Thursday, October 18, 2018

Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati, Ganti Penjara 30 Tahun Minimum?


Individu disabitkan kesalahan yang membawa hukuman mati, kini hanya akan dikenakan penjara minimum 30 tahun bagi menggantikan hukuman berkenaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Malaysia Mansuhkan Hukuman Mati, Ganti Penjara 30 Tahun Minimum?

Pemansuhan hukuman mati di negara ini membabitkan semua kes jenayah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong.

Beliau berkata, dalam hal itu kerajaan tidak boleh memilih atau mengecualikan hukuman mati berdasarkan kes atau kesalahan tertentu.

“Saya dapat memahami perasaan mangsa, sangat memilukan. Tetapi jika kerajaan mahu menghapuskan (hukuman mati), kita tidak boleh hapuskan separuh saja.

“Kami mahu menghapuskan semua hukuman mati bagi setiap kesalahan jenayah,” katanya.

Liew Vui Keong berkata, hukuman penjara minimum 30 tahun akan dilaksanakan bagi menggantikan hukuman mati, jika pemansuhannya diluluskan Parlimen.

Selain Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 di mana pesalah dikenakan hukuman mati mandatori, terdapat 17 kesalahan jenayah lain yang membawa kepada hukuman sama.

Ia termasuk melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan raja, keganasan, pembunuhan, cubaan untuk membunuh ketika menjalani penjara seumur hidup, pembunuhan mangsa ketika diculik, memiliki dan menggunakan senjata api serta merogol hingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat bantahan termasuk pembangkang dan dalam kalangan keluarga mangsa pembunuhan.

Difahamkan, rang undang-undang (RUU) bagi memansuhkan hukuman mati dijangka dibentang di Dewan Rakyat pada Disember ini selepas Bajet 2019 dibahas dan diluluskan.

Tun Mahathir Pertahan Hukuman Mati

Sementara itu, Tun Mahathir Mohamad mempertahankan hukuman mati mandatori di negara ini masih kekal dan belum dimansuhkan.

Perdana Menteri berkata, walaupun ada cadangan untuk memansuhkan hukuman itu, ia tidak bermaksud hukuman berkenaan sudah dihapuskan.

“Kita perlu menunggu sehingga akta berkaitan diluluskan. Kerajaan belum meluluskan undang-undang berkaitan pemansuhan hukuman mati,” katanya.

Rekod Jabatan Penjara

Berdasarkan rekod Jabatan Penjara Malaysia sehingga 11 Oktober 2018 lalu, terdapat 932 banduan disabitkan bersalah atau dijatuhkan hukuman mati mengikut Seksyen 39 (B) ADB 1952.

Bagaimanapun, sejak 2014 hingga kini tiada pelaksanaan hukuman mati terhadap banduan di bawah seksyen itu dan mereka masih menunggu hukuman disebabkan oleh Moratorium serta tiada waran pelaksanaan hukuman mati dikeluarkan kepada Jabatan Penjara Malaysia.

Namun demikian, pada 10 Oktober lalu menteri telah mengumumkan bagi pihak kerajaan bahawa semua kesalahan membabitkan hukuman mati termasuk Seksyen 39 (B) ADB 1952 akan dimansuhkan dan hukuman itu tidak patut dilaksanakan.

Rang Undang-Undang pemansuhan ini akan dibentangkan di Parlimen selepas memorandum berkaitan diluluskan dalam Kabinet dan meminta Lembaga Pengampunan untuk menimbang untuk menangguhkan hukuman mati ke atas banduan.

Berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, Lembaga Pengampunan berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukuman berkenaan dengan segala kesalahan yang dibicarakan oleh mahkamah tanpa menjejaskan mana-mana peruntukan undang-undang Persekutuan.

Lembaga Pengampunan juga boleh mempertimbangkan untuk melepaskan banduan yang sudah menunggu lebih 20 tahun bergantung kepada situasi.

Setakat ini, jumlah banduan yang berdepan dengan hukuman mati bagi semua kesalahan membabitkan Seksyen 39 (B) ADB 1952 ialah 1,267 orang.

Sejarah Hukuman Mati

Hukuman mati ialah hukuman yang diputuskan oleh pihak mahkamah membabitkan pesalah dibunuh sebagai balasan jenayahnya, sama ada secara pancung, tembak, gantung, suntikan maut dan sebagainya.

Hukuman mati mempunyai sejarah yang lama dalam masyarakat manusia dan pernah berlaku di hampir semua masyarakat.

Biasanya, hukuman mati dilaksanakan demi menegakkan keadilan dalam masyarakat, tetapi dari segi ketenteraan, hukuman mati ialah satu cara untuk mengawal disiplin tentera.

Contohnya, askar yang enggan bertempur atau lari daripada tugasan boleh dihukum mati. Tindakan ini adalah supaya tiada askar yang enggan berperang kerana takut.

Selain itu, hukuman mati juga merupakan satu cara untuk mengadakan kawalan sosial. Di negara yang autokratik, mereka yang mempunyai kelainan pendapat dengan kerajaan barangkali akan dihukum mati.

Contohnya di negara komunis, seseorang itu akan dibunuh sekiranya ia dianggap "anti-revolusi" ataupun pemikirannya "berbahaya kepada masyarakat".

Cara melaksanakan hukuman mati sebenarnya mengalami banyak perubahan. Pada masa sekarang hukuman mati biasanya dilaksanakan dengan kesakitan yang minimum.

Cara yang melibatkan perdarahan dan mengambil masa yang lama biasanya tidak digunakan, kerana hukuman mati bermaksud menamatkan nyawa seorang penjenayah dan tidak bermaksud menyeksanya.

Walaupun banyak negara menggunakan hukuman mati sebagai hukuman untuk jenayah berat, terdapat beberapa negara yang tidak mengamalkan hukuman mati.

Contoh negara yang tidak mengamalkan hukuman mati ialah negara-negara dalam Kesatuan Eropah. Mereka menganggap hukuman mati ialah tindakan yang melanggar hak kemanusiaan.

Di negara yang bertamadun, hukuman mati ialah satu pendekatan untuk menghapuskan jenayah dan biasanya hukuman ini hanya dikenakan kepada penjenayah berat sahaja.

Contoh bagi jenayah yang membawa kepada hukuman mati adalah seperti berikut:

Membunuh

Hukuman Mati Tentera

Kebanyakan negara akan mengenakan hukuman mati kepada mereka yang membunuh secara segaja, berdasarkan kepada prinsip pembalasan, "hutang harta dibayar harta; hutang darah dibayar darah".

Penyeludupan dadah

Di negara Asia seperti Malaysia, Singapura, dan juga China, sesiapa yang melakukan penyeludupan dadah boleh dikenakan hukuman mati.

Hukuman ini berdasarkan kenyataan dadah memberi kesan yang buruk kepada masyarakat.

Pemerdagangan manusia

Di China, penjualbelian manusia ialah satu jenayah yang membawa kepada hukuman mati.

Jenayah seks/rogol

Di negara Islam, penjenayah seks boleh dikenakan hukuman mati. Keadaan yang sama juga berlaku di Vietnam yang mengenakan hukuman mati terhadap pesalah yang merogol kanak-kanak.

Jenayah-jenayah lain

Menderhaka, menculik, penyalahgunaan senjata api, malah rasuah adalah antara kesalahan yang dikenakan hukuman mati di beberapa negara.

Pendebatan mengenai hukuman mati

Pada peringkat antarabangsa, hukuman mati bukanlah sesuatu yang diterima semua. Ada yang menyokong dan ada yang membantah, masing-masing dengan alasan etika dan juga alasan kemasyarakatan.

Dalil ontologi

Kedua-dua pihak penyokong dan penentang menuntut kepada dalil ontologi untuk menahan pendapat masing-masing.

Bagi pihak penentang, hukuman mati ialah satu bentuk pembunuhan juga dan sebagai satu bentuk pembunuhan, ia tidak lari daripada sifat kejam.

Tambahan pula, hidup dan manusia merupakan hak Tuhan, dengan alasan itu manusia tidak harus mengambil nyawa manusia kerana ia bukan hak manusia.

Bagi mereka yang menyokong hukuman mati, ia adil dikenakan kepada mereka yang melanggar hak kehidupan orang lain, yakni pembunuh. Atas prinsip pembalasan, mereka yang membunuh harus dibunuh.

Maka kesimpulannya, dari segi analisis hierarki nilai, mereka yang menyokong hukuman mati, sebenarnya telah meletakkan nilai keadilan di atas nilai "sayang kepada nyawa".

Maka, bagi mereka yang menentang hukuman mati, mereka meletakkan nilai "sayang kepada nyawa" di atas nilai keadilan.

Dalil ekonomi

Dalil ekonomi tidaklah boleh dianggap dalil yang utama dalam mendebatkan isu ini. Ekonomi di sini juga tidak merujuk kepada konsep kewangan tetapi kepada "peruntukan" dalam erti kata yang luas.

Bagi pihak yang menyokong hukuman mati, dikatakan hukuman mati adalah lebih jimat berbanding dengan hukuman seumur hidup.

Kenyataan ini adalah senang diterima kerana hukuman seumur hidup melibatkan kos penyaraan si pesalah untuk satu jangka masa yang panjang. Manakala bagi hukuman mati pula, ia tidak melibatkan kos ini.

Dikatakan bahawa lebih baik kos menyara hidup banduan seumur hidup ini dialihkan untuk kegunaan perkara yang lebih berfaedah seperti memajukan kebajikan rakyat.

Tetapi bagi pihak yang menentang hukuman mati, dikatakan hukuman mati sebenarnya menelan kos yang lebih banyak.

Penentangan ini adalah kerana hukuman mati sentiasa melibatkan proses kehakiman yang teliti dan mengambil masa yang panjang, maka kos yang ditelannya lebih banyak.

Walau bagaimanapun, kedua-dua pihak masih belum dapat mengeluarkan statistik untuk membuktikan kesahihan hipotesis masing-masing.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia | hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon