Monday, January 06, 2020

Benarkah Jika Rajin Bekerja Kita Jadi Kaya-raya?

Benarkah Jika Rajin Bekerja Kita Jadi Kaya-raya?

Tun Mahathir dalam ucapannya telah mengkritik dan memberi analisa kenapa orang Melayu dan mungkin juga termasuk bumiputera lain, corot dalam hal pencapaian ekonomi dan meminta semua pihak supaya tidak berasa “iri hati” dengan orang kaya.

Rajin Bekerja Jadi Kaya

Analisa dan pandangan Mahathir ini sebenarnya tempang, lompong dan tidak lengkap. Bunyi dan nada hujah Mahathir ini telah selalu kita dengar. Melayu segan bekerja. Memilih kerja. Enggan kerja susah. Tidak mahu kerja kotor. Suka kerja dengan kerajaan yang ada pencen.

Pandangan Tun Mahathir ini tidak semuanya tepat dan betul. Malah hujah Mahathir ini amat klise. Hujah ini dituturkan tanpa asas ekonomi yang boleh merungkai secara tuntas kenapa Melayu dan bumiputera corot dalam ekonomi.

Tun Mahathir jelas bertukang tanpa alat yang lengkap untuk memahami kenapa Melayu dan bumiputera corot dalam ekonomi. Alat pertukangan Mahathir tidak lengkap. Sesiapa sahaja yang berhujah tentang ekonomi tanpa menggunakan tukul dan paku Marxis maka analisa itu akan tempang dan tidak tuntas.

Cuba kita analisa hujah yang selalu kita dengar; jika seseorang bekerja kuat dan rajin bekerja maka orang ini akan berjaya dalam kehidupan. Berjaya ertinya memiliki harta kekayaan. Kata-kata kunci di sini ialah rajin dan kerja kuat.

Hujah ini adalah hujah hampeh daripada kaum kapitalis yang boleh kita jentik dengan mudah menggunakan lojik akal untuk membuktikan pandangan ini karut.

JIKA..

Jika kerja kuat, jika rajin bekerja – jika teori ini tepat dan betul - maka orang yang paling berjaya dalam dunia ini pastilah Minah Nazarawit Udunga dari kampung pedalaman Ethiopia yang berjalan empat batu berulang alik tiga empat kali sehari untuk mengambil air minuman demi keluarga serta lembu, kambing dan tanamannya.

Jika kuat kerja dan rajin bekerja akan berjaya dan jadi kaya, pastilah Meena Kumari dari Tamil Nadu yang mendukung anak kecil di sebelah kanan manakala tangan kiri menjunjung sebuntil gandum ketika sedang berkerja di ladang milik seorang Zamindar akan jadi kaya.

Jika rajin dan kuat bekerja akan menjadi kaya-raya maka yang akan jadi kaya-raya pastilah Kak Bibah di Kampung Banggol Dedap Kedah yang dari awal subuh telah turun ke sawah.

Sebelum ke sawah memasak air dan menyediakan sarapan apa yang ada untuk anak dan suami. Tengah hari pulang dari sawah, Kak Bibah akan memasak apa yang ada untuk makan tengah hari. Sebelah petang Kak Bibah merembas cangkul di belakang rumah dengan harapan pisang dan terung belanda akan hidup subur.

Jika rajin dan kuat bekerja akan jadi kaya-raya maka taikun di Malaysia pastilah Alang Dusin dari Kuala Muda Kedah yang ke laut melawan ombak berhari-hari untuk menangkap ikan.

TEORI DONGENG

Lalu kita bertanya, betulkah Vincent Tan kuat bekerja walhal dia sendiri tidak pernah turun menapak melihat setiap kedai judi miliknya? Apakah Vincent bekerja keras bermati-matian menjual nombor?

Apakah betul Ananda Krishnan kuat bekerja maka dia jadi kaya-raya? Boleh saya berikan sebuah TV saya yang rosak agar tuan pemilik stesen Astro ini membaikinya? Saya akan bayar upah untuk menambah kekayaan beliau.

Betulkah Lim Goh Tong rajin dan kuat bekerja siang dan malam tak tidur sambil melaung dan menjerit memanggil duit untuk bertaburan datang berlonggok-longgok, hingga menjadi bukit menyembah kaki Lim Goh Tong?

Apakah betul Tuan Haji Daim Zainuddin rajin? Dia menapak dari rumah ke rumah menjual garam hingga dia jadi kaya. Kemudian Tuan Haji Daim ini membanting tulang membancuh simen dan mengatur batu-bata untuk mendirikan 58 tingkat Menara Ilham untuk didudukinya?

Apakah betul Tuan Haji Syed Mokhtar rajin dan kuat bekerja? Tuan Haji ini memikul setiap guni beras yang masuk secara halal dan haram ke Malaysia. Kemudian Tuan haji ini membungkus beras ini untuk dipikul dan dihantar dari kedai ke kedai untuk dipasarkan. Hasilnya Tuan Haji ini jadi kaya-raya.

Jelas rajin dan kuat kerja ini adalah teori hampeh yang sengaja ditaburkan oleh kaum kapitalis dan para penyokong sistem kapitalis. Teori rajin dan kuat bekerja jadi kaya ini cuba membuktikan bahawa orang yang gagal dan corot dalam pencapaian ekonomi itu adalah mereka yang tak rajin dan tak kuat bekerja.

Dalam ucapan di Kongres Maruah Melayu Mahathir gagal untuk menerangkan dengan jelas dan tuntas bahawa Bani Melayu malah anak semua bangsa dalam negara ini hidup dalam sistem ekonomi kapitalis.

Dalam sistem ekonomi kapitalis ada hukum dan syarat yang jelas. Hukum dan syarat yang saintifik dan teratur. Dalam apa sahaja sistem ada ciri dan pola yang tidak akan berubah-ubah. Ciri dan pola ini tidak berganjak. Datanglah ribut dan taufan, sistem ekonomi kapitalis tegak berdiri.

Sekali lagi kita masyhurkan bahawa, rukun iman sistem ekonomi kapitalis ialah mencari untung. Untung yang dicari ialah keuntungan maksima.

Hukum ini tidak berubah sama ada kamu Lim Goh Tong, Daim Zainuddin atau Syed Mokhtar. Tidak berubah walaupun kamu telah mencium Batu Hitam di Kaabah atau telah menyelam dalam Sungai Ganges atau telah berpuasa 7 hari di Vatican.

Perkara ini tidak dijelaskan oleh Mahathir kerana beliau percaya jika Bani Melayu bekerja kuat dan rajin, maka semua Bani Melayu boleh menjadi macam Daim, Lim Goh Tong atau Syed Mokhtar.

Hujah yang jelas ini membuktikan bahawa Mahathir tidak memiliki pandangan ekonomi yang tepat.

MANTERA KARUT

Untuk memahami kenapa Melayu dan bumiputera corot dalam ekonomi, maka kita wajib memahami dari mana datangnya harta kekayaan. Dari mana punca harta kekayaan dengan penjelasan tuntas.

Punca keuntungan yang akhirnya menjadi harta kekayaan adalah hasil lebihan tenaga kerja kaum buruh. Lebihan nilai tenaga kerja kaum buruh ialah dipangil laba atau untung.

Kak Bibah menanam padi kemudian menjual padi ini seguni RM50 pada Syed Moktar, yang kemudian dijual oleh Syed Mokhtar dengan harga RM150 seguni. Tolak itu tolak ini, Syed Mokhtar dapat untung 80 ringgit. Untung ini ialah lebihan nilai tenaga kerja dan masa daripada Kak Bibah.

Duit RM80 keuntungan Syed Mokhtar itu ialah tenaga buruh Kak Bibah yang telah dieksploit oleh Syed Mokhtar. Masa dan tenaga kerja Kak Bibah yang dibayar rendah.

Lebihan dari nilai masa dan tenaga ini diambil oleh Syed Mokhtar. Lagi ramai petani seperti Kak Bibah menjual beras kepada Syed Mokhtar, lagi kaya Syed Mokhtar.

Begitu juga kilang – apa sahaja kilang – lagi ramai yang bekerja, lagi banyak lebihan tenaga kerja buruh yang dikumpulkan oleh tuan empunya kilang.

Sebuah kilang membuat kasut mengupah 80 pekerja. Lebih murah gaji yang dibayar untuk membuat kasut lebih baik. Semakin banyak kasut dijual dengan harga yang lebih tinggi dari harga upah membuat kasut, maka lebih cepat tuan kilang kasut jadi kaya-raya.

Tuan empunya kilang kasut tidak pernah membanting tulang. Tidak pernah bekerja keras. Tidak berpeluh kerana pejabat berhawa dingin. Tidak pernah menapak menghantar kasut dari ke kedai-kedai kerana ada buruh pengedar. Tuan kilang hanya mengumpul untung – mengumpul lebihan nilai masa dan tenaga 80 orang buruh di kilangnya.

Untuk menghalalkan eksploitasi kaum buruh ini, ketika belajar di sekolah, kita diberitahu oleh cikgu bahawa semua ini memerlukan modal. Modal perlu untuk dilabur. Tanpa modal tak ada kilang. Tak ada kilang maka tak ada kerja. Tak ada kerja kita mati tak makan. Inilah mantra yang disebarkan. Ini mantra karut.

Mantera ini menghebohkan bahawa Vincent Tan, Ting Phek Kiing atau Lim Goh Tong mengeluarkan modal yang besar. Mereka melabur dan mengambil risiko atas modal dan memastikan pelaburan mereka membawa untung. Mereka ada jentera. Mereka ada tanah. Maka kerana mereka melabur dan ada jentera, mereka boleh menuai keuntungan. Ini juga cerita karut.

Pelaburan, tanah, modal dan jentera dikenali sebagai punca pengeluaran. Punca pengeluaran ini juga bermula dari eksploitasi lebihan tenaga kerja kaum buruh yang terdahulu.

Harta kekayaan yang dikumpul oleh orang kaya adalah hasil eksploitasi tenaga kerja dan lebihan nilai kerja kaum buruh. Ini fakta yang saintifik. Bukan teori karut-marut.

Buruh dan modal tidak dapat dipisahkan. Tanpa buruh, modal mengecut tidak kemana-mana.

Kita selalu mendengar syarikat eletronik di Pulau Pinang ditutup. Syarikat berpindah ke Vietnam atau ke China Merah. Perpindahan ini adalah saintifik mengikut hukum dan syarat sistem ekonomi kapitalis.

Kilang kapitalis akan berpindah mencari wilayah yang dapat ditegakkan rukun iman kapitalis - keuntungan maksima.

Kilang syarikat Apple pindah ke China Merah, India dan Indonesia. Semua mencari buruh murah dan pasaran luas. Jaminan keuntungan maksima.

Sistem kapitalis datang ke Malaysia ini juga kerana wujud syarat dan pola. Tanah tapak kilang disediakan. Cukai dikecualikan. Buruh dilarang berpersatuan. Jika ada mogok pemimpin buruh boleh ditangkap dan dibuang kerja. Tidak ada gaji minima. Gaji semurah mungkin dan secukup hidup. Gaji boleh cukup makan agar jangan mati. Jika mati tidak dapat memburuh lagi.

KEMISKINAN ADALAH CIPTAAN KAPITALIS

Buruh Haram Di Korea

Bila agenda siapa menetapkan nilai masa dan lebihan tenaga ini ditimbulkan maka akan muncul jawapan: Kuasa pengeluaran dan permintaan. Atau untuk lebih cool dan cun dikatakan semua ini adalah market forces – kuasa pasaran.

Perkara bagaimana China jadi kaya dan kenapa Melayu/bumiputera corot ekonomi tidak diperjelaskan dengan terang. Semua bangsa ini didodoikan dengan dongeng bahawa Melayu/bumiputera malas, memilih kerja dan dan dan. Ini cerita dongeng.

Justeru, saya di sini saya ingin membawa satu jalur penjelasan dan pencerahan untuk membuktikan bahawa ada satu lagi cara untuk kita semua melihat dan memahami kenapa Melayu/bumiputera corot ekonomi.

Jawabnya senang sahaja; Kemiskinan adalah hasil sistem ekonomi sistem kapitalis. Sistem ini memiliki hukum dan syarat - untuk individu, untuk kumpulan dan untuk negara.

Sistem ekonomi kapitalis ini tidak berubah rukun imannya: mendapat keuntungan maksimum, mencari laba. Keuntungan kaum kapitalis global ialah hasil dari lebihan nilai kerja dan masa umat manusia.

Semua yang hidup dalam sistem ekonomi kapitalis ini akan memiliki pengalaman, budaya dan gaya hidup yang sama. Tenaga dan masa mereka dieksploit untuk dikumpul dan dijadikan keuntungan.

Warga Chile memburuh di lombong tembaga akan dibayar dengan upah yang murah dari nilai harga tembaga. Pekebun buah limau di Moroko akan dibeli panel mereka oleh negara Kesatuan Eropah dengan harga murah. Upah pemetik kopi di Uganda sehari lebih murah dari harga secawan kapucino atau secawan kopi di Hotel Sheraton New York.

Hubaya, hubaya, sistem ekonomi kapitalis ini bergerak secara global. Di mana sahaja sistem ini diguna pakai maka akan wujud Kak Bibah, Alang Dusin dan Mat Husin.

Moroko, Chile dan Uganda adalah negara dunia ketiga. Negara ini dieksploitasi oleh negara maju seperti Jerman, Kanada, Perancis atau Britain. Negara-negara maju ini tidak ada bezanya dari peranan yang dimainkan oleh tauke Hong atau tauke Lim.

Negara maju mengumpulkan nilai lebih masa dan tenaga bukan dari seorang, tetapi mengumpulkan nilai lebihan nilai tenaga dan masa 42 juta warga Uganda, 35 juta warga Moroko atau 18 Juta warga Chile.

Rakyat miskin bukan kerana dia dari Melayu/bumiputera atau malas, tetapi kerana sistem ekonomi kapitalis yang bergerak dengan hukum dan syaratnya.

Tauke Lim dan tauke Hong kaya bukan kerana mereka Cina dan rajin bekerja tetapi kerana hukum dan syarat ekonomi kapitalis menyebelahi mereka.

PENGHINAAN

Apa sangkut-paut semua ini dengan kenapa Melayu dan bumiputera corot dalam hal ekonomi?

Cuba fikirkan, majoriti Minah Karan yang bekerja di kilang-kilang eletronik di Pulau Pinang dan Seremban adalah gadis Melayu. Hari ini mereka tidak kaya. Adakah ketika memburuh mereka malas bekerja atau tidak bekerja keras? Kenapa mereka tidak kaya-raya walaupun telah bekerja setengah mati?

Boleh Tun Mahathir dan menteri yang kaya-raya tolong jawabkan?

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Sunday, January 05, 2020

Rahsia Nafsu Wanita

Rahsia Nafsu Wanita

Bagaimana anda lelaki, sebagai suami seharusnya mengendalikan nafsu isteri anda dengan baik sebagai usaha untuk membina rumahtangga yang bahagia dan kekal ke akhir hayat? Sebagai seorang suami, lelaki perlu menangani emosi atau kehendak isteri anda dengan baik dan dengan cara yang bijaksana.

Rahsia Nafsu Wanita
Gambar hiasan.

Kita juga perlu tahu bagaimana seharusnya lelaki berfikir, merasa dan bertindak berkaitan dengan nafsu wanita sekiranya mereka ini belum lagi merupakan pasangan yang sah di segi agama dan undang-undang.

Wanita yang menjadi isteri itu mempunyai nisbah emosi yang lebih tinggi dari anda.

Seorang wanita akan lebih cenderung untuk menggunakan emosinya dalam pelbagai situasi dalam kehidupannya, sama ada dia masih kanak-kanak, anak dara atau sudahpun bersuami ataupun sudah tua.

Emosi, keperluan atau kehendak ini secara umumnya adalah normal dan baik.

Tidak wajar untuk kita katakan bahawa emosi itu jahat dan akal itu baik. Kedua-duanya ada kelebihannya yang tersendiri.

Sebenarnya, emosi yang digunakan oleh wanita dalam kehidupannya sehari-hari, mempunyai kelebihan-kelebihannya yang tersendiri.

Secara umum ianya adalah baik, kerana dengan inilah seorang isteri mampu mencurahkan kasih sayang dan mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berjaya lagi berguna.

Hakikatnya ialah, wanita itu dijadikan mempunyai dorongan emosi yang lebih kuat dan keperluan yang lebih tinggi kepada banyak perkara.

Kerana itu juga lelaki sebagai suami harus memainkan peranannya membentuk dan memandu emosi perempuan agar melakukan segala perkara yang baik-baik dan ini amat bermanfaat dalam membentuk generasi yang lebih cemerlang di masa akan datang.

Perempuan ibarat 'tulang rusuk kiri yang bengkok', dapat menjelaskan lagi mengenai emosi atau nafsu wanita.

Kerana itu juga, wanita harus dilayan dengan cara yang lemah-lembut dan bijaksana.

Sekiranya anda terlalu keras dan kasar, hati perempuan akan mudah patah, dia akan menangis dan merajuk (lagi manifestasi emosi) ke tahap yang mungkin tidak dapat dipujuk lagi.

Sebaliknya jika anda membiarkannya, dia akan terus 'bengkok' dan semakin lama semakin sukarlah untuk anda 'meluruskannya'.

Rahsia 'meluruskan yang bengkok' ialah belaian dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan.

"Belaian" bukan semata-mata di atas ranjang, tetapi adalah belaian yang menyeluruh dalam kehidupan sehari-hari.

Belaian ini juga bukanlah hanya seperti anda membelai seekor kucing (mungkin akan merimaskan isteri anda), tapi ia bermaksud belaian kepada emosinya atau kepada nafsunya sepanjang anda berada bersamanya atau tidak berada bersamanya.

Apakah bentuk manifestasi belaian itu?

Paling penting ialah komunikasi yang baik dengan cara 'membelai' emosinya.

Tunjukkan dan katakan padanya, anda pentingkan dirinya, ambil tahu tentang dirinya, sayang padanya.

Contoh dialog dari anda;

"Sayang dah makan?" atau

"Abang rasa rindu sangat kat ayang, macam setahun tak jumpa (bila anda berjauhan darinya, sebenarnya anda baru sehari berada di kejauhan)" atau

"Ayang ni semakin hari semakin mengancam".

Emosi wanita gemar pada sesuatu yang mempunyai unsur humor atau jenaka (tapi jangan keterlaluan).

Emosi perempuan juga lebih gemar jika anda bertanya atau berkata atau berjenaka dengannya mengenai keperluan asas (basic needs) seperti hal makan, hal pakaian, hal perhiasan dan make-up (pada perempuan ini keperluan asas mereka walaupun harganya mahal), hal kecantikannya, hal keperluan anak-anak dan yang seperti itu.

Jalan masuk kepada membelai emosi wanita ialah telinganya. Itu adalah 'kelemahan' terbesar mereka. Kelemahan lelaki pula ialah pada matanya.

Jadi, jangan hairan jika anda mudah tertarik kepada kecantikan wanita terlebih dahulu, kemudian barulah anda berminat untuk lebih mengenalinya, menyelidik latar-belakang agamanya, statusnya dalam masyarakat dan hartanya.

Wanita tidak mudah dibelai matanya, sebab yang dipentingkan mereka ialah budibahasa yang 'tangkap lentuk'.

Kerana itu, wanita tidak memandang pada rupa paras lelaki dan lebih tertarik kepada lelaki yang mengambil berat kepada dirinya.

Bagaimana dengan belaian yang sebenar?

Yang ini semua lelaki tahu. Sentuh sana, usap sini, belai rambut (macam cerita Hindustan, dicampur nyanyi-nyanyi sedikit).

Masalahnya ialah, hal ini dilakukan sebelum berumahtangga (ini hal yang patut dielakkan) dan dilupakan bila sudah berumahtangga (yang ini sepatutnya dilakukan setiap hari).

Walaupun ini dapat 'mencairkan' wanita (isteri anda), namun ini saja tidak cukup jika anda tidak membelai telinganya (dengan kata-kata pujian, kata-kata yang manis dan pujuk rayu) sebab perempuan tidak begitu gemar belaian dari suami yang 'bisu' (jika benar anda bisu tidak mengapa kerana dia sudah faham).

Kenapa?

Kerana wanita itu dijadikan dengan sifat meluahkan apa yang ada di fikirannya, itulah sebabnya perempuan lebih banyak bercakap (terutamanya bila marah).

Lelaki pula dijadikan dengan keadaan mulutnya diletakkan di fikirannya, kerana itu lelaki selalunya banyak berfikir dan bila marah selalunya akan diam.

Bila lelaki diam, wanita berada dalam keadaan 'suspen', bila lelaki berkata-kata, wanita akan merasa lega sebab barulah dia tahu apa yang ada dalam fikiran lelaki itu.

Maka ketenangan dan kestabilan emosi (nafsu) amatlah penting bagi seseorang wanita (isteri anda).

Kerana itulah lelaki diwajibkan memberi nafkah batin kepada isterinya.

Wanita mudah tergugat emosinya dan lebih mudah sampai ke tahap sukar mengawal emosinya dan bila ini berlaku, banyak hal yang buruk boleh terjadi.

Nafkah batin bukan cerita ranjang semata-mata. Ia adalah keseluruhan layanan anda terhadap seorang isteri.

Adakah anda melayaninya dengan baik?

Antara pesanan akhir junjungan kita Rasulullah SAW kepada umat kesayangan baginda ialah agar suami melayani isteri dengan baik. Semua lelaki patut sedar bahawa isterinya adalah manusia dan bukan objek seks.

Mempraktikkan nafkah batin dengan baik bermula dari memahami apakah sebenarnya yang diperlukan oleh seorang wanita.

Seorang isteri mungkin rimas dengan seks tapi gembira bila anda memahami dan mementingkan kehendaknya.

Pada pendapat ramai wanita, ramai lelaki sebenarnya mementingkan diri sendiri dan tidak faham hati dan perasaan mereka.

Jika anda telah melaksanakan tanggungjawab anda membelai emosinya, maka isteri pula akan melayani anda dengan baik, insyaAllah.

Semua lelaki patut sedar bahawa layanan yang baik seorang isteri bermula dari dirinya sendiri sebagai suami.

Jika seorang lelaki menceraikan isterinya atas alasan isterinya tidak melayaninya dengan baik, mungkin ada silapnya dan mungkin berpunca dari lelaki itu sendiri yang tidak melayani isterinya dengan baik.

Sebagai suami, anda akan belajar seni melayani isteri ini menerusi pengalaman (setelah tahu teorinya). Kerana itu jugalah Allah yang Maha Bijaksana meletakkan hak melafazkan cerai pada lelaki.

Jika hak lafaz cerai itu diberikan pada wanita, maka ramailah lelaki yang akan menjadi duda kerana tidak pandai melayani kehendak dan keperluan (nafsu) isteri.

Sejak dari zaman dahulukala lagi telah diketahui bahawa wanita (yang dijadikan dengan nisbah sembilan nafsu satu akal) itu nafsunya bersifat ibarat air. Lelaki pula (dijadikan dengan nisbah sembilan akal dan satu nafsu) punya nafsu ibarat api.

Nafsu lelaki seperti api, cepat marak dan cepat pula padam, kerana itulah lelaki mudah naik syahwat bila memandang wanita (terutamanya mereka yang tidak menutup aurat).

Dinasihatkan kepada lelaki agar bila ternampak wanita yang tidak menutup aurat, alihkan pandangan ke tempat lain.

Ini kerana api (cara menghidupkan api di zaman dahulu) hanya akan menyala jika ditiupkan angin ke arah yang sama sambil anda ulang-ulang memandang di tempat yang sama.

Hal ini berbeza pada nafsu wanita yang seperti air. Lambat hangat, lambat panas, lambat menggelegak. Untuk sejuk kembali akan memakan masa yang lama juga.

Kerana sifat api dan air ini, berlakulah banyak perbezaan pada nafsu perempuan dan perbezaan ini perlu diketahui oleh golongan lelaki agar mereka dapat melayani isteri dengan baik.

SIFAT YANG LAMBAT

Nafsu perempuan itu lambat bangkit, dan ia sukar bangkit hasil pandangan matanya atau bila dia menyentuh.

Kerana ini wanita lebih sesuai untuk mengasuh kanak-kanak walaupun kanak-kanak itu lelaki.

Ia berbeza dari lelaki. Nafsunya cepat bangkit dan ia boleh bangkit dari pandangan mata.

Bila nafsu lelaki bangkit, ia agak mendadak, menyebabkan kehilangan akal secara mendadak juga.

Dinasihatkan agar dalam keluarga, jika ada anak-anak perempuan, nasihatkan agar berpakaian sopan walaupun di rumah, dan sediakan bilik tidur khas untuk mereka.

Elakkan anak-anak perempuan ini dari tidur bergelimpangan di ruang-ruang terbuka bagi mengelakkan terdedah aurat ketika tidur.

Perlu diketahui bahawa kerana sifat air yang lambat hangat dan lambat sejuk ini, perempuan lebih dapat bersabar tetapi bila dia marah atau merajuk akan lambatlah reda.

Bila isteri marah atau merajuk, dia sebenarnya perlukan suami memujuknya.

Namun begitu, jika dia berada dalam keadaan masih panas, sebaik-baiknya berada jauh sedikit darinya.

Ibarat pepatah: 'Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan'.

JEMPUT NAFSU DENGAN KASIH SAYANG

Wanita memerlukan masa untuk reda dari kemarahan atau merajuk. Tanda dia mula reda ialah bila dia menunjukkan sayangnya kepada sesuatu yang lain, contohnya dia mencium anaknya, membelai kucing dan sebagainya.

Bila masa itu sudah sampai, eloklah suami mencari saat dan tempat yang sesuai untuk memujuknya, dan jangan lupa, sentuh tubuhnya sambil berkata-kata.

Sifat nafsu wanita yang lambat bangkit ini menyebabkan isteri memerlukan rangsangan secukupnya dari suami apabila mahu melakukan hubungan kelamin. Masa yang diperlukan ialah kira-kira 20 minit.

Ketika itu suami patut melakukan perbagai bentuk rangsangan yang diketahuinya dan yang digemari oleh isterinya.

Kepuasan isteri banyak bergantung pada kesabaran suami untuk melayaninya sebelum jimak. Nafsu isteri perlu dipanggil dengan kasih sayang dan dihantar pulang dengan kasih sayang.

HANTAR KEMBALI DENGAN KASIH SAYANG

Sebagaimana yang telah dicatatkan, nafsu perempuan lambat reda. Sekiranya suami tewas (sampai dahulu sebelum isteri), hendaknya janganlah suami cepat-cepat menamatkan pertarungan.

Nafsu isteri yang sedang menggelegak itu perlu dibantu untuk sampai ke kemuncaknya dengan melakukan rangsangan-rangsangan yang sesuai.

Apabila telah selesai jimak, suami perlu tahu bahawa sepatutnya nafsu isteri reda dalam keadaan kasih-sayang.

Apa yang perlu dilakukan selepas jimak ialah merangkulnya, mencium, mengusap rambutnya, mengurut-urut belakangnya, memicit-micit lembut tubuhnya untuk menghantar kembali nafsu ghairahnya dalam suasana kasih-sayang.

Bila isteri dapat menikmati kasih-sayang peringkat ini, dia akan merasa puas. Dia akan 'teringat' kenangan manis itu apabila dia disentuh oleh suami di masa yang lain.

Sebaliknya jika jimak diakhiri dengan keadaan seolah-olah suami mementingkan diri sendiri, ini akan menimbulkan rasa tidak gemar atau rasa muak di pihak isteri.

Maka jangan salahkan isteri semata-mata jika dia menolak jimak di kesempatan yang lain.

LELAKI TULEN PERLU SABAR

Untuk melayani dan membangkitkan rasa bahagia di jiwanya, suami perlu banyak bersabar dengan kerenah isterinya dan bersabar melayani nafsu isterinya. Inilah sikap asas lelaki tulen.

Gambaran lelaki tulen bukan yang berbadan besar, otot berbonjol-bonjol atau rambut macam Tarzan atau Samson.

Lelaki tulen ialah yang pandai melayani dan memuaskan hati isterinya. Perkataan Inggeris yang popular untuk menggelarkan lelaki tulen ialah 'gentleman'.

Istilah itu dengan sendirinya membayangkan betapa lelaki itu patut berlemah-lembut dengan wanita, kerana perasaannya halus dan mudah terusik dan menangis.

Bijak pandai ada menyatakan bahawa sikap perempuan itu umpama sikap kanak-kanak. Suka bermain-main, bergurau, bergaduh, marah-marah, merajuk dan menangis.

AIR AKAN CAIR

Lelaki perlu sabar. Nafsu (emosi) wanita itu hebat. Jika anda tidak percaya, lihatlah bagaimana keadaannya mereka bila bertengkar dengan lelaki.

Bagi suami, pengetahuan mengenai hal ini penting untuk mengekalkan keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga.

Mudah-mudahan, dengan cara ini anda akan dapat 'mencairkan' isteri anda walaupun dia terkenal garang, bengis atau tidak mahu kalah (hati batu).

Anda sendiri tahu bila masanya dia akan 'cair' kerana anda sudah tahu bahawa sifat wanita itu adalah ibarat air.

Bimbinglah isteri anda agar menjadi wanita solehah, untuk mengekalkan keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga bersama.

InsyaAllah, semoga ilmu ini bermanafaat untuk kita semua dalam menjaga keharmonian rumahtangga bersama.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: fb

3 Tips Paling Asas Jika Anda Mahu Menjadi Jutawan

3 Tips Paling Asas Jika Anda Mahu Menjadi Jutawan

Charlie Munger adalah seorang jutawan dan naib pengerusi Berkshire Hathaway, sebuah syarikat kepunyaan Warren Buffett, individu paling dipercayai sehingga digelar sebagai orang kanan jutawan terkemuka dunia itu. Hebat, bukan?

Charlie Munger Jutawan

Pasti ramai yang tertanya-tanya apakah rahsia di sebalik kejayaan beliau? Nak tahu lebih lanjut tentang kisah inspirasi figura hebat ini? Teruskan membaca.

Terdapat 3 tips kejayaan yang didedahkan oleh Charlie Munger.

1. Cari Bakat Dan Kelebihan Yang Anda Miliki

Figura hebat ini mendedahkan kepentingan untuk mengasah bakat seseorang.

Melalui bakat tersebut, anda juga boleh mengetahui tentang apakah kelebihan yang dimiliki dan menggunakannya dengan sebaik mungkin.

Hakikatnya, kedua-dua aspek ini sangat penting untuk menentukan kejayaan anda pada masa akan datang. Terokai bidang kerjaya yang menepati bakat anda.

Berdasarkan pengalamannya sebelum ini, Munger mengambil masa yang lama untuk memilih kerjaya yang bersesuaian dengan bakat yang dimilikinya.

Sebelum mula berkhidmat di Berkshire Hathaway, beliau telah membuka sebuah firma guaman.

Ketika itu, beliau mula memerhatikan bagaimana pelanggannya melabur dan percaya bahawa beliau boleh melakukannya dengan lebih baik.

Setelah pertemuannya dengan Warren Buffett, beliau memutuskan untuk meninggalkan bidang guaman dan menceburi dunia pelaburan.

Di samping itu, pengetahuan tentang bakat dan kelebihan yang dimiliki dapat membantu seseorang untuk memilih pelaburan yang bersesuaian.

Contohnya, beliau dan Warren Buffett hanya melabur dalam perniagaan yang mereka fahami dan mempunyai kelebihan berkaitannya.

2. Belajar Daripada Kesilapan

Munger menegaskan bahawa tiada siapa yang dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesilapan.

Oleh yang demikian, kita perlu belajar untuk tidak mengulanginya lagi. Seperti dalam pelaburan, anda tak mungkin lari daripada kerugian.

Berdasarkan kerugian tersebut, anda boleh belajar bagaimana untuk mengurangkan atau mengelakkan kesalahan yang sama ketika melabur. Pengalaman adalah guru yang paling berharga.

Jangan takut untuk melakukan kesilapan! Jika tak berbuat silap, mana mungkin kita dapat belajar!

3. Jangan Takut Untuk Mengatakan ‘Tidak Tahu’

Setiap manusia mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing. Jadi, sangat mustahil bahawa seorang individu mampu mengetahui tentang segala perkara.

Oleh itu, anda tidak perlu takut untuk mengakui kelemahan diri sendiri. Mengaku sahaja jika anda tidak tahu.

Hakikatnya, ia bukanlah suatu tindakan yang memalukan, sebaliknya anda adalah seorang yang berani!

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: intraday

Cara Hadapi Serangan Jantung, Pakar Kongsi Tips Berguna

Cara Hadapi Serangan Jantung, Pakar Kongsi Tips Berguna

Kematian secara mengejut individu yang aktif bersukan mungkin memeranjatkan kerana masalah jantung sering dikaitkan dengan tabiat tertentu seperti tidak bersenam atau menjaga makan, namun hakikatnya serangan jantung atau penyakit kardiovaskular boleh berlaku sekiranya individu tidak mengambil berat kesihatan termasuk menjalani pemeriksaan secara berkala.

Cara hadapi sakit jantung
Gambar hiasan.

Berikut kami kongsikan semula pandangan dan tips pakar kesihatan tentang cara bagaimana mahu menghadapi serangan jantung jika ia berlaku secara tiba-tiba. Moga dijauhkan.

Dalam artikel yang lepas, saya telah kongsikan bahawa 'cough CPR' bukan kaedah tepat menangani serangan jantung seperti yang ditularkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, bertentangan dengan kenyataan oleh beberapa badan dunia yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan seperti Persatuan Jantung Amerika (American Heart Association - AHA) dan Resuscitation Council United Kingdom.

Sebagai salah seorang instruktor Basic Life Support yang diiktiraf oleh AHA, berikut saya kongsikan tip yang PRAKTIKAL untuk dilakukan ketika anda menghadapi serangan jantung apabila anda bersendirian, berdasarkan situasi berikut:

Situasi 1

Katakan anda berada di rumah, tiba-tiba anda merasa sesak nafas, dada berasa sakit dan sempit, jantung berdegup kencang dan sakit seperti diramas, perkara yang perlu anda lakukan adalah seperti berikut:

1. Bertenang dan jangan panik.

2. Cuba bernafas seperti biasa dan seselesa yang mungkin.

3. Dapatkan bantuan dengan kadar segera. Cara terbaik ialah cuba dapatkan bantuan dari jiran tetangga. JIKA tiada jiran yang terdekat, dapatkan bantuan dari 999.

4. Jika bantuan diperolehi daripada jiran, buat keputusan dengan kadar segera sama ada:
  • anda ke hospital lebih cepat berbanding menunggu ambulans, maka cara terbaik ialah pergi ke hospital dengan bantuan jiran
  • tapi jika ambulans boleh sampai ke rumah anda lebih cepat berbanding ke hospital, maka pastikan jiran membuat panggilan kecemasan ke 999 dan tunggu bersama-sama jiran sehingga ambulan sampai
  • JANGAN sesekali memandu sendiri kerana anda boleh tidak sedarkan diri pada bila-bila masa.

5. Jika anda telah disahkan menghidap sakit jantung oleh doktor dan diberikan ubat-ubatan tertentu seperti GTN (Glyceryl Trinitrate Tablets) atau ubat yang diletak di bawah lidah, sila makan atau gunakan ubat tersebut seperti arahan doktor.

6. Tunggu sehingga bantuan sampai dengan bernafas seperti biasa atau seselesa yang mungkin.

Jika anda bersendirian dan sedang menunggu ambulans di rumah sendiri, pastikan beberapa perkara berikut:

1. Maklumkan kepada pihak kecemasan bahawa anda bersendirian.

2. Jika ada ubat yg telah diberikan oleh doktor, makan seperti yang diarahkan.

3. Duduk di dalam rumah berhadapan dengan pintu utama.

4. Sebaiknya pintu tidak dikunci bagi memudahkan sebarang kerja menyelamat.

5. Jika sekiranya takut keselamatan nyawa terancam dan perlu untuk mengunci pintu, pastikan langsir tingkap tidak ditutup. Ini adalah bagi memudahkan anggota penyelamat yang sampai kemudian, untuk dapat melihat anda dan mengambil langkah yang perlu terutamanya jika anda tidak sedarkan diri.

6. Tunggu sehingga anggota penyelamat sampai dengan tenang, bernafas seperti biasa dan seselesa yang mungkin.

7. INGAT! Jangan sesekali baring di bilik atau di tingkat atas dan tempat-tempat lain yang menyebabkan anda tidak boleh dilihat, kerana ini akan menyebabkan pasukan penyelamat yang sampai berfikir anda telah ke hospital jika mereka sampai tetapi tiada yang menjawab sebarang panggilan mereka (jika anda tidak sedarkan diri sementara menunggu pasukan penyelamat).

Situasi 2

Anda berada di dalam kenderaan, apabila anda merasakan kesakitan yg sama seperti Situasi 1 dan anda sedang memandu, lakukan perkara berikut:

1. Bertenang dan jangan panik.

2. Cuba bernafas seperti biasa dan seselesa yang mungkin.

3. Hentikan kereta anda di tempat yang selamat secepat yang mungkin.

4. Jika anda berada di jalan yang sesak (banyak kenderaan yang lain melalui jalan yang sama), cara terbaik ialah dapatkan bantuan dari mereka untuk mendapatkan bantuan kecemasan (sama seperti Situasi 1, buat keputusan secepat mungkin samada ke hospital lagi cepat atau tunggu ambulans).

5. Jika anda berseorangan iaitu di jalan yang sunyi, telefon 999 dan berikan maklumat yang sepatutnya seperti lokasi, keadaan anda, jenis, warna dan nombor pendaftaran kenderaan.

6. Jika ada ubat yang telah diberikan oleh doktor, makan seperti yang diarahkan.

7. Tunggu ketibaan pasukan penyelamat di dalam kereta. Sebaiknya jangan kuncikan kenderaan anda.

Namun jika ianya tidak selamat untuk berbuat demikian, pastikan tingkap kenderaan tidak ditutup sepenuhnya. Ini akan memudahkan anggota kecemasan untuk melakukan aktiviti menyelamat.

8. JANGAN berubah lokasi dari lokasi asal yang telah dimaklumkan kepada pasukan penyelamat kerana ia akan menyukarkan usaha menyelamat.

9. JANGAN sesekali teruskan pemanduan kerana jika anda memang sedang menghadapi serangan jantung, anda akan tidak sedarkan diri pada bila-bila masa seterusnya boleh menyebabkan anda terlibat dengan kemalangan.

INGAT! Lebih cepat anda mendapatkan bantuan kecemasan, maka lebih tinggi peluang untuk anda terus hidup.

Kongsikan maklumat ini dengan semua orang yang anda sayangi supaya anda dapat membantu mereka menyelamatkan NYAWA.

***

Ts. Mohd Soffian Osman merupakan Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani

'Kontraktor Tentera' Askar Upahan Yang Boleh Disewa!

'Kontraktor Tentera' Askar Upahan Yang Boleh Disewa!

Kita semua tahu tentang kewujudan organisasi bersifat ketenteraan sama ada melalui penubuhan berteraskan kerajaan atau negara, mahupun pergerakan bersifat militia. Semuanya bertujuan untuk bertindak sebagai benteng pertahanan atau operasi berfokuskan serangan.

Kontraktor Tentera

Bagaimanapun dalam zaman moden, minat masyarakat untuk menyertai latihan tentera serta sanggup mengorbankan diri demi negara, semakin lama semakin terhakis. Hinggakan banyak pihak memerlukan tentera upahan yang bersetuju untuk berjuang demi pihak yang mampu mengupah mereka.

Tentera upahan apabila bertindak sendirian, biasanya bergelar sebagai seorang 'mercenary' secara rasmi - namun apabila aktiviti mereka dibuat untuk tujuan keuntungan dan dilakukan dalam bilangan ramai, kini lebih dikenali dengan label 'PMC' atau 'Private Military Company.'

Apa beza 'tentera upahan' dengan 'PMC'

Walaupun kedua-duanya kelihatan hampir serupa, perbezaan paling ketara antara kedua-dua sistem tentera upahan ini tentang kewujudan regulasi yang menyelia pergerakan mereka.

Seorang 'mercenary' biasanya bergerak secara haram, tidak berdaftar dan melakukan aktiviti secara sembunyi tanpa meninggalkan jejak.

Sebuah PMC pula dibentuk dengan gabungan kumpulan tentera upahan, menjalankan operasi mereka secara terbuka, berdaftar dan dikawal selia kerajaan di mana mereka didaftarkan.

Selain daripada menyediakan perkhidmatan anggota tentera bagi tujuan operasi militari dan keselamatan, PMC turut sama menyediakan khidmat latihan bagi mana-mana pihak yang memerlukan, khidmat penghantaran logistik berisiko tinggi, pemasangan peranti keselamatan dan ketenteraan serta pembekalan senjata.

Khidmat mereka bukan saja digunakan untuk tujuan ketenteraan semata-mata. Ada beberapa negara mengambil khidmat PMC untuk tujuan membasmi aktiviti lanun di kawasan maritim dan ada juga yang melantik PMC bagi menghalang kumpulan pemburu binatang haram tanpa permit, demi melindungi warisan negara mereka.

Kenapa PMC semakin lama semakin popular?

Berbeza dengan pasukan tentera latihan kerajaan - PMC kebiasaannya diwakili oleh individu-individu yang sudah berpengalaman luas dalam hal perang. Kelebihan ini membolehkan mereka dipanggil untuk berkhidmat tanpa menunggu tempoh latihan yang panjang.

Ini bermakna pada bila-bila masa, mana-mana individu, syarikat atau badan awam yang mahu dan berkemampuan sudah mempunyai pilihan untuk memiliki pasukan keselamatan mereka sendiri secara segera.

Selain daripada itu, beberapa kajian yang dijalankan mendapati keberkesanan PMC khasnya dalam peperangan berskala lebih besar mampu mempercepatkan penamatan konflik itu, khasnya apabila melibatkan konflik antara kerajaan dengan pemberontak kerajaan.

PMC menjadi popular kerana dua sebab utama ini. Penglibatan mereka menjimatkan kos dan masa, berbanding sistem latihan yang memerlukan dana jangka masa panjang dan banyak masalah yang timbul, tidak perlu dibiarkan berlanjutan dalam satu jangka masa yang lama sehingga memerlukan kemampuan kewangan berlebihan.

Sejarah bermulanya sistem PMC

Untuk memahami bagaimana sistem regulasi PMC bermula, kita perlu melihat satu peristiwa dalam bulan September tahun 2008. Pada bulan tersebut, 17 negara anggota PBB seperti Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Ukraine, United Kingdom dan sudah tentulah Amerika Syarikat - menandatangani apa yang dinamakan sebagai Perjanjian Dokumen Montreux, dinamakan sempena lokasi majlis itu diadakan di Montreux, Switzerland.

Dalam upacara itu kesemua negara anggota bersetuju untuk meratikasikan 70 perkara yang berkait dengan sistem regulasi syarikat pengelola ketenteraan, dalam menjamin semua penglibatan PMC dilakukan mengikut standard yang telah ditetapkan.

Selain itu, dokumen itu juga mengandungi undang-undang antarabangsa yang akan menjadi garis panduan sekiranya berlakunya kes-kes perbalahan antara PMC dengan pihak luar, tata cara perkhidmatan, syarat pendaftaran pengelola syarikat dan juga ikrar untuk memastikan hak asasi manusia khasnya melibatkan pekerja PMC dipelihara.

'Standard operasi' bagi semua PMC diwujudkan hasil perjanjian tersebut, memerlukan mana-mana syarikat yang menawarkan perkhidmatan PMC mematuhi semua syarat yang ada sebelum mereka dibenarkan mengambil pelanggan.

Setakat ini, 54 negara sudah menandatangani Dokumen Montreux, namun kebanyakan negara Asia Tenggara masih lagi belum mengambil sebarang keputusan sama ada mahu menggunakan undang-undang antarabangsa dalam isu berkait PMC atau terus kekal dengan akta tempatan sedia ada, yang hanya merangkumi isu-isu dalam negara sahaja.

PBB antara pelanggan terbesar PMC

Berikutan kerenah birokrasi yang melibatkan negara-negara anggota, PBB merupakan antara pelanggan paling kerap mengupah perkhidmatan PMC, berikutan daripada kemudahan yang PMC tawarkan - khasnya melibatkan kerja-kerja misi pengamanan yang dilakukan di seluruh dunia.

Kebiasaannya, PBB menggunakan khidmat PMC dalam melindungi kepentingan mereka; pihak PMC menawarkan khidmat analisis risiko, latihan keselamatan bagi petugas kemanusiaan, pengurusan krisis khasnya melibatkan insiden penculikan dan perlindungan aset, seperti premis, pejabat, kediaman dan sebagainya.

Antara syarikat terkenal PMC di seluruh dunia berikutan keberkesanan mereka dalam perkhidmatan adalah firma Blackwater, yang namanya kerap kali disebut dalam banyak filem Hollywood.

Berpusat di Carolina, Amerika Syarikat, Blackwater menjadi syarikat PMC no. 1 di dunia serta menjadi pemegang kontrak terbesar bagi kerajaan Amerika Syarikat. Kini 'Blackwater' telah dijenamakan semula sebagai 'Academi.'

Kebanyakan PMC bertapak sama ada di Amerika Syarikat atau United Kingdom, namun di Asia, beberapa syarikat pengelola PMC juga sudah mula terkenal berikutan jumlahnya yang banyak dan harganya yang lebih kompetetif, khasnya di China.

Biasanya ditubuhkan oleh bekas pesara tentera China, pada tahun 2015 terdapat lebih 4,000 syarikat PMC berdaftar di negara itu dengan jumlah kekuatan 4.3 juta pekerja.

Majoriti antara PMC China berkhidmat dalam negara mereka namun sudah mula bercambah keluar ke negara-negara lain, berikutan gerakan Inisiatif OBOR kerajaan China yang agresif - memerlukan perlindungan daripada ancaman-ancaman yang ada pada aset China.

Bagaimanakah kadar pendapatan seorang PMC bertauliah?

Sangat lumayan berbanding seorang tentera biasa. PMC dibayar mengikut hari berkhidmat dan mereka mampu mendapat bayaran daripada $500 ke $1200 (RM2800 ke RM4995) dalam satu hari. Jauh berbeza dengan pegawai tentera berpangkat kapten di Amerika Syarikat, yang mempunyai nilai pendapatan pada $4,952 (RM20,615) sebulan .

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Guru Nanak: Pengasas Agama Sikh

Guru Nanak: Pengasas Agama Sikh

Guru Nanak Dev (15 April 1469 – 22 September 1539) ialah pengasas agama Sikh dan guru yang sulung antara sepuluh guru aliran agama Sikhisme, muncul pada abad ke 16 semasa berlakunya konflik diantara penganut agama Islam dan Hindu.

Pengasas agama Sikh
Gambar hiasan.

Perkataan ‘Sikh’ dalam bahasa Punjabi, bermaksud ‘Pengikut’ ataupun ‘Pelajar’, diasaskan oleh Guru Nanak dan sembilan orang pengikutnya yang turut digelar sebagai Guru di daerah Punjab.

Agama Sikh merupakan sebuah agama termuda berbanding agama-agama lain dan muncul sekitar 500 tahun yang lalu di India.

Perkataan Sikh merujuk kepada orang ataupun golongan yang menganut agama Sikhisme, berasal dari bahasa Sanskrit iaitu Shishya yang bermaksud pelajar.

Pada masa kini, jumlah penganut agama Sikh melebihi 23 juta orang di seluruh dunia dengan kadar 0.32 peratus penduduk dunia.

SGPC

Selain itu, antara definisi ‘Sikh’ yang diterima pakai oleh orang Sikh pada hari ini ialah definisi yang ditetapkan oleh Shiromani Gurdwara Parbandhak Committee (SGPC) iaitu; "Orang Sikh ialah wanita atau lelaki yang mempercayai Tuhan yang satu, 10 orang Guru Sikh iaitu dari Guru Nanak hingga Guru Gobind Singh, percaya kepada Guru Granth Sahib, menjalani amrit dan tidak menerima agama-agama lain."

SGPC merupakan sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mengatasi masalah melibatkan penganut Sikh di seluruh dunia.

Pada 16 November 2003, Institute of Sikh Studies (IOSS) dalam seminar tahunannya telah meluluskan resolusi supaya SGPC mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah badan tertinggi yang mewakili semua organisasi Sikh dari seluruh dunia.

Ini bertujuan untuk menjaga kepentingan dan menyelesaikan krisis-krisis yang dihadapi oleh penganut Sikh di seluruh dunia, antaranya ialah perpecahan, masalah identiti dan peristiwa orang Sikh yang keluar dari agama Sikh dan memeluk agama lain.

SGPC ini bertanggungjawab menguruskan gurdwara, keselamatan, kewangan, kemudahan penyelenggaraan serta menjaga artifak suci Sikh seperti senjata, pakaian, buku-buku dan tulisan-tulisan Guru Sikh.

PERBEZAAN AGAMA

Sikhisme lahir apabila Guru Nanak bergelut dengan realiti kehidupan beragama itu sendiri – bagaimana agama, kaum dan status sosial yang berbeza telah memisahkan masyarakat.

Ianya dipengaruhi oleh pergerakan reformasi agama Hindu dan pergerakan Sufi di India.

ASAL-USUL KELAHIRAN AGAMA SIKH

Dari segi sejarah, agama Sikh diinspirasikan oleh dua orang tokoh reformis agama Hindu iaitu Ramanand (1400-1470 Masihi ) dan Kabir (1440-1518 Masihi).

Ramanand merupakan seorang penganut agama Hindu dan juga seorang penyair yang dilahirkan dalam keluarga Brahmin.

Beliau juga dikenali dengan nama Jagadguru Ramanandacharya, namun disebabkan beliau tidak bersetuju dengan sistem kasta yang terlalu ditekankan oleh golongan Brahmin, beliau telah mengasaskan satu aliran dalam agama Hindu yang dikenali sebagai Gerakan Hindu Bhakti.

Diantara kandungan ajarannya ialah beliau sangat mencela penyembahan berhala.

Kebanyakan syair yang dikarang beliau mengajar bahawa tuhan itu esa, kebenaran merupakan sahabat yang paling rapat kepada manusia dan hidup bersederhana itu merupakan jalan terbaik untuk mencapai Nirwana.

Keadaan ini memberitahu kita bahawa, ajaran yang dibawa oleh Ramanand masih terikat dengan ajaran Hindu yang mana berpegang bahawa Nirwana merupakan balasan terhadap perbuatan baik.

HUKUM KARMA DAN KELAHIRAN SEMULA

Selain itu, Ramanand juga masih mempercayai hukum Karma dan Reinkarnasi.

Hukum Karma bermaksud balasan terhadap perbuatan yang dilakukan oleh manusia sepanjang hidupnya.

Manakala Reinkarnasi pula merupakan penjelmaan kembali makhluk yang telah mati untuk menerima balasan diatas kejahatan yang dilakukannnya.

Manakal Kabir pula merupakan seorang lelaki miskin daripada kasta paling rendah agama Hindu.

Ayah kabir meninggal dunia sewaktu Kabir masih kecil dan beliau dibesarkan oleh ibunya sehingga berumur setahun.

Disebabkan kesempitan hidup, ibu Kabir telah mengambil keputusan untuk menghanyutkannya ke sungai Gangga di daerah Banares.

Beliau bernasib baik kerana telah dijumpai oleh sepasang suami isteri bernama Niru dan Nima yang beragama Islam.

Apabila dewasa, Kabir telah dihantar oleh kedua ibu bapa angkatnya untuk mempelajari ilmu di Varanasari.

Pada usia 16 tahun, beliau telah mempelajari ajaran-ajaran yang terdapat di dalam agama Islam dan Hindu.

Di samping itu Kabir juga sangat meminati syair-syair yang dihasilkan Ramanand.

Walaupun Kabir mempunyai ilmu pengetahuan tentang ajaran-ajaran di dalam agama Islam dan Hindu, beliau masih tidak berpuas hati terhadap keduanya malah lebih tertarik kepada karya-karya Ramanand.

Kabir akhirnya telah membentuk ajarannya sendiri yang dikenali sebagai Kabir Panthis yang bermaksud pengikut jalan Kabir.

Beliau juga telah menulis ajarannya yang digubah dalam bentuk syair dan mendakwa semua agama mempunyai kebenaran dan hanya ada satu tuhan sahaja.

Akhirnya, idea yang dicetuskan Kabir ini telah dikembangkan oleh Guru Nanak yang menjadi pengasas kepada agama Sikh.

Pada asasnya, Guru Nanak telah menentang segala jenis ritual dan beliau tidak bertujuan untuk membentuk ajaran baru.

Ajaran beliau adalah lebih berbentuk kepada peraturan kemasyarakatan yang mana masyarakat ketika itu mengalami kekeliruan diantara kepercayaan tradisi agama Hindu dan ajaran tauhid dari penyebaran agama Islam.

Percubaan menyebarkan Islam ke India telah dimulakan sejak zaman Khulafa al-Rasyidin lagi.

Usaha murni ini telah diteruskan di bawah pemerintahan kerajaan Umaiyah terutamnya pada pemerintahan khalifah al-Walid bin Abd al-Malik.

Sekitar tahun 711-712 Masihi, melalui ekspedisi yang dipimpin oleh panglima Muhammad bin al-Qasim yang telah mengetuai angkatan tentera menuju ke India dan memulakan perkembangan peradaban Islam di India.

GERAKAN BAKHTI

Pada abab ke 15, telah berlakunya Gerakan Bakhti yang diasaskan oleh Ramanand di India.

Gerakan ini bertujuan untuk mengkritik amalan-amalan yang melibatkan tatacara dalam upacara keagamaan dan tahyul pada zaman tersebut.

Para pendokong gerakan ini menegaskan bahawa tujuan dari Hinduisme dan Islam adalah sama.

Segala perbezaan diantara keduanya tidak boleh dijadikan alasan untuk mencetuskan kebencian dan permusuhan dalam agama. Pada zaman ini jugalah Guru Nanak dilahirkan.

Latar belakang

Guru Nanak di lahirkan pada 15 April 1469 di sebuah perkampungan bernama Talwandi yang kini diberi nama ‘Nankana Sahib’ berdekatan Lahore, Pakistan dan meninggal dunia pada 22 September 1539.

Ayahnya bernama Mehta Kalu manakala ibunya bernama Tripta. Beliau berketurunan bangsawan beragama Hindu.

Beliau juga amat tertarik dengan ajaran yang dibawa oleh Ramanand dan Kabir Panthis.

Pada tahun 1488, beliau telah berkahwin dengan Sulakhani pada usianya 19 tahun dan dikurniakan dua orang putera.

Keadaan hubungan diantara agama Hindu dan Islam pada waktu tersebut diselubungi pelbagai permasalahan dan persengketaan.

Pada masa awalnya, Guru Nanak kelihatan mempunyai sifat ingin tahu yang penuh dengan pertanyaan dan menolak pemakaian benang "suci" ritual yang dipanggil Janeu.

Sebaliknya, Guru Nanak mengatakan bahawa beliau akan memakai nama benar Tuhan dalam hatinya sebagai perlindungan kerana benang boleh putus, menjadi kotor, terbakar, atau hilang dan sama sekali tidak dapat memberikan sebarang keselamatan.

Sebagai seorang yang bukan sami, Guru Nanak meneruskan misi hidupnya untuk:

"Memimpin orang-orang ke laluan benar Tuhan, serta mengikut ajaran kitab Bani secara langsung tanpa keperluan untuk sebarang sami; melenyapkan kepercayaan karut; mengajar orang-orang memberhentikan amalan upacara amal, dan menjauhkan diri daripada " Lima Pencuri."

Guru Nanak berkahwin dengan Sulakhni yang merupakan anak perempuan Moolchand Chona, seorang pedagang dari Batala.

Mereka dikurniakan dengan dua anak lelaki, Sri Chand dan Lakshmi Das. Abang iparnya, Ram yang merupakan suami kepada kakaknya (Nanki), telah mendapatkan pekerjaan untuknya di Sultanpur sebagai pengurus untuk sebuah jabatan kerajaan.

Pada suatu pagi ketika Guru Nanak berumur 28 tahun (atau 30 tahun), beliau pergi seperti biasa ke Sungai Veeyin untuk mandi dan bertafakur.

Beliau dikatakan hilang dan dianggap mati lemas di Sungai Kali Bein selama tiga hari dan ketika kemunculannya, beliau dikatakan "dipenuhi dengan roh Tuhan."

Sifat yang tepat untuk peristiwa ini terbuka untuk tafsiran peribadi, dan dapat ditafsirkan sebagai "ketuhanan mitos" atau "pemahaman yang amat mendalam."

Beliau muncul tiga hari selepas itu dan membuat pengishtiharan bahawa, "Tiada Hindu dan tiada Muslim, jadi jalan milik siapa yang harus aku ikuti? Aku bakal mengikuti jalan Tuhan."

Kata-katanya yang pertama selepas kemunculan semula adalah: "tiadanya orang Hindu, tiadanya orang Muslim."

Dengan prinsip kemanusiaan ini, beliau memulakan kerja-kerja mubaligh.

PENGEMBARAAN

Sepanjang kehidupan beliau, Guru Nanak telah melakukan empat pengembaraan yang besar – perjalanan yang pertama ke arah timur iaitu menghala ke Bengal dan Assam, kedua ke arah selatan iaitu menghala ke Andhra dan Tamil Nadu, ketiga ke arah utara menghala ke Kashmir, Ladakh, dan Tibet, keempat ke arah barat menghala ke Baghdad dan Mekah.

TIGA TUNGGAK SIKHISME

Di Sultanpur, Guru Nanak menformalkan tiga tunggak Sikhisme yang penting:
  • Mengamalkan Simran dan Naam Japna — bertafakur tentang Tuhan dan membaca serta mengulangi sebutan Waheguru , nama Tuhan;
  • Mengamalkan hidup berumah tangga serta Kirat Karni, iaitu memperoleh pendapatan yang jujur melalui usaha fizikal dan mental semasa menerima rezeki dan rahmat Tuhan;
  • Berkongsi kekayaan dalam komuniti dengan mengamalkan Wand kay Shako, iaitu "Berkongsi dan berbelanja bersama-sama."

KISAH

Terdapat sebuah cerita yang menyokong tunggak kedua itu. Dalam salah satu perjalanannya, Guru Nanak tiba di sebuah kampung dan bermalam di sana.

Di kampung ini tinggal dua orang, iaitu seorang kaya dan seorang petani miskin. Oleh sebab Guru Nanak memilih untuk tinggal di rumah orang miskin walaupun diberikan kemewahan rumah orang kaya, orang kaya itu berang dan mendesak penjelasan.

Guru Nanak menyuruh kedua-dua orang untuk membawa sekeping roti capati daripada rumah masing-masing.

Ketika beliau memicit kedua-dua roti capati itu, susu mengalir daripada roti capati orang miskin tetapi darah mengalir daripada roti orang kaya.

Pengajaran daripada cerita ini adalah, orang kaya itu menggunakan cara yang tidak beretika untuk memperoleh kekayaan (iaitu eksploitasi), sedangkan orang yang miskin memperoleh pendapatannya yang walaupun hanya sedikit, merupakan cara yang jujur dan rajin.

KEPERCAYAAN DAN SUMBANGAN LAIN

Guru Nanak dihormati oleh kedua-dua golongan Hindu dan Muslim. Beliau mempunyai banyak kepercayaan yang tidak popular pada masanya tetapi kini diterima secara meluas;

Kesamaan Manusia

Ketika pengabdian dan diskriminasi ras masih merebak di dunia Barat dan penghormatan antara kelas dan kasta adalah pada aras yang paling rendah, Guru Nanak berkhutbah terhadap diskriminasi dan prasangka yang disebabkan oleh ras, kasta, taraf, dan sebagainya.

Beliau berkata: "Nampak persaudaraan antara semua manusia sebagai tahap yogi yang tertinggi; taklukkan pemikiran kamu dan menaklukkan dunia." (SGGS m.s. 6)

"Terdapat hanya satu kesedaran antara semua makhluk." (m.s. 24)

"Sesiapa yang mengenal pasti Satu Tuhan antara semua makhluk tidak akan bercakap tentang keakuan." (m.s. 432).

Guru Nanak menegaskan kepada semua orang di dunia tentang keperluan untuk "menaklukkan" pemikiran masing-masing terhadap amalan-amalan yang jahat.

Semua manusia mempunyai cahaya Tuhan dan adalah sama — hanya dengan menahan keangkuhan dan keakuan bahawa seseorang dapat melihat cahaya ini pada keseluruhannya.

Kesamaan Wanita

Pada sekitar 1499 ketika dunia masih tidak memberikan status atau kehormatan kepada wanita, Guru Nanak mengangkat kedudukan wanita melalui perutusan ini: "Dari perempuan, lelaki dilahirkan; dalam perempuan, lelaki jadi; melalui perempuan, generasi-generasi hadapan akan datang. Ketika isterinya mati, dia mencari perempuan lain; kepada perempuan, dia terikat. Oleh itu, mengapa mengatanya buruk? Dari perempuan, raja-raja dilahirkan. Dari perempuan, perempuan dilahirkan; tanpa perempuan, tidak akan terdapat sesiapa pun. Ya Nanak, hanya Tuhan Benar tidak mempunyai perempuan." (m.s. 473).

Dengan itu, beliau mempromosikan kesamaan wanita sejak abad ke-15.

PERUTUSAN SEJAGAT

Adalah adat resam pada masa itu bagi pemimpin-pemimpin agama untuk berucap hanya kepada jemaah mereka dan untuk mengasingkan agama-agama lain.

Guru Nanak menyimpang daripada tradisi ini dan berucap kepada semua manusia.

Kepada orang-orang Islam, beliau berkata: "Dan ketika, ya Nanak, dia menaruh belas kasihan terhadap semua makhluk, hanya kemudian bahawa dia boleh dipanggil orang Islam." (m.s. 141)

Kepada orang-orang Hindu, beliau berkata: "Ya Nanak, tanpa Nama Benar, apakah gunanya tanda dahi orang-orang Hindu, atau benang suci mereka?" (m.s. 467)

Dan kepada semua orang, beliau berkhutbah: "Mengambil harta orang adalah serupa sahaja dengan orang Islam memakan daging babi, atau orang Hindu memakan daging lembu." (m.s. 141).

EMPAT PERJALANAN

Sejarah mengatakan bahawa Guru Nanak membuat empat perjalanan yang utama ke seluruh kawasan di India, serta ke Arab Saudi dan Parsi.

Beliau melawat Mekah dan Baghdad, dan berucap kepada penganut-penganut Hinduisme, Jainisme, Budhisme, Zoroastrianisme dan Islam.

Beliau memberi ucapan di dalam kuil dan masjid, serta di pelbagai tempat ziarah. Di mana-mana Guru Nanak pergi, beliau bersuara menentang upacara amal yang kosong, penziarahan, sistem kasta, pengorbanan balu, pergantungan kepada buku-buku untuk membelajari agama yang benar, serta rukun-rukun lain yang mentakrifkan ajarannya.

Tidak pernah beliau menyuruh sebarang pendengar untuk mengikutnya.

Beliau menyuruh orang Islam untuk menjadi orang Islam yang benar, dan orang Hindu untuk menjadi Hindu yang benar.

Selepas perjalanan utamanya yang terakhir, Guru Nanak menetap di bandar Kartapur (di Punjab) yang terletak di tebing Sungai Ravi dan mengajar selama lima belas tahun lagi.

Pengikut-pengikut dari seluruh tempat datang untuk menetap di Kartapur supaya dapat mendengar, bernyanyi dan hidup bersama dengannya.

Pada masanya, walaupun pengikut-pengikutnya masih mengekalkan agama masing-masing, mereka dikenali sebagai pengikut Guru, atau orang Sikh.

Adalah di sini bahawa pengikut-pengikut Guru Nanak merujuk kepadanya sebagai guru.

Beliau memberitahu pengikut-pengikutnya bahawa, mereka tetap merupakan orang berumah tangga dan dan tidak boleh hidup berasingan daripada dunia — tidak adanya pendeta atau pertapa.

Sini adalah tempat di mana Guru Nanak memperkenalkan Langar yang memerlukan orang kaya dan miskin, orang Hindu dan Muslim, serta orang berkasta tinggi dan rendah, untuk duduk bersama-sama semasa makan.

Sini juga merupakan tempat di mana Lehna, kemudian Guru Angad, datang untuk tinggal bersama-sama dengan Guru Nanak.

KEMATIAN

Guru Nanak dengan Mardana (kiri) dan Bala Turisan kayu berwarna, Amritsar atau Lahore, pada sekitar 1875.

Guru Nanak menghabiskan tahun-tahun terakhirnya di Kartarpur. Beliau akan bangun pada setiap waktu fajar untuk berdoa dan kemudian pada waktu subuh, Guru Nanak akan berucap kepada pengikut-pengikutnya.

Beliau bekerja di bilik dalam dapur yang kini masih dikenali sebagai 'langar'.

Makanan yang disediakan dimakan oleh semua orang, baik orang Hindu atau Muslim, orang kaya atau miskin dan orang berkasta tinggi atau rendah.

Beliau mengerjakan ladang dan memperoleh punca pendapatan dengan hasil pencarian sendiri.

Pada 22 September 1539, ketika berumur 70 tahun, Guru Nanak meninggal dunia selepas beliau meminta pengikut-pengikutnya untuk menyanyi Sohila (pujian kepada Tuhan).

Pada suatu masa, ketika Guru Nanak ditanya mana satu agama, Hinduisme atau Islam, merupakan laluan yang benar ke Tuhan, beliau menjawab bahawa cara yang benar untuk mencapai Tuhan ialah untuk menyembah kepada-Nya yang abadi dan terdapat di seluruh Alam Semesta.

BUDAYA RAKYAT

Legenda mengatakan bahawa ketika kematian Guru Nanak, pengikut-pengikutnya hendak membakar mayatnya sedangkan pengikut-pengikut Muslim hendak mengebumikan mayatnya mengikut tradisi Islam.

Bagaimanapun, ketika mereka menaikkan kafan Guru Nanak, mereka melihat bunga segar yang kemudiannya dibahagikan kepada pengikut-pengikut masing-masing.

Orang Hindu membakar bunga itu, sedangkan orang Islam mengebumikan bunga mereka.

10 GURU

Selepas kematian Guru Nanak, peranan Guru diambil alih dan diteruskan lagi dengan sepuluh guru.

Guru yang terakhir, Guru Gobind Singh meninggal pada 7hb Oktober 1708.

ASAS AGAMA SIKH

Konsep asas agama Sikh adalah sama seperti agama Islam, Kristian dan juga Judaism iaitu berasaskan monotheisme.

Tetapi konsep tuhan agama sikhisme berbeza dengan agama lain. Ianya dikenali sebagai ‘Ik Oknar’ yang bermaksud ‘Satu Realiti Tertinggi’.

Menurut Guru Nanak, proses memahami Tuhan menjangkaui kebolehan akal manusia tetapi pada masa yang sama, Tuhan itu dapat dikenali.

Sama seperti pemahaman Sufisme, Tuhan wujud dan dapat dikenali melalui kesemua benda yang wujud dan dapat dilihat oleh manusia yang telah mencapai kemuncak pencerahan.

Mengikut ajaran Guru Nanak, penebusan dosa tidak bermaksud memasuki syurga setelah penghakiman yang terakhir, tetapi melalui persatuan dan penyerapan ke dalam Tuhan.

Para penganut Sikh tidak mempercayai syurga ataupun neraka.

KITAB AGAMA SIKH

Sumber utama kitab kepada agama Sikhisme adalah Gurū Granth Sāhib, versi terakhir kepada Ādi Granth yang dicipta oleh Guru Arjan pada tahun 1604.

Kitab Ādi Granth ditulis di dalam huruf Gurmukhī, diguna secara meluas di daerah Punjabi, berasal daripada istilah Punjabi lama “gurumukhī” yang bermaksud “daripada mulut si guru”.

Antara kitab-kitab lain yang utama bagi agama Sikh adalah kitab Dasam Granth dan Janamsakhis.

Janamsakhis merupakan buku yang menceritakan kisah tentang Guru Sikh yang pertama, sebuah buku biografi tentang Guru Nanak.

SISTEM LANGAR

Konsep ‘Langar’ merupakan konsep makanan/kantin percuma yang terbuka kepada semua orang secara adil dan saksama, menjangkaui batasan kaum, agama, ataupun status sosial.

Pada abad ke-16 di India, ianya merupakan suatu konsep yang revolusioner, dimana masyarakat pada masa itu masih bersendikan tahap kasta yang berbeza.

Melalui aktiviti Langar, hanya sayuran sahaja yang diberikan, untuk memastikan bahawa kesemuanya dapat makan secara adil dan saksama, tanpa menghiraukan batasan diet.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Saturday, January 04, 2020

Sambutan Hari Braille Sedunia

Sambutan Hari Braille Sedunia

Sambutan Hari Braille Sedunia disambut pada 4 Januari setiap tahun bertujuan bagi memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan tulisan braille terhadap orang cacat penglihatan.

Hari Braille Sedunia

Selain itu, orang ramai juga perlu dididik bagi mengelak rasa prejudis terhadap golongan berkenaan, terutama dalam sektor pekerjaan kerana mereka juga mampu bekerja dengan baik seperti orang normal.

Orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, terutamanya di negara ini juga berhadapan masalah mendapatkan ilmu dan maklumat penting berikutan kurangnya kemudahan braille untuk mereka.

Keadaan tersebut merupakan antara cabaran terbesar kepada golongan cacat penglihatan.

Bahan bacaan dalam tulisan braille juga begitu kurang di pasaran, malah mesin braille untuk sekolah pendidikan khas juga masih tidak mencukupi.

Kekurangan kemudahan tulisan Braille juga menyukarkan golongan berkenaan mengetahui maklumat dan berita dalam dan luar negara.

Justeru, pihak yang bertanggungjawab disarankan agar memperbanyakkan maklumat dalam tulisan braille supaya OKU cacat penglihatan mempunyai peluang mendapatkan ilmu sama seperti orang normal, selain mempertingkatkan kemudahan awam kepada golongan berkenaan.

Malah, banyak kemudahan untuk orang kelainan upaya ini disalahgunakan, tempat pejalan kaki yang dikhaskan untuk orang buta dijadikan parkir motor, diletakkan meja makan dan sebagainya yang yang tidak patut dilakukan.

Sejarah Tulisan Braille

Braille adalah sejenis sistem tulisan sentuh yang digunakan oleh orang buta, telah dicipta oleh seorang lelaki Perancis bernama Louis Braille yang buta disebabkan kemalangan semasa kecil.

Ketika berusia 15 tahun, Braille mengubah suai tulisan bagi memudahkan tentera untuk membaca ketika gelap.

Sistem ini dinamakan sistem Braille, namun ketika itu Braille tidak mempunyai huruf W.

Abjad Braille

Braille terdiri daripada sel yang mempunyai 6 titik timbul yang dinomborkan seperti berikut:

Angka Braille

Kehadiran atau ketiadaan titik itu akan memberi kod untuk simbol tersebut.

Huruf Braille Bahasa Melayu adalah hampir sama dengan kod huruf Braille Inggeris. Perkataan, simbol (seperti tanda seru dan tanda soal), beberapa perkataan dan suku kata boleh didapati secara terus.

Contohnya, perkataan orang dipendekkan kepada org. Ini membolehkan buku Braille yang lebih nipis boleh dicetak.

Simbol Braille juga telah diperkaya sehingga boleh digunakan untuk membaca nota muzik dan matematik.

Huruf dan Nombor Braille

Kini Braille telah diubahsuai dengan menambah dua lagi titik menjadikan Braille menjadi kod 8 titik.

Ini memudahkan pembaca Braille mengetahui huruf tersebut adalah huruf besar atau kecil.

Selain itu, penukaran ini membolehkan huruf-huruf ASCII ditunjukkan dan kombinasi 8 titik ini diekodkan dalam standard Unicode.

Braille boleh dihasilkan menggunakan batuan loh (slate) dan stilus (stylus), dimana titik dihasilkan daripada belakang muka kertas, menulis dengan imej cermin, menggunakan tangan atau menggunakan mesin taip Braille yang dikenali sebagai Perkins Brailler.

Braille juga boleh dihasilkan menggunakan mesin cetak Braille yang disambung kepada komputer.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Friday, January 03, 2020

Bahaya Kurang Atau Terlebih Garam Dalam Badan Yang Ramai Tidak Tahu

Bahaya Kurang Atau Terlebih Garam Dalam Badan Yang Ramai Tidak Tahu

Garam adalah bahan yang sangat biasa digunakan dalam masakan seharian, dan pengambilan garam penting kepada kesihatan jika diambil dalam jumlah berpatutan. Garam biasa dalam bentuk hablur atau kristal halus.

Bahaya dan kebaikan Garam

Tanpa garam, sesuatu hidangan akan menjadi tidak enak dimakan dan tawar serta tidak menyelerakan. Garam digunakan oleh manusia sejak zaman dulu, terutama untuk mengawet makanan.

Garam diletakkan dalam makanan yang berbentuk nyata serta tersembunyi, dan kebanyakan makanan proses mengandungi jumlah kandungan garam yang tinggi.

Malangnya, kebanyakan orang ramai tidak sedar atau tidak peduli mereka memakan garam secara berlebihan, sehinggalah ditimpa musibah penyakit.

Kira-kira 75 peratus daripada garam dalam diet seharian datangnya dari makanan terproses.

Di samping itu makanan seperti roti, bijirin serta makanan manis juga mengandungi garam walaupun tidak berasa masin dan ini antara faktor mempengaruhi kesukaran seseorang mengurangkan garam sedia ada pada sesuatu makanan.

Garam biasa juga dikenali sebagai sodium klorida yang berasal dari laut dan lombong garam.

Selain garam biasa, sumber sodium dalam makanan atau minuman proses juga dilabel dengan nama seperti sodium benzoate, sodium nitrat, sodium bikarbonat dan monosodium glutamat (MSG).

Bahaya Terlebih Makan Garam

Garam biasanya mengandungi tidak kurang dari 95 peratus natrium klorida (NaCl) dengan kandungan sodium (natrium) sebanyak 40 peratus dan garam biasanya dikaitkan dengan masalah tekanan darah tinggi.

Kajian sains menunjukkan dengan mengurangkan pengambilan garam, tekanan darah seseorang individu boleh dikurangkan dan dikawal dengan lebih baik.

Sebagai contoh, pengurangan garam secara sederhana dalam tempoh empat minggu atau lebih boleh mengurangkan tekanan darah dengan nyata dalam kalangan individu dewasa yang mempunyai tekanan darah normal atau tinggi.

Kajian meta analisis yang dilaporkan dalam British Medical Journal (BMJ) pada 2009 menunjukkan, pengurangan pengambilan garam dalam sehari boleh mengurangkan paras tekanan darah dan secara tidak langsung mengurangkan risiko penyakit jantung, serangan jantung dan strok.

Berdasarkan kajian oleh Scientific Advisory Committee on Nutrition pada 2003, ada bukti saintifik terkini menunjukkan pengambilan garam yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak juga mempengaruhi tekanan darah dan risiko beberapa penyakit seperti osteoporosis, penyakit asma, kanser dan obesiti.

Kajian di Malaysia menunjukkan pengambilan garam adalah tinggi iaitu 8.7gram sehari berbanding saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu kurang lima gram sehari.

Sumber Garam Dalam Makanan

Garam diambil dalam jumlah tinggi apabila seseorang mengambil makanan proses seperti makanan tin, kicap, sos, ikan masin, ikan bilis, bebola ikan, bebola daging, bebola udang, makanan sejuk beku, daging proses seperti burger, nuget, sosej, jajan, kerepek dan keropok.

Seseorang yang mempunyai paras sodium (natrium) tinggi di dalam darah berisiko menghidap hipertensi atau darah tinggi, seterusnya berisiko mendapat serangan sakit jantung dan strok.

Berdasarkan Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2011, dianggarkan 32.7 peratus atau 5.8 juta orang dewasa berumur 18 tahun ke atas di Malaysia menghidap hipertensi.

Manakala Kajian Beban Penyakit (Burden of Disease Study) di Malaysia pada 2014 menunjukkan, penyakit yang menjadi penyumbang utama kepada kematian rakyat Malaysia adalah penyakit hipertensi atau tekanan darah tinggi.

Hipertensi boleh menyebabkan pelbagai komplikasi jangka masa panjang seperti penyakit strok, sakit jantung koronari, kegagalan jantung, kerosakan buah pinggang dan kerosakan mata.

Masalah utama hipertensi adalah, ia tidak mempunyai tanda pada peringkat permulaannya. Oleh itu, seseorang perlu kerap membuat pemeriksaan tekanan darah di klinik atau pusat kesihatan.

Jika seseorang tidak mengendahkan tekanan darahnya dan hanya mendapatkan rawatan setelah terkena komplikasi seperti serangan jantung atau strok, ia merugikan diri sendiri.

Garam Semulajadi

Ada ahli sains berpendapat, bahaya garam kerana kandungan sodiumnya tinggi dan kerana itu makan buah-buahan secara kerap membantu menurunkan tekanan darah kerana buah-buahan kaya dengan garam galian kalium atau potassium.

Potassium akan menseimbangkan nisbah garam galian sodium dan potassium dalam tubuh dan mengelak masalah tekanan darah tinggi atau hipertensi.

Pengambilan gula berlebihan dan karbohidrat terproses yang mengandungi karbohidrat halus (refine carbohydrate) juga punca masalah hipertensi kerana ia menyebabkan saluran darah arteri menjadi keras atau atherosklerosis.

Kajian oleh National Institute of Health, Amerika Syarikat pada 1997 menunjukkan, pengawalan darah tinggi boleh dilakukan dengan cara pemakananan betul.

Kajian ini dipanggil kaedah pemakanan 'DASH' yang bermaksud 'Dietary Approach to Stop Hypertension' yang bermaksud pendekatan pemakanan untuk mengawal darah tinggi.

Kaedah itu membabitkan pengambilan makanan rendah lemak tepu (dari sumber haiwan) di samping makan buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan hasil tenusu rendah lemak.

Hasil kajian ini mendapati tekanan darah dapat diturunkan dengan baik seakan-akan makan ubat darah tinggi.

Hasilnya mula dilihat selepas dua minggu mengamalkan pemakanan dengan cara ini dan kesannya sehingga lapan minggu tanpa mengira jantina, kaum atau tekanan darah asal.

Pemakanan dengan kaedah DASH memberikan serat tinggi, zat kalsium, magnesium dan potassium yang terbukti menurunkan tekanan darah. Ia juga rendah dengan lemak tepu dan lemak 'trans'.

Secara umumnya, memakan makanan asli dan bukan makanan proses akan membantu mengurangkan garam berlebihan dalam pemakanan seharian, oleh itu ia mampu mengawal tekanan darah dengan lebih baik.

Bahaya Kurang Garam Dalam Badan

Selain bahaya terlebih garam, kekurangan garam potassium dalam badan juga tidak baik untuk tubuh kita dan keadaan ini dipanggil Hypokalemia.

Antara penyebab masalah ini adalah:
  • Masalah buah pinggang.
  • Pengambilan alkohol berlebihan.
  • Sering muntah-muntah.
  • Cirit birit.
  • Penggunaan ubat darah tinggi jenis diuretics (mengeluarkan air dari badan)
  • Kekurangan asid folik.
  • Terdapat masalah dengan hormon aldosterone.
  • Terdapat masalah dalam sistem pencernaan.

Garam diperlukan dalam badan untuk fungsi-fungsi yang berikut:
  • Menseimbangkan cecair dalam badan.
  • Mengekalkan kepekatan/konsentrasi cecair dalam badan.
  • Berfungsi sebagai rangsangan elektrik dalam saraf dan otot.
  • Menseimbangkan asid dan alkali dalam badan untuk proses pencernaan.
  • Membina plasma darah dan cecair limfa.

Untuk mengetahui yang mana satukah punca masalah yang anda hadapi, pemeriksaan lanjut adalah diperlukan.

Hyponatremia pula adalah istilah bagi tahap garam biasa dalam darah terlalu rendah sedangkan garam adalah elektrolit yang membantu kawalan jumlah air dalam sel tubuh.

Akibatnya, pesakit akan berasa loya dan muntah, sakit kepala, keliru, tidak bertenaga, otot kejang, sawan dan koma.

Dan tahukah anda dari mana sumber terbaik untuk mendapatkan garam yang selamat untuk tubuh? MSG atau lebih kita kenali sebagai 'Ajinomoto'!

MSG adalah garam natrium asid glutamik yang dijadikan penambah rasa makanan dan digunakan secara efektif sejak sekian lama untuk menonjolkan rasa terbaik masakan.

Jadi, bersederhanalah dalam pemakanan. Itu yang terbaik.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Asal-usul Bendera Pelangi Golongan LGBT

Asal-usul Bendera Pelangi Golongan LGBT

Sejak sekian lama, golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mengiktiraf bulan Jun setiap tahun sebagai Bulan LGBT, sebagai tanda menghormati peristiwa Rusuhan Stonewall yang berlaku di bandar New York pada tahun 1969.

Bendera Pelangi LGBT

Maka, apabila tiba bulan Jun, dibandar-bandar besar yang menerima budaya LGBT, anda akan melihat bendera-bendera berwarna pelangi dikibarkan oleh aktivis-aktivis gerakan LGBT ini.

Namun, tahukah anda daripada manakah asal-usul bendera berwarna pelangi ini?

Segalanya bermula pada tahun 1978 dimana seorang karyawan bernama Gilbert Baker, seorang individu yang secara terbuka mengaku sebagai gay mencipta bendera pelangi ini.

Beliau menyatakan bahawa, idea itu tercetus hasil desakan Harvey Milk yang mahukan sebuah logo bagi mewakili golongan mereka.

Harvey Milk merupakan seorang pegawai yang telah dilantik bagi mewakili golongan gay di Amerika Syarikat.

Gilbert Baker mendedahkan beliau mengambil keputusan untuk mencipta logo bagi mewakili gerakan LGBT ini dalam bentuk bendera memandangkan bendera dilihat sebagai simbol kebanggaan yang paling kuat.

Gilbert Baker juga mendedahkan bahawa penciptaan bendera ini bagi membolehkan golongan seumpanya lebih berani mengaku budaya atau amalan mereka secara terbuka dalam masyarakat dan lebih mudah mengenali golongan sepertinya.

Idea asal bendera LGBT

Gilbert Baker mendapat inspirasi daripada warna pelangi di langit dan beliau mengambil 8 warna daripada pelangi tersebut sebagai 8 jalur warna pada bendera ciptaannya.

Menurutnya, setiap warna itu mewakili maksud tertentu:
  1. Merah jambu - Seks
  2. Merah - Kehidupan
  3. Jingga - Kesembuhan
  4. Kuning - Cahaya
  5. Hijau - Semulajadi
  6. Turquoise - Seni
  7. Indigo - Harmoni
  8. Ungu- Semangat

Versi pertama bendera pelangi ini telah digunakan secara rasmi buat pertama kali pada 25 Jun 1978 dalam sambutan Hari Kebebasan Gay San Francisco di San Francisco.

Gilbert Baker dan beberapa orang sukarelawan telah menghasilkan bendera ini dengan tangan.

Perubahan terhadap bendera LGBT

Selepas pembunuhan Pegawai Gay San Francisco City, Harvey Milk pada 27 November 1978, permintaan bendera pelangi telah meningkat.

Bagi menampung permintaan yang tinggi ini, syarikat Paramount Flag Company mula menjual versi baru bendera pelangi ini dimana hanya 7 jalur sahaja digunakan.

Versi baru ini menyaksikan hanya warna merah, jingga, kuning, hijau, turquoise, indigo dan ungu sahaja digunakan sementara warna merah jambu telah dibuang.

Keputusan ini terpaksa dilakukan memandangkan kesukaran untuk mendapat fabrik berwarna merah jambu dalam kuantiti yang banyak bagi menghasilkan bendera ini dalam skala yang besar.

Namun, pada tahun 1979 menyaksikan bendera yang menjadi kebanggaan golongan LGBT ini mengalami satu lagi perubahan dimana jalur warnanya telah dikurangkan kepada 6 jalur warna sahaja.

Apabila bendera ini digantung secara menegak pada tiang lampu, jalur keempat yang berada pada bahagian tengah dilihat seolah-olah terhalang dengan tiang lampu tersebut menjadikannya seperti tidak sempurna.

Bagi mengatasi masalah ini, keputusan telah diambil untuk menukar bendera ini supaya mempunyai jumlah jalur dalam kiraan genap.

Oleh itu, sekali lagi bendera ini telah diubah kepada hanya 6 jalur sahaja iaitu warna merah, jingga, kuning, hijau, biru dan violet. Versi terbaru ini menyaksikan warna turquoise telah dibuang.

Pada tahun 1989, bendera pelangi ini mula mendapat perhatian warga Amerika Syarikat secara meluas berikut satu kes saman oleh John Stout terhadap pemilik rumah yang disewanya dan memenangi kes saman tersebut.

Dalam kes tersebut, tuan rumah yang disewa John Stout telah mengeluarkan arahan yang menghalang beliau daripada mengibarkan bendera ini daripada balkoni rumah yang didiaminya di West Hollywood, California.

Pada masa kini, terdapat juga beberapa pihak terutamanya golongan muda yang cuba mencipta versi baru bendera ini dengan memasukkan warna hitam dan coklat.

Warna hitam dan coklat ini dikatakan bagi mewakili golongan kulit berwarna selain daripada golongan orang putih.

Walau bagaimanapun, golongan veteran LGBT menentangnya kerana berpendapat kedua warna itu tidak menggambarkan keceriaan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi