Ahad, April 07, 2019

Punca Kegagalan Google+ Sehingga Di Tamatkan Pada 2 April 2019


Loading...

Jaringan media sosial adalah salah satu medium perhubungan yang popular kerana ia menempatkan sejumlah pengguna di dalam satu halaman. Pengguna boleh mencari seseorang individu yang berdaftar pada halaman ini, untuk dijadikan sebagai rakan atau individu yang ingin anda ikuti.

Punca Kegagalan Google+

Kebolehan ini telah membenarkan ramai kenalan yang terpisah dipertemukan semula, sekaligus mewujudkan kembali hubungan persahabatan dengan individu tersebut. Ia juga memudahkan anda mengikuti seseorang yang ternama seperti penggiat seni, ahli politik, dan pelbagai individu lain dalam mendapatkan perkembangan terkini daripada mereka.

Perkhidmatan ini mula popular apabila perkhidmatan seperti Friendster dan MySpace wujud pada awal 2000-an. Kedua-dua perkhidmatan ini boleh dikatakan antara yang terawal dalam menawarkan sebuah jaringan sosial yang mudah digunakan oleh pengguna.

Friendster sangat terkenal atas paparannya yang kemas dan ringkas, manakala MySpace membenarkan pengguna mengubah tampilan profil melalui sejumlah fungsi kustomasi yang menarik.

Kedua-duanya aktif digunakan oleh pengguna sekitar 2003-2009, namun menemui era kejatuhan apabila mereka tidak dapat bersaing dengan sejumlah jaringan media sosial yang baru.

Facebook, Twitter, dan Instagram antara contoh laman media sosial yang berjaya pada saat ini. Ketiga-tiga laman ini mempunyai ciri-ciri yang unik dalam menyampaikan sesuatu perkara kepada pengguna.

Facebook digunakan secara meluas kerana ia adalah sebuah laman media sosial yang menyeluruh, dengan penyertaan sistem pemesejan pantas (IM), fungsi mewujudkan kumpulan dan adanya Facebook Page.

Twitter pula digunakan secara aktif kerana pengguna boleh membuat penghantaran tweet secara pantas di bawah 280 aksara.

Instagram sangat popular kerana ia memfokuskan kepada fungsi perkongsian gambar dan video secara ringkas.

Kenapa Google+ Diwujudkan?

Sebagai sebuah syarikat yang besar, Google juga ingin mengambil peluang ini dalam mewujudkan jaringan media sosial mereka tersendiri.

Sebelum adanya Google+, Google sebenarnya sudah mempunyai jaringan media sosial tersendiri yang dikenali Google Buzz. Ia telah dilancarkan pada tahun 2010 dan akhirnya ditutup pada tahun 2012 bagi memberi laluan kepada Google+.

Perkhidmatan ini membolehkan pengguna berkongsi kemaskini, gambar, dan video melalui bahagian Buzz yang ditempatkan di dalam Gmail.

Google telah melancarkan Google+ secara rasmi pada 28 Jun 2011 dengan ciri-ciri jaringan sosial yang bersifat menyeluruh.

Ketika awal pelancaran Google+, ia dilihat membawa potensi yang cukup besar kerana menawarkan sejumlah fungsi unik kepada pengguna.

Ia mengintegrasikan akaun Google, jadi pengguna tidak perlu mendaftar daripada mula untuk menggunakannya. Pendaftaran akaun Google+ juga kemudiannya diwajibkan pada tahun 2013 ketika ingin membuat komen pada halaman Youtube.

Antara fungsi unik yang hadir pada perkhidmatan ini ialah penyertaan sistem rakan berasaskan Circle. Ia membolehkan anda meletakkan sejumlah rakan-rakan anda pada sesebuah Circle, bagi memudahkan anda mengikuti kumpulan rakan-rakan ini.

Sebagai contoh, anda boleh meletakkan rakan-rakan di tempat kerja anda di dalam Circle “Acquaintance” – termasuk rakan-rakan anda yang kurang rapat.

Sekiranya anda mempunyai sekumpulan rakan-rakan rapat, anda boleh meletakkannya di dalam Circle “Friends” atau “Close Friends”.

Orang yang ditempatkan di dalam sesuatu Circle ini juga tidak akan mengetahui kedudukan mereka, apabila mereka diletakkan di dalam sesebuah Circle.

Google+ turut hadir dengan fungsi Communities bagi membenarkan anda mengikuti sesebuah komuniti. Fungsi ini menyerupai Facebook Group, namun ia lebih menggalakkan diskusi antara pengguna.

Anda boleh mengikuti sejumlah pembangunan produk melalui fungsi ini, selain membolehkan anda menghantar cadangan atau komen mengenai produk tersebut. Sejumlah pembangun aplikasi telah banyak memanfaatkan fungsi ini, terutama ketika aplikasi tersebut masih di dalam pembangunan.

Google+ juga menawarkan integrasi bersama Google Hangouts sebagai alternatif kepada fungsi Facebook Messenger.

Fungsi ini menawarkan fungsi permesejan setempat, dengan membolehkan anda menghantar teks, fail, gambar, dan video.

Anda juga boleh membuat panggilan suara dan video melalui fungsi ini, dengan membenarkan anda menjemput sehingga 25 orang rakan. Ia kerap digunakan ketika membuat video langsung kerana ia boleh di muat-naik terus kepada halaman Youtube.

Apabila pengguna berkongsi sesebuah status, pengguna boleh menekan butang “+1” untuk menyukai status tersebut. Fungsi ini menyerupai fungsi “Like” pada Facebook, namun ia akan dipaparkan dalam bentuk angka.

Apabila sesuatu status disukai oleh 300 orang, “+1” ini akan dipaparkan bersama angka “300”. Status yang dikeluarkan juga boleh dikongsi kepada pengguna lain, melalui fungsi “Sharing” yang dibekalkan.

Pengguna juga boleh memanggil pengguna lain atau mention dengan meletakkan anda meletakkan simbol “+” sebelum nama pengguna.

Punca Kejatuhan

Sehingga 2019, Google+ telah mencapai sekitar 395 juta pengguna aktif secara bulanan. Akaun yang telah berdaftar juga telah mencapai 2 bilion, namun masa penggunaannya berada pada angka yang rendah.

Mengikut jangkaan, pengguna Google+ hanya meluangkan masa hanya sekitar 3.3 minit di laman ini, berbanding 7.5 jam pada halaman Facebook.

Majoriti pengguna Google+ hanya melihat status dan notifikasi secara sekilas pandang, dan tidak lagi meneruskannya kerana tiada perkara menarik pada halaman tersebut.

Fungsi mengelirukan

Salah satu sebab yang mungkin menyumbang kepada kejatuhan Google+ adalah dari segi fungsi yang sedikit mengelirukan. Sistem perletakkan rakan berasaskan Circle walaupun dilihat berguna, ia sebenarnya telah membuatkan sesetengah pengguna keliru dengan fungsi ini pada mulanya.

Kebanyakan pengguna juga tidak mempunyai masa untuk mengasingkan rakan-rakan mereka di dalam kumpulan tertentu.

Google+ juga menggunakan elemen antaramuka yang berlainan berbanding perkhidmatan media sosial sedia ada. Mereka menggunakan sistem “+1” berbanding simbol yang lebih dikenalpasti oleh pengguna. Simbol seperti “thumbs up” atau “love” lebih membawa maksud suka, berbanding sistem angka berasaskan “+1” ini. Pengguna juga perlu menggunakan simbol “+” berbanding “@” ketika ingin memanggil (mention) pengguna lain.

Pengguna selesa dengan jaringan sosial sedia ada

Dengan populariti Facebook, Twitter, dan Instagram yang semakin meningkat, pengguna juga tidak mempunyai sebab untuk beralih ke laman media sosial yang baru.

Bilangan media sosial yang dimiliki pengguna sudah terlalu banyak, jadi mereka ingin mengecilkan jumlah akaun supaya lebih mudah untuk diuruskan.

Fungsi yang terdapat pada media sosial hari ini juga kebanyakannya sudah lengkap, jadi pengguna tidak perlu lagi untuk menggunakan perkhidmatan tambahan.

Memaksa pengguna mengintegrasikan akaun ke Youtube

Ada juga alasan pengguna yang tidak menggunakan Google+ ini kerana ingin menunjukkan rasa tidak puas hati kepada tindakan Google.

Pada tahun 2013, Google telah memaksa pengguna mengaktifkan akaun Google+ apabila ingin membuat komen di Youtube. Perkara ini sekaligus memerlukan akaun Google pengguna ‘dipaksa’ untuk diintegrasikan dengan fungsi Google+.

Walau bagaimanapun, tindakan ini telah diubah pada tahun 2015 setelah menerima komen negatif daripada pengguna.

Tiada arah tuju

Google+ telah melalui pelbagai fasa perubahan sepanjang hayatnya – termasuk dari segi fungsi dan perlaksanaannya. Pada tahun 2014, salah seorang pengasas Google+ iaitu Vic Gundotra telah keluar daripada pembangunan laman ini.

Sejak daripada itu, pengurusan Google+ telah diolah beberapa kali dalam menjadikan perkhidmatan ini lebih relevan kepada pengguna.

Namun disebabkan perubahan ini, beberapa fungsi menarik telah dikeluarkan, seperti kebolehan Google+ Photos dan Games.

Agak mengecewakan, fungsi Hangouts on Air juga telah dikeluarkan daripada Google+ dan dipindahkan ke fungsi YouTube Live.

Pada tahun 2015, Google+ telah difokuskan kepada kandungan berasaskan komuniti kerana ia lebih diguna pakai oleh pengguna di sana. Perkara ini telah membuatkan Google+ ini kelihatan kurang yakin dengan masa depan dan hala tuju perkhidmatan mereka.

Selamat Tinggal Google+

Google telah mengumumkan tarikh 2 April 2019 sebagai tarikh penamatan Google+ ini. Segala kandungan yang telah dikongsikan oleh pengguna hanya boleh dimuat-turun sehingga 31 Mac 2019.

Selepas daripada tarikh ini, segala kandungan di Google+ mungkin tidak lagi dapat diakses – seperti mana perkhidmatan goo.gl yang telah ditamatkan pada Mac lalu.

Seperti kebanyakan syarikat lain, Google juga mempunyai produk yang tidak berjaya. Google+ ini hanyalah dari salah satu contoh daripada sejumlah produk Google yang telah ditamatkan riwayatnya.

Pada tahun 2019 ini sahaja, Google telah menamatkan perkhidmatan Inbox by Gmail, goo.gl, Allo, dan Google+ ini bagi membolehkan mereka memfokuskan kepada pembangunan produk yang lain.

Dengan kegagalan Google+ ini, ia telah menambah sebuah lagi produk untuk ditempatkan di laman Google Cemetery.

Google+ telah berjaya berkhidmat kepada pengguna dalam tempoh tujuh tahun, sejak ia diperkenalkan pada tahun 2011. Ia adalah sebuah laman media sosial yang mempunyai potensi yang besar, namun gagal mendapat sambutan pengguna atas perlaksanaannya yang kurang menyenangkan.

Ia mempunyai fungsi yang sedikit mengelirukan, tiada arah tuju, dan pengguna juga tidak mempunyai sebab untuk beralih ke sebuah jaringan sosial yang baru.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: amanz

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

1 comments so far

Susah juga tiada google plus ni sbb selalu ping entri di situ. Penat juga kumpul circle, tp hilang begitu shj..

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon