Sunday, August 25, 2019

Alyssa Carson, Manusia Pertama Yang Bakal Menjelajah Planet Marikh


Misi ke planet Marikh bukanlah sesuatu yang baru sebaliknya telah dimulakan sejak tahun 1965, apabila Mariner 4, kapal angkasa tanpa pemandu NASA berjaya menghampiri planet ini dan menghantar gambar planet Marikh secara dekat yang pertama.

Alyssa Carson manusia pertama ke Marikh

Kemudian, pada tahun 1971, Mars 3, kapal angkasa milik Soviet Union berjaya berada di orbit planet Marikh dan berjaya mengumpul data-data penting seperti topografi, atmosfera, cuaca dan geologi planet Marikh.

Malangnya, hanya data selama 20 saat berjaya dihantar ke bumi sebelum ianya terputus hubungan.

Kajian demi kajian mengenai planet Marikh yang dilakukan oleh pelbagai organisasi ini menjadikan misi menjejakkan kaki dan menghantar manusia ke planet Marikh semakin menarik.

Adakah ianya bakal menjadi realiti dalam beberapa tahun akan datang?

Alyssa Carson Bakal Menjadi Manusia Pertama Menjelajah Planet Marikh

Bukan sahaja pembangunan teknologi canggih diperlukan bagi merealisasikan cita-cita besar ini malah, NASA juga telah mempunyai calon sesuai sebagai manusia pertama yang bakal dihantar ke planet Marikh.

Manusia istimewa yang menjadi calon manusia pertama bakal ke planet Marikh ini bernama Alyssa Carson, seorang remaja perempuan yang baru berusia 17 tahun.

Wanita Genius

Menggunakan nama panggilan Blueberry di NASA, Alyssa Carson sememangnya mempunyai cita-cita besar menjejakkan kaki ke planet Marikh sejak dari kecil lagi.

Keinginan tersebut timbul selepas beliau menonton siaran The Backyardigans di kaca televisyen ketika berumur 3 tahun lagi.

Terpilih

Terdapat banyak sebab utama mengapa beliau dipilih sebagai calon utama untuk dihantar ke planet Marikh.

Alyssa Carson merupakan seorang genius dan pelajar termuda yang berjaya menamatkan pengajian di Advanced Space Academy.

Pada tahun 2008, bapanya Bert Carson telah mendaftarkan beliau untuk mengikuti program United States Space Camp.

5 tahun kemudian, Alyssa berjaya menamatkan program tersebut, menjadikan beliau manusia pertama di dunia yang berjaya menamatkan kesemua 3 program khas NASA dikenali sebagai NASA Space Camps di Amerika Syarikat, Kanada dan Turki.

Selain itu, beliau merupakan satu-satunya manusia yang berjaya menamatkan program NASA Passport Program, iaitu lawatan ke kesemua 14 pusat penyelidikan NASA di seluruh Amerika Syarikat.

Pada Januari 2013, beliau telah dijemput sebagai panel dalam satu program televisyen NASA yang diadakan di Washington D.C. bagi membincangkan tentang rancangan misi menjejakkan kaki ke planet Marikh.

Tidak lama kemudian, beliau dipilih sebagai salah seorang daripada 7 orang duta Mars One, iaitu misi untuk membina penempatan manusia di planet Marikh menjelang 2033.

Pada Oktober 2016, beliau berjaya menamatkan pengajian di Advanced Possum Academy seterusnya menjadikan beliau sebagai manusia termuda di dunia mempunyai kelayakan untuk pergi ke angkasa lepas.

Pengorbanan Besar

Alyssa Carson Mars
Alyssa Carson.

Kini, Alyssa sedang mengikuti pelbagai latihan intensif bersama NASA untuk menjadi sebahagian daripada misi manusia pertama menjejakkan kaki ke planet Marikh pada tahun 2033.

Walau bagaimanapun, kesibukannya ini tidak menghalangnya untuk melanjutkan pengajian seperti remaja seusianya.

Alyssa yang berasal dari Louisiana juga turut mempelajari 4 bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Mandarin, French dan Spanish.

Selain itu, Alyssa turut sibuk memberikan ceramah terutamanya kepada golongan muda dalam usaha memberi mereka galakan untuk mengejar cita-cita.

Alyssa juga telah menubuhkan organisasi yang diberi nama Blueberry Foundation untuk memupuk golongan muda untuk mengejar cita-cita mereka secara serius.

Sebagai manusia pertama yang bakal dihantar ke Marikh, Alyssa Carson sedar beberapa pengorbanan besar yang terpaksa dilakukannya.

Antaranya, tidak boleh berkahwin bagi membolehkan cita-citanya sebagai manusia pertama menjejakkan kaki ke planet Marikh tercapai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon