Tuesday, December 18, 2018

8 Jenis Hantu Dan Makhluk Mitologi Dalam Kepercayaan Masyarakat Dusun-Bundu Di Sabah


Suatu ketika dahulu ketika Sabah masih lagi memiliki hutan tebal dan bekalan elektrik belum lagi ada disekitar pedalaman tidak seperti sekarang, cerita hantu sangat sinonim untuk menakutkan kanak-kanak yang degil.

Masyarakat Dusun-Bundu
Gadis Dusun, Sabah.

Masyarakat Sabah juga sebenarnya sangat banyak kisah-kisah hantu (tombiruo) terutamanya oleh generasi tua yang sering diceritakan melalui lisan.

Berikut adalah antara jenis-jenis hantu masyarakat Dusun yang sangat popular suatu ketika dahulu namun tidak lagi diketahui oleh ramai generasi baru.

1. HANTU SIUT DALAN

Rupanya seperti manusia, bersaiz kecil, lebih kurang sebesar ibu jari. Suka merayau-rayau pada waktu hujan di malam hari.

Dapat diketahui kedatangannya apabila mendengar siulan perempuan yang lembut.

Suka berteduh di bawah rumah orang kampung dan apabila ia berada di bawah 'kulung' rumah orang, maka seisi rumah orang tersebut akan berasa panas.

Cara untuk menghalaunya adalah dengan menjatuhkan puntungan api di celah-celah lantai rumah ke bawah 'kulung' kerana dipercayai hantu itu meminta api dari pemilik rumah tersebut.

2. KUMOKODONG (PENANGGAL)

Kumokodong dalam versi kepercayaan Dusun Liwan-Bundu lebih kepada sejenis makhluk yang telah lama wujud dan bukanlah berasal dari organ manusia yang tercerai seperti mana yang dikenali sebagai Balan-balan.

Seperti balan-balan, ia hanya terdiri dari bahagian kepala berserta usus-usus yang terbang pada waktu malam untuk memangsa binatang ternakan seperti babi, ayam dan sebagainya untuk menghisap binatang-binatang tersebut.

Wanita yang sedang mengandung, datang bulan atau bersalin amat menarik perhatian makhluk ini untuk datang.

Ia takut kepada benda-benda yang tajam terutamanya duri dan juga takut apabila terhidu aroma limau nipis dan bawang putih.

3. HANTU TUNGA-NGA

Dapat dikenali melalui suaranya yang mirip bayi sedang menangis. Dipercayai gemar menculik kanak-kanak yang kerap menangis atau yang diabaikan oleh ibu bapa.

Rupanya seperti seekor biawak yang dapat berjalan dua kaki layaknya manusia dan juga kemerah-merahan pada hujung mulutnya.

Ia takut apabila mendengar paluan gong (kulintangan) dibunyikan dan juga bunyi piring atau tempayan pecah.

4. HANTU KALINDAHAU

Kalindahau mirip dengan pontianak iaitu mengenakan pakaian putih yang kotor dan kusam, serta berambut panjang.

Ia akan mengeluarkan lidahnya sampai ke tanah apabila sedang kelaparan atau untuk menakut-nakutkan kanak-kanak.

Ia akan berkeliaran di dalam hutan atau di tempat-tempat yang sunyi dan penuh dengan semak belukar pada waktu senja tatkala matahari kuning.

Dipercayai apabila terserempak dengan hantu ini, hendaklah berpatah balik dari arah yang ingin dituju dan tidak boleh memandang ke belakang kerana dikuatiri hantu ini akan mengejar dan membunuh orang berkenaan.

5. MONDOU

Makhluk mitologi yang dipercayai sangat ganas dan suka memakan daging manusia. Rupanya mirip seperti keluang yang dua kali lebih besar berbanding tubuh manusia, bertanduk panjang dan bergigi taring panjang.

Matanya yang berwarna merah akan menyala ketika sedang terbang waktu malam.

Ia juga dapat bertukar menjadi tujuh jenis binatang iaitu: kucing, anjing, babi, burung hantu, kelawar, kerbau dan lembu dan dipercayai akan mulai mengganas apabila rupanya berubah menjadiseekor lembu.

Menurut cerita orang-orang tua, makhluk ini pernah ditemui di daerah Tenom, Keningau dan Tambunan pada zaman dahulu kala.

Ia takut kepada bau kulit kura-kura atau kulit belangkas yang dibakar dan juga unggun api yang dinyalakan.

6. BUGANG

Bugang merupakan makhluk mitologi Dusun Liwan-Bundu yang juga dikenali sebagai naga bukit.

Saiznya lebih kurang seperti seekor burung helang dan memiliki kelebihan mengeluarkan api dari mulutnya. Apabila ia hinggap di sebatang pokok, maka serta-merta pokok itu akan terbakar dengan sendirinya.

Ia dipercayai takut dengan manusia dan akan mengeluarkan suara nyaring apabila menyedari kedatangan manusia kemudian terbang lari.

7. HANTU NARU SUSU

Kata "Naru Susu" berasal dari bahasa Dusun yang bererti "Berpayudara Panjang", merujuk kepada hantu ini yang memiliki payudara yang panjang dan runcing.

Ia dipercayai gemar menculik kanak-kanak kemudian memasukkan ke dalam payudaranya. Ia akan datang kepada sepasang suami isteri yang kerap bertengkar dan menculik anak mereka.

8. HANTU GONTUTUT

Hantu gontutut dipercayai merupakan jasad manusia yang berubah bentuk disebabkan memiliki dendam terhadap orang-orang yang masih hidup.

Ia akan berkeliaran pada waktu malam dalam bentuk rangka (tulang) manusia yang sudah tidak memiliki isi. Ia akan mengeluarkan bunyi seperti "tut tut tut" ketika sedang berjalan atau terbang.

Ia akan terus-menerus mengganggu orang-orang yang ia dendam sehingga mereka tidak merasa tenang dan akhirnya mati. Ia takut kepada cahaya terutama sinaran lampu.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA:

sumber: 1

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon