Monday, January 10, 2022

Aplikasi Scammer Melalui WhatsApp Mampu 'Sedut' Duit Dalam Akaun Bank!

Aplikasi Scammer Melalui WhatsApp Mampu 'Sedut' Duit Dalam Akaun Bank!

Berupaya mencipta pelbagai aplikasi khas khusus digunakan untuk menggodam telefon pintar mangsa selain menyedut duit simpanan di dalam akaun bank dalam tempoh masa singkat, kegiatan jenayah licik kian menjadi-jadi selepas ramai mangsa diperdaya penjenayah scammer profesional yang juga pakar membuat aplikasi khas untuk tujuan jenayah terancang itu.

Aplikasi Scam

Terbaharu, seorang ahli perniagaan, Samantha, 40, mendakwa rugi RM4,255 selepas telefon miliknya digodam scammer ketika dia cuba menempah perkhidmatan pembersihan.

Menurutnya, dia mengetahui perkhidmatan itu secara secara dalam talian bulan Disember 2021 lalu sebelum menghubungi melalui WhatsApp.

"Suspek kemudiannya menghantar pautan dan meminta saya memuat turun aplikasi khas untuk membuat temu janji. Tanpa curiga, saya masukkan butiran peribadi ke dalam aplikasi itu.

"Saya diarah bayar deposit RM20. Saya cuba buat pembayaran transaksi menggunakan nama dan kata laluan bank di telefon pintar.

"Namun skrin paparan pada pautan perbankan internet itu menjadi kosong. Saya cuba guna akaun bank lain namun perkara sama berlaku," katanya,

Menurutnya, dia terkejut mendapati berlaku pemindahan wang tanpa kebenaran RM3,655.40 melalui satu akaun bank miliknya.

"Saya terkejut mendapati RM600 dari akaun bank lain turut dipindahkan tanpa pengetahuan.

"Saya segera membuat laporan polis pada hari sama kerana mengesyaki seseorang menggodam telefon saya apabila saya memuat turun aplikasi itu," katanya.

Seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amran, 35, kerugian RM5,670 selepas memuat turun aplikasi khas dihantar pihak kononnya menawarkan khidmat menjual kereta di bawah harga pasaran.

Menurutnya, dia yang tertarik membeli kereta model Audi A5 ditawarkan pada harga serendah RM40,000.

"Saya diminta memuat turun aplikasi khas kononnya bagi urusan tempahan kereta. Beberapa hari selepas memuat naik aplikasi itu pada Disember lalu, saya sedar wang simpanan saya hilang tanpa diketahui punca.

"Saya syak individu menawarkan kereta berkenaan menggodam maklumat peribadi saya," katanya,

Sementara itu seorang penyelia tapak binaan menjadi mangsa selepas memuat naik aplikasi ciptaan scammer ini yang turut mencuri data dan gambar peribadi mangsa bagi tujuan ugutan.

Mangsa, Mohamad Zulkaria, 40-an, memaklumkan menjadi mangsa sindiket ketika mahu memohon pinjaman peribadi baru-baru ini.

Dia mendakwa melihat iklan pinjaman wang berlesen sebelum menghubungi nombor tertera.

"Individu yang menjawab panggilan minta saya muat turun aplikasi nama Easy.., kononnya bagi memudahkan permohonan pinjaman dilakukan," katanya yang membuat aduan di Biro Pengaduan Awam MCA.

Menurutnya, dia mengikut segala arahan diberi dengan memasukkan maklumat peribadinya ke dalam aplikasi dimuat turun itu.

Dia terkejut menerima panggilan rakan memberitahu mereka menerima mesej mendakwa saya ada pinjaman tertunggak. Malah salinan MyKad serta gambar intim bersama tunang didedahkan scammer terbabit kepada rakan saya.

"Saya terima panggilan telefon dari individu tidak dikenali menuntut hutang walaupun pinjaman belum diperoleh.

"Saya mengesyaki sindiket itu menggodam telefon saya menggunakan aplikasi itu," katanya yang sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

Sementara itu Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong memaklumkan pihaknya menerima aduan membabitkan modus operasi sama dengan kerugian lebih RM500,000 sejak awal tahun 2021 lalu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: hmetro

Friday, January 07, 2022

KKM Sahkan Dua Kematian Dan 18 Kes Serius Di Penjara Kajang Selepas Suntikan Dos Penggalak Covid-19!

KKM Sahkan Dua Kematian Dan 18 Kes Serius Di Penjara Kajang Selepas Suntikan Dos Penggalak Covid-19!

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan surat daripada pengarah penjara Kajang yang memperincikan 18 kes serius kejadian kesan mudarat berikutan imunisasi (AEFI), termasuk dua kematian banduan, selepas gambar surat itu tular di media sosial.

Meninggal Selepas Booster

KKM menyatakan bahawa mereka telah menerima laporan insiden AEFI dan kini masih menyiasat mereka yang diklasifikasikan sebagai AEFI serius.

KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memantau secara berterusan keselamatan penggunaan semua vaksin termasuk vaksin Covid-19 melalui pemantauan laporan AEFI.

Kesemua laporan yang dinyatakan dalam surat tersebut telah diterima oleh pihak NPRA, yang diklasifikasikan sebagai serius termasuk yang melibatkan kematian sedang dalam proses penyiasatan, menurut Pengarah NPRA Dr. Roshayati Mohamad Sani.

Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat serta Jabatan Kesihatan Selangor kemudiannya akan membentangkan hasil siasatan kepada Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin (JFK) Vaksin Covid-19 untuk menentukan sekiranya terdapat hubungan sebab akibat antara vaksin dan kesan buruk, merujuk kepada surat bertarikh 30 November 2021 yang dihantar oleh pengarah penjara Kajang kepada pejabat kesihatan daerah tempatan.

Dalam surat itu, pengarah berkenaan telah memperincikan 18 kes AEFI yang serius dan meminta penjelasan berhubung suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Daripada 18 kes itu, dua yang maut melibatkan penerima vaksin Pfizer, menurut surat itu.

Berdasarkan data yang tersedia secara umum daripada Kementerian Kesihatan, terdapat 124 laporan AEFI serius yang dikemukakan kepada NPRA berhubung vaksin Pfizer, daripada 5,788,459 dos yang diberikan sejak 1 November 2021.

APA SEBENARNYA DOS PENGGALAK DAN DOS KETIGA?

Berikut adalah 5 perkara yang antara perlu tahu tentang dos ketiga dan dos penggalak:

1. Dos ketiga vaksin COVID-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series).

2. Dos penggalak vaksin COVID-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.

3. Vaksin Pfizer COVID-19 telah diluluskan sebagai dos penggalak.

4. Selang tempoh dari dos terakhir vaksin COVID-19 untuk pemberian dos ketiga adalah sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua dan untuk dos penggalak adalah sekurang-kurangnya 6 bulan selepas dos kedua.

5. Golongan yang diberikan keutamaan untuk pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 pada masa ini adalah:
  • i. Dos Ketiga: Golongan immunocompromise atau yang mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan yang dianggarkan seramai 11,900 orang.
  • ii. Dos Penggalak: Warga Usia Emas iaitu mereka yang berusia lebih 60 tahun seramai 80,300 orang dan Petugas Barisan Hadapan Perubatan seramai 30,340 orang.

JANGAN TIPU RAKYAT

Secara berasingan, NGO Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menuntut penjelasan lanjut mengenai proses vaksinasi untuk banduan penjara, yang mereka dakwa tidak memerlukan vaksinasi kerana mereka terpencil di dalam penjara.

"PPIM amat prihatin dengan fenomena ini memandangkan penjara adalah sebuah persekitaran yang tertutup yang mempunyai interaksi yang minimal dengan pihak luar.

"Kami menggesa pemberian vaksin untuk tahanan penjara ini dikaji semula, mungkin memberikannya atas keperluan sahaja, misalnya vaksin hanya diberikan kepada mereka yang bakal dibebaskan,” kata Presiden PPIM Nadzim Johan pada sidang akhbar di Kuala Lumpur.

PPIM menggesa kerajaan mendedahkan sama ada banduan Kajang telah menerima suntikan penggalak mereka atau tidak.

Mereka juga ingin tahu berapa ramai banduan dalam negara yang telah menerima suntikan vaksin mereka dan pada tahap mana dos vaksin mereka.

Akhir sekali, mereka ingin tahu berapa banyak kes AEFI telah direkodkan dalam kalangan banduan penjara di seluruh negara setakat ini.

Nadzim menyoal jika ujian patologi terperinci telah dijalankan untuk semua kematian.

Adakah ahli keluarga si mati diberi maklumat yang benar, soalnya lagi.

Dan bagaimana dengan kes-kes kematian selepas vaksin covid-19 dan dos penggalak diseluruh negara?

Adakah KKM dan kerajaan yang sedang memerintah berbohong kepada rakyat?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Tuesday, December 28, 2021

Jutawan 10 Minit! Bagaimana Menjadi Kaya dan Hidup Senang?

Jutawan 10 Minit! Bagaimana Menjadi Kaya dan Hidup Senang?

Bayangkan kehidupan anda selepas ini, setelah menggunakan program ajaib dan penuh rahsia ini. Segala keresahan, kebingungan, kebimbangan tentang keadaan kewangan anda akan terhapus serta merta selepas anda RUN kan program ini dalam masa 10 minit sahaja lagi. Masalah kewangan yang anda hadapi sekarang akan bertukar kepada kemewahan ekonomi yang tidak henti-henti.

Rahsia Jutawan 2022

Anda akan bebas kewangan, bebas melakukan apa-apa sahaja, bila-bila anda mahu!

Jika anda mahu beli kereta, tidak perlu lagi bertungkus-lumus memikirkan bagaimana nak buat bayaran bulanan pinjaman kereta. Mahu duduk rumah yang mewah, nah... petik jari saja – satu keluarga anda pindah masuk banglo besar dalam masa 10 minit lagi!

Tapi yang paling best sekali – anda tak payah kerja lagi seumur hidup anda selepas ini. Boleh terus berikan notis berhenti kerja sebaik anda tekan butang "TEMPAHAN" di bawah.

Rutin Harian Anda Selepas Ini:

8 PAGI

Anda bangun pagi selamba lewat di rumah yang baru dibeli dengan program kerana tidak perlu ke tempat kerja lagi dah setiap hari. Bayangkan orang lain biasanya pukul 6 pagi dah bangun kerana kena bersiap untuk ke kerja.

830 PAGI

Anda ambil masa makan sarapan pagi kegemaran anda sesuka hati sambil melihat FB, Insta, Twitter & channel YouTube kegemaran anda di telefon bimbit anda. Sementara itu - orang lain sedang melalui kesesakan lalu-lintas setiap pagi.

9 PAGI

Sebelum keluar rumah untuk jogging di taman, anda masuk ke dalam portal FlexBiz500 anda dan periksa akaun sambil pastikan segala settings betul. Kemudian anda keluar best aje berjoging pagi, menghirup udara segar pagi hari di taman bukit. Bayangkan orang lain dah punch in masuk dan sedang di marahi bos mereka.

10 PAGI

Anda tekan punat START kereta baru yang dibeli dengan program ini dan pergi merayau-rayau ke pusat beli-belah kegemaran anda untuk membeli barangan-barangan jenama mewah setiap hari. Mungkin keluar dengan isteri dan belikan barang-barang luxury dan class di mall mewah ke apa..

12 TENGAHARI

Anda dan isteri makan di restoran class yang memang menjadi kegemaran anda. Anda order sahaja apa-apa kerana duit bukan lagi menjadi halangan untuk anda. Orang lain yang bekerja terhad - masa makanan tengah hari mereka selalunya dalam sejam sahaja. Anda boleh lepak selama-lama anda mahu di restoran mewah kegemaran anda.

2 PETANG

Anda balik rumah dan pergi tidur petang selama anda mahu pun sementara orang lain sedang bertungkus-lumus menghadiri meeting dan buat presentation sambil di asak soalan-soalan kiri dan kanan. Bestkan..

5 PETANG

Anda periksa portal keahlian FlexBiz500, wow RM1,000 dah masuk ke akaun bank. Anda periksa Maybank2U untuk kepastian dan wow... betul, ia dah masuk betul-betul ke dalam akaun bank anda. Anda keluar lagi sekali untuk beriadah ke taman atau berjumpa kawan-kawan berborak-borak sesuka hati. Ya, orang lain sedang bersesak melalui jam untuk balik rumah. Anda lepak sahaja!

MALAM

Jadi, sepanjang hari – anda melepak sahaja tetapi duit masuk gitu-gitu sahaja, tak payah buat apa-apa pun. Semua secara automatik dan berjalan secara sendiri sahaja.

KEBEBASAN ADALAH APA YANG ANDA MAHU!

Duit Masyuk

Memang nampak tersangat best kalau dapat duit banyak-banyak dari program FLEXBIZ500 ini untuk membeli segala barang-barang mewah, kereta, rumah, percutian dan sebagainya. Namun, pada saya yang paling penting adalah KEBEBASAN DIRI.

Kebebasan adalah jauh lebih penting dari segala-galanya. Kebebasan akan membolehkan anda melakukan perkara-perkara yang anda benar-benar suka dalam hidup ini.

Jika hobi anda adalah untuk melawat seluruh dunia dan tinggal di hotel-hotel mewah di London atau Paris ke - semua boleh dilakukan jika anda menjadi ahli FLEXBIZ500 ini.

Jika anda suka memancing, boleh sewa yacht dan memancing ikan tuna di tengah laut. Jika anda suka membaca atau melukis, boleh duduk santai di rumah sepanjang hari sambil melakukan semua ini.

Sekali lagi, paling penting dalam hidup adalah KEBEBASAN untuk diri anda – boleh lakukan apa-apa yang anda mahu pada bila-bila masa anda mahu, di mana-mana anda mahu.

Hanya join, kemudian masukkan nombor akaun bank dan tunggu sahaja duit masuk!

Jalan terbaik adalah untuk tekan pada butang tempahan sekarang dan jangan berlengah-lengah lagi ikuti segala syarat permohonan.

Borang Tempahan

Jangan risau, duit sekali sahaja yang anda hanya perlu letak kemudian pendapatan bulanan yang tetap sampai bila-bila akan masuk selepas itu.

Jangan tunggu lama sangat. Rezeki tidak datang bergolek. Bertindaklah sekarang!!!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Friday, December 17, 2021

Kisah Pengamal Ilmu Balan-balan!

Kisah Pengamal Ilmu Balan-balan!

Apa yang hendak diceritakan ini adalah berdasarkan pengalaman seorang kenalan. Kisah ini berlaku di Sabah sekitar tahun 1960-an dan ia diceritakan semula pada pertengahan tahun 1999 oleh Sanusi Udi, orang yang menyaksikan sendiri kejadian ini.

Kepala balan-balan
Gambar hiasan.

Begini cerita Sanusi. Suatu petang sewaktu dia dan kawan-kawannya sedang berborak di sebuah kedai kopi di Kinabatangan, seorang kawannya yang bernama Dusmin, tiba-tiba menjadi resah. Matanya merah, air liurnya meleleh dan dia memandang sekeliling dengan pandangan yang liar.

"Aku minta diri dulu!" kata Dusmin tiba-tiba, dan terus bergegas pulang.

Petang itu, Sanusi mendapat berita, ada penduduk kampungnya meninggal dunia dan selang beberapa hari kemudian, kejadian seperti itu berlaku lagi.

Dan seperti sebelum ini, tidak lama selepas Dusmin pulang, Sanusi mendapat berita seorang penduduk kampungnya meninggal dunia.

Sanusi mula tertanya-tanya, kenapa Dusmin tidak semena-mena berubah sikap dan tergesa-gesa pulang apabila ada penduduk kampungnya mati? Apa kaitan dengan Dusmin?

Setelah didesak, akhirnya Dusmin mengaku.

"Aku pulang untuk jadi balan-balan."

Apa itu balan-balan?

Di Semenanjung, balan-balan disebut penanggal, iaitu seseorang yang boleh menanggalkan kepalanya, lalu terbang ke tempat orang mati atau hendak bersalin dan menghisap darahnya.

Apabila terbang, yang kelihatan adalah kepala dan isi perut si penanggal yang terang menyala bagaikan api. Ia dilakukan menggunakan ilmu hitam bagi tujuan mendapatkan kekuatan diri.

Benarkah Dusmin menjadi balan-balan?

Apabila soalan itu Sanusi ajukan, Dusmin menyelak kolar bajunya. Lalu ternampaklah garisan parut panjang di sekeliling pangkal lehernya.

Bagi membuktikan pengakuannya itu, Dusmin menanggalkan kepalanya dan terbang ke rumah bapa Sanusi beberapa puluh kilometer dari situ.

Dia pulang menemui Sanusi tidak lama kemudian, dan memberitahu secara terperinci keadaan bapanya, rumahnya dan keadaan sekitarnya. Apa yang diberitahu Dusmin itu memang tepat, sedangkan dia tidak pernah sekalipun pergi ke sana.

Menurut Dusmin, balan-balan tidak akan dapat dilihat oleh mata kasar. Dalam keadaan halimunan itulah dia akan menukarkan mayat dengan batang pisang.

Mayat itu kemudian dibawa terbang ke tepi sungai, lalu digoyang-goyangkan di dalam perahu bersama dengan balan-balan lain, kebanyakannya lelaki.

Apabila digoyang-goyang, tubuh mayat itu akan berkecai dan dagingnya bertukar menjadi ikan, lalu dimakan oleh balan-balan berkenaan.

Ilmu balan-balan diceritakan amat popular di kalangan salah satu suku kaum di Sabah. Ia diamalkan agar mereka menjadi kuat dan digeruni lawan. Ilmu ini biasanya diwarisi daripada bapa atau datuk.

Ia boleh juga dituntut melalui bomoh ilmu hitam. Tempoh menuntut adalah seminggu.

Selain jampi mantera, kata Sanusi, orang menuntut ilmu balan-balan dikehendaki menggali sebuah perigi sebesar pemeluk dan berendam di dalamnya selama tujuh hari berturut-turut.

Setelah itu, bomoh akan meludah dan muntah di dalam mulut si penuntut tadi. Muntah dan ludahnya hendaklah ditelan tanpa tinggal walaupun setitik.

Bagaimana kita tahu adanya balan-balan?

Kehadiran makhluk itu boleh diketahui dengan lintasan api dan bunyi 'kwak' yang dikeluarkannya.

Dinding di bawah atap rumah manusia balan-balan pula boleh dibuka bagi memudahkannya keluar mencari mangsa.

Sanusi juga menceritakan, di kalangan satu lagi suku kaum di Sabah, hanya wanita saja yang menjadi balan-balan.

Apabila ada wanita bersalin, balan-balan itu akan menghirup darah yang keluar. Ia merasuk bayi sehingga mati. Apabila dikebumikan, balan-balan akan menyelongkar kuburnya dan memakan mayat bayi berkenaan.

Paling menakutkan ialah balan-balan Kaliawan. Untuk memiliki ilmu balan-balan kaliawan, seseorang itu hendaklah membunuh anak sulungnya sendiri. Ada juga balan-balan yang boleh mengubah dirinya menjadi haiwan seperti anjing dan kucing.

Bagaimanapun, kata Sanusi, ilmu hitam itu sudah lama ditinggalkan. Dengan berkembangnya Islam di Sabah, suku kaum terlibat mula menyedari bahawa ianya perbuatan syirik dan dosa besar.

Apa yang diceritakan di atas berdasarkan kisah yang diceritakan sendiri oleh Sanusi. Mungkin di tempat lain, berbeza pula versinya.

Namun, kisah balan-balan atau penanggal ini memang popular sehingga sekarang dan ramai yang pernah melihatnya.

Adakah anda juga pernah 'bertemu' balan-balan?

BACA INI JUGA:
sumber: utusantv

Thursday, December 16, 2021

Robot Star Wars 'R2-D2' Bernilai RM12 Juta!

Robot Star Wars 'R2-D2' Bernilai RM12 Juta!

Robot paling terkenal, R2-D2, yang digunakan dalam beberapa filem Star Wars berjaya dijual pada harga hampir AS$3 juta (RM12.02 juta), dan menurut agensi di Los Angeles dalam katalog profil sejarahnya menyatakan, robot tersebut dipasang daripada bahagian yang digunakan dalam tiga filem Star Wars di antara 1977 dan 1983 dan dua filem di antara 1999 dan 2005.

R2-D2 and C-3PO

Watak setinggi 109 sentimeter itu sebahagian besarnya dilakonkan aktor Inggeris, Kenny Baker yang terkenal dengan jenakanya.

Difahamkan, robot yang dijual itu mempunyai alat mekanikal dalaman dan bahagian luarnya diperbuat daripada aluminium, besi dan gentian kaca.

Pembeli yang enggan dikenali itu membayar AS$2.76 juta (RM11.85 juta) untuk robot itu, menjadikan ia lelongan termahal dalam sesi tiga hari membabitkan peralatan lakonan Hollywood.

Ia termasuk banyak alat lakonan lain daripada syarikat Lucasfilm, dengan lelongan keseluruhan berjumlah AS$14 juta (RM60.11 juta).

Pedang cahaya Skywalker daripada dua filem pertama, 'A New Hope' dan 'The Empire Strikes Back' berjaya dilelong pada harga AS$450,000 (RM1.93 juta).

Manakala topeng Darth Vader daripada filem asal dijual pada harga AS$96,000 (RM412,000).

Makna Nama Robot R2D2 Dan C-3PO

Robot kecil dan comel, R2-D2 seringkali menjadi antara robot ikonik di dalam filem Star Wars dan ramai yang tahu bahawa robot tersebut dinamakan R2-D2 kerana ianya singkatan dari "Second Robotic Droid Series-2".

Namun, di sebalik nama itu, ramai yang tidak tahu bahawa pada asalnya, George Lucas tidak mahu menamakan robot tersebut R2-D2.

Dalam satu post Twitter, pengarah kreatif Lucasfilm, Phil Szostak mendedahkan bahawa nama R2-D2 sebenarnya diambil daripada teriakan seorang kru ketika penggambaran filem tersebut.

Sekarang anda sudah tahu asal usul nama robot R2D2.

Bagaimana pula dengan sahabatnya, C-3PO? Nama C-3PO diambil dari lokasi sebuah pejabat pos yang terletak pada titik rujukan C3 di peta bandar kelahiran George Lucas.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Tuesday, December 07, 2021

6 Produk 'Popular' Google Yang Gagal Dan Telah Di Tamatkan

6 Produk 'Popular' Google Yang Gagal Dan Telah Di Tamatkan

Apabila Google disebut, perkara pertama yang terlintas di fikiran adalah carian Google dan walaupun ia adalah produk pertama dan paling berjaya, terdapat banyak produk lain syarikat gergasi ini yang gagal dan terpaksa ditamatkan.

Google failed product

Menurut Android Authority, berikut adalah 5 produk Google yang gagal kerana kurang mendapat sambutan.

1. Google Buzz (2010–2011)

Buzz adalah percubaan besar yang dilakukan oleh Google sebelum Google Plus, berfungsi sebagai medium sosial. Buzz mirip Twitter, yang membolehkan pengguna menyiarkan kemas kini status, gambar, video dan pautan.

Menurut Android Authority, Google menghentikan perkhidmatan tersebut hanya selepas setahun setelah dilancarkan kerana masalah privasi yang memerlukan Google menyelesaikan tuntutan berjumlah $8.5 juta.

Ini kerana Google telah menggunakan maklumat Gmail untuk platform sosial tanpa meminta izin pengguna.

2. Picasa (2002–2016)

Picasa adalah salah satu aplikasi yang dibeli oleh Google menerusi Lifescape, digunakan untuk mengurus dan menyunting gambar. Pada tahun 2016, Google telah menghentikan aplikasi ini dan memberikan fokus utamanya kepada Google Photos.

3. Google Spaces (2016–2019)

Spaces membolehkan pengguna membuat panggilan secara berkumpulan untuk berkongsi pautan, foto dan video. Menariknya, Spaces berkaloborasi bersama dengan YouTube, Chrome dan Search, menjadikan aplikasi ini mudah untuk pengguna.

Malangnya, pada April 2019, Google telah menghentikan aplikasi ini kerana kurang mendapat sambutan daripada pengguna.

4. Google Chrome Apps (2010–2017)

Percubaan Google untuk membuat aplikasi web berasaskan Chrome juga tidak berjaya. Syarikat Google mengakui bahawa hanya satu peratus pengguna Windows, Mac dan Linux menggunakan Google Chrome Apps dalam masa setahun. Sekarang ini aplikasi tersebut telah digantikan dengan Progressive Web Apps.

5. Google Video (2005–2012)

Google Video adalah platform percuma di mana pengguna dapat memuat naik klip video untuk dilihat oleh seluruh dunia.

Google Video menghadapi persaingan yang hebat dari YouTube, lalu akhirnya Google telah menutup Google Video dan membeli YouTube.

6. Google+ (2011–2019)

Google telah melancarkan Google+ secara rasmi pada 28 Jun 2011 dengan ciri-ciri jaringan sosial yang bersifat menyeluruh. Ketika awal pelancaran Google+, ia dilihat membawa potensi yang cukup besar kerana menawarkan sejumlah fungsi unik kepada pengguna.

Salah satu sebab yang mungkin menyumbang kepada kejatuhan Google+ adalah dari segi fungsi yang sedikit mengelirukan.

Sistem perletakkan rakan berasaskan Circle walaupun dilihat berguna, ia sebenarnya telah membuatkan sesetengah pengguna keliru dengan fungsi ini pada mulanya.

Kebanyakan pengguna juga tidak mempunyai masa untuk mengasingkan rakan-rakan mereka di dalam kumpulan tertentu.

Google+ juga menggunakan elemen antaramuka yang berlainan berbanding perkhidmatan media sosial sedia ada. Mereka menggunakan sistem "+1" berbanding simbol yang lebih dikenalpasti oleh pengguna.

Simbol seperti "thumbs up" atau "love" lebih membawa maksud suka, berbanding sistem angka berasaskan "+1" ini. Pengguna juga perlu menggunakan simbol "+" berbanding "@" ketika ingin memanggil (mention) pengguna lain.

Seperti mana perkhidmatan goo.gl yang telah ditamatkan sebulan sebelumnya, Google telah mengumumkan tarikh 2 April 2019 sebagai tarikh penamatan Google+.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2

Friday, December 03, 2021

Bahaya Varian Omicron Covid-19!

Bahaya Varian Omicron Covid-19!

Varian Omicron yang juga dikenali sebagai B.1.1.529 dengan mutasi baharu pertama kali ditemui di Afrika Selatan dan sejak itu dikesan di Belgium, Botswana, Israel dan Hong Kong, dikatakan memiliki gejala yang tidak jauh berbeza dengan virus lain, namun boleh merebak dengan lebih cepat berbanding varian Delta.

Varian Omicron

Menurut pakar, gejala umum yang boleh dialami pesakit adalah seperti keletihan selama satu atau dua hari, sakit kepala dan badan selain kerongkong, namun gejala ringan boleh dirawat di rumah.

Pesakit tidak mengalami batuk-batuk, tidak juga hilang deria bau dan rasa, tetapi memiliki tingkat mutasi lebih tinggi sehingga penularannya cepat meskipun dengan gejala ringan.

Omicron juga mempunyai banyak mutasi, termasuk 26 hingga 32 mutasi di spike protein serta 10 mutasi di protein yang melekat kepada ACE2 receptor yang membolehkan virus masuk ke dalam sel badan. Sebagai perbandingan, varian Beta mempunyai tiga mutasi dan varian Delta mempunyai dua mutasi.

Bukti awal menunjukkan varian Omicron juga berkemungkinan menyebabkan risiko lebih tinggi untuk jangkitan semula (reinfection) berbanding VOC lain.

KENAPA DINAMAKAN OMICRON?

Varian Covid-19 terbaharu ini dinamakan Omicron, sempena huruf ke-15 abjad Yunani.

Sistem penamaan, yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menjadikan komunikasi awam tentang varian lebih mudah dan kurang mengelirukan.

Sebagai contoh, varian yang muncul di India tidak dikenali sebagai B.1.617.2, sebaliknya ia dikenali sebagai Delta, huruf keempat abjad Yunani dan sehingga kini terdapat tujuh VOC dan masing-masing mempunyai huruf Yunani.

Walau bagaimanapun, beberapa varian lain dengan huruf Yunani tidak mencapai tahap pengelasan tersebut dan WHO juga melangkau dua huruf sejurus sebelum Omicron — 'Nu' dan 'Xi' — yang membawa kepada spekulasi sama ada 'Xi' dielakkan sebagai menghormati presiden China, Xi Jinping.

'Nu' (New) terlalu mudah dikelirukan dengan 'baharu' dan 'Xi' tidak digunakan kerana ia adalah nama keluarga biasa.

KENAPA VARIAN OMICRON LEBIH BERBAHAYA?

Kenapa varian Omicron membimbangkan adalah kerana cirinya berbeza daripada varian-varian Covid-19 sebelum ini.

Semua vaksin koronavirus yang dihasilkan setakat ini menumpukan kepada ciri eksklusif virus Covid-19 iaitu 'durinya' kerana boleh dikatakan semua virus Covid-19 mempunyai ciri duri yang digunakan oleh vaksin untuk 'mengajar' antibodi manusia supaya dapat mengecam sekali gus memusnahkan virus tersebut.

Omicron bagaimanapun mempunyai ciri berbeza dengan virus dan varian Covid-19 lain sehinggakan antibodi manusia tidak lagi dapat mengecamnya. Dalam erti kata lain, segala penat jerih sebelum ini adalah tidak berguna untuk varian Omicron ini.

Sekiranya kajian lanjut mengesahkan kebimbangan pakar-pakar dan WHO mengenai ciri unik Omicron tersebut benar, maka risiko terhadap penduduk lengkap divaksin atau mereka yang tidak divaksin adalah sama, ibarat 'wal hasil balik asal'.

Ini bermakna, mereka yang lengkap divaksin atau menerima dos penggalak boleh dijangkiti Omicron sehinggalah para saintis dapat menghasilkan vaksin khusus untuk varian ini.

Perkembangan ini sememangnya merisaukan kerana kita perlu mengamalkan semula segala SOP ketika era pandemik sebelum vaksinasi di mana norma baharu adalah satu-satunya cara yang dapat mencegah jangkitan Omicron.

Ia amat memenatkan untuk kita semua kerana terpaksa sekali lagi melaksanakan sekatan ketat dan 'lockdown' yang kita pernah mengharungi jerihnya sebelum ini.

Namun, ada pandangan berbeza terutamanya daripada pakar-pakar di Afrika Selatan yang berpendapat bahawa Omicron adalah bukti Covid-19 akan menjadi seperti virus selesema yang mudah berjangkit tetapi tidak akan membahayakan manusia seperti semasa pandemik bermula.

Ini kerana Omicron didakwa mencetuskan simptom ringan berbanding virus Covid-19 lain, dengan beratus-ratus orang yang dijangkiti varian ini di Afrika Selatan mengadu mengalami sakit kepala, pening, mual dan nadi mereka menjadi lebih cepat daripada biasa.

Bagaimanapun, pesakit-pesakit tersebut dilaporkan tidak mengalami gejala serius lain seperti sesak nafas dan hilang deria bau seperti sebelum ini.

Ini adalah dua pandangan berbeza dan kita berharap pandangan pakar-pakar Afrika Selatan itu benar kerana untuk menunggu vaksin khas bagi varian Omicron sesungguhnya amat 'meletihkan'.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar setiap orang kembali patuh kepada protokol kesihatan seperti menjaga jarak satu meter, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: kosmo

Thursday, November 18, 2021

Kultus Ajaran Sesat NXIVM Yang Mencemar Legasi Siri TV Popular 'Smallville'

Kultus Ajaran Sesat NXIVM Yang Mencemar Legasi Siri TV Popular 'Smallville'

Salah satu siri TV popular yang menjadi fenomena antarabangsa suatu ketika dahulu adalah 'Smallville' yang memaparkan kisah watak Clark Kent membesar sebelum bergelar 'Superman', mendapat sambutan hangat di seluruh dunia, memacu nama aktor Tom Welling serta dua pelakon cantik Kristin Kreuk dan Allison Mack.

Kultus ajaran sesat Smallville

Walaupun berjalan selama 10 musim dari tahun 2001 sehingga tahun 2010, tidak ramai yang mengetahui dalam masa yang sama, dua nama besar siri itu terpalit dengan sebuah kultus ajaran sesat semasa di kemuncak populariti.

Dua pelakon Smallville ahli kultus

Pada tahun 2018, salah seorang pelakon utama siri Smallville, Allison Mack, ditangkap pihak polis atas dakwaan pemerdagangan manusia yang berkait dengan sebuah kultus bernama NXIVM (disebut NEXIUM).

Ditubuhkan pada tahun 1998, NXIVM didaftar sebagai sebuah syarikat jualan langsung oleh seorang lelaki bernama Keith Raniere, yang menawarkan khidmat konsultansi dan program eksekutif sokongan bagi membina kerjaya golongan profesional.

Kisah bagaimana produksi siri TV Smallville terpalit dengan kultus ini bermula selepas Kristin Kreuk, pelakon utama siri itu menyertai salah satu program yang ditawarkan NXIVM bagi mengembangkan kerjayanya pada tahun 2006.

Penyertaannya disyorkan teman lelakinya ketika itu, Mark Hildreth, salah seorang anggota NXIVM yang diharap dapat membantu Kristin membuang rasa malu yang dihadapinya dalam kerjaya agar membolehkan kariernya melonjak ke tahap lebih tinggi.

Mengakui keberkesanan program itu, Kristin mengesyorkan Allison Mack, pelakon watak 'Chloe Sullivan' dalam produksi Smallville untuk turut sama menyertai program yang ditawarkan.

Allison Mack 100% komited dalam menjayakan program yang disertainya dan disinilah kisahnya bermula.

Merekrut Hamba Wanita

Untuk beberapa tahun selepas itu, tidak ada apa-apa berita aneh kedengaran berkenaan penglibatan Kristin Kreuk, Allison Mack dan syarikat MLM itu.

'Smallville' menamatkan produksinya dan kesemua bintang utamanya termasuklah Kristin dan Allison meneruskan kerjaya masing-masing dalam haluan sendiri.

Sehinggalah awal tahun 2017, seorang pelakon Kanada bernama Sarah Edmondson mendedahkan tentang penglibatan dirinya dalam sebuah kultus rahsia bernama 'Dominus Obsequious Sororium' singkatannya DOS, yang membawa maksud 'Tuan Kepada Hamba Wanita'.

DOS bergerak sebagai sebuah komuniti wanita dalam NXIVM yang dipertanggungjawabkan mencari jalan terbaik memuaskan nafsu pengasas mereka, Keith Raniere.

Apa yang sangat memeranjatkan, Sarah mendedahkan tulang belakang utama kumpulan ini adalah Allison Mack.

Sarah mendakwa pada awal penyertaan, dia menyertai satu majlis yang diadakan di rumah Allison di mana kulitnya dicacah menggunakan besi panas bersimbolkan empat huruf; 'AM' mewakili 'Allison Mack' dan 'KR' yang mewakili 'Keith Raniere' - bagi membuktikan kesetiaannya kepada kumpulan tersebut.

Sarah mendedahkan antara syarat lain yang ditetapkan Allison dan Keith Raniere untuk keanggotaan mereka diterima, adalah untuk setiap calon wanita menyerahkan gambar mereka dalam keadaan memalukan, sebagai jaminan kerahsiaan berkenaan kegiatan kumpulan mereka.

Ada juga kes Allison sendiri bertindak sebagai jurufotonya.

Jual Tubuh Demi Karier

Parut Kultus

Allison Mack mula menyertai NXIVM pada tahun 2006 atas jaminan Keith boleh membantu mengembangkan karier beliau.

Allison diberikan layanan istimewa selepas menyatakan minat, diterbangkan menggunakan jet peribadi milik salah seorang individu berpengaruh organisasi sesat tersebut bagi menemui pengasas mereka.

Tanpa perlu menjalani kursus induksi seperti peserta lain, Allison diberikan layanan khas sejak hari pertama penyertaan, diperkenalkan ke dalam program kendalian NXIVM.

Situasi itu dimanipulasi Allison, meletakkan dirinya dapat bertindak sebagai orang kanan Keith Raniere dan menjadi individu kedua paling berkuasa dalam organisasi NXIVM.

Untuk sampai ke tahap itu, bermacam pengorbanan telah dilakukan Allison, dengan tubuhnya dijadikan bahan gadaian utama.

Selain memuaskan nafsu Keith, Allison juga diberikan tanggungjawab mencari individu-individu wanita berpotensi bagi diserap masuk ke dalam DOS, yang bertindak sebagai kumpulan paling rapat hubungannya dengan Keith dalam struktur NXIVM.

Allison dan seorang wanita bernama Nancy Salzman juga diberikan kuasa untuk menghukum dan mengugut mana-mana wanita yang ingkar, enggan mematuhi permintaan atau syarat yang ditetapkan Keith atau NXIVM.

Ekoran laporan yang dibuat oleh Sarah Edmondton serta pendedahan besar-besaran dalam New York Times, FBI telah membuka kertas siasatan dan berjaya menangkap Keith Raniere pada bulan Mac 2018 di Puerto Vallarta, Mexico.

Ketika itu dia ditemani beberapa orang wanita termasukla Allison Mack dalam sebuah villa mewah, yang diberkas sebulan selepas itu di rumahnya di Brooklyn.

Tidak Mengaku Bersalah

Kristin Kreuk Tidak bersalah

Dalam sebuatan awal kes, Allison berdepan pelbagai tuduhan melibatkan pemerdagangan manusia, mengugut serta bertindak merakamkan sendiri gambar wanita tanpa kerelaan, semata-mata untuk dijadikan hadiah kepada tuannya, Keith Raniere. Dia tidak mengaku bersalah atas semua dakwaan.

Perbicaraan yang berjalan hampir 2 tahun mendapati sebaliknya. Penglibatan Keith Raniere sebagai ketua kepada kultus NXIVM mensabitkan hukuman penjara 120 tahun - majoriti hukumannya melibatkan kekejamannya memaksa wanita bekerja sebagai hamba.

Allison Mack dijatuhkan hukuman penjara 3 tahun pada 30 Jun 2021 selepas menukar pengakuan kepada akuan bersalah; mengelak hukuman penjara 17 tahun seperti jangkaan awal.

Allison mengakui mindanya dicemari ajaran Keith yang membuatkan dirinya bertindak di luar pertimbangan normal.

Walau demikian, saksi-saksi perbicaraan mendedahkan peranan besar Allison dalam kultus tersebut, bertindak sebagai mentor yang fokus tugasnya untuk meyakinkan wanita-wanita lain agar melakukan hubungan seks dengan Keith sebagai kaedah pemulihan diri.

Selain itu Allison juga didenda USD$20,000 serta dikenakan tambahan 1,000 jam kerja komuniti.

Kristin Kreuk Tidak Terlibat

Kultus Ajaran Sesat NXIVM

Bagi Kristin Kreuk yang menjadi individu membawa masuk Allison Mack ke dalam NXIVM, dia menafikan penglibatannya dalam kultus seksual organisasi DOS kendalian Allison.

Kristin mendakwa dia telah meninggalkan NXIVM pada tahun 2012 serta langsung tidak tahu wujudnya gerakan rahsia kumpulan wanita pemuas nafsu Keith Raniere yang dikendalikan sendiri rakan baiknya itu.

Bagaimanapun, satu dokumen bukti bergambar dalam mahkamah menunjukkan Kristin Kreuk pernah menyertai aktiviti NXIVM sekitar tahun 2014 bersama-sama barisan individu tertinggi organisasi tersebut.

Berbeza dengan Sarah Edmondton serta ramai lagi wanita yang tampil menjadi saksi kes perbicaraan melibatkan Keith Raniere dan Allison Mack, Kristin Kreuk memilih untuk mendiamkan diri, tegas mengatakan dia tidak tahu.

Walaupun bagaimanapun, beberapa projek yang dipelopori dan disertai Kristin Kreuk semasa menyertai NXIVM jelas dibentuk untuk menarik minat gadis-gadis muda remaja masuk ke dalam organisasi mereka.

Sama ada Kristin Kreuk tahu atau tidak apa yang berlaku di sebalik semuanya, hanya dia yang tahu.

Apa yang kita tahu, memang sukar untuk menonton semula 'Smallville', menyaksikan kembali lakonan Allison Mack yang comel wajah dan perwatakannya.

Dalam dunia nyata dia yang luarannya cukup cantik, ternyata sanggup memperhambakan diri sendiri dan wanita lain demi kepuasan nafsu seorang lelaki.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Wednesday, November 10, 2021

Remaja Terselamat Selepas Tiru Isyarat Tangan 'Dalam Bahaya' Di TikTok

Remaja Terselamat Selepas Tiru Isyarat Tangan 'Dalam Bahaya' Di TikTok

Seorang remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang berjaya diselamatkan selepas dia menggunakan isyarat tangan yang tular di TikTok untuk menunjukkan bahawa dia berada dalam bahaya dan memerlukan bantuan.

Isyarat Bahaya

Remaja yang berasal dari Utara Carolina itu ditemui di Kentucky selepas seorang wanita yang sedang menaiki sebuah lagi kereta dihadapan terlihat isyarat tangan tersebut, bertindak menelefon polis.

Isyarat tangan tersebut - gabungan tiga gerakan tangan yang memberitahu bahawa ada "keganasan di rumah," "Saya perlukan bantuan," dan "keganasan rumah tangga" - telah tersebar di TikTok sebagai cara untuk membantu mangsa penderaan.

Menurut Pejabat Sheriff Daerah Laurel, penyiasat yang tiba di tempat kejadian mendapati pemandu, Herbert Brick berusia 61 tahun, memiliki gambar remaja itu sedang melakukan aksi seksual.

Remaja itu pertama kali dilaporkan hilang oleh ibu bapanya di Asheville, Utara Carolina.

Penyiasat mendapati bahawa Brick telah memandu bersama gadis itu ke Ohio, namun segera meninggalkan tempat itu apabila saudara maranya menyatakan kebimbangan mengenai usia remaja tersebut serta mendapat tahu bahawa dia telah dilaporkan hilang.

Brick kini ditahan kerana memenjara serta memiliki kandungan yang menunjukkan aktiviti seksual oleh kanak-kanak bawah umur, lapor Fox8.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

Monday, October 25, 2021

Sajat Akhirnya Mengaku Mak Nyah!

Sajat Akhirnya Mengaku Mak Nyah!

Nur Sajat akhirnya mengaku dia seorang mak nyah, ketika mengulas isu hak asasi manusia, yang menurutnya lebih diketahui selepas menetap di Australia.

"Kalau berlaku saya dijatuhkan penjara tiga tahun (di Malaysia), mereka akan letakkan saya di penjara lelaki.

Sajat Mak Nyah

"Saya transwoman (mak nyah), semua sudah tukar, mesti saya akan berasa tak selamat berada di dalam," katanya dalam wawancara dengan pelakon komedi Harith Iskandar.

Selama bertahun-tahun, Sajat, 35, jantinanya sentiasa menjadi perbincangan umum.

Sajat sebelum ini mengaku seorang khunsa, yang dilahirkan dengan alat kelamin lelaki dan wanita.

Sementara itu, Sajat berkata di Australia, dia semakin dewasa sebagai seorang mak nyah.

"Apa yang berlaku Sajat jadikan sebagai tauladan, peringatan dan Sajat belajar dari kesilapan.

"Mungkin apa yang berlaku buat Sajat lebih dewasa sebagai seorang transwoman, kita tau hak asasi kita, banding sebelum Sajat berada di Malaysia dan di sini.

"Di sini Sajat lebih tahu tentang hak asasi manusia. Di negara ini memang ketat dari segi undang-undang hak asasi manusia.

"Saya tahu kesalahan saya, saya tak sempurna," katanya.

KEBENCIAN GOLONGAN AGAMAWAN

Sementara itu, Nur Sajat menegur kembali kaedah nasihat golongan agama terhadapnya.

"Mati saya antara saya dan tuhan saya, bukan mereka yang boleh hakimi saya.

"PU (Pencetus Ummah), ustaz, mereka dah jalankan tanggungjawab nasihat saya.

"Tapi, perlu ke mereka nasihat dengan penuh kebencian?" soal mak nyah yang diburu Malaysia atas kesalahan syariah itu.

Dalam wawancara atas talian bersama pelakon komedi Harith Iskander, Sajat membandingkan nasihat kepadanya berbanding dakwah terhadap golongan bukan Islam.

"Kadang saya terfikir kenapa mereka boleh mengislamkan orang tapi orang dalam Islam tak dilayan dengan kasih sayang?

"Saya sedih, trauma," katanya yang mendapatkan perlindungan di Australia.

Sementara itu, Harith berkata lebih 6,000 orang menonton wawancara itu.

Berkaitan Sajat, Harith membuat kesimpulan, "Pada akhirnya, tetamu saya, Nur Sajat adalah seorang manusia. Dia mengakui dia tidak sempurna."

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: 1 | 2