Saturday, June 27, 2020

SBDJ Siri 161: Baldi Berdarah


Suasana yang bungkam itu, membuat otak saya memikirkan perkara yang bukan-bukan. Saya juga membayangkan bagaimana datuk dan kawan-kawannya berusaha dengan susah payah mengesan jejak saya yang hilang.

SBDJ siri 139

Tergambar, bagaimana cemasnya wajah Andi Kamarool menceritakan pengalaman pahitnya melepaskan diri dari sarang manusia yang digelar mahaguru itu.

Saya kira, sambil bercerita Andi menangis dan meratap di depan datuk kerana dia gagal menyelamatkan saya dari perangkap manusia yang berpenghulukan SYAITAN. Saya terus mengelamun dan mengelamun.

"Huh..."

Saya segera menoleh ke arah suara yang muncul dari sebelah kiri. Perempuan suruhan sedang membawa baldi hijau dalam keadaan termengah-mengah.

Dia melintasi di depan saya dan akhirnya berhenti berdiri di depan mahaguru. Baldi hijau masih dibimbitnya.

"Letakkan baldi hijau tu di situ."

Perempuan suruhan segera akur dengan perintah mahaguru. Tiga manusia yang mahu ditauliahkan masih berdiri kaku.

Orang kanan mahaguru, tidak berkata apa-apa. Cuma biji matanya saja bergerak mengikut gerak-geri perempuan suruhan.

Dari gerak matanya terungkap rasa cemburu yang amat sangat terhadap perempuan suruhan.

Barangkali hatinya jadi baran kerana mahaguru terlalu banyak mengeluarkan perintah untuk perempuan suruhan dan dalam masa yang sama cuba main genyit mata dengan perempuan suruhan yang bentuk tubuhnya lebih menarik dari bentuk tubuh orang kanan mahaguru sendiri.

"Suruh dia orang minum darah, lumurkan muka dan tangan dengan darah," datang lagi arahan dari mahaguru.

"Baik."

"Letakkan baldi itu dekat dengan aku."

Perempuan suruhan melakukan apa yang diarahkan oleh mahaguru. Dengan langkah yang teratur, perempuan suruhan mendekati salah seorang lelaki yang bakal ditauliahkan itu.

Dua tiga kali bahu kiri dan kanan lelaki itu ditumbuk dengan sekuat hati. Tubuh lelaki itu tidak berganjak. Tempat sulit lelaki itu ditumbuk, lelaki itu tersenyum tidak merasai kesakitan.

Perempuan suruhan itu terus menjerit dan melompat tinggi, kemudian dengan kaki kiri dia melepaskan tendangan yang amat kencang ke dada lelaki itu.

Saya terdengar bunyi suara lelaki itu mengerang menahan kesakitan, tetapi lelaki itu tidak kelihatan membongkok atau rebah ke bumi. Cuma suara sahaja yang keluar menahan rasa sakit.

Sebaliknya perempuan suruhan duduk di bumi meraba-raba buah betis kiri beberapa kali. Mungkin otot-otot dikakinya kejang.

Perempuan suruhan segera bangun, dia melakukan senaman. Barangkali untuk mengendurkan otot-otot yang kejang.

Perempuan suruhan menarik nafas dalam-dalam dan terus merapati lelaki yang ditendangnya sebentar tadi.

"Kamu pergi dulu."

Dengan angkuh perempuan suruhan menjentik daun telinga kiri lelaki itu dengan jari telunjuknya.

Biadap, tidak ada budi bahasa langsung, apa dia fikir dia memang handal dan gagah. Hati kecil saya memberi komentar, bila melihat telatahnya yang keterlaluan itu.

"Buat apa yang diingini oleh mahaguru, faham," lanjut perempuan sambil menjuihkan bibirnya bawahnya.

"Faham," sahut lelaki itu.

"Lepas dia kamu pula, mengerti," perempuan suruhan menujahkan jari telunjuknya ke batang hidung lelaki yang kedua.

Darah saya jadi panas. Perempuan itu sudah keterlaluan. Dia menghina kaum sejenis saya. Dia memandang orang lelaki seperti sampah dan layak berada dibawah kakinya.

Kamu memang perempuan jahananam. Batin saya terus bergelora.

"Saya faham," lelaki yang kedua bersuara.

DEKAT

Perempuan suruhan mendekati orang ketiga iaitu seorang perempuan. Tanpa berkata sepatah apa pun, perempuan suruhan melepaskan penumbuk kepada orang ketiga (perempuan) di bahagian perut.

Ternyata orang ketiga tidak mengalami apa-apa. Dia tetap macam biasa. Perempuan suruhan gelengkan kepala beberapa kali.

Dia kagum dengan kehebatan orang ketiga. Pipi orang ketiga segera dicubitnya penuh geram dan ghairah.

Tidak memadai dengan itu, dia sengaja melagakan hujung hidungnya dengan pipi orang ketiga penuh berahi.

Dan perbuatannya itu tidak dilanjutkan bila orang kanan mahaguru berdehem tiga kali berturut-turut.

Perempuan suruhan segera berpaling ke arah orang kanan mahaguru.

"Kamu sudah keterlaluan. Jangan jadi pengikut kaum nabi Lut, faham."

"Maafkan saya maharani."

"Ingat jangan biadap sangat di depan aku, teruskan tugas kamu," mahaguru pula melahirkan rasa kurang senangnya.

"Maafkan saya mahaguru."

"Humm..." mahaguru anggukkan kepala.

Perempuan suruhan segera mendekati orang ketiga kembali. Buat beberapa saat, perempuan suruhan tidak berkata apa-apa.

Dia hanya menarik dan melepaskan nafas. Berusaha menenangkan perasaan.

"Kamu juga ikut macam orang pertama dan kedua, pergi berbaris dekat dia orang. Dengar perintah mahaguru," tutur perempuan suruhan kepada orang ketiga yang berdiri kaku.

Orang ketiga anggukkan kepala, tanda faham dan bersedia menurut atau mematuhi apa saja perintah.

Bila yakin apa yang diperintahkan telah dilaksanakan dengan sebaik mengkin, maka perempuan suruhan kembali berdiri di depan mahaguru.

"Boleh kita mulakan mahaguru?"

"Boleh tapi..." mahaguru tidak meneruskan kata-kata.

Wajah perempuan suruhan dengan serta-merta kelihatan cemas. Dia kedutkan dahi.

"Adakah sesuatu yang silap atau salah saya lakukan mahaguru, kalau ada saya minta maaf."

"Tidak ada yang salah, semuanya betul. Malam ini aku mahu orang ketiga ditauliahkan dulu, orang lelaki kemudian."

"Selalunya lelaki dulu, kenapa kali ini orang perempuan pula. Ini sudah bercanggah dengan kebiasaan dan peraturan yang kita tetapkan mahaguru," perempuan suruhan luahkan protes.

"Ini perintah aku, kamu jangan bantah."

"Baik mahaguru."

"Mulakan. Sebelum tu suruh dia sebut namanya. Nama kampung dan nama emaknya, nama ayah tak mustahak. Kalau ada anak perempuan, sebut namanya. Nama suaminya tak payah," itu arahan baru dari mahaguru.

Setiap patah perkataan terakhir, perempuan suruhan anggukkan kepala, macam burung terkukur jinak yang diagah oleh tuannya. Sungguh lucu sekali.

Perempuan suruhan segera menemui orang ketiga.

"Kamu dengar apa yang mahaguru katakan," tanya perempuan suruhan. Orang ketiga segera mengangguk.

"Maju dan mulakan sekarang."

Orang ketiga pun maju ke depan. Berdiri di depan mahaguru seraya menundukkan kepala tanda hormat.

Mahaguru angkat tangan melepasi kepala sebagai tanda yang dia merasmikan acara memberi tauliah kepada anak-anak muridnya.

"Sekarang," jerit perempuan suruhan.

"Nama saya Maziah, asal dari Kampung Simpang Empat, Mata Air Perlis. Emak saya namanya Jariah. Saya janda, bercerai hidup dengan suami."

"Bekas suami kamu sudah kahwin," celah orang kanan secara mengejut.

"Sudah, kawin dengan sepupu saya sendiri," orang ketiga (Maziah) berhenti bercakap.

Dia tunduk merenung bumi. Mungkin dia menahan rasa terharu. Suasana sekitar terus di dakap kesepian.

"Teruskan cakap kamu Maziah," perintah perempuan suruhan.

"Maafkan, saya. Saya ada seorang anak perempuan, duduk sama neneknya di Kuala Perlis."

"Kalau aku suruh kamu minum darah anak kamu, apa kamu sanggup?"

Orang ketiga terus diam. Lidahnya bagaikan kelu untuk memberikan jawapan atas pertanyaan mahaguru.

"Jawap pertanyaan aku, sanggup atau tidak?"

"Saya sanggup mahaguru."

"Bagus. Bunuh bekas suami, kamu sanggup?"

"Sanggup mahaguru."

"Bagi mengekalkan kecantikan diri kamu, sanggupkah kamu bunuh orang lelaki, ambil jantung, hati dan hempedunya untuk dijadikan serbuk yang kemudiannya kau jadikan perencah makanan untuk diri kau sendiri?"

"Saya sanggup mahaguru."

"Kamu sanggup ambil kulit dan urat dalam kemaluan untuk dijadikan campuran macam bedak yang kemudiannya kamu sapu ke muka supaya kamu nampak muda?" dengan mengejut orang kanan mahaguru bertanya.

Perempuan yang mahu ditauliahkan itu (orang ketiga) nampak gugup dan tergamam. Dia tidak menduga orang kanan mahaguru mahu mengajukan pertanyaan seperti itu. Buat beberapa saat, orang ketiga tetap resah gelisah.

"Jawap pertanyaannya, sanggup atau tidak?" jerkah mahaguru.

"Saya sanggup."

"Bagus."

Mahaguru terus bangun dan orang kanannya pun tepuk tangan tanda kegirangan yang amat sangat. Perempuan suruhan tetap tenang dan bersahaja.

Tetapi, sepasang anak matanya tetap mengikuti gerak-geri perempuan yang bakal ditauliahkan.

"Mulakan sekarang," kata mahaguru dan terus duduk.

Perempuan yang mahu ditauliahkan segera rapat ke baldi hijau. Dia ambil cawan, lalu mencedok darah dalam baldi hijau diteguk macam air sejuk.

Lengan dan muka turut dilumur dengan darah. Bau darah yang hanyir menusuk lubang hidung saya.

Bagi membuktikan yang dia sudah melaksanakan perintah mengikut syarat-syarat yang ditentukan perempuan tersebut (Maziah), segera mendekati perempuan suruhan sambil menunjukkan kesan darah di bibir dan gigi serta mempamerkan kesan darah di muka dan lengan.

Perempuan suruhan memanglah seorang pekerja yang amanah dan bertanggung jawab. Tanpa membuang masa, dia terus membelek-belek gigi, kulit muka dan lengan perempuan tersebut dengan teliti.

"Bagaimana? Kamu puas hati yang dia sudah buat apa yang kita suruh?" orang kanan mahaguru bertanya kepada perempuan suruhan.

"Saya puas hati. Dia sudah mnyempurnakan segala syarat yang ditetapkan dengan baik," jawap perempuan suruhan sambil meyuruh perempuan yang baru selesai menjalani proses tauliah peringkat pertama, mendekati mahaguru.

"Kemari kamu," mahaguru terus bangun dengan sebilah lembing di tangan.

Perempuan yang menjalani tauliah peringkat pertama segera memusingkan tubuhnya untuk menghalakan wajahnya ke arah mahaguru.

Tanpa membuang masa walau sesaat pun, mahaguru terus merejam lembing ke bahagian dada Maziah tersebut.

Mata lembing yang terbenam di pangkal buah dada kiri tembus kebelakang. Wajah perempuan (Maziah) itu tetap tenang dan bersahaja, bagaikan tiada sesuatu terjadi pada dirinya.

Walaupun bajunya basah kuyup dengan darah, dia masih berdiri tegak di situ.

Orang kanan mahaguru anggukkan kepala beberapa kali. Tanda puas hati.

Sepasang mata perempuan suruhan tidak berkedip melihat darah membasahi baju perempuan yang sedang menjalani ujian.

LEHER

Mahaguru pun segera menerpa ke arah perempuan tersebut lalu mencabut lembing yang terbenam di dada.

Sebaik saja mata lembing dicabut darah yang membuak keluar terus berhenti. Lembing dipacakkan ke dada bumi.

Mahaguru terus menepuk bahu kanan perempuan dua kali berturut-turut dan sekali gus dengan rasa geram dan ghairah, buah dada perempuan terus dipicitnya.

Ternyata perbuatan mahaguru yang keterlaluan itu tidak dapat dikesan oleh orang kanannya.

Hasil dari tepukan mahaguru di bahu kanan, kesan luka akibat tikaman lembing terus sembuh.

Tidak meninggalkan sebarang tanda, baju pun tidak koyak dan darah terus kering dan hilang.

"Kamu lulus," kata mahaguru sambil merenung ke arah perempuan suruhan.

"Bagi aku parang panjang," sambung mahaguru dan perempuan suruhan segera menghilangkan diri.

Dia menuju ke belakang dinding buluh. Muncul semula dengan parang di tangan. Perempuan suruhan serahkan sebilah parang panjang ke tangan mahaguru.

Dengan mata parang yang tajam berkilat itu, mahaguru menetak batang leher Maziah di depannya.

Saya segera pejamkan mata. Rasanya memang saya tidak sanggup melihat kepala bercerai dengan tubuh.

Aneh sungguh manusia ini, mempertarungkan nyawa untuk menuntut ilmu. Apakah menuntut ilmu dengan cara ini digalakkan oleh agama Islam?

Dalam keadaan mata yang pejam itu timbul pertanyaan dalam hati kecil saya.

"Sudah," saya terdengar suara mahaguru.

Saya kira kepala perempuan itu sudah pun terdampar dibumi, sementara tubuhnya pula bergelimpangan di tanah dengan sepasang kaki dan tangan mengelitik.

Begitulah dalam seribu kecemasan dan persoalan, saya buka kelopak mata perlahan-lahan.

Lagi sekali saya merasa pelik dan takjub, batang leher Maziah tidak mengalami apa-apa kecederaan. Tetap seperti keadaan asal. Sebaliknya parang panjang yang bengkok.

Orang kanan mahaguru segera bangun. Tanpa tangguh-tangguh dia terus tepuk tangan.

Perempuan suruhan menarik nafas dalam-dalam dan saya merasa pelik kenapa dia tidak turut sama bertepuk.

Barangkali dia ada tugas lain yang harus diselesaikan? Andaian saya tidak meleset. Perempuan suruhan bergerak ke bahagian sudut kanan dan hilang dalam cahaya pelita yang samar-samar.

Beberapa saat kemudian, perempuan suruhan muncul kembali membimbit baldi yang berisikan air panas. Berhenti di depan mahaguru tanpa meletakkan baldi di tanah.

Saya lihat mahaguru angkat tangan kiri melepasi kepalanya. Sebaik saja mahaguru menjatuhkan tangannya, perempuan suruhan pun segera angkat baldi dan terus mencurahkan air panas yang masih berasap ke tubuh Maziah yang sedang menjalani ujian.

Saya kira, Maziah itu akan menjerit kepanasan dan kulitnya pasti terbakar. Apa yang saya harapkan tidak pula terjadi. Perempuan itu tidak menjerit, tidak mengeluh.

Dia tetap macam biasa, masih boleh mengukir senyum untuk saya dan orang-orang yang berada di sekitarnya.

MAHAGURU

Akibat kena air panas itu, tubuhnya seperti mengeluarkan asap dan ini menambahkan kehebatan pada dirinya.

Orang kanan mahaguru segera menerpa ke arah perempuan itu. Dia meletakkan lima jari-jemarinya ke dahi perempuan itu.

Dengan serta-merta perempuan itu merendahkan dirinya dengan membengkokkan sepasang kakinya.

Sepasang kepala lututnya bertemu dengan bumi. Lebih tepat disebut duduk melutut.

Telapak tangan orang kanan mahaguru berubah tempat. Dari dahi terus ke ubun-ubun perempuan tersebut. Dua tiga kali kulit kepala bahagian ubun-ubun digosoknya.

Bibir orang kanan mahaguru bergerak-gerak. Agaknya dia membaca jampi serapah. Rambut di bahagian ubun-ubun Maziah itu dipegang dan dipintal lalu didandan.

"Potong."

Orang kanan mahaguru menoleh ke arah perempuan suruhan.

"Potong apa?" tanya perempuan suruhan ragu-ragu.

"Bodoh, potong rambutnya."

"Dengan apa?"

"Dengan apa saja," suara orang kanan mahaguru kian meninggi.

Saya lihat perempuan suruhan renung kiri, renung kanan. Kedutkan dahi. Dia seperti berada dalam keadaan serba salah.

Di tengah-tengah keadaan yang serba tidak kena itu, saya lihat perempuan suruhan mengeluarkan sebilah lawi ayam dari rusuk kirinya.

Sarungnya dicampakkan ke kanan dan mata lawi ayam itu ditayangkan di depan mata orang kanan mahaguru.

"Dengan ini, boleh atau tidak?"

"Boleh" pendek saja jawapan dari orang kanan mahaguru.

Tanpa mahu membuang masa, perempuan suruhan itu melompat dan menerpa ke arah Maziah yang sedang menjalani ujian.

Dengan sekelip mata saja rambut yang didandan terpisah dari kulit kepala kerana dipotong terlalu rapat menyebabkan kulit kepala bahagian ubun-ubun kelihatan putih macam kesan orang yang baru lepas menjalani bekam.

Rambut sejemput dalam telapak tangan perempuan suruhan diserahkan kepada orang kanan mahaguru.

Rambut itu dibelek-belek dan dibungkus dalam kain kuning lalu diperasap dengan kemenyan sebelum ditaruh kedalam sebuah gelas yang berisikan air limau.

Tugas itu dilakukan oleh perempuan suruhan dengan cermat sekali. Orang kanan hanya melihat saja.

"Lagi apa yang mesti saya buat?" tanya perempuan suruhan.

"Lukakan kulit kepalanya, dibahagian yang kau potong tadi. Biarkan darahnya menitik ke dalam gelas."

"Baik, saya mulakan sekarang."

"Silakan, jangan tersilap. Kalau silap buruk padahnya," orang kanan mengingatkan perempuan suruhan.

Dengan hujung lawi ayam perempuan suruhan melukakan kulit kepala Maziah. Darah memancut keluar dan terus masuk ke gelas yang ditadah.

Air limau yang bercampur darah melahirkan warnah merah kehitam-hitaman yang pekat.

"Pulihkan dan berhentikan darahnya dari keluar," pekik mahaguru bila melihat gelas yang ditadah hampir penuh dengan darah.

Orang kanannya segera meletakkan ibu jari ke bahagian kulit kepala yang dituris dengan lawi ayam.

Bila ibu jari diangkat, darah pun berhenti mengalir. Kulit kepala yang terkoyak kembali bercantum seperti asal.

"Sekarang kamu bangun, berdiri tegak," demikian mahaguru mengeluarkan perintah kepada Maziah yang duduk melutut. Merelakan dirinya diperlakukan apa saja.

Maziah bangun dan berdiri tegak. Mahaguru menghampirinya dari arah kiri. Orang kanannya segera undur dan kembali ke tempat asalnya.

Perempuan suruhan segera menyerahkan gelas yang berisi rambut, air limau dan darah kepada mahaguru.

Saya lihat mahaguru menyambutnya dengan kain kuning. Dengan kain kuning itu juga gelas dibalut.

"Korek lubang di tempat kepala lutut kanannya menyentuh bumi. Korek kira-kira dua kaki dalam," mahaguru keluarkan arahan kepada perempuan suruhan.

"Dengan pencebak?"

"Tak payah, dengan tangan kamu sendiri."

Saya menggigit bibir, mustahil boleh mengorek tanah sedalam dua kaki lebih dengan tangan.

Orang yang mengeluarkan perintah itu, orang gila. Semua tak masuk akal. Fikir saya.

Dalam saat fikiran berputar antara logik dengan tidak, perintah mahaguru itu secara mengejut perempuan suruhan menjerit sambil menjulang kedua belah tangannya ke langit.

Rambutnya mengurai menutup wajah. Dia memukul badan dan menggaru mukanya hingga berdarah.

Dia seperti kerasukan, menghempas diri ke bumi, berguling dan menjulur macam biawak. Jari jemarinya mencakar-cakar bumi macam ayam mencari makan.

Mahaguru dan orang kanannya membiarkan sahaja perempuan suruhan berkeadaan seperti orang hilang akal. Suara jeritan perempuan beransur perlahan dan akhirnya berhenti.

Perempuan suruhan itu terus duduk bertinggung merenung tanah di mana terdapat kesan kepala lutut kanan.

Mata saya tidak berkedip merenung ke arah perempuan suruhan. Saya mahu mengikuti dengan terperinci apa yang bakal dilakukannya.

Pada hemat saya, dunia mahaguru dan orang-orangnya sungguh ganjil. Penuh misteri.

Dua tiga kali saya gosok kelopak mata. Sungguh tidak masuk akal, wajah perempuan suruhan bertukar menjadi hitam dan hodoh sekali.

Kuku di jari jemarinya menjadi panjang dengan serta merta. Saya kira, panjangnya lebih dari enam inci.

Kuku yang keras itu berwarna kuning emas tetapi warna kulit lengannya menyala macam warna biji saga.

Kiri kanan pipinya terjulur siung macam siung harimau dan kalau wajahnya diamat-amati memang ada mirip harimau kumbang.

Dengan kuku yang panjang dia terus mengorek lubang. Sesekali dia menderam macam harimau sambil mempamerkan taring yang tumbuh di kiri kanan mulutnya.

Matanya nampak merah bersinar garang merenung tajam kepada saya. Dalam beberapa saat saja dia sudah pun berjaya menggali lubang tersebut seperti apa yang diinginkan oleh mahaguru.

"Sudah."

Serentak dengan perintah itu, mahaguru terus menendang bahagian punggung perempuan suruhan.

Dan perempuan suruhan berguling-guling di bumi menahan kesakitan. Tidak memadai dengan itu, mahaguru memukul pula badan perempuan suruhan dengan buluh pagar sekuat hati.

Perempuan suruhan menggeletek macam ikan keli kena ketuk. Saya terdengar suara perempuan suruhan merintih dan menangis untuk beberapa saat.

Bila suara rintihan dan tangisan senyap, saya terdengar suara ketawa gembira dari perempuan suruhan.

Wajahnya kembali dalam keadaan asal. Dia berdiri tegak dengan sepasang matanya merenung muka mahaguru.

"Kamu sudah menjalankan tugas dengan baik," kata mahaguru kepadanya sambil menggosok badan gelas dengan kain kuning.

Perempuan suruhan menerima pujian itu dengan senyum lebar. Rasa bangga dan megah terpamer diwajahnya.

"Kita dah sampai kepada upacara penamat. Aku minta kau bacakan sumpah di depan Maziah," mahaguru meluruskan telunjuk ke wajah Maziah yang berada disisinya.

"Saya bersedia," perempuan suruhan bersuara.

"Begini, masa gelas ini berada di dalam permukaan lubang, kau bacakan sumpah itu dengan lantang," sambung mahaguru.

"Baik," lantang sekali suara perempuan suruhan yang bersedia melakukan apa saja.

Orang kanan mahaguru segera memerintahkan perempuan yang mahu ditauliahkan itu berubah tempat. Berdiri di depan lubang.

Perempuan suruhan disuruh berdiri di sisi Maziah. Mahaguru terus mengambil tempatnya berhadapan dengan perempuan yang mahu ditauliahkan.

Setelah mengatur dan mengarah mengikut apa yang dikehendaki oleh mahaguru, orang kanan kembali duduk di tempat asalnya.

"Sebenarnya, orang lain tidak seteruk kamu menjalani upacara tauliah atau tamat belajar," cukup lembut nada mahaguru. Senyum terus terukir di kelopak bibir.

"Kerana kamu pada hemat kami ada kebolehan tersendiri, aku terpaksa menambahkan beberapa ujian lagi.

"Hanya orang-orang pilihan saja yang mendapat ujian macam ni. Aku yakin kamu akan menjadi anak murid aku yang berjaya. Boleh mengembangkan ilmu yang kamu tuntut," sambung mahaguru.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 161/284

BACA: SBDJ Siri 160: Menghadapi Ujian Mahaguru
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon