur batu.

Ternampak kelibat manusia yang bergerak dari bahagian kepala. Perbuatan itu diulangi sebanyak tujuh kali berturut-turut.

Manusia yang melakukan perbuatan itu menyalutkan seluruh tubuhnya dengan kain hitam.

Setelah selesai berjalan tujuh kaki (dari kaki ke kepala kubur), manusia yang berpakaian serba hitam berdiri tegak (di bahagian tengah kubur) menghadapi kubur misteri yang ditimbuni dengan bebatu sungai.

"Barangkali itu kelibat tubuh Mia, Andi," saya memberanikan diri bersuara.

"Aku juga fikir begitu."

"Perempuan apa dia ni, berani keluar malam ke kubur lama," komentar saya.

Lalu menatap wajah Kak Sun di sisi. Memang terdapat perubahan di wajahnya. Dia nampak bengis semacam.

"Barangkali ada sesuatu yang dicarinya. Boleh jadi dia menjalankan amanat datuk dan neneknya," Andi kamarool melahirkan pendapat.

"Itu urusan dia," sahut Kak Sun dengan nada suara yang suara yang cukup keras.

"Bukan urusan kamu. Aku nak beritahu kamu berdua, engkau orang tak berhak bertanya begitu, kau bukan kaum kerabatnya, kau tetamu dia, faham," sambung Kak Sun. Dia berang sungguh.

"Maafkan kami Kak," serentak kami bersuara.

Buat beberapa saat, Kak Sun terus membisu. Rasa marahnya masih belum hilang.

Saya dan Andi Kamarool saling berpandangan, menanti penuh sabar apa pula yang bakal Kak Sun luahkan. Pahit atau manis terpaksa kami terima.

"Aku juga nak beritahu kamu berdua," nada suaranya mula menurun, tidak sekeras tadi. Riak mukanya beransur cerah.

"Nak beritahu apa Kak?" saya yang ingin segera tahu terus menyoal.

Dan Kak Sun tidak terkejut dengan tindakan saya itu, tetapi Andi Kamarool kurang setuju dengan cara itu.

Mungkin pada hematnya, tindakan saya itu agak keterlaluan.

"Batalkan saja segala rancangan yang kau orang buat."

"Kenapa pula?" bentak Andi Kamarool.

"Pengawal rumah batu lama tu, tak ingin nak jumpa dengan kau orang berdua. Dia dah beritahu kak, kalau kau orang teruskan memang sia-sia. Tidak ada hasilnya."

Mendengar kata-kata itu darah saya tersirap. Rasa marah dan geram terhadap Kak Sun memuncak.

Barangkali, Kak Sun mempunyai maksud tertentu. Kalau tidak masakan dia bercakap begitu. Fikir saya.

"Apa hak Kak menahan kami. Mia sendiri menyuruh kami berusaha mencari pengawal rumah batu, sama ada secara batin atau lahiriah.

"Dalam hal ni, orang yang berhak menahan kami ialah Mia, dia tuan rumah dan pemilik tanah, bukannya Kak Sun," saya ledakkan kemarahan.

Rasa hormat terhadap Kak Sun mula luntur dan pudar di hati saya. Andi Kamarool menepuk bahu kanan saya dengan lembut. Dia menyuruh saya bersabar dan tenang.

Tetapi, apa yang pasti, Kak Sun tidak terkejut atau panik dengan sikap yang saya perlihatkan itu. Dia nampak bersahaja malah melemparkan senyum sinis ke arah saya.

"Kamu marahkan kak, Tamar?"

Saya terus membisu dan cuba menurunkan tahap kemarahan saya ke tahap normal.

Kalau tadi bahu kanan ditepuk lembut tetapi kali ini, Andi Kamarool mengurut belakang saya.

"Jangan hilang pertimbangan Tamar," bisik Andi Kamarool.

MELAMPAU

"Kamu sudah keterlaluan Tamar, kau sudah melampau," pekik Kak Sun sekuat hati, bergema membelah kedinginan dan kesepian dinihari. Saya tergamam dan Andi Kamarool tersintak.

"Kamu biadab, Tamar," kemarahan Kak Sun berulang kembali.

Dan pada ketika itu, saya terasa pangkal leher seperti dipegang oleh sepasang tangan yang kasar dan berbulu tebal.

Saya cuba menepis tetapi gagal. Pergelangan tangan disambar dan dipulas dan saya terus ditolak hingga jatuh tersungkur. Begitu juga dengan Andi Kamarool.

"Siapa yang menjatuhkan kita Tamar?"

"Makhluk ghaib Andi," sahut saya sambil merenung ke arah Kak Sun yang melihat saja kejadian tanpa mahu memberi pertolongan.

"Kak Sun celaka," kutuk saya dalam hati. Belum pun sempat bangun, mulut saya ditampar dengan kuat.

"Tamar, lihat tu."

Saya segera melihat ke arah yang ditunjuk oleh Andi Kamarool dengan jari telunjuknya. Apa yang kami lihat sungguh mencemaskan.

Tersergam di depan lembaga hitam yang tidak tentu rupa bentuknya. Tingginya bagaikan mencecah awan dan kakinya tidak pula menyentuh bumi. Bahagian kaki yang tidak terbuai-buai menyerupai kaki katak puru.

Bila saya berusaha mendongakkan muka untuk melihat wajah lembaga yang muncul seperti bayang-bayang itu, leher saya dipulas dari belakang dan sepasang tangan lebar yang berbulu menutup sepasang mata saya. Pandangan saya jadi gelap gelita.

Tidak memadai dengan itu, tubuh saya di humban ke bucu dapur rumah batu dan saya terpaksa merangkak untuk mendapatkan Andi Kamarool yang masih tersungkur tidak berapa jauh dari Kak Sun.

Dan lembaga yang menakutkan itu terus ghaib entah ke mana.

"Tak apalah Tamar, tak apalah Andi, aku tak boleh lama di sini. Selamat tinggal, lagi pun orang yang kau cari sudah datang. Selamat tinggal, Mia sudah lama menanti," dalam keadaan terpinga-pinga terdengar suara Kak Sun.

Kerana keadaan kami masih dalam pening-pening lalat, kami tidak begitu mengambil berat tentang kata-kata itu.

Dengan sisa tenaga yang ada, akhirnya saya dan Andi Kamarool berjaya berdiri dengan harapan dapat berdialog dengan Kak Sun tentang peristiwa yang baru berlaku.

Harapan saya dan Andi Kamarool tidak menjadi kenyataan. Kak Sun sudah pun beredar menuju ke arah Mia yang berada di bawah rumpun buluh kuning. Kami ditinggalkan dalam keadaan terpinga-pinga dan terkapai-kapai.

"Kak Sun mempermainkan-mainkan kita, Tamar," keluh Andi Kamarool dengan rasa kecewa.

Saya menggigit lidah kehampaan, tidak diduga sama sekali yang Kak Sun sanggup berbuat demikian.

Apakah maksud sebenar dari tindak-tanduknya itu? Betulkah dia mempunyai hubungan batin yang kental dengan penunggu rumah batu lama? Persoalan yang timbul secara mendadak itu sukar untuk dijawab.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 179/284

BACA: SBDJ Siri 178: Diburu Penunggu Rumah Lama
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-SENTIASAPANAS.COM

Wednesday, August 25, 2021

Tuhan Menjawab Penghina Siti Sarah Dengan Cara Yang Amat Indah

Tuhan Menjawab Penghina Siti Sarah Dengan Cara Yang Amat Indah

Bersalin di dunia, berpantang di syurga. Ditidurkan di dunia, terjaga di syurga. Begitulah lebih kurang kisah yang dikaitkan dengan Siti Sarah Raissuddin. Pun begitu hal-hal ghaib dan alam akhirat sudah pasti tertakluk secara mutlak kepada kehendak Yang Maha Esa.

Siti Sarah

Yang tular sekian lama jika si suami memanggil isterinya bidadari ialah Ebit Lew. Panggilan romantis suami terhadap isteri disaran persis Rasulullah SAW memanggil Siti Aisyah sebagai Ya Humaira bermaksud 'wahai si merah jambu'.

Lalu, hijab kita bagaikan dibuka selepas kepergian Siti Sarah apabila ramai menyifatkan penghibur itu bak bidadari.

Sejurus selepas jenazah Siti Sarah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, bertali arus akhbar dan media sosial memuji-muji kebaikan dan budi pekerti penyanyi tersebut.

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, adalah antara tokoh berprofil tinggi yang turut mengutus takziah.

Kalangan pelakon dan penyanyi juga tidak terkecuali. Ada yang menitiskan air mata. Misalnya Siti Nurhaliza yang sebak ketika menyanyikan lagu Bidadari Syurgaku secara maya mengenangkan Siti Sarah.

Ramai wartawan juga berkongsi momen masing-masing bersama Siti Sarah lalu satu demi satu kebaikan dilakukan arwah - termasuklah korban di Palestin - diceritakan.

Tak mudah membawa diri

Berita kematian Siti Sarah dikongsi seorang instafamous Korea Selatan dan dimuat di portal BBC News.

Namun lebih mahal ialah solat jenazah ghaib yang dilaksanakan di Masjidil Haram sepertimana dikongsi suaminya, Shuib.

Bukan calang-calang artis kita itu rupanya kerana berita kematiannya disiar di BBC News dan dapat solat ghaib dari Tanah Suci.

Apakah istimewanya Siti Sarah yang kita tidak - atau belum - tahu?

Lalu apakah amalan Siti Sarah hinggakan darjatnya diangkat sebegitu mulia?

Manusia itu fitrahnya memang selalu alpa dan lupa. Justeru dalam limpahan puji-pujian yang dihamparkan buat Siti Sarah, bagaimana agaknya orang-orang keji yang selama ini selalu menghina dia?

Bukan mudah membawa diri sebagai Siti Sarah apabila sering dijadikan bahan cercaan dan dipersenda sejak di sekolah rendah sehinggalah menjadi artis.

Seorang rakan Siti Sarah ketika mereka sama-sama menuntut ilmu di Sekolah Rendah AU Keramat, Farrah Nadzirah Kamal (gambar), berkata peyanyi terbabit memang periang namun kurang menyerlah jika dibandingkan dengan Nurfatimah yang juga belajar di situ.

Antara isu yang selalu menjadi bahan sendaan orang ialah aspek fizikal Siti Sarah. Dia selalu diejek kerana itu.

Di peringkat awal menjadi artis pun Siti Sarah selalu dipersenda. Cuma mungkin kerana itu belum ada media sosial, kebiadaban cercaan itu tidaklah terlalu teruk. Atau ia tidak tersebar dengan meluas.

Tak boleh hadapi tekanan

Selepas ada media sosial, ia menjadi lebih serius sehinggakan ada dua tiga kali Siti Sarah tampil bagi jawab penghinaan netizen terbabit. Malah ada antara orang yang menghina itu adalah wanita bertudung.

Siti Sarah menjawab: "Masuk sekolah rendah dah biasa, masuk sekolah menengah? Hampir setiap hari kena ejek (tentang) hidung, hidung, hidung. Sampai kadang-kadang mengelak nak naik bas, tunggu dah tak ramai baru naik bas.

"Pernah terlintas di hati, aku nak pergi buat (pembedahan) hidung supaya orang tidak boleh cakap lagi, tapi apabila fikir balik cantik bagaimana (pun) orang akan kutuk."

Tidak seperti segelintir artis, Siti Sarah reda dengan kurniaan Tuhan. Maka dia tetap bersahaja dan tidak perlu membuat pembedahan plastik bagi mencantikan hidungnya.

Perihal gigi Siti Sarah pula dia pernah diperli seorang netizen: "Buat treatment (rawatan) apa untuk rapatkan gigi yang jarang tanpa memakai braces (pendakap)?"

Pada Januari 2018, warna kulit Siti Sarah dipersoalkan.

Lalu dia menjawab: "Ramai yang kutuk Sarah kata sebenarnya Sarah hitam tetapi edit gambar. Secara jujurnya saya memang tidak putih macam orang putih. Tapi kalau nak bandingkan dulu memang saya lebih cerah sekarang sebab saya mengambil produk. Saya pakai losyen, sabun dan pil untuk kulit lebih cerah.."

Mac 2018 penjelasan Siti Sarah kepada netizen yang menghina dan mengutuknya agak beremosi apabila dia menulis: "Awak tak hadap apa yang saya hadapi. Saya memang kuat untuk hadapi banyak benda. Tetapi saya tahu ramai orang yang tak boleh hadapi tekanan apabila dikutuk dipanggil gorila, negro, badak, ba*i dan seangkatan dengannya. Siapa yang tahan..."

Nah, sekarang apakah kita faham mengapa kedudukan Siti Sarah itu diangkat? Harus diingat sehebat mana pun manusia ini, kita tetaplah hamba.

Tidak ada hak untuk kita menghina dan mengutuk paras rupa seseorang insan itu.

Hal ini sudah diperjelaskan dalam Surah al-Hujurat ayat 11: "Wahai orang yang beriman! Janganlah ada suatu kaum yang mempermainkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi kaum yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Dan janganlah pula ada golongan perempuan yang mempermainkan perempuan yang lain (kerana) boleh jadi perempuan yang dipermainkan itu lebih baik daripada mereka. Janganlah kamu saling mencela satu sama lain dan janganlah kamu memanggil dengan gelaran-gelaran buruk. Dan barang siapa tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim."

Jelaslah di sini, kepulangan Siti Sarah ke alam abadi bukan sekadar berita sedih buat ramai orang. Bahkan ia adalah sindiran Tuhan buat jari-jari jahat manusia yang sebelum ini mengejek, mengutuk dan menghina Siti Sarah.

Tuhan menjawab penghinaan mereka itu dengan cara yang amat indah. Al-Fatihah.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Rahsia Kebangkitan Tentera Taliban

Rahsia Kebangkitan Tentera Taliban

Sebelum 3,000 tentera Amerika berundur sepenuhnya daripada Afghanistan pada 11 September 2021, dalam tempoh tiga minggu sahaja sembilan wilayah penting Afghanistan berada dibawah kawalan pemberontak, dengan 11 bandar utama termasuk Kandahar dikuasai oleh Taliban.

Taliban

Beberapa persoalan penting seharusnya difikirkan, mengapa keadaan ini berlaku, bagaimana Taliban mendapat kekuatan yang luar biasa dalam tempoh masa yang sangat singkat?

Mengapa tentera Amerika berundur di saat negara tersebut masih kucar-kacir?

Dan yang paling penting adalah, apa yang dilakukan oleh Amerika selama dua dekad menjajah dan menghancurkan negara berdaulat tersebut?

Biden mengotakan janjinya semasa pilihan raya presiden pada April 2021 yang lalu.

Jumlah 3,000 tentera dengan bajet perbelanjaan mencecah trilion dolar adalah angka yang amat besar.

Amerika sudah tidak mampu menanggung kos yang tinggi untuk peperangan selama dua dekad sejak 2001.

Peperangan yang dicetuskan dari tragedi World Trade Centre 9/11 hingga menyebabkan Sudan, Somalia, Iraq dan Syria juga tersungkur.

Malah, Iran dan Korea Utara berada dalam senarai seterusnya.

Selama tempoh tersebut juga, sekurang-kurangnya 2,500 tentera dan warga Amerika menjadi korban dan siri serangan hendap dan tawanan oleh militia Afghanistan yang kesemuanya dikenali sebagai Taliban.

Siapa Taliban?

Muncul kelompok panglima militia yang melawan pendudukan Rusia sekitar tahun 1979 hingga 1989.

Kelompok ini dipimpin oleh dua nama besar iaitu Burhanuddin Rabbani dan Gulbuddin Hekmatyar.

Panglima tentera inilah yang mengalahkan Rusia dan menguasai kepimpinan kerajaan Afghanistan.

Kelompok-kelompok ini dibiayai oleh Amerika dalam perang proksi mereka terhadap USSR ketika itu.

Kelompok ini akhirnya berperang sesama sendiri merebut kuasa dan menjadikan Afghanistan sebuah negara yang paling tidak selamat.

CIA dan agensi risikan Pakistan (ISI) menyatukan kelompok-kelompok ini dan membentuk satu kelompok yang dikenali sebagai Taliban.

Pada tahun 1996, Taliban menguasai Afghanistan dan membentuk kerajaan tetapi akhirnya ditumbangkan oleh Amerika pada 2001.

Kelompok ini diperangi selama 20 tahun dan masih terus bertahan sehingga kini.

Bagaimana Taliban mempunyai kekuatan luar biasa?

Agak pelik, bagaimana Taliban mempunyai kekuatan yang sangat hebat dalam tempoh masa yang singkat.

Selama dua dekad Amerika menekan, menyerang, membunuh dan menghancurkan tentera Taliban, tetapi mengapa mereka masih gagal menguasainya?

Taliban sebenarnya didanai oleh Amerika secara sembunyi.

Laporan oleh agen risikan selain CIA jelas menunjukkan bagaimana sejumlah besar wang disalurkan melalui Bagram Airbase untuk mendanai Taliban.

Dengan cara tersebut, perang Afghanistan akan diakui perlu dan kestabilan rantau tersebut akan terus diragui.

Selain itu, Taliban juga berjaya menjadikan Afghanistan sebagai pengeluar candu terbesar dunia dalam masa yang cukup singkat.

Laporan agensi risikan CIA juga mengakui bahawa sejumlah besar dadah ini dibawa masuk ke Amerika melalui pangkalan tentera yang berjaya melepasi kawalan keselamatan sama ada di Afghanistan mahupun Amerika.

Taliban juga mengenakan cukai untuk pengeluaran heroin oleh warga Afghanistan yang amat bergantung kepada industri ini untuk kelangsungan hidup.

Laporan oleh WHO menyatakan, lebih dua pertiga keluaran heroin dunia berasal daripada Afghanistan dengan pendapatan sekitar 1.16 billion pada suku berakhir 2020.

Perang berterusan terhadap pengganas

Kebangkitan Taliban dijangka akan merancakkan semula aktiviti keganasan di seluruh dunia.

Sekali lagi Afghanistan akan menjadi pusat latihan dan operasi sebagaimana yang dilakukan oleh Osama Laden sekitar 80 hingga 90-an.

Lokasi Afghanistan yang bersebelahan dengan Iran adalah penting dalam penguasaan geopolitik Asia Barat.

Selagi wilayah teroris wujud, selagi itulah Amerika mempunyai alasan untuk menyerang negara-negara yang dikira sebagai the axis of evil.

Agenda perang melawan teroris tidak akan tamat hinggalah Amerika dan sekutunya mencapai agenda untuk mengaut keuntungan dan kekal berkuasa atas kerosakan dan kehancuran sesebuah negara.

Dasar pecah dan perintah seperti yang dilakukan di Afrika dan Asia Barat akan diteruskan di Afghanistan.

Siri seterusnya adalah kemasukkan 'jihadis' ke Afghanistan untuk latihan dan melawan Amerika yang mana akhirnya akan dikembangkan ke Iran, Turki dan negara Asia Barat lainnya.

Hanya yang boleh menyekat agenda ini adalah China, kebangkitan kuasa 'naga' dan konflik yang timbul antara Beijing dan Washington dijangka akan mengalihkan perhatian dunia berkaitan isu terrorisme dalam dekad mendatang.

Ulangi kesilapan Perang Vietnam

Amerika nampaknya bakal dicop sekali lagi sebagai gagal dan kalah dalam peperangan.

Selama dua dekad 1955 hingga 1975, sekurang-kurangnya 50,000 korban di pihak Amerika terjadi dalam perang Vietnam.

Ketika era tersebut, teknologi persenjataan masih belum secanggih kini, akan tetapi era milenium ini menyebabkan angka kematian menjadi rendah, walaupun kemusnahan adalah sangat besar.

Malah kematian di pihak musuh juga adalah besar terutamanya apabila senjata kimia dan biologi digunakan dalam peperangan sebagaimana yang berlaku di Iraq dan Syria.

Perubahan kepimpinan Amerika menyebabkan dasar luar mereka juga berubah.

Biden melalui kenyataan media bertarikh 10 Ogos 2021 menyatakan Afghanistan bukan lagi masalah Amerika, ia perlu diselesaikan oleh warga Afghanistan sendiri!

Keadaan yang sama juga apabila Amerika di bawah Presiden Trump mengambil keputusan keluar daripada Iraq dan Syria.

Jelas Amerika bertindak sedemikian selepas terbukti mereka gagal dalam peperangan yang dicetuskan oleh mereka sendiri.

Pemimpin Amerika bersikap lepas tangan meninggalkan negara tersebut setelah terbukti mereka tidak mampu memenangi peperangan tersebut.

Jelas sekali, Taliban gagal dimusnahkan oleh Amerika walaupun bertapak selama 20 tahun di negara tersebut.

Bukan sahaja Amerika, Nato juga menerima tempias, dimalukan dengan kegagalan mengawal sebuah negara kecil yang miskin dan tidak mempunyai teknologi secanggih mereka.

Malah kelihatannya Amerika dan Nato mempunyai agenda peribadi apabila keluar dari Afghanistan dan membiarkan Taliban menguasai negara tersebut.

Keupayaan luar biasa yang dimiliki Taliban juga menunjukkan bahawa Amerika dan sekutunya dengan sengaja membiarkan Taliban berkembang, mendanai malah menyediakan strategi berkaitan agar kerosakan di Afghanistan akan berterusan.

Natijahnya nanti, Amerika dan sekutunya mempunyai alasan untuk menyerang semula negara ini atau menjadikan Afghanistan sebagai hub untuk menjatuhkan Iran dan lain-lain 'musuh' yang dikenal pasti berdasarkan kepentingan geopolitik mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Friday, July 30, 2021

Malaysia Aman Tanpa Ahli Politik

Malaysia Aman Tanpa Ahli Politik

Ketika kita kian bergelut dengan konflik jiwa, harga diri juga semain murah dan kes baru Covid-19 pula terus mencanak-canak naiknya sehingga ke angka amat menggerunkan, pada masa yang sama kita juga takjub dengan sikap aneh segelintir manusia, golongan kayangan, yang suka mengundang maki hamun untuk diri sendiri. Sama ada sengaja atau tidak, wallahu a'lam.

Ahli Politik

Cuma kita yakin ia sebenarnya sejenis penyakit juga. Dan penting juga diubati sebelum ia menjadi semakin tenat dan memualkan.

Kadang-kadang cara mereka mengajak orang memaki hamun dirinya itu juga unik, iaitu dia sengaja memilih ungkapan yang keji.

Walaupun tidak dinyatakan secara tersurat, mereka sebenarnya sangat meminta untuk dimaki semula.

Kemudian ada pula sindir-menyindir dan jika ia dirasa menyakitkan hati dan tidak boleh diterima, maka melatahlah mereka lalu khidmat peguam pun digunakan. Sementelah mereka memang berwang (baca wang rakyat).

Kita pun hairan kerana sepatutnya susuk tokoh yang kelihatan wajar dihormati dan meredakan kegelisahan ummah, tetapi sebaliknya dia selalu meminta agar dimaki.

Sekarang ini kalau ditelek-telek dari jauh, sebenarnya sudah ada riak-riak gelombang rakyat mahu mencari jalan sendiri untuk mengurus kemelut yang sedang melanda.

Rakyat yang rencam itu boleh berpakat lalu membentuk jemaah tersendiri apabila mereka disatukan oleh masalah yang sama.

Dan itulah yang sedang berlaku secara berselerak di seluruh negara apabila mereka bergandingan bahu menghulurkan bantuan kepada sesama, rakyat bantu rakyat.

Sesungguhnya negara ini sedang dahagakan kepimpinan yang segar dan meyakinkan, selain bebas daripada kebodohan bergayut pada kuasa yang menjadi nyawa mereka.

Padahal kuasa itulah yang dijadikan lesen untuk menyendatkan tembolok masing-masing dan pada masa yang sama kebajikan rakyat diketepikan.

Rakyat sudah tidak lagi mampu menahan perasaan hidup dalam suasana yang berulamkan maki hamun dan carut-marut seperti sekarang.

Masalah Covid-19 sudah cukup melemaskan dan tidak ada perlunya masalah lain ditambah oleh ahli politik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1

Monday, May 31, 2021

Total Lockdown 2021: Apa Sahaja Yang Di Benarkan?

Total Lockdown 2021: Apa Sahaja Yang Di Benarkan?

Prosedur operasi standard (SOP) untuk 'total lockdown' yang berkuat kuasa bermula 1 Jun 2021, kebanyakannya menyerupai apa yang dikuatkuasakan semasa perintah kawalan pergerakan pertama (PKP 1.0) pada bulan Mac tahun 2020 lalu.

Total Lockdown

Keseluruhan penutupan akan menyaksikan sebahagian besar sektor ekonomi dan sosial ditutup kecuali perkhidmatan penting manakala pergerakan orang ramai juga akan dibendung.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk larangan pergerakan penuh (total lockdown) hanya akan membenarkan beberapa perkhidmatan seperti berikut:

Pembuatan
  • Aeroangkasa (komponen dan maintenance, repair and overhaul - MRO).
  • Makanan dan minuman.
  • Bahan pembungkusan dan percetakan hanya berkaitan bahan makanan dan kesihatan.
  • Barang-barang dan penjagaan diri, dan bahan pencuci.
  • Keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet.
  • Barang penjagaan diri, peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan peralatan keselamatan kebakaran.
  • Komponen bagi peranti perubatan.
  • Elektrikal dan Elektronik (kepentingan rantaian ekonomi global).
  • Minyak dan gas (Oil and Gas) termasuk petrokimia dan produk petrokimia.
  • Mesin dan peralatan hanya berkaitan kesihatan dan makanan sahaja.
  • Tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja.
  • Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir.

Kapasiti bekerja yang dibenarkan adalah 60% pekerja sahaja.

Pertanian, Perikanan, Penternakan, Perladangan dan Komoditi
  • Pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya (contohnya kedai yang menjual baja dan racun/kilang memproses buah sawit adalah dibenarkan untuk beroperasi).
  • Perladangan dan komoditi serta rantaiannya (kelapa sawit, getah, lada dan koko).

Pembinaan
  • Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan kritikal.
  • Kerja-kerja pembinaan infrastruktur awam yang utama.
  • Kerja kerja pembinaan bangunan yang menyediakan penginapan pekerja yang lengkap di tapak bina atau pekerja yang ditempatkan di Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ).

Kapasiti bekerja yang dibenarkan adalah secara optima.

Perdagangan Pengedaran
  • Kompleks membeli-belah DITUTUP kecuali hanya premis, pasar raya, pasar raya besar dan departmental store yang mempunyai seksyen makanan dan minuman, keperluan asas, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan restoran untuk bawa pulang dan penghantaran ke rumah.
  • Pasar raya, pasar raya besar, kedai farmasi, penjagaan diri, kedai serbaneka, mini mart dan kedai runcit serta departmental store dibuka TERHAD kepada seksyen makanan, minuman dan keperluan asas sahaja.
  • Restoran, gerai-gerai serta outlet makanan.
  • Dobi (termasuk layan diri).
  • Kedai penjagaan haiwan dan makanan haiwan.
  • Kedai cermin mata dan barang optik.
  • Kedai hardware.
  • Bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti.
  • E-dagang (semua kategori produk).
  • Pemborongan dan pengedaran (semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja).

Semua sektor perniagaan ini dibenarkan beroperasi dari jam 8.00 pagi sehingga 8.00 malam sahaja.

LAIN-LAIN YANG DIBENARKAN

Penumpang

Kapasiti kenderaan persendirian dihadkan kepada dua wakil isi rumah sahaja termasuk pemandu bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan dan keperluan asas sepanjang tempoh 14 hari Sekatan Pergerakan Penuh.

Bagi tujuan kesihatan dan perubatan pula, kapasiti maksimum yang dibenarkan hanya tiga orang termasuk pesakit.

Pergerakan itu juga terhad dalam radius tidak melebihi 10 kilometer dari kediaman namun jika perkhidmatan kesihatan atau perubatan tersebut tiada dalam radius tersebut, pergerakan dibenarkan ke tempat paling hampir dengan kediaman.

Aktiviti Riadah

Dalam tempoh itu juga, pergerakan dan aktiviti riadah secara bersendirian tanpa bersentuhan dibenarkan namun terhad di kawasan terbuka selain hanya melibatkan senaman dan joging yang dilakukan di kawasan kejiranan bermula 7 pagi hingga 8 malam.

Taman asuhan kanak-kanak (Taska), taman didikan kanak-kanak (Tadika) dan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) swasta di sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat serta pusat perkembangan minda bagi kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun dibenarkan beroperasi untuk petugas barisan hadapan serta ibu bapa yang kedua-duanya bekerja.

Pengangkutan Awam

Kapasiti penumpang dalam teksi dan e-hailing dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu dan penumpang disyaratkan duduk di kerusi belakang.

Bagi perkhidmatan pengangkutan awam laut dan darat seperti pengangkutan pekerja, bas henti-henti, bas ekspres, Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), Express Rail Link (ERL), monorel dan feri dibenarkan beroperasi berdasarkan 50 peratus kapasiti.

Keagamaan

Aktiviti solat di surau dan masjid terhad kepada maksimum 12 ahli jawatankuasa (AJK) manakala aktiviti lain tidak dibenarkan.

Upacara pernikahan (akad nikah) Islam dibenarkan hanya di pejabat Jabatan Agama Islam dengan kehadiran mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing manakala aktiviti rumah ibadat bukan Islam adalah dihadkan kepada maksimum 12 AJK rumah ibadat dengan kehadiran penganut tidak dibenarkan.

Stesen Minyak

Stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam kecuali di lebuh raya yang boleh beroperasi 24 jam.

Total Lockdown: Perkhidmatan Awam Bekerja Dari Rumah (BDR) Sepenuhnya!

Perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR) sepenuhnya susulan pengumuman pelaksanaan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi fasa pertama di seluruh negara, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Namun, arahan itu tidak termasuk perkhidmatan barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan.

Perintah itu bertujuan untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka bagi mengelakkan penularan pandemik Covid-19.

Semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat dan terjamin kerahsiaan serta tiada perjumpaan atau aktiviti fizikal dibenarkan.

Perkhidmatan kaunter ditutup dan segala urusan adalah melalui perkhidmatan dalam talian kecuali kaunter perkhidmatan kesihatan, balai polis dan di pintu-pintu masuk antarabangsa yang melibatkan perkastaman, imigresen serta kuarantin.

Pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah, yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja. BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah, yang jelas memperincikan aspek-aspek yang perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.

Sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan kepada BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di bawah P.U (A) 395 - Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Bagaimanapun, kehadiran ke pejabat boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak dapat dilaksanakan secara BDR dengan tidak melebihi kapasiti 20 peratus di pejabat.

Antara urusan yang dibenarkan kehadiran di pejabat ialah pembayaran kontrak, invois atau gaji, pembayaran atau pengagihan bantuan bulanan dan berkala kepada rakyat, penyelenggaraan atau keselamatan permis dan pengurusan teknikal ICT bagi tujuan penyelenggaraan sistem serta mesyuarat dalam talian.

Penggiliran kakitangan bagi tempoh maksimun empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja. kakitangan bagi tempoh maksimun empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja.

Pemantauan akan dilaksanakan dari masa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan. akan dilaksanakan dari masa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan.

Sebarang pengecualian arahan itu perlu mendapat kelulusan Pejabat KSN.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2 | 3

Sunday, May 30, 2021

COVID-19: Virus Baharu Gabungan Varian India dan UK Lebih Berbahaya!

COVID-19: Virus Baharu Gabungan Varian India dan UK Lebih Berbahaya!

Pihak berkuasa Vietnam mengesan varian baharu virus COVID-19 yang merupakan gabungan varian India dan UK serta tersebar melalui udara dengan pantas, dengan Menteri Kesihatan Vietnam, Nguyen Thanh Long menggambarkan varian baharu itu sebagai kacukan daripada dua varian yang diketahui sebelum ini.

Covid-19

Jelasnya, varian baharu itu merupakan varian India dengan mutasi yang asalnya daripada varian UK serta lebih berbahaya.

Selepas berjaya membendung virus tersebut hampir sepanjang tahun 2020 lalu, Vietnam menghadapi peningkatan jangkitan sejak akhir April 2021.

Negara Asia Tenggara sebelum ini telah mengesan tujuh varian COVID-19 antaranya B.1222, B.1.619, D614G, B.1.1.7, B.1.351, A.23.1 dan B.1.617.2.

Long berkata, Vietnam akan segera menerbitkan data penjujukan genom varian baharu dikenal pasti itu yang menurutnya lebih mudah tersebar daripada jenis yang diketahui sebelum ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengenal pasti empat varian SARS-CoV-2 yang menjadi kebimbangan global. Ini termasuk varian yang muncul pertama kali di India, Britain, Afrika Selatan dan Brazil.

Ketua Teknikal WHO untuk COVID-19, Dr. Maria Van Kerkove berkata, setakat ini pihaknya masih belum membuat penilaian mengenai varian virus yang dilaporkan di Vietnam.

"Pejabat kami bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan di Vietnam dan kami mengharapkan lebih banyak maklumat tidak lama lagi," katanya.

Dari pemahaman WHO ketika ini, varian yang dikesan di Vietnam adalah varian B.1.617.2 atau lebih dikenali sebagai varian India dengan kemungkinan mempunyai mutasi tambahan.

Long menyatakan varian baharu menunjukkan virus itu mereplikasi dirinya dengan sangat pantas, mungkin menjelaskan mengapa begitu banyak kes baru muncul di pelbagai tempat di negara itu dalam jangka waktu yang singkat.

KKM, KPT perlu buat penyelidikan segera varian baharu

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu menjalankan penyelidikan terhadap varian baharu yang disifatkan semakin mengganas.

Menurut Pakar Kesihatan Awam, Prof Datuk Dr Syed Mohamed Aljunid Syed Junid, sehingga kini belum terdapat bukti menunjukkan varian baharu COVID-19 menyebabkan tahap keparahan tinggi terhadap pesakit.

"Sehingga hari ini walaupun varian ini tahap berjangkit lebih tinggi, tetapi pada masa kini belum ada bukti varian ini menyebabkan penyakit (gejala) lebih serius dan berbahaya.

"Tahap keparahan pesakit pada masa sekarang, belum lagi terbukti ia lebih tinggi kadar kematiannya.

"Kita masih ada ruang perbaiki keadaan walaupun berlaku varian baharu," katanya.

Tambahnya, penyelidikan lebih mendalam perlu dilakukan segera bagi mendapatkan data mengenai varian baharu itu.

"Saya cadangkan KKM bersama KPT melakukan penyelidikan apakah varian baharu ini menyebabkan tahap keparahan tinggi dan hasil daripada penyelidikan mendapati infeksi varian baharu ini.

"Tiga pihak harus terlibat, doktor daripada KKM; kedua, makmal yang berkapasiti melakukan ujian genetik; ketiga, mereka yang berada di lapangan seperti pakar kesihatan awam yang mempunyai data pesakit yang mereka telah kesan.

"Ketiga-tiga data ini harus dikumpulkan untuk penyelidikan bagi melihat adakah varian baharu ini menyebabkan berlaku peningkatan tahap kematian," katanya lagi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2