Friday, March 05, 2021

Misteri Anak Patung Okiku Yang Rambutnya Memanjang Seperti Manusia!

Misteri Anak Patung Okiku Yang Rambutnya Memanjang Seperti Manusia!

Rambut Okiku atau 'Anak Patung Berhantu di Hokkaido' yang terletak di sebuah kuil di Iwamizawa, Jepun didakwa tumbuh seperti rambut manusia, dikatakan mempunyai semangat seorang budak perempuan.

Okiku
Gambar hiasan.

Terdapat banyak cerita legenda mengenai Okiku, tetapi yang paling popular adalah kisah anak patung Jepun tradisional itu dibeli oleh Eikichi Suzuki, seorang budak lelaki berumur 17 tahun dari Hokkaido, yang membelinya untuk adik perempuannya pada tahun 1918.

Budak perempuan itu, Kikuko yang berusia tiga tahun ketika itu, dikatakan sangat menyukai anak patung tersebut, membawanya ke mana sahaja dia pergi dan tidur dengannya setiap malam.

Tetapi, selepas Kikuko meninggal dunia ketika dia masih kecil, keadaan berubah menjadi aneh dan menyeramkan.

Keluarga Kikuko telah menyimpan anak patung itu di sebuah kuil kecil sebagai tanda mengenangnya. Mereka juga menamakannya sebagai 'Okiku' selepas anak perempuan mereka meninggal dunia dan mula berdoa untuknya.

Pada satu ketika, mereka melihat sesuatu yang sangat luar biasa!

Patung Okiku

Rambut anak patung ini tumbuh dan menjadi lebih panjang. Mereka menganggap keadaan ini menunjukkan anak patung itu mempunyai semangat Kikuko.

Pada tahun 1938, keluarga Kikuko memutuskan untuk berpindah dari Hokkaido dan bersetuju untuk anak patung itu kekal di pulau tersebut.

Jadi mereka meletakkan kepercayaan kepada sami-sami di Kuil Mannenji dan berkongsi rahsia menyeramkan itu dengan mereka.

Sejak itu Okiku kekal di kuil berkenaan dan orang ramai sering datang ke situ untuk melihat rambut yang dikatakan tumbuh pada patung itu, tetapi mereka tidak dibenarkan mengambil gambar.

Kini, Okiku mempunyai rambut panjang sehingga paras lutut. Ia mungkin lebih panjang, tetapi para sami sentiasa memotongnya dari semasa ke semasa.

Sebenarnya, bertindak seperti itu sangat membahayakan tetapi Grape melaporkan salah seorang sami mula melakukannya selepas bermimpi Okiku sendiri meminta rambutnya dipotong.

Kuil
Kuil Mannenji (wikipedia).

Sehingga kini tiada siapa dapat menjelaskan mengapa rambut anak patung itu terus tumbuh.

Sesetengah sumber mendakwa, pemeriksaan saintifik terhadap anak patung itu menunjukkan bahawa rambutnya adalah rambut manusia.

Malah ada yang mendakwa jika anda berada cukup dekat dengan Okiku dan melihat mulutnya yang separuh ternganga, anda dapat melihat giginya juga tumbuh seperti manusia.

Cerita Okiku telah menjadi ilham untuk penulisan novel, filem dan drama tradisional, yang mana unsur-unsur lebih menyeramkan ditambah.

Jadi jika anda berada di pulau Hokkaido, Jepun dan ingin melihat anak patung berhantu itu sendiri, pergilah ke Kuil Mannenji untuk bertemu Okiku, anak patung berhantu yang terkenal di Hokkaido.

Misteri kan?

BACA INI JUGA:
sumber: mstar

Sebuah Renungan Tentang Keadilan

Sebuah Renungan Tentang Keadilan

Keadilan sosial atau keadilan masyarakat ialah suatu pemikiran mengenai hubungan yang adil dan saksama antara individu dan masyarakat; diukur mengikut syarat yang tersirat dan tersurat mengenai pengagihan kekayaan, peluang melakukan kegiatan persendirian serta keistimewaan, yang membolehkan seseorang menerima kelebihan dan bebanan hasil kerjasama masyarakat.

Keadilan

Kebanyakan orang percaya bahawa ketidakadilan harus dilawan dan dihukum dan banyak gerakan sosial dan politis di seluruh dunia berjuang menegakkannya.

Tapi, banyaknya jumlah dan variasi teori keadilan memberikan pemikiran bahawa tidak jelas apa yang dituntut dari keadilan dan hakikat ketidakadilan, kerana definisi apakah keadilan itu sendiri tidak jelas.

Kefahaman mengenai keadilan ini adalah bahawa, kita meletakkan segala sesuatu pada tempatnya.

Kisah Tentang Keadilan

Seorang pensyarah bertanya kepada salah seorang mahasiswa, "Siapa nama kamu?"

Lalu mahasiswa itu menyebutkan namanya.

Tiba-tiba, pensyarah tersebut mengarahkannya keluar dari dewan kuliah tanpa memberikan sebarang alasan.

Mahasiswa itu cuba membela diri dan bertanya kenapa, namun pensyarah itu malah membentaknya.

Akhirnya, dengan rasa terpaksa dia pun keluar dengan perasaan di zalimi.

Mahasiswa yang lain hanya diam.

Setelah itu, pensyarah itu pun memulakan kuliahnya.

Dia pun bertanya kepada para pelajarnya satu pertanyaan, "Untuk apa undang-undang dicipta?"

Seorang mahasiswi menjawab, "Untuk mengawal perilaku manusia."

Mahasiswa lain menjawab, "Untuk diterapkan."

Yang lain menjawab, "Agar yang kuat tidak menzalimi yang lemah."

Pensyarah itu berkata, "Benar. Tapi semua itu tidak mencukupi."

Kemudian, seorang mahasiswi mengacungkan tangan dan berkata, "Untuk mewujudkan keadilan."

Pensyarah berkata, "Benar. Itulah jawapannya. Agar tercipta keadilan.

"Tapi pertanyaannya, apa gunanya keadilan?"

Seorang mahasiswa menjawab, "Agar hak semua orang terjaga dan tidak ada yang di zalimi."

Pensyarah meneruskan dengan bertanya, "Sekarang jawab dengan jujur dan tidak perlu takut. Adakah saya telah berlaku zalim pada teman kalian ketika saya mengusirnya dari kelas?"

Mereka semua menjawab, "Ya."

Lalu pensyarah bertanya dengan nada suara yang tinggi, "Jadi, kenapa kalian diam saja dan tidak memberikan pembelaan?!"

"Apa gunanya undang-undang dan peraturan kalau kita tidak memiliki keberanian untuk menerapkannya?!"

"Ketika semua orang hanya berdiam diri disaat seseorang dizalimi dan kalian tidak berusaha menegakkan yang benar, maka kalian telah hilang sifat perikemanusiaan."

"Dan, sifat kemanusiaan tidak sepatutnya hilang dari dalam diri kita!"

Kemudian pensyarah itu memanggil semula mahasiswa yang diusirnya tadi lalu meminta maaf kepadanya di depan seluruh pelajar.

Dia lalu berkata, "Ini saja pelajaran untuk hari ini."

"Berusahalah mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari selama kalian masih hidup."

Begitulah wahai sahabat, berapa banyak orang yang diam melihat kezaliman, ketidak adilan, bahkan bersahabat pula dengan pelakunya, hanya kerana ingin mengampu, untuk mendapatkan kesenangan dunia yang sementara.

Pelajaran dari sebuah sikap dan perbuatan, jauh lebih bererti daripada nasihat yang hanya kedengaran hebat dan sekadar simpati di dalam hati.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:
-Sentiasapanas.com

Thursday, March 04, 2021

Bisnes Ganja Mike Tyson Hasilkan Untung RM2 Juta Sebulan!

Bisnes Ganja Mike Tyson Hasilkan Untung RM2 Juta Sebulan!

Mike Tyson yang berjaya menghasilkan kekayaan sekitar £500,000 atau RM2 juta sebulan, hasil daripada hasil penanaman ganja di tanah seluas 169,1586 hektar, kini sedang merancang untuk membina sebuah kerajaan ganja.

Bisnes Ganja

Legenda sukan tinju ini mula menjual ganja sejak 2016 melalui label Tyson Holistic, melalui perniagaan yang menawarkan ganja jenis premiun sahaja, berjaya menghasilkan keuntungan RM2 juta setiap bulan.

Selain daripada itu, Mike Tyson juga sedang membangunkan pusat percutian di tanah yang sama dan bercadang untuk menjadikan tempat itu sebagai kawasan festival muzik.

Mike Tyson juga bercadang untuk membina Tyson University yang akan memberi pendidikan kepada petani mengenai penanaman ganja.

Setelah bertahun-tahun bergelumang dengan dadah, Mike Tyson mengakui merasa selesa dengan penggunaan ganja.

Menurut Mike Tyson, mengambil ganja menjadikan seseorang itu lebih tenang dan disebabkan itu, dia memilih untuk bekerjasama dengan ahli perniagaan Rob Hickman, dengan tujuan untuk mengubah hidupnya dan mengenali selok belok perniagaan ganja.

Rancangan untuk membina kerajaan ganja hadir pada 2018, Tyson mendedahkan bahawa dia mahu mengembangkan perniagaannya kepada taman tema yang bertemakan ganja pada tanah seluas 169,5168 hektar.

Digambarkan sebagai 'wonderland of weed', para tetamu boleh menghisap ganja di mana sahaja di dalam taman tema terbabit.

Namun, apa yang beliau harapkan adalah taman tema ini bukan sahaja menjadi tempat percutian, tetapi ia juga akan mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan.

Pelanggan juga boleh memilih untuk tinggal di hotel mewah atau berkhemah di kawasan lapang.

Taman tema ini juga akan menawarkan sungai terpanjang di dunia dan membolehkan para pengunjung menaiki rakit untuk meninjau kawasan sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thevocket

Starlink: Internet Berkelajuan Tinggi Milik Elon Musk Bakal Diperkenalkan Di Malaysia!

Starlink: Internet Berkelajuan Tinggi Milik Elon Musk Bakal Diperkenalkan Di Malaysia!

Sekiranya anda mengikuti perkembangan Elon Musk, beliau menerusi syarikat aeroangkasanya SpaceX, memaklumkan mahu menawarkan internet berkelajuan tinggi buat pengguna seluruh dunia menggunakan sambungan daripada satelit.

Starlink

Bermula dengan sekadar idea, siapa sangka ia akhirnya berjaya menjadi kenyataan apabila negara Amerika Syarikat dan Kanada berjaya menjadi negara terawal menerima internet Starlink secara public beta pada Oktober 2020 lalu.

Starlink dijangka menawarkan servis mereka di Malaysia, namun para pengguna berkemungkinan terpaksa menunggu sehingga tahun 2022 sebelum dapat digunakan.

Dari segi bayaran, Starlink sedia menerima deposit serendah $99 (~RM401) untuk mendapatkan Starlink Kit apabila perkhidmatan ini mulai ditawarkan di Malaysia.

Sebagai perbandingan, harga penuh bagi Starlink Kit di Amerika Syarikat ditawarkan dengan harga sekitar $499 (~RM 2,022) tidak termasuk cukai dan kos pengeposan.

Starlink sewaktu ini menjanjikan kelajuan internet sekitar 50Mbps sehingga 150Mbps dan syarikat ini sedia untuk meningkatkan lagi kelajuan internet kepada 300Mbps pada masa akan datang.

Pastinya agak menarik apabila para pengguna berpeluang menggunakan internet yang pantas terus melalui satelit.

Sekiranya Starlink mampu menawarkan penawaran harga yang kompetitif, pastinya jenama ini bakal menjadi pilihan orang ramai di seluruh dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thevocket

Tuesday, March 02, 2021

Fakta Vaksin BioNTech Pfizer Covid-19 Sebenarnya Di Hasilkan Syarikat Muslim!

Fakta Vaksin BioNTech Pfizer Covid-19 Sebenarnya Di Hasilkan Syarikat Muslim!

Mungkin ramai daripada kita yang masih ragu-ragu dengan pembuatan dan seterusnya pengambilan suntikan vaksin COVID-19, berdasarkan kepada komen-komen di media sosial apabila kebanyakannya mempersoalkan bahan dan tujuan pembuatan vaksin.

Vaksin

Namun, disebalik kekecohan terbabit, tahukah anda bahawa vaksin yang dihasilkan untuk melawan wabak yang melanda seluruh dunia ini direka oleh dua orang tokoh kedokteran beragama Islam.

Mereka adalah suami isteri, Dr Ugur Sahin, 55, dan isterinya, Dr Ozlem Turci, berasal daripada keluarga Turki yang memilih untuk berpindah ke Jerman bagi mencari peluang hidup yang lebih cerah.

Kedua-dua mereka ini adalah pengasas kepada syarikat BioNTech yang bertanggungjawab bekerjasama dengan Pfizer untuk menghasilkan bekalan vaksin.

Dr Sahin telah berpindah ke Cologne, Jerman ketika beliau berusia empat tahun dan sejak dari kecil dia sudah bercita-cita untuk menjadi seorang doktor.

Mempunyai ijazah kepakaran khidmat terapi imuniti kepada pesakit barah telah mendorong beliau dan isterinya menubuhkan sebuah syarikat bagi membangunkan alat imunoterapi kanser.

Apa yang menariknya adalah beberapa tahun yang lalu, Dr Sahin menyatakan bahawa dia berharap bahawa syarikatnya akan mempunyai kepakaran untuk menghasilkan vaksin jika berlaku pandemik global.

BioNTech Pfizer

Dan kini, impiannya menjadi kenyataan apabila syarikat BioNTech yang menjalinkan kerjasama dengan Pfizer telah berjaya menghasilkan vaksin yang mampu mencegah jangkitan wabak COVID-19 daripada terus merebak.

Syarikat yang dibangunkan pada tahun 2008 itu kini sudah mempunyai 1,800 pekerja dan hasil pelaburan besar Pfizer ke atas syarikat BioNtech telah memberi manfaat yang besar kepada mereka dari segi kemudahan uji kaji dan pengkomersialan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thevocket

Tuesday, February 23, 2021

Sejarah Kenapa Ganja Dan Ketum Di Haramkan Penjajah British Adalah Untuk Menghalalkan Arak!

Sejarah Kenapa Ganja Dan Ketum Di Haramkan Penjajah British Adalah Untuk Menghalalkan Arak!

Dua tumbuhan asli dari bumi tropika adalah ganja dan ketum. Semua warga tahu apa itu ganja. Semua tahu apa itu ketum. Mustahil ada manusia waras yang mengada-ngada buat-buat tidak tahu dan kita yakin semua warga yang akil baligh pernah mendengar nama ganja dan ketum sekurang-kurangnya sekali, walaupun pastinya ramai belum melihat rupa dua tumbuhan ini.

Ganja

Mungkin juga ramai yang tidak tahu apa guna dan peranan dua tumbuhan luar biasa ini.

Kalau masih ada lagi yang kata tak pernah mendengar ganja dan ketum – kalaulah ada kuasa - gantung saja status kerakyatan hingga mereka kenal apa itu ganja dan apa itu ketum.

Jangan risau dan jangan kecewa kalau tak pernah melihat ganja dan daun ketum. Tidak pernah melihat dua tumbuhan ini bukan satu jenayah.

Penggunaan nama Latin untuk ketum dan ganja adalah mengarut. Ketum dan ganja mustahil akan tumbuh segar di tepi Sungai Tiber Rom Itali – tempat asal usul bahasa Latin.

Ramai tahu bahawa ganja dan ketum boleh hidup subur membiak di belakang kedai Pak Usin Batu Tujuh Bendang Raja Kuala Nerang.

Pasal itu ada daerah dan orang-orang kampung ini panggil Daun Ketum sebagai Daun Biak. Kerana senang membiak dalam alam bumi tropikal.

Penulisan tentang ketum dan ganja kali ini adalah dengan tujuan yang amat jelas. Bukan kerana diupah oleh tokan ganja atau tokan ketum. Tidak.

Ini ditulis untuk membuka pencerahan dan wacana baharu tentang sejarah dan punca 'kebencian' kepada daun ketum dan daun ganja.

Ini juga untuk menjadikan ganja dan ketum sebagai perbualan harian, membawang tentang ketum dan ganja dari sudut yang segar, cerah dan berpaksikan sejarah dan fakta.

Sentimen anti dari konstruk sosial

Sikap antiketum dan antiganja kini telah melebar. Sikap anti pada dua tumbuhan asli negara kita ini muncul melalui apa yang dipanggil akta dan undang-undang yang diluluskan melalui apa yang dipanggil parlimen.

Ahli parlimen dan senator – para YB - bertanggungjawab membuat dan meluluskan rang undang-undang.

Undang-undang ini adalah konstruk sosial yang diwujudkan oleh daulah. Konstruk sosial bukan azali. Ia adalah hasil perbuatan manusia. Ia tidak natural seperti petai dan kerdas atau pisang.

Konstruk sosial ini diwujudkan oleh manusia seperti rumah atau reban ayam.

Tetapi, ia bukan macam reban ayam yang boleh dilihat dan dipegang. Konstruk sosial tidak dapat dilihat. Tetapi ia wujud. Konstruk sosial wujud dengan agenda dan tujuan masing-masing. Semua kontruk sosial memiliki agenda.

Undang-undang kolonial

Selesai membaca tulisan ini, para pembaca yang budiman sila beri perhatian teliti. Baca dengan teliti apabila membaca berita tangkapan ganja atau ketum yang dilaporkan oleh media.

Pada hari Isnin, 1 Feb 2021, portal My Metro ada melaporkan sebuah lori dengan muatan 4.5 tan daun ketum ditahan dalam perjalanan dari Baling Grik Kedah ke Serambi Mekah.

Polis berkata: Suspek di reman sehingga 4 Februari depan untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Pada 10 Jun 2020 portal Berita Harian telah melaporkan tentang sosok bernama Mat Tarzan dari Jalan Datuk Kumbar Alor Star telah ditahan kerana menanam ganja di halaman rumahnya.

Polis berkata: Kes disiasat mengikut Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana menanam pokok ganja dan Seksyen 15 (1) ADB 1952.

Setelah membaca dua berita ini, adakah pembaca nampak sesuatu?

Bukan nampak daun ganja atau daun ketum. Tetapi sesuatu yang amat menonjol. Selama ini ia tenggelam dalam laporan berita.

Selama ini mata kita hanya memerhati berapa kilo ganja dirampas atau berapa guni daun ketum ditemui dalam lori.

Gambar polis berhadapan dengan daun ketum atau air ketum juga mengalihkan pandangan kita untuk menjadi teliti.

Angka 1952 - perhatikan betul -betul – angka 1-9-5-2 - Akta Racun 1952. Akta Dadah 1952. Kuncinya di sini ialah angka 1-9-5-2.

Kenapa kita mengatakan angka 1-9-5-2 sebagai kunci?

Bro, 1952 ialah angka tahun akta itu dibuat. Sedarlah bahawa pada tahun 1952 kita belum ada Parlimen. Kita masih lagi dijajah oleh Inggeris.

Maknanya, undang-undang dan akta ini adalah hukuman dari kuasa kolonial Inggeris. Betul atau tidak?

Ini bukan undang-undang dari parlimen negara Malaysia. Tapi kuasa kolonial Inggeris dan Baginda Queen yang membuat udang undang ini.

Undang-undang anti ganja dan ketum ini dibuat oleh kuasa kolonial Inggeris. Sesudah fakta ini difahami maka kita akan masuk ke satu bab yang baru.

Fakta baharu ini ialah, di negara yang di jajah seperti Tanah Melayu - anak buah suku sakat kaum kerabat baginda Queen dari London awalnya datang dengan syarikat bernama East India Company.

Ini sebenarnya lanun laut yang dipayung oleh baginda Queen. Datang untuk menjarah harta kekayaan negara lain.

Lanun ini diberi taraf 'perniagaan' oleh baginda Queen. Mereka melanun atas nama baginda Queen. Dapat senjata dan bantuan laut dari baginda Queen.

Demi 'Menghalalkan' Arak

Lanun penjajah ini telah mendirikan kilang Tiger Beer di Singapura pada tahun 1932. Pada tahun 1933 kilang Anchor beer didirikan juga di Singapura. Dua beer ini amat terkenal dalam dunia ini. Dua-dua beer ini berasal dari air Kallang di Singapura.

Anak-anak muda jangan silap faham dan bertanya - ada apa tersangkut dengan Singapura.

Singapura ini adalah sebahagian dari Tanah Melayu. Pulau ini kita boleh nampak dari Johor Baharu. Kalau kita menonggeng beramai-ramai dan terkentut di Johor Baru mengarah ke Singapura mungkin ada bangunan yang akan runtuh di Woodland.

Bagaimana parti ketuanan Melayu - United Malays National Organisation belot hingga Singapura cabut lari – satu cerita lain. Bukan dalam kisah ganja dan ketum.

Apa yang hendak disampaikan disini ialah bagaimana kuasa kolonial Inggeris mahu memunculkan satu akta dan udang undang untuk melarang ketum dan ganja.

Undang-undang ini di buat pada tahun 1952. Akta anti ketum dan anti ganja ini muncul 20 tahun setelah Tiger dan Anchor bertapak di Singapura.

Nampak atau tak nampak?

Ketum

Tujuan undang-undang antiganja dan antiketum dibuat agar orang ramai lari dari menghisap ganja dan meninggal meminum air ketum untuk membeli bir buatan syarikat kolonial Inggeris.

Satu habuk pun kita tak percaya bahawa baginda Queen yang meluluskan akta antiganja dan antiketum ada niat untuk menjaga kesihatan anak-anak tanah jajahan. Poorah.

Niat kesihatan ini tak timbul. Kuasa kolonial Inggeris datang untuk menjarah Tanah Melayu. Apa boleh dirembat akan dirembat. Apa boleh dilanun akan dilanun. Gali, tebang dan jual. Ini rukun iman kuasa kolonial Inggeris.

Jangan lupa - rokok dan tembakau telah diperkenalkan ke Tanah Melayu seawal tahun 1912 – lebih awal dari Tiger dan Anchor.

Di Kelantan, walaupun klim sebagai Serambi Mekah menjadi wilayah penting untuk kaum tani menanam tembakau, tidak ada undang-undang anti rokok yang bersabit dengan kesihatan sehingga tahun 1977.

Para perancang syarikat beer pasti sedar bahawa ganja dan ketum adalah dua tanaman asli Tanah Melayu.

Ini memberi persaingan yang maha hebat kepada Anchor dan Tiger. Voila! Maka undang-undang yang berselindung di sebalik kesihatan dibuat.

Konon untuk mengawal dan menjaga kesihatan anak tanah jajahan dari makan racun. Maka dimunculkan Akta Racun 1952.

Pukrak mukrak apa? Ganja dan ketum tidak penah menjadi racun dalam alam Melayu. Tak ada siapa kena racun. Ganja dan ketum wujud selari dalam budaya kehidupan kaum tani, nelayan dan buruh cucu cicit sejak sekian lama.

Tiba-tiba para penjajah ini mengatakan ganja dan ketum ini racun. Ganja dan ketum tidak baik untuk kesihatan.

Bagi penjajah ini, untuk berehat dan bersantai salepas memburuh di bendang atau pulang dari menangkap ikan, buka sebotol Harimau atau sebotol Sauh.

Apakah para pembaca budiman tidak melihat kenapa harimau dari hutan dan sauh dari laut telah dijadikan logo?

Ini taktik kuasa kolonial Inggeris di belakang Akta Racun 1952. Tak percaya?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Kapal Angkasa NASA 'Perseverance' Berjaya Mendarat Di Planet Marikh!

Kapal Angkasa NASA 'Perseverance' Berjaya Mendarat Di Planet Marikh!

Selepas tujuh bulan berada di angkasa lepas, kenderaan robotik yang dilancarkan agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Perseverance, akhirnya berjaya mendarat di permukaan planet Marikh dengan selamat (19/2/2021).

Perseverance

Pendaratan itu sekali gus menandakan permulaan bagi kapal angkasa seberat satu tan itu mencari kehidupan mikrob di planet tersebut.

Perseverance yang bersaiz kenderaan utiliti sukan (SUV) dilengkapi lengan robot sepanjang dua meter, 19 kamera, dua mikrofon dan kelengkapan instrumen canggih untuk membantu mencapai tujuan saintifiknya.

Ketua Operasi Makmal Pelepasan Jet NASA, Swati Mohan mengesahkan pendaratan itu, sekitar pukul 3.55 petang di Pasadena.

Kapal angkasa yang dipandu secara autonomi selesai 11 minit awal, iaitu tempoh yang diperlukan untuk isyarat radio kembali ke Bumi.

Pentadbir NASA, Thomas Zurbuchen melahirkan kegembiraan terhadap kapal angkasa itu dan memuat naik gambar hitam putih pertama kenderaan itu dari kawah Jezero di hemisfera utara Marikh.

Selama beberapa tahun, kapal angkasa itu akan berusaha mengumpulkan 30 sampel batu dan tanah dalam tiub tertutup, yang kemudian akan dihantar kembali ke Bumi pada tahun 2030 untuk dianalisis.

Perseverance

Sebelum memulakan operasi pencarian, kenderaan robotik itu melakukan pendaratan berisiko dan hampir menjejaskan 50 peratus misi keseluruhan ke planet itu.

Perseverance memasuki atmosfera Marikh dengan kelajuan 20,000 kilometer sejam, dilindungi oleh pelindung haba selepas pukul 3.30 petang.

Kenderaan robotik itu berjaya mendarat dengan berhati-hati ke permukaan Marikh dengan satu set kabel selepas melepaskan lapan enjin beg jet untuk mengelakkan ia menjunam lebih jauh.

Kenapa Marikh Menjadi Planet Pilihan untuk Manusia Menetap?

Marikh

Marikh menjadi planet pilihan sebagai penempatan baru manusia adalah disebabkan kedudukan Marikh di dalam sistem suria dan bersebelahan dengan bumi.

Perjalanan dari bumi ke Marikh mengambil masa yang singkat berbanding ke planet lain iaitu 6 hingga 9 bulan.

Dan sebab yang utamanya adalah dikatakan Marikh hampir menyerupai bumi dari sudut teras planet, permukaan yang berbatu, terdapat lapisan atmosfera dan halaju putaran Marikh di atas paksinya hampir sama (mempunyai 4 musim, dan 1 hari di Marikh hampir sama dengan bumi iaitu 24.6 jam).

Sejak 1960an, manusia telah menghantar beratus kapal angkasa ke Marikh bagi tujuan penyelidikan pelbagai bidang (astrobiologi, astrofizik, astrokimia, geologi dan lain lain) bagi mencapai tujuan untuk cuba membuka penempatan manusia di sana. Walaupun begitu, bukan semua misi yang dilakukan berjaya.

Misi penghantaran kapal angkasa ke Marikh cukup mencabar sehingga ada satelit yang hilang tanpa jejak dan yang paling sukar serta mencabar adalah untuk mendaratkan kapal angkasa di permukaan Marikh.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: utusan

SBDJ Siri 178: Diburu Penunggu Rumah Lama

SBDJ Siri 178: Diburu Penunggu Rumah Lama

Tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan Mia dan Andi Kamarool mahu berhenti berbual. Malah perbualan mereka semakin rancak dan seronok. Seolah-olah saya bagaikan tiada di sisi mereka. Bila remang-remang senja mula menutup kawasan sekitar, hati terus berdebar.

Toyol jadi-jadian

"Dah senja Andi."

Saya terpaksa menggunakan taktik ini untuk menyedarkan mereka. Bagaikan diarah oleh sesuatu, serentak mereka memandang ke arah saya.

Sinar mata Andi Kamarool nampak aman tetapi, sinar mata Mia bagaikan memancar kemarahan.

Mungkinkah tindakan saya itu menganggu keseronokannya berjalan seiringan dengan Andi Kamarool?

Apa yang saya bimbangkan, ketika Andi Kamarool asyik mendengar cerita Mia di remang senja, tiba-tiba Mia bertukar menjadi harimau betina dan Andi Kamarool pula menjadi harimau jantan lalu menyerang saya.

Dari segi logiknya tidak mungkin berlaku tetapi, bila mengingati datuk nenek dari keturunan manusia harimau, bukan mustahil perkara begitu terjadi.

"Kita balik Andi, tak lama lagi maghrib tiba," tambah saya.

"Iya, Tamar. Kalau begitu kami minta diri dulu Mia," Andi kamarool tatap muka Mia.

Saya memperlihatkan wajah kesian padanya (Mia).

"Silakan, saya tak menghalang, cuma cerita tentang ladang dan harta peninggalan orang tua saya belum habis," kata Mia.

"Kita sambung lain kali Mia," celah saya.

"Ok," sahutnya riang.

Mia pun melangkah menuju ke pintu rumah batu lama, meninggalkan saya dan Andi Kamarool.

Tidak sampai sepuluh langkah, kami melangkah, Mia memanggil Andi Kamarool. Serentak kami menoleh ke arahnya yang berdiri di depan pintu.

"Ada apa Mia," tanya Andi Kamarool dalam remang senja yang kian memberat itu.

Saya terus resah dan berdoa agar Mia tidak menahan kami dari pulang ke rumah papan.

"Malam nanti, Kak Sun hantar makanan untuk kamu berdua."

Belum pun sempat Andi Kamarool atau saya memberikan jawapan, Mia terus menyelinap masuk ke rumah batu.

Kami saling berpandangan, tanpa memberikan sebarang komentar. Langkah pulang kami teruskan.

Sementara mahu sampai ke kaki tangga rumah papan, macam-macam saya fikirkan. Walaupun begitu, saya rasa aman kerana bau harimau tidak lagi saya hidu.

Semoga tidak ada perkara buruk akan berlaku, bila sampai di rumah papan, itu harapan yang berbunga dalam hati saya.

Mia ternyata gadis yang tidak mungkir janji. Sebaik saja kami selesai menyempurnakan sembahyang isyak, terdengar ketukan bertalu-talu di pintu.

"Kamu pergi buka pintu Tamar."

Saya meluru ke pintu dan membukanya. Kak Sun tersenyum, lampu suluh di tangan segera dimatikan.

Belum pun sempat saya mengemukakan pertanyaan, Mia muncul di belakang Kak Sun membawa setalam hidangan. Talam itu diserahkan kepada Kak Sun.

Tanpa berkata walaupun sepatah, Mia ke rumah batu lama. Sudah tentu perbuatan Mia menimbulkan pelbagai keraguan dalam diri saya.

"Ambil ni."

Saya segera mengambil talam dari tangan Kak Sun. Lalu diletakkan di ruang tengah. Kak Sun masuk ke rumah. Duduk bersila dekat tiang seri.

Andi Kamarool yang sudah selesai membaca doa, segera memusingkan badannya membelakangi kiblat.

"Bersusah payah si Mia," Andi Kamarool merungut kecil.

"Dia ambil berat tentang diri kau orang berdua."

"Begini sebenarnya Kak Sun. Saya dan Tamar tak sempat nak beritahu Mia supaya jangan hantar makanan. Dia cepat sangat masuk ke rumahnya senja tadi," biji mata Andi Kamarool terpaku ke arah biji mata Kak Sun.

"Kenapa pula? Orang nak beri rezeki engkau orang tolak."

"Malam ni, kami tak mahu makan," tutur Andi Kamarool dengan wajah yang gusar.

Dia tahu kata-kata itu akan menyinggung perasaan Kak Sun dan Mia tetapi, apakan daya dia terpaksa berterus-terang.

NAMPAK

Buat beberapa saat, kak Sun nampak seperti tergamam. Kelopak matanya tidak berkedip merenung wajah saya dan Andi Kamarool. Ada seribu kesangsian bermain di parasnya.

"Kamu berdua masih ragu-ragu dengan kejujuran Mia dan aku?"

Saya gelengkan kepala.

"Bukan begitu," Andi Kamarool segera memintas cakap Kak Sun.

"Untuk berjaga malam, saya tak mahu makan makanan yang berat. Tamar pula tidak mahu menelan sebiji nasi. Minum air sejuk bila difikirkan perlu," lanjut Andi Kamarool.

Dan saya harap penjelasan dan alasan yang diberikan itu dapat diterima oleh Kak Sun. Bila disampaikan kepada Mia, dia juga menerimanya.

"Semuanya ni sebagai usaha kami berdua untuk membuat hubungan batin dengan pengawal atau penjaga rumah batu.

"Sepanjang malam terpaksa berlapar dahaga, seluruh pancaindera dan hati berpusat kepadanya. Kami mesti menghening cipta, begitulah mengikut istilah sekarang," itu hujah saya untuk menguatkan lagi alasan Andi Kamarool.

"Diharapkan apa yang kami buat ni, dengan izin Allah penunggu rumah batu lama akan muncul didepan mata kami," Andi Kamarool pula menambah. Saya lihat Kak Sun menarik nafas dalam-dalam.

"Tolong beritahu Mia tentang hal ni Kak Sun, kami terpaksa menolak pemberiannya buat malam ni, kerana tujuannya tersebut," ujar saya.

Kak Sun masih macam tadi, menarik nafas dengan tenang.

"Sekarang kak dah faham. Bila Mia tahu tujuan sebenar kamu berdua tidak mahu makan makanan yang dihantar, dia juga tidak berkecil hati," jawapan yang amat menggembirakan dari Kak Sun untuk kami.

"Biar kak bawa balik hidangan ni."

"Silakan," lemah benar suara Andi Kamarool.

Dan kak Sun pun membawa hidangan dalam talam tembaga ke rumah batu lama.

"Kamu mahu melakukannya Tamar?"

"lya."

"Bila?"

"Bila kamu masuk ke bilik tidur masa itulah aku mahu menghening cipta," tutur saya lemah.

Dan Andi Kamarool tidak mengemukakan apa-apa pertanyaan. Anehnya, dia masih belum bersedia untuk melangkah ke bilik tidur.

Andi Kamarool bagaikan keberatan mahu meninggalkan saya sendirian dan saya pula mengharapkan dia segera beredar.

Makin cepat dia pergi, makin cepat pula saya menjalankan tugas-tugas yang sudah dirancang.

"Kamu tidak memerlukan pertolongan aku, Tamar?"

"Tak perlu."

Andi Kamarool menggigit bibir. Dia nampak resah sekali.

"Lagi sepuluh minit pukul 12.30," kata saya dengan harapan Andi Kamarool segera mengerti dan segera pergi.

Ah! Kenapa kamu tidak pergi Andi Kamarool? Kenapa? Batin saya terus menjerit.

"Semua barang-barang yang kamu perlukan, sudah aku taruh dalam beg kertas. Aku letak dekat tiang seri, pandai-pandailah kamu menjalankan tugas."

"Terima kasih Andi."

Andi Kamarool segera bangun. Dia melangkah satu, dua, tiga, empat, lima dan tiba-tiba dia berpatah balik mendekati saya.

Tindakannya kurang saya senangi, melambatkan urusan yang sudah disusun. Kalau tidak kena caranya, semua akan menemui kegagalan.

Saya menahan marah dengan menggosok pangkal dagu berulang-kali.

"Cuma satu saja yang nak aku ingatkan pada kamu, Tamar."

"Apa dia, Andi?" tanya saya penuh debar.

"Pastikan, tidak ada seorang pun yang nampak kamu ke situ, jangan sampai Mia tersedar atau terjaga dari tidurnya.

"Semasa kamu menghening cipta di depan pintu masuk ke bahagian ruang tamu, kosongkan fikiran kamu dari dunia nyata.

"Mata hati dan batin kamu harus menjurus kepada perkara yang dihajati, kalau ada gangguan kamu mesti mempersetankannya."

"Apa lagi yang mahu kamu cakapkan pada aku Andi?"

"Lain tak ada apa-apa Tamar."

Andi Kamarool memulakan kembali langkah yang terhenti tetapi, hanya untuk beberapa langkah saja. Dia berhenti kembali lalu menoleh ke arah saya. Lagi sekali hati saya berdebar.

Dibandingkan dengan usia dan pengalaman, ternyata Andi Kamarool lebih dari saya. Kerana itu saya harus akur dengan nasihat dan pandangannya.

"Gerak hatiku seolah-olah memberi tahu kejayaan berada di pihak kamu tetapi, kalau kamu alpa atau terlalai sedikit, kamu kecundang Tamar," kata Andi Kamarool dan dia terus menghilang, masuk ke kamar tidur.

KEPALA

Dialog terakhir yang diucapkan oleh Andi Kamarool menimbulkan seribu persoalan dalam kepala. Perasaan jadi tidak lama, resah gelisah tidak ketentuan.

Saya lihat jam loceng yang terlekap di dinding rumah papan. Lagi sepuluh minit pukul dua belas setengah, debar dada saya semakin kencang, entah mengapa, tiba-tiba saja dahi saya berpeluh.

Sepatutnya, keresahan semacam itu tidak wajar berlaku dalam diri seseorang yang mahu menghening cipta.

Perasaan dan fikirannya harus damai dan tenteram. Tidak berkecamuk seperti apa yang sedang saya alami ini.

Saya cuba menenangkan perasaan dengan melakukan senaman ringan yang banyak tertumpu kepada gerak urat saraf.

Sambil bersenam itu, saya berusaha melapangkan fikiran, usaha itu tidak menghampakan.

Debar dada beransur kurang dan rasa yakin pada diri, mula mengembang sedikit demi sedikit.

Dan akhirnya, saya dapat mengawal diri, peluh tidak lagi terasa menguasai dahi dan tubuh. Semuanya terasa nyaman sekali. Badan segar dan bertenaga.

Bila kekuatan fizik dan batin sudah ada, saya segera bangun dan berjalan ke arah tiang seri untuk mengambil beg kertas.

Bila saja beg kertas disentuh, saya terus menguap dan terasa amat mengantuk sekali dan satu-satunya cara untuk menghilangkan rasa mengantuk itu, saya terpaksa melakukan senaman kembali.

Semakin kuat berusaha untuk menghilangkan rasa mengantuk, semakin kuat pula rasa mahu tidur menguasai diri.

Badan terasa amat letih sekali, bagaikan sudah mendaki lima enam buah bukit. Saya tetap berusaha, berjuang habis-habisan, menghalau rasa mengantuk.

Apa yang saya perolehi, semua sendi-sendi anggota seperti mahu relai dan saya bagaikan kehabisan tenaga.

Tidak terdaya mahu berdiri, badan segera disandarkan ke dinding, perlahan-lahan saya rebahkan badan dan terus duduk di tantai.

Kelopak mata tidak terbuka lagi. Apa yang terpamer ialah beranika cahaya dalam pelbagai warna.

Ada cahaya yang membulat dengan warna kemerah-merahan, ada cahaya dalam bentuk panjang berjalur dengan warna biru, kuning dan hijau.

Bila warna itu hilang, saya mula melihat kemunculan sinis, saya segera melambaikan tangan minta tolong, orang tua menghulurkan tongkatnya.

Bila jejari tangan mencecah hujung tongkatnya, saya terkapai-kapai macam orang buta kehilangan tongkat. Cukup terseksa rasanya.

Dalam keadaan yang serba kritikal itu, saya segera memanggil Andi Kamarool. Sungguh kecewa, saya kehilangan suara.

Dan pada masa itu, ada sesuatu yang menghentak pangkal leher. Saya kira, benda yang menghentak saya itu ialah buntut senapang. Siapa yang menghentaknya? Sukar untuk diteka.

Kata orang berpantang maut sebelum ajal, saya berusaha untuk bangun. Semuanya tidak menjadi, saya terus rebah dan tidak tahu apa berlaku selanjutnya.

Bila kelopak mata terbuka, saya sudah berada di depan pintu masuk ke ruang tamu dalam keadaan duduk bersila. Kedua belah tangan berada di atas kedua belah tempurung lutut.

Beg kertas berada di hujung lutut sebelah kiri, semua barang di dalamnya berserakan di anak tangga.

Lebih mengejutkan lagi, tempat bara atau dupa sudah tersedia. Baranya merah menyala, menanti taburan serbuk kemenyan.

Dari arah belakang terdengar suara orang bercakap dalam pelbagai bahasa dan loghat.

Saya tidak dapat menangkap perkara yang mereka perkatakan.

Saya kira jumlahnya, lebih daripada sepuluh orang. Bila ditoleh ke belakang suara itu hilang. Suara itu beralih ke halaman rumah, anak mata saya tertumpu ke arah tersebut.

Saya dapati para pekerja Mia mula sibuk membawa pisau penyabit, cangkul, pencebak, parang. Mereka mahu turun ke ladang untuk memulakan pekerjaan.

"Dah pagi rupanya," kata hati saya.

Melihat suasana sekitar, saya kira sudah pukul enam. Tanpa mahu mengambil kira keadaan sekeliling. Pintu ruang tamu saya ketuk berulang kali. Malangnya, tidak ada siapa yang membukanya.

Saya mengambil keputusan nekad, daun pintu saya tolak. Bila pintu terbuka, ada dua orang gadis mempamerkan senyum seolah-olah menyambut kedatangan saya.

"Datuk."

Gadis bermata bulat berambut panjang, menyuruh saya duduk di sofa. Manakala seorang lagi segera mendekati piano.

Jari jemarinya menekan mata piano dan bergema irama lagu yang tidak pernah saya dengari selama ini.

"Menari," pelawa gadis bermata bulat.

Saya gelengkan kepala. Bunyi piano terus bergema, memekakkan anak telinga.

"Aku belum bersembahyang subuh," pekik batin saya.

KELUAR

Tanpa mahu membuang masa, saya meluru keluar. Kedua orang gadis jelita menghalang di muka pintu. Apa yang saya fikirkan waktu itu ialah waktu subuh sudah tiba.

Kedua gadis itu rempuh dengan kasar. Mereka menjerit. Tidak saya pedulikan, langkah dipercepatkan menuju ke rumah papan lalu mengambil wuduk.

Ketika itu, suara para pekerja menjadi riuh rendah. Sesekali terdengar suara anak buahnya. Semuanya tidak saya endahkan. Solat diteruskan.

Selesai solat subuh saya berdiri di muka pintu rumah papan dengan niat mahu melihat telatah para pekerja Mia. Harapan saya tidak menjadi kenyataan.

Apa yang saya alami ialah suasana sepi tetapi hari makin cerah. Tiada seorang pun pekerja yang berjalan di halaman. Barangkali mereka sudah ke ladang, fikir saya.

Kerana tidak mahu Andi Kamarool terlepas solat subuh, saya segera masuk ke biliknya. Kakinya saya tarik dua tiga kali. Andi Kamarool terjaga dari tidur.

"Kenapa tamar?"

"Bangun sembahyang subuh."

"Subuh? Dah pukul berapa sekarang?"

"Dah cerah, dah pukul enam," ulang Andi ragu-ragu. Di terus duduk.

Sungguh mengejutkan bila dia memukul bahu saya berkali-kali sambil ketawa kecil.

"Kamu mengigau Tamar, cuba tengok jam di dinding, pukul berapa sekarang?" jari telunjuknya menghala ke arah jam yang tersangkut di papan rumah lama.

"Ha! Baru pukul 2.55 pagi," kata saya.

Andi kamarool terus ketawa.

Ketika itu juga saya teringat dua orang gadis di ruang tamu rumah lama. Tanpa mahu mengucapkan apa-apa pun pada Andi kamarool, saya turun ke halaman rumah papan.

Dengan menahan nafas, saya memulakan langkah dengan berlari ke rumah batu lama, saya tidak mengalami rasa bimbang dan takut.

Dengan kekuatan seorang lelaki, daun pintu ruang tamu saya tolak dan terus meluru ke tengah ruang tamu.

Dua wanita cantik sudah tiada di situ. Lampu ruang tamu masih menyala, penutup piano sudah tiada di situ. Lampu ruang tamu masih menyala, penutup piano masih terbuka. Terkaku saya dengan penuh kebingungan. Ke mana dua perempuan cantik itu menghilang?

"Apa yang kau cari di sini, Tamar?"

Tidak saya duga Andi Kamarool mengekori saya. Pertanyaannya sukar untuk saya jawab.

Pada hakikatnya, ingin saya nyatakan kedatangan saya untuk mencari perempuan cantik. Tetapi mulut saya tidak terucap, saya takut diketawakan oleh Andi Kamarool.

"Balik Tamar, kau gagal."

Tidak saya jawab kata-kata itu. Muka Andi Kamarool saya tatap.

"Sekarang baru pukul dua, ada baiknya kita sambung tidur."

Saya buat tidak kisah dengan apa yang diluahkan kawan karib saya itu. Fikiran saya masih berputar tentang perempuan cantik.

Apakah mereka yang membawa saya ke pintu rumah batu lama?

Mereka juga agaknya yang menyediakan tempat bara dan mengeluarkan barang-barang dari dalam beg kertas saya.

"Mari."

Andi Kamarool menarik tangan mengajak saya keluar dari ruang tamu. Tiada bantahan, saya hanya mengikut bagaikan kerbau dicucuk hidung.

Bila berada di halaman rumah batu, fikiran saya tidak lagi diselaputi dengan bayang dua orang wanita cantik.

"Tamar renung mataku."

Kerana saya tidak memperlihatkan sebarang reaksi terhadap kata-kata yang diluahkan menyebabkan Andi Kamarool cemas sedikit.

Tetapi anak matanya tetap terpanah ke wajah saya. Dia menarik nafas untuk kali kedua, terus dihembuskan ke muka saya.

"Eh, Tamar cuba kamu tengok keadaan sekeliling kamu."

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 178/284

BACA: SBDJ Siri 177: Jumpa Di Kubur Lama
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Kisah Pelajar Universiti Jadi 'Sugar Baby'

Kisah Pelajar Universiti Jadi 'Sugar Baby'

Pada usia 20 tahun, saya merupakan seorang pelajar di sebuah universiti antarabangsa kelas atasan di Subang Jaya, dan sentiasa dikelilingi oleh anak-anak orang kaya dan pelajar antarabangsa yang hidup mewah.

Sugar Baby
Gambar hiasan.

Saya berasakan diri saya tidak setaraf dan ketinggalan berbanding pelajar lain kerana pakaian saya masih pakaian yang sama dari sekolah menengah, bukan pakaian berjenama seperti yang dipakai mereka di sekitar kampus.

Elaun pelajar saya tidak banyak dan saya tidak bercadang mencari pekerjaan sambilan walaupun ia akan bermanfaat untuk saya dalam jangka masa panjang, berbanding keluar dengan lelaki kaya untuk menikmati hidangan mewah dan koktel di restoran hotel yang mahal.

Disebabkan tidak mampu menggunakan alat solek atau bergaya seperti rakan-rakan yang lain, saya secara serius mempertimbangkan idea mempunyai sugar daddy untuk menaikkan status saya yang 'miskin' itu.

Dengan memasuki (laman web) Seeking Arrangements, iaitu platform antarabangsa yang menghubungkan antara lelaki dan wanita yang berpendapatan tinggi dengan sugar babies, saya mendaftar dan tidak lama kemudian menerima tawaran daripada lelaki-lelaki yang inginkan gadis yang baru di situ.

Arrangement (pelanggan) pertama saya ialah seorang peniaga Amerika. Dia memberikan saya wang tunai yang bersamaan dengan AS$1,500 untuk bersamanya dua malam di sebuah hotel lima bintang ketika dia berada di ibu kota. Wang itu sangat membantu saya.

Saya masih baru dalam 'permainan' itu, jadi saya bertanya mengapa dia inginkan gadis yang berumur hanya 18 tahun, baru cukup umur.

"Sebabnya mereka masih ketat dan bergetah," katanya sambil menyentuh tubuh saya.

Bayar tiap kali berjumpa

Pengalaman saya dalam sugar dating telah menjadi bertambah serius apabila saya mendedahkan diri saya dengan lelaki yang gemarkan hubungan zina dan pemangsa seksual.

Di sebalik pengalaman buruk, saya tetap berada di dalam 'sugar bowl' (laman web itu) setiap kali saya perlukan wang yang besar, sementara bersikap naif mempercayai kisah wanita yang menjalin hubungan jangka panjang dengan pasangan mereka dan memiliki rumah bernilai jutaan ringgit.

Sekiranya anda menggunakan platform temu janji sugar-dating, anda akan terbiasa dengan istilah, PPM iaitu pay per meet (bayar setiap kali bertemu).

PPM adalah seperti apa yang disangkakan oleh semua orang - seks berbayar setiap kali kami mengadakan pertemuan.

Polisi aplikasi Sugarbook berkeras untuk tidak menggunakan istilah seperti 'pay per meet'.

Tetapi, di sebalik polisi itu, sebahagian besar pengguna yang terdiri daripada sugar daddy menggunakan istilah itu untuk berunding bagi perjumpaan seks berbayar.

Saya menerima teks daripada sugar daddies yang bertanya: "PPM?" dalam beberapa teks pertama perbualan.

Sugarbook dengan bangganya memberitahu, Malaysia mempunyai puluhan ribu sugar daddies. Saya tidak bersetuju.

Aplikasi ini sebaliknya dipenuhi oleh lelaki biasa yang tidak mempunyai keintiman secara fizikal ataupun romantis dan mendapati bahawa dengan membayar (untuk seks) jauh lebih mudah daripada melalui proses temu janji.

Ia bukanlah temu janji mewah seperti yang dijangkakan oleh orang di luar sana. Ia tidak melibatkan percintaan. Tiada intan permata, jambakan bunga atau sejumlah cek yang besar.

Ia hanyalah lelaki yang berhasrat untuk mencari seseorang yang sanggup melakukan hubungan seks dengan harga yang tidak mahal.

Dakwaan lain yang digunakan oleh pasukan Sugarbook untuk mempertahankan laman web mereka di mata masyarakat adalah platform itu memberi peluang kepada sugar babies untuk maju dalam karier mereka dengan menjalinkan hubungan bersama lelaki yang berjaya dan berprofil tinggi.

Memang mudah terpedaya

Saya mendapati dakwaan sebegini adalah berlebihan kerana sugar daddies selalunya tidak mendedahkan identiti mereka.

Nama akhir mereka biasanya tidak diletakkan dan butiran seperti tempat kerja juga dirahsiakan kerana dikhuatiri akan berlaku ugutan dan atau diburu oleh sugar babies.

Hal sebegini menimbulkan pelbagai masalah, termasuk penipuan dan serangan seksual.

Apabila nombor telefon dan nama akhir mereka tidak dinyatakan, sukar bagi kedua-dua pihak untuk dipertanggungjawabkan secara sah sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Saya telah ditipu beberapa kali. Saya akan melakukan hubungan seksual dengan sugar dadies dan mereka tidak mempunyai 'elaun' yang dipersetujui untuk saya ketika saya memintanya.

Saya tidak mempunyai jalan untuk mendapatkan wang yang tidak dibayar kerana ia bukanlah perkhidmatan yang sah untuk membolehkan saya membuat aduan rasmi.

Dalam kes seperti itu, laporan boleh dihantar ke platform sugar-dating, namun tindakan yang dilakukan tidak lebih daripada menyekat pelakunya daripada menggunakan laman web itu.

Pada masa sama, platform itu tidak mempunyai pembelaan untuk sugar daddies yang mengirim wang kepada sugar babies yang akhirnya tidak muncul untuk temu janji, atau sugar babies yang mempunyai pengalaman yang mengerikan.

Atas sebab berkenaan serta alasan lain, saya bimbang terdapat kenaikan jumlah sugar babies secara tiba-tiba, yang masih di kolej dan mudah terpedaya, terdedah kepada paksaan seksual, grooming dan dibuli secara kewangan.

Sebagai sugar baby, saya dapat mengakui bahawa sebahagian besarnya, ia tidak lebih daripada cara untuk melakukan pekerjaan seks secara bebas tanpa dipayung bapa ayam atau perniagaan dari rumah pelacuran.

Wang yang saya kumpulkan daripada temu janji saya sepanjang lima tahun memberikan saya keuntungan yang ketara tetapi ia juga membuatkan saya terbantut untuk mencari wang sendiri.

Seperti urus niaga dadah, wang segera dan mudah secara tidak langsung membuatkan usaha mendapatkan wang dengan cara sah menjadi kurang lumayan dan sukar.

Saya tidak mahu peduli dengan apa yang dilakukan oleh dua orang dewasa secara sukarela berada di tempat yang tertutup, tapi saya secara peribadi tidak bersetuju wanita di bawah umur 25 tahun berkecimpung dengan temu janji sebegini.

Kepada ibu bapa yang ingin melindungi anak perempuan mereka daripada eksploitasi seperti itu, nasihat saya ialah: beri peluang kepada anak-anak anda untuk menjana pendapatan sendiri sejak usia muda.

Berdikari akan mengurangkan sikap kebergantungan kepada orang lain, apalagi daripada sugar daddy, untuk memenuhi keperluan kewangan dan barangan material mereka sendiri.

Nota: Penulis artikel ini enggan mendedahkan identitinya dan kami menghormati pendirian berkenaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: malaysiakini

Tuesday, February 16, 2021

Dakwaan Matahari Akan Terbit Dari Sebelah Barat Adalah Palsu!

Dakwaan Matahari Akan Terbit Dari Sebelah Barat Adalah Palsu!

Satu hantaran Facebook telah dikongsi ribuan orang bersama-sama dengan kenyataan bahawa NASA mengumumkan bahawa kemungkinan matahari akan terbit dari bahagian barat dan ia adalah tanda bahawa hari kiamat semakin hampir.

Kiamat

Hantaran yang beredar di Facebook dan ditulis dalam bahasa Thailand itu telah dikongsi ramai orang sejak Januari 2021 lalu dan NASA dalam satu kenyataan rasmi mengatakan bahawa dakwaan tersebut sebagai palsu dan tidak benar.

Di dalam muat naik terbabit yang dikepilkan sekali bersama gambar dengan kapsyen, "NASA mengesahkan kemungkinan matahari terbit dari barat. Bumi berputar ke arah yang bertentangan sehingga menyebabkan matahari terbit dari sebelah barat," katanya yang ditulis di dalam bahasa Thai.

"Para penyelidik percaya bahawa kita bergerak menuju ke arah berlawanan dari medan magnet yang akan membawa kita ke hari akhir untuk umat manusia dan menghampiri kiamat."

Sebenarnya dakwaan ini bukan pertama kali hadir. Sebelum ia hadir dalam versi bahasa Thailand, dakwaan serupa juga pernah di buat dalam bahasa Inggeris pada tahun 2020 dan pada tahun 2010. Lebih parah lagi, perkongsian itu sebenarnya sudah menjadi semacam budaya di Facebook.

Kenyataan NASA

NASA dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut. Ketika dihubungi oleh AFP, NASA menyatakan bahawa dakwaan mengenai matahari akan terbit dari barat adalah "palsu".

"Baik NASA atau organisasi saintifik lain tidak mampu untuk meramalkan matahari akan terbit di barat," kata Bettina Inclán, seorang Pentadbir Bersekutu untuk Komunikasi NASA.

Dia menjelaskan bahawa fenomena pembalikan tiang magnet adalah sebenarnya telah sering berlaku pada zaman dahulu.

Namun, anggapan bahawa pembalikan akan menyebabkan Bumi berputar ke arah yang berlawanan sehingga matahari terbit di barat adalah salah.

Bettina turut menjelaskan bahawa NASA dan organisasi saintifik lain sering menjadi sasaran dakwaan teori sains yang palsu. Menurutnya, isu matahari terbit dari barat sama dengan isu kiamat yang sering beredar di kalangan masyarakat.

Untuk rekod, NASA pernah menerbitkan artikel pada 1 Disember 2011 yang menjelaskan fenomena pembalikan medan magnet Bumi bagi menjelaskan bahawa fenomena ini sering berlaku sejak ribuan tahun dahulu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: thevocket