Wednesday, February 14, 2018

Apa Itu Doula Dan Fakta Ibu Mengandung Wajib Tahu


Doula itu apa? Pertamanya, perkataan ‘doula’ itu sendiri berasal daripada perkataan Greek yang bermaksud “hamba wanita”, golongan yang telah wujud berabad lamanya dan dikatakan mampu memberikan pengalaman positif kepada para ibu yang hamil dan bakal bersalin.

Apa Itu Doula Dan Fakta Ibu Mengandung Wajib Tahu

Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula adalah seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi:
  • Emosi.
  • Pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas).
  • Fizikal (secara sentuhan seperti urutan).

Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin atau telah bersalin.

Tugas utama doula adalah untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat, menenangkan dan diingati.

Jenis-jenis Doula di Malaysia

Menurut WebMD, secara asasnya, ada 3 jenis Doula iaitu Doula antepartum, Doula labor dan Doula pospartum.

Doula antepartum membantu memberi ilmu kehamilan dan mengajar cara-cara bersalin kepada ibu mengandung.

Doula labor pula berada di sisi ibu ketika bersalin namun, seorang doktor ada berkongsi tentang isu doula di Malaysia:

“Hospital kerajaan tidak membenarkan orang lain masuk ke bilik bersalin malah, sesetengah polisi hospital swasta di Malaysia juga tidak membenarkannya.”

Manakala, Doula postpartum akan berada di sisi ibu selepas bersalin dan membantu dalam hal penjagaan bayi dan penyusuan.

Doula Sebagai Sokongan Tambahan

Menurut WebMD, ada juga Doula postpartum yang membantu dari segi penjagaan ibu dan pengurusan kerja rumah.

Adakah doula ganti suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin?

Tidak. Doula bukan bertujuan untuk mengganti tugas suami untuk berada di sisi isteri ketika bersalin. Mereka lebih dianggap sebagai sokongan tambahan untuk si ibu.

Suami masih perlu memainkan peranan aktif dalam hal penjagaan isteri dan proses bersalin.

Apa beza antara Doula dan bidan?

Mungkin ramai para ibu di luar sana yang masih keliru tentang perbezaan antara doula dan bidan atau turut dikenali sebagai midwife.

Berdasarkan penerangan Healthline.com, bidan adalah seorang ahli medikal terlatih dan profesional yang boleh membantu secara langsung ketika proses bersalin.

Manakala, Doula pula hanya berfungsi sebagai peneman yang membantu untuk memberi panduan secara lisan tentang cara meneran atau mengurut bagi menenangkan ibu yang sedang bersalin.

Fakta lain tentang Doula yang ibu perlu tahu

Selepas memahami tentang maksud doula dan tugasnya, mari ketahui beberapa fakta penting lain.

Kami merasakan, para ibu di luar sana perlu mengetahui tentang perkara ini supaya tiada lagi salah faham dan kes tragedi bersalin dapat dielakkan.
  • Doula tidak boleh memberikan sebarang nasihat atau penjagaan perubatan kepada ibu hamil, terutamanya tentang hal obstetrik.
  • Doula sama sekali tidak menggantikan tugasan jururawat, doktor dan doktor pakar.
  • Doula boleh berkongsi informasi tentang cara bersalin, penyusuan, penjagaan bayi tetapi tidak boleh menetapkan cara bersalin bagi pihak ibu.
  • Doula boleh menjadi sebahagian daripada kumpulan penasihat ibu (di samping doktor, jururawat dan bidan), tetapi bukanlah penasihat perubatan utama yang tunggal.
  • Doula sepatutnya tidak menangani kes ibu yang mempunyai kehamilan berisiko tinggi atau menangani sebarang isu kecemasan ketika bersalin.

Diharapkan dengan perkongsian fakta tentang Doula di Malaysia, para ibu boleh memahami lebih mendalam tentang perkhidmatannya.

Apa yang penting adalah anda mendapatkan nasihat dan pemantauan doktor. Mereka lebih berilmu dan berpengalaman dalam hal obstetrik.

Ya, doula sememangnya membantu dari segi menambahkan ilmu tentang proses kehamilan dan cara bersalin dengan betul.

Namun, tugasan mereka lebih kepada menasihati, menemani dan membantu dari tepi sahaja. Tidak lebih dari itu.

Nyawa bayi sangatlah berharga dan kita sebagai ibu tidak sepatutnya mempertaruhkan nyawa mereka semata-mata keinginan diri.

Seperti yang dipetik daripada kata-kata Profesor Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar dalam artikelnya:
“Kepentingan siapakah yang anda utamakan, anda atau bayi anda?”
Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: theasianparent

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon