Saturday, June 27, 2020

Kisah Carl Emil Pettersson, Kelasi Yang Menjadi Raja Suku Kanibal


Carl Emil Pettersson, pada usia 17 tahun, sudah mula bekerja sebagai seorang kelasi bersama sebuah syarikat perdagangan Jerman bernama Neuguinea-Compagnie yang beroperasi di kawasan kolonial terawal Jerman, German New Guinea yang kini digelar Papua New Guinea.

Carl Emil Pettersson Jadi Raja

Seorang rakyat Sweden, Carl lahir pada bulan Oktober tahun 1875, anak kepada Carl Wilhelm dan Johanna Pettersson, beliau hidup dalam keluarga yang menghadapi perceraian.

Takdir membawanya belayar diatas kapal dengan Carl banyak menghabiskan masa di lautan.

Pada hari Krismas tahun 1904 semasa menaiki kapal Herzog Johann Albrecht, kapalnya mengalami masalah dan tenggelam.

Carl bernasib baik di bawa arus sehingga terdampar di pantai yang terletak di sebuah pulau bernama Pulau Tabar, salah satu pulau di bahagian timur laut Papua New Guinea.

Bermata Biru

Carl membuka matanya dan mendapati dia berada di sebuah kawasan cantik, dipenuhi pokok bunga raya yang mengindahkan pandangan.

Walaupun begitu, pengalamannya sebagai kelasi kapal membuatkannya menyedari dia sebenarnya berada di sebuah pulau yang penduduknya masih lagi mengamalkan amalan kanibalisme.

Bagaimanapun, selepas ditangkap penduduk tempatan, Carl dibawa menghadap Raja mereka ketika itu, Raja Lamy yang tertarik dengan matanya yang kebiru-biruan.

Mungkin itu adalah kali pertama mereka melihat seseorang individu mempunyai mata berwarna biru, Raja Lamy membenarkan Carl tinggal di pulau mereka.

Bercinta dengan anak Raja

Tinggal di Pulau Tabar tanpa ada jalan pulang, Carl menghabiskan lebih 3 tahun hidup di kalangan penduduk dan belajar cara hidup masyarakat di situ.

Kerajinan Carl memikat hati anak kepada Raja Lamy, Puteri Singdo dan pada tahun 1907, Carl dan Puteri SIngdo dikahwinkan mengikut adat istiadat kaum Pulau Tabar.

Perkahwinan mereka membuka jalan kepada Carl untuk mula memberanikan diri cuba memperkenalkan perkara yang dia tahu kepada masyarakat di situ.

Carl menggunakan kemahirannya dan mula memulakan tempat pemprosesan kelapa kering untuk dijual selain berjaya membina sebuah ladang kelapa, bagi memenuhi permintaan pembeli.

Budaya baru yang diperkenalkan Carl membuatkan penduduk di situ mula menerima beliau sebagai sebahagian daripada mereka.

Akhirnya, selepas kematian ayah mertua beliau Raja Lamy, Carl dinaikkan sebagai pengganti takhta dan menjadi Raja baru Tabar.

Penabalan Carl sebagai Raja Tabar sampai ke pengetahuan wartawan di Sweden yang menerbitkan artikel berkenaan kisah beliau.

Jejak mencari permaisuri

King Carl Emil Pettersson

Hasil perkahwinan dengan Permaisuri Singdo, Raja Carl dikurniakan sembilan orang anak.

Keluarga besar itu tidak menghalang pembukaan dua lagi ladang di jajahannya, di kawasan Maragon dan juga Londolovit.

Malangnya, ekoran fasiliti kesihatan yang masih belum lengkap serta sistem penjagaan yang kurang baik, Permaisuri Singdo mengalami jangkitan kuman di rahim yang menyebabkannya sakit dan meninggal dunia pada tahun 1921, 14 tahun selepas perkahwinan mereka.

Mempunyai anak-anak yang masih kecil, Raja Carl pulang ke Sweden bagi mencari calon isteri baru dan berkahwin dengan seorang wanita bernama Jessica Louisa Simpson pada tahun 1923.

Selepas berkahwin, Raja Carl dan Permaisuri Jessica pulang ke Pulau Tabar, mendapati operasi pemprosesan kelapa mereka sudah diabaikan tanpa sesiapa mengawalnya.

Detik akhir Raja Carl Emil Pettersson

Usaha mengembalikan semula kilang dan ladang kelapa mereka sukar, berikutan beban kewangan yang perlu mereka tanggung.

Rahsia wujudnya lombong emas di salah satu pulau di bawah jajahannya pula telah diketahui pihak-pihak tertentu dan menyukarkan beliau untuk mendapatkan emas daripada kawasan tersebut.

Raja Carl dan Permaisuri Jessica akhirnya diserang penyakit malaria dan terpaksa mendapatkan rawatan, dengan Australia menjadi pilihan mereka.

Jessica sampai ke Australia terlebih dulu, bagi mendapatkan rawatan sebelum Carl tiba di sana.

Walaupun berjaya mendapatkan rawatan serta kembali ke Sweden, Permaisuri Jessica menghembuskan nafas terakhir pada 19 Mei 1935 di Stockholm dan Carl yang masih berada di Australia tidak dapat berada di sisi isterinya.

Lebih malang lagi, Carl akhirnya meninggal dunia di Sydney, Australia pada 12 Mei 1937 selepas terkena serangan sakit jantung. Harapannya untuk kembali ke Sweden hancur berkecai.

Tidak diketahui adakah Carl meneruskan kehidupan sebagai seorang kanibal selepas terdampar di Pulau Tabar.

Dan tidak diketahui apa yang terjadi pada anak-anak hasil perkahwinannya dengan mendiang Permaisuri Singdo selepas itu.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon