Selasa, April 15, 2014

Merungkai Dusta Tragedi Hillsborough


Loading...

Tanggal 15 April 1989 akan terus menjadi hari yang penuh emosi bagi seluruh peminat Liverpool FC di seluruh dunia.

Never ever forget - 96
Never ever forget, 96.

Pada tarikh itu, sebuah tragedi hitam berlaku tanpa siapa pun mampu menduganya. Siapa sangka, penonton yang hanya ingin menikmati perlawanan bola sepak pasukan kegemaran mereka akhirnya mati secara tragis.

Tragedi hitam yang 'menodai' perjalanan sebuah kelab bola sepak paling berjaya di muka bumi Inggeris menjadi kontroversi sehingga sekarang.

Tragedi kelam ini akhirnya menjadi landasan terhadap peraturan keselamatan stadium bola sepak kelab tersebut.

Bagi seluruh peminat Liverpool, tragedi Hillsborough yang terjadi tidak mungkin dilupakan dalam lipatan kenangan mereka.

Waktu itu, lebih 25 ribu peminat kelab berkenaan menuju ke Stadium Hillsborough di Sheffield untuk menyokong pasukan kesayangan mereka pada aksi separuh akhir Piala FA. Liverpool dijadualkan menentang Notingham Forest.

Puncanya cuma satu, kapasiti muatan stadium berkenaan tidak mampu menampung jumlah penonton yang terlalu ramai. Akibatnya, limpahan penonton dengan kepadatan yang luar biasa menyebabkan kematian.

Liverpool fans attempt to escape being crushed at Hillsborough
Penyokong memanjat menyelamatkan diri.

Perkara ini sebenarnya tidak semudah seperti yang di tulis ini. Sejak tarikh kemalangan sehingga tahun 2011, fakta ini langsung tidak dipedulikan pihak yang bertanggungjawab.

Malah pelbagai alasan diberikan termasuk mengaitkan drama rusuhan akibat alkohol dan sebagainya.

Mengikut fakta, seramai 96 orang meninggal dunia. Seorang daripadanya berada dalam keadaan koma selama empat tahun sebelum meninggal dunia.

Berdasarkan umur, kebanyakan mangsa berumur di bawah 30 tahun. Seramai 13 orang dilaporkan berusia bawah 20 tahun. Mangsa termuda merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Sementara itu, seramai 730 orang mengalami kecederaan di dalam stadium dan 36 orang mengalami kecederaan di luar stadium. Ratusan orang lain pula mengalami trauma akibat peristiwa tersebut.

Mereka gagal menyelamatkan diri daripada dihimpit pagar penghalang ketika cuba masuk ke Leppings Lane iaitu bahagian khusus penonton berdiri tanpa kerusi.

Pada mulanya, pihak polis mengarahkan penyokong Liverpool memasuki Leppings Lane itu namun pihak polis sendiri tidak mampu mengawal arus penonton yang terlalu ramai.

Akibatnya, perlawanan yang baru memakan masa enam minit terpaksa dihentikan apabila sejumlah penonton Liverpool dilihat mula memanjat pagar penghalang untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Perlawanan itu akhirnya disambung semula di Stadium Old Trafford pada 7 Mei 1989. Akhirnya, 'The Reds' berjaya mengalahkan Nottingham Forest dengan jaringan 3-1.

Pada peringkat akhir, 'The Reds' bertemu dengan kelab Everton dan akhirnya berjaya membawa pulang Piala FA selepas menewaskan lawan dengan jaringan 3-2.

'The Reds' mempersembahkan Piala FA tersebut untuk penyokong mereka yang terkorban di Hillsborough.

Bencana bola sepak ini semakin hangat diperkatakan apabila akhbar tabloid, The Sun, telah mengeluarkan tiga 'headline' melampau yang berjudul, 'Some fans picked poskets of victims', 'Some fans urinated on the brave cops' dan 'Some fans beat up PC giving kiss of life'.

Hillsborough_disaster_The_Sun_Lie
The Sun cuba menjatuhkan maruah penyokong Liverpool.

Bayangkan betapa sakitnya hati pembaca apabila melihat laporan 'The Sun' di atas terutama kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Oleh itu, para peminat Liverpool sepakat untuk memulaukan tabloid berkenaan kerana mengaibkan maruah mangsa yang terkorban.

Misteri tragedi ini akhirnya secara perlahan-lahan diungkai untuk menuntut keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Menurut laporan BBC News, mereka terlihat dokumen rahsia berupa surat daripada seorang polis di Marseyside untuk diserahkan kepada Perdana Menteri Britain ketika itu, Margareth Thatcher empat hari setelah peristiwa itu berlaku.

Dalam surat itu, polis berkenaan menyebut bahawa sejumlah penyokong Liverpool telah melanggar peraturan.

Pelbagai tohmahan negatif dilemparkan kepada sejumlah penonton ketika menyaksikan perlawanan tersebut.

Kandungan surat ini menyalahkan sepenuhnya pnonton dengan tuduhan mereka berada di bawah pengaruh alkohol dan tidak mempunyai tiket semasa menyaksikan perlawanan.

Keadaan ini telah memberikan kesempatan kepada pihak Konservatif, Irvine Patnick untuk memberi kenyataan palsu berkenaan keadaan sebenar kejadian tersebut yang kemudiannya disalahtafsirkan oleh 'The Sun' sehingga tabloid ini mendapat tentangan hebat daripada peminat Liverpool.

Sejumlah keluarga mangsa juga menuntut supaya kerajaan mencari punca sebenar tragedi tersebut. Setakat yang mereka tahu, peristiwa tersebut berlaku disebabkan oleh faktor penonton yang melebihi kapasiti Stadium Hillsborough, Shieffield.

Stadium berkenaan yang mempunyai kapasiti seramai 40,000 orang penonton hanya menyediakan tempat duduk untuk 14,600 orang sahaja. Keadaan itu menyebabkan limpahan penonton hingga ke bahagian Leppings Lane.

Selama dua tahun laporan dari Hillsborough Independent Panel setebal 394 muka surat telah disusun bagi mengungkai pembohongan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

Setelah 23 tahun peristiwa tersebut berlaku, akhirnya hasil laporan ini mampu membuatkan ahli keluarga mangsa menarik nafas lega.

Kebenaran demi kebenaran telah terbongkar dan hasil bedah siasat terhadap kesemua 96 orang mangsa jelas membuktikan bahawa mereka semua bebas daripada pengaruh alkohol.

Malah, ketika perlawanan berlangsung, pihak South Yorkshire hanya menyediakan sebuah ambulan sahaja, manakala petugas lain berada jauh dari stadium. Perkara ini sekaligus menyukarkan usaha menyelamatkan mangsa.

Fakta mengejutkan itu akhirnya membuka satu lagi rahsia, ketika kejadian, Inspektor Duckenfied selaku ketua pasukan keselamatan tidak membenarkan pintu stadium dibuka hingga menyebabkan suasana menjadi huru-hara. Beliau akhirnya dipersalahkan atas tindakannya itu.

David Cameron apologies for Hillsborough
David Cameron ketika menyampaikan ucapan permohonan maaf.

Perdana Menteri Britain, David Cameron, menyampaikan permohonan maaf kepada semua mangsa tragedi Hillsborough dengan disaksikan oleh keluarga mangsa di Katerdal Anglican, Liverpool pada 12 September 2012.

Beliau mewakili kerajaan Britain memohon maaf di atas kesilapan kerajaan terdahulu di atas 'ketidakadilan berganda' kepada keluarga 96 orang mangsa terbabit.

The Hillsborough Memorial
The Hillsborough Memorial.

Sebagai tanda memperingati tragedi, Liverpool telah mendirikan sebuah monumen, 'The Hillsborough Memorial' di Stadium Anfield. Disini, kesemua 96 orang penyokong Liverpool yang terkorban dikenang sebagai wira Liverpool.

Lebih mendukacitakan, mangsa termuda yang berusia 10 tahun dikenali sebagai Jon Paul adalah sepupu kepada ketua pasukan Liverpool, Steven Gerard.

Jon Paul - Steven Gerard Hillsborough
Bola sepak adalah dedikasi saya kepada Jon Paul, Steven Gerard.

Tragedi Hillsborough merupakan peristiwa terburuk dalam lipatan sejarah bola sepak Inggeris.

Kejadian ini memaksa Persekutuan Bola Sepak Inggeris melakukan pelbagai perubahan dalam sukan bola.

Antaranya mengharamkan penggunaan pagar penghalang penonton serta menghapuskan ruangan untuk penonton berdiri disemua stadium di negara Ratu Elizabeth itu.

BACA INI JUGA: Tragedi Munich 1958, Pesawat MU Terhempas!

-Sentiasapanas.com

Seorang blogger yang suka berkongsi ilmu untuk individu yang suka membaca.

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon