Sunday, February 02, 2020

Sejarah Dan Asal-usul Agama Majusi, Ajaran Yang Menyembah Api


Majusi atau Zoroastrianisme adalah sebuah ajaran purba Parsi yang diasaskan oleh Zarathustra, yang bukan sahaja sebuah agama, tetapi sebuah falsafah kehidupan, juga disebut agama penyembah api dan Magianisme.

Asal-usul Agama Majusi

Agama ini dikenali sebagai agama Parsi lama, Zarathustra, Zoroaster, Zoroasterisme, sebelum kemudiannya dikenali sebagai Agama Majusi.

Sebelum kelahiran nabi Muhammad, agama ini merupakan agama yang utama di Timur Tengah dan Asia Tengah, namun pada hari ini, penganutnya adalah minoriti dimana kebanyakan mereka bertumpu di India.

Sejarah

Catatan pertama mengenai agama Majusi bertarikh sekitar pertengahan abad ke lima sebelum masihi (SM). Ia adalah tulisan Herodotus yang bertajuk Sejarah (diterbitkan pada 440 SM) yang mana penulisan ini menceritakan mengenai bangsa Iran purba.

Tulisan beliau merupakan sumber utama mengenai sejarah awal Empayar Achaemenid (648 SM – 330 SM) dan dalam penulisan beliau, orang Parsi digelar sebagai Medes atau Mada dan Parsi ketika itu, yang terbahagi kepada beberapa puak.

Puak-puak ini kemudiannya disatukan dibawah pemerintahan Cyrus Agung yang merupakan raja Achaemenid.

Dalam penulisan ini juga, tersebut puak ke-enam Medes yang digelar Magi, yang berkemungkinan adalah golongan paderi dan mereka ini mempunyai pengaruh yang kuat dalam pentadbiran Medes.

Magi berpegang kepada ajaran Zurvanisme, salah satu cabang agama Majusi.

Empayar-empayar Parsi kemudiannya disatukan dibawah pimpinan Cyrus Agung diikuti dengan puteranya, Cambyses II.

Kuasa Magi ketika zaman mereka ini disekat menyebabkan pemberontakan pada tahun 522 SM.

Golongan Magi ini kemudiannya mencalonkan Smerdis sebagai raja Parsi dan mendakwa bahawa beliau adalah putera Cyrus.

Pencalonan ini tidak mendapat bantahan daripada jajahan-jajahan Parsi kerana Cambyses yang memerintah Parsi ketika itu adalah seorang ketua dengan sikap kuku besi dan selalu menghabiskan masa di Mesir berbanding Parsi.

Malah, Smerdis menjanjikan pelepasan cukai selama tiga tahun kepada rakyat Parsi. (Herodotus iii. 68).

Inskripsi Behistun
Inskripsi Behistun.

Menurut Inskripsi Behistun, Smerdis memerintah selama tujuh tahun sebelum digulingkan oleh Darius I pada tahun 521 SM.

Golongan Magi kemudiannya ditindas dibawah pemerintahan Darius walaupun beliau mendakwa berpegang kepada ajaran Ahura Mazda, sebuah konsep ketuhanan dalam agama Majusi.

Terdapat beberapa cubaan dari golongan Magi untuk menjatuhkan Darius, tetapi cubaan-cubaan ini berakhir dengan kegagalan.

Namun begitu, agama Majusi mula membina kegemilangannya didalam masyarakat Parsi ketika zaman Achaemenid dan banyak manuskrip-manuskrip lama mengenai agama ini diterbitkan ketika pemerintahan Achaemenid.

Malah, kalender Majusi juga turut diperkenalkan ketika zaman ini.

Ketika pemerintahan dinasti Seleucid dan Parthia pula, status agama ini kurang jelas.

Kemudian, Parsi jatuh ke tangan Iskandar Agung dimana banyak hasil tulisan agama Majusi dimusnahkan.

Ketika zaman Sassanid, agama Majusi sekali lagi mencapai kegemilangannya.

Dimana saja Sassanid menawan sesebuah wilayah itu, mereka akan membina kuil Majusi bagi mempromosikan agama ini.

Namun begitu, pada masa yang sama, mereka mula menindas orang Nasrani dan penganut Manichaeisme.

Pemerintah Sassanid berasa curiga terhadap Nasrani kerana mereka mempunyai hubungan yang rapat dengan Empayar Rom.

Kepercayaan Majusi kemudiannya berkembang sehingga ke China melalui Jalan Sutera.

Pada abad ke tujuh, empayar Sassanid kalah di tangan Arab dan titik ini merupakan penutup kegemilangan Majusi.

Penganut Majusi kemudiannya mula memeluk agama Islam namun begitu, terdapat beberapa kumpulan yang enggan diperintah oleh kerajaan Islam dan mereka ini melarikan diri ke India.

Nabi Agama Majusi

Zarathustra dipercayai hidup sekitar 500-600 tahun SM dan dikatakan lahir dalam keadaan tersenyum.

Lahir sahaja Zarathustra, Raja Durasan terus bergementar, kerana tukang tiliknya memberitahu bahawa ada seorang anak akan dilahirkan, yang akan menggugat kedudukan raja.

Raja Duarasan telah memerintahkan 3 orang suruhan menculik bayi itu dan mencampakkannya ke dalam nyalaan api sebuah kuil agama Parsi. Bayi itu tidak terbakar, malah bermain-main dengan api tersebut.

Sekali lagi bayi itu diletakkan di tengah padang lembu agar dia dipijak-pijak, tetapi salah seekor lembu datang dan mengawal bayi itu.

Kemudian, bayi ini diletakkan dalam gua serigala, namun ketika serigala-serigala hendak masuk, kaki serigaal-serigala itu terpaku ke tanah. Kemudian datang dua ekor kambing menyusukan si bayi.

Cubaan Raja Durasan membunuh Zarathustra gagal.

Setelah dewasa, Zarathustra pergi beruzlah, berkhalwat, bermeditasi di Gunung Sabalan.

Suatu hari Zarathustra didatangi Vonu Manah (utusan Tuhan iaitu malaikat) yang menyampaikan kata-kata Tuhan (wahyu) kepadanya.

Antara wahyu yang sampai kepadanya ialah, “Orang inilah yang Aku (Tuhan) temui di sini, yang dia seorang sahaja sudah menerima wahyu Kami.”

Menurut Zarathustra, Tuhan iaitu Ahura Mazda sentiasa menyeru manusia ke arah cahaya, kebaikan dan kebenaran.

Manakala ada satu lagi kuasa jahat iaitu Ahriman (atau Angro Mainyu) yang sentiasa menyeru manusia ke arah kegelapan, kesesatan dan kejahatan.

Cara untuk mengalahkan Ahriman ialah melalui tiga cara: fikir yang baik-baik, cakap yang baik-baik dan buat yang baik-baik. Tiga cara ini disebut humata, hukata dan huvarsta.

Zarathustra juga melarang penyembahan berhala dan dewa-dewi. Lebih kurang 10 tahun berdakwah, dia hanya dapat seorang pengikut yang benar-benar beriman.

Pada usia 40 tahun, dia menukar strategi dengan berdakwah kepada raja zaman itu iaitu Kavi Vishtapa.

Raja kemudiannya bersetuju memeluk agama Zarathustra sekiranya Zarathustra menang perdebatan dengan tokoh-tokoh agama kerajaan.

Perdebatan berlangsung selama 3 hari dan ternyata Zarathustra di pihak yang benar. Raja dan rakyat pun memeluk ajaran Zarathustra.

Jiwa orang yang mati akan diserahkan kepada Pemegang Buku Kehidupan. Humata, hukata dan huvarsta akan disemak.

Sekiranya banyak kebaikan, jiwa itu akan dihantar ke langit (syurga). Yang banyak keburukan, akan dihantar ke neraka yang penuh seksaan.

Kitab Majusi

Kitab suci agama Majusi dikenali sebagai Kitab Avesta atau Zend Avesta.

Kitab Avesta terdiri daripada 21 bab dan setiap bab mengandungi 200 muka surat. Namun, yang tinggal sekarang hanya 5 bab, kerana sebahagian besar kitab yang lain telah musnah ketika serangan Alexander the Great.

Asalnya Kitab Avesta ditulis dalam bahasa Zand (bahasa Parsi kuno). Oleh kerana semakin ramai yang tidak tahu bahasa itu, kitab Avesta diterjemah ke dalam bahasa Pahlavi.

5 bab itu ialah Yasna, Vispered, Vendidad, Yasht dan Khorda Avesta.

Ahura Mazda ada banyak nama, dikatakan ada 101 nama seperti Yang Mencipta, Yang Melihat, Yang Mengetahui, Yang Pengasih, Yang Pemurah, Yang Berkuasa, Yang Besar, Yang Dipuja, Yang Tidak Aad Akhirnya, Yang Suci, Yang Tinggi, Yang Benar, Yang Menyebabkan Segala-galanya, Yang Menolong, Yang Menjaga, Yang Tidak Dapat Dilihat (Yang Ghaib), Yang Agung, Yang Kekal Abadi, Yang Menghitung, dan lain-lain.

Dalam Buku Yashna dikatakan, "Sebutlah dan ulanglah (berzikir) namaKu pada setiap hari dan setiap malam."

Kitab suci agama Majusi terdapat dalam dua bahasa iaitu Zendi dan Pahlvi, namun disamping dua ini, beberapa bentuk tulisan Cuneform juga ditemui.

Naskah Pahlvi menyerupai naskah Parsi kini, tetapi Zendi dan Cuneform berbeza bentuknya.

Dalam kitab suci kuno, ada dua pembahagian penting, satu dikenali sebagai Zend Avesta atau Avesta Zend, dan yang lain adalah Dasatir.

Masing-masing terbahagi lagi dalam dua bahagian iaitu Khurda Avesta dan Kalan Avesta, juga dikenali Zend dan Maha Zend, Khurda Dasatir dan Kalan Dasatir.

Begitu banyak versi yang berbeza-beza tentang jumlah, bahasa, serta bila wahyu diturunkan, namun tidak ada satu pun yang dapat dipastikan.

Menyembah Api

Api dianggap sebagai simbol cahaya, terang dan kebenaran dan selepas zaman Zarathustra, api yang dinyalakan di rumah-rumah ibadah agama Zarathustra mula dianggap mulia dan akhirnya sampai ke peringkat dipuja dan disembah.

Dari sinilah wujudnya agama yang dikenali sebagai agama Majusi pada zaman Rasulullah SAW. Pada hari Akhirat, manusia akan dihidupkan semula untuk diadili oleh Ahura Mazda.

Manusia akan melalui satu titian yang bernama Cinvat atau Civanto Peretu.

Di bawah titian ini terdapat arus ombak gelombang cairan logam yang bernyala-nyala (neraka). Titian ini sangat halus, lebih halus daripada rambut.

Orang baik akan dimasukkan ke dalam Paridaeza (Paradise, Firdaus). Yang jahat akan dimasukkan ke dalam Gehannam (Jahannam).

Solat

Sembahyang mereka 5 kali sehari semalam dan sebelum sembahyang, ada upacara seakan-akan wudhuk.

4 unsur alam dipandang suci iaitu tanah, api, air dan angin. Oleh itu mayat tidak boleh terkena semua itu. Maka mereka tidak mengebumikan mayat, membakar mayat, tidak menghanyutkan mayat dan tidak membiarkan mayat begitu sahaja.

Sebaliknya, mereka menjalankan upacara ‘pengebumian langit’.

Terpadamnya Api Majusi

Di manakah lokasi yang dikatakan apinya menyala selama ribuan tahun dan tidak pernah terpadam?

Mengikut beberapa sumber bacaan, api yang dinyalakan ini dipastikan terletak di salah satu kuil api sembahan penganut agama Majusi.

Menurut beberapa maklumat, ‘eternal fire’ yang terpadam dalam peristiwa ini terletak di suatu lokasi bernama Istahrabad.

Tetapi sumber lain pula mengatakan, api yang menyala selama ribuan tahun di kesemua kuil di bawah jajahan empayar Parsi terpadam terus pada malam kelahiran baginda.

Sebenarnya, pada zaman pemerintahan Bani Sasan, mereka telah membina banyak benteng yang kukuh serta ratusan mungkin ribuan kuil menyembah api kerana Dinasti Bani Sasan menjadikan agama Majusi sebagai agama rasmi empayarnya.

Pada masa kini, hanya ditemui beberapa buah sahaja kuil api yang masih terselamat di sekitar wilayah negara Iran kerana kebanyakan kuil api ini dihancurkan oleh tentera Islam ketika mereka mula memasuki dan membebaskan beberapa kota serta daerah di tanah Parsi.

Diantara kuil api yang terselamat pada masa itu adalah kuil api Atashgha yang terletak di puncak bukit dalam daerah Isfahan, Iran berketinggian sekitar 210 meter.

Mungkin kerana kedudukannya terlalu tinggi pada waktu itu, tentera Islam tidak memusnahkan ia kerana kawasannya yang licin dan berbahaya.

Tanda terpadamnya api ini menunjukkan bahawasanya telah lahir seorang manusia yang bakal memadamkan kepercayaan menyembah api dan akan membawa ajaran baru yang bakal menjadi tentangan kuat ke atas penganut agama Majusi.

Nota: Hadis tidak sahih tentang peristiwa ini.

Penganut

Penganut agama Majusi dianggarkan seramai 200,000 pada tahun 1996.

Di India sahaja, jumlah penganutnya adalah seramai 69,601 (bancian 2001), di Pakistan, jumlahnya seramai 5,000 orang dan kebanyakan mereka bertumpu di Karachi.

Terdapat juga beberapa penganut agama Majusi di Asia Tengah dan Iran.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon