Wednesday, February 05, 2020

SBDJ Siri 121: Tetamu Cacat

SBDJ Siri 121: Tetamu Cacat

Datuk buka baju teluk belanga lalu disangkutkan pada paku dinding. Seperti selalu, Datuk terus duduk bersandar sambil mendirikan lutut sebelah kanan. Beberapa saat kemudian nenek pun meletakkan secawan kopi pahit di depannya. Datuk tidak segera meminumnya. Dia hanya melihat asap nipis di permukaan cawan.

Toyol jadi-jadian

"Ramai orang di masjid?"

"Tak seberapa," Datuk terus menghirup kopi pahit.

"Begitulah selalunya, tak ramai orang yang mahu belajar di masjid, orang lebih suka tengok Fun Fair," sambung Datuk dengan nada kesal.

Cara kebetulan pula di pekan kecil sudah seminggu diadakan Fun Fair. Macam-macam pertunjukan diadakan yang dapat memikat hati orang-orang di tempat saya.

"Memang begitu adat hidup. Dunia dilebihkan, akhirat buat endah tak endah. Maklumlah, dunia nampak, alam akhirat tak nampak," ujar nenek lalu memicit buah betisnya.

Datuk tidak memberikan sebarang komentar terhadap kata-kata yang nenek tuturkan. Dengan tenang Datuk mengangkat cawan lalu menghirup kopi pahit. Saya sudah pun merebahkan badan di lantai, sejak Datuk meneguk kopi pahit pertama.

Sengaja saya rapatkan kedua belah kelopak mata. Biar nenek dan Datuk menyangka yang saya sedang tidur.

"Rasa-rasanya, aku nak ke Jambi. Rindu nak tengok kaum keluarga, saudara mara di sana. Aku rindukan tanah Jambi," hasrat yang Datuk luahkan itu membuatkan saya membuka kedua belah kelopak mata dengan luas.

"Kita faham niat awak, kita tak menghalangnya, hubungan kaum keluarga, kata orang macam air sungai, di cincang tak putus, Tapi, ada...," nenek tidak meneruskan kata.

"Ada apa?" Datuk pun menegakkan badannya.

Biji matanya tepat merenung wajah nenek. Seolah-olah memaksa nenek supaya menyambung segera kata-kata yang terputus itu.

"Awak tu, tak sekuat dulu lagi. Awak bukannya muda, cuma itu saja yang saya nak ingatkan," nenek pun angkat muka lalu bola matanya terpaku ke wajah Datuk.

"Awak takut saya mati?"

"Tak pula, kerana saya tahu, mati tu adalah hak Allah."

"Habis apa yang awak bimbang dan takutkan."

"Awak nak ke Jambi tu nak naik apa, kapal terbang atau kapal laut?" soal nenek lagi.

Tidak ada jawapan dari Datuk. Dia hanya tunduk merenung lantai sambil menghela nafas perlahan-lahan.

Ternyata seperti ada sesuatu yang bermain dalam kepala Datuk, ekoran dari pertanyaan yang nenek kemukakan.

"Nak ikut apa?" ulang nenek lagi.

Tidak ada jawapan dari Datuk dan baki air kopi pahit dalam cawan segera dihirupnya. Kemudian Datuk lunjurkan kaki kanannya.

Datuk seperti keberatan untuk menjawab pertanyaan dari nenek, macam ada sesuatu yang ingin Datuk sembunyikan dari perempuan yang tertonggok di depannya.

Saya yang sedang baring terus pasang telinga. Saya juga ingin mendengar jawapan dari Datuk.

Bunyi cengkerik berdendang di luar cukup rancak. Angin yang bertiup terus menjatuhkan reranting yang kering ke bumi. Suara kucing jantan cukup nyaring memanggil kucing betina.

"Aku nak ke Jambi dengan kapal laut," secara mengejut Datuk bersuara. Kaki yang di lunjur dirapatkannya kembali. Silanya diperkemas.

"Sungguh-sungguh awak nak ke Jambi."

"Tentu," Datuk anggukkan kepala.

"Bila agaknya awak nak pergi?"

"Bila semua urusan selesai baru sedap berjalan."

"Pergi seorang saja?"

"Berdua."

Nenek terus membeliakkan biji matanya.

"Awak nak bawa saya?"

Tanya nenek, cepat-cepat Datuk gelengkan kepala.

Nenek ambil sirih, pinang, kapur dan gambir. Semuanya disatukan lalu disumbat dalam gobek. Dengan tenang nenek menggobek sirih.

Saya kira sambil menggobek sirih, nenek memerah otak memikirkan siapakah kawan karib Datuk yang bakal menemaninya ke tanah Jambi.

"Siapa kawan awak tu," nenek berhenti menggobek sirih.

"Siapa lagi...," Datuk terus diam.

Dia menggeliat untuk menghilangkan rasa lenguh di pangkal belikatnya.

"Agaknya awak nak bawa cucu kita, si Tamar," nenek terus menyerkap jarang.

"Memang begitulah hajat di hati, mahu aku perkenalkan si Tamar dengan kaum keluarga di seberang. Aku tak mahu dia kehilangan akar umbi keturunannya. Biar dia kenal siapa dirinya dan dari mana asal-usulnya," Datuk bersuara penuh semangat.

Bila Datuk mengakui yang dia memang berhasrat mahu membawa saya ke tanah seberang. Saya semacam tidak sedar terus bangun dan duduk bersila merenung muka Datuk dan nenek.

Saya masih mengharapkan kata-kata selanjutnya yang bakal keluar dari kedua kelopak bibir Datuk dan nenek.

"Wah! tengok si Tamar ni, sebut pasal nak berjalan dari tidur terus bangun," nenek menghalakan matanya ke arah saya.

"Maknanya dia pura-pura tidur, bukan apa tu, dia nak mengelakkan dari disuruh membaca Quran. Perbuatan macam tu tak ada untungnya Tamar, apa faedahnya menipu diri sendiri," sampuk Datuk tanpa merenung ke arah saya.

Tebal rasa kulit muka bila kena sindir macam tu. Apa mahu dikata, salah sendiri terpaksa ditanggung malu.

"Pergi tidur dalam bilik," herdik Datuk.

"Baik tuk," saya segera akur dengan cakap Datuk.

REBAH

Nenek hanya melihat telatah saya yang tergesa-gesa masuk ke bilik tidur. Saya tidak merebahkan diri di atas katil. Saya lekapkan telinga kanan ke dinding untuk mengikuti perbualan selanjutnya antara Datuk dan nenek.

"Budak tu cukup nakal, makin besar makin menjadi nakal," itulah komen nenek terhadap saya.

"Budak lelaki memang begitu, suka membantah cakap. Kalau kena cara cakap dan minta mahu mendengar kata. Suruh apa saja, sanggup dibuatnya. Tamar tu boleh dibentuk lagi untuk menjadi manusia," Datuk membela saya.

Saya senyum sendirian, megah kerana ada orang yang bersedia mempertahankan diri saya. Bukan kepalang gembiranya rasa di hati, bila Datuk memuji saya di depan nenek.

Dan saya mula faham, begitu tinggi sekali harapan Datuk pada saya. Keseronokan yang melonjak-lonjak terus terbantut, bila teringatkan ungkapan dari Datuk berbunyi: Tamar tu boleh dibentuk lagi untuk jadi manusia.

Wah! ini sudah keterlaluan. Apakah batang tubuh saya yang wujud ini, bukannya manusia Apakah saya ini binatang yang bertubuhkan manusia?

Datuk sudah melampau, secara mendadak saya jadi marah. Kalau ikutkan hati, mahu rasanya papan dinding saya tumbuk, biar tercabut.

Dalam mengawal perasaan itu, saya cuba membaca surah Al-Fatihah tiga kali. Ketenangan datang dalam diri saya dan saya mula memikirkan ada maksud tertentu dari ungkapan yang Datuk luahkan itu.

Telinga terus saya lekapkan ke dinding. Saya mengalami kekecewaan yang amat sangat. Datuk dan nenek tidak lagi memperkatakan tentang hal yang ada hubungannya dengan niat Datuk mahu pulang ke Jambi.

Mereka membawa persoalan lain, mereka memperkatakan tentang tanah sawah, kebun getah, amal ibadah dan hal-hal yang bersangkut-paut dengan kematian. Saya cukup hampa dengan tindakan Datuk dan nenek itu.

Saya pun rebahkan sekujur tubuh atas katil, saya mula memikirkan tentang perjalanan ke Jambi dengan kapal laut membelah Selat Melaka.

Kalaulah benar, Datuk bersedia membawa saya ke tanah Jambi, saya akan memujuk Datuk agar membawa saya ke Palembang untuk melihat puncak Bukit Seguntang tempat Wan Empuk dan Wan Malini berhuma padi.

Saya juga teringin sekali mahu melihat Sungai Mati yang membelah Palembang. Semoga cita-cita dan impian terlaksana.

"Bolehkah dipercayai cakap Datuk tu?"

Timbul pertanyaan dalam hati saya di malam yang dingin. Saya terdengar bunyi jam gantung berdenting sepuluh kali. Perbualan Datuk dengan nenek tidak serancak tadi.

Saya menguap, sekejap saya melentang, sekejap saya meniarap dan sekejap mengiring. Entah mengapa saya resah tak menentu.

"Agaknya, saya terpengaruh dengan cerita Datuk mahu membawa saya ke Jambi, inilah sebabnya saya resah tak menentu dan tak mahu tidur," begitulah saya membuat ramalan dalam hati.

Saya terus bangun duduk atas katil sambil memeluk sepasang lutut. Macam-macam yang saya fikirkan tentang kampung halaman Datuk di Jambi.

Suburkah bumi Jambi dengan tumbuhan. Sombongkah anak buah Datuk. Kasarkah gerak-geri mereka dan celuparkah mulut anak buah Datuk di sana.

Dapatkah saya menerima mereka sebagai kaum keluarga yang masih mempunyai pertalian darah dengan Datuk, sedangkan saya tidak pernah mengenali mereka secara dekat, tidak mesra.

Mungkin cara mereka berfikir dengan saya tidak sealiran. Jangan-jangan bahasa yang diucapkan tidak saya fahami. Dapatkah saya menerima mereka saya yang telah dipisahkan oleh Selat Melaka. Semuanya bergolak dalam dada saya.

"Di sana ada sungai, ada jambatan, nanti kau dah besar tuk bawa ke sana," teringatkan dialog yang terjadi antara saya dengan Datuk ketika saya mula bersekolah dulu.

"Sungai itu apa namanya tuk?"

"Sungai Batanghari."

"Jambatannya nama apa tuk?"

"Aur Duri, dibuat dari besi, nantilah kamu besar Datuk bawa kamu ke sana."

"Lembu di sana, serupa dengan lembu di sini tuk."

"Tentulah sama," Datuk terus ketawa panjang.

Barangkali dia merasa amat lucu dengan pertanyaan saya itu.

Saya tersenyum mengingati ketololan diri sendiri. Saya menguap panjang. Dan mata saya terasa amat berat sekali.

Saya hilang keinginan untuk mengikuti perbualan antara Datuk dengan nenek, saya terus menarik gebar untuk menghilangkan rasa dingin yang menguasai sekujur tubuh.

Dan sesungguhnya, setelah itu saya tidak tahu apa yang berlaku.

RUANG

Bila saya bangun untuk menunaikan solat Subuh, saya dapati ada seorang lelaki duduk di ruang tengah.

Lelaki itu memakai songkok hitam, berbaju cekak musang dengan kain I membalut sebahagian dari dadanya. Memakai pelekat berpetak empat, macam petak papan catur.

Waktu saya lalu di sisinya, lelaki itu tidak angkat muka. Tunduk merenung lantai macam orang bertafakur. Datuk berdiri di kirinya dengan pakaian yang lengkap untuk berjemaah Subuh di masjid.

Kerana dia tidak menghiraukan saya, saya pun tidak menegurnya. Saya teruskan perjalanan ke bilik air. Setelah mandi dan ambil air sembahyang, lagi sekali saya lalu diruang tengah.

Saya dapati lelaki dan Datuk sudah tiada lagi di situ. Pada hemat saya, pasti kedua-duanya menuju ke masjid.

Setelah menunaikan solat Subuh, saya terus mendapatkan nenek yang sedang menjerang air di dapur.

"Ada orang baru datang ke rumah kita nek? siapa orang tu?" saya kemukakan soalan pada nenek.

Sakit juga hati bila nenek buat tidak kisah dengan pertanyaan yang saya ajukan padanya. Saya ulangi pertanyaan itu beberapa kali, barulah nenek bersuara.

"Entah, aku tak kenal siapa dia, Tamar."

"Masa bila dia datang nek?"

"Kalau tak silap dekat pukul sebelas malam tadi. Pada mulanya Datuk kamu terdengar bunyi orang berjalan di luar, tidak lama kemudian, pintu rumah kita diketuk berkali-kali," nenek memperjelaskan cerita sebenar dengan harapan keraguan yang berada dalam hati saya akan berakhir.

"Kemudian tuk suruh dia masuk. Bukan begitu nek?" tingkah saya, nenek pun segera anggukkan kepala.

"Itu silap besar, membenarkan orang yang kita tak kenal bermalam di rumah kita," saya luahkan protes.

"Tuk kamu bukannya bodoh, dia fikir buruk baiknya dulu sebelum menerima orang tu bermalam di sini. Kau tahu Tamar, orang tu cacat."

"Cacat," saya terkejut besar lalu membeliakkan biji mata.

"Ya," angguk nenek.

"Tadi saya nampak elok sempurna."

"Kamu tengok sekali lalu, macam mana kamu boleh kata begitu," dari nada suaranya itu, ternyata nenek kesal dengan sikap saya.

Buat beberapa saat saya tidak bersuara. Biarkan perasaan nenek kembali tenang. Kalau banyak soal nanti dia naik darah. Kalau nenek sudah naik darah nanti puntung kayu api naik ke muka saya.

Nenek buka tingkap bahagian dapur. Cuaca di luar nampak samar-samar. Kokok ayam masih kedengaran sekali-sekala. Di kaki langit ada kilau cahaya yang mula bangkit.

"Apa cacatnya nek?"

Nenek menarik nafas lambat-lambat. Di wajahnya terpancar rasa simpati yang amat dalam terhadap tetamu yang kurang saya restui itu.

"Dia jalan merangkak, ampun maaf cakap, berjalan macam biawak."

"Pelik, kenapa macam tu. Apa kata tuk tentang cara dia berjalan tu nek," saya berminat sekali untuk mengetahui keganjilan yang terjadi pada diri lelaki tersebut.

"Tak ada apa-apa katanya, cuma dia kesian saja."

"Hairan juga saya, macam mana dia terus datang ke rumah kita nek?"

"Itu kau kena tanya tuk kamu, dia melayan orang tu bercakap berjam-jam malam tadi. Lepas aku menghidangkan air kopi dan kuih, aku terus masuk bilik, aku mengantuk," tutur nenek dengan tenang.

Nenek terus taruh kopi dan gula ke dalam teko lalu disusuli dengan air panas. Nenek kacau air panas dengan sudu hingga kopi dan gula bersatu.

Bau air kopi yang menyegarkan itu terus menusuk lubang hidung, saya kian terangsang untuk minum kopi.

"Kamu minum dulu."

Nenek tuang kopi panas ke dalam cawan. Tanpa membuang masa lagi saya terus menghirupnya.

"Kalau nak makan goreng pisang tunggu sekejap lagi," ujar nenek lagi sambil mengangkat goreng pisang dari kuali dan diletakkan atas para dengan tujuan untuk menyejukkannya.

"Tak apa nek, dapat air kopi ni pun dah cukup baik," kata saya.

"Baiknya kamu pagi ni Tamar," nenek menyindir.

"Saya cakap ikhlas nek, nenek buat goreng pisang ni untuk orang cacat tu?"

"Ya," angguk nenek.

Tanpa diminta, sambil bercerita bagaimana tetamu cacat itu datang. Pada mulanya, Datuk keberatan mahu mengizinkan tetamu cacat itu bermalam di rumah.

Tetapi, setelah dirayu dan diterangkan tujuan sebenarnya, barulah Datuk membenarkan tetamu cacat itu masuk ke rumah.

"Apa alasannya nenek?" saya memotong cakap nenek.

"Katanya, sudah berbulan-bulan dia mencari rumah Datuk kamu. Dia mendapat tahu dari orang tertentu yang Datuk kamu berkebolehan, kerana itu dia mencarinya."

"Waktu malam datang ke rumah," cemuh saya.

"Begitulah, kalau dah berhajat."

"Orang mana nek?"

"Entah, nenek tak tahu."

"Hum..." keluh saya.

Saya terus minum baki kopi panas yang masih ada dalam cawan. Saya kira, selesai saya minum nanti nenek akan menyambung kembali cerita tentang tetamu cacat tersebut.

SALAH

Perkiraan saya tidak salah lagi. Sebaik saja saya meletakkan cawan atas meja. Nenek duduk bersila di depan saya.

"Khabarnya orang jauh," nenek memulakan cerita.

Ternyata cerita yang mahu bermula itu, mati setakat itu saja. Disekat oleh kepulangan Datuk dan tetamu cacat.

"Bukakan pintu Tamar, mereka dah balik dari masjid," suruh nenek.

Tanpa tangguh-tangguh lagi saya menerpa ke pintu dengan harapan mahu melihat tentang kecacatan yang dialami oleh tetamu baru itu.

Pintu saya buka, saya lihat Datuk tercegat di halaman, sedangkan tetamunya merayap memanjat tangga.

Tetamu itu menggunakan kekuatan sepasang tangannya untuk mengheret tubuhnya naik tangga rumah. Apa yang saya lihat membuat saya tergamam dan terkejut.

"Kenapa tercegat di situ!" pekik Datuk.

Saya terkejut dan terus menuju ke ruang dapur mendapatkan nenek yang sudah mengaturkan piring untuk goreng pisang dan cawan atas talam.

"Apa yang bising tu, Tamar?" nenek renung muka saya.

"Tuk marah saya berdiri di depan pintu."

"Tak manis melihat orang cacat macam tu, sepatutnya lepas kamu buka pintu, kamu berubah ke tempat lain."

"Kesian dia, nek."

"Sekarang kamu dah tahu kenapa tuk kamu membenarkan dia bermalam di rumah kita," tutur nenek dengan renungan yang sayu ke arah dinding dapur.

Mungkin ada sesuatu yang bermain dalam tempurung kepala nenek.

Bila nenek sudah yakin yang Datuk dan tetamu cacat sudah sampai dan duduk di ruang tengah. Nenek pun mengarahkan saya supaya membawa makanan pagi ke ruang tengah.

Cakapnya segera saya patuhi. Setelah hidangan itu diletakkan, saya segera angkat kaki untuk ke dapur kembali.

"Tamar."

Langkah saya terhenti. Wajah Datuk saya renung.

"Kamu duduk di sini, minum sama kami," sambung Datuk lagi.

"Tapi cawannya ada dua saja tuk," saya mencari helah.

"Nanti aku suruh nenek kamu bawa lagi dua cawan," Datuk segera bangun menuju ke ruang dapur.

Dan datang kembali ke ruang tengah bersama dengan nenek membawa dua cawan kosong.

Saya gagal menjauhkan diri dari Datuk. Saya tidak ada pilihan lain lagi. Sama ada suka atau tidak saya terpaksa akur dengan cakapnya.

Saya duduk dekatnya, tetamu cacat tunduk merenung lantai, dia kelihatan seperti takut mahu melihat batang hidung saya.

Bila saja nenek selesai menuangkan air kopi ke dalam cawan, dia segera beredar ke dapur.

Saya sandarkan badan ke dinding sambil mengarahkan sepasang anak mata ke tingkap yang terdedah. Saya lihat suasana di luar cukup cerah.

Matahari yang kian meninggi terus memancarkan cahaya, kicau burung bersahut-sahutan.

"Silakan minum, Khoja Lisut."

"Ya, terima kasih."

Tetamu cacat segera angkat cawan lalu menghirup kopi. Saya mengalami kejutan yang kedua. Bibir tetamu cacat kelihatan terbelah dua dan lidahnya berwarna putih. Dia tidak menghirup kopi tapi menjilat.

Mungkin kerana menyedari yang perbuatannya jadi tumpuan saya, tetamu cacat segera berhenti minum kopi. Dia angkat muka lalu renung ke arah saya.

"Jangan terkejut nak, memang begini cara pak cik minum," katanya tersekat-sekat.

"Kerana ini jugalah pakcik dibuang keluarga, ditinggalkan oleh anak bini pak cik," sambungnya dalam nada suara yang penuh kehampaan.

"Khoja Lisut, tak usahlah bercerita apa-apa pada cucu saya tu, minum dan makan dulu," Datuk bertindak kerana dia menyedari kalau dibiarkan Khoja Lisut meneruskan percakapan, mungkin Khoja Lisut akan menangis.

Bagi Datuk memang pantang tujuh keturunan, kalau orang bertandang menangis pagi di rumahnya.

Perbuatan itu seolah-olah menyuruh rezeki lari jauh dari tuan rumah di samping menggambarkan yang tuan rumah tidak bersyukur pada Tuhan yang menjadikan waktu pagi yang indah.

Selain dari itu, perbuatan tetamu menangis pagi di rumah orang yang didatangi seolah-olah mendoakan tuan rumah dan keluarganya supaya hidup dalam bahaya dan pendek umur.

Entah dari mana pantang larang dan petua itu dikutip oleh Datuk.

Kata nenek, petua dan pantang larang itu telah diwarisi oleh Datuk dari nenek moyangnya. Entah berapa keturunan.

Apakah pantang larang, petua dan petunjuk sedemikian mesti dilanjutkan di abad-abad yang akan datang? Ingin saya bertanya demikian pada Datuk. Tetapi, tidak pernah saya ajukan, saya takut dimarahinya.

Sarapan pun berakhir, cawan dan piring kosong saya bawa ke dapur. Saya segera memberitahu Datuk yang saya mahu menemani nenek ke kebun pisang.

"Tak payah, nenek kamu boleh uruskan," sanggah Datuk.

"Saya nak tolong dia petik mentimun, cabai dan sayur."

"Tak payah, nenek kamu boleh buat."

"Saya nak tengok jerat di tepi hutan."

"Biar aku beri tahu nenek kamu untuk menengoknya."

"Eh, saya nak tengok bubu di sungai."

"Semuanya sudah aku cakapkan pada nenek kamu, dia boleh selesaikan kerja tu, kita cuma tunggu waktu makan saja," Datuk begitu serius.

Apalagi mahu saya katakan. Semua helah dan dalih ditolak mentah-mentah oleh Datuk.

"Tamar, hari ini kamu kena tolong Datuk dari pagi hingga petang, boleh jadi sampai ke malam," cukup tenang Datuk bertutur. Matanya terpaku ke wajah saya.

"Pertolongan apa tu tuk."

"Sekarang bukan masanya kamu nak bertanyakan hal itu, tunggu saja perintah aku," saya dapat merasakan ada riak kemarahan dalam hati Datuk berdasarkan pada tekanan suaranya.

RANCAK

Bila melihat Datuk dalam keadaan demikian, saya segera mengambil sikap membisu, tunggu serta lihat. Apa juga perintahnya pasti saya turut.

Saya perhatikan, sejak tadi Datuk tidak begitu rancak berbual dengan tetamu cacat. Datuk lebih banyak termenung sambil melihat ke dada langit, macam ada sesuatu yang difikirkannya. Sesekali wajah Datuk berkerut dan cemas.

"Kita ke kebun pisang, duduk berborak di pondok," Datuk luahkan arahan.

"Pak cik Khoja macam mana, tuk?"

"Ha, ikut sama."

Saya menarik nafas panjang. Terbayang di kepala bagaimana susahnya si tetamu cacat merangkak ke sana.

Apa Datuk mahu menyeksanya? Tidakkah Datuk tahu jarak antara kebun pisang dengan rumah hampir satu batu. Ini kerja gila.

"Kita pimpin dia," Datuk memecahkan kebuntuan dalam kepala saya.

Tapi, cara itu juga tidak praktikal. Memimpin orang cacat sejauh itu memang menyulitkan.

"Siap," Datuk renung saya.

"Baik," kepala segera saya angguk.

Datuk masuk ke kamarnya dan keluar dengan memakai seluar hitam. Kain pelekat besar dijadikannya samping.

Bila sudah berpakaian demikian, ertinya ada tugas tertentu yang bakal dilaksanakan oleh Datuk.

Saya lihat Datuk memasukkan kain lilit kepalanya ke dalam saku baju. Dan dia mengenakan kopiah putih di kepala.

"Ayuh, tunggu apa lagi, Tamar."

Saya segera turun, begitu juga dengan tetamu cacat terpaksa menyusur tangga dengan hati-hati. Bila kami sampai ke bawah baru Datuk turun. Saya bersedia mahu memimpin tetamu cacat.

"Tak payah," Datuk menolak saya ke tepi sebelah kanan.

Datuk terus membongkok lalu mengangkat tetamu cacat, diletakkan atas kedua belah bahunya.

"Aku bawa dia," katanya pada saya.

Saya anggukkan kepala. Mungkin kerana tidak mahu perbuatannya diketahui oleh orang-orang kampung, Datuk mengambil keputusan ikut jalan pintas yang agak sukar menuju ke kebun pisang.

Terpaksa melalui denai di pinggir belukar. Saya sering saja tersepak akar-akar pokok dan ada kalanya saya terjatuh.

Datuk tidak kisah dengan apa yang terjadi pada saya. Dia jalan terus seakan-akan berlari, saya tercungap-cungap memburunya dari belakang.

Sampai saja di pondok pisang sesikat Datuk terus letak Khoja Lisut atas lantai pondok yang dibuat dari buluh. Khoja Lisut segera mengisut ke tengah pondok. Datuk terus menuju ke perigi membasuh muka. Saya naik ke pondok.

"Kenapa tuk bawa pak cik Khoja ke sini."

"Memenuhi syarat."

"Syarat apa?" saya bertambah hairan.

"Syaratnya, pak cik boleh menceritakan dari mana pak cik datang dan sebab-sebab pak cik jadi begini di pondok yang berlantaikan buluh, atap rumbia dan berdinding separuh."

"Begitu," saya menarik nafas dalam-dalam. Syarat-syarat yang dikehendaki itu ada di pondok pisang sesikat yang didirikan oleh Datuk.

"Di rumah tak boleh ke, pak cik?" saya mula mencungkil rahsia darinya sebelum Datuk naik ke pondok.

"Tak boleh, kalau buka rahsia di rumah yang elok, alamatnya pak cik bertambah susah," jelas Khoja Lisut.

Selesai saja Khoja Lisut bercakap, Datuk pun sampai dari perigi lalu naik ke pondok.

Beberapa minit kemudian nenek muncul membawa beberapa helai pucuk pisang yang masih hijau serta kendi berisi air. Semua barang-barang itu diserahkan pada Datuk.

Saya kira perkara ini bukannya kebetulan tetapi, telah dirancang lebih awal antara Datuk dengan nenek. Mereka merahsiakan perkara ini dari saya.

Semasa penyerahan barang-barang itu dilakukan, Datuk dan nenek tidak bertentang wajah. Masing-masing renung ke arah yang berlainan. Tidak bercakap walaupun sepatah.

Nenek meninggalkan kami, dia meneruskan tugasnya memetik putik jagung, mentimun, daun salang, cekur manis.

Bila tugas itu selesai nenek turun ke sungai melihat lukah. Semuanya itu diadunkan menjadi bahan makanan tengah hari yang amat menyelerakan.

"Kamu macam mana sekarang Khoja? sudah bersedia untuk menceritakan segala-galanya seperti yang kamu janjikan, semua syarat yang kamu minta sudah aku sediakan," Datuk pun mengemaskan silanya.

"Saya sudah bersedia."

"Tamar, kamu duduk di sini, barangkali ada perkara yang dapat kamu bantu aku," begitu tajam biji mata Datuk menyorot wajah saya.

Cepat-cepat saya mengangguk.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 121/284

BACA: SBDJ Siri 120: Diganggu Monyet Besar
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

5 Negara Yang Paling Taksub Menjalankan Hukuman Mati

5 Negara Yang Paling Taksub Menjalankan Hukuman Mati

Hukuman mati telah lama dilaksanakan, namun ada negara tidak lagi melaksanakannya, tetapi terdapat juga yang kelihatan seperti gemar untuk menjatuhkan hukuman mati. Malah ada yang sewenang-wenangnya menggunakan kuasa pemerintahan bagi menjalankan hukuman mati.

Negara dengan Hukuman Mati

Kami kongsikan 5 negara paling terkenal dengan hukuman mati.

1. China

Apabila bercakap mengenai rakyat China yang dihukum mati, Amnesty International sudah berputus asa terhadap angka dan hanya meletakkan simbol "+".

Ini kerana pelaksanaan hukuman mati di China sangat bergantung kepada hukuman rahsia, pengakuan paksa dan perkara-perkara lain yang menimbulkan beberapa persoalan serius mengenai sistem keadilan negara.

Sesetengah laporan juga menunjukkan bahawa pengambilan organ juga berlaku.

China mengklasifikasikan hukuman mati sebagai rahsia negara. Mereka tidak mendedahkan nama-nama pesalah yang dihukum mati dan dengan ini pihak luar tidak dapat menganggarkan jumlah dengan tepat.

Malah, ahli keluarga pesalah juga hanya mengetahui tentang hukuman ini setelah ia dilaksanakan.

Anggaran sangat konservatif mengatakan bahawa China melaksanakan hukuman mati terhadap kira-kira 2,000 orang setiap tahun dan jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.

Hanya satu perkara yang pasti iaitu, China membunuh lebih ramai orang setiap tahun, berbanding gabungan negara-negara lain di seluruh dunia.

2. Korea Utara

Tidak ada yang mengetahui dengan tepat berapa ramai rakyat Korea Utara dihukum mati setiap tahun tetapi mungkin anggaran yang paling hampir adalah "ramai".

Namun, perkara ini lebih menyeramkan apabila anda tidak hanya fokus kepada jumlah mereka yang dihukum mati, tetapi juga kepada cara hukuman dilaksanakan.

Walaupun negara ini secara teknikalnya menyenaraikan kaedah tali gantung dan ditembak sebagai cara paling umum, undang-undang Korea Utara membenarkan hampir semua cara asalkan ia membunuh, termasuk diletupkan dengan artileri anti-pesawat!

Walaupun kebanyakan hukuman mati di Korea Utara tidak diketahui dunia luar, negara ini terkenal dengan hukuman mati di khalayak ramai.

Banduan yang melarikan diri telah melaporkan bahawa sesebuah penjara boleh melaksanakan sehingga 20 hukuman mati setiap tahun untuk menjadi contoh kepada orang lain.

3. Iran

Iran boleh dikatakan sebagai sebuah negara yang "sangat gembira" dengan pelaksanaan hukuman mati, dengan lebih daripada 500 hukuman mati pada 2017 sahaja yang menyumbang kepada 51% daripada hukuman mati di dunia.

Negara ini lebih suka hukuman gantung sebagai kaedah pelaksanaan utamanya, dan Amnesty International melaporkan bahawa aspek hukuman yang paling malang tentang hukuman mati Iran adalah ia dapat diterapkan khususnya terhadap warga belia.

Pesalah remaja seusia 9 tahun bagi perempuan dan 15 tahun bagi lelaki boleh dijatuhi hukuman mati dan Iran tidak mempunyai masalah untuk melaksanakannya.

Di antara tahun 2005 dan 2015, sekurang-kurangnya 73 pesalah muda berhadapan dengan tali gantung.

Ketika ini, PBB menganggarkan bahawa sekurang-kurangnya 160 rakyat Iran yang berusia di bawah 18 tahun sedang didakwa atas jenayah dilakukan, menunggu masa untuk dihukum mati.

4. Arab Saudi

Arab Saudi melaksanakan hukuman mai terhadap 146 orang pada tahun 2017 dan tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menghentikannya.

Selama 4 bulan pertama tahun 2018, negara ini memenggal kepala 48 pesalah.

Arab Saudi adalah satu-satunya negara yang masih menjalankan hukuman pancung di khalayak ramai.

Antara kesalahan dan jenayah orang yang dijatuhi hukuman mati termasuklah rompakan, dadah, rompakan bersenjata dan juga berzina.

5. Iraq

Iraq menjatuhkan hukuman mati terhadap sekurang-kurangnya 125 orang pada tahun 2017, walaupun hukuman mati secara besar-besaran dan lesapnya rejim Saddam Hussein adalah perkara lepas, namun negara ini masih meneruskan hukuman mati.

Skop jenayah yang tertakluk kepada hukuman mati menjadi semakin luas selama 20 tahun kebelakangan ini dan beberapa pemerhati telah menuduh Iraq dengan dasar "pembersihan penjara", iaitu menggunakan hukuman mati untuk membersihkan penjara dari ribuan tahanan.

Hukuman mati di Iraq boleh dilaksanakan dengan sangat cepat terutamanya jika jenayah yang disyaki adalah cukup berat.

Seorang wanita berusia 42 tahun tanpa penasihat undang-undang dibicarakan pada tahun 2018 dan hanya diberikan 2 minit untuk mempertahankan dirinya sebelum dihukum mati dengan tali gantung.

Sekumpulan wanita yang disyaki terlibat dengan ISIS dan hakim hanya mengambil masa 2 jam untuk membicara dan menjatuhkan hukuman mati terhadap 14 wanita.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Tuesday, February 04, 2020

Sejarah Islam Di Negara Jepun

Sejarah Islam Di Negara Jepun

Perbincangan mengenai agama Islam di Asia Timur khususnya Jepun, kurang meluas dikalangan pengkaji sejarah, berbeza dengan negara jiran, China, mungkin disebabkan populasi masyarakat beragama Islam di China jauh lebih besar berbanding Jepun.

Masjid Tokyo
Masjid Tokyo.

Masyarakat Jepun mempunyai kepercayaan asal iaitu Shinto dan majoriti rakyatnya berpegang dengan agama itu.

Di Jepun, sebanyak 54.1 peratus penduduknya menganut agama Shinto, 40.5 peratus beragama Buddha, 0.7 peratus beragama Kristian dan 4.7 peratus agama minoriti lain seperti Taoisme, Islam, Yahudi dan lain-lain.

Rakyat Jepun pertama yang menunaikan fardu haji di Mekah adalah Kotaro Yamaoka, yang memeluk agama Islam pada tahun 1909, dengan nama Islamnya, Omar Yamaoka.

Dengan bantuan seorang penulis kelahiran Russia, Abdurresid Ibrahim, Kotaro menyebarkan Islam kepada penduduk Jepun selepas pulang dari Tanah Suci.

Pada waktu sama, Bumpachiro Ariga, rakyat Jepun yang pergi ke Bombay, India, untuk berdagang memeluk Islam di bawah pengaruh masyarakat Islam tempatan di Bombay dan dikenali dengan nama Ahmad Ariga.

"Terdapat banyak pertubuhan Islam berdaftar yang terdapat di Jepun antaranya; Islamic Center Japan, Japan Muslim Association, Japan Muslim Peace Federation, Japan Islamic Trust, Islamic Circle of Japan, Kanazawa Muslim Society, Tsukuba Muslim Resident Association, Islamic Culture Center Sendai dan Muslim Association of Kitakyush.

Elemen penting dalam agama dan kehidupan komuniti Muslim adalah masjid, tempat umat Islam dapat berkumpul.

Masjid Kobe

Masyarakat Muslim Turko-Tatar mula menjalinkan perhubungan dengan masyarakat India, Cina dan warga Asia Tenggara yang tinggal di kawasan mereka untuk membina masjid.

Akhirnya, Masjid Kobe dibina pada 1935, diikuti Masjid Tokyo yang dirasmikan pada 12 Mei 1938.

Pada tahun 2010, sebuah masjid diberi nama Osaka Masjid dibina, salah satu masjid terbesar di Osaka.

Masjid ini dilengkapi kedai menjual makanan halal di tingkat satu, dewan solat di tingkat dua dan dewan solat perempuan di tingkat tiga.

Bantuan Kerajaan

Kerajaan Jepun mula menunjukkan minat terhadap Islam dengan menaja dari sudut kewangan sepenuhnya untuk Persatuan Kebudayaan Islam (Isuramu Bunka Kyokai) yang ditubuhkan pada 1937.

Kementerian Luar Negeri mula menerbitkan jurnal tersendiri berkenaan Hal Ehwal Islam (Kaikyo Jijo) pada 1938.

Pada tahun sama, ditubuhkan Greater Japan Muslim League merangkumi institusi penyelidikan untuk Pengajian Islam dan Institusi Penyelidikan Asia Timur yang bertanggungjawab ke atas sejumlah besar kajian di Asia Barat dan Islam.

Sejak 1970, terdapat kecenderungan Jepun terhadap Dunia Islam sehingga membawa kepada pertambahan jumlah masyarakat Jepun memeluk Islam.

Situasi itu dikenali sebagai Islamic Boom diikuti peristiwa Krisis Minyak pada 1973.

Kepentingan minyak dan negara Islam yang menjadi pengeluar utama minyak kepada Jepun diakui amat penting dan media massa Jepun memberikan publisiti sepenuhnya kepada Islam dan Dunia Islam.

Pada saat mengetahui Islam melalui peristiwa itu, ramai masyarakat Jepun mula memeluk Islam sama ada memeluk Islam secara ikhlas selain terdapat juga dalam kalangan mereka memeluk Islam kerana ikutan pada masa itu.

Pada tahun 1980, semakin banyak tanda positif Islam mula bertapak di Jepun, diikuti migrasi ke Jepun oleh ribuan pekerja dari Asia seperti Pakistan, Bangladesh, Iran, Indonesia dan Malaysia yang menyahut masalah kekurangan tenaga buruh di Jepun.

Ada antara mereka berjaya mendapatkan tempat tinggal secara sah di sana dengan mengahwini wanita Jepun.

Menjelang tahun 1990, ramai pelajar dari negara Islam mendaftar di kolej dan universiti di Jepun.

Sebahagian daripada mereka mencari pekerjaan di Jepun dan menetap di sana selepas tamat pengajian.

Jepun juga adalah sebuah negara yang tidak mengehadkan penduduknya berpegang hanya pada satu agama walaupun majoriti penduduknya menganut agama Shinto dan Buddha.

Sebahagian daripada mereka berpegang kepada falsafah Konfusianisme, Taoisme, Kristian dan tidak ketinggalan juga Islam.

Sejarah Kedatangan Islam Di Jepun

Sejarah mencatatkan kedatangan Islam di Jepun bermula ketika abad ke-14 apabila Jeneral Lan Yu (Dinasti Ming) yang beragama Islam mempunyai hubungan dengan seorang pembuat pedang di Jepun.

Jeneral Lan Yu dikatakan memiliki 10,000 pedang Samurai Jepun. Laksamana Zheng yang beragama Islam dikatakan singgah di Ryukyu, Jepun sekitar tahun 1415 dan 1419.

Tetapi, catatan sejarah paling lengkap ialah kehadiran seorang pendakwah berbangsa Arab yang mengikuti kapal Portugis dari Melaka pada tahun 1555. Beliau dikatakan mengislamkan ramai penduduk Jepun.

Pada tahun 1870, sejarah hidup Nabi Muhammad SAW ditulis dalam bahasa Jepun dan ini memudahkan penduduk negara itu memahami cara hidup Baginda dan Islam amnya.

Pada abad ke-19, seorang warga Indonesia yang bekerja di kapal milik British dan Belanda dikatakan banyak berdakwah dan menyebarkan Islam di Jepun.

Ramai penduduk Jepun dikatakan memeluk Islam selepas tinggal di negara Islam dan apabila kembali ke Jepun, mereka melakukan kerja dakwah, antaranya Bunpachiro Ariga yang menggunakan nama Islam Ahmed Ariga dan Yamada Toajiro (Abdul Khalil).

Kehadiran ramai pendatang dari Turki Tatar di Tengah Asia dan Russia turut menyemarakkan perkembangan Islam di Jepun.

Kerajaan Jepun dikatakan menerima kehadiran mereka yang melarikan diri selepas berlaku Revolusi Oktober di Turki.

Pada 1938, 600 pelarian Turki datang ke Jepun dan menetap di beberapa wilayah di negara itu dan membentuk komuniti Islam. Ramai penduduk Jepun belajar dan memeluk Islam melalui pelarian terbabit.

Kini, Islam bukanlah suatu agama yang baru bagi penduduk matahari terbit itu malah daripada 128 juta penduduk Jepun, 10 peratus beragama Islam.

Masjid Kobe dibina pada tahun 1936 berikutan kehadiran ramai pelarian dari Turki, begitu juga dengan Masjid Tokyo yang siap pembinaan pada tahun 1938 hasil sumbangan derma dari negara Arab dan Turki. Imamnya yang pertama ialah Abdurresid Ibrahim.

Liga Islam Jepun yang ditubuhkan pada 1930 adalah pertubuhan Islam terbesar di negara terbabit dan banyak membantu menyebar Islam melalui risalah, buku, audio dan ceramah. Liga itu menerbitkan 100 buku dan jurnal mengenai Islam.

Seorang sarjana Jepun, Shumei Okawa antara watak penting dalam perkembangan Islam di negara itu.

Beliau yang ditahan Tentera Bersekutu ketika Perang Dunia Kedua, sempat mengalih bahasa al-Quran ke dalam bahasa Jepun.

Menurut Pengarah Pemasaran (Asia) Jabatan Promosi Pelancongan Jepun, Akito Tadokoro, perkembangan Islam di negara itu berlaku dengan cepat berikutan kemasukan ramai pekerja asing terutama dari Indonesia, Malaysia dan Timur Tengah.

Selain itu, polisi kerajaan Jepun yang tidak melarang sebarang kegiatan keagamaan asalkan tidak menjurus kepada keganasan dan memberi kemudaratan kepada penduduknya, banyak membantu penyebaran Ajaran Islam.

Malah, sempena Jepun menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020, kerajaan mahu menarik seramai mungkin pelancong dari negara Islam datang ke sini.

Justeru, pelbagai kemudahan disediakan kepada pelancong Islam seperti tempat bersolat, makanan halal dan info mengenai kiblat serta masjid.

Kemudahan solat di lapangan terbang untuk memudahkan umat Islam melakukan ibadat solat juga disediakan.

Kehadiran ramai pelancong Islam termasuk dari Malaysia sememangnya membuka mata penduduk tempatan Jepun mengenai Islam.

Pada mulanya, mereka keliru kenapa perlu menyediakan tempat khas untuk beribadat, begitu juga dengan makanan halal.

Bagi mereka juga, ia adalah sesuatu yang baru kerana umat Islam melakukan solat lima kali sehari dan makanan halal ialah tidak bercampur dengan alkohol serta babi selain disediakan mengikut peraturan agama Islam.

Beberapa pasar raya besar di Tokyo turut menyediakan kemudahan solat dan tempat wuduk untuk pelanggan beragama Islam, antaranya pusat membeli-belah Shinjuku Takashimaya setinggi 12 tingkat dan pasar raya AEON.

Hotel Springs Makuhari di Chiba turut menyediakan makanan halal kepada pelanggan beragama Islam. Mereka juga perlu mempelajari mengenai Islam bagi memahami apa yang orang Islam mahukan.

Layari www.gotokyo.org atau www.ana.co,jp atau www.halalmedia.jp untuk maklumat lanjut.

Masjid Camii

Dalam suasana hening dan kedinginan di Shibuya, Oyamacho, beberapa puluh meter dari pusat bandar Shinjuku dan Harajuku, tersergam menara yang tinggi menjulang ke langit yang membuatkan sesiapa saja memandang kagum.

Itulah Masjid Camii (Jamek), masjid terbesar di Jepun yang dibina menggunakan gaya seni bina Turki, yang sering dikaitkan dengan seni bina gaya Ottoman iaitu Masjid Biru di Istanbul, Turki.

Percaya atau tidak, terdapat 80 masjid di Jepun dan boleh ditemui di kebanyakan bandar besar di Jepun sehingga mengejutkan penduduk negara matahari terbit itu.

Ini membuktikan perkembangan Islam semakin pesat di Jepun terutama Tokyo yang dianggap bandar raya industri moden dan automobil.

Selain digunakan untuk solat 5 waktu dan Jumaat, Masjid Camii sering dikunjungi pelancong untuk melihat seni bina yang mengagumkan.

Ketika masjid itu dibina, sebahagian besar bahan mentah dibawa dari Turki.

Penduduk Jepun sendiri kagum dengan seni bina Masjid Camii dan secara tidak langsung mereka mendekati rumah Allah itu untuk mendapatkan lebih banyak maklumat, bukan saja mengenai masjid, tapi Islam.

Masjid Camii menjadi pusat kebudayaan dan penyebaran dakwah Islam dan pusat ilmu di Tokyo, kerana ia tidak membataskan sesiapa saja yang mahu mengunjungi kawasan sekitar masjid itu.

Setiap Kali solat Jumaat juga, ia boleh memuatkan sehingga 800 jemaah selain mengadakan pelbagai aktiviti keagamaan seperti majlis berbuka puasa, Aidilfitri dan dan Aidiladha.

Malah, masjid itu sering digunakan sebagai pusat untuk mengadakan ceramah, konvensyen selain memaparkan pelbagai artifak yang berkaitan dengan Islam terutama dari Turki.

Masjid ini memberi banyak kemudahan kepada umat Islam di Jepun untuk beribadat dan melakukan pelbagai aktiviti lain berkaitan agama.

Malah, ramai penduduk Jepun turut datang untuk melihat seni bina masjid ini yang mereka anggap luar biasa dan mengagumkan.

Masyarakat Jepun sememangnya terlalu teliti mengenai elemen seni, tetapi mereka memuji seni bina masjid ini dan dari situ mereka turut ingin tahu mengenai Islam.

Hasil dari perbincangan dan diskusi, ramai penduduk Jepun tertarik kepada Islam yang mengamalkan konsep kesederhanaan, malah di tingkat bawah masjid ini, mereka menyediakan ruang pameran mengenai tamadun Islam dan kitab-kitab lama serta sejarah Nabi Muhammad.

Masjid itu yang terletak di dalam kawasan penempatan penduduk juga menjadi contoh kepada masyarakat Jepun.

Jika menganjurkan sebarang aktiviti, pihak masjid juga sering menjemput masyarakat Jepun untuk hadir dan melalui pergaulan serta pertukaran maklumat, kerja dakwah dapat dilakukan dengan lebih mudah.

Masjid Camii turut menerima derma daripada pelbagai pertubuhan Islam di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Selain itu, kelas agama kepada anak-anak seperti membaca al-Quran selain pelajaran fardu ain dan kifayah turut disediakan.

Mereka turut dihantar melanjutkan pengajian Islam di Turki atau tempat lain jika mendapat jemputan.

Jumlah Penganut Islam Di Jepun

Agak sukar untuk mengetahui populasi sebenar masyarakat Muslim di Jepun, kerana kerajaan mereka tidak pernah meminta warganegara Jepun mengisytiharkan pegangan agama mereka.

Bagaimanapun, apa yang pasti melalui penyelidikan yang dilakukan badan-badan bebas angkanya sedang meningkat.

Kertas kajian yang diterbitkan pada tahun 2006 menganggarkan wujud 5,300 penganut Islam pada 1984, meningkat dengan konsisten kepada 30,000 pada tahun 1995 dan 56,300 pada tahun 2003.

Kajian terbaru oleh National Bureuu of Asian Research pada tahun 2008 menganggarkan jumlah komuniti Muslim di Jepun berada pada tahap 80,000 orang.

Peningkatan ini dilihat konsisten dengan keperluan Jepun membuka pintu menerima kemasukan pekerja asing dari luar, ekoran masalah kekurangan tenaga buruh bagi memenuhi permintaan pembangunan yang meningkat serta kurangnya minat warga tempatan untuk mengisi jawatan-jawatan tersebut.

Tanggapan agama bagi masyarakat Jepun

Agama di Jepun memberi kesan yang berbeza pada masyarakatnya berbanding negara-negara lain.

Dengan separuh daripada rakyatnya dilihat memilih untuk 'tidak menitik beratkan perihal agama dalam kehidupan', bagi mereka yang beragama dilihat cenderung memilih mengamalkan agama Shinto yang mirip dengan pegangan Atheist dari barat.

Masyarakat Jepun secara amnya berpandangan agama itu adalah suatu elemen hidup yang boleh diamalkan apabila perlu, serta boleh dicampur aduk mengikut kesesuaian.

Sebagai contoh, seorang itu biasanya merujuk kepada panduan agama Buddha apabila berdepan situasi kematian dan berbicara tentang perkara dunia menggunakan perspektif agama Shinto, seperti dalam urusan kelahiran anak. Upacara perkahwinan menjadi contoh acara yang dapat menggabungkan pelaksanaan kedua-dua agama serentak, dalam satu situasi.

Ini menyebabkan penyebaran agama yang mengawal hidup secara menyeluruh seperti Islam atau Kristian yang perlu dipegang secara eksklusif menjadi lebih sukar, kerana bagi masyarakat Jepun tindakan sedemikian hanya akan membataskan hidup mereka.

Pada hujung abad ke 19 agama Kristian dilihat berjaya bertapak di Jepun, dengan pembukaan universiti-universiti pro-Kristian yang mendapat sambutan orang ramai khasnya golongan atasan Jepun.

Walaupun berjaya bertapak serta mempengaruhi segelintir individu ternama di Jepun, agama Kristian gagal menguasai majoriti masyarakat Jepun kerana faktor perbezaan cara masyarakat Jepun menilai agama itu sendiri. Setakat ini, penyelidik mengganggarkan hanya ada 1 peratus penganut Kristian menetap di Jepun.

Adakah Islam ada masa depan di Jepun?

Kajian menunjukkan berlakunya penurunan ketara pada bilangan pengunjung tokong Buddha dan Shinto yang mengamalkan tatacara agama mereka secara total.

Penurunan ini dikatakan berpunca daripada pola pemikiran moden yang dipegang masyarakat muda Jepun, yang lebih gemar membincangkan isu-isu antarabangsa berbanding golongan veteran yang meletakkan isu penduduk setempat, sebagai topik utama semasa perjumpaan komuniti mereka di tokong.

Islam di kalangan masyarakat Jepun pula, dianggarkan akan berkembang namun agak sukar untuk Islam menjadi agama majoriti Jepun.

Penyebaran Islam dikalangan rakyat Jepun berlaku disebabkan faktor individu, dengan majoriti penganut Islam di Jepun memeluk Islam berikutan rasa ingin tahu yang membawa mereka kepada penemuan Islam.

Selain itu perkahwinan menjadi antara faktor peningkatan bilangan penganut Islam, selepas ramai wanita Jepun memilih untuk berkahwin dengan 'gaijin' atau pendatang asing yang datang berkhidmat di negara mereka.

Islam yang seringkali dikaitkan dengan gerakan ekstrimis yang membawa persepsi negatif namun istimewanya, masyarakat Jepun dilihat kurang terpengaruh dengan 'imej Islam' yang digambarkan di serata dunia.

Penduduk Jepun mempunyai satu keunikan atau keistimewaan yang tidak ada di bandar-bandar utama lain dunia. Mereka mampu mengekalkan keharmonian mereka walaupun realitinya mereka tidak berapa menerima kemasukan orang luar.

Walaupun mentaliti itu dilihat membuatkan komuniti-komuniti minoriti seperti orang-orang Muslim Jepun, memilih untuk mengasingkan diri daripada menyertai sistem sosial Jepun sepenuhnya keseluruhannya masyarakat di Jepun dapat hidup tanpa wujud isu-isu provokasi melibatkan agama.

Pada dasarnya, kaum majoriti Jepun tetap mempunyai mentaliti kurang menggemari kedatangan orang atau elemen luar - namun komuniti Muslim langsung tidak mengalami masalah diskriminasi. Ini kerana budaya masyarakat Jepun terterap sifat tidak gemarkan masalah serta lebih selesa mengekalkan keadaan yang tenteram.

Perasaan kerjasama dalam diam itu membantu membentuk satu situasi yang harmoni, di mana setiap individu bebas mengamalkan budaya dan agama mereka, serta mampu hidup dengan baik dalam komuniti mereka sendiri, walaupun tidak bercampur gaul antara satu sama lain.

Dakwah

Untuk menyebar dan mengembangkan Islam di Jepun, ada beberapa syarat dan cabaran, seperti perlu mengetahui dan memahami sifat dalaman, realiti hidup dan sejarah negara dan masyarakatnya.

Dan walaupun suatu ketika dulu rakyat Jepun tidak memahami Islam dan menentang aktiviti membabitkan Islam, tetapi kini semua itu sudah berlalu.

Mereka sudah faham Islam itu bukan agama keganasan, kerana pengganas dan Islam adalah dua perkara yang berbeza.

Dan sungguh pun Jepun sebuah negara maju yang pesat membangun, namun mereka amat terkenal dengan nilai murni dan disiplin yang tinggi pada setiap penduduknya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Bagaimana Novel Coronavirus (2019-nCoV) Mendapat Nama?

Bagaimana Novel Coronavirus (2019-nCoV) Mendapat Nama?

Apabila membuka mana-mana laman web perubatan, anda akan mendapati bahawa para doktor menamakan spesies yang mula menyerang manusia ini sebagai Novel-Coronavirus atau dipanggil dengan singkatan 2019-nCoV. Pasti anda tertanya-tanya mengenai perkataan novel itu bukan?

Novel Coronavirus
Novel Coronavirus.

Maksud terminologi novel yang digunapakai dalam perubatan adalah baru dan tidak pernah diketahui sebelum ini.

Dalam kes ini, walaupun sebelumnya terdapat kes yang sama, namun, apa yang berjaya diketahui oleh para saintis yang membuat penyelidikan terperinci sejak kemunculan wabak ini adalah jangkitannya memang disahkan berasal daripada keluarga coronavirus.

Namun, ia mempunyai perbezaan daripada segi struktur RNA (genetik) serta potensinya untuk menyebabkan seseorang pesakit itu maut.

Pelbagai persoalan timbul mengenai virus ini seperti asal kewujudannya, bagaimana cara virus ini merebak, haiwan jenis apa yang membawa virus ini dan siapa individu yang mempunyai potensi tinggi untuk mendapat penyakit-berjangkit ini.

Kebanyakan persoalan hanya mampu dijawab dengan teori dan hipotesis sahaja setakat ini, dan masih lagi belum betul-betul disahkan.

Apa pun, mari kita baca satu per satu mengenai pekara yang telahpun disahkan mengenai 2019-nCoV.

Asal-usul Novel Coronavirus

Perkataan corona dalam nama coronavirus ini sebenarnya diambil daripada struktur gas yang menyelaputi matahari dan bintang yang lain.

Dalam keadaan biasa, bahagian corona ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar kerana cahaya yang dikeluarkan daripada matahari ini sendiri terlalu terang sehingga menyebabkan kita tidak dapat melihatnya dengan jelas.

Namun, semasa gerhana matahari, saat bulan berada dalam satu garisan diantara bumi dan matahari, bahagian corona ini akan kelihatan dengan lebih jelas.

Bentuk coronavirus ini yang bulat, dan terdapat banyak ‘duri- duri’ yang mana sebenarnya adalah terdiri daripada sejenis protein kelihatan hampir sama dengan bahagian corona ataupun crown.

Jika virus ini berasal dari Malaysia, pasti kita akan menamakannya sebagai durian-virus, rambutan-virus, pulasan-virus, landaklaut-virus atau landak-virus bukan?

Daripada segi genetik atau kategori untuk coronavirus ini sendiri, spesies ini dibahagikan kepada 4 jenis, iaitu alpha, beta, gamma dan delta.

Jenis yang mempunyai tendensi untuk menjangkiti manusia adalah daripada kumpulan alpha dan beta sahaja.

2019-nCoV berasal daripada kumpulan beta-coronavirus. Cara virus ini merebak adalah melalui udara dan untuk jangkitan virus-virus sebelum ini (tidak termasuk SARS-CoV dan Mers-CoV) ianya merupakan jangkitan yang agak biasa (common) untuk menyebabkan gejala demam selsema.

Di seluruh dunia, Jangkitan jenis ini merangkumi lebih kurang 30 peratus daripada jumlah kes secara keseluruhannya.

Namun, dalam penyelidikan yang dilaksanakan oleh pakar mikrobiologi, mereka mendapati struktur 2019-nCoV mempunyai persamaan diantara 70 hingga 99 peratus dengan SARS-CoV.

Mengapa julatnya begitu tinggi perbezaannya iaitu sebanyak 29 peratus?

Hal ini kerana genetik yang dimiliki oleh virus ini selalunya tidak konsisten dan mempunyai perbezaan yang amat tinggi walaupun datang daripada keluarga yang sama.

Anda juga perlu fahami bahawa perbezaan dalam peratusan rendah sedemikian amat signifikan dalam prognosis dan kadar kematian pesakit.

Perbezaan sebanyak 1 peratus, jika kita letakkan daripada aspek genetik amat ketara perbezaannya.

Manusia mempunyai perbezaan genetik 1 peratus dengan chimpanzee dan 2 peratus dengan gorilla. Nampak tak betapa besarnya perbezaan itu?

Untuk 2019-nCoV, cara jangkitannya hampir sama dengan Mers-CoV iaitu kemampuannya untuk menembusi bahagian paru- paru manusia jauh lebih dalam.

Berdasarkan laporan WHO yang bertarikh 23 Januari 2020, kadar kematian akibat penyakit ini berada pada peringkat rendah, iaitu sebanyak 4 peratus.

Walau bagaimanapun, kita harus fahami bahawa untuk masa ini, wabak ini berada pada tahap permulaan sahaja.

Apa yang menakutkan adalah, daripada segi peratusan mangsa yang terkena jangkitan 2019-nCoV ini meningkat dengan pantas.

Bayangkan saja, pada 23 Januari, seramai 581 orang dijangkiti virus ini, dan sehari selepas itu, jumlah mangsa meningkat kepada 900 orang dan pada 25 Jan, jumlahnya seramai 1,350 orang.

Dan sehingga 3 Februari, jumlah kematian akibat wabak Koronavirus di China mencecah ke angka 361 orang, manakala jumlah keseluruhan kes yang dikesan di 31 wilayah China dan rantau autonomi negara itu menjadi 17,205 kes.

Juga, mangsa daripada pelbagai negara lain juga semakin bertambah.

Malah, lebih AS$420 bilion (RM1.7 trilion) daripada indeks saham utama China lesap susulan pelabur yang menjual yuan dan melupuskan saham kerana ketakutan terhadap koronavirus yang terus merebak dan impaknya ke atas ekonomi.

Ini mendorong jualan besar-besaran pada hari pertama urusniaga di China sejak tahun baru Cina.

Pasaran terus menjunam di sebalik tindakan bank pusat menyuntik wang tunai ke dalam sistem kewangan - menunjukkan sokongan kepada ekonomi - dan di sebalik langkah kawalseliaan yang jelas bertujuan untuk mengekang penjualan.

Virus Baharu

Terdapat beberapa perbezaan yang menjadikan 2019-nCoV tidak sama dengan Coronavirus sebelum ini, kerana sifat virus yang amat licik dalam memperdaya sistem imuniti badan kita disamping mempunyai kelebihan yang kita kenali sebagai konsep antigenic-shift dan antigenic-drift.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 24 Januari 2020, 2019-nCoV merupakan salah satu contoh terbaik untuk menunjukkan keupayaannya untuk menjalani proses antigenic-shift.

Hal ini adalah kerana seperti yang kita ketahui, penyakit ini telahpun dikategorikan sebagai sejenis penyakit zoonosis.

Proses antigenic-shift ini membolehkan virus ini menjangkiti spesies lain dari masa ke semasa dan kini, telah sampai masanya untuk virus ini menjagkiti manusia pula.

Vaksin

Pasukan penyelidik sememangnya akan cuba mencipta satu jenis vaksin, khusus untuk menangani wabak penularan virus ini.

Selalunya, selepas beberapa ketika, kes-kes jangkitan 2019-nCoV akan mulai reda.

Gabungan antibodi manusia dan penciptaan vaksin yang baru kelak akan meletakkan masyarakat dunia dalam keadaan selamat, khususnya untuk menangani wabak 2019-nCoV.

Akan tetapi, sama seperti virus influenza, 2019-nCoV akan mengalami proses antigenic-drift pula.

Ini bermaksud, antibodi yang dihasilkan secara semulajadi melalui sistem imuniti kita sendiri mahupun dengan bantuan vaksin akan menjadi tidak berkesan pula.

Untuk pengetahuan anda, hal yang saya tuliskan mengenai antigenic-drift merupakan salah satu hipotesis dan teori yang dikongsikan oleh para saintis yang terlibat dan mempunyai kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit.

ASPEK KLINIKAL CORONAVIRUS

Apa yang menjadikan ramai mangsa menjadi semakin teruk apabila dijangkiti dengan 2019-nCoV ini adalah kerana gejala yang dialami oleh pesakit-pesakit ini tidak spesifik dan kelihatan seperti demam selsema biasa sahaja.

Gejala-gejala ini juga membuatkan para perawat menganggap apa yang dihadapi oleh pesakit-pesakit ini tidak serius pada awalnya.

Namun, kita harus bersyukur kerana berita penularan wabak ini tersebar dengan pantas dan seterusnya meletakkan pesakit dan perawat untuk berada dalam keadaan lebih berjaga-jaga.

Selalunya, gejala penyakit akan bermula seawal 2 hingga 14 hari selepas dijangkiti virus ini.

Jangkitan tanpa ada apa-apa gejala ini digelar sebagai incubation period.

Untuk kes 2019-nCoV ini, pesakit akan mendapat gejala seperti demam, batuk, selesema dan keletihan.

Akan tetapi, gejala ini akan bertukar menjadi semakin teruk dengan begitu pantas kepada kesukaran untuk bernafas dan memerlukan kemasukkan ke hospital dengan cepat.

Gejala ini dikenali sebagai Acute Respiratory Distress Syndrome, ARDS yang seringkali menjadi punca kematian seseorang pesakit.

Mana-mana pesakit yang dimasukkan ke hospital dengan lebih awal mempunyai risiko kematian yang lebih rendah memandangkan mereka akan terus dibawa ke unit rawatan rapi atau ICU yang dilengkapi dengan alat bantuan pernafasan artifisial, atau ventilator.

Untuk pesakit yang mengalami gejala-gejala sebegini, namun melewatkan diri untuk mendapatkan rawatan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk maut.

Bagaimana pula dengan rawatan 2019-nCoV di hospital setakat ini?

Malangnya setakat ini, jangkitan 2019-nCoV tiada rawatan peyembuhan.

Apa yang ada hanyalah rawatan sokongan dalam bentuk ubat-ubatan untuk mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan pesakit dan batuan pernafasan.

Pesakit-pesakit ini akan diletakkan di dalam wad isolasi memandangkan sehingga kini, cara penyakit ini merebak masih lagi tidak disahkan, namun kebanyakan pusat perubatan dan hospital mengambil langkah dan kaedah yang sama seperti ketika penularan wabak Mers-CoV beberapa tahun yang lepas, iaitu melalui udara.

Punca kemunculan penyakit ini juga masih lagi tidak dapat disahkan.

Untuk wabak yang bermula daripada Wuhan ini, mereka mendapati kebanyakan pesakit mendapat jangkitan selepas mereka mengunjungi pasar yang menjual makanan laut dan haiwan hidup.

Juga, disebabkan peningkatan kes yang berlaku kepada pesakit yang tidak pernah mengunjungi tempat jualan haiwan dan makanan laut, terdapat 2 kemungkinan di sini iaitu, sama ada asal-usul penyakit 2019-nCoV ini bukanlah daripada pasar makanan laut dan haiwan hidup, ataupun sememangnya penyakit ini berasal daripada pasar yang menjual makanan laut dan haiwan hidup.

Namun, pesakit-pesakit lain yang tidak pernah ke tempat tersebut mendapat jangkitan virus ini daripada pesakit lain.

Untuk tempat ini, kerajaan China telahpun menutup pasar Huanan yang terletak di Wuhan, berkuatkuasa bermula 1 Januari 2020.

Ada juga yang mengatakan bahawa virus ini berasal daripada haiwan-haiwan eksotik yang dijadikan sebagai makanan buat segolongan manusia seperti kelawar, ular, musang dan lain-lain.

Hal ini adalah kerana SARS-CoV dipercayai berasal daripaa kelawar dan menjangkiti haiwan lain seperti anjing dan musang sebelum penyakit ini menjangkiti manusia.

Juga, Mers-CoV didapati berasal daripada kelawar, yang kemudiannya dipindahkan kepada unta sebelum kepada manusia.

Satu kertas kajian yang diterbitkan oleh Journal of Medical Virology bertarikh 22 Januari mengatakan bahawa terdapat sedikit sebanyak petunjuk yang mendapati bahawa kelawar merupakan haiwan yang bertanggung jawab sekali lagi sebagai pembawa asal 2019-nCoV.

Namun, anda harus fahami bahawa pengesahan asal-usul sesuatu penyakit akan mengambil masa yang agak panjang untuk mengesahkannya.

Namun, apa pun, lebih baik kita jauhkan diri buat masa ini kepada tempat-tempat tersebut, selaras daripada nasihat yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM.

Memegang pada konsep mencegah lebih baik daripada mengubati, pihak KKM mengeluarkan banyak nasihat dan kaedah untuk mengurangkan risiko seseorang itu daripada mendapat penyakit ini.

Antaranya termasuklah:
  • Mencuci tangan dengan sempurna menggunakan sabun mahupun hand-sanitizer.
  • Memakai penutup mulut dan hidung.
  • Mengelakkan daripada berjumpa dengan orang lain yang mempunyai gejala selesema, batuk dan demam.
  • Mengelakkan diri daripada berkunjung ke ladang haiwan, pasar dan tempat sembelihan haiwan.
  • Mengelakkan diri daripada memakan makanan yang mentah atau tidak dimasak dengan sempurna.
  • Mendapatkan rawatan sekiranya terdapat gejala demam, batuk atau selesema dalam tempoh 14 hari daripada lawatan.
  • Menangguhkan perjalanan ke Wuhan, China, buat sementara waktu kecuali sekiranya ada urusan yang tidak boleh dielakkan.

Untuk itu, langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan sejurus selepas pulang ke Malaysia.

Jadi, sebagai kesimpulannya, kita seharusnya meletakkan diri dalam keadaan berjaga-jaga serta mengikuti nasihat yang diberikan oleh para pegawai perubatan dalam usaha untuk menangani masalah berkaitan 2019-nCoV ini.

Dapatkan rawatan dengan segera sekiranya anda mengalami apa-apa gejala penyakit yang telah disebutkan di atas.

Semoga penularan wabak penyakit ini berjaya ditangani dengan kadar segera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: majalahsains

PPSMI Telah Terbukti Gagal, Kenapa Perlu Di Perkenalkan Semula?

PPSMI Telah Terbukti Gagal, Kenapa Perlu Di Perkenalkan Semula?

Keputusan melaksanakan semula pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), sangat bertentangan dengan aspirasi Pendidikan nasional dan akan merosakkan tahap pendidikan anak bangsa, terutamanya pelajar luar bandar.

PPSMI Terbukti Gagal

Telah terbukti sebelum ini pencapaian dalam peperiksaan merudum dan banyak pembaziran berlaku apabila perbelanjaan untuk melaksanakan PPSMI tidak mendatangkan kebaikan.

PPSMI telah pun berlalu pada 2002-2010, dan telah banyak meninggalkan kesan buruk kepada tahap pencapaian para pelajar.

Kajian yang dibuat oleh UPSI pada 2009 merekodkan kemerosotan sehingga 80 peratus di sekolah kebangsaan dan di sekolah menengah sehingga program ini dibatalkan pada 2010.

Tun Mahathir memperkenalkan program pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003.

Namun, dasar itu tidak popular, termasuk di kalangan parti pembangkang ketika itu termasuk PKR.

Ia kemudiannya dibatalkan pada 2011 yang menurut menteri pendidikan ketika itu, Muhyiddin Yassin, program berkenaan menyaksikan ramai pelajar di luar bandar kandas dalam sains dan matematik.

Namun, ini dipertikaikan oleh beberapa pihak, yang mendakwa keputusan berkenaan telah bertambah baik di bawah PPSMI.

Pada tahun 2016, kerajaan memperkenalkan pula Program Dwi-Bahasa, di mana sekolah-sekolah tertentu mempunyai pilihan sama ada untuk mengajar sains dan matematik dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

SOALAN UNTUK TUN MAHATHIR

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, telah mengemukakan beberapa persoalan asas berkenaan pengumuman Tun Mahathir mengenai program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pertama:

Wajarkah seorang pemangku menteri pendidikan mengumumkan suatu dasar sepenting PPSMI tanpa terlebih dahulu dibincang di dalam kabinet?

Kedua:

Manifesto PH menggariskan satu dasar iaitu perdana menteri tidak boleh memegang jawatan lain selain jawatan perdana menteri itu sendiri.

Suka saya ingatkan Mahathir menarik diri daripada jawatannya sebagai menteri pendidikan pada awal-awal pembentukan kabinet lagi, iaitu selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei 2018.

Selaku perdana menteri ketujuh, Mahathir pada ketika itu faham bahawa memegang dua jawatan serentak bercanggah dengan janji Manifesto PH.

Ketiga:

Rakyat tidak bising-bising sangat apabila Mahathir mengambil alih memangku jawatan yang ditinggalkan Dr Maszlee Malik selepas ahli parlimen Simpang Renggam itu meletak jawatan.

Saya sendiri bersangka baik bahawa Mahathir akan memangku jawatan sepenting itu sekadar sementara waktu sahaja.

Namun, saya tidak sangka dalam keadaan bersifat sementara itu maka seorang pemangku menteri pendidikan boleh dengan mudah secara bersendirian mengumumkan dasar PPSMI dihidupkan semula selepas ia dimansuhkan pada 2010.

Bukan sahaja Mahathir selaku perdana menteri tidak berbincang mengenainya dalam kabinet, malah mengapa beliau juga tidak berbincang isu tersebut dalam Majlis Presiden PH?

Keempat:

Sebagai seorang ahli parlimen PKR, suka saya mengingatkan sekali lagi bahawa pendirian parti selama ini ialah menentang dasar PPSMI.

Rakyat bangun dan turun ke jalan raya untuk menentang dasar PPSMI. Rakyat juga dan menghantar memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Akhirnya, menteri pendidikan kerajaan BN ketika itu - Muhyiddin Yassin - mengumumkan bahawa dasar PPSMI ditamatkan.

Kelima:

Akhirnya saya ingin bertanya: Wajarkah seorang perdana menteri - yang bersetuju untuk turun dari jawatannya dalam tempoh terdekat ini sesuai dengan janji menjelang PRU ke-14 lalu dan kini hanya memangku jawatan menteri pendidikan - mengumumkan dasar yang telah ditolak oleh majoriti rakyat?

Tidakkah pengumuman Mahathir berkenaan PPSMI bukan sahaja akan menyusahkan PH menghadapi rakyat dalam PRU ke-15 nanti?

Lebih daripada itu, saya melihat tindakan Mahathir bersifat membelakangkan dasar tanggungjawab bersama para menteri dan juga kepemimpinan PH.

Ramai menteri penting dalam kerajaan PH ketika ini - termasuk yang menjaga keselamatan negara - adalah mereka yang berada bersama-sama rakyat di jalan raya sejak sebelum PRU pada 2008 bagi membantah perlaksanaan PPSMI.

Sepuluh tahun kemudian - iaitu pada 2020 - Mahathir ingin menghidupkan semula PPSMI?

Budaya Keilmuan di Jerman

Jika minat pun tidak, apa gunanya tahu istilah sains dalam bahasa Inggeris. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Di Jerman, bahasa Jerman digunakan secara menyeluruh untuk urusan rasmi dan juga tidak rasmi, dalam industri, pendidikan dan pengurusan.

Lazimnya, perbualan dalam soal keilmuan antara sesama pakar, pakar dengan pelajar dan juga sesama pelajar dibuat dalam bahasa sendiri, melainkan jika ada orang yang tidak memahami bahasa itu yang turut serta.

Secara kasar, bahasa Inggeris mereka tidaklah jauh lebih hebat berbanding di Malaysia.

Sering kali mereka terlupa suatu istilah dalam bahasa Inggeris ketika berbual dalam bahasa itu.

Namun, mereka tetap meneruskan komunikasi dengan menterjemah secara terus perkara itu tanpa mengetaui istilahnya dalam bahasa Inggeris.

Ini menunjukkan mereka tetap menggunakan bahasa ibunda untuk memikirkan konsep-konsep asasi dalam bidang masing-masing.

Pada masa yang sama, ia menunjukkan bukan satu masalah besar jika tidak tahu suatu istilah dalam bahasa Inggeris. Konsep dan makna istilah lebih penting berbanding istilah itu sendiri.

Terjemahan mereka terhadap konsep-konsep yang kompleks boleh dikatakan sangat rapi, menunjukkan pemahaman dan pengetahuan mereka secara umum terhadap konsep tersebut.

Jangan beri alasan bahawa mereka tiada masalah untuk menterjemah kerana sudah "terkedepan".

Mereka masih berusaha keras dalam penterjemahan istilah kerana banyak istilah ilmu dalam bahasa Inggeris adalah daripada rumpun bahasa Roman (misalnya Latin) walaupun bahasa Inggeris adalah dalam rumpun bahasa Jermanik.

Dalam konsep "compute" atau hitung seperti disebut di atas, orang Jerman menggunakan kata kerja "rechnen" (kira) sebagai kata dasar, bukannya meminjam daripada terbitan bahasa Latin, "compute", seperti yang dilakukan bahasa Inggeris.

Melihat contoh dinamika bahasa Indonesia, jiran kita, didapati kemajuan bahasa mereka semakin jitu.

Malah, ramai sarjana luar dan orang dari Eropah yang ke sana untuk belajar dan beradaptasi dengan bahasa Indonesia, sekali gus berintegrasi dengan budaya tempatan.

Ini kerana rakyat Indonesia percaya dan mengakui pentingnya identiti dipertahankan.

Dengan subetnik yang begitu rencam, mereka tetap bersatu dalam identiti ini: Bhinneka Tunggal Eka.

Jika kerajaan sendiri ragu-ragu dengan identiti negara sendiri, siapa lagi yang boleh diharapkan?

Penutup

Tiada alasan untuk menganggap bahasa Melayu tidak boleh menjadi bahasa Ilmu. Ia bukan masalah boleh atau tidak, tetapi hendak atau tidak.

Pada masa sama, tiada sebab untuk mengatakan pengajian STEM dalam bahasa Inggeris boleh meningkatkan perkembangan sains dan teknologi di Malaysia.

Penggunaan bahasa selain ibunda boleh menghancurkan minat palajar terhadap STEM.

Kita berharap Tun Mahathir untuk tidak bertindak tanpa merujuk suara-suara lain. Berilah peluang agar suara sarjana, penulis, ibu bapa dan rakyat Malaysia untuk didengar sebelum melaksanakannya.

Berilah kepercayaan kepada rakyat sendiri? Apakah semangat sidang umum (sesi town hall) telah mati?

Berilah hujah dan sebab, sama ada secara teori mahupun empirik. Rujuklah kajian yang sudah dibuat agar suatu pandangan itu boleh dibahaskan sebelum dilaksanakan.

Jika sejak awal pandangan dan kajian ini disudutkan, semua usaha terhadap kajian itu hanyalah ibarat hujan jatuh ke pasir.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Sunday, February 02, 2020

Mengintip Perbualan Telefon Adalah SAH Di Malaysia!

Mengintip Perbualan Telefon Adalah SAH Di Malaysia!

Menurut peguam Syahredzan Johan, bukan sahaja adalah sah bagi kerajaan Malaysia untuk memintas perbualan telefon mana-mana pihak, malah pentadbiran Najib Razak yang telah mencadangkan dan meluluskannya.

Mengintip Perbualan Telefon
Gambar hiasan.

Ini dilakukan melalui pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang membenarkan pemintasan dan perakaman perbualan peribadi dibuat pada tahun 2012 semasa Najib adalah perdana menteri.

"Kamu tahu apa yang ironi? Kerajaan Najib yang memperkenalkan pindaan kepada CPC untuk membolehkan pemintasan, mendengar dan rakaman komunikasi pada tahun 2012.

"Ya, kerajaan Najib menjadikan mendengar perbualan kamu adah sah dari segi undang-undang," katanya dalam satu siri ciapan di Twitter.

Komen-komennya dibuat selepas sidang akhbar mengejutkan oleh SPRM, yang mendedahkan beberapa rakaman audio perbualan antara Najib dengan beberapa individu lain pada tahun 2016 berhubung 1MDB.

Suruhanjaya anti-rasuah itu mendakwa rakaman berkenaan adalah sahih.

Antara rakaman perbualan yang didedahkan termasuk panggilan dengan isterinya, Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, dan beberapa pemimpin dan tokoh dari UAE.

Semakan Akta CPC (Pindaan) 2012 menyatakan terdapat masukan Seksyen 116c berkenaan "permintaan komunikasi dan kebolehterimaan komunikasi yang dipintas".

Ia menyatakan bahawa pendakwa raya boleh memberi kuasa kepada pegawai polis untuk "memintas, mendengar, atau merekodkan" apa-apa perbualan atau memasang apa-apa peranti bagi memintas dan menahan komunikasi tertentu sekiranya ia dianggap mungkin mengandungi maklumat berhubung pelaksanaan suatu kesalahan.

Pengintipan telefon mungkin perlu

Penyedia perkhidmatan komunikasi juga boleh diminta untuk memintas dan menahan suatu komunikasi yang tertentu.

Maklumat yang diperolehi adalah diterima sebagai keterangan di mahkamah, meskipun ia diperoleh selepas seseorang itu didakwa dengan suatu kesalahan di mahkamah.

Pindaan terhadap Akta CPC juga membenarkan penggeledahan dan dan perampasan tanpa waran terhadap data berkomputer.

Bagaimanapun, Syahredzan yang juga merupakan setiausaha politik kepada Anggota Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang, berkata; meskipun tindakan tersebut sah di sisi undang-undang, ia menjadi satu hal yang berbeza jika dilihat dari aspek perlembagaan.

Sama ada peruntukan itu menepati perlembagaan adalah satu perkara yang berbeza.

Kesahihan peruntukan itu dari sudut perlembagaan tidak pernah dicabar di mahkamah sebelum ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Sejarah Dan Asal-usul Agama Majusi, Ajaran Yang Menyembah Api

Sejarah Dan Asal-usul Agama Majusi, Ajaran Yang Menyembah Api

Majusi atau Zoroastrianisme adalah sebuah ajaran purba Parsi yang diasaskan oleh Zarathustra, yang bukan sahaja sebuah agama, tetapi sebuah falsafah kehidupan, juga disebut agama penyembah api dan Magianisme.

Asal-usul Agama Majusi

Agama ini dikenali sebagai agama Parsi lama, Zarathustra, Zoroaster, Zoroasterisme, sebelum kemudiannya dikenali sebagai Agama Majusi.

Sebelum kelahiran nabi Muhammad, agama ini merupakan agama yang utama di Timur Tengah dan Asia Tengah, namun pada hari ini, penganutnya adalah minoriti dimana kebanyakan mereka bertumpu di India.

Sejarah

Catatan pertama mengenai agama Majusi bertarikh sekitar pertengahan abad ke lima sebelum masihi (SM). Ia adalah tulisan Herodotus yang bertajuk Sejarah (diterbitkan pada 440 SM) yang mana penulisan ini menceritakan mengenai bangsa Iran purba.

Tulisan beliau merupakan sumber utama mengenai sejarah awal Empayar Achaemenid (648 SM – 330 SM) dan dalam penulisan beliau, orang Parsi digelar sebagai Medes atau Mada dan Parsi ketika itu, yang terbahagi kepada beberapa puak.

Puak-puak ini kemudiannya disatukan dibawah pemerintahan Cyrus Agung yang merupakan raja Achaemenid.

Dalam penulisan ini juga, tersebut puak ke-enam Medes yang digelar Magi, yang berkemungkinan adalah golongan paderi dan mereka ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam pentadbiran Medes.

Magi berpegang kepada ajaran Zurvanisme, salah satu cabang agama Majusi.

Empayar-empayar Parsi kemudiannya disatukan dibawah pimpinan Cyrus Agung diikuti dengan puteranya, Cambyses II.

Kuasa Magi ketika zaman mereka ini disekat menyebabkan pemberontakan pada tahun 522 SM.

Golongan Magi ini kemudiannya mencalonkan Smerdis sebagai raja Parsi dan mendakwa bahawa beliau adalah putera Cyrus.

Pencalonan ini tidak mendapat bantahan daripada jajahan-jajahan Parsi kerana Cambyses yang memerintah Parsi ketika itu adalah seorang ketua dengan sikap kuku besi dan selalu menghabiskan masa di Mesir berbanding Parsi.

Malah, Smerdis menjanjikan pelepasan cukai selama tiga tahun kepada rakyat Parsi. (Herodotus iii. 68).

Inskripsi Behistun
Inskripsi Behistun.

Menurut Inskripsi Behistun, Smerdis memerintah selama tujuh tahun sebelum digulingkan oleh Darius I pada tahun 521 SM.

Golongan Magi kemudiannya ditindas dibawah pemerintahan Darius walaupun beliau mendakwa berpegang kepada ajaran Ahura Mazda, sebuah konsep ketuhanan dalam agama Majusi.

Terdapat beberapa cubaan dari golongan Magi untuk menjatuhkan Darius, tetapi cubaan-cubaan ini berakhir dengan kegagalan.

Namun begitu, agama Majusi mula membina kegemilangannya didalam masyarakat Parsi ketika zaman Achaemenid dan banyak manuskrip-manuskrip lama mengenai agama ini diterbitkan ketika pemerintahan Achaemenid.

Malah, kalender Majusi juga turut diperkenalkan ketika zaman ini.

Ketika pemerintahan dinasti Seleucid dan Parthia pula, status agama ini kurang jelas.

Kemudian, Parsi jatuh ke tangan Iskandar Agung dimana banyak hasil tulisan agama Majusi dimusnahkan.

Ketika zaman Sassanid, agama Majusi sekali lagi mencapai kegemilangannya.

Dimana saja Sassanid menawan sesebuah wilayah itu, mereka akan membina kuil Majusi bagi mempromosikan agama ini.

Namun begitu, pada masa yang sama, mereka mula menindas orang Nasrani dan penganut Manichaeisme.

Pemerintah Sassanid berasa curiga terhadap Nasrani kerana mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan Empayar Rom.

Kepercayaan Majusi kemudiannya berkembang sehingga ke China melalui Jalan Sutera.

Pada abad ke tujuh, empayar Sassanid kalah di tangan Arab dan titik ini merupakan penutup kegemilangan Majusi.

Penganut Majusi kemudiannya mula memeluk agama Islam namun begitu, terdapat beberapa kumpulan yang enggan diperintah oleh kerajaan Islam dan mereka ini melarikan diri ke India.

Nabi Agama Majusi

Zarathustra dipercayai hidup sekitar 500-600 tahun SM dan dikatakan lahir dalam keadaan tersenyum.

Lahir sahaja Zarathustra, Raja Durasan terus bergementar, kerana tukang tiliknya memberitahu bahawa ada seorang anak akan dilahirkan, yang akan menggugat kedudukan raja.

Raja Duarasan telah memerintahkan 3 orang suruhan menculik bayi itu dan mencampakkannya ke dalam nyalaan api sebuah kuil agama Parsi. Bayi itu tidak terbakar, malah bermain-main dengan api tersebut.

Sekali lagi bayi itu diletakkan di tengah padang lembu agar dia dipijak-pijak, tetapi salah seekor lembu datang dan mengawal bayi itu.

Kemudian, bayi ini diletakkan dalam gua serigala, namun ketika serigala-serigala hendak masuk, kaki serigaal-serigala itu terpaku ke tanah. Kemudian datang dua ekor kambing menyusukan si bayi.

Cubaan Raja Durasan membunuh Zarathustra gagal.

Setelah dewasa, Zarathustra pergi beruzlah, berkhalwat, bermeditasi di Gunung Sabalan.

Suatu hari Zarathustra didatangi Vonu Manah (utusan Tuhan iaitu malaikat) yang menyampaikan kata-kata Tuhan (wahyu) kepadanya.

Antara wahyu yang sampai kepadanya ialah, “Orang inilah yang Aku (Tuhan) temui di sini, yang dia seorang sahaja sudah menerima wahyu Kami.”

Menurut Zarathustra, Tuhan iaitu Ahura Mazda sentiasa menyeru manusia ke arah cahaya, kebaikan dan kebenaran.

Manakala ada satu lagi kuasa jahat iaitu Ahriman (atau Angro Mainyu) yang sentiasa menyeru manusia ke arah kegelapan, kesesatan dan kejahatan.

Cara untuk mengalahkan Ahriman ialah melalui tiga cara: fikir yang baik-baik, cakap yang baik-baik dan buat yang baik-baik. Tiga cara ini disebut humata, hukata dan huvarsta.

Zarathustra juga melarang penyembahan berhala dan dewa-dewi. Lebih kurang 10 tahun berdakwah, dia hanya dapat seorang pengikut yang benar-benar beriman.

Pada usia 40 tahun, dia menukar strategi dengan berdakwah kepada raja zaman itu iaitu Kavi Vishtapa.

Raja kemudiannya bersetuju memeluk agama Zarathustra sekiranya Zarathustra menang perdebatan dengan tokoh-tokoh agama kerajaan.

Perdebatan berlangsung selama 3 hari dan ternyata Zarathustra di pihak yang benar. Raja dan rakyat pun memeluk ajaran Zarathustra.

Jiwa orang yang mati akan diserahkan kepada Pemegang Buku Kehidupan. Humata, hukata dan huvarsta akan disemak.

Sekiranya banyak kebaikan, jiwa itu akan dihantar ke langit (syurga). Yang banyak keburukan, akan dihantar ke neraka yang penuh seksaan.

Kitab Majusi

Kitab suci agama Majusi dikenali sebagai Kitab Avesta atau Zend Avesta.

Kitab Avesta terdiri daripada 21 bab dan setiap bab mengandungi 200 muka surat. Namun, yang tinggal sekarang hanya 5 bab, kerana sebahagian besar kitab yang lain telah musnah ketika serangan Alexander the Great.

Asalnya Kitab Avesta ditulis dalam bahasa Zand (bahasa Parsi kuno). Oleh kerana semakin ramai yang tidak tahu bahasa itu, kitab Avesta diterjemah ke dalam bahasa Pahlavi.

5 bab itu ialah Yasna, Vispered, Vendidad, Yasht dan Khorda Avesta.

Ahura Mazda ada banyak nama, dikatakan ada 101 nama seperti Yang Mencipta, Yang Melihat, Yang Mengetahui, Yang Pengasih, Yang Pemurah, Yang Berkuasa, Yang Besar, Yang Dipuja, Yang Tidak Aad Akhirnya, Yang Suci, Yang Tinggi, Yang Benar, Yang Menyebabkan Segala-galanya, Yang Menolong, Yang Menjaga, Yang Tidak Dapat Dilihat (Yang Ghaib), Yang Agung, Yang Kekal Abadi, Yang Menghitung, dan lain-lain.

Dalam Buku Yashna dikatakan, "Sebutlah dan ulanglah (berzikir) namaKu pada setiap hari dan setiap malam."

Kitab suci agama Majusi terdapat dalam dua bahasa iaitu Zendi dan Pahlvi, namun disamping dua ini, beberapa bentuk tulisan Cuneform juga ditemui.

Naskah Pahlvi menyerupai naskah Parsi kini, tetapi Zendi dan Cuneform berbeza bentuknya.

Dalam kitab suci kuno, ada dua pembahagian penting, satu dikenali sebagai Zend Avesta atau Avesta Zend, dan yang lain adalah Dasatir.

Masing-masing terbahagi lagi dalam dua bahagian iaitu Khurda Avesta dan Kalan Avesta, juga dikenali Zend dan Maha Zend, Khurda Dasatir dan Kalan Dasatir.

Begitu banyak versi yang berbeza-beza tentang jumlah, bahasa, serta bila wahyu diturunkan, namun tidak ada satu pun yang dapat dipastikan.

Menyembah Api

Api dianggap sebagai simbol cahaya, terang dan kebenaran dan selepas zaman Zarathustra, api yang dinyalakan di rumah-rumah ibadah agama Zarathustra mula dianggap mulia dan akhirnya sampai ke peringkat dipuja dan disembah.

Dari sinilah wujudnya agama yang dikenali sebagai agama Majusi pada zaman Rasulullah SAW. Pada hari Akhirat, manusia akan dihidupkan semula untuk diadili oleh Ahura Mazda.

Manusia akan melalui satu titian yang bernama Cinvat atau Civanto Peretu.

Di bawah titian ini terdapat arus ombak gelombang cairan logam yang bernyala-nyala (neraka). Titian ini sangat halus, lebih halus daripada rambut.

Orang baik akan dimasukkan ke dalam Paridaeza (Paradise, Firdaus). Yang jahat akan dimasukkan ke dalam Gehannam (Jahannam).

Solat

Sembahyang mereka 5 kali sehari semalam dan sebelum sembahyang, ada upacara seakan-akan wudhuk.

4 unsur alam dipandang suci iaitu tanah, api, air dan angin. Oleh itu mayat tidak boleh terkena semua itu. Maka mereka tidak mengebumikan mayat, membakar mayat, tidak menghanyutkan mayat dan tidak membiarkan mayat begitu sahaja.

Sebaliknya, mereka menjalankan upacara ‘pengebumian langit’.

Terpadamnya Api Majusi

Di manakah lokasi yang dikatakan apinya menyala selama ribuan tahun dan tidak pernah terpadam?

Mengikut beberapa sumber bacaan, api yang dinyalakan ini dipastikan terletak di salah satu kuil api sembahan penganut agama Majusi.

Menurut beberapa maklumat, ‘eternal fire’ yang terpadam dalam peristiwa ini terletak di suatu lokasi bernama Istahrabad.

Tetapi sumber lain pula mengatakan, api yang menyala selama ribuan tahun di kesemua kuil di bawah jajahan empayar Parsi terpadam terus pada malam kelahiran baginda.

Sebenarnya, pada zaman pemerintahan Bani Sasan, mereka telah membina banyak benteng yang kukuh serta ratusan mungkin ribuan kuil menyembah api kerana Dinasti Bani Sasan menjadikan agama Majusi sebagai agama rasmi empayarnya.

Pada masa kini, hanya ditemui beberapa buah sahaja kuil api yang masih terselamat di sekitar wilayah negara Iran kerana kebanyakan kuil api ini dihancurkan oleh tentera Islam ketika mereka mula memasuki dan membebaskan beberapa kota serta daerah di tanah Parsi.

Diantara kuil api yang terselamat pada masa itu adalah kuil api Atashgha yang terletak di puncak bukit dalam daerah Isfahan, Iran berketinggian sekitar 210 meter.

Mungkin kerana kedudukannya terlalu tinggi pada waktu itu, tentera Islam tidak memusnahkan ia kerana kawasannya yang licin dan berbahaya.

Tanda terpadamnya api ini menunjukkan bahawasanya telah lahir seorang manusia yang bakal memadamkan kepercayaan menyembah api dan akan membawa ajaran baru yang bakal menjadi tentangan kuat ke atas penganut agama Majusi.

Nota: Hadis tidak sahih tentang peristiwa ini.

Penganut

Penganut agama Majusi dianggarkan seramai 200,000 pada tahun 1996.

Di India sahaja, jumlah penganutnya adalah seramai 69,601 (bancian 2001), di Pakistan, jumlahnya seramai 5,000 orang dan kebanyakan mereka bertumpu di Karachi.

Terdapat juga beberapa penganut agama Majusi di Asia Tengah dan Iran.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Pembekal Kunyit Hitam (Curcuma Caesia) Di Malaysia

Pembekal Kunyit Hitam (Curcuma Caesia) Di Malaysia

Kunyit Hitam dengan nama saintifiknya Curcuma Caesia, sememangnya sangat bermanfaat dan berkhasiat terhadap kesihatan manusia, adalah herba terulung yang diklasifikasikan sebagai Ginseng sememangnya telah terbukti di dalam bidang perubatan.

Pokok rizom Kunyit Hitam
Kunyit Hitam (Curcuma Caesia).

Oleh kerana kesukaran pembiakan, Kunyit Hitam asli kini dianggap sebagai tumbuhan spesies terancam di Malaysia kerana tiada penanaman secara komersial dijalankan setakat ini, dan diklasifikasikan sebagai 'Herba Saka' kerana khasiatnya yang tinggi dan kaedah pembiakannya yang unik dan sukar.

Hasil kajian mengenal pasti kunyit hitam mengandungi kandungan bioaktif fitokimia yang sangat unik dan sukar didapati di dalam tumbuhan lain iaitu Bioaktif  Methoxyflavon, yang sangat diperlukan oleh tubuh bagi membantu mengurangkan serta menghalang terjadinya pelbagai penyakit.

Kunyit Hitam juga mengandungi antioksidan yang sangat tinggi sehingga 86% di mana antioksidan sangat diperlukan oleh tubuh untuk menyahkan radikal bebas di dalam tubuh manusia.

2 Jenis Kunyit Hitam

Kunyit dan Halia Hitam

Di Malaysia terdapat dua jenis kunyit hitam dan mempunyai nilai perubatan tradisional yang sangat tinggi dan amat sukar di temui.

Curcuma Caesia (Kunyit Hitam)
  • Lazimnya Curcuma caesia mempunyai rhizome bewarna biru kehijauan.
  • Pokoknya hampir sama dengan pokok kunyit. perbezaan nya Curcuma Caesia mempunyai garisan hitam di daunnya. Pokok Curcuma Caesia biasanya setinggi 1 meter dan mempunyai bunga bewarna merah kehijauan.
  • Curcuma Caesia dilaporkan berasal dari India, China dan juga Timur Tengah seperti Turki.

Kunyit hitam
Curcuma caesia.

Curcuma Caesia lebih tepat digelar Kunyit Hitam kerana perkatan Curcuma adalah merujuk kepada keluarga 'Turmeric' (kunyit), adalah dari keluarga Kunyit.

Panggilan untuk Curcuma Caesia:
  • Malaysia: Kunyit Hitam
  • India: Kali Haldi
  • English: Black Turmeric
  • China: Black Zedoary

Kaempferia Parviflora (Halia Hitam)
  • Kaempferia Parviflora mempunyai rhizome bewarna purple tua kehitaman.
  • Pokok kaempferia parviflora lebih mirip kepada pokok cekur dan biasanya setinggi 0.5 meter dan mempunyai bunga bewarna putih merah di dahan.
  • Kaempferia Parviflora berasal dari Thailand, Burma dan vietnam.

Halia hitam
Kaempferia Parviflora.

Kaempferia Parviflora sebenarnya lebih dikenali dengan nama 'Halia Hitam'. Perkataan Kampfea itu sendiri merujuk kepada keluarga “Ginger” (Halia), adalah dari keluarga halia atau cekur.

KUNYIT HITAM (Curcuma Caesia) PALING BERNILAI DIPASARAN!

Harga Kunyit Hitam

Harga pasaran sekilo Curcuma Caesia.

Harga Curcuma Caesia

Harga pasaran sekilo Kaempferia Parviflora.

Harga Kaempferia Parviflora

Khasiat Kunyit Hitam (Kajian MARDI):
  • Peningkatan tenaga.
  • Meningkatkan kekuatan otot.
  • Diperkaya dengan antioksidan.
  • Membantu rawatan resdung tahap kronik, alahan dan kegatalan.
  • Antigastrik/ulser.
  • Merangsang penghadaman dan mengelakkan sembelit serta buasir.
  • Rangsangan prestasi seksual (wanita) dan menopaus.
  • Mencegah masalah obesiti dan diabetes.
  • Membantu rawatan migrain dan sakit kepala.
  • Mencegah penyakit kardiovaskular (strok dan jantung), peningkatan peredaran darah.
  • Antibarah.

KENAPA HARGA KUNYIT HITAM SANGAT MAHAL?
  • Kunyit hitam adalah sejenis herba yang sukar di temui tetapi mempunyai permintaan yang tinggi didalam perubatan dan kesihatan.
  • Bagi menghasilkan tunas pada rizom, ia mengambil masa antara 2 hingga 6 minggu.
  • Hasil kunyit hitam diperolehi hanya sekali dalam setahun apabila ianya cukup matang. Ketika itu daun pokok kunyit hitam akan mengering dan mati. Proses ini berlaku ketika pokok berusia antara 9 hingga 12 bulan.
  • Hasil isi/rizom Kunyit Hitam setiap pokok biasanya tidak melebihi 100 gram.
  • Apabila sesebuah pokok telah dituai, pokok itu kini perlu ditanam semula dengan benih tanaman pokok kunyit hitam yang baharu.
  • Penggunaan tanah yang bersesuaian dan memerlukan penjagaan yang rapi.
  • Membantu meningkatkan prestasi seksual dan tenaga fizikal.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com