Monday, June 29, 2020

Sejarah 'Vandalisme' Yang Berasal Dari Perbuatan Kaum Vandals

Sejarah 'Vandalisme' Yang Berasal Dari Perbuatan Kaum Vandals

'The Vandals' adalah gelaran yang diberikan kepada sekumpulan orang gasar (barbarian) Germanik yang menubuhkan sebuah negara di Afrika Utara selama lebih satu abad, sebelum negara itu jatuh dijajah oleh Empayar Byzantine pada tahun 534.

Asal-usul Vandalisme
Gambar hiasan.

Puak Vandals adalah gabungan beberapa komuniti etnik kecil dengan dua puak paling besar dalam Kaum Vandals adalah suku Hasding dan Siling, yang bersetuju untuk bergabung bersama kelompok kecil lain dalam panji yang dinamakan sebagai 'Vandili.'

Berasal daripada selatan Scandinavia, orang-orang Vandal berhijrah ke selatan sebelum menemui Empayar Rom.

Penghijrahan mereka ke kawasan lain terpaksa dilakukan berikutan kedatangan suku Huns pada tahun 375, yang bertindak ganas dan cuba menguasai kawasan asal orang Vandals.

Penghijrahan kerana terusir dari bumi sendiri

Diketuai oleh dua pemimpin mereka bernama Raus dan Raptus yang menjadi suara mereka, perjanjian di antara orang Vandals dan orang Rom disepakati, lalu Rom memberikan mereka kawasan untuk didiami.

Perjanjian itu yang dilakukan oleh Jeneral Stilicho dari Rom pada tahun 401, membenarkan orang Vandals menduduki dua wilayah yang terletak di sempadan empayar Rom ketika itu, iaitu Vindelica dan Noricum.

Walau bagaimanapun, selepas hampir 5 tahun mendiami kedua-dua wilayah itu, orang Vandals melanggar perjanjian yang telah dipersetujui.

Pada 31 Disember 406, kumpulan orang Vandals mula bertindak memasuki wilayah Gaul yang ketika itu dibawah penguasaan Empayar Rom.

Diserang rasa tamak

Empayar Rom ketika itu terbahagi kepada dua, dengan satu di bahagian timur dan satu lagi bahagian barat.

Gaul terletak di bawah penguasaan Empayar Rom sebelah barat, dengan Raja Honorius bertindak sebagai pemerintah tertinggi.

Kemasukan orang Vandals ke Gaul pada awalnya tidak diendahkan, kerana Honorius merasakan apa yang berlaku bukan ancaman besar kepada kestabilan Empayar beliau.

Tiada kekangan, orang Vandals mula mara lebih berani dan masuk ke Iberia (lokasi Sepanyol dan Portugal kini).

Bagi memudahkan urusan, orang Vandals membahagikan gerakan mereka kepada dua, dengan etnik Siling Vandals menguasai bahagian Baetica di bahagian tengah dan Hasding Vandals menguasai Gallaecia di bahagian barat laut.

Setelah menyedari apa yang berlaku, Honorius mula mengambil langkah mempertahankan empayarnya.

Etnik SIling dan Hasing terpaksa melarikan diri setelah tewas dalam pertempuran pada tahun 418, memaksa mereka bersatu semula di bahagian selatan.

Penyatuan tentera mereka membawa kejayaan besar setelah mereka berjaya menawan sebuah pekan pelabuhan bernama Tarraco daripada tentera Rom.

Kejayaan menguasai Tarraco yang kini dikenali dengan nama Tarragona di selatan Sepanyol, menjadi alasan kepada orang Vandals untuk terus menguasai kawasan baru.

Kempen perang ke atas Seville bermula pada tahun 425 hingga 428 dan hasilnya, Seville jatuh ke tangan Vandals dan empayar Vandals mula menjadi kuasa besar di kawasan selatan.

Pertabalan Raja Geiseric

Atas kejayaan menawan Seville, seorang pemimpin Vandals bernama Genseric diangkat menjadi raja secara rasmi.

Ekoran memiliki sebuah pelabuhan dalam wilayah mereka, Raja Genseric merancang untuk membesarkan lagi empayar mereka dengan penaklukan Afrika Utara.

Situasi mereka ketika itu juga dibantu oleh perang saudara orang Rom yang saling berperang di bahagian barat dan timur, memudahkan lagi Vandals masuk ke Afrika Utara.

Afrika Utara ketika itu diperintah oleh seorang pemimpin bernama Bonafacius, seorang jeneral Rom yang bertindak sebagai Gabenor wilayah Rom di Afrika Utara.

Ketika itu, Afrika Utara merupakan penyumbang terbesar bijirin dan gandum kepada Empayar Rom, lalu penguasaannya dilihat oleh Genseric sebagai sesuatu yang amat kritikal untuk dipenuhi.

Penjajahan Vandals ke Afrika Utara berlaku dengan mudah disebabkan nisbah jumlah tentera Vandals adalah tiga orang berbanding seorang tentera di bawah Bonafacius.

Ketika cuba menguasai Hippo Regius (Hippo Regius kini adalah lokasi bandar Annaba yang terletak dalam negara Algeria) pusat pelabuhan dan perdagangan penting Afrika Utara ketika itu, barulah orang Vandals berdepan kesukaran disebabkan kekurangan bahan makanan.

Ini memberi masa kepada Bonafacius memohon bantuan dan Empayar Rom di timur menghantar askar mereka untuk mempertahankan Hippo Regius.

Mengambil keputusan untuk menyerang secara berdepan, percaturan silap tentera Rom membolehkan orang Vandals memenangi pertempuran yang berlaku, sehinggakan orang Rom terpaksa melarikan diri daripada Hippo Regius, membolehkan bandar tersebut dikuasai orang Vandals.

Kemuncak Empayar Vandal

Berjaya meluaskan empayar mereka dengan jayanya, penguasaan Vandals di Afrika memaksa Rom melakukan perjanjian sekali lagi dengan musuh mereka pada tahun 435.

Empayar Rom secara aman bersetuju untuk menyerahkan wilayah mereka yang telah jatuh ke tangan Vandals dan mengiktiraf Vandals sebagai pemerintah baru kawasan itu.

Namun orang Vandals masih kekal dengan tabiat mereka, sekali lagi orang Vandals tidak menghormati perjanjian dengan Rom, melanggar sempadan dan menawan bandar Carthage, menjadikan bandar tersebut sebagai ibu negara.

Orang Vandals kemudiannya bergerak lagi mahu menawan kawasan-kawasan lain di bawah penguasaan Rom.

Empayar Vandals pada zaman kemuncaknya menguasai wilayah di Afrika Utara, termasuklah lokasi Tunisia dan Algeria, kepulauan Sicily, Sardinia, Corsica, Mallorca, Malta dan Ibiza.

Berikutan kedudukan Afrika Utara sebagai penyumbang bekalan bijirin ke Empayar Rom bahagian barat terjejas, orang Rom di situ mula berdepan masalah kekurangan makanan.

Bagi mencapai kata sepakat serta mewujudkan keamanan di antara kedua-dua pihak, orang Vandals merancang agar anak kepada Raja Genseric yang bernama Huneric dikahwinkan dengan seorang puteri Rom bernama Eudocia dengan pertunangan mereka dilakukan lebih awal semasa usia Eudocia baru berumur 5 tahun.

Walaupun begitu, selepas ayah Eudocia, Raja Valentinian III dibunuh dan Eudocia mahu dikahwinkan dengan pengganti ayahnya, Raja Genseric mengambil langkah menyerang Rom.

Masuk ke Rom

Ketakutan berikutan kekuatan orang Vandal ketika itu, Empayar Rom tidak bertindak mempertahankan Rom dengan tentera dan cuba berunding dengan Raja Genseric.

Mereka bersetuju untuk membenarkan Vandals masuk ke Rom, asalkan tidak berlaku sebarang insiden kekacauan dilakukan.

Raja Genseric menghormati perjanjian tersebut, menggerakkan tenteranya masuk ke Rom lalu merampas semua harta yang ada di Rom ketika itu tanpa berlakunya sebarang kerosakan pada bangunan sedia ada dan tidak ada seorang pun nyawa terkorban.

Walau demikian, beberapa kumpulan askar Rom dan orang Rom ditangkap untuk dijadikan hamba.

Eudocia serta ibunya turut sama dibawa kembali ke Carthage dan 7 tahun berikutnya, Huneric dan Eudocia dikahwinkan.

Kejatuhan Empayar Vandals

Di bawah Raja Genseric, orang Vandals berubah daripada sebuah bangsa kecil yang terusir daripada tanah sendiri menjadi empayar yang cukup luas.

Selama lebih 50 tahun di bawah pemerintahannya, mereka mampu membangun dengan begitu pantas sekali.

Kematian Genseric membuatkan Huneric naik menggantikan ayahnya bagaimanapun, era pemerintahan beliau berdepan kesukaran akibat masalah perang saudara kerana perebutan takhta serta kesukaran ekonomi.

Selain itu, ancaman Empayar Byzantine yang terletak di Constantinople mula dirasai.

Walaupun pelbagai langkah cuba diperkenalkan untuk membantu meningkatkan ekonomi serta kualiti hubungan dengan negara lain, kebanyakannya menemui jalan buntu.

Cucu kepada Genseric, anak kepada Huneric dan Eudocia bernama Hilderic yang memerintah pada tahun 477 hingga 484 dengan gelaran 'Raja Orang Vandals' cuba menjalin hubungan dengan Empayar Byzantine namun tidak lama selepas itu, dia sendiri digulingkan orang Vandals di bawah arahan sepupunya sendiri, Gelimer.

Ini membuka peluang kepada Byzantine menyerang Vandals berikutan ketiadaan pemimpin. Raja Justinian I menjajah Vandals dan menewaskan raja terakhir orang Vandals iaitu Gelimer.

Menyedari empayar yang telah dibina mereka sudah jatuh ke tangan musuh, Gelimer melakukan perjanjian dengan Justinian I dengan bersetuju menukar agama Kristian Arian yang dianutinya, kepada Kristian Katolik yang menjadi agama rasmi orang Rom di bawah Empayar Byzantine.

Raja Gelimer ditawarkan sebuah estet yang terletak di Galatia (Anatolia, Turki ketika ini) dan dia menghabiskan sisa hidupnya di situ sebagai Raja terakhir orang Vandals, meninggal dunia pada tahun 553.

Oleh sebab itulah, mana-mana perbuatan merosakkan harta benda awam atau kekacauan kini cukup sinonim disebut sebagai 'perbuatan vandalisme', merujuk kepada orang Vandals yang merempat, tetapi berjaya meluaskan jajahan mereka dengan cara yang licik dan jahat.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Sunday, June 28, 2020

Bagaimana Analisis Komputer Berjaya Menjulang Liverpool Juara Liga Perdana?

Bagaimana Analisis Komputer Berjaya Menjulang Liverpool Juara Liga Perdana?

Pada Oktober 2010, John Henry berjaya membeli Liverpool FC dengan harga $480 juta dan sumber kekayaan beliau adalah melalui algoritma yang dibina sendiri untuk meramalkan harga turun naik pasaran kacang soya.

John Henry Liverpool FC
John Henry.

Setelah memperoleh Liverpool, budaya data analytics telah dibawa ke Liverpool dan Ian Graham, seorang saintis dan tidak meminati sukan bola sepak, dilantik menjadi Pengarah Bahagian Penyelidikan.

Pasukan Ian Graham terdiri daripada Tim Waskett, seorang pakar astrofizik, Dafydd Stelle, seorang bekas juara catur dunia yang juga pakar matematik dan Will Spearman, seorang pakar tenaga fizik tinggi dari Harvard University. Mereka berempat dikenali sebagai 'the laptop guys'.

Mereka telah membina beribu algoritma untuk menganalisis statistik pemain dan sehingga kini, pangkalan data mereka mempunyai lebih seratus ribu pemain dari seluruh dunia tanpa perlu mengenali setiap satu pemain tersebut secara peribadi.

Dengan hanya melihat statistik, mereka mampu mengenalpasti pemain terbaik di setiap posisi pada satu-satu masa dan nilai sebenar semasa setiap pemain.

Dari hasil analisis tersebut, mereka juga mampu menjangkakan nilai setiap pemain tiga hingga lima tahun akan datang, seperti nilai penjualan Phillipe Coutinho kepada Barcelona.

Berkenaan Phillipe Coutinho, Ian Graham telah diarahkan secara tiba-tiba untuk menyelidik seorang pemain kiri Inter Milan yang kurang dikenali — Phillipe Coutinho.

Namun, statistik Phillipe Coutinho amat memberangsangkan sehingga Liverpool segera membeli pemain itu dengan harga $16 juta secara senyap.

Menggunakan hasil algoritma yang dibina, pada ketika itu Phillipe Coutinho dilihat sebagai pemain kiri terbaik yang underated dan nilainya akan meningkat sehingga $160 juta dalam masa lima tahun akan datang.

Analisis mereka hampir tepat kerana akhirnya Barcelona membeli Coutinho dengan harga $170 juta pada tahun 2018!

Setakat ini, antara analisis yang membawa hasil kejayaan adalah Jurgen Klopp, Naby Keita, Mohamed Salah, Roberto Firmino, Sadio Mane, Phillipe Coutinho, Allison Becker, Fabinho dan Virgil van Dijk. Semuanya kritikal kepada kejayaan yang dikecapi Liverpool kini.

Pemain yang paling dikagumi oleh Ian Graham adalah pemain tengah Liverpool iaitu Naby Keita.

Scout lain hanya melihat Naby Keita sebagai versatile midfielder tetapi Ian Graham melihat Naby Keita sebagai satu fenomena luar biasa.

Ini kerana statistik Naby Keita menunjukkan bahawa setiap kali dia memegang dan menghantar bola, peratusan untuk Liverpool menjaring lebih tinggi berbanding pemain lain.

Dengan menggunakan kaedah Data Analytics ini, Liverpool akhirnya mampu bangkit semula dengan mendapatkan pemain terbaik dunia dengan harga yang lebih murah serta sesuai dengan ideologi permainan Liverpool yang sebenar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Saturday, June 27, 2020

Halia Hitam, Manfaat Dan Khasiatnya Untuk Kesihatan

Halia Hitam, Manfaat Dan Khasiatnya Untuk Kesihatan

Halia hitam merupakan tumbuhan herba daripada kumpulan keluarga Zingiberaceae dalam genus halia dengan nama saintifik Kaempferia parviflora, dan sering disalah anggap sebagai Kunyit Hitam (Curcuma caesia) namun kedua-duanya adalah berbeza.

Rizom Halia hitam
Rizom Halia hitam.

Halia hitam mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana rizom (akar berisi) dan daunnya digunakan sebagai bahan bagi tujuan pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, makanan tambahan dan perubatan.

Dari segi ciri botani, ia merupakan jenis tumbuhan dwitahunan dengan rizom di bawah tanah, berwarna hitam ungu dan kepekatan warna bergantung kepada tanah, ciri-cirinya adalah hitam ungu.

Khasiat Utama Halia Hitam

1. MENCUCI DARAH

Banyak penerbitan jurnal antarabangsa juga memperakui bahawa halia hitam mempunyai 1,001 khasiat termasuk berpotensi dalam membantu mengawal kencing manis, mencegah atau merawat penyakit otot, memperbaiki fungsi otot serta mengawal berat badan.

2. ANTI KANSER TERBAIK

Bahan aktif methoxyflavon yang terdapat dalam tumbuhan ini bertindak dalam tubuh manusia bagi membantu, merawat dan memulihkan pelbagai penyakit

3. UBAT KUAT (VIAGRA) SEMULAJADI

Halia hitam telah lama digunakan oleh masyarakat tempatan di Thailand secara tradisional sebagai 'ubat kuat' (semula jadi), merawat saraf dan membina otot.

Khasiat Lain Halia Hitam:
  • Mampu meningkatkan tenaga.
  • Meningkatkan organ kekuatan otot.
  • Diperkaya dengan antioksidan.
  • Membantu rawatan resdung tahap kronik.
  • Merawat alahan dan kegatalan.
  • Berfungsi sebagai antigastrik atau ulser.
  • Merangsang penghadaman dan dapat mengelakkan sembelit serta buasir.
  • Merangsang prestasi seksual (wanita) dan menopaus.
  • Mencegah masalah obesiti dan diabetes.
  • Membantu rawatan migrain dan sakit kepala.
  • Mencegah penyakit kardiovaskular (strok dan jantung).
  • Peningkatan peredaran darah.
  • Agen antibarah.
  • Membantu meningkatkan prestasi seksual dan tenaga fizikal.

Kajian MARDI

Kunyit Hitam Curcuma Caesia
Kunyit Hitam (Curcuma Caesia) yang sering disalah anggap sebagai Halia Hitam.

Hasil kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) juga mendapati Halia Hitam mengandungi antioksida yang tinggi, meningkatkan tenaga manusia dan dikatakan sesuai untuk kosmetik serta bahan rawatan penyakit jantung.

Berbanding di Thailand, penghasilan produk berasaskan halia hitam di pasaran tempatan sangat terbatas berikutan kekurangan bahan tanaman itu dan hanya segelintir pengusaha yang menanamnya dalam skala yang besar.

Maka tidak hairanlah di negara gajah putih itu terdapat produk berasaskan halia hitam yang diaplikasikan dalam pelbagai bentuk makanan kesihatan tambahan selain kosmetik.

Kekurangan halia hitam di Malaysia, menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dalam kuantiti yang banyak dan menjadi faktor utama ia tidak popular seperti pokok herba lain seperti tongkat ali dan kacip fatimah.

Penanaman

Pokok halia hitam
Halia hitam.

Halia hitam tidak sesuai ditanam menggunakan tanah liat dan memerlukan kawasan yang redup bagi mengelak terkena cahaya matahari berlebihan.

Pokok halia hitam akan mencapai tahap matang antara 10 hingga 12 bulan dan memerlukan pemantauan rapi terutama dari segi baja serta air.

Halia hitam jika ditanam secara komersial, ia boleh membawa pulangan lumayan kepada pengusaha bukan saja untuk pasaran tempatan, malah luar negara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Maksud Mimpi Melihat Najis

Maksud Mimpi Melihat Najis

Bagi seseorang yang tidak menyedari maksud mimpi, melihat najis semasa tidur boleh menjadi sangat pelik dan menakutkan, namun simbol ini biasanya merupakan petanda yang baik. Adalah jelas bahawa terdapat beberapa pengecualian, tetapi kebanyakan mimpi yang berkaitan dengan najis adalah tanda nasib baik, terutama yang berkaitan dengan pembiayaan, bisnes dan kemakmuran.

Maksud Mimpi Melihat Najis

Untuk analisis yang lebih terperinci, kami berkongsi beberapa konteks yang berbeza yang melibatkan simbol ini di bawah.

Lihatlah yang paling hampir menyerupai apa yang anda impikan dan mencari maknanya yang sebenar.

Mimpi melihat kotoran (najis)

Jika dalam mimpi, anda melihat najis, ia menunjukkan bahawa anda akan berseronok dalam perniagaan dan akibatnya, keuntungan kewangan anda akan meningkat.

Ini adalah masa yang sesuai untuk membuat pelaburan, kerana semuanya menunjukkan bahawa nasib berada di pihak anda!

Mimpi melangkah di atas najis

Bermimpi tentang hal itu menunjukkan beberapa saat bertuah dalam hidup anda. Ini juga boleh menunjukkan bahawa perubahan yang baik akan berlaku dalam masa terdekat.

Mimpi memegang najis

Bermimpi memegang najis membayangkan bahawa anda membuang peluang dalam hidup, sama ada dari rasa takut atau kurang berani.

Ini adalah petanda jelas bahawa anda perlu lebih rajin dan cepat, agar tidak melepaskan peluang atau anda akan menyesal.

Mimpi makan najis

Ini adalah mimpi yang menjijikkan tetapi maksudnya sangat positif, kerana ini menunjukkan bahawa momen besar akan muncul dalam hidup, begitu besar sehingga anda tidak mampu mempercayainya.

Dikatakan juga bahawa seseorang yang bermimpi makan najis, kemungkinan si pemimpi akan beroleh harta, lebih-lebih dalam bentuk emas atau perak.

Mimpi terkena tahi (Najis)

Manakala, jika bermimpi terkena tahi pula, contohnya di dalam mimpi itu anda bermimpi dibaling dengan tahi atau seseorang mencurahkan air mengandungi tahi ke badan, ia membawa erti bahawa kemungkinan si pemimpi akan beroleh harta dari sumber yang halal.

Mimpi najis manusia

Bermimpi mengenai najis manusia menunjukkan bahawa anda mempunyai perasaan negatif dalam diri, atau anda malu dengan sesuatu yang telah terjadi dalam hidup.

Melihat najis manusia boleh melambangkan bahawa anda perlu memperbaiki diri supaya dapat menjalani kehidupan yang lebih seimbang dan bahagia.

Mimpi najis haiwan

Najis haiwan seperti kucing dan anjing, ini menunjukkan bahawa ia adalah fasa yang baik untuk projek, contohnya membina perkongsian dengan seseorang, kerana semuanya menunjukkan bahawa fasa ini akan memberi manfaat yang besar dalam bidang ini. Banyak nasib dari segi faedah kewangan.

Wallahu a'lam.

p/s: Ini adalah untuk pengetahuan dan pembacaan semata-mata dan bukanlah sebagai kepercayaan 100%.

BACA INI JUGA:

sumber: tafsirmimpi

7 Kebaikan Chia Seed Untuk Ibu Hamil

7 Kebaikan Chia Seed Untuk Ibu Hamil

Keperluan nutrisi bagi wanita hamil adalah lebih banyak berbanding orang lain dan jika anda sukar untuk mendapatkan makanan berkhasiat yang boleh memenuhi keperluan nutrisi itu, ambil sahaja chia seed kerana pastinya anda akan terpukau dengan senarai khasiat dan kebaikan yang diberikan oleh bijirin kecil itu kepada tubuh badan.

Chia Seed Untuk Ibu Hamil

Secara umumnya, tiada masalah untuk ibu-ibu mengandung untuk mengamalkan chia seed sepanjang tempoh kehamilan jika tidak mempunyai sebarang alahan kepada bijirin atau kekacang, namun sebaik-baiknya anda minta pandangan doktor terlebih dahulu.

Menurut kajian yang terbitan Journal of Food Science and Technology, chia seed membekalkan asam lemak omega-3 yang sangat penting untuk perkembangan otak dan sistem saraf bayi serta membantu meningkatkan sistem kekebalan tubuh mereka.

Manakala penyelidikan yang diterbitkan dalam Nutrients pada 2015 pula melaporkan bahawa amalan memakan minyak chia seed selama tiga bulan pertama menyusukan bayi dapat meningkatkan pengeluaran susu dan meningkatkan kandungan omega-3 dalam air susu.

Namun, bilakah masa terbaik untuk makan chia seed?

Anda boleh ambil satu sudu kecil chia seed pada waktu pagi dan satu sudu kecil pada waktu malam sebelum tidur, dengan mencampurkan chia seed ke dalam makanan atau minuman yang anda ambil.

KHASIAT CHIA SEED UNTUK IBU MENGANDUNG

1. Mengurangkan Kekejangan

Kekejangan, terutamanya pada kaki selalunya dikaitkan dengan kekurangan magnesium. Ia juga boleh berlaku pada otot badan yang lain seperti perut. Chia seed dikatakan mengandungi 15 kali lebih magnesium berbanding brokoli.

Selain kekejangan, antara simptom kekurangan magnesium adalah timbulnya rasa loya dan muntah-muntah. Sesetengah kajian juga mendapati chia seed mampu mengurangkan kontraksi awal pada rahim, sekaligus mengurangkan risiko kelahiran pramatang.

2. Mengurangkan rasa lapar

Menyusukan bayi membuatkan kaum ibu mudah berasa lapar. Rasa lapar ini berpunca daripada jumlah kalori yang banyak digunakan untuk menghasilkan susu.

Dalam situasi ini, chia seed boleh dijadikan alternatif untuk menghilangkan rasa lapar sekali gus memberi zat tambahan memandangkan ia dapat memberikan 139 kalori bagi setiap dua sudu makan pengambilannya.

3. Mencegah Sembelit

Tubuh badan melalui pelbagai perubahan fizikal dan juga hormon ketika hamil. Disebabkan itu, pelbagai masalah kesihatan yang muncul, contohnya sembelit.

Chia seed adalah sumber serat tidak larut yang dapat membantu mencegah masalah tersebut. Hanya dengan 2 sudu bijian ini setiap hari, chia seed mampu memenuhi 38% daripada jumlah fiber yang diperlukan oleh tubuh.

4. Meningkatkan protein

Bayi memerlukan protein untuk tumbesaran dan untuk bayi yang masih menyusu, sumber protein mereka datangnya daripada susu ibu.

Journal of Food Science and Technology menerusi sebuah kajian yang dilakukan pada tahun 2016 menjelaskan kandungan protein chia seed adalah sekitar 18.8 hingga 21.5% per auns.

Satu portion makanan dengan chia seed mampu memenuhi sekitar 15% keperluan protein harian pada wanita hamil, satu pertiga keperluan serat harian dan hampir semua keperluan kalori tambahan sepanjang trimester pertama.

5. Kaya Omega-3

Chia seed kaya dengan asid lemak Omega-3 yang penting untuk kesihatan otak dan perkembangan bayi.

Selain itu, ia juga dapat membantu kesihatan rambut, kulit, dan kuku ibu mengandung agar lebih berseri-seri.

6. Tinggi Kalsium, Menguatkan tulang dan gigi bayi

Chia seed mengandungi 268 miligram kalsium bagi setiap tiga sudu besar. Database Produk Makanan USDA menjelaskan jumlah tersebut hampir sama dengan pengambilan segelas susu.

Khasiat kalsium yang disalurkan menerusi air susu ibu membantu menguatkan tulang dan gigi si kecil. Bagi si ibu pula, chia seed membantu meremajakan tulang selepas kehamilan dan melahirkan.

Malah, ada kajian yang disiarkan melalui HuffingtonPost ini yang mendakwa bahawa jumlah kalsium dalam chia seed adalah 5 kali lebih tinggi berbanding susu.

7. Meningkatkan Zat Besi Dalam Darah

Semasa hamil, isipadu darah dalam tubuh wanita hamil boleh meningkat sehingga 50%. Untuk menyokong pertambahan sel darah merah, zat besi amat diperlukan agar ia dapat membawa oksigen ke seluruh tubuh dengan efisyen.

Selain itu, zat besi juga berfungsi untuk membantu ibu hamil berasa segar lebih bertenaga sepanjang hari!

KEBURUKAN CHIA SEED

Biarpun memiliki banyak khasiat untuk kesihatan, chia seed juga boleh mendatangkan kesan sampingan.

1. Masalah Perut

Masalah gastrointestinal merupakan kesan sampingan paling umum yang boleh dialami akibat pengambilan chia seed yang berlebihan dan antara kesannya ialah sembelit, najis keras dan kembung perut.

2. Meningkatkan risiko kanser prostat

Chia seed mengandungi zat alfa-linolenat dalam jumlah tinggi, dan menurut beberapa kajian, jumlah ini mampu meningkatkan risiko kanser prostat.

3. Menurunkan tekanan darah

Kandungan omega-3 dalam chia seed boleh menurunkan tekanan darah secara semula jadi, selain berperanan sebagai pencair darah semula jadi. Oleh itu, jika anda menggunakan ubat mencairkan darah seperti warfarin, hindari chia seed.

Anda juga tidak digalakkan untuk mengambil chia seed ketika baru menjalani pembedahan bagi mengelakkan pendarahan.

4. Menyebabkan sakit tekak

Amalan memakan chia seed boleh menyebabkan sakit di bahagian tekak kerana saluran tenggorok akan mengalami penyempitan akibat penyumbatan makanan.

Chia seed adakalanya mampu mengeringkan air di sekitar saluran esofagus sehingga menyebabkan makanan tersekat.

5. Tidak sesuai untuk orang kurus

Chia seed memiliki kemampuan untuk membakar lemak dan menahan rasa lapar sehingga sesuai dijadikan menu diet sihat.

Namun, individu yang berbadan kurus tidak disarankan untuk memakan chia seed kerana boleh menyebabkan kehilangan nafsu makan dan menimbulkan masalah kesihatan yang lain.

CARA MAKAN CHIA SEED

Chia seed kering juga boleh ditambah untuk dijadikan:
  • Smoothies
  • Jus buah-buahan
  • Dicampur menjadi yoghurt
  • Dicampur dalam oat
  • Ditabur atas salad

RESEPI PUDING CHIA SEED

Anda juga boleh mencuba cadangan resepi di bawah:

Bahan-bahan:
  • 1¼ cawan susu
  • ¼ cawan chia seed
  • 3 camca makan serbuk koko
  • 1 camca makan madu
  • Sedikit garam
  • Hirisan dark chocolate untuk hiasan

Cara menyediakannya:
  • Masukkan semua bahan ke dalam bekas bertutup.
  • Kacau sebati.
  • Tutup bekas dan goncang bekas kuat-kuat.
  • Setelah itu, masukkan bekas tersebut ke dalam peti ais selama semalaman atau sekurang-kurangnya 4 jam.
  • Tekstur makanan akan berubah seperti puding.
  • Sedap dimakan ketika sejuk.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

SBDJ Siri 161: Baldi Berdarah

SBDJ Siri 161: Baldi Berdarah

Suasana yang bungkam itu, membuat otak saya memikirkan perkara yang bukan-bukan. Saya juga membayangkan bagaimana datuk dan kawan-kawannya berusaha dengan susah payah mengesan jejak saya yang hilang.

SBDJ siri 139

Tergambar, bagaimana cemasnya wajah Andi Kamarool menceritakan pengalaman pahitnya melepaskan diri dari sarang manusia yang digelar mahaguru itu.

Saya kira, sambil bercerita Andi menangis dan meratap di depan datuk kerana dia gagal menyelamatkan saya dari perangkap manusia yang berpenghulukan SYAITAN. Saya terus mengelamun dan mengelamun.

"Huh..."

Saya segera menoleh ke arah suara yang muncul dari sebelah kiri. Perempuan suruhan sedang membawa baldi hijau dalam keadaan termengah-mengah.

Dia melintasi di depan saya dan akhirnya berhenti berdiri di depan mahaguru. Baldi hijau masih dibimbitnya.

"Letakkan baldi hijau tu di situ."

Perempuan suruhan segera akur dengan perintah mahaguru. Tiga manusia yang mahu ditauliahkan masih berdiri kaku.

Orang kanan mahaguru, tidak berkata apa-apa. Cuma biji matanya saja bergerak mengikut gerak-geri perempuan suruhan.

Dari gerak matanya terungkap rasa cemburu yang amat sangat terhadap perempuan suruhan.

Barangkali hatinya jadi baran kerana mahaguru terlalu banyak mengeluarkan perintah untuk perempuan suruhan dan dalam masa yang sama cuba main genyit mata dengan perempuan suruhan yang bentuk tubuhnya lebih menarik dari bentuk tubuh orang kanan mahaguru sendiri.

"Suruh dia orang minum darah, lumurkan muka dan tangan dengan darah," datang lagi arahan dari mahaguru.

"Baik."

"Letakkan baldi itu dekat dengan aku."

Perempuan suruhan melakukan apa yang diarahkan oleh mahaguru. Dengan langkah yang teratur, perempuan suruhan mendekati salah seorang lelaki yang bakal ditauliahkan itu.

Dua tiga kali bahu kiri dan kanan lelaki itu ditumbuk dengan sekuat hati. Tubuh lelaki itu tidak berganjak. Tempat sulit lelaki itu ditumbuk, lelaki itu tersenyum tidak merasai kesakitan.

Perempuan suruhan itu terus menjerit dan melompat tinggi, kemudian dengan kaki kiri dia melepaskan tendangan yang amat kencang ke dada lelaki itu.

Saya terdengar bunyi suara lelaki itu mengerang menahan kesakitan, tetapi lelaki itu tidak kelihatan membongkok atau rebah ke bumi. Cuma suara sahaja yang keluar menahan rasa sakit.

Sebaliknya perempuan suruhan duduk di bumi meraba-raba buah betis kiri beberapa kali. Mungkin otot-otot dikakinya kejang.

Perempuan suruhan segera bangun, dia melakukan senaman. Barangkali untuk mengendurkan otot-otot yang kejang.

Perempuan suruhan menarik nafas dalam-dalam dan terus merapati lelaki yang ditendangnya sebentar tadi.

"Kamu pergi dulu."

Dengan angkuh perempuan suruhan menjentik daun telinga kiri lelaki itu dengan jari telunjuknya.

Biadap, tidak ada budi bahasa langsung, apa dia fikir dia memang handal dan gagah. Hati kecil saya memberi komentar, bila melihat telatahnya yang keterlaluan itu.

"Buat apa yang diingini oleh mahaguru, faham," lanjut perempuan sambil menjuihkan bibirnya bawahnya.

"Faham," sahut lelaki itu.

"Lepas dia kamu pula, mengerti," perempuan suruhan menujahkan jari telunjuknya ke batang hidung lelaki yang kedua.

Darah saya jadi panas. Perempuan itu sudah keterlaluan. Dia menghina kaum sejenis saya. Dia memandang orang lelaki seperti sampah dan layak berada dibawah kakinya.

Kamu memang perempuan jahananam. Batin saya terus bergelora.

"Saya faham," lelaki yang kedua bersuara.

DEKAT

Perempuan suruhan mendekati orang ketiga iaitu seorang perempuan. Tanpa berkata sepatah apa pun, perempuan suruhan melepaskan penumbuk kepada orang ketiga (perempuan) di bahagian perut.

Ternyata orang ketiga tidak mengalami apa-apa. Dia tetap macam biasa. Perempuan suruhan gelengkan kepala beberapa kali.

Dia kagum dengan kehebatan orang ketiga. Pipi orang ketiga segera dicubitnya penuh geram dan ghairah.

Tidak memadai dengan itu, dia sengaja melagakan hujung hidungnya dengan pipi orang ketiga penuh berahi.

Dan perbuatannya itu tidak dilanjutkan bila orang kanan mahaguru berdehem tiga kali berturut-turut.

Perempuan suruhan segera berpaling ke arah orang kanan mahaguru.

"Kamu sudah keterlaluan. Jangan jadi pengikut kaum nabi Lut, faham."

"Maafkan saya maharani."

"Ingat jangan biadap sangat di depan aku, teruskan tugas kamu," mahaguru pula melahirkan rasa kurang senangnya.

"Maafkan saya mahaguru."

"Humm..." mahaguru anggukkan kepala.

Perempuan suruhan segera mendekati orang ketiga kembali. Buat beberapa saat, perempuan suruhan tidak berkata apa-apa.

Dia hanya menarik dan melepaskan nafas. Berusaha menenangkan perasaan.

"Kamu juga ikut macam orang pertama dan kedua, pergi berbaris dekat dia orang. Dengar perintah mahaguru," tutur perempuan suruhan kepada orang ketiga yang berdiri kaku.

Orang ketiga anggukkan kepala, tanda faham dan bersedia menurut atau mematuhi apa saja perintah.

Bila yakin apa yang diperintahkan telah dilaksanakan dengan sebaik mengkin, maka perempuan suruhan kembali berdiri di depan mahaguru.

"Boleh kita mulakan mahaguru?"

"Boleh tapi..." mahaguru tidak meneruskan kata-kata.

Wajah perempuan suruhan dengan serta-merta kelihatan cemas. Dia kedutkan dahi.

"Adakah sesuatu yang silap atau salah saya lakukan mahaguru, kalau ada saya minta maaf."

"Tidak ada yang salah, semuanya betul. Malam ini aku mahu orang ketiga ditauliahkan dulu, orang lelaki kemudian."

"Selalunya lelaki dulu, kenapa kali ini orang perempuan pula. Ini sudah bercanggah dengan kebiasaan dan peraturan yang kita tetapkan mahaguru," perempuan suruhan luahkan protes.

"Ini perintah aku, kamu jangan bantah."

"Baik mahaguru."

"Mulakan. Sebelum tu suruh dia sebut namanya. Nama kampung dan nama emaknya, nama ayah tak mustahak. Kalau ada anak perempuan, sebut namanya. Nama suaminya tak payah," itu arahan baru dari mahaguru.

Setiap patah perkataan terakhir, perempuan suruhan anggukkan kepala, macam burung terkukur jinak yang diagah oleh tuannya. Sungguh lucu sekali.

Perempuan suruhan segera menemui orang ketiga.

"Kamu dengar apa yang mahaguru katakan," tanya perempuan suruhan. Orang ketiga segera mengangguk.

"Maju dan mulakan sekarang."

Orang ketiga pun maju ke depan. Berdiri di depan mahaguru seraya menundukkan kepala tanda hormat.

Mahaguru angkat tangan melepasi kepala sebagai tanda yang dia merasmikan acara memberi tauliah kepada anak-anak muridnya.

"Sekarang," jerit perempuan suruhan.

"Nama saya Maziah, asal dari Kampung Simpang Empat, Mata Air Perlis. Emak saya namanya Jariah. Saya janda, bercerai hidup dengan suami."

"Bekas suami kamu sudah kahwin," celah orang kanan secara mengejut.

"Sudah, kawin dengan sepupu saya sendiri," orang ketiga (Maziah) berhenti bercakap.

Dia tunduk merenung bumi. Mungkin dia menahan rasa terharu. Suasana sekitar terus di dakap kesepian.

"Teruskan cakap kamu Maziah," perintah perempuan suruhan.

"Maafkan, saya. Saya ada seorang anak perempuan, duduk sama neneknya di Kuala Perlis."

"Kalau aku suruh kamu minum darah anak kamu, apa kamu sanggup?"

Orang ketiga terus diam. Lidahnya bagaikan kelu untuk memberikan jawapan atas pertanyaan mahaguru.

"Jawap pertanyaan aku, sanggup atau tidak?"

"Saya sanggup mahaguru."

"Bagus. Bunuh bekas suami, kamu sanggup?"

"Sanggup mahaguru."

"Bagi mengekalkan kecantikan diri kamu, sanggupkah kamu bunuh orang lelaki, ambil jantung, hati dan hempedunya untuk dijadikan serbuk yang kemudiannya kau jadikan perencah makanan untuk diri kau sendiri?"

"Saya sanggup mahaguru."

"Kamu sanggup ambil kulit dan urat dalam kemaluan untuk dijadikan campuran macam bedak yang kemudiannya kamu sapu ke muka supaya kamu nampak muda?" dengan mengejut orang kanan mahaguru bertanya.

Perempuan yang mahu ditauliahkan itu (orang ketiga) nampak gugup dan tergamam. Dia tidak menduga orang kanan mahaguru mahu mengajukan pertanyaan seperti itu. Buat beberapa saat, orang ketiga tetap resah gelisah.

"Jawap pertanyaannya, sanggup atau tidak?" jerkah mahaguru.

"Saya sanggup."

"Bagus."

Mahaguru terus bangun dan orang kanannya pun tepuk tangan tanda kegirangan yang amat sangat. Perempuan suruhan tetap tenang dan bersahaja.

Tetapi, sepasang anak matanya tetap mengikuti gerak-geri perempuan yang bakal ditauliahkan.

"Mulakan sekarang," kata mahaguru dan terus duduk.

Perempuan yang mahu ditauliahkan segera rapat ke baldi hijau. Dia ambil cawan, lalu mencedok darah dalam baldi hijau diteguk macam air sejuk.

Lengan dan muka turut dilumur dengan darah. Bau darah yang hanyir menusuk lubang hidung saya.

Bagi membuktikan yang dia sudah melaksanakan perintah mengikut syarat-syarat yang ditentukan perempuan tersebut (Maziah), segera mendekati perempuan suruhan sambil menunjukkan kesan darah di bibir dan gigi serta mempamerkan kesan darah di muka dan lengan.

Perempuan suruhan memanglah seorang pekerja yang amanah dan bertanggung jawab. Tanpa membuang masa, dia terus membelek-belek gigi, kulit muka dan lengan perempuan tersebut dengan teliti.

"Bagaimana? Kamu puas hati yang dia sudah buat apa yang kita suruh?" orang kanan mahaguru bertanya kepada perempuan suruhan.

"Saya puas hati. Dia sudah mnyempurnakan segala syarat yang ditetapkan dengan baik," jawap perempuan suruhan sambil meyuruh perempuan yang baru selesai menjalani proses tauliah peringkat pertama, mendekati mahaguru.

"Kemari kamu," mahaguru terus bangun dengan sebilah lembing di tangan.

Perempuan yang menjalani tauliah peringkat pertama segera memusingkan tubuhnya untuk menghalakan wajahnya ke arah mahaguru.

Tanpa membuang masa walau sesaat pun, mahaguru terus merejam lembing ke bahagian dada Maziah tersebut.

Mata lembing yang terbenam di pangkal buah dada kiri tembus kebelakang. Wajah perempuan (Maziah) itu tetap tenang dan bersahaja, bagaikan tiada sesuatu terjadi pada dirinya.

Walaupun bajunya basah kuyup dengan darah, dia masih berdiri tegak di situ.

Orang kanan mahaguru anggukkan kepala beberapa kali. Tanda puas hati.

Sepasang mata perempuan suruhan tidak berkedip melihat darah membasahi baju perempuan yang sedang menjalani ujian.

LEHER

Mahaguru pun segera menerpa ke arah perempuan tersebut lalu mencabut lembing yang terbenam di dada.

Sebaik saja mata lembing dicabut darah yang membuak keluar terus berhenti. Lembing dipacakkan ke dada bumi.

Mahaguru terus menepuk bahu kanan perempuan dua kali berturut-turut dan sekali gus dengan rasa geram dan ghairah, buah dada perempuan terus dipicitnya.

Ternyata perbuatan mahaguru yang keterlaluan itu tidak dapat dikesan oleh orang kanannya.

Hasil dari tepukan mahaguru di bahu kanan, kesan luka akibat tikaman lembing terus sembuh.

Tidak meninggalkan sebarang tanda, baju pun tidak koyak dan darah terus kering dan hilang.

"Kamu lulus," kata mahaguru sambil merenung ke arah perempuan suruhan.

"Bagi aku parang panjang," sambung mahaguru dan perempuan suruhan segera menghilangkan diri.

Dia menuju ke belakang dinding buluh. Muncul semula dengan parang di tangan. Perempuan suruhan serahkan sebilah parang panjang ke tangan mahaguru.

Dengan mata parang yang tajam berkilat itu, mahaguru menetak batang leher Maziah di depannya.

Saya segera pejamkan mata. Rasanya memang saya tidak sanggup melihat kepala bercerai dengan tubuh.

Aneh sungguh manusia ini, mempertarungkan nyawa untuk menuntut ilmu. Apakah menuntut ilmu dengan cara ini digalakkan oleh agama Islam?

Dalam keadaan mata yang pejam itu timbul pertanyaan dalam hati kecil saya.

"Sudah," saya terdengar suara mahaguru.

Saya kira kepala perempuan itu sudah pun terdampar dibumi, sementara tubuhnya pula bergelimpangan di tanah dengan sepasang kaki dan tangan mengelitik.

Begitulah dalam seribu kecemasan dan persoalan, saya buka kelopak mata perlahan-lahan.

Lagi sekali saya merasa pelik dan takjub, batang leher Maziah tidak mengalami apa-apa kecederaan. Tetap seperti keadaan asal. Sebaliknya parang panjang yang bengkok.

Orang kanan mahaguru segera bangun. Tanpa tangguh-tangguh dia terus tepuk tangan.

Perempuan suruhan menarik nafas dalam-dalam dan saya merasa pelik kenapa dia tidak turut sama bertepuk.

Barangkali dia ada tugas lain yang harus diselesaikan? Andaian saya tidak meleset. Perempuan suruhan bergerak ke bahagian sudut kanan dan hilang dalam cahaya pelita yang samar-samar.

Beberapa saat kemudian, perempuan suruhan muncul kembali membimbit baldi yang berisikan air panas. Berhenti di depan mahaguru tanpa meletakkan baldi di tanah.

Saya lihat mahaguru angkat tangan kiri melepasi kepalanya. Sebaik saja mahaguru menjatuhkan tangannya, perempuan suruhan pun segera angkat baldi dan terus mencurahkan air panas yang masih berasap ke tubuh Maziah yang sedang menjalani ujian.

Saya kira, Maziah itu akan menjerit kepanasan dan kulitnya pasti terbakar. Apa yang saya harapkan tidak pula terjadi. Perempuan itu tidak menjerit, tidak mengeluh.

Dia tetap macam biasa, masih boleh mengukir senyum untuk saya dan orang-orang yang berada di sekitarnya.

MAHAGURU

Akibat kena air panas itu, tubuhnya seperti mengeluarkan asap dan ini menambahkan kehebatan pada dirinya.

Orang kanan mahaguru segera menerpa ke arah perempuan itu. Dia meletakkan lima jari-jemarinya ke dahi perempuan itu.

Dengan serta-merta perempuan itu merendahkan dirinya dengan membengkokkan sepasang kakinya.

Sepasang kepala lututnya bertemu dengan bumi. Lebih tepat disebut duduk melutut.

Telapak tangan orang kanan mahaguru berubah tempat. Dari dahi terus ke ubun-ubun perempuan tersebut. Dua tiga kali kulit kepala bahagian ubun-ubun digosoknya.

Bibir orang kanan mahaguru bergerak-gerak. Agaknya dia membaca jampi serapah. Rambut di bahagian ubun-ubun Maziah itu dipegang dan dipintal lalu didandan.

"Potong."

Orang kanan mahaguru menoleh ke arah perempuan suruhan.

"Potong apa?" tanya perempuan suruhan ragu-ragu.

"Bodoh, potong rambutnya."

"Dengan apa?"

"Dengan apa saja," suara orang kanan mahaguru kian meninggi.

Saya lihat perempuan suruhan renung kiri, renung kanan. Kedutkan dahi. Dia seperti berada dalam keadaan serba salah.

Di tengah-tengah keadaan yang serba tidak kena itu, saya lihat perempuan suruhan mengeluarkan sebilah lawi ayam dari rusuk kirinya.

Sarungnya dicampakkan ke kanan dan mata lawi ayam itu ditayangkan di depan mata orang kanan mahaguru.

"Dengan ini, boleh atau tidak?"

"Boleh" pendek saja jawapan dari orang kanan mahaguru.

Tanpa mahu membuang masa, perempuan suruhan itu melompat dan menerpa ke arah Maziah yang sedang menjalani ujian.

Dengan sekelip mata saja rambut yang didandan terpisah dari kulit kepala kerana dipotong terlalu rapat menyebabkan kulit kepala bahagian ubun-ubun kelihatan putih macam kesan orang yang baru lepas menjalani bekam.

Rambut sejemput dalam telapak tangan perempuan suruhan diserahkan kepada orang kanan mahaguru.

Rambut itu dibelek-belek dan dibungkus dalam kain kuning lalu diperasap dengan kemenyan sebelum ditaruh kedalam sebuah gelas yang berisikan air limau.

Tugas itu dilakukan oleh perempuan suruhan dengan cermat sekali. Orang kanan hanya melihat saja.

"Lagi apa yang mesti saya buat?" tanya perempuan suruhan.

"Lukakan kulit kepalanya, dibahagian yang kau potong tadi. Biarkan darahnya menitik ke dalam gelas."

"Baik, saya mulakan sekarang."

"Silakan, jangan tersilap. Kalau silap buruk padahnya," orang kanan mengingatkan perempuan suruhan.

Dengan hujung lawi ayam perempuan suruhan melukakan kulit kepala Maziah. Darah memancut keluar dan terus masuk ke gelas yang ditadah.

Air limau yang bercampur darah melahirkan warnah merah kehitam-hitaman yang pekat.

"Pulihkan dan berhentikan darahnya dari keluar," pekik mahaguru bila melihat gelas yang ditadah hampir penuh dengan darah.

Orang kanannya segera meletakkan ibu jari ke bahagian kulit kepala yang dituris dengan lawi ayam.

Bila ibu jari diangkat, darah pun berhenti mengalir. Kulit kepala yang terkoyak kembali bercantum seperti asal.

"Sekarang kamu bangun, berdiri tegak," demikian mahaguru mengeluarkan perintah kepada Maziah yang duduk melutut. Merelakan dirinya diperlakukan apa saja.

Maziah bangun dan berdiri tegak. Mahaguru menghampirinya dari arah kiri. Orang kanannya segera undur dan kembali ke tempat asalnya.

Perempuan suruhan segera menyerahkan gelas yang berisi rambut, air limau dan darah kepada mahaguru.

Saya lihat mahaguru menyambutnya dengan kain kuning. Dengan kain kuning itu juga gelas dibalut.

"Korek lubang di tempat kepala lutut kanannya menyentuh bumi. Korek kira-kira dua kaki dalam," mahaguru keluarkan arahan kepada perempuan suruhan.

"Dengan pencebak?"

"Tak payah, dengan tangan kamu sendiri."

Saya menggigit bibir, mustahil boleh mengorek tanah sedalam dua kaki lebih dengan tangan.

Orang yang mengeluarkan perintah itu, orang gila. Semua tak masuk akal. Fikir saya.

Dalam saat fikiran berputar antara logik dengan tidak, perintah mahaguru itu secara mengejut perempuan suruhan menjerit sambil menjulang kedua belah tangannya ke langit.

Rambutnya mengurai menutup wajah. Dia memukul badan dan menggaru mukanya hingga berdarah.

Dia seperti kerasukan, menghempas diri ke bumi, berguling dan menjulur macam biawak. Jari jemarinya mencakar-cakar bumi macam ayam mencari makan.

Mahaguru dan orang kanannya membiarkan sahaja perempuan suruhan berkeadaan seperti orang hilang akal. Suara jeritan perempuan beransur perlahan dan akhirnya berhenti.

Perempuan suruhan itu terus duduk bertinggung merenung tanah di mana terdapat kesan kepala lutut kanan.

Mata saya tidak berkedip merenung ke arah perempuan suruhan. Saya mahu mengikuti dengan terperinci apa yang bakal dilakukannya.

Pada hemat saya, dunia mahaguru dan orang-orangnya sungguh ganjil. Penuh misteri.

Dua tiga kali saya gosok kelopak mata. Sungguh tidak masuk akal, wajah perempuan suruhan bertukar menjadi hitam dan hodoh sekali.

Kuku di jari jemarinya menjadi panjang dengan serta merta. Saya kira, panjangnya lebih dari enam inci.

Kuku yang keras itu berwarna kuning emas tetapi warna kulit lengannya menyala macam warna biji saga.

Kiri kanan pipinya terjulur siung macam siung harimau dan kalau wajahnya diamat-amati memang ada mirip harimau kumbang.

Dengan kuku yang panjang dia terus mengorek lubang. Sesekali dia menderam macam harimau sambil mempamerkan taring yang tumbuh di kiri kanan mulutnya.

Matanya nampak merah bersinar garang merenung tajam kepada saya. Dalam beberapa saat saja dia sudah pun berjaya menggali lubang tersebut seperti apa yang diinginkan oleh mahaguru.

"Sudah."

Serentak dengan perintah itu, mahaguru terus menendang bahagian punggung perempuan suruhan.

Dan perempuan suruhan berguling-guling di bumi menahan kesakitan. Tidak memadai dengan itu, mahaguru memukul pula badan perempuan suruhan dengan buluh pagar sekuat hati.

Perempuan suruhan menggeletek macam ikan keli kena ketuk. Saya terdengar suara perempuan suruhan merintih dan menangis untuk beberapa saat.

Bila suara rintihan dan tangisan senyap, saya terdengar suara ketawa gembira dari perempuan suruhan.

Wajahnya kembali dalam keadaan asal. Dia berdiri tegak dengan sepasang matanya merenung muka mahaguru.

"Kamu sudah menjalankan tugas dengan baik," kata mahaguru kepadanya sambil menggosok badan gelas dengan kain kuning.

Perempuan suruhan menerima pujian itu dengan senyum lebar. Rasa bangga dan megah terpamer diwajahnya.

"Kita dah sampai kepada upacara penamat. Aku minta kau bacakan sumpah di depan Maziah," mahaguru meluruskan telunjuk ke wajah Maziah yang berada disisinya.

"Saya bersedia," perempuan suruhan bersuara.

"Begini, masa gelas ini berada di dalam permukaan lubang, kau bacakan sumpah itu dengan lantang," sambung mahaguru.

"Baik," lantang sekali suara perempuan suruhan yang bersedia melakukan apa saja.

Orang kanan mahaguru segera memerintahkan perempuan yang mahu ditauliahkan itu berubah tempat. Berdiri di depan lubang.

Perempuan suruhan disuruh berdiri di sisi Maziah. Mahaguru terus mengambil tempatnya berhadapan dengan perempuan yang mahu ditauliahkan.

Setelah mengatur dan mengarah mengikut apa yang dikehendaki oleh mahaguru, orang kanan kembali duduk di tempat asalnya.

"Sebenarnya, orang lain tidak seteruk kamu menjalani upacara tauliah atau tamat belajar," cukup lembut nada mahaguru. Senyum terus terukir di kelopak bibir.

"Kerana kamu pada hemat kami ada kebolehan tersendiri, aku terpaksa menambahkan beberapa ujian lagi.

"Hanya orang-orang pilihan saja yang mendapat ujian macam ni. Aku yakin kamu akan menjadi anak murid aku yang berjaya. Boleh mengembangkan ilmu yang kamu tuntut," sambung mahaguru.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 161/284

BACA: SBDJ Siri 160: Menghadapi Ujian Mahaguru
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Kisah Carl Emil Pettersson, Kelasi Yang Menjadi Raja Suku Kanibal

Kisah Carl Emil Pettersson, Kelasi Yang Menjadi Raja Suku Kanibal

Carl Emil Pettersson, pada usia 17 tahun, sudah mula bekerja sebagai seorang kelasi bersama sebuah syarikat perdagangan Jerman bernama Neuguinea-Compagnie yang beroperasi di kawasan kolonial terawal Jerman, German New Guinea yang kini digelar Papua New Guinea.

Carl Emil Pettersson Jadi Raja

Seorang rakyat Sweden, Carl lahir pada bulan Oktober tahun 1875, anak kepada Carl Wilhelm dan Johanna Pettersson, beliau hidup dalam keluarga yang menghadapi perceraian.

Takdir membawanya belayar diatas kapal dengan Carl banyak menghabiskan masa di lautan.

Pada hari Krismas tahun 1904 semasa menaiki kapal Herzog Johann Albrecht, kapalnya mengalami masalah dan tenggelam.

Carl bernasib baik di bawa arus sehingga terdampar di pantai yang terletak di sebuah pulau bernama Pulau Tabar, salah satu pulau di bahagian timur laut Papua New Guinea.

Bermata Biru

Carl membuka matanya dan mendapati dia berada di sebuah kawasan cantik, dipenuhi pokok bunga raya yang mengindahkan pandangan.

Walaupun begitu, pengalamannya sebagai kelasi kapal membuatkannya menyedari dia sebenarnya berada di sebuah pulau yang penduduknya masih lagi mengamalkan amalan kanibalisme.

Bagaimanapun, selepas ditangkap penduduk tempatan, Carl dibawa menghadap Raja mereka ketika itu, Raja Lamy yang tertarik dengan matanya yang kebiru-biruan.

Mungkin itu adalah kali pertama mereka melihat seseorang individu mempunyai mata berwarna biru, Raja Lamy membenarkan Carl tinggal di pulau mereka.

Bercinta dengan anak Raja

Tinggal di Pulau Tabar tanpa ada jalan pulang, Carl menghabiskan lebih 3 tahun hidup di kalangan penduduk dan belajar cara hidup masyarakat di situ.

Kerajinan Carl memikat hati anak kepada Raja Lamy, Puteri Singdo dan pada tahun 1907, Carl dan Puteri SIngdo dikahwinkan mengikut adat istiadat kaum Pulau Tabar.

Perkahwinan mereka membuka jalan kepada Carl untuk mula memberanikan diri cuba memperkenalkan perkara yang dia tahu kepada masyarakat di situ.

Carl menggunakan kemahirannya dan mula memulakan tempat pemprosesan kelapa kering untuk dijual selain berjaya membina sebuah ladang kelapa, bagi memenuhi permintaan pembeli.

Budaya baru yang diperkenalkan Carl membuatkan penduduk di situ mula menerima beliau sebagai sebahagian daripada mereka.

Akhirnya, selepas kematian ayah mertua beliau Raja Lamy, Carl dinaikkan sebagai pengganti takhta dan menjadi Raja baru Tabar.

Penabalan Carl sebagai Raja Tabar sampai ke pengetahuan wartawan di Sweden yang menerbitkan artikel berkenaan kisah beliau.

Jejak mencari permaisuri

King Carl Emil Pettersson

Hasil perkahwinan dengan Permaisuri Singdo, Raja Carl dikurniakan sembilan orang anak.

Keluarga besar itu tidak menghalang pembukaan dua lagi ladang di jajahannya, di kawasan Maragon dan juga Londolovit.

Malangnya, ekoran fasiliti kesihatan yang masih belum lengkap serta sistem penjagaan yang kurang baik, Permaisuri Singdo mengalami jangkitan kuman di rahim yang menyebabkannya sakit dan meninggal dunia pada tahun 1921, 14 tahun selepas perkahwinan mereka.

Mempunyai anak-anak yang masih kecil, Raja Carl pulang ke Sweden bagi mencari calon isteri baru dan berkahwin dengan seorang wanita bernama Jessica Louisa Simpson pada tahun 1923.

Selepas berkahwin, Raja Carl dan Permaisuri Jessica pulang ke Pulau Tabar, mendapati operasi pemprosesan kelapa mereka sudah diabaikan tanpa sesiapa mengawalnya.

Detik akhir Raja Carl Emil Pettersson

Usaha mengembalikan semula kilang dan ladang kelapa mereka sukar, berikutan beban kewangan yang perlu mereka tanggung.

Rahsia wujudnya lombong emas di salah satu pulau di bawah jajahannya pula telah diketahui pihak-pihak tertentu dan menyukarkan beliau untuk mendapatkan emas daripada kawasan tersebut.

Raja Carl dan Permaisuri Jessica akhirnya diserang penyakit malaria dan terpaksa mendapatkan rawatan, dengan Australia menjadi pilihan mereka.

Jessica sampai ke Australia terlebih dulu, bagi mendapatkan rawatan sebelum Carl tiba di sana.

Walaupun berjaya mendapatkan rawatan serta kembali ke Sweden, Permaisuri Jessica menghembuskan nafas terakhir pada 19 Mei 1935 di Stockholm dan Carl yang masih berada di Australia tidak dapat berada di sisi isterinya.

Lebih malang lagi, Carl akhirnya meninggal dunia di Sydney, Australia pada 12 Mei 1937 selepas terkena serangan sakit jantung. Harapannya untuk kembali ke Sweden hancur berkecai.

Tidak diketahui adakah Carl meneruskan kehidupan sebagai seorang kanibal selepas terdampar di Pulau Tabar.

Dan tidak diketahui apa yang terjadi pada anak-anak hasil perkahwinannya dengan mendiang Permaisuri Singdo selepas itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Friday, June 26, 2020

Khasiat Halia Dan Kesan Sampingan Pengambilannya

Khasiat Halia Dan Kesan Sampingan Pengambilannya

Halia atau nama saintifiknya iaitu Zingiber officinale Roscoe merupakan sejenis tumbuhan yang selalu digunakan sebagai rempah perasa dalam masakan, dipercayai berasal dari China dan kemudian merebak penggunaannya ke India, Asia Tenggara, Afrika Barat dan Caribbean.

Khasiat Halia

Antara negara yang banyak mengeluarkan halia adalah, China, India, Nigeria, Australia dan Thailand, manakala di Malaysia, penanamannya boleh dikatakan masih diusahakan secara kecil-kecilan sebagai tanaman tunggal atau selingan bersama tanaman saka seperti nanas, pokok getah dan kelapa sawit.

Halia adalah sejenis rempah berakar yang mempunyai rasa yang agak pedas dan bau yang agak kuat. Ia paling dikenali dengan sifatnya yang sangat bermanfaat buat kesihatan individu.

Ia berasal daripada kawasan-kawasan panas di Asia, termasuk China, Jepun, dan India namun sangat terkenal di negara China.

Sewaktu zaman pemerintahan Dinasti China dahulu, mereka telah mencadangkan penggunaan halia bagi melawan pelbagai jenis kondisi kesihatan yang dialami individu ketika itu tidak kira ringan atau berat seperti loya, radang, mengurangkan osteoarthritis, membantu mengawal kolestrol dan melegakan kesakitan haid.

Disebabkan oleh pelbagai manfaat kesihatan yang dimilikinya, halia kini berkembang di pelbagai tempat di seantero dunia seperti Amerika Selatan, Afrika, dan Timur Tengah.

Ia antara bahan versatil yang boleh ditambahkan dalam pelbagai jenis minuman seperti smoothie atau teh dan makanan seperti kari, kuah atau.

Satu sudu kecil halia segar mengandungi 4.8 kalori, 1.07 gram karbohidrat, 0.12 gram serat diet, 0.11gram protein, 0.05 gram lemak dan 0.1 gram gula.

SIFAT HALIA YANG BAGUS UNTUK KESIHATAN

Selalu kita dengar atau lihat mengenai mitos halia itu adalah bagus buat kesihatan manusia, bukan? Ini sebenarnya adalah disebabkan oleh sifat halia itu sendiri, berikut adalah sifat-sifatnya:

Antiradang

Keradangan merupakan satu fungsi semula jadi untuk melindungi tubuh. Kuman, bahan kimia dan diet yang tidak sihat boleh menyebabkan berlakunya terlalu banyak keradangan dan boleh mendatangkan bahaya kepada diri.

Pengambilan halia boleh membantu menghalang dan menyembuhkan keradangan. Terdapat kajian yang mengatakan halia juga boleh mengurangkan reaksi alahan yang disebabkan keradangan.

Antioksidan

Halia dikatakan boleh membantu mencegah penyakit jantung, penyakit neurodegeneratif seperti Parkinson, Alzheimer, dan Huntington, kanser dan simptom penuaan. Antioksida melawan spesis oksigen reaktif (ROS) yang dihasilkan tubuh secara semula jadi.

Pemilihan gaya hidup yang tidak sihat, seperti pengambilan alkohol terlalu banyak, merokok atau alami masalah tekanan kronik membuatkan tubuh menghasilakn ROS dengan lebih banyak.

Pengambilan makanan dan minuman dengan antioksidan seperti halia, boleh membantu mencegah dan melawan kesan sampingan negatif ROS – tekanan oksidatif dan merosakkan sel-sel tubuh.

MANFAAT HALIA UNTUK KESIHATAN

Halia adalah sejenis bahan biasa yang boleh ditemui dalam ubatan tradisional di seluruh dunia. Ia sangat kaya dengan bahan kimia semula jadi yang dapat memperbaiki tahap kesihatan anda.

Walaupun masih terdapat banyak kajian yang perlu dilakukan untuk lebih memahami dan membuktikan keberkesanan tumbuhan ini dalam kesihatan, terdapat beberapa manfaatnya untuk kesihatan yang tidak dapat dinafikan.

Merawat loya dan muntah-muntah

Halia dipercayai dapat meredakan ketidakselesaan dalam perut terutamanya ketika sedang hamil. Ia mungkin berfungsi dengan menyingkirkan gas-gas yang terperangkap di dalam usus badan kita.

Ia juga dikatakan dapat mengurangkan ibu hamil mengalami 'morning sick' yang kadangkala amat mengganggu ketenteraman waktu pagi buat wanita yang sedang hamil.

Wanita hamil dengan masalah loya seharusnya mengambil manfaat daripada tumbuhan ini. Adalah dianggap selamat untuk wanita hamil mengambil ia dalam bentuk lozeng atau gula-gula.

Walau bagaimanapun, selalulah berunding dengan doktor anda sebelum mengambil sebarang jenis makanan tambahan atau ubat-ubatan semasa mengandung.

Selain itu, loya dan muntah-muntah yang disebabkan oleh ubat-ubatan untuk HIV/AIDS juga boleh dilegakan dengan mengambil halia pada setiap hari.

Kajian mendapati bahawa dos harian halia yang diambil 30 minit sebelum rawatan antiviral selama 14 hari dapat mengurangkan risiko seseorang loya dan muntah-muntah. Tumbuhan ini juga berfungsi untuk loya dan muntah-muntah selepas pembedahan.

Ramai pesakit melaporkan gejala loya dan muntah-muntah mereka kurang teruk dalam tempoh 24 jam selepas pembedahan jika mereka mengambil 1 – 1.5 gram halia 1 jam sebelum prosedur.

Selain itu, sebatian fenolik yang terdapat dalam halia dipercayai berkesan dalam mengurangkan kerengsaan gastrousus, merangsang penghasilan air liur dan hempedu.

Mencegah kuman dalam tubuh badan

Sebatian kimia tertentu dalam halia segar dikatakan dapat membantu tubuh untuk menyingkirkan kuman. Ia juga dikatakan sangat baik untuk menghentikan pertumbuhan bakteria seperti E.coli dan shigella.

Disebabkan sifatnya yang mampu mencegah kuman dalam tubuh badan, ia dapat membantu kita untuk mencegah penyakit yang biasa seperti demam, selesema, batuk.

Jadi, jika anda mengalami tanda-tanda awal demam, selesema atau batuk, maka bolehlah anda gunakan tumbuhan ini sebagai “home remedy” atau rawatan di rumah.

Apa yang anda boleh lakukan ialah mengunyah halia segar atau rendam ia setelah dicincang ke dalam air panas dan minum dua hingga tiga kali sehari sehingga simptom mulai kebah.

Menguatkan imunisasi tubuh badan

Halia dapat membantu dalam memperbaiki imunisasi dalam tubuh badan. Dengan pengambilan hirisan kecil pada setiap hari, ia dapat membantu mengurangkan risiko penyakit strok dengan menghapuskan lemak yang terkumpul dan tersekat di dalam saluran arteri.

Paling penting, terdapat satu kompaun di dalam tumbuhan ini yang dikenali sebagai 6-gingerol. Ia adalah sejenis agen yang mampu mencegah dan membunuh sel kanser. Ia sangat membantu terutamanya dalam rawatan kanser payudara dan juga kanser ovari.

Mengurangkan berat badan

Halia mungkin membantu dalam mengurangkan berat badan apabila ia digabungkan dengan pengambilan diet pemakanan yang sihat dan juga senaman secara berkala.

Kajian menunjukkan jika seseorang individu itu meminum air halia panas setiap kali selepas makan, mereka akan berasa kenyang untuk tempoh yang lebih lama.

Jika anda sedang berdiet atau ingin mengurangkan pengambilan gula, pengambilan air yang berasaskan halia ini sangat membantu untuk menjayakan misi itu.

Anda boleh mengamalkan pengambilan teh halia pada waktu pagi dan petang. Ia boleh membantu untuk menghilangkan keinginan atau 'craving' terhadap gula.

Selain itu, ia juga boleh membantu dalam proses pembakaran lemak dan meningkatkan metabolisma secara semula jadi. Disebabkan itu, ia selalu digunakan dalam produk pelangsingan tubuh badan.

Sekiranya anda ingin mencuba air halia asli, caranya adalah mudah sahaja. Anda cuma perlu memasukkan tumbuhan ini ke dalam teh atau rendam halia ke dalam air panas dan campurkan sedikit dengan madu untuk mendapatkan rasa yang sedikit manis.

Anda boleh minum ia setiap kali sebelum makan dan sudah pasti anda akan dapat merasai kebaikannya selepas itu.

Membantu sistem penghadaman

Pengambilan tumbuhan ini menggalakkan pundi hempedu untuk merembeskan cecair yang berwarna coklat kekuningan atau dikenali sebagai 'bile'.

Ia merupakan bahagian pada tumbuhan ini yang mampu membantu merangsang sistem penghadaman manusia. Selain itu, ia juga mampu melegakan sembelit, kekejangan dan kembung perut yang disebabkan oleh gastritis.

Jadi, kita boleh cuba ambil halia dalam bentuk teh atau makanan tambahan untuk membantu sistem penghadaman.

Melegakan kesakitan otot

Halia tidak akan menghilangkan kesakitan otot secara serta-merta, tetapi ia akan mengurangkan rasa sakit secara perlahan-lahan.

Hasil kajian yang dilakukan menunjukkan, individu yang mengalami sakit otot akibat melakukan aktiviti fizikal seperti senaman, dan mengambil tumbuhan ini tidak mengalami kesakitan pada hari yang berikutnya berbanding individu yang tidak mengambil tumbuhan ini .

Ini disebabkan oleh tumbuhan ini mempunyai enzim yang dapat membantu untuk mengawal kesakitan yang dialami oleh individu. Jadi, ia sangat bagus untuk sakit otot ketika bersukan atau 'period pain'.

Selain itu, ia juga boleh digunakan sebagai alternatif untuk melegakan sakit kepala. Caranya mudah sahaja iaitu campur ia bersama minyak angin dan sapu ke kawasan itu untuk mengurangkan rasa sakit.

Mengurangkan kesakitan menstrual

Kesakitan menstrual merujuk kepada kesakitan yang dihadapi individu wanita ketika kitaran menstrual. Ia mampu untuk mengurangkan kesakitan dan berfungsi seperti ibuprofen.

1500 mg tumbuhan ini dilaporkan dapat mengurangkan kesakitan haid apabila diambil dalam 3 dos berasingan setiap hari semasa 3 hari pertama kitaran haid seseorang.

62% wanita mengalami pengurangan sakit segugut yang besar selepas diberikan 250 mg ekstrak tumbuhan ini yang tertentu (Zintoma dan Goldaru) empat kali sehari selama 3 hari pertama haid. Ia berkesan seperti ibuprofen atau asid mefenamic.

Berkaitan manfaatnya melegakan kesakitan, tumbuhan ini terbukti dapat melegakan kesakitan otot yang disebabkan oleh aktiviti fizikal sebanyak 25%.

Mengurangkan pening kepala

Jika anda kerap mengalami pening kepala, cuba kunyah sedikit halia mentah atau rebusnya di dalam air kemudian hidu wap yang terhasil.

Selain itu, kaedah penggunaan serbuk halia kering yang dicampurkan dengan sedikit air dan sapukan pada dahi juga dikatakan dapat membantu mengurangkan pening kepala.

Memastikan kitaran darah yang normal

Halia mengandungi kromium, magnesium dan zink yang mampu membantu meningkatkan kitaran darah dan mampu membantu mencegah kita daripada demam dan mengalami peluh yang berlebihan.

Dalam satu kajian kecil yang dilakukan, menyatakan tumbuhan ini mungkin dapat membantu tubuh badan untuk menggunakan insulin dengan lebih baik. Ia juga dikatakan dapat membantu memperbaiki tahap gula dalam darah untuk individu yang mengalami diabetes.

Menurut pengkaji yang lain pula, dikatakan halia mungkin dapat membantu tubuh badan untuk merendahkan paras kolesterol dalam darah. Ini sekali gus dapat membantu mencegah individu daripada mengalami sakit jantung.

Menjaga kesihatan oral

Halia mengandungi fungsi antibakteria, jadi secara tidak langsung ia meningkatkan tahap kesihatan mulut menjadi lebih baik.

Sebatian aktif dalam tumbuhan ini yang dipanggil gingerol menghalang bakteria oral daripada membiak dalam mulut – bakteria yang sama boleh menyebabkan penyakit periodontal, jangkitan gusi yang serius.

Dalam masa yang sama, ia juga sebenarnya amat membantu untuk menghilangkan masalah mulut berbau, di samping dapat menguatkan gusi dan memberi nafas yang lebih segar. Anda pasti akan rasa lebih yakin untuk berdepan dengan orang ramai.

Jadi, jika anda adalah seorang yang mempunyai masalah dengan kesihatan mulut, cuba minum air yang berasaskan tumbuhan ini.

Selain itu, ia juga adalah sangat bagus untuk merawat batuk dan sakit tekak. Untuk melegakan sakit pada kerongkong anda, potongkan sedikit halia segar menjadi kepingan kecil dan masukkan ke dalam air yang mendidih selama 3-5 minit.

Biarkan ia terendam seketika kemudian campurkan madu secukup rasa dan minum ketika air dalam keadaan hangat atau suam bagi melegakan sakit pada kerongkong anda.

Melegakan mabuk perjalanan dan mabuk laut

Walaupun kajian mendapati tiada bukti saintifik untuk menyokong keberkesanan halia dalam mencegah mabuk perjalanan dan mabuk laut, ramai yang percaya bahawa mereka berasa lebih baik jika mereka mengambil tumbuhan ini sebelum memulakan perjalanan.

Walau bagaimanapun, satu kajian menunjukkan bahawa tumbuhan ini mungkin lebih berkesan daripada Dimenhydrinate – ubat yang biasa digunakan untuk melegakan sakit perut dikaitkan dengan mabuk.

Mencantikkan kulit wajah

Jika anda inginkan kulit wajah yang bersih, putih, lembut, bersinar-sinar dan awet muda, anda boleh amalkan pengambilan tumbuhan ini.

Hanya dengan menggunakan halia dengan campuran cuka sahaja, ia dapat membantu menghilangkan kesan parut hitam di wajah lalu menjadikan kulit lebih licin serta bebas cela.

Caranya, mudah sahaja. apa yang anda perlu lakukan ialah rendamkan hirisan tumbuhan ini ke dalam cuka dan simpan di dalam peti sejuk.

Kemudian gosok muka anda menggunakan hirisan halia yang telah direndam tadi selama 10 minit dan selepas itu bersihkan muka dengan air bersih dan ketulan ais.

ADAKAH TERDAPAT KESAN SAMPINGAN PENGAMBILAN HALIA?

Di sebalik kesemua manfaat yang dinyatakan, terdapat juga kesan sampingan pengambilan tumbuhan ini.

Hakikatnya, dos oral tumbuhan ini umumnya selamat bagi kebanyakan orang, walau bagaimanapun dalam beberapa kes, mungkin terdapat kesan sampingan yang ringan seperti pedih hulu hati, cirit-birit, dan ketidakselesaan perut.

Sesetengah wanita mungkin mengalami pendarahan haid yang lebih berat. Kegunaan luar halia juga dianggap selamat jika digunakan dengan betul pada jangka masa pendek.

Bagi mereka yang sedang hamil atau menyusukan bayi, berbincang dengan doktor terlebih dahulu untuk menimbang manfaat terhadap kemungkinan risiko.

Ia boleh meningkatkan risiko pendarahan pada orang dengan gangguan pendarahan dan memburukkan beberapa masalah jantung.

Jika anda mempunyai diabetes, anda perlu berbincang dengan doktor anda sebelum mengambil tumbuhan ini kerana ia boleh menjejaskan tahap insulin dan tahap gula dalam darah; yang dengan itu memerlukan pelarasan dalam ubat-ubatan.

ALTERNATIF BAGI HALIA

Sekiranya anda mahu mencuba alternatif yang lain selain tumbuhan ini, terdapat beberapa pengganti halia yang anda boleh gunakan.

Anda boleh cuba guna lada benggala, lada merah, atau paprika untuk menambahkan rasa ekstra pada makanan anda yang lebih kurang sama dengan tumbuhan ini. Selamat mencuba!

Konklusi

Konklusinya, halia adalah sejenis herba yang sangat bermanfaat buat kesihatan kita. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menaikkan lagi seri wajah kita kerana ia juga sangat bermanfaat buat kecantikan kulit kita. Jadi, apa kata anda mencubanya sekarang?

Akan tetapi, terdapat juga mitos yang mengatakan tumbuhan ini mungkin tidak sesuai diambil oleh sesetengah individu.

Jadi, sebelum mengambilnya, segera berjumpa dengan doktor untuk mendapat khidmat nasihat dan rawatan dengan lebih lanjut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

Thursday, June 25, 2020

Kisah Bagaimana Starbuck Bangkit Selepas Hampir Muflis!

Kisah Bagaimana Starbuck Bangkit Selepas Hampir Muflis!

Starbucks adalah antara jenama yang selalu mendapat tempat di hati peminat kopi kerana itulah ramai yang sanggup membayar sehingga RM20 untuk secawan kopi yang diadun dengan penuh perasaan dan nikmat.

Howard Schultz Starbuck
Howard Schultz.

Tetapi, tahukah anda pada tahun 2007/2008, Starbucks pernah dilanda krisis kewangan sehingga mereka hampir diisytiharkan muflis.

Pada tahun 2008, saham Starbucks jatuh sehingga 28% dan terpaksa menutup 600 cawangan pada tahun yang sama dan menutup 300 cawangan lagi pada tahun 2009, juga dilaporkan telah memberhentikan 6,700 pekerja.

Tidak mahu isu ini terus berpanjangan, langkah awal yang diambil oleh Starbucks adalah dengan melantik kembali Howard Schultz sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Starbucks menggantikan Jim Donald.

Di bawah kendalian Schultz, dia menemui beberapa masalah yang dihadapi:

Pertama, dia mendapati Starbucks terlalu mementingkan birokrasi berbanding pelanggan. Kedua, dia mendapati bahawa Starbucks terlalu menyalahkan keadaan ekonomi serta kenaikan harga susu untuk menaikkan harga kopi.

Starbucks juga menghadapi persaingan dari McDonald's, yang pada tahun 2008 telah mula memasuki perniagaan membuat kopi.

Schultz mempunyai pandangan yang berbeza. Dia telah mengambil inisiatif dengan mengirim surat kepada para pekerja dengan menyatakan bahawa "Syarikat mesti mengalihkan fokus mereka dari birokrasi kepada pelanggan".

Dia juga menambah bahawa pentingnya untuk Starbucks 'menjalinkan hubungan emosi dengan para pelanggan'.

'My Starbucks Idea'

Setelah berjaya mencari pucuk akar yang rosak, Schultz telah melancarkan kempen 'My Starbucks Idea', kempen bertujuan untuk membuang dinding yang menghalang Starbucks dan para pelanggan.

Starbucks meraikan perbezaan pendapat dengan bertukar idea di antara para pelanggan dan juga syarikat.

Pelanggan boleh memberi pandangan mengenai segala hal melibatkan Starbucks; produk, perkhidmatan, susun atur kedai, iklan, tanggungjawab sosial, bahkah muzik di dalam kedai juga turut dialu-alukan.

Hasilnya? Starbucks telah menerima lebih daripada 93,000 pandangan yang dikongsikan oleh 1.3 juta pengguna di media sosial. Selain itu juga, impression terhadap Starbucks juga telah meningkat kepada 5.5 juta sebulan.

Starbucks kini lebih fokus untuk menjalankan perniagaan dalam bentuk komuniti, bermula dengan kempen 'Free Wi-Fi', 'Soy Lover' dan lain-lain.

Selain itu, Starbucks turut menyedari bahawa mereka harus menghasilkan pemasaran berasaskan media sosial dan tidak boleh dilihat putus asa atau terlalu ingin untuk meningkatkan jualan.

Oleh itu, Starbucks telah mengambil inisiatif dengan mengurangkan iklan yang berasaskan produk dan lebih memberi tumpuan dalam membina hubungan di antara syarikat dan pelanggan.

Ciapan spontan dari Starbucks yang hanya membuat emoji senyuman juga pernah mendapat pujian dari para pelanggan.

Manakala hantaran lain di media sosial seperti 'keep calm and make coffee' juga adalah antara usaha baharu yang dihasilkan oleh Starbucks dalam membina hubungan dengan para pelanggan.

Beberapa tahun lalu, Starbucks pernah dilanda kontroversi apabila syarikat itu dikaitkan menggunakan keuntungan mereka bagi membiayai tentera Israel.

Sekali lagi, media sosial berjaya membuatkan Starbucks keluar daripada masalah tersebut dengan membina mesej yang kuat bahawa, 'Starbucks adalah organisasi yang cintakan kedamaian'.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket