Sunday, April 30, 2017

Asal-usul Nama Daerah Tambunan


Dahulukala daerah Tambunan dipenuhi dengan hutan rimba sebelum penempatan dibuka. Hutan hujan tropika hidup subur dihuni bermacam jenis haiwan liar.

Tugu Pahlawan Tambunan

Keadaan mula berubah apabila peneroka tempatan, kaum Nunukragang mula berhijrah ke kawasan ini.

Seorang lelaki bernama Gombunan telah mengetuai rombongan peneroka ini. Beliau merupakan seorang pahlawan yang gagah perkasa dan terkenal ketika itu.

Tempat itu kemudiannya dipanggil Dataran setelah dihuni oleh peneroka.

Pada mulanya mereka hidup dengan aman dan damai tanpa sebarang gangguan.

Diceritakan bahawa dikawasan bukit-bukau disebelah timur tinggallah puak Tonsundung. Mereka mula memandang serong kehadiran peneroka ini. Oleh sebab itu mereka mula mengganggu penempatan di Dataran.

Pada suatu hari beberapa pahlawan dari puak Tonsundung masuk ke penempatan Dataran dan mula mengganggu dan merosakkkan harta benda dan tanaman mereka. Mereka juga membunuh beberapa orang kampung Dataran.

Mendengar hal itu, Gombunan selaku ketua dan beberapa lagi pahlawan lain telah bertindak balas dan berjaya mengalahkan serta menghalau penceroboh tersebut.

Ramai penceroboh telah mengalami kecederaan yang teruk, menimbulkan rasa balas dendam mereka terhadap Gombunan.

Kemarahan puak Tonsundung tidak dapat dibendung lagi, mereka mula mengatur strategi dan merancang untuk menyerang Gombunan.

Ketika Gombunan bersendirian di kebunnya, dia dikepung oleh pahlawan Tonsundung seramai 30 orang.

Gombunan berjaya dibunuh dan badannya dicincang. Mereka memotong kepalanya dan membawa balik sebagai tanda kemenangan. Kepala itu digantung pada tiang yang tinggi untuk diperolok-olokkan.

Seluruh kampung amat berdukacita dengan kematian pahlawan mereka. Mereka bersumpah mahu membalas dendam atas kematian Gombunan.

Sebagai mengenang jasa baik Gombunan kepada kampung itu, mereka bersetuju untuk menamakan penempatan mereka sebagai GOMBUNAN, bersempena dengan nama pahlawan mereka itu.

Disebelah barat Gombunan tinggallah puak Tamadon. Mereka juga mula tertarik dengan Dataran dan berhijrah.

Mereka adalah orang yang peramah dan baik hati. Mereka berbaik-baik dengan orang Gombunan.

Setelah mendengar khabar tentang orang Tonsundung mereka mula bergabung dengan orang Gombunan. Puak Tonsundung tidak mengetahui tentang pakatan ini.

Setelah tiba masanya, orang Tonsundung pun mula menyerang puak Gombunan. Pertempuran sengit pun berlaku.

Puak Tonsundung tidak menjangkakan pihak lawan semakin ramai. Keadaan ini menyebabkan mereka akhirnya kalah. Ramai Puak Tonsundung yang mati, manakala yang terselamat melarikan diri.

Puak Gombunan dan Puak Tamadon sangat gembira. Satu sambutan besar-besaran telah diadakan sempena kemenangn ini. Banyak makanan dan minuman dihidangkan pada masa itu termasuklah minuman Tapai.

Akhirnya kedua-dua puak bersetuju penempatan mereka dinamakan sebagai TAMBUNAN. TAM diambil dari TAMADON manakala BUNAN diambil dari nama GOMBUNAN.

Penempatan itu kemudiannya dinamakan TAMBUNAN sehingga kini.

BACA INI JUGA:

sumber: mytambunan2u

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon