Sunday, January 05, 2020

'Kontraktor Tentera' Askar Upahan Yang Boleh Disewa!


Kita semua tahu tentang kewujudan organisasi bersifat ketenteraan sama ada melalui penubuhan berteraskan kerajaan atau negara, mahupun pergerakan bersifat militia. Semuanya bertujuan untuk bertindak sebagai benteng pertahanan atau operasi berfokuskan serangan.

Kontraktor Tentera

Bagaimanapun dalam zaman moden, minat masyarakat untuk menyertai latihan tentera serta sanggup mengorbankan diri demi negara, semakin lama semakin terhakis. Hinggakan banyak pihak memerlukan tentera upahan yang bersetuju untuk berjuang demi pihak yang mampu mengupah mereka.

Tentera upahan apabila bertindak sendirian, biasanya bergelar sebagai seorang 'mercenary' secara rasmi - namun apabila aktiviti mereka dibuat untuk tujuan keuntungan dan dilakukan dalam bilangan ramai, kini lebih dikenali dengan label 'PMC' atau 'Private Military Company.'

Apa beza 'tentera upahan' dengan 'PMC'

Walaupun kedua-duanya kelihatan hampir serupa, perbezaan paling ketara antara kedua-dua sistem tentera upahan ini tentang kewujudan regulasi yang menyelia pergerakan mereka.

Seorang 'mercenary' biasanya bergerak secara haram, tidak berdaftar dan melakukan aktiviti secara sembunyi tanpa meninggalkan jejak.

Sebuah PMC pula dibentuk dengan gabungan kumpulan tentera upahan, menjalankan operasi mereka secara terbuka, berdaftar dan dikawal selia kerajaan di mana mereka didaftarkan.

Selain daripada menyediakan perkhidmatan anggota tentera bagi tujuan operasi militari dan keselamatan, PMC turut sama menyediakan khidmat latihan bagi mana-mana pihak yang memerlukan, khidmat penghantaran logistik berisiko tinggi, pemasangan peranti keselamatan dan ketenteraan serta pembekalan senjata.

Khidmat mereka bukan saja digunakan untuk tujuan ketenteraan semata-mata. Ada beberapa negara mengambil khidmat PMC untuk tujuan membasmi aktiviti lanun di kawasan maritim dan ada juga yang melantik PMC bagi menghalang kumpulan pemburu binatang haram tanpa permit, demi melindungi warisan negara mereka.

Kenapa PMC semakin lama semakin popular?

Berbeza dengan pasukan tentera latihan kerajaan - PMC kebiasaannya diwakili oleh individu-individu yang sudah berpengalaman luas dalam hal perang. Kelebihan ini membolehkan mereka dipanggil untuk berkhidmat tanpa menunggu tempoh latihan yang panjang.

Ini bermakna pada bila-bila masa, mana-mana individu, syarikat atau badan awam yang mahu dan berkemampuan sudah mempunyai pilihan untuk memiliki pasukan keselamatan mereka sendiri secara segera.

Selain daripada itu, beberapa kajian yang dijalankan mendapati keberkesanan PMC khasnya dalam peperangan berskala lebih besar mampu mempercepatkan penamatan konflik itu, khasnya apabila melibatkan konflik antara kerajaan dengan pemberontak kerajaan.

PMC menjadi popular kerana dua sebab utama ini. Penglibatan mereka menjimatkan kos dan masa, berbanding sistem latihan yang memerlukan dana jangka masa panjang dan banyak masalah yang timbul, tidak perlu dibiarkan berlanjutan dalam satu jangka masa yang lama sehingga memerlukan kemampuan kewangan berlebihan.

Sejarah bermulanya sistem PMC

Untuk memahami bagaimana sistem regulasi PMC bermula, kita perlu melihat satu peristiwa dalam bulan September tahun 2008. Pada bulan tersebut, 17 negara anggota PBB seperti Australia, Kanada, China, Perancis, Jerman, Ukraine, United Kingdom dan sudah tentulah Amerika Syarikat - menandatangani apa yang dinamakan sebagai Perjanjian Dokumen Montreux, dinamakan sempena lokasi majlis itu diadakan di Montreux, Switzerland.

Dalam upacara itu kesemua negara anggota bersetuju untuk meratikasikan 70 perkara yang berkait dengan sistem regulasi syarikat pengelola ketenteraan, dalam menjamin semua penglibatan PMC dilakukan mengikut standard yang telah ditetapkan.

Selain itu, dokumen itu juga mengandungi undang-undang antarabangsa yang akan menjadi garis panduan sekiranya berlakunya kes-kes perbalahan antara PMC dengan pihak luar, tata cara perkhidmatan, syarat pendaftaran pengelola syarikat dan juga ikrar untuk memastikan hak asasi manusia khasnya melibatkan pekerja PMC dipelihara.

'Standard operasi' bagi semua PMC diwujudkan hasil perjanjian tersebut, memerlukan mana-mana syarikat yang menawarkan perkhidmatan PMC mematuhi semua syarat yang ada sebelum mereka dibenarkan mengambil pelanggan.

Setakat ini, 54 negara sudah menandatangani Dokumen Montreux, namun kebanyakan negara Asia Tenggara masih lagi belum mengambil sebarang keputusan sama ada mahu menggunakan undang-undang antarabangsa dalam isu berkait PMC atau terus kekal dengan akta tempatan sedia ada, yang hanya merangkumi isu-isu dalam negara sahaja.

PBB antara pelanggan terbesar PMC

Berikutan kerenah birokrasi yang melibatkan negara-negara anggota, PBB merupakan antara pelanggan paling kerap mengupah perkhidmatan PMC, berikutan daripada kemudahan yang PMC tawarkan - khasnya melibatkan kerja-kerja misi pengamanan yang dilakukan di seluruh dunia.

Kebiasaannya, PBB menggunakan khidmat PMC dalam melindungi kepentingan mereka; pihak PMC menawarkan khidmat analisis risiko, latihan keselamatan bagi petugas kemanusiaan, pengurusan krisis khasnya melibatkan insiden penculikan dan perlindungan aset, seperti premis, pejabat, kediaman dan sebagainya.

Antara syarikat terkenal PMC di seluruh dunia berikutan keberkesanan mereka dalam perkhidmatan adalah firma Blackwater, yang namanya kerap kali disebut dalam banyak filem Hollywood.

Berpusat di Carolina, Amerika Syarikat, Blackwater menjadi syarikat PMC no. 1 di dunia serta menjadi pemegang kontrak terbesar bagi kerajaan Amerika Syarikat. Kini 'Blackwater' telah dijenamakan semula sebagai 'Academi.'

Kebanyakan PMC bertapak sama ada di Amerika Syarikat atau United Kingdom, namun di Asia, beberapa syarikat pengelola PMC juga sudah mula terkenal berikutan jumlahnya yang banyak dan harganya yang lebih kompetetif, khasnya di China.

Biasanya ditubuhkan oleh bekas pesara tentera China, pada tahun 2015 terdapat lebih 4,000 syarikat PMC berdaftar di negara itu dengan jumlah kekuatan 4.3 juta pekerja.

Majoriti antara PMC China berkhidmat dalam negara mereka namun sudah mula bercambah keluar ke negara-negara lain, berikutan gerakan Inisiatif OBOR kerajaan China yang agresif - memerlukan perlindungan daripada ancaman-ancaman yang ada pada aset China.

Bagaimanakah kadar pendapatan seorang PMC bertauliah?

Sangat lumayan berbanding seorang tentera biasa. PMC dibayar mengikut hari berkhidmat dan mereka mampu mendapat bayaran daripada $500 ke $1200 (RM2800 ke RM4995) dalam satu hari. Jauh berbeza dengan pegawai tentera berpangkat kapten di Amerika Syarikat, yang mempunyai nilai pendapatan pada $4,952 (RM20,615) sebulan .

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon