Sunday, January 05, 2020

Guru Nanak: Pengasas Agama Sikh


Guru Nanak Dev (15 April 1469 – 22 September 1539) ialah pengasas agama Sikh dan guru yang sulung antara sepuluh guru aliran agama Sikhisme, muncul pada abad ke 16 semasa berlakunya konflik diantara penganut agama Islam dan Hindu.

Pengasas agama Sikh
Gambar hiasan.

Perkataan ‘Sikh’ dalam bahasa Punjabi, bermaksud ‘Pengikut’ ataupun ‘Pelajar’, diasaskan oleh Guru Nanak dan sembilan orang pengikutnya yang turut digelar sebagai Guru di daerah Punjab.

Agama Sikh merupakan sebuah agama termuda berbanding agama-agama lain dan muncul sekitar 500 tahun yang lalu di India.

Perkataan Sikh merujuk kepada orang ataupun golongan yang menganut agama Sikhisme, berasal dari bahasa Sanskrit iaitu Shishya yang bermaksud pelajar.

Pada masa kini, jumlah penganut agama Sikh melebihi 23 juta orang di seluruh dunia dengan kadar 0.32 peratus penduduk dunia.

SGPC

Selain itu, antara definisi ‘Sikh’ yang diterima pakai oleh orang Sikh pada hari ini ialah definisi yang ditetapkan oleh Shiromani Gurdwara Parbandhak Committee (SGPC) iaitu; "Orang Sikh ialah wanita atau lelaki yang mempercayai Tuhan yang satu, 10 orang Guru Sikh iaitu dari Guru Nanak hingga Guru Gobind Singh, percaya kepada Guru Granth Sahib, menjalani amrit dan tidak menerima agama-agama lain."

SGPC merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengatasi masalah melibatkan penganut Sikh di seluruh dunia.

Pada 16 November 2003, Institute of Sikh Studies (IOSS) dalam seminar tahunannya telah meluluskan resolusi supaya SGPC mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah badan tertinggi yang mewakili semua organisasi Sikh dari seluruh dunia.

Ini bertujuan untuk menjaga kepentingan dan menyelesaikan krisis-krisis yang dihadapi oleh penganut Sikh di seluruh dunia, antaranya ialah perpecahan, masalah identiti dan peristiwa orang Sikh yang keluar dari agama Sikh dan memeluk agama lain.

SGPC ini bertanggungjawab menguruskan gurdwara, keselamatan, kewangan, kemudahan penyelenggaraan serta menjaga artifak suci Sikh seperti senjata, pakaian, buku-buku dan tulisan-tulisan Guru Sikh.

PERBEZAAN AGAMA

Sikhisme lahir apabila Guru Nanak bergelut dengan realiti kehidupan beragama itu sendiri – bagaimana agama, kaum dan status sosial yang berbeza telah memisahkan masyarakat.

Ianya dipengaruhi oleh pergerakan reformasi agama Hindu dan pergerakan Sufi di India.

ASAL-USUL KELAHIRAN AGAMA SIKH

Dari segi sejarah, agama Sikh diinspirasikan oleh dua orang tokoh reformis agama Hindu iaitu Ramanand (1400-1470 Masihi ) dan Kabir (1440-1518 Masihi).

Ramanand merupakan seorang penganut agama Hindu dan juga seorang penyair yang dilahirkan dalam keluarga Brahmin.

Beliau juga dikenali dengan nama Jagadguru Ramanandacharya, namun disebabkan beliau tidak bersetuju dengan sistem kasta yang terlalu ditekankan oleh golongan Brahmin, beliau telah mengasaskan satu aliran dalam agama Hindu yang dikenali sebagai Gerakan Hindu Bhakti.

Diantara kandungan ajarannya ialah beliau sangat mencela penyembahan berhala.

Kebanyakan syair yang dikarang beliau mengajar bahawa tuhan itu esa, kebenaran merupakan sahabat yang paling rapat kepada manusia dan hidup bersederhana itu merupakan jalan terbaik untuk mencapai Nirwana.

Keadaan ini memberitahu kita bahawa, ajaran yang dibawa oleh Ramanand masih terikat dengan ajaran Hindu yang mana berpegang bahawa Nirwana merupakan balasan terhadap perbuatan baik.

HUKUM KARMA DAN KELAHIRAN SEMULA

Selain itu, Ramanand juga masih mempercayai hukum Karma dan Reinkarnasi.

Hukum Karma bermaksud balasan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh manusia sepanjang hidupnya.

Manakala Reinkarnasi pula merupakan penjelmaan kembali makhluk yang telah mati untuk menerima balasan diatas kejahatan yang dilakukannnya.

Manakal Kabir pula merupakan seorang lelaki miskin daripada kasta paling rendah agama Hindu.

Ayah kabir meninggal dunia sewaktu Kabir masih kecil dan beliau dibesarkan oleh ibunya sehingga berumur setahun.

Disebabkan kesempitan hidup, ibu Kabir telah mengambil keputusan untuk menghanyutkannya ke sungai Gangga di daerah Banares.

Beliau bernasib baik kerana telah dijumpai oleh sepasang suami isteri bernama Niru dan Nima yang beragama Islam.

Apabila dewasa, Kabir telah dihantar oleh kedua ibu bapa angkatnya untuk mempelajari ilmu di Varanasari.

Pada usia 16 tahun, beliau telah mempelajari ajaran-ajaran yang terdapat di dalam agama Islam dan Hindu.

Di samping itu Kabir juga sangat meminati syair-syair yang dihasilkan Ramanand.

Walaupun Kabir mempunyai ilmu pengetahuan tentang ajaran-ajaran di dalam agama Islam dan Hindu, beliau masih tidak berpuas hati terhadap keduanya malah lebih tertarik kepada karya-karya Ramanand.

Kabir akhirnya telah membentuk ajarannya sendiri yang dikenali sebagai Kabir Panthis yang bermaksud pengikut jalan Kabir.

Beliau juga telah menulis ajarannya yang digubah dalam bentuk syair dan mendakwa semua agama mempunyai kebenaran dan hanya ada satu tuhan sahaja.

Akhirnya, idea yang dicetuskan Kabir ini telah dikembangkan oleh Guru Nanak yang menjadi pengasas kepada agama Sikh.

Pada asasnya, Guru Nanak telah menentang segala jenis ritual dan beliau tidak bertujuan untuk membentuk ajaran baru.

Ajaran beliau adalah lebih berbentuk kepada peraturan kemasyarakatan yang mana masyarakat ketika itu mengalami kekeliruan diantara kepercayaan tradisi agama Hindu dan ajaran tauhid dari penyebaran agama Islam.

Percubaan menyebarkan Islam ke India telah dimulakan sejak zaman Khulafa al-Rasyidin lagi.

Usaha murni ini telah diteruskan di bawah pemerintahan kerajaan Umaiyah terutamnya pada pemerintahan khalifah al-Walid bin Abd al-Malik.

Sekitar tahun 711-712 Masihi, melalui ekspedisi yang dipimpin oleh panglima Muhammad bin al-Qasim yang telah mengetuai angkatan tentera menuju ke India dan memulakan perkembangan peradaban Islam di India.

GERAKAN BAKHTI

Pada abab ke 15, telah berlakunya Gerakan Bakhti yang diasaskan oleh Ramanand di India.

Gerakan ini bertujuan untuk mengkritik amalan-amalan yang melibatkan tatacara dalam upacara keagamaan dan tahyul pada zaman tersebut.

Para pendokong gerakan ini menegaskan bahawa tujuan dari Hinduisme dan Islam adalah sama.

Segala perbezaan diantara keduanya tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan dalam agama. Pada zaman ini jugalah Guru Nanak dilahirkan.

Latar belakang

Guru Nanak di lahirkan pada 15 April 1469 di sebuah perkampungan bernama Talwandi yang kini diberi nama ‘Nankana Sahib’ berdekatan Lahore, Pakistan dan meninggal dunia pada 22 September 1539.

Ayahnya bernama Mehta Kalu manakala ibunya bernama Tripta. Beliau berketurunan bangsawan beragama Hindu.

Beliau juga amat tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Ramanand dan Kabir Panthis.

Pada tahun 1488, beliau telah berkahwin dengan Sulakhani pada usianya 19 tahun dan dikurniakan dua orang putera.

Keadaan hubungan diantara agama Hindu dan Islam pada waktu tersebut diselubungi pelbagai permasalahan dan persengketaan.

Pada masa awalnya, Guru Nanak kelihatan mempunyai sifat ingin tahu yang penuh dengan pertanyaan dan menolak pemakaian benang "suci" ritual yang dipanggil Janeu.

Sebaliknya, Guru Nanak mengatakan bahawa beliau akan memakai nama benar Tuhan dalam hatinya sebagai perlindungan kerana benang boleh putus, menjadi kotor, terbakar, atau hilang dan sama sekali tidak dapat memberikan sebarang keselamatan.

Sebagai seorang yang bukan sami, Guru Nanak meneruskan misi hidupnya untuk:

"Memimpin orang-orang ke laluan benar Tuhan, serta mengikut ajaran kitab Bani secara langsung tanpa keperluan untuk sebarang sami; melenyapkan kepercayaan karut; mengajar orang-orang memberhentikan amalan upacara amal, dan menjauhkan diri daripada " Lima Pencuri."

Guru Nanak berkahwin dengan Sulakhni yang merupakan anak perempuan Moolchand Chona, seorang pedagang dari Batala.

Mereka dikurniakan dengan dua anak lelaki, Sri Chand dan Lakshmi Das. Abang iparnya, Ram yang merupakan suami kepada kakaknya (Nanki), telah mendapatkan pekerjaan untuknya di Sultanpur sebagai pengurus untuk sebuah jabatan kerajaan.

Pada suatu pagi ketika Guru Nanak berumur 28 tahun (atau 30 tahun), beliau pergi seperti biasa ke Sungai Veeyin untuk mandi dan bertafakur.

Beliau dikatakan hilang dan dianggap mati lemas di Sungai Kali Bein selama tiga hari dan ketika kemunculannya, beliau dikatakan "dipenuhi dengan roh Tuhan."

Sifat yang tepat untuk peristiwa ini terbuka untuk tafsiran peribadi, dan dapat ditafsirkan sebagai "ketuhanan mitos" atau "pemahaman yang amat mendalam."

Beliau muncul tiga hari selepas itu dan membuat pengishtiharan bahawa, "Tiada Hindu dan tiada Muslim, jadi jalan milik siapa yang harus aku ikuti? Aku bakal mengikuti jalan Tuhan."

Kata-katanya yang pertama selepas kemunculan semula adalah: "tiadanya orang Hindu, tiadanya orang Muslim."

Dengan prinsip kemanusiaan ini, beliau memulakan kerja-kerja mubaligh.

PENGEMBARAAN

Sepanjang kehidupan beliau, Guru Nanak telah melakukan empat pengembaraan yang besar – perjalanan yang pertama ke arah timur iaitu menghala ke Bengal dan Assam, kedua ke arah selatan iaitu menghala ke Andhra dan Tamil Nadu, ketiga ke arah utara menghala ke Kashmir, Ladakh, dan Tibet, keempat ke arah barat menghala ke Baghdad dan Mekah.

TIGA TUNGGAK SIKHISME

Di Sultanpur, Guru Nanak menformalkan tiga tunggak Sikhisme yang penting:
  • Mengamalkan Simran dan Naam Japna — bertafakur tentang Tuhan dan membaca serta mengulangi sebutan Waheguru , nama Tuhan;
  • Mengamalkan hidup berumah tangga serta Kirat Karni, iaitu memperoleh pendapatan yang jujur melalui usaha fizikal dan mental semasa menerima rezeki dan rahmat Tuhan;
  • Berkongsi kekayaan dalam komuniti dengan mengamalkan Wand kay Shako, iaitu "Berkongsi dan berbelanja bersama-sama."

KISAH

Terdapat sebuah cerita yang menyokong tunggak kedua itu. Dalam salah satu perjalanannya, Guru Nanak tiba di sebuah kampung dan bermalam di sana.

Di kampung ini tinggal dua orang, iaitu seorang kaya dan seorang petani miskin. Oleh sebab Guru Nanak memilih untuk tinggal di rumah orang miskin walaupun diberikan kemewahan rumah orang kaya, orang kaya itu berang dan mendesak penjelasan.

Guru Nanak menyuruh kedua-dua orang untuk membawa sekeping roti capati daripada rumah masing-masing.

Ketika beliau memicit kedua-dua roti capati itu, susu mengalir daripada roti capati orang miskin tetapi darah mengalir daripada roti orang kaya.

Pengajaran daripada cerita ini adalah, orang kaya itu menggunakan cara yang tidak beretika untuk memperoleh kekayaan (iaitu eksploitasi), sedangkan orang yang miskin memperoleh pendapatannya yang walaupun hanya sedikit, merupakan cara yang jujur dan rajin.

KEPERCAYAAN DAN SUMBANGAN LAIN

Guru Nanak dihormati oleh kedua-dua golongan Hindu dan Muslim. Beliau mempunyai banyak kepercayaan yang tidak popular pada masanya tetapi kini diterima secara meluas;

Kesamaan Manusia

Ketika pengabdian dan diskriminasi ras masih merebak di dunia Barat dan penghormatan antara kelas dan kasta adalah pada aras yang paling rendah, Guru Nanak berkhutbah terhadap diskriminasi dan prasangka yang disebabkan oleh ras, kasta, taraf, dan sebagainya.

Beliau berkata: "Nampak persaudaraan antara semua manusia sebagai tahap yogi yang tertinggi; taklukkan pemikiran kamu dan menaklukkan dunia." (SGGS m.s. 6)

"Terdapat hanya satu kesedaran antara semua makhluk." (m.s. 24)

"Sesiapa yang mengenal pasti Satu Tuhan antara semua makhluk tidak akan bercakap tentang keakuan." (m.s. 432).

Guru Nanak menegaskan kepada semua orang di dunia tentang keperluan untuk "menaklukkan" pemikiran masing-masing terhadap amalan-amalan yang jahat.

Semua manusia mempunyai cahaya Tuhan dan adalah sama — hanya dengan menahan keangkuhan dan keakuan bahawa seseorang dapat melihat cahaya ini pada keseluruhannya.

Kesamaan Wanita

Pada sekitar 1499 ketika dunia masih tidak memberikan status atau kehormatan kepada wanita, Guru Nanak mengangkat kedudukan wanita melalui perutusan ini: "Dari perempuan, lelaki dilahirkan; dalam perempuan, lelaki jadi; melalui perempuan, generasi-generasi hadapan akan datang. Ketika isterinya mati, dia mencari perempuan lain; kepada perempuan, dia terikat. Oleh itu, mengapa mengatanya buruk? Dari perempuan, raja-raja dilahirkan. Dari perempuan, perempuan dilahirkan; tanpa perempuan, tidak akan terdapat sesiapa pun. Ya Nanak, hanya Tuhan Benar tidak mempunyai perempuan." (m.s. 473).

Dengan itu, beliau mempromosikan kesamaan wanita sejak abad ke-15.

PERUTUSAN SEJAGAT

Adalah adat resam pada masa itu bagi pemimpin-pemimpin agama untuk berucap hanya kepada jemaah mereka dan untuk mengasingkan agama-agama lain.

Guru Nanak menyimpang daripada tradisi ini dan berucap kepada semua manusia.

Kepada orang-orang Islam, beliau berkata: "Dan ketika, ya Nanak, dia menaruh belas kasihan terhadap semua makhluk, hanya kemudian bahawa dia boleh dipanggil orang Islam." (m.s. 141)

Kepada orang-orang Hindu, beliau berkata: "Ya Nanak, tanpa Nama Benar, apakah gunanya tanda dahi orang-orang Hindu, atau benang suci mereka?" (m.s. 467)

Dan kepada semua orang, beliau berkhutbah: "Mengambil harta orang adalah serupa sahaja dengan orang Islam memakan daging babi, atau orang Hindu memakan daging lembu." (m.s. 141).

EMPAT PERJALANAN

Sejarah mengatakan bahawa Guru Nanak membuat empat perjalanan yang utama ke seluruh kawasan di India, serta ke Arab Saudi dan Parsi.

Beliau melawat Mekah dan Baghdad, dan berucap kepada penganut-penganut Hinduisme, Jainisme, Budhisme, Zoroastrianisme dan Islam.

Beliau memberi ucapan di dalam kuil dan masjid, serta di pelbagai tempat ziarah. Di mana-mana Guru Nanak pergi, beliau bersuara menentang upacara amal yang kosong, penziarahan, sistem kasta, pengorbanan balu, pergantungan kepada buku-buku untuk membelajari agama yang benar, serta rukun-rukun lain yang mentakrifkan ajarannya.

Tidak pernah beliau menyuruh sebarang pendengar untuk mengikutnya.

Beliau menyuruh orang Islam untuk menjadi orang Islam yang benar, dan orang Hindu untuk menjadi Hindu yang benar.

Selepas perjalanan utamanya yang terakhir, Guru Nanak menetap di bandar Kartapur (di Punjab) yang terletak di tebing Sungai Ravi dan mengajar selama lima belas tahun lagi.

Pengikut-pengikut dari seluruh tempat datang untuk menetap di Kartapur supaya dapat mendengar, bernyanyi dan hidup bersama dengannya.

Pada masanya, walaupun pengikut-pengikutnya masih mengekalkan agama masing-masing, mereka dikenali sebagai pengikut Guru, atau orang Sikh.

Adalah di sini bahawa pengikut-pengikut Guru Nanak merujuk kepadanya sebagai guru.

Beliau memberitahu pengikut-pengikutnya bahawa, mereka tetap merupakan orang berumah tangga dan dan tidak boleh hidup berasingan daripada dunia — tidak adanya pendeta atau pertapa.

Sini adalah tempat di mana Guru Nanak memperkenalkan Langar yang memerlukan orang kaya dan miskin, orang Hindu dan Muslim, serta orang berkasta tinggi dan rendah, untuk duduk bersama-sama semasa makan.

Sini juga merupakan tempat di mana Lehna, kemudian Guru Angad, datang untuk tinggal bersama-sama dengan Guru Nanak.

KEMATIAN

Guru Nanak dengan Mardana (kiri) dan Bala Turisan kayu berwarna, Amritsar atau Lahore, pada sekitar 1875.

Guru Nanak menghabiskan tahun-tahun terakhirnya di Kartarpur. Beliau akan bangun pada setiap waktu fajar untuk berdoa dan kemudian pada waktu subuh, Guru Nanak akan berucap kepada pengikut-pengikutnya.

Beliau bekerja di bilik dalam dapur yang kini masih dikenali sebagai 'langar'.

Makanan yang disediakan dimakan oleh semua orang, baik orang Hindu atau Muslim, orang kaya atau miskin dan orang berkasta tinggi atau rendah.

Beliau mengerjakan ladang dan memperoleh punca pendapatan dengan hasil pencarian sendiri.

Pada 22 September 1539, ketika berumur 70 tahun, Guru Nanak meninggal dunia selepas beliau meminta pengikut-pengikutnya untuk menyanyi Sohila (pujian kepada Tuhan).

Pada suatu masa, ketika Guru Nanak ditanya mana satu agama, Hinduisme atau Islam, merupakan laluan yang benar ke Tuhan, beliau menjawab bahawa cara yang benar untuk mencapai Tuhan ialah untuk menyembah kepada-Nya yang abadi dan terdapat di seluruh Alam Semesta.

BUDAYA RAKYAT

Legenda mengatakan bahawa ketika kematian Guru Nanak, pengikut-pengikutnya hendak membakar mayatnya sedangkan pengikut-pengikut Muslim hendak mengebumikan mayatnya mengikut tradisi Islam.

Bagaimanapun, ketika mereka menaikkan kafan Guru Nanak, mereka melihat bunga segar yang kemudiannya dibahagikan kepada pengikut-pengikut masing-masing.

Orang Hindu membakar bunga itu, sedangkan orang Islam mengebumikan bunga mereka.

10 GURU

Selepas kematian Guru Nanak, peranan Guru diambil alih dan diteruskan lagi dengan sepuluh guru.

Guru yang terakhir, Guru Gobind Singh meninggal pada 7hb Oktober 1708.

ASAS AGAMA SIKH

Konsep asas agama Sikh adalah sama seperti agama Islam, Kristian dan juga Judaism iaitu berasaskan monotheisme.

Tetapi konsep tuhan agama sikhisme berbeza dengan agama lain. Ianya dikenali sebagai ‘Ik Oknar’ yang bermaksud ‘Satu Realiti Tertinggi’.

Menurut Guru Nanak, proses memahami Tuhan menjangkaui kebolehan akal manusia tetapi pada masa yang sama, Tuhan itu dapat dikenali.

Sama seperti pemahaman Sufisme, Tuhan wujud dan dapat dikenali melalui kesemua benda yang wujud dan dapat dilihat oleh manusia yang telah mencapai kemuncak pencerahan.

Mengikut ajaran Guru Nanak, penebusan dosa tidak bermaksud memasuki syurga setelah penghakiman yang terakhir, tetapi melalui persatuan dan penyerapan ke dalam Tuhan.

Para penganut Sikh tidak mempercayai syurga ataupun neraka.

KITAB AGAMA SIKH

Sumber utama kitab kepada agama Sikhisme adalah Gurū Granth Sāhib, versi terakhir kepada Ādi Granth yang dicipta oleh Guru Arjan pada tahun 1604.

Kitab Ādi Granth ditulis di dalam huruf Gurmukhī, diguna secara meluas di daerah Punjabi, berasal daripada istilah Punjabi lama “gurumukhī” yang bermaksud “daripada mulut si guru”.

Antara kitab-kitab lain yang utama bagi agama Sikh adalah kitab Dasam Granth dan Janamsakhis.

Janamsakhis merupakan buku yang menceritakan kisah tentang Guru Sikh yang pertama, sebuah buku biografi tentang Guru Nanak.

SISTEM LANGAR

Konsep ‘Langar’ merupakan konsep makanan/kantin percuma yang terbuka kepada semua orang secara adil dan saksama, menjangkaui batasan kaum, agama, ataupun status sosial.

Pada abad ke-16 di India, ianya merupakan suatu konsep yang revolusioner, dimana masyarakat pada masa itu masih bersendikan tahap kasta yang berbeza.

Melalui aktiviti Langar, hanya sayuran sahaja yang diberikan, untuk memastikan bahawa kesemuanya dapat makan secara adil dan saksama, tanpa menghiraukan batasan diet.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon